13 Tempat Menarik Di Cherating Untuk Percutian Pantai Yang Seronok

Perkampungan nelayan, Cherating, yang terletak nun di pantai timur Semenanjung Malaysia adalah sebuah pusat peranginan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Lokasinya yang terletak berhampiran dengan sempadan negeri Terengganu juga menjadi salah satu faktor yang menarik ramai orang untuk ke sini.

Mana tak syoknya, dapat bercuti ke dua-dua negeri serentak. Dengar macam best, tapi sudahkah anda tahu kemana nak dituju kalau dah sampai ke sini? Untuk mengelakkan anda daripada mati akal ke mana nak pergi di Cherating nanti, dalam artikel kali ini, kami senaraikan 15 tempat menarik di sekitar Cherating yang mesti anda lawati, kalau tak, apalah maknanya percutian anda ke sini. Jom lihat 13 tempat menarik di Cherating.

13. Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating

Pusat Penerangan Dan Sanctuari Penyu Cherating
Sumber: Shane Khow

Bagi anda yang bercuti ke Cherating dengan kanak-kanak, jangan lupa untuk ke Santuari Penyu Cherating, mesti mereka excited punyalah untuk tengok penyu-penyu yang comel ni!

Santuari Penyu Cherating ini tidaklah besar mana, tak sampai 20 minit anda dah habis tengok semuanya, jadi, apa salahnya kan singgah sekejap sebelum ke tempat-tempat lain di Cherating. Banyak info berkaitan haiwan ini yang boleh anda sekeluarga dapati di dalam galeri penerangan, di bahagian luar bangunan santuari ini pula anda boleh mendekati penyu-penyu ini yang diletakkan di dalam kolam. Paling best kalau anda datang ke sini pada waktu anak-anak penyu baru menetas.

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9.30am – 4.30pm)

Bayaran: Percuma

Alamat: KM 45, Jalan Kuantan – Kemaman, 26080 Kuantan


Baca: 35 Tempat Menarik Di Kuala Terengganu

12. Pantai Teluk Mak Nik

Pantai Teluk Mak Nik Cherating
Sumber: Eliljoothy

Jangan tak tahu, Pantai Teluk Mak Nik ini ada juga nama mat salehnya iaitu Monica Bay. Di sekitar pantai ini anda boleh bersantai bersama keluarga di pondok-pondok yang disediakan untuk menikmati pemandangan. Dari pantai ini, anda dapat melihat bot-bot yang berlabuh di Kemaman Supply Base nun jauh di sana. Untuk pengetahuan anda juga, dekat pantai ini terdapat litar motorcross untuk perlumbaan dan latihan. Kalau bernasib baik, dapatlah anda lihat orang berlumba motorcross di sini. Bukan main lagi Mak Nik ni!

Alamat: Teluk Mak Nik | Geliga Kemaman, Cukai 24000


11. Zoo Kemaman & Taman Rekreasi

Kemaman Zoo
Sumber: Kemaman Viral

Hanya 15 km dari Pantai Cherating terletaknya Zoo Kemaman & Taman Rekreasi yang berkeluasan 35 ekar, menggabungkan taman, kebun buah-buahan, taman herba, bonsai, taman tema air dan zoo mini. Pada bahagian zoo mini, anda sekeluarga dapat melihat di depan mata 54 spesies haiwan eksotik seperti harimau, singa, orang utan, gajah, dan banyak lagi. Punyalah banyak tarikan dalam satu kawasan yang sama, apa yang anda fikir lagi? Serbu je tempat ni kalau dah sampai ke Kemaman nanti!

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran:  Zoo Kemaman: Dewasa RM10 | Kanak-kanak 5-12 Tahun RM7 | Kolam Renang: RM5

Alamat: Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, 24000 Kemaman, Terengganu


10. Sungai Yah-Yah

Sungai Yak Yah Cherating
Sumber: Martin Lee

Teringin nak tahu bagaimana rasanya kalau bintang ada di sekeliling dan bukan di atas awan? Kalau macam tu, jom ke Sungai Yah-Yah, di sinilah anda dapat melihat habitat kelip-kelip yang terbesar di Malaysia! Cahaya ‘bintang’ dari kelip-kelip tak kurang hebatnya, sungguh mempesonakan.

Kalau anda nak rasai pengalaman ini, bila waktu dah mulai gelap, anda sewa bot yang terdapat di jeti Sungai Yah-Yah. Waktu terbaik untuk melihat cahaya kelip-kelip ini adalah dari bulan Julai hingga Oktober sebab pada waktu ini kelip-kelip membiak dengan banyak sekali. Bayangkanlah pemandangannya pada waktu ini, satu keindahan yang sukar untuk dilupakan. Bukan selalu dapat naik bot, dikelilingi gemerlapan cahaya kelip-kelip pula tu, macam di alam fantasi!

Alamat: Sungai Yah Yah


9. Restoran Masakan Ibu

Restoran Masakan Ibu Cherating
Sumber: Saa Azahri

Siapa tak suka masakan ibu sendiri kan? Bagi sesiapa yang jauh dari ibu tersayang, apa kata kalau singgah ke Restoran Masakan Ibu,  memang sedap menjilat jari baq hang! Harga pun tak mencekik darah. Antara masakan yang anda sekeluarga boleh cuba di sini adalah ayam panggang, gulai kawah, ayam percik dan macam-macam lagilah! Sedap-sedap menunya.

Alamat:  Kampong Cherating, Pahang


8. Sungai Cherating

Sungai Cherating
Sumber: Bella Idura

Selain Sungai Yah-Yah, untuk melihat gemerlapan cahaya kelip-kelip, anda juga boleh singgah ke Sungai Cherating. Apa salahnya pergi ke dua-dua tempat kan, dapatlah anda sekeluarga menikmati ‘pelayaran’ magikal di malam hari bukan sekali tapi dua kali. Untuk menikmati keindahan cahaya semula jadi di Sungai Cherating ini, anda boleh mendapatkan pakej ini dari banyak hotel berdekatan.

Alamat: Sungai Cherating, Balok, Pahang


7. Limbong Art

Limbong Art Cherating
Sumber: Limbong Art Cherating

Mari kita belajar macam mana corak batik dihasilkan. Lawatan ke Limbong Art ini sangat bermanfaat untuk kanak-kanak lebih mengenali fabrik kebanggaan negara supaya tak mati ditelan dek zaman.

Anda sekeluarga berpeluang mencanting batik sendiri, sebelum itu, anda perlu membeli dulu kain kosong yang ada di sini dalam bermacam saiz. Sekiranya anda nak mencanting puas-puas, belilah yang besar sikit,  kalau cun, bolehlah dijadikan hiasan rumah. Selain daripada batik, anda boleh juga melihat pelbagai lagi produk kraftangan lain yang dijual di sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)

Alamat: Kampung Cherating Lama, 26080 Balok, Pahang


Baca: 10 Tempat Menarik Di Bukit Tinggi Pahang

6. Pulau Ular

Pulau Ular Cherating
Sumber: Erya By Suria

Nak rasai pengalaman bersnorkelling? Mari beramai-ramai bergerak ke Pulau Ular. Untuk aktiviti bersnorkelling di sini, pastikan anda bertolak awal sebelum pukul 12 tengahari, kerana selepas sahaja pukul 12, ombak mula bergelora, terpaksalah anda lupakan niat snorkelling tu, tak ke sedih. Tambahan lagi untuk ke Pulau Ular, perjalanan menaiki bot memakan masa sekitar 35 minit. Oleh itu, mulakan pagi anda sekeluarga dengan awal ya!

Alamat: Pulau Ular, Cherating, Kuantan


5. Kedai Kopi Hai Peng

Kedai Kopi Hai Peng
Sumber: Yew Siang

Apa kata kalau anda sekeluarga memulakan hari yang indah dengan menikmati juadah di kedai klasik Kedai Kopi Hai Peng? Kenapa kedai klasik? Jangan terkejut, kopitiam yang terletak di bandar Kemaman ini telah wujud sejak tahun 1940-an lagi. Antara makanan yang dihidangkan di kedai antik ini adalah roti bakar mentega dan kaya, nasi lemak, ice-blended dan macam-macam lagi! Nasi dagang pun ada! Semuanya cukup menyelerakan.

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (6.00am – 7.00pm)

Alamat: K-3753, Jalan Sulaimani,Chukai,Kemaman, 24000


4. Club Med Cherating

Club Med Cherating
Sumber: Club Med Cherating Beach

Terletak di pesisir Laut China Selatan dan dikelilingi hutan hijau adalah tempat penginapan Club Med Cherating. Atmosfera resort tepi pantai ini cukup menyegarkan, jauh dari sebarang pencemaran atau keriuhan kota. Lokasinya yang istimewa di tengah-tengah alam semula jadi ini menjadikan ia tempat yang sangat best untuk anda sekeluarga menginap kerana banyak sekali aktiviti yang ditawarkan resort ini untuk membuatkan percutian anda dan keluarga tercinta lebih gempak.

Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini adalah menyertai kelas memanah, melakukan aktiviti lasak treetop adventure, rock climbing, belajar berlayar, yoga, berkayak dan banyak lagi! Semuanya menyeronokkan dan banyak yang mampu memacu adrenalin anda ke langit ketujuh.

Alamat: Batu 29 miles Jalan Kuantan, Jalan Kuantan Sungai Lembing, 26080 Kuantan


3. Pasar Segar Kemaman

Pasar Ikan Kuala Kemaman
Sumber: Kuala Kemaman

Nak berbbq tepi pantai ataupun anda menginap di tempat yang boleh memasak? Jangan lupa untuk menyinggah ke Pasar Segar Kemaman. Di sini, anda boleh memilih dari pelbagai jenis hasil laut yang segar-segar dengan harga yang sukar dipercayai murahnya kalau dibezakan dengan pasar yang lain. Tak ada sebab untuk tak ke sini kalau bercuti di Cherating. Siapa tak nak makan makanan yang segar-segar, lepak pula di tepi Pantai Cherating sambil menikmati bayu laut, memang heaven!

Waktu Operasi: Setiap Hari Selepas Pukul 3.00pm

Alamat: Pasar Ikan Kuala Kemaman, Kampong Kemaman, Terengganu


2. Mangrove Tour

Hafiz Mangrove Tour Cherating
Sumber: Hafiz’s Cherating Activities

Pada waktu malam, Sungai Cherating terkenal dengan aktiviti melihat cahaya indah kelip-kelip, tapi pada waktu siang pula anda dapat boleh melihat keindahan kawasan bakau sungai ini dengan lebih jelas. Keindahan hidupan liar dan pokok-pokok paya bakau di sini sangat mengujakan. Satu pengalaman yang sangat berharga untuk anda sekeluarga nikmati. Kalau anda tertarik untuk melihat keindahan alam semula jadi ini, anda boleh sertai pelayaran dengan bot di bawah Hafiz River Mangrove Cruise. Setiap saat anda di atas bot ini pasti tidak dapat dilupakan.

Waktu Lawatan (Hafiz River Mangrove Cruise): Mangrove Cruise Pertama (9.00am) | Kedua (4.00pm) | Durasi 1 1/2 Jam

Bayaran (Hafiz River Mangrove Cruise): Dewasa RM35 | Kanak-kanak Bawah 11 Tahun RM25

Alamat: Sungai Cherating, Balok, Pahang


1. Pantai Cherating

Pantai Cherating
Sumber: Piccer Studio

Inilah dia destinasi paling terkenal di Cherating. Berdekatan dengan pantai ini terdapat banyak chalet-chalet yang agak instagrammable. Syok juga tinggal di chalet ni kalau berada di Cherating sebab tak akan ada sesaat pun anda akan buang dengan perkara membosankan sebab sangat banyak aktiviti air menarik yang boleh dilakukan. Nak belajar surfing? Berkayak? Dan macam-macam lagi, semuanya boleh diatur di sini.

Alamat: Pantai Cherating, 26080, Pahang

Itulah antaranya destinasi menarik yang boleh anda temui di Cherating. Percutian yang santai dan cukup sesuai untuk anda yang ingin berjimat kerana tarikan-tarikan yang ada di sini kebanyakannya tidak menelan belanja yang banyak, tambahan lagi kebanyakan tarikannya melibatkan alam semula jadi.

Tak ada sebab untuk tidak bercuti ke sini pada musim cuti kerana di sinilah anda dapat menenangkan fikiran dari kekacauan kota dan bersatu dengan keindahan alam. Sebelum anda sekeluarga bergerak ke Cherating, jangan lupa layari booking.com untuk mendapatkan tempat penginapan yang best dengan harga yang terbaik.

Tempat menginap dah jumpa, destinasi untuk dilawati pun dah tahu, jangan buang masa lagi, masa yang berlalu tak akan kembali, jangan biarkan kebosanan menguasai diri, moh cepat bergerak ke Cherating untuk percutian yang gerenti happening!

Baca: 18 Tempat Glamping Menarik Di Malaysia



Related Posts