25 Tempat Menarik Di Brunei Darussalam | Jom Bercuti Ke Borneo

‘Kecil-kecil, cili padi’ cukup sesuai digunakan untuk negara Brunei ini, negara yang mewah dan kaya dengan minyak sehingga disenaraikan di dalam majalah Forbes sebagai negara ke-5 terkaya daripada 182 buah negara yang lain.

Negara sekecil Brunei ini juga berbeza dengan negara lain yang terdapat di sekitarnya kerana menerapkan hukum syariah dalam undang-undangnya. Banyak lagi kalau nak senaraikan semua fakta menarik tentang Brunei ini sebenarnya, namun begitu, masih ramai yang mengganggap Brunei ini adalah sebuah destinasi yang kurang menarik untuk dilawati, ini bukanlah kerana negara Brunei tidak banyak tempat menarik, tapi kerana negara ini kurang menyebarkan tarikan-tarikan yang ditawarkannya.

Lokasinya yang terletak di Kepulauan Borneo, sudah pastinya memiliki pelbagai tarikan tersembunyi, alam semulajadi? Shopping? Makan? Berhibur? Jangan terkejut, macam-macam ada di Brunei ni. Jom kita teroka tempat menarik di Brunei!

25. Pantai Seri Kenangan

Pantai Seri Kenangan
Sumber: Michael Lee

Nak tahu apa yang menariknya tentang Pantai Seri Kenangan ini? Air laut pantai ini terbahagi daripada air Sungai Tutong dengan sedikit kawasan tanah sahaja. Perbezaan air daripada 2 sumber yang berbeza ini dapat dilihat dari keadaan air sungai yang kelihatan lebih tenang dan air laut yang berombak.

Selain itu, daripada Pantai Seri Kenangan ini juga anda dapat menyaksikan pemandangan matahari naik dan terbenam yang cukup mengujakan. Kawasan pantai ini juga dikelilingi dengan gerai-gerai jualan makanan dan juga restoran. Apa lagi? Jadikanlah ini lokasi untuk anda bersantai di Brunei nanti!

Alamat: Pantai Seri Kenangan (Pantai Tuton), Brunei


24. Taman Negara Ulu Temburong

Taman Negara Ulu Temburong
Sumber: Mat Suny Hussein

Terletak di Kepulauan Borneo, sudah semestinya Brunei juga kaya dengan keindahan flora dan fauna. Taman Negara Ulu Temburong merupakan taman negara pertama yang diisytiharkan di Brunei sejak tahun 1991. Sekiranya anda berpeluang ke sini, anda boleh menginap di satu-satunya resort yang terdapat di sini iaitu Ulu Ulu Resort. Anda juga perlu mendapatkan khidmat pemandu pelancong untuk menerokai kawasan hutan, kalau sesat anda juga yang susah nanti, dok gitu?

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah bermandi-manda di dalam air segar dari kawasan gunung di Sungai Temburong, berkayak, memerhati burung dan banyak lagi. Di sini juga terdapat dalam sekitar 400 jenis rama-rama. Jangan lupa untuk membawa kamera!

Alamat: Bangar | Temburong, Ulu Temburong National Park BE1518, Brunei Darussalam


Baca: 50 Destinasi Terbaik Di Singapore

23. Kampong Ayer

Kampung Ayer Brunei
Sumber: Piknik World

Kampong Ayer merupakan kawasan penempatan awal di Brunei yang bermula sejak sekitar 1300 tahun yang lalu. Kampung ini juga dahulunya merupakan kawasan yang penting dalam aktiviti perdagangan di Kepulauan Borneo. Kini, Kampong Ayer masih lagi sebuah kawasan yang kelihatan agak klasik berbanding dengan kawasan lain di Brunei. Setibanya anda di sini nanti, anda dapat melihat rumah-rumah yang dibina di atas air, satu pemandangan yang agak unik untuk disaksikan.

Kalau anda mengikuti lawatan berpandu sewaktu ke sini, anda mungkin akan dibawa masuk ke dalam sebuah rumah untuk menikmati secawan air teh beserta makanan. Di samping itu, anda juga boleh mendapatkan perkhidmatan bot untuk membawa anda makan angin menyelusuri sungai, melihat kawasan paya dan bermacam lagi fauna di alam hijau ini.

Alamat: Kampong Ayer, Bandar Seri Begawan


22. Pekan Tutong

Pekan Tutong
Sumber: Tutong Kita

Apa yang menariknya di Pekan Tutong ni? Kalau anda nak tahu, Pekan Tutong ini terkenal dengan pokok periuk kera dan pasir putih yang terdapat di sesetengah tempat. Penduduk di sini menggunakan periuk kera untuk memasak pelbagai jenis makanan. Mungkin anda pernah makan lemang periuk kera, nak jumpa banyak lagi? Jom datang ke sini! Dah puas mengisi perut, bolehlah singgah ke Masjid Hassanal Bolkiah untuk bersolat. Tarikan lain yang terdapat di sini adalah Pasar Malam Pekan Tutong dan Gerai Selera Tutong. Alang-alang dah sampai apa salahnya melawat kesemuanya!

Alamat: Tutong, Brunei


21. Kuala Belait

Kuala Belait
Sumber: IQRemix / CC BY-SA 2.0

Kuala Belait merupakan bandar kedua yang terbesar di Brunei selepas Bandar Seri Begawan. Pada asalnya, Kuala Belait merupakan kawasan perkampungan nelayan. Kini, telah banyak hotel didirikan yang mengubah lanskap sekitarnya. Antara tarikan menarik yang terdapat di Kuala Belait adalah Pasar Tudong Saji yang mana anda dapat merasa makanan-makanan tempatan masyarakat Brunei.

Di samping itu, di sini juga terletaknya Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang boleh anda lawati untuk beriadah bersama keluarga. Kemudahan-kemudahan yang terdapat di sini adalah seperti taman permainan kanak-kanak, gazebo dan beberapa peralatan senaman.

Alamat: Kuala Belait, Brunei


20. Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin
Sumber: Oneng Dalillah

Berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Begawan, tiba-tiba anda terpandang sesuatu yang bersilau-silau, apakah agaknya yang menyilau pandangan anda? Kemungkinan besar itu adalah gemerlapan emas yang datang daripada kubah Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Ya, kubah utama masjid ini diselaputi oleh emas tulen.

Dengan ketinggian sekitar 171 kaki, masjid ini dapat dilihat dimana sahaja anda berada di sekitar Bandar Seri Begawan. Yang menariknya lagi tentang masjid ini adalah kerana ia juga dibina di tepian Sungai Brunei dan dikelilingi oleh taman bunga yang indah. Rekaan dalaman masjid ini tak kurang hebatnya kerana hampir kesemua material yang digunakan dalam pembinaan masjid ini didatangkan daripada luar negara seperti chandelier kristalnya yang datang dari England, lantai marmarnya yang diimport dari Itali dan karpetnya pula dari Arab Saudi. Teringin melihat semua ini di depan mata sendiri? Tunggu apa lagi? Melanconglah ke Brunei.

Alamat: Jalan McArthur, Bandar Seri Begawan BS8711, Brunei


19. Pasar Malam Gadong

Pasar Malam Gadong
Sumber: Corey Raynes

Kalau melancong, waktu paling best sekali dah semestinya semasa memilih makanan untuk mengisi perut yang kosong setelah penat berjalankan? Inilah dia lokasi yang mesti anda lawati, Pasar Malam Gadong yang cukup meriah dengan pelbagai jenis gerai menjual bermacam-macam jenis makanan, bbq, grill, kuih-muih, takoyaki, buah-buahan, minuman, sampai tak tahu nak beli yang mana.

Kalau anda tak dapat nak buat pilihan, beli je semua yang menarik hati kerana harga makanan di sini tersangatlah murah, kebanyakannya dalam sekitar B$1 – B$4 sahaja. Tempat makan juga disediakan kalau anda dah tak sabar nak merasa. Yang menariknya lagi, Pasar Malam Gadong ini boleh dikatakan antara pasar malam yang terbersih di Asia Tenggara. Lagilah berselera anda nak membeli-belah!

Alamat: Jln Pasar Gadong, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam


18. Pantai Muara

Pantai Muara Brunei
Sumber: Glyn Constant‎

Pantai Muara merupakan tarikan utama di Pekan Muara. Pantai yang berkepanjangan sekitar 1.5 km ini terletak di sepanjang Laut China Selatan. Pantai yang cukup indah berpasir putih ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti kawasan berkelah yang selesa, tandas, gerai-gerai makanan dan taman permainan kanak-kanak.

Alamat: Muara, Brunei


17. Plaza Sutera Biru

Plaza Sutera Biru
Sumber: Francisco Sengia

Bagi warga kota yang merindukan aktiviti urban, bolehlah singgah ke Plaza Sutera Biru yang menempatkan  2 buah pawagam, permainan arked, tempat bermain bowling dan juga restoran. Tidaklah segempak pusat membeli-belah di kotaraya lain, tapi sekurang-kurangnya dapatlah juga merasa pengalaman memasuki shopping mall di negara Brunei.

Alamat: Jalan Lorong 3 Barat, Seria KB1110, Brunei


Baca: 45 Destinasi Terbaik Di Sabah

16. Hutan Simpan Labi

Hutan Simpan Labi
Sumber: Valerie Jenks

Hutan Simpan Labi merupakan salah satu daripada tarikan alam semulajadi yang terdapat di Brunei. Keindahan hutan simpan ini adalah kerana kawasan sungainya yang mengalir tenang, kolam-kolam semulajadi untuk bermandi-manda dan juga pokok-pokok di sekitar yang menyejukkan pandangan mata. Sekiranya anda datang ke sini pada waktu malam, anda mungkin akan menjumpai cendawan yang bercahaya, flora yang cukup unik!

Alamat: Hutan Simpan Labi, Brunei


15. Jerudong Park

Jerudong Park
Sumber: Abu Hakeem Yusuf Tang

Shopping dah, makan pun sudah, nak buat apa lagi? Apa lagi kalau bukan berseronok sepuasnya di Jerudong Park! Barulah hebat percutian ni. Antara tarikan menarik yang terdapat di Jerudong Park adalah ferris wheel yang mana anda dapat melihat kawasan sekitar taman seluas pemandangan, roller coaster yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur, bot pedal yang membawa anda mengelilingi sekitar tasik di Jerudong Park, carousel, bumper car, waterpark dan banyak lagi! Ceriakanlah percutian anak-anak anda ke Brunei dengan membawa mereka ke sini.

Bayaran Masuk (1-Day All Playground Rides): Dewasa B$20 | Kanak-kanak B$10 | Pakej Keluarga (2 Dewasa, 2 Kanak-kanak) B$50

Waktu Operasi (Playground): Khamis (4.00pm – 11.00pm) | Jumaat (3.00pm – 11.30pm) | Sabtu (10.00am – 11.30pm) | Ahad (10.00am – 11.30pm)

Alamat: Jerudong Park | Kg Jerudong, Kampong Jerudong BG3122, Brunei Darussalam


14. Tasek Merimbun

Tasek Merimbun
Sumber: Freddie Wong‎

Tasek Merimbun  adalah sebuah tasik air hitam yang terbesar di Brunei. Jangan risau, bukanlah bermaksud tasik ini bertoksik, kalau anda nak tahu, air tasik ini menjadi hitam disebabkan oleh tannin yang dibebaskan dari daun-daun yang jatuh ke dalam air tasik ini.

Pemandangan di sekitar tasik ini cukup indah yang mana anda dapat melihat pelbagai jenis burung berterbangan dan banyak lagi haiwan lain. Di tengah-tengah tasik ini juga terdapat sebuah pulau yang boleh diakses dengan menggunakan jambatan kayu yang disediakan. Kalau anda ingin menerokai dengan lebih luas lagi, anda boleh menyewa bot, dapatlah anda sekeluarga makan angin sepuas hati di sini.

Alamat: Tasek Merimbun, Brunei


13. Royal Regalia Building

Royal Regalia Building
Sumber: John Samon

Royal Regalia Building ataupun Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja yang terletak di tengah-tengah Bandar Seri Begawan ini menempatkan pelbagai replika diraja yang termasuklah mahkota-mahkota, pakaian dan banyak lagi. Di samping itu, terdapat juga pameran pemberian berharga yang telah diberikan kepada kerajaan Brunei, diperbuat daripada pelbagai material seperti kristal, perak dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, anda tidak dibenarkan mengambil gambar di sini ya.

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Jalan Sultan, Bandar Seri Begawan BS8811, Brunei Darussalam


12. Malay Technology Museum

Malay Technology Museum
Sumber: Paul Emerson Salinas Almontero

Malay Technology Museum ini terbahagi kepada 3 bahagian pameran iaitu Water Village Traditional House Gallery, Water Village Traditional Technology Gallery dan Inland Traditional Technology Gallery.

Di Water Village Traditional House Gallery, anda dapat melihat bagaimana struktur rumah di kawasan penempatan awal iaitu Kampong Ayer dibina, di Water Village Traditional Technology Gallery  pula anda akan dapat melihat pembuatan atap, bot dan banyak lagi oleh masyarakat setempat, dan akhir sekali di Inland Traditional Technology Gallery pula anda dapat melihat pameran pondok-pondok untuk suku kaum berbeza dan banyak lagi pameran lain yang menarik. Agak banyak yang dapat anda pelajari di muzium ini tentang sejarah awal Brunei sebelum menjadi antara negara yang terkaya di dunia.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.30am & 2.30pm – 5.00pm) | Sabtu (9.45am – 5.00pm)

Alamat: Jln Kota Batu, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam


11. Museum Maritime Brunei

Museum Maritime Brunei
Sumber: Auliana Muharini

Terletak di Kota Batu,  Museum Maritime Brunei ini memiki 3 bahagian galeri yang mana 2 buah merupakan galeri tetap. Galeri yang pertama adalah galeri The Brunei Shipwreck ataupun galeri kapal karam. Di galeri ini anda dapat melihat dalam 13,500 jenis artifak yang terdiri daripada seramik dari abad ke-15 dan ke -16 yang ditemui di perairan Brunei pada tahun 1997.

Galeri yang seterusnya dinamakan ‘Kota Batu Sebagai Pusat Perdagangan’, di sini anda dapat melihat sejarah Kota Batu yang aktif dengan aktiviti perdagangan dari abad ke-14 hinggalah ke-17 serta kapal-kapal yang digunakan dalam perdagangan. Nak tahu apa lagi yang terdapat di sini? Pastikan Museum Maritime Brunei terdapat dalam rancangan perjalanan anda di Brunei nanti.

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.30am & 2.30pm – 5.00pm) | Sabtu (9.45am- 5.00pm)

Alamat: Simpang 482, Jln Kota Batu, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam


10. Masjid Hassanil Bolkiah

Masjid Hassanil Bolkiah
Sumber: Info Brunei Kitani

Masjid Hassanil Bolkiah  merupakan salah satu daripada 2 buah masjid negara di Brunei. Masjid yang dibina pada tahun 1992 ini memiliki 29 buah kubah yang menyilau keemasan terutama apabila tiba waktu malam. Boleh memuatkan 5000 jemaah pada satu-satu masa, masjid ini merupakan yang terbesar di negara ini. Bukan sahaja memiliki rekabentuk luaran yang mengujakan, dalaman masjid ini juga agak mewah, lengkap dengan eskalator khas untuk kegunaan sultan.

Alamat: Sultan Hassanal Bolkiah Hwy, Kampung Kiarong, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam


9. Pantai Jerudong

Pantai Jerudong
Sumber: Anwar Yahaya

Mengadap Laut China Selatan, pantai ini agak sibuk dengan nelayan-nelayan yang mencari rezeki. Banyak bot dapat dilihat tersadai di sekitar Pantai Jerudong ini, keindahan kawasan pantai ini ditambahkan lagi dengan pokok-pokok kasuarina dan kelapa yang banyak mengelilingi sekitarnya, memang sesuailah untuk anda jadikan salah satu setting fotografi.

Berdekatan dengan pantai ini juga terdapat Pasar Ikan Jerudong yang menjual bermacam jenis hasil laut yang segar-segar, bukan itu sahaja, buah-buahan dan sayuran pun ada. Dah beli hasil laut segar tu, bolehlah nak berbbq!

Alamat: Jerudong Beach, Jerudong, Brunei


8. Billionth Barrel Monument

Billionth Barrel Monument
Sumber: Szewen Wong

Dibina pada tahun 1991, Billionth Barrel Monument merupakan sebuah mercu tanda yang terletak di Seria. Untuk ke sini, memakan masa sekitar 1 jam perjalanan dari pusat bandar. Monumen ini dibina untuk melambangkan kejayaan Brunei sebagai antara negara pengeluar minyak yang terkaya di dunia. Dah sampai ke Brunei, kalau tidak singgah ke kawasan monumen penting, tak sempurna rasanya perjalanan.

Alamat: Jalan Utara, Seria KB1110, Brunei Darussalam


7. The Cement Wreck

The Cement Wreck Brunei
Sumber: Poni Divers

Cement Wreck dikatakan sebagai salah satu daripada kawasan menyelam yang terkenal di Brunei. Dengan kedalaman dari 9 ke 32 meter, anda dapat melihat sisa kapal karam yang dikelilingi oleh batu karang dan banyak hidupan laut yang penuh warna-warni. Al-kisahnya, pada tahun 1980, sebuah kapal kargo dari Jepun tenggelam semasa dalam perjalanan ke Brunei, dan inilah kapal yang dapat anda terokai apabila menyelam di sini.

Satu panorama dalam air yang unik dan sangat indah untuk dilihat dan dialami sekali di dalam hidup. Kawasan karam ini juga dikatakan sebagai yang paling fotogenik di Asia. Kalau anda masih baru lagi dalam aktiviti menyelam, jangan risau, menyelam di Cement Wreck ini sesuai sahaja untuk anda. Apa lagi? Bersedia dengan kamera kalis air anda!

Alamat (Koordinat): 05 , 13.295′ N , 115,04.875′ E


6. Istana Nurul Iman

Istana Nurul Iman
Sumber: Benutzer:Chtrede / CC BY-SA 3.0 de

Sudah sampai ke Brunei, pastinya tempat pertama yang tak sabar untuk anda lihat adalah istana gah ini yang dinamakan Istana Nurul Iman. Bukanlah istana yang biasa, Istana Nurul Iman ini tersenarai di dalam Guinness Book of Records sebagai istana kediaman raja yang terbesar di dunia.

Terletak berdekatan dengan Sungai Brunei, istana yang berkubah emas ini dapat dilihat dengan jelas dari Taman Persiaran Damuan. Anda juga dapat melihat kemegahan istana ini dengan menaiki bot menyelusuri Sungai Brunei.

Rekaan dalaman istana ini pula telah dihasilkan oleh Khuan Chew yang juga terlibat dalam pembinaan Burj Al Arab di Dubai. Teringin untuk melihat bagaimana keadaan istana ini dari dekat? Boleh, tapi istana ini hanya dibuka 3 hari pada Hari Raya Aidilfitri. Kalau anda datang pada hari-hari ini anda tersangatlah beruntung, kerana anda bukan sahaja dapat memasuki ruang istana, anda juga dapat menikmati bermacam juadah yang dihidangkan. Bukan itu sahaja, dapat bersalam-salaman dengan keluarga diraja lagi!

Alamat: Jln Menteri Besar, Bandar Seri Begawan BA2112, Brunei


5. Muzium Brunei

Muzium Brunei
Sumber: Borneo Bulletin

Dari rekabentuk Muzium Brunei ini, anda dapat melihat pengaruh tradisional Melayu terutama pada ukiran-ukiran yang terdapat di bangunan ini. Memiliki beberapa bahagian galeri antaranya adalah Galeri Seni Islam, Galeri Sejarah dan ruang galeri untuk pameran sementara.

Antara barangan yang paling antik yang terdapat di muzium ini adalah barangan seramik dari Iran serta kaca dari Mesir yang dianggarkan telah wujud sejak abad ke-9 dan ke-10 lagi. Nak tahu apa lagi yang ada di sini? Mai datang!

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.30am & 2.30 – 5.00pm)

Alamat: Jln Kota Batu, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam


4. Oil & Gas Discovery Centre

Oil & Gas Discovery Centre Brunei
Sumber: Surveyor Jo Igbert

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan penghasilan minyak, tak sahlah kalau tiada pusat khas tentang penerokaan minyaknya kan? Di Oil & Gas Discovery Centre inilah anda dapat memahami bagaimana wang berbillion ringgit dihasilkan di Brunei.

Anda dan anak juga dapat mencuba permainan-permainan IQ yang terdapat di sini. Di samping itu, untuk pengetahuan anda, Oil & Gas Discovery Centre juga terkenal dengan bengkel sains yang sering dianjurkan, nak join? Lawati laman web mereka untuk maklumat lebih lanjut.

Dah puas mengisi ilmu di dada, di sekitar kawasan ini terdapat kolam dengan ikan dan kura-kura, nak bagi makan, beli sahaja di kedai yang terletak berdekatan.

Bayaran Masuk: Dewasa B$5 | Remaja B$2 | Kanak-kanak B$1

Waktu Operasi: Isnin – Khamis, Jumaat (8.30am – 5.00pm) | Ahad (9.30am – 6.00pm)

Alamat: F20 Jalan Tengah, Seria KB1110, Brunei Darussalam


3. Damuan Recreational Park

Damuan Recreational Park
Sumber: Info Brunei Kitani

Terletak berdekatan dengan Sungai Brunei, di Damuan Recreational Park, anda dapat berekreasi sambil menikmati pemandangan air yang tenang ini. Bukan itu sahaja pemandangan yang disajikan di hadapan anda, dari taman rekreasi ini juga anda dapat melihat dengan jelas bangunan kebanggaan Brunei, Istana Nurul Iman!

Apa lagi, ajak keluarga anda berjogging ramai-ramai di sini! Di samping pemandangan yang menarik, taman ini turut lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti tandas, bilik mandi dan taman permainan, tempat makan pun ada. Dah penat beriadah tak akanlah nak biar perut kosongkan?

Alamat: Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam


2. Hutan Simpan Peradayan

Peradayan Forest Reserve
Sumber: travelblog.org

Hutan Simpan Peradayan yang berkeluasan 1,070 hektar ini meliputi 2 buah bukit iaitu Bukit Perdayan yang berketinggian 1,225 kaki dan Bukit Patoi, 950 kaki. Sekiranya anda bercadang untuk meredah Hutan Simpan Peradayan ini, pastikan anda memakai pakaian yang sesuai, dan berhati-hati terutama sekali selepas hujan kerana perjalanan mungkin licin.

Walaupun perjalanan menuju ke kawasan puncak di kawasan hutan ini agak mencabar, namun ganjaran yang menanti anda sangatlah mengasyikkan. Anda dapat melihat keindahan hutan yang menghijau, air laut yang membiru dan kawasan perkampungan di Sarawak. Jangan lupa untuk mengabadikan pemandangan ini dengan kamera anda!

Alamat: Peradayan Forest Reserve, Brunei


1. Bandar Seri Begawan

Bandar Seri Begawan
Sumber: Cherdsak Wijitsangsri

Bandar Seri Begawan adalah ibu negeri bagi negara yang kaya dengan hasil minyaknya ini. Pada asalnya dikenali sebagai Bandar Brunei namun ditukar nama untuk memberi penghormatan kepada Sultan Brunei yang ke-28, Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Paduka Seri Begawan Sultan Haji Sir Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien III. Sekiranya anda menjejakkan kaki ke bandar gah ini anda dapat melihat pelbagai tarikan menarik terutamanya kilauan emas dari Masjid Omar Ali Saifuddien.

Alamat: Bandar Seri Begawan, Brunei


Siapa kata takde tempat menarik di Brunei? Macam-macam ada di dalam negara yang kecil ini. Jangan terkejut, banyak lagi sebenarnya yang tidak disenaraikan di dalam artikel ini. Ternyata Brunei tak kurang hebatnya dengan negara lain dari segi destinasi-destinasi menariknya. Sekiranya anda merancang untuk datang ke sini, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk mendapatkan tawaran-tawaran harga yang terbaik untuk penginapan anda sepanjang berada di sana.

Tunggu apa lagi? Bawa keluarga anda ke Brunei! Apa-apa pun, jangan tak balik ke negara asal pula kalau dah seronok tenggelam dalam kemewahan negara terkaya di dunia ini!



Related Posts