12 Tempat Menarik Di Bukit Fraser | Bercuti Bertemankan Awan

Secara umumnya, Bukit Fraser atau Fraser Hill, sudah lama menjadi destinasi pilihan buat mereka yang mahukan pengalaman percutian dingin tanpa perlu meninggalkan Negara. Terletak hanya 2 jam lebih sahaja masa memandu dari Ibu Kota, Bukit Fraser menampilkan pelbagai tarikan popular dan aktiviti menarik yang bakal menghibur anda sekeluarga. Jika anda tertarik untuk melihat keindahan yang menanti mereka yang sudi mengunjung bukit ini, kami telah senaraikan 12 tempat menarik di Bukit Fraser untuk tatapan anda.

12. The Paddock Fraser Hill

The Paddock Fraser Hill
Sumber: Noi Aziz

Antara pengalaman yang pasti tercatat di senarai “perlu buat” dalam hayat anda adalah pengalaman menunggang kuda bukan? Anda boleh memenuhi hajat anda di The Paddock Fraser Hill.

The Paddock merupakan sebuah pusat ekuestrian yang dibuka dengan tujuan memberi peluang kepada mereka yang hendak menjinakkan diri dengan aktiviti berkuda. Tertelak di Valley Road sebelum bulatan Glen Banglo, di sini anda dapat menunggang kuda dalam suasana terkawal dibawah pengawasan jurulatih yang bertauliah.

Berbeza dengan pusat belajar menunggang yang lain, kuda yang digunakan di pusat ini merupakan kuda lumba yang sudah bersara. Oleh itu secara tidak langsung dengan adanya ladang ini kuda-kuda tersebut diberi peluang kedua meneruskan kehidupanya dengan aman.

Jika menunggang kuda bukan sesuatu yang menarik minat anda tidak mengapa, kerana tempat ini juga menyediakan aktiviti lain seperti memanah. Tambahan pula, The Paddock ini juga menempatkan sebuah kawasan rehat yang dihias pokok-pokok conifer ideal untuk mereka yang mencari tempat sunyi untuk melapangkan fikiran.


11. Bird Interpretive Centre

bird interpretive centre fraser hill

Jika anda datang bercuti ke Bukit Fraser bersama keluarga, pastikan anda sertakan Bird Interpretive Centre Bukit Fraser di dalam agenda aktiviti harian anda disana nanti. Pusat Burung ini merupakan sebuah tarikan mesra kanak-kanak dimana anda sekeluarga boleh mengenali spesis-spesis burung bermigrasi tempatan. Disini terdapat sebanyak 250 spesis burung yang dipamerkan antaranya burung Enggang, Merpati, Helang dan pelbagai spesis endemik yang lain.

Selain itu, anda dapat mempelajari bagaimana burung berhijrah untuk melarikan diri dari iklim sejuk untuk mencari sumber makanan baru. Tarikan ini sememangnya destinasi kegemeran pemerhati burung tempatan yang datang bercuti ke Bukit Fraser. Jika berminat anda boleh menjumpai Pusat Burung ini bertentangan dengan Hotel Puncak Inn yang bertempat ditengah-tengah bandar Fraser Hill.


10. Allen’s Water

Allen's Water Bukit Fraser
Sumber: Bluey Fetes

Tarikan yang sudah lama membuka pintunya untuk pelancong yang datang ke Bukit Fraser adalah Allen’s Water. Di sini terdapat sebuah kolam kecil yang ditukar menjadi taman rekreasi. Anda berpeluang menyewa bot berkayuh bersama orang kesayangan sambil menikmati suasana kolam yang indah. Menghiasai kolam tersebut adalah pokok-pokok hijau yang menambah kepada keamanan semulajadi kawasan tersebut.

Selain daripada itu, pokok-pokok hijau yang menghiasi kolam, bunyi burung berkicauan dan tupai-tupai bermain diantara pohon melahirkan sebuah suasana yang pasti terukir di memori.

Di samping itu, dimana ada air disitulah ada ikan, dan bertempat di gazebo besar pintu gerbang Allen’s Water ini anda dapat berteduh dari matahari sambil memberi makan kepada ikan-ikan koi beraneka warna.


9. Twin Peak Pine Tree Hill

Twin Peak Pine Tree Hill
Sumber: Travel Tricks

Jika anda seorang yang memburu aktiviti luaran yang lasak dan mencabar, Puncak Kembar Pine Tree Hill menanti ketibaan anda. Pine Tree Hill Bukit Fraser ini merupakan destinasi popular penggemar aktiviti hiking tempatan dan ia mempunyai ketinggian kira-kira 1500 meter. Antara sebab Twin Peak ini sungguh popular adalah kerana anda boleh mendaki ke puncak dan turun semula dalam hari yang sama, menjadikannya amat sesuai untuk mereka yang merancang hiking daytrip ke Bukit Fraser.


8. Kompleks Sukan Bukit Fraser

Kompleks Sukan Bukit Fraser
Sumber: Chris Burney

Berkongsi bangunan dengan pusat burung Bukit Fraser, Kompleks Sukan Fraser Hill adalah sebuah pusat kecergasan yang menampilkan pelbagai aktiviti sukan seperti skuasy, ping-pong dan snooker. Tambahan pula anda juga dapat menggunakan kemudahan seperti gym dan sauana. Terletak dihadapan pusat sukan ini pula adalah sebuah taman bunga kecil yang merupakan antara tempat paling popular untuk bergambar di Fraser Hill.


7. Kelab Golf Diraja Bukit Fraser

Kelab Golf Diraja Bukit Fraser
Sumber: EZ2Travel

Nak tahu bagaimana rasanya bermain golf 1524 meter dari aras laut? Ketahui jawapannya di Royal Fraser’s Hill Golf Club. Antara padang golf terawal dibuka di negara kita, Kelab Golf Diraja Bukit Fraser ini menampilkan 9 lubang dan walaupun saisnya yang kecil berbanding padang golf lain, ia tetap menawarkan cabaran mantap kepada sesiapa sahaja yang sudi menyahut cabaranya. Untuk pengetahuan anda, perkhidmatan buggy tidak disediakan di padang ini dan anda perlu berjalan untuk melawat setiap lubang.

Jika berminat anda boleh ke kaunter penerimaan tetamu yang terletak didalam Kompleks Sukan Bukit Fraser. Setelah sehari suntuk memukul bola, anda boleh berbincang bersama rakan sepejuangan di café berdekatan sambil menghirup secawan kopi panas.


6. Air Terjun Jeriau

Air Terjun Jeriau
Sumber: Diari Si Ketam Batu

Mahu bermain air bersama anak-anak anda di sebuah air terjun terkenal di Bukit Fraser? Singgah sebentar dan basahkan kaki anda di Air Terjun Jeriau. Seperti mana yang dapat dilihat air yang jatuh daripada atas ini ditahan oleh empangan simen kecil yang membentuk sebuah kolam renang cetek dimana anda boleh berendam sambil menikmati air sejuk yang datang dari sumber semulajadi ini.

Menyusuri sungai kecil yang menghala ke air terjun tersebut anda akan melalui tempat rehat berbangku, taman permainan kanak-kanak dan kawasan berkelah. Tambahan pula, terdapat beberapa tempat berteduh dimana anda dapat membentangkan tikar dan berkelah sambil menjamu selera ditepi air terjun tersebut. Mengikut nasihat penduduk tempatan, cuba elakkan daripada melawat air terjun ini pada hari hujan kerana airnya bertukar menjadi keruh.


5. Taman Flora Bukit Fraser

Taman Flora Bukit Fraser
Sumber: Ken Chin

Taman Flora Bukit Fraser ini merupakan rahsia indah dan tidak ramai tahu tetang kuwujudannya. Walaupun ia membawa gelaran taman flora, selain daripada melihat pelbagai jenis bunga yang menarik, pelawat juga berpeluang melihat tumbuhan lain seperti pokok strawberi dan sayur-sayuran tempatan. Di samping itu, anda juga dapat membeli tumbuhan segar hasil tanaman kebun tersebut jika berminat.


4. Taman Rekreasi Bukit Fraser

Taman Rekreasi Bukit Fraser
Sumber: Diari Si Ketam Batu

Tarikan percuma seterusnya adalah Taman Rekreasi Buskit Fraser, sebuah taman awam yang bertempat di Pine Tree Road. Taman yang disusun kemas ini diahiasi pelbagai jenis bunga yang menawan.

Disini anak-anak kecil dapat ketawa riang sambil bermain gelongsor dan buaian yang terdapat di taman permainan kanak-kanak terbuka ini. Anda pula dapat memerhati gelagat lucu anak anda sambil merehatkan diri dibangku rehat berdekatan. Tambahan pula, dengan bayaran kecil anda sekeluarga dapat bermain di mini golf course yang terletak didalam kawasan taman tersebut.

Harga Mini Golf: Dewasa RM8 | Kanak-kanak RM6 | Untuk 15 minit


3. Hemmant Trail Fraser Hill

hemmant trail bukit fraser
Sumber: Curious Cat Network

Tarikan seterusnya bakal menjentik minat kaki hiking. Berbanding dengan Twin Peak, Hemmant Trail Fraser ini mudah kerana ia tidak curam dan hanya mempunyai jarak sejauh 1 kilometer sahaja. Hemmant Trail Fraser ini boleh dijumpai bertentangan dengan Abu Suradi Trail. Tarikan ini mendapat namanya dari jurutera yang bertanggung jawab membina Fraser Hill Golf Course Frank Hemmant.

Pengembaraan ini membawa anda melalui hutan yang mengelilingi kelab golf tersebut dan pada fasa akhir anda akan meretasi kawasan yang berlecak. Oleh itu, pastikan anda memakai sarung kaki yang panjang serta membawa sedikit garam kerena kawasan ini juga terkenal sebagai tempat kediaman pacat.


2. Restoran Strawberi Mimi

Restoran Mimi Strawberry
Sumber: Restoran Strawberri Mimi

Tidak lengkap jika kami tidak sertakan sekurang-kurangnya satu tempat makan best di Bukit Fraser bukan? Untuk pengetahuan anda Restoran Strawberi Mimi ini sudah lama berjasa mengisi perut-perut lapar yang datang melawat Fraser Hill ini, penduduk tempatan juga menjadkan restoran ini tempat makan kegemaran mereka.  Anda boleh menemui restoran ini dideret rumah kedai yang terletak di kawasan kompleks sukan.

Anda dapat menjamu selera dengan pelbagai hidangan yang mengiurkan antaranya Tom Yam, Sup Tulang, Goreng-goreng, Banjo dan bermacam lagi. Di samping itu, restoran ini juga terkenal dengan minuman Ice Blended dan Milk Shake Strawberrinya yang lazat.


1. Menara Jam Bukit Fraser

jam-menara-bukit-fraser
Sumber: Pranit Singh

Kami mengakhiri senarai ini dengan sebuah mercu tanda yang telah menjadi sinonim dengan tempat ini iaitu Jam Menara Bukit Fraser. Jam yang terpacak ditengah-tengah pekan Fraser Hill ini seolah-olah menyambut ketibaan anda. Sama seperti mana setiap gunung mempunyai puncaknya, bergembiralah apabila anda dapat melihat menara jam ini kerana ia bermaksud anda sudahpun tiba ke destinasi. Ini salah satu tempat wajib bergambar semasa berada di Bukit Fraser nanti.

Setelah habis membaca ulasan diatas jelas  bahawa Bukit Fraser dapat menawarkan pengalaman bercuti setanding dengan destinasi percutian dingin tempatan seperti Bukit Tinggi atau Genting Highland.

Jika anda sedang merancang percutian ke Bukit Fraser dan ingin melihat pilihan penginapan yang terdapat sini anda boleh melihat laman web Booking.com untuk mendapat tawaran penginapan terkini. Kami harap ulasan kami bermanfaat dan dapat memberi anda sedikit gambaran mengenai tempat-tempat menarik di Bukit Fraser yang bakal menanti anda disana. Semoga anda selamat bercuti dan pulang membawa memori manis bersama keluarga.



Related Posts