48 Tempat Menarik Di Bali | Panduan Bercuti Ke Pulau Cinta

Inginkan percutian yang sempurna? Rasanya tak perlu fikir panjang lagi, Bali adalah jawapan yang anda cari. Pulau eksotik ini menawarkan banyak tarikan menarik yang terdiri daripada pantai-pantai yang indah, kuil-kuil kuno dengan seni bina yang begitu unik dan banyak lagi. Boleh dikatakan hampir kesemua destinasi di Bali ini menyajikan pemandangan yang memukau jiwa sehinggakan ia dianggap sebagai syurga dunia.

Lokasinya yang begitu dekat dengan Malaysia janganlah dilepaskan begitu sahaja. Anda tak perlu mengeluarkan belanja yang banyak sepertimana ke negara indah yang lain. Apa lagi yang anda tunggukan kalau artis Hollywood pun ramai yang idamkan percutian ke sini?

Mungkin ada yang merasakan Bali sebagai destinasi yang terlalu padat dengan pelancong, tapi sebenarnya banyak juga lokasi yang tersorok dan dapat anda nikmati dengan privasi bersama keluarga. Nak tahu di mana?  Jom baca kupasan-kupasan tempat menarik di Bali ini. Hati-hati, kemungkinan besar anda tidak mahu pulang bila dah mengenali dengan lebih dekat pulau indah ini.

48. Pantai Suluban

Pantai Suluban Bali
Sumber: Velvet d’Amour Official Fan Page

Pantai Suluban adalah sebuah pantai yang agak tenang kalau dibezakan dengan pantai yang lain kerana kedudukannya yang agak mencabar untuk diakses. Untuk ke pantai ini, anda perlu menaiki tangga batu yang agak curam, kalau anda bawa anak-anak kecil, pastikan keselamatan mereka ketika di sini.

Waktu yang paling best untuk datang ke pantai ini adalah sekitar pukul 12.00pm kerana pada waktu ini air agak surut untuk anda bermandi-manda. Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini kalau anda berani adalah meluncur ombak kerana ombak di sini kuat dan tidak mudah pecah. Selain itu, anda juga boleh berenang di dalam kolam kecil yang ada di sekitar air laut. Yang syoknya lagi, dalam kolam-kolam kecil ni juga anda dapat melihat ikan berenang.

Alamat: Jalan Pantai Suluban, Pecatu


Baca: 18 Destinasi Glamping Terbaik Di Malaysia

47. Yellow Bridge Di Nusa Ceningan

Yellow Bridge Ceningan
Sumber: Marta Brrgn

Nama lain bagi Yellow Bridge yang terletak di Nusa Ceningan ini adalah Jambatan Cinta kerana jambatan ini sering dijadikan lokasi gambar pra-perkahwinan. Mesti ada sebabkan kenapa jambatan ini menjadi pilihan ramai pasangan untuk bergambar?

Kalau anda nak tahu, jambatan yang berkepanjangan 140 meter ini sangat fotogenik kerana berlatar belakangkan panorama indah lautan dan langit yang kebiruan. Sekiranya anda ingin datang ke sini, waktu yang terbaik adalah pada waktu matahari naik atau tenggelam, pemandangannya memang wow!

Alamat: Jungutbatu, Nusapenida, Klungkung Regency, Bali 80771


46. Air Terjun Cepung, Bangli

Air Terjun Cepung Bali
Sumber: Ketut Kirana Bali Driver

Ini lagi satu tempat yang agak susah nak sampai tapi kalau dah berjaya, memang susah nak dilupakan keindahan air terjunnya! Air Terjun Cepung yang berketinggian 15 meter ini kalau sekali dipandang seperti jatuh dari langit kerana silauan cahaya matahari, disebabkan ini jugalah air terjun ini turut dipanggil sebagai air terjun dari langit. Macam best je nak wefie dengan keluarga dekat sini kan?

Alamat: Tukad Cepung Waterfall, Jl. Tembuku, Dusun Penida Kelod, Tembuku, Bangli, Tembuku, Kabupaten Bangli, Bali 80671


45. Uluwatu Surf Villas

Uluwatu Surf Villas
Sumber: Uluwatu Surf Villas

Pemandangan? 10/10. Makanan? 10/10. Kemudahan? 10/10. Semuanya tip-top di Uluwatu Surf Villas. Bayangkanlah, keluar sahaja dari vila peribadi anda, anda dapat menikmati pemandangan air laut dari tebing, kata orang, pemandangan di sini adalah ‘million dollar view,’ siapa tak nak percutian yang sempurna seperti ini.

Di laut ini juga, terkenal dengan aktiviti lasak meluncur ombaknya. Kalau anda sekeluarga inginkan aktiviti yang lebih santai, jangan lepaskan peluang untuk melakukan senaman yoga yang diadakan setiap pagi di kawasan terbuka dengan panorama indah tak terkata terhidang di depan mata.

Alamat: Uluwatu Surf Villas, Jalan Pantai Suluban, Uluwatu, Pecatu, 80364, Bali


44. Air Terjun Aling-Aling, Singaraja

Air Terjun Aling Aling
Sumber: Aling-Aling Waterfall

Di Singaraja ini sebenarnya terdapat 7 buah air terjun, tapi air terjun yang paling ‘diva’ sekali adalah Air Terjun Aling-Aling. Berketinggian dalam 35 meter, air terjun ini agak berbeza daripada yang lain sebab air yang mengalir daripadanya terpecah kepada dua air terjun yang saling bersebelahan.

Pemandangan air terjun ini diindahkan lagi dengan kawasan hutan tropika yang terdapat di sekelilingnya. Di bahagian bawah air terjun ini pula terdapat kolam yang berkedalaman sekitar 4 meter, tapi, jangan terjun di sini ya sebab terdapat pusaran air yang agak berbahaya. Kadangkala, sesuatu yang cantik itu lebih baik dihargai dari jauh.

Alamat: Desa Sambangan | Secret Garden Sambangan Information Center ( Aling Aling Information), 81161


43. Air Terjun Kanto Lampo

Air Terjun Kanto Lampo
Sumber: Ken Schattenberg

Untuk menuju ke Air Terjun Kanto Lampo ini anda perlu melalui jalan yang sama untuk ke Desa Beng. Sampai sahaja di kawasan meletak kenderaan Kanto Lampo ini, anda boleh membeli makanan dan minuman yang dijual di sini terlebih dahulu.

Kemudian, barulah anda memulakan perjalanan ke kawasan air terjun yang cukup indah ini. Sebaik tiba di kawasan air terjun, anda dapat merasakan kesegaran air  terjun yang mengalir laju dari ketinggian 15 meter. Bunyi air yang memecah masuk ke dalam sungai juga sangat menyegarkan deria.

Alamat: Banjar Kelod Kangin, Desa Beng, Kecamatan Gianyar, Kabupaten Gianyar


42. Pura Luhur Uluwatu

Pura Luhur Uluwatu Bali
Sumber: @Sudarma_55

‘Ulu’ di dalam bahasa melayu bermaksud atas dan ‘watu’ pula adalah batu, kombinasi kedua-duanya membawa maksud ‘atas batu.’  Dari namanya sahaja sudah mencerminkan kedudukan kuil ini yang agak tinggi. Pura Luhur Uluwatu ini terletak di atas tebing berketinggian 250 kaki dari aras Lautan Hindi yang mengelilinginya.

Di samping pemandangannya yang indah, anda juga boleh menyaksikan persembahan tarian tradisional Kecak yang diadakan setiap hari pada pukul 6 petang berlatar belakangkan pandangan matahari terbenam.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Alamat: Pecatu, South Kuta, Badung Regency, Bali


41. Pura Lempuyang

Pura Lempuyung
Sumber: The World

Pura Lempuyang merupakan salah satu daripada kuil hindu di Bali yang tertua dan terpenting. Dikatakan juga bahawa kuil kuno ini telah wujud lebih lama daripada kebanyakan kuil yang terdapat di pulau indah ini.

Ini adalah kerana kedudukannya yang sangat tinggi di atas Gunung Lempuyang yang berketinggian 1,175 meter dari aras laut. Jangan terkejut, untuk sampai ke sini, anda sekeluarga perlu mendaki 1,700 anak tangga yang curam. Kalau gayat atau stamina tak cukup tinggi, terpaksalah anda lupakan hasrat untuk menikmati pemandangan dari sini, tapi, ‘di mana ada kemahuan,di situ ada jalan,’ bersenamlah dari sekarang ya.

Lagi satu, bukan setakat stamina sahaja yang kena mantap sebelum mendaki tangga setinggi ini, dikatakan yang anda tak boleh langsung merungut dan berkata perkara yang tak elok sewaktu menaiki tangga-tangga ini, kalau tak, anda tak akan berjaya sampai ke puncak. Jangan lupa untuk memakai pakaian yang tebal sebab di atas ini nanti suhunya agak sejuk.

Banyak pula cabaran nak ke puncaknya kan, tapi, kalau dah sampai nanti, pemandangan yang disajikan cukup indah sampai terlupa betapa penatnya anda berjalan. Kawasan kuil ini turut digelar sebagai ‘Gateway to Heaven’ atau pintu masuk ke syurga oleh pelancong-pelancong yang pernah sampai ke sini. Kalau anda teringin merasa bagaimana rasanya menyentuh awan, di sinilah tempatnya!

Alamat: Gunung Lempuyang, Kampung Bunutan, Karangasem, Timur Bali


40. Candi Gunung Kawi

Candi Gunung Kawi
Sumber: Gratia Mikha Wikita

Candi Gunung Kawi bukanlah tempat biasa, bagi pencinta sejarah, pengalaman ke kawasan candi ini pasti akan menjadi salah satu memori indah yang sukar dilupakan. Bukan mudah nak jumpa peninggalan dari zaman yang sepurba ini, untuk pengetahuan anda, candi ini dibina pada abad ke-11 masihi. Betapa lamanya usia candi ini, macam sukar dipercayai yang ia masih wujud lagi untuk dilihat sehingga kini.

Untuk sampai ke kawasan candi ini, anda perlu melalui 315 anak tangga yang terletak berdekatan Sungai Pakerisan, dari tangga ini juga anda sekeluarga dapat menikmati pemandangan mengasyikkan kawasan sawah padi yang terbentang luas di kiri dan kanan.

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 6.00pm)

Bayaran:  Dewasa Termasuk Sarong Rp 15.000 | Kanak-kanak Termasuk Sarong Rp7500

Alamat: Banjar Penaka, Tampaksiring, Kabupaten Gianyar, Bali 80552


39. Pura Ulun Danu Bratan

Pura Ulun Danu Bratan
Sumber: Beautiful Destinations

Terletak di Tasik Bratan di pergunungan Bedugul, Pura Ulun Danu Bratan yang dibina pada tahun 1633 ini menawarkan panorama indah tasik di sekeliling, tanah yang menghijau dengan bunga-bungaan serta pemandangan gunung-ganang. Untuk pengalaman yang lebih menyeronokkan, anda sekeluarga juga boleh menaiki bot yang disediakan di tasik ini, dari kawasan air baru cantik nak menangkap gambar kuil kuno ini.

Selain dapat menghabiskan bateri kamera anda, di sini juga anda boleh menyewa joran dan umpan untuk memancing ikan yang terdapat di tasik. Dapatlah anda menikmati pemandangan sepuas hati dan pulang dengan ikan segar di tangan, tak ke best macam tu. Sekiranya anda ingin datang ke sini pada waktu pagi, datanglah sekitar pukul 9 ke 11 pagi walaupun sebenarnya kawasan ini dibuka seawal 8 pagi, ini kerana kalau datang terlalu awal, mungkin anda tak dapat menikmati pemandangan yang ditawarkan kerana kabus agak tebal.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)

Bayaran: Dewasa Rp50.000| Kanak-kanak Rp25.000

Alamat: Jl. Bedugul – Singaraja, Candikuning, Baturiti, Candikuning, Baturiti, Kabupaten Tabanan, Bali 82191


38. Gunung Batur

Gunung Batur
Sumber: Kkevinhendra

Bagi anda yang berjiwa kental, mai daki Gunung Batur. Kenapa jiwa kental je? Sebab gunung ini sebenarnya masih lagi aktif, kali terakhir gunung ini melepaskan lavanya adalah pada tahun 2000.

Apa-apa pun, pemandangan yang dihidangkan dari puncak gunung yang berketinggian 1,717  meter dari aras laut ini memang indah, terutama sekali pemandangan matahari naik. Sebaik anda sampai ke puncaknya, anda boleh bersantai di kawasan kem yang lengkap dengan kerusi dan meja sementara menunggu pemandangan yang mengasyikkan ini.

Bayaran: Rp10.000

Alamat: Mt Batur, South Batur, Kintamani, Bangli Regency, Bali


37. Tanah Lot Temple

Tanah Lot Temple
Sumber: The Earth

Nama asal Kuil Tanah Lot ini adalah Tengah Lod yang bermaksud ‘di dalam laut,’ agak masuk dek akal juga kerana kedudukannya yang dikelilingi air laut. Agak unik sebenarnya lokasi kuil ini. Al-kisahnya, kuil kuno ini dibina oleh seorang Hindu yang datang dari Majapahit sekitar tahun 1489. Sewaktu berjalan di sekitar laut, pengembara ini terlihat sebuah batu besar di tengah laut yang kelihatan seperti pulau. Tertarik dengan apa yang dilihat, batu ini dijadikan tempat meditasinya dan kuil ini pun dibina.

Sekiranya anda datang ke sini, anda akan mendengar bunyi kicipan burung yang tak henti-henti di samping bunyi ombak laut. Bukan sahaja menyedapkan telinga, pemandangannya juga memang mempesonakan.

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 7.00pm)

Bayaran: Dewasa Rp20.000 | Kanak-kanak Rp15.000

Alamat: Jalan Raya Tanah Lot, Beraban Village, Kediri, Tabanan


36. Ujung Water Palace

Ujung Water Palace
Sumber: Smailing DMC

Ujung Water Palace ini merupakan istana yang telah dibina oleh Raja dari Karangasem. Istana ini dulunya pernah mengalami kerosakan yang dahsyat akibat limpahan gunung berapi Gunung Agung pada tahun 1963 dan gempa bumi pada tahun 1979, namun, proses pemulihan telah banyak dijalankan sejak dari itu untuk memberi peluang kepada generasi muda melihat kemegahan istana purbakala ini. Kalau dilihat secara terperinci, seni bina istana ini memiliki kombinasi reka bentuk Bali dan Eropah.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)

Bayaran: Rp10.000

Alamat: Tumbu Village of Karangasem, Bali


35. Ubud Monkey Forest

Ubud Monkey Forest
Sumber: Dee Mansion

Monyet memang haiwan yang comel, tapi… jangan sangka yang comel itu selamat didekati ya. Kalau anda ingin memasuki Ubud Monkey Forest ini, pastikan anda simpan semua barang-barang yang mudah dicapai haiwan ini seperti topi, cermin mata, botol air dan lain-lain lagi di dalam beg anda dengan kemas. Selain itu, jangan juga melihat mata monyet-monyet ini kerana bagi mereka, itu petanda anda mencabar mereka.

Mesti anda tertanya-tanya kenapa ramai yang datang ke sini kalau se‘ekstrem’ ini anda kena berjaga? Sebabnya di kawasan hutan ini juga anda boleh mengakses dua buah kuil hindu iaitu Pura Beji dan Pura Prajapati.

Di samping itu, bagi pencinta haiwan, takut-takut pun dikentalkan juga hati untuk melihat lebih daripada 700 ekor monyet yang terdiri daripada 180 spesies yang terdapat di sini. Mana nak cari monyet sebanyak ini!

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 6.00pm)

Bayaran: Dewasa Rp50.000 | Kanak-kanak 3 – 12 Tahun Rp40.000

Alamat: Jl. Monkey Forest, Ubud, Kabupaten Gianyar, Bali 80571


34. Bali Safari & Marine Park Gianyar

Bali Safari & Marine Park Gianyar
Sumber: Bali Safari and Marine Park

Kalau anda nak berseronok sepuas hati di Bali Safari & Marine Park ini, datanglah seawal pagi yang mungkin, barulah berbaloi-baloi bayaran tiket anda sekeluarga. Bukan sikit nak dilihat di sini, ada dalam 80 spesies dan sekitar 400 spesimen yang didatangkan dari negara Afrika, India dan Indonesia sendiri.

Antara yang menjadi daya tarikan di sini adalah harimau putih yang didatangkan dari India, dan kawasan perkampungan gajah. Mesti anak-anak anda seronok punyalah melihat haiwan-haiwan di sini. Nak lagi seronok? Bawa mereka menaiki trem untuk penjalanan safari yang syok tak terkira. Banyak yang dapat anak-anak pelajari dari lawatan ke sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran (Online): Breakfast with Lion including Elephant Back Safari Rp1.500.000| Jungle Hopper Rp720.000| Dragon Rp990.000| Adventure Rp570.000| Elephant Back Safari Rp1.125.000| Leopard Rp1.440.000| Rhino Rp1.890.000| Night Safari  Rp990.000

Alamat: Jl. Bypass Prof. Dr. Ida Bagus Mantra Km. 19,8, Serongga, Kec. Gianyar, Kabupaten Gianyar, Bali 80551


33. Bali Horse Riding

Bali Horse Riding
Sumber: Bali Horse Riding

Banyak sebenarnya pakej menunggang kuda yang ditawarkan di Bali ini dan ini adalah salah satunya, Bali Horse Riding Tour. Bukan selalu dapat merasa naik kuda macam orang kaya ni kan, alang-alang dah sampai ke Bali, gunakan peluang berada di kawasan indah ini untuk menikmati pemandangan dengan menaiki kuda.

Antara kawasan yang dilalui adalah Pantai Serangan, air terjun, kawasan-kawasan kuil, gua kelawar dan banyak lagi. Jangan lupa untuk pakai cermin mata gelap dan kasut yang selesa sebelum menunggang kuda.

Bayaran (Full Ride): Dewasa Rp995.00 | Kanak-kanak Rp795.000

Alamat: Jalan Tukad Penataran, Gang Kokak No.5, Serangan, Denpasar Selatan, Bali 80229


32. Bali Bird Park

Bali Bird Park
Sumber: Bali Bird Park

Taman yang berkeluasan 2 hektar ini, Bali Bird Park, menempatkan hampir 1000 burung eksotik yang bukan sahaja dari Indonesia, malahan dari seluruh dunia. Burung yang terdapat di sini termasuklah burung merak dan burung kakak tua. Anda juga dapat melihat pertunjukan Flight Bird Show yang mana burung pemangsa akan terbang untuk mencapai makanan yang dipegang penjaga burung.

Bukan burung sahaja yang ada di sini ya, kerana di taman burung ini juga terdapat Taman Reptilia yang menempatkan haiwan-haiwan seperti buaya, penyu, kura-kura dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.30pm)

Bayaran: Rp385.000

Alamat: Jl. Serma Cok Ngurah Gambir, Singapadu, Batubulan, Sukawati, Kabupaten Gianyar, Bali 80582


31. Elephant Safari Park Lodge

Elephant Safari Park Lodge
Sumber: Mason Elephant Park & Lodge

Kalau anda inginkan akses tanpa had ke Elephant Safari Park & Lodge, anda boleh membawa keluarga anda menginap di resort mewah milik taman ini. Bilik-bilik yang ditawarkan tidaklah banyak, hanya 25 buah sahaja, jadi, siapa cepat, dia dapatlah. Resort ini terletak betul-betul di tengah taman gajah ini. Jangan risau, gajah-gajah di sini semuanya baik-baik. Seperti yang dikatakan tadi, resort-resort ini agak mewah, tapi sangat berbaloi kerana anda dapat pergi ke taman gajah ini secara percuma sepanjang penginapan.

Antara aktiviti yang boleh dibuat dengan gajah-gajah yang ada di sini adalah memberi mereka makan, bermain, menunggang dan mempelajari lebih mendalam tentang spesies-spesies gajah yang ada di sini. Lawatan yang bukan sahaja menyeronokkan, malahan cukup bermanfaat untuk anak-anak yang bersifat ingin tahu.

Alamat: Jalan Elephant Park Taro, Taro Village, Tegallalang, Ubud Bali 80561


30. Goa Gajah Gianyar

Goa Gajah Bali
Sumber: Bali Fans

Goa Gajah merupakan sebuah kawasan yang agak sejuk dikelilingi oleh kehijauan pokok-pokok rendang yang berusia ratusan tahun, gua ini juga dikatakan telah wujud sejak abad ke-11 lagi. Sampai sahaja di pintu masuk gua ini, anda dapat melihat ukiran 2 buah patung yang menjadi penjaganya.

Di sekitar permukaan gua ini anda dapat melihat banyak motif-motif haiwan dan tumbuhan yang diukirkan. Pada bahagian dalam gua ini pula, pada zaman dahulukala merupakan tempat pertapaan. Walau bagaimanapun, bagi wanita yang dalam haid, tidak dibenarkan masuk ke kuil ini sepertimana kuil-kuil yang lain.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 4.00pm)

Bayaran: Rp15.000

Alamat: Bedulu Village, Jalan Raya Goa Gajah, Blahbatuh, Gianyar


29. Kintamani

Kintamani Bali
Sumber: @ndravens

Kintamani merupakan kawasan perkampungan yang terletak di sebelah barat Gunung Batur. Untuk pengetahuan anda, di sinilah terletaknya Pura Tuluk Biyu yang merupakan tablet batu yag berusia lebih daripada 1,000 tahun.

Pastikan anda memakai pakaian yang sesuai dengan cuaca sejuk di kawasan perkampungan ini kerana lokasinya di kawasan tanah tinggi dan berdekatan dengan pergunungan, memang menggeletar badan. Di kawasan seperti ini, bayangkanlah pemandangan yang disajikan, sangat indah dan sukar diungkapkan dengan kata-kata. Kawasan tanah di Kintamani juga sangat subur, antara tanaman yang dapat dilihat di sini adalah pokok-pokok lemon, koko dan kopi.

Bayaran: Rp15.000

Alamat: Kintamani, Bali 80652


28. Istana Puri Saren Ubud

Puri Saren Ubud
Sumber: Alicia Sanabria Chópite

Istana yang dibina pada abad ke-19 ini dibina oleh Tjokorda Ida Putu Kandel yang memerintah dari tahun 1800 sehingga 1823. Sebaik anda sampai ke istana ini, anda dapat melihat betapa megahnya bangunan ini daripada tembok merahnya yang berdiri teguh.

Dari dinding yang mengelilingi Istana Puri Saren Ubud ini, anda dapat melihat ukiran-ukiran motif. Berjalan lagi, anda dapat melihat di kiri dan kanan pintu masuk istana ini diapit oleh patung yang kelihatan tegas menjaga  istana. Dari luar lagi sudah terasa betapa kukuhnya istana klasik ini.

Istana Puri Saren Ubud bukan sahaja tempat untuk anda melihat kemegahan seni bina tradisional Bali, di sini juga anda dapat melihat pementasan tarian tradisional Bali yang berbeza setiap hari iaitu:

Isnin: Legong

Selasa: Ramayana Ballet

Rabu: Legong dan Barong

Khamis: Legong

Jumaat: Barong dan Keris

Sabtu & Ahad: Legong

Yang mana yang anda nak lihat dipersembahkan di depan mata

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 7.00pm)

Alamat: Jl. Raya Ubud, Puri Saren Palace, Ubud 08671


27. Tegallalang Rice Terraces

Tegallalang Rice Terraces
Sumber: Stephen Wayda

Persis sebuah lukisan yang indah, Tegallalang Rice Terraces, memang menjadi lokasi pilihan ramai pelukis pemandangan. Di kawasan sekitar sawah padi ini juga terdapat banyak gerai-gerai makan untuk anda sekeluarga mengisi perut yang kosong sambil menikmati pemandangan penuh kehijauan yang terbentang luas di depan mata.

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 6.00pm)

Bayaran: Rp10.000

Alamat: Jalan Tegallalang, Tegallalang, Kabupaten Gianyar, Bali 80561


26. Hot Spring Volcano

Hot Spring Volcano Bali
Sumber: Patrick Bali Driver

Berendam di dalam air panas gunung berapi selepas penat mendaki Gunung Batur sangatlah melegakan otot-otot yang penat. Sensasi berendam dalam air panas bersuhu 38 ke 39 darjah celsius ini memang memuaskan lebih-lebih lagi dengan kawasan persekitaran gunung yang sangat sejuk, pergh! Dikatakan juga, air panas ini berkesan untuk menyembuhkan penyakit-penyakit kulit. Apa lagi? Jom!

Bayaran: Rp30.000

Alamat: Desa Pekraman Batur, Toya Bungkah, Kintamani, Bangli, Bali


25. Seminyak

Seminyak Bali
Sumber: Wonderful Indonesia

Kalau di Malaysia, KL lah lokasi yang agak up-to-date, tapi untuk Bali pula, Seminyaklah tempatnya untuk anda membeli-belah dan menjamu selera di restoran-restoran mewah. Penginapan-penginapan yang terdapat di sini juga kebanyakannya bertaraf antarabangsa dan lengkap dengan spa. Kalau anda ingin memberikan keluarga anda percutian yang istimewa dan mewah di Bali, Seminyaklah destinasinya. Dalam masa yang sama, Seminyak memiliki banyak kawasan pantai yang indah untuk anda bersantai bersama keluarga.

Alamat: Seminyak, Kuta, Badung Regency, Bali


24. Pantai Kuta

Kuta Beach
Sumber: Valeria Pagano

Dahulunya, Kuta merupakan perkampungan nelayan yang tenang  dan jauh dari sebarang pembangunan, namun kini, ia merupakan kawasan yang menjadi tarikan ramai pelancong, terutama pada bulan Julai hingga Ogos dan musim cuti Krismas dan Tahun Baru.

Kawasan sekitar Pantai Kuta dipenuhi dengan kedai-kedai makan dan tempat-tempat penginapan termasuklah tempat hiburan. Kalau anda inginkan ketenangan sewaktu percutian, mungkin ini tempat terakhir yang menjadi pilihan anda. Tapi, sekiranya anda tak kisah dan sukakan kemeriahan, lawatilah Pantai Kuta.

Alamat: Kuta Beach, Kuta, Badung Regency, Bali


23. Bedugul Bali

Bedugul Bali
Sumber: Maya Ubud Resort & Spa, Bali, Indonesia

Terletak di altitud 1,500 meter dari aras laut, kawasan sekitar Bedugul ini membersihkan paru-paru anda daripada sebarang pencemaran, sangat menyegarkan. Antara destinasi-destinasi yang patut anda sekeluarga lawati kalau ke sini adalah Taman Botani Bali yang berkeluasan 160 hektar, Air Terjun Munduk yang sangat indah, Pura Ulun Danu Bratan yang merupakan kuil ikonik di Bali dan banyak lagi tarikan semulajadi yang lain.

Selain itu, kawasan hutan hujan di sekitar Bedugul juga sangat kaya dengan flora dan fauna, kalau anda inginkan lawatan ke ‘zoo’ yang realistik, apa kata kalau anda terokai kawasan hutan di sini.

Alamat: Bedugul, Bali


22. Pasar Seni Ubud

Pasar Seni Ubud
Sumber: Alice Sophie Turrell

Kalau anda pernah menonton filem Hollywood lakonan Julia Roberts, ‘Eat Pray Love,’ inilah salah satu lokasi pergambarannya. Terletak di hadapan Istana Puri Saren Ubud, Pasar Seni Ubud adalah lokasi membeli-belah yang mana anda dapat menemui bermacam hasil kraftangan yang menarik seperti sulaman beg, bakul, topi, layang-layang dan banyak lagi.

Kalau anda tak nak shopping pun, seronok juga melihat kehalusan hasil tangan penduduk-penduduk Bali ini. Anggaplah lawatan anda ke sini seperti lawatan ke pameran kraftangan. Andai kata anda jatuh hati dengan mana-mana barangan di sini, jangan lupa untuk tawar-menawar harga!

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Alamat: Jalan Raya Ubud No.35, Ubud, Kabupaten Gianyar, Bali 80571


21. Coffee Plantation Bali Pulina

Paulina Coffee Plantation Bali
Sumber: AhiLe Ahl

Suka minum kopi? Nak rasa kopi yang termahal di dunia? Ternyata kopi termahal di dunia bukanlah di Starbucks tapi di Bali. Kalau anda nak tahu, kopi ini kalau di negara barat berharga sekitar 30 ke 50 dollar secawan. Kopi apa yang mahal sangat ni? Kopi ini dinamakan Kopi Luwak, luwak juga membawa maksud musang.

Mesti ada sebabnya kenapa ia dinamakan sempena musang kan? Jangan terkejut, sebab kopi yang termahal di dunia ini juga sebenarnya memiliki proses penghasilan yang agak geli didengar. Buah kopi ini merupakan buah kegemaran musang, setelah makan, najis yang dikeluarkan musang ini adalah biji buah ini tadi. Biji ini kemudiannya dikutip dan dipecahkan untuk mendapatkan isinya yang dijadikan biji kopi luwak dan dari sinilah mulanya pemprosesan kopi seperti kopi yang lain.

Nak tahu lebih lagi tentang proses pembuatan kopi di sini? Lawatlah Coffee Plantation Bali Pulina. Dapat juga anda merasa kopi-kopi lain yang dihasilkan di sini secara PERCUMA, kecuali kopi luwak. Bukan senang nak dapat biji kopi ni!

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 7.00pm)

Bayaran: Rp100.000

Alamat: Sebatu, Tegallalang, Gianyar, Bali 80561


Baca: 50 Destinasi Terbaik Di Singapore Untuk Seisi Keluarga

20. Tirta Gangga

Tirta Gangga
Sumber: Devi Matahari

Tirta Gangga bermaksud air yang mengalir dari Sungai Gangga. Di sinilah terletaknya Istana Air Tirta Gangga, sangat indah pemandangan yang ditawarkan di sini.  Dikelilingi oleh kolam-kolam, pancuran air, taman mekar yang indah dan ukiran-ukiran batu.  Cukup menarik dan unik untuk dijadikan lokasi bergambar. Kalau anda teringin berendam badan di dalam kolam-kolam yang terdapat di sini, anda perlu membayar caj tambahan sebanyak Rp10.000.

Waktu Operasi: Pejabat Jualan Tiket (7.00am – 6.pm) | Tirta Gangga (24 Jam)

Bayaran: Dewasa Rp20.000 | Kanak-kanak Rp10.000

Alamat: Ababi, Abang, Kabupaten Karangasem, Bali 80852


19. Penglipuran Village

Penglipuran Village
Sumber: FRii Bali Echo Beach

Terletak di kawasan tanah tinggi 700 meter dari aras laut, Kampung Penglipuran merupakan sebuah kawasan kampung tradisional yang memiliki karakternya tersendiri yang masih kukuh tanpa sentuhan modenisasi. Di sekitar kawasan pergunungan yang sejuk ini anda dapat melihat ladang pertanian dan hutan pokok buluh yang agak luas dan terpelihara dengan baik. Berjalan-jalan di sini boleh membuatkan anda terfikir sekiranya anda wujud pada abad yang betul ataupun kembali ke masa silam.

Bayaran: Dewasa Rp30.000 | Kanak-kanak Rp25.000

Alamat: Jl. Penglipuran, Kubu, Kec. Bangli, Kabupaten Bangli, Bali


18. Sanur Beach

Sanur-Beach-Bali
Sumber: Bali Scuba

Kalau dibandingkan dengan Kuta dan Seminyak, Sanur terletak di tengah-tengah, ini kerana Sanur dikatakan sebagai kawasan pelancongan yang lebih mahal daripada Kuta tapi lebih murah daripada Seminyak. Apa yang menarik di sini adalah pantainya yang menjadi tarikan peminat aktiviti-aktiviti air. Walaupun begitu, ia tidaklah sesibuk kawasan pantai yang lain dan cukup bersih. Di sekitarnya juga terdapat banyak kedai-kedai makan dan tempat penginapan.

Alamat: Sanur, Bali


17. Kebun Raya Bali

Kebun Raya Bali
Sumber: @roalan1962

Kebun Raya Bali ataupun The Bali Botanic Garden ini merupakan yang terbesar di Indonesia dan terletak di kawasan pergunungan Bedugul. Dari kawasan berketinggian 1,300 meter dari aras laut, anda yang datang ke sini dapat melihat Kuil Ulun Danu dan Tasik Beratan yang sangat indah.

Dengan ketinggian ini, suhunya boleh membuat anda menggigil dan sebab itu jugalah begitu banyak tumbuhan yang sesuai ditanam di sini yang turut terdiri daripada pelbagai jenis orkid, kaktus, bunga-bungaan seperti ros dan macam-macam lagi. Selain itu, anda sekeluarga juga dapat menyaksikan pelbagai jenis burung berterbangan di udara. Dikatakan terdapat sekitar 79 jenis burung di sini. Dapat bayangkan betapa indahnya kawasan taman botani ini?

Alamat: Jl. Kebun Raya Eka Karya | Candikuning, Tabanan 82191


16. Nusa Lembongan

Nusa Lembongan
Sumber: Bali Buddies

Berkeluasan 8 km kaki persegi, Nusa Lembongan adalah salah satu daripada 3 buah pulau yang saling bersebelahan iaitu Nusa Ceningan dan Nusa Penida. Seperti pulau yang lain, lautan di sekitar pulau ini kaya dengan hidupan laut dan batu karang yang sangat mempesonakan, apa lagi cara untuk menikmati keindahan ini kalau bukan dengan snorkeling dan juga menyelam.

Air di laut ini juga sangat jernih untuk menikmati sepuas hati pemandangan di dalamnya. Selain itu, di kawasan pantai ini juga anda dapat melihat penyu-penyu berkeliaran di pasir pantai yang bersih. Mana tak seronok anak-anak kalau datang ke pulau ini.

Alamat: Lembongan island, Jungutbatu, Nusapenida, Klungkung Regency, Bali


15. Lovina Beach

Lovina Beach Bali
Sumber: Intro Travel

Terletak 10 km dari pekan Singaraja, Pantai Lovina ini cukup indah dengan pasir yang kehitaman, air yang tenang tapi jangan terkejut pula, punyalah banyak ikan lumba-lumba yang dapat dilihat menonjolkan kecomelan mereka di permukaan air.

Kawasan Pantai Lovina ini juga lengkap dengan pelbagai kemudahan kepada para pelancong seperti kedai-kedai makan, pusat-pusat penginapan, kedai jualan karya seni, bank, dan pelbagai jenis kemudahan pengangkutan.

Alamat: Lovina Beach, Anturan, Buleleng Sub-District, Buleleng Regency, Bali


14. Agung Rai Museum of Art

ARMA Bali
Sumber: ARMA Museum & Resort (Official)

Bagi pencinta seni, jangan lupa untuk singgah ke Agung Rai Museum of Art di Bali nanti. Apabila anda sampai ke bangunan muzium ini, anda pasti teruja melihat bangunannya yang memiliki reka bentuk tradisional Bali dan dikelilingi oleh taman tropika.

Masuk pula ke dalam muzium ini, anda dapat menyaksikan pelbagai koleksi hasil seni abad ke-19, hasil karya dari tahun 1930-an ke 1940-an dan banyak lagi. Bukan hanya karya seni lukisan sahaja yang ada di sini, anda juga dapat melihat kanak-kanak tempatan berlatih menari tarian tradisional Bali beserta latihan gamelan.

Di samping itu, di sini juga sering diadakan persembahan tarian Kecok dan Legong. Pendek kata, nak tahu lebih banyak tentang aspek-aspek seni masyarakat Bali, datanglah ke Agung Rai Museum of Art.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Bayaran: Rp50.000

Alamat: Jalan Raya Pengosekan, Ubud


13. Puri Lukisan Muzium

Puri Lukisan Muzium
Sumber: Itsmicdb Travels and Vlogs

Pergerakan kesenian moden Bali bermula di Ubud. Apa seni moden ni? Seni moden adalah apabila karya-karya seni yang dihasilkan mula lari daripada subjek-subjek keagamaan. Terbahagi kepada 4 bahagian, di bahagian timur bangunan ini dikumpulkan koleksi hasil seni daripada Ubud termasuklah wayang kulit pada abad ke-16.

Di bahagian barat muzium ini pula ditempatkan karya seni moden yang dihasilkan pelukis-pelukis Bali selepas zaman peperangan. Seterusnya, pada bahagian utaranya terletaknya lukisan-lukisan daripada Gusti Nyoman Lempad dan ramai lagi. Akhir sekali, dibahagian selatannya pula untuk pameran-pameran khas. Banyak juga untuk dilihat di sini kan?

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran: Rp85.000

Alamat: Yayasan Ratna Wartha | Gianyar, Ubud 80571


12. Neka Art Museum

Neka Art Muzium
Sumber: Neka Art Museum

Dibuka pada tahun 1982, bangunan dengan seni binaan tradisional ini dinamakan Neka Art Museum sempena nama seorang guru yang gemar mengumpulkan karya lukisan, Suteja Neka. Koleksi lukisan di muzium ini bertambah dari tahun ke tahun, dan sehingga sekarang terdapat lebih daripada 300 lukisan yang dihasilkan pelukis dalam dan luar negara dipamerkan di sini.

Selain daripada lukisan, anda juga dapat melihat hasil ukiran dan koleksi keris Bali. Lawatan ke muzium ini akan memberikan banyak info-info kepada anda sekeluarga berkaitan teknik dan sejarah perkembangan seni di Bali.

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (9.00am – 5.00pm) | Ahad (1.00pm – 5.00pm) | Cuti Kebangsaan (Tutup)

Bayaran: Dewasa Rp50.000 | Kanak-kanak Bawah 12 Tahun Percuma

Alamat: Jalan Raya Camphuan, Kedewatan, Ubud


Baca: 45 Destinasi Terbaik Di Perth

11. Waterbom Bali

Waterbom Bali
Sumber: Waterbom Bali

Dah puas berjalan-jalan di Bali, apa kata kalau luangkan masa anda dengan aktiviti menyeronokkan bersama keluarga di Waterbom Bali. Kalau anda nak tahu, salah satu tarikan di sini adalah gelongsor Climax yang merupakan gelongsor air tercuram di Asia! Ada berani nak cuba?  Bukan itu sahaja yang ada di sini, banyak lagi yang boleh menggugurkan jantung kalau dicuba.

Sekiranya anda inginkan aktiviti air yang lebih relaks, apa kata kalau anda mencuba aktiviti Lazy River, anda boleh bersantai di atas pelampung dan biarkan air ini bergerak membawa anda sekeluarga menyelusuri air sambil menikmati panorama indah flora di kiri dan kanan, best tak best? Jangan tertidur pula.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Bayaran (Single Day Pass): Dewasa  Rp442.000 | Kanak-kanak Rp315.000

Alamat: Jl. Kartika Plaza Tuban, Kuta – Bali 80361


10. Pantai Pasir Putih

Pantai Pasir Putih Bali
Sumber: Smailing DMC

Salah sebuah tempat menarik di Bali yang sering menjadi sasaran pelancong terletak berdekatan dengan Candidasa Bali. Pantai Pasir Putih ini sebenarnya memiliki banyak lagi nama lain diberikan seperti Pantai Perasi. Pantai ini susah juga untuk ditemui kalau anda tak pernah ke sini, sebab itulah ia agak kurang dilawati.

Kalau anda berjaya sampai ke sini, andalah antara orang yang beruntung, dapat bersantai bersama keluarga dalam suasana yang tenang. Walaupun tak sesibuk pantai yang lain, kawasan di sekitar pantai ini tetap mewah dengan gerai-gerai untuk anda menjamu selera ditemani bayu laut.

Alamat: Karangasem, Karangasem Sub-District, Karangasem Regency, Bali 80811


9. Green Bowl Beach

Green Bowl Beach
Sumber: @rodnaytetreault

Macam pelik sahaja nama diberi, Green Bowl Beach, tapi sebenarnya dinamakan sedemikian kerana anda dapat melihat rumpai-rumpai laut yang menghijau dengan jelas di dalam air yang jernih. Untuk pengetahuan anda, ini juga salah satu kawasan pantai yang jarang dilawati. Nak tahu kenapa? Sebabnya, untuk sampai ke sini, anda perlu menuruni tangga yang sangat curam. Mendebarkan jugalah perjalanan menuju ke pantai indah ni.

Kalau anda ingin ke pantai ini pastikan anda datang pada waktu air surut. Kerana semasa air pasang, airnya boleh mencecah aras tebing dan gua di sini. Tak dapatlah anda nak nikmati semua keindahan alam yang ditawarkan di sini. Rancang perjalanan anda dengan baik ya.

Alamat: Jalan Pura Batu Pageh, Ungasan


8. Pantai Yeh Leh

Pantai Yeh Leh
Sumber: BALI – dotkněte se snů

Kalau anda datang ke Pantai Yeh Leh,  anda boleh bersantai bersama keluarga di gazebo yang disediakan untuk menikmati pemandangan matahari naik atau terbenam. Bukan itu sahaja yang indah di sini, di bahagian barat pantai ini terletak banyak batu-batu besar di sekitarnya, agak unik, kerana kebiasaannya permukaan seperti ini wujud di kawasan sungai. Apa-apa pun, batu-batu yang terdapat di sini menambahkan lagi keindahan kawasan pantai. Apa lagi? Jangan lupa bergambar sepuas hati di sini.

Alamat: Gg. Tasik, Pengeragoan, Pekutatan, Kabupaten Jembrana


7. Besakih Temple

Besakih Temple
Sumber: Kiswanti Ayu Bell

Banyak betul kuil yang ada di Bali ni, tapi kalau anda tak sempat untuk kesemua lokasi purba ini, pastikan anda tak lepaskan peluang untuk ke Kuil Besakih. Kuil ini dianggap sebagai ibu kuil ataupun yang terpenting di antara kuil-kuil yang lain di Bali.

Berusia lebih daripada 1,000 tahun, kuil yang terletak pada ketinggian 1,000 meter dari aras laut ini terdiri daripada 86 buah kuil termasuklah Kuil Besar Negeri iaitu Pura Penataran Agung. Dikelilingi oleh kawasan sawah padi yang menghijau, pemandangan gunung-ganang, air sungai dan banyak lagi keindahan alam semulajadi yang mesti anda saksikan bersama keluarga. Terlupa segala masalah

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Bayaran: Rp15.000

Alamat: Jl. Raya Besakih, Karangasem


6. Batu Bolong Beach

Batu Bolong Beach
Sumber: ExoticA Bali B&B

Salah satu daripada pantai yang syok untuk berluncur ombak. Bukan itu sahaja, di sekitar Batu Bolong Beach ini terdapat agak banyak kedai-kedai makanan sihat untuk anda sekeluarga cuba. Walaupun begitu, pantai ini tidaklah sesibuk kawasan tarikan pantai yang lain, ini menjadikan pantainya bersih dan cukup tenang untuk anda bersantai bersama keluarga.

Alamat: Jl. Pantai Batu Bolong, Canggu, Kuta Utara, Kabupaten Badung


5. Sekumpul Waterfall

Sekumpul Waterfall
Sumber: Mohamed Elsayed

Air Terjun Sekumpul merupakan salah satu daripada tarikan alam semulajadi yang terindah di Bali. Lihat sahaja air yang mengalir dari atas bukit di sini, bukan satu, bukan dua, tapi tujuh air terjun  yang dapat dilihat, masuk akallah kenapa dinamakan ‘sekumpul’.

Untuk menuju ke kawasan air terjun ini, anda boleh memilih untuk melalui trek yang lengkap dengan gazebo ditemani pemandangan indah air terjun ini, ataupun trek hutan dan perkampungan dengan pemandangan sawah padi, ladang kopi, kebun durian dan rambutan menemani anda sepanjang perjalanan. Namun begitu, trek yang kedua ini mengambil masa lebih kurang dua ke tiga jam untuk anda sampai. Jalan mana yang sanggup anda lalui demi pemandangannya?

Alamat: Jalan Raya Desa Sekumpul, Sawan, Lemukih, Buleleng


4. Dream Museum Zone

Dream Museum Zone
Sumbe: Catalina Liriano

Bukan di Malaysia sahaja yang ada muzium 3D. Kalau di Bali pula anda boleh melawat Dream Museum Zone untuk melihat karya-karya lukisan 3D yang boleh membeliakkan biji mata, betapa realistik sekali efek lukisan yang dihasilkan di sini. Antara lukisan yang dapat anda lihat dan posing bersama di sini adalah lukisan inspirasi Zaman Renaissance, Mona Lisa dan Van Gogh. Mesti anak-anak anda seronok melihat karya-karya yang unik ini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 10.00pm)

Alamat: Jl. Nakula No. 33X, Legian


3. Jatiluwih Green Land

Jatiluwih Green Land
Sumber: Amazing Nature

‘Jati’ bermaksud asli dan ‘Luwih’ pula bermaksud cantik. Di kawasan penuh kehijauan di mana sawah padi terbentang dengan luas ini memang benar-benar menyejukkan mata, sesuai dengan namanya, kecantikan yang asli, Jatiluwih. Anda boleh menikmati makanan di restoran-restoran kecil yang terdapat di sini sambil menikmati pemandangan indah ini.

Kalau dah puas melihat pemandangan dari jauh, anda boleh berjalan-jalan untuk menyelami keindahan kawasan sawah padi ini dengan lebih dekat lagi dan melihat bagaimana orang Bali membanting dan menuai padi. Mungkin anda boleh mencuba bagaimana rasanya melakukan tugas ini sendiri?

Bayaran: Rp40.000

Alamat: Jatiluwih, Penebel, Tabanan


2. Tasik Beratan

Tasik Beratan
Sumber: @emmett_sparling

Terletak di Bedugul, bukan rendah kawasan Tasik Beratan yang juga dikatakan salah satu daripada 20 tasik terindah di dunia ini. Berada pada altitud 1,240 meter dari aras laut, boleh anda bayangkan betapa sejuknya kawasan tanah tinggi ini? Pada waktu malam suhu di sekitar kawasan ini boleh mencapai 18 darjah celsius dan pada sebelah siang pula sekitar 24 darjah celsius, jadi pastikan anda membawa pakaian yang sesuai kalau ke sini.

Sekiranya anda ingin lari dari kesibukan kawasan pekan dan inginkan pemandangan yang cukup memukau, datanglah ke Tasik Beratan. Banyak juga aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti ski air, berkayak dan parasailing. Macam mana? Udara segar, pemandangan indah, aktiviti pun gempak, jadikan Tasik Beratan salah satu destinasi anda di Bali nanti ya?

Alamat: Jl. Bedugul, Candi Kuning, Tabanan 80345


1. Dream Beach

Dream Beach Bali
Sumber: Info Seputar Bali

Persis namanya, Dream Beach yang terletak di Nusa Lembongan ini memang cukup indah membuatkan anda tertanya-tanya, ini realiti atau mimpi. Cukup bersih, pasirnya juga putih, memang sedap dipijak. Lagi best kalau anda berkelah bersama keluarga sambil menikmati pemandangan di pantai mimpi ini dengan menghirup air jus yang sejuk. Memang syoklah!

Alamat: Dream Beach, Jungutbatu, Lembongan Island, Klungkung Regency, Bali 80771


Begitu banyak tempat yang mesti anda lawati di Bali ini, tidak dapat MaiSinggah senaraikan kesemuanya. Inilah sebabnya kenapa anda perlu tahu dengan lebih awal di mana destinasi-destinasi menarik di Bali supaya perjalanan anda lancar dan anda tahu ke mana mahu dituju. Setiap saat anda di Bali terlalu berharga untuk memikirkan hal-hal yang remeh-temeh.

Oleh kerana terlalu banyak sekali tempat yang best di Bali ini, mustahil dapat anda pergi dalam masa sehari dua kan? Dan mesti anda nak berbajet juga supaya dapat enjoy hampir kesemua yang ditawarkan di sini, jadi apa kata anda baca artikel di mana kami senaraikan 25 hotel murah yang menarik di Bali.

Jangan buang masa lagi, duduk beramai-ramai dan bincang dengan keluarga ke mana nak pergi di Bali nanti, pastikan ia menjadi percutian terindah anda sekeluarga!



Related Posts