22 Tempat Menarik Di Ipoh | Percutian Bandar Penuh Nostalgia

Ipoh, sebuah bandaraya yang terkenal dengan penangan white coffeenya yang memang ‘kaw’! Siapa sangka sebuah kawasan yang pernah mengalami peristiwa hitam pada tahun 1892 ini di mana kebakaran yang sangat besar pernah berlaku mampu membangun menjadi sebuah bandar yang bukan sahaja terkenal di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Untuk pengetahuan anda, Ipoh pernah disenaraikan di dalam laman web pelancongan antarabangsa, Lonely Planet, sebagai satu-satunya destinasi pelancongan di Malaysia yang terbaik pada tahun 2016.

Pembangunan pesat bandar Ipoh dengan pusat-pusat pelancongan, kafe-kafe dan lain-lain lagi yang tumbuh bak cendawan selepas hujan menjadikan bandar ini destinasi yang wajib dilawati.  Salah satu sebab mengapa Ipoh menjadi lokasi pilihan kepada ramai para pelancong adalah kerana kemampuannya untuk mengekalkan dan memelihara warisan klasik tanpa dimakan dek peredaran zaman yang menghauskan perubahan. Banyak bangunan-bangunan klasik yang masih terpelihara dengan baik di luaran tetapi fungsi dalamannya diubah untuk mengikut keperluan semasa atau lebih tepat lagi mengikut selera anak-anak muda yang tinggal di Ipoh. Sebab ini jugalah Ipoh digelar sebagai bandar hipster Malaysia! Memang lain dari yang lain.

Bukan itu sahaja, Ipoh turut kaya dengan keindahan alam semulajadinya yang memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Tersendiri bagaimana? Kalau anda nak tahu, teruskan membaca senarai 22 tempat menarik di Ipoh.

22. Lost World of Tambun

Lost Word Of Tambun
Sumber: Lost World of Tambun

Taman tema Lost World of Tambun ini secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu dry park dan wet park. Di dry park anda boleh meningkatkan adrenalin dengan menaiki roller coaster yang juga sesuai untuk kanak-kanak, juga terdapat  rumah hantu jika anda inginkan sedikit thrill. Di samping itu, anda boleh melawat Petting Zoo yang menempatkan pelbagai jenis haiwan seperti arnab, rakun, ular, zirafah, harimau dan bermacam lagi. Terdapat juga aktiviti-aktiviti lasak seperti berakit, merentas hutan, meneroka gua, mendaki gunung dan banyak lagi.

Di wet park  terdapat Jungle Wave Pool yang memiliki kolam berombak yang terbesar di Malaysia, Adventure River pula adalah di mana anda dapat mengelilingi sungai buatan yang agak panjang dengan menaiki pelampung. Aktiviti-aktiviti lain di wet park ini adalah seperti Sandy Bay, Kids Explorabay, Cliff Racer dan Tube Raiders.

Aktiviti-aktiviti ini mungkin kedengaran agak lasak, namun jangan risau, permainan-permainan ini dibahagikan mengikut kesesuaian umur dan kemampuan pengunjung, jadi datanglah bersama ahli keluarga anda ke sini untuk memberikan mereka pengalaman yang tidak akan dilupakan!

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat kecuali Khamis (11.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Umum (10.00am – 6.00pm) | Khamis (Tutup)

Telefon: +605 5428888

Lokasi: No.1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh


21. Gua Kek Look Tong & Zen Garden

Gua-Kek-Look-Tong-dan-Zen-Garden
Sumber: Delson Moo

Terletak berdekatan dengan Gunung Rapat dan 5 km dari bandaraya Ipoh adalah sebuah gua batu kapur yang besar digelar Gua Kek Look Tong. Pada tahun 1960, gua ini dijadikan tapak perlombongan besi. Kini, ia merupakan tokong Buddha yang telah memenangi pelbagai anugerah kerana keindahan lanskap taman yang ada disebalik gua ini. Siapa menyangka akan diraikan dengan pemandangan yang sebegitu indah sebaik sahaja keluar daripada terowong gua ini?

Sebaik sahaja anda sampai ke taman ini, anda akan dapat mendengar keriuhan burung-burung dan angsa yang dipelihara di sini. Yang lebih menarik lagi, anda boleh beriadah di sini kerana terdapat jalan yang disediakan untuk berjogging mengelilingi dua tasik yang indah. Taman ini juga memiliki salah satu daripada laluan refleksologi pejalan kaki yang terpanjang di Ipoh.

Waktu yang terbaik untuk anda melawat gua dan taman ini adalah pada waktu pagi supaya anda dapat menikmati keindahan taman ini di samping udara yang menyegarkan.

Waktu Operasi: Setiap hari termasuk hari cuti umum (7.00am – 6.00pm)

Telefon: +605-312-81129

Lokasi: Kek Look Tong, Gunung Rapat, Ipoh


20. Art of Old Town

Art Of Old Town Ipoh
Sumber: Julius Allan Rondilla

Art of Old Town persis namanya merupakan sebuah destinasi yang dihiasi dengan ilustari-ilustrasi kreatif pada dinding-dinding bangunan di sini. Ilustrasi-ilustrasi ini telah dihasilkan oleh Ernest Zacharevic, seorang seniman yang menerima pengiktirafan dunia atas lukisan-lukisan mural yang beliau hasilkan di sini. Beliau juga turut terlibat dalam penghasilan seni jalanan di New York.

Mural dinding yang terdapat di sini diinspirasikan daripada budaya masyarakat Ipoh. Masa yang diambil untuk melihat keseluruhan Art of Old Town ini adalah lebih kurang 30 minit. Anda perlu berjalan sekitar Market Street, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Padang, Jalan Bijeh Timah dan Concubine Lane 3. Jangan lupa membawa kamera anda sekali untuk mengabadikan diri anda dengan karya-karya kreatif ini.


19. Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang
Sumber: Cuti Kat Mana

Terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Kuala Kangsar adalah sebuah taman rekreasi yang dikelilingi pemandangan alam semulajadi. Sebelum tiba ke taman rekreasi ini, anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda menyeberangi tasik ditemani dengan lanskap indah  bukit batu kapur.

Setibanya di taman rekreasi ini, anda akan dapat melihat air terjun buatan manusia di atas bukit batu kapur. Untuk anda yang membawa anak pula, taman rekreasi ini turut dilengkapi dengan taman permainan dan juga mini zoo. Selepas berjalan-jalan anda boleh menaiki menara tinjau untuk menikmati keindahan taman sepuas-puasnya sebelum pulang.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (8.00am – 12.00pm/1.30pm – 7.00pm) | Jumaat (8.00am – 12.00pm/2.45pm – 4.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (8.00am – 6.30pm)

Bayaran Bot: Dewasa RM3 | Kanak-kanak 3 – 12 tahun RM1.50 | Warga emas 55 tahun ke atas RM1.50

Telefon:  +605-5063088

Lokasi: Taman Rekreasi Gunung Lang Off Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh


18. Fantasy House Trick Art

Funtasy-House
Sumber: Sherry Cfyau

Rumah yang dipenuh dengan ilusi optikal dan magikal ini dibuka pada tahun 2015. Masa yang diambil dalam proses menyiapkan semua lukisan-lukisan ini adalah dalam sekitar empat bulan. Terdapat lapan orang pelukis yang terlibat dalam projek ini.

Fantasy House Trick Art memiliki empat bahagian yang berbeza antara satu sama lain dari segi tema mereka. Pertama adalah galeri yang memaparkan bandaraya Ipoh, yang kedua adalah bahagian rumah terbalik ataupun upside-down house, yang ketiga adalah dunia fantasi dan yang terakhir sekali bertemakan Bilik Penderaan.

Pasti anda pernah melihat bukan gambar-gambar pengunjung yang pernah datang ke tempat ini? Amat menarik. Anda juga akan dapat pulang dengan foto-foto yang pasti akan menjadi kerana kakitangan-kakitangan di sini akan membantu anda mendapatkan gambar yang sempurna secara percuma.

Bayaran Masuk: Dewasa dengan MyKad RM15 | Dewasa tanpa MyKad RM19 | Pelajar dengan kad pelajar RM10 | Warga emas 60 tahun dan ke atas RM10 | Kanak-kanak RM10 | Pemegang kad OKU Percuma

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.00am – 8.00pm)

Telefon: +605 2550 007

Lokasi: Funtasy House Trick Art 16, Jalan Market, 30000 Ipoh


17. Ipoh Railway Station

Ipoh Railway Station
Sumber: Hifive Travel

Pembinaan Stesen Keretapi Ipoh dimulakan pada tahun 1914 dan dapat disiapkan pada tahun 1917 akibat Perang Dunia Pertama yang mengakibatkan masalah bahan dan kos binaan. Bangunan yang turut diberi gelaran Taj Mahal Ipoh ini telah direka bentuk oleh seorang arkitek British bernama AB Hubback yang juga merupakan arkitek bagi Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Rekabentuk bangunan ini tidak diubah sama sekali sehingga ke hari ini, yang dilakukan hanyalah pengubahsuaian dalaman bangunan ini pada tahun 1993.

Stesen keretapi ini sangat indah bukan hanya kerana seni binanya, malahan, ia dikelilingi oleh tumbuhan bunga-bungaan tempatan yang berwarna-warni. Kecantikan lokasi ini telah menarik perhatian Hollywood untuk merakamkan filem Anna and the King lakonan Jodie Foster di sini. Untuk penginapan pula, Majestic Hotel turut berkongsi bangunan dengan stesen keretapi ini.

Lokasi: Ipoh Railway Station, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh


16. Han Chin Pet So

Han Chin Pet So
Sumber: Shareen Choong

Han Chin Pet So merupakan sebuah rumah agam yang dijadikan muzium sejarah pelombong-pelombong bijih timah berbangsa Hakka. Pada mulanya ia dijadikan tempat ekslusif untuk ahli kelab pelombong Hakka pada tahun 1893. Walau bagaimanapun, tempahan waktu untuk kemasukan ke dalam muzium ini perlulah dibuat seawal yang mungkin iaitu sekurang-kurangnya 30 hari sebelum membuat lawatan.

Bayaran Masuk: Percuma

Telefon: +605 2414541

Lokasi: No. 3, Jalan Bijeh Timah (Treacher Street), 30100 Ipoh


15. Muzium Ho Yan Hor

Ho Yan Hor
Sumber: Ho Yan Hor Museum

Muzium ini merupakan rumah peninggalan Dr. Ho Yan Hor yang merupakan seorang usahawan teh herba yang disegani di Ipoh. Muzium ini berada di tangga yang ketiga daripada 62 perkara yang boleh dilakukan di Ipoh berdasarkan laman web Trip Advisor. Ramai pengunjung yang pernah datang ke sini merasakan bahawa muzium ini sangat memberi inspirasi. Anda dapat mempelajari tentang proses pembuatan teh herba dan cara perniagaan pada zaman dahulu.

Di sini, anda akan dapat mengetahui banyak info tentang sejarah Ipoh dan Ho Yan Hor daripada tahun 1940-an sehingga masa kini yang mana syarikatnya telah berkembang sebagai syarikat farmaseutikal bergelar Hovid Bhd, berperingkat global dengan lebih daripada 400 produk dan telah menjalankan aktiviti eksport ke lebih daripada 50 negara.

Di muzium ini anda akan dapat melihat sudut informasi atau storyboards, video dokumentari, pameran barangan antik dan bar teh di mana anda dapat menikmati teh Ho Yan Hor.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (10.00am – 4.00pm)

Lokasi: No. 1, Jalan Bijeh Timah (Treacher Street), Ipoh


14. Qing Xin Ling Leisure and Cultural Village

Qing Xin Ling Leisure And Cutural Centre
Sumber: Gingxinling chalet Ipoh

Di Qing Xin Ling anda bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam semulajadinya, malahan, untuk anda yang sukakan fotografi terdapat banyak lokasi-lokasi yang berkonsep vintaj disediakan di sini. Anda dapat melihat barangan-barangan antik yang dipamerkan. Yang menariknya lagi, anda boleh mengelilingi kawasan Qing Xin Ling ini dengan menaiki basikal atau beca klasik yang disediakan, sudah pasti ini akan menjadi pengalaman yang sangat menyeronokkan.

Terdapat beberapa kolam ikan di sekitar kawasan ini yang mana anda boleh membeli sebungkus makanan ikan dengan harga RM1.00. Setelah itu, anda bolehlah berehat-rehat di pondok-pondok yang disediakan di sini untuk menikmati pemandangan indah kawasan ini dengan penuh ketenangan. Dinasihatkan untuk anda datang awal ke sini ketika waktu matahari berada di sebalik gunung.

Untuk anda yang sukakan aktiviti lasak, anda boleh menerokai kawasan ini dengan jungle trekking dan cuba mendaki bukit di sini. Tapi jangan lupa untuk membawa pakaian dan kasut yang sesuai ya dan berhati-hati kalau anda datang selepas hujan, kerana jalan dilalui boleh menjadi licin.

Penginapan turut disediakan di sini, terdapat beberapa rumah berwarna-warni yang disediakan di sini, harga juga berbeza-beza berdasarkan saiz rumah.

Bayaran Masuk: Dewasa RM6 | Kanak-kanak Percuma

Waktu Operasi: Setiap hari (10.00am – 5.30pm) | Cuti pada hari-hari tertentu

Lokasi: Qing Xin Ling Leisure & Culture Village, 22A Persiaran Pinggir Rapat 5A, Taman Saikat, 31350 Ipoh


13. Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam

Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam
Sumber: Food Hunter

Nama lain yang diberikan kepada taman rekreasi ini ialah Taman D.R. dan Coronation Park. Taman ini adalah taman yang tertua di Ipoh kerana ianya telah dibuka sejak tahun 1950-an lagi. Apabila anda menjejakkan kaki ke taman ini anda akan dapat melihat tasik buatan yang di dalamnya terdapat beberapa spesies ikan yang berbeza. Di samping itu, terdapat taman permainan kanak-kanak yang agak luas, tumbuhan-tumbuhan, tempat bermain roller skate serta arca-arca batuan. Anda boleh berehat-rehat di pondok-pondok yang disediakan sambil menikmati pemandangan.

Lokasi: Jalan Keliling Dalam, 30300 Ipoh


12. Taman Mini Jepun

Japanese Garden Ipoh
Sumber: Stray Sheep

Berada di dalam Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam ialah sebuah Taman Mini Jepun yang berkeluasan 1.2 hektar. Taman dalam taman, menarik bukan? Taman mini ini telah direka bentuk oleh pegawai lanskap Majlis Bandaraya Ipoh. Dalam penyediaan pelan taman ini, pegawai lanskap ini turut mendapatkan bantuan kepakaran daripada Majlis Bandaraya Fukuoka, Jepun. Taman ini telah dirasmikan dan dibuka pada 30 Jun 1995 oleh Datuk Bandar Ipoh pada masa itu, Tuan Haji Ahmad Salleh Haji Sarif bersama bekas Datuk Bandar, Dato Haji Umar Haji Abu  dan bendahari Majlis Bandaraya Fukuoka, Encik Watanabe.

Anda akan dapat merasakan suasana seperti berada di negara Jepun sebaik sahaja memasuki taman mini ini dengan pepohon buluh yang berada di pintu masuk dan taburan batu-batu kecil berwarna-warni di laluan pejalan kaki. Tumbuhan-tumbuhan yang telah dipilih untuk ditanam di taman ini juga bertujuan untuk melahirkan suasana seperti berada di Jepun seperti pokok pine dan willow.

Lokasi: Jalan Keliling Dalam, 30300 Ipoh


11. Gerbang Malam

Gerbang Malam
Sumber: Mycrib

Jika anda ingin membeli-belah, datanglah ke Gerbang Malam, pasar ini berkeluasan lebih kurang 1 km dan terletak di Jalan Tahwil Azhar, berdekatan dengan Ipoh Parade. Pasar ini berkonsepkan uptown di mana anda dapat melihat pelbagai jenis barangan dijual, memang rambang mata dibuatnya sebagai contoh pakaian, minyak wangi, beg, alat solek, kasut, cermin mata, cincin dan lain-lain. Jika anda sukakan karya kreatif, di sini juga terdepat gerai-gerai yang menjual tulisan khat, lukisan atas papan dan banyak lagi. Bagi anda yang inginkan penjimatan pula, banyak juga gerai-gerai bundle di sini.

Setelah penat berjalan, anda boleh mendapatkan urutan kaki dan refleksologi yang berada di sini. Kemudian, bolehlah sambung berjalan lagi sehinggalah anda menjumpai barang yang diingini.

Waktu Operasi: Setiap hari (8.00pm – 3.00am)

Lokasi: Jalan Tahwil Azhar (Pintu Gerbang Malam)


10. Pasar Karat Ipoh

Pasar-Karat-Ipoh
Sumber: Chew Seng Cheong Photography

Lagi satu destinasi untuk menipiskan poket anda adalah Pasar Karat Ipoh. Nama lain untuk pasar ini ialah Loken. Dulunya Pasar Karat ini terletak dekat dengan Bazar Lam Look King kerana itu Pasar Karat ni juga digelar Pasar Lam Looking, kedengaran seperti Loken bukan? Walaupun setelah bertukar ke lokasi lain, nama ini kekal sehingga sekarang.

Apa yang menariknya di sini adalah terdapat terlalu banyak barangan antik yang dijual, rambang mata dibuatnya. Semakin lama anda berjalan sekitar pasar ini, semakin susah untuk anda membuat pilihan. Contoh barangan yang dijual adalah gramofon, radio lama, cermin mata klasik, basikal vintaj yang turut beserta dengan geran dan lain-lain lagi. Pasar ini boleh dianggap sebagai syurga bagi pengumpul barangan antik.

Sama seperti pasar di Gerbang Malam, jika anda ingin membeli belah barangan bundle atau secondhand, banyak gerai sebegini di pasar ini. Bila anda sudah penat berjalan-jalan, yang mana saya yakin anda akan berasa penat kerana kawasan pasar ini agak panjang, lebih kurang 2 km, jangan risau kerana terdapat banyak gerai makanan yang boleh anda singgahi untuk mengisi perut yang lapar. Untuk penginapan pula, banyak hotel-hotel yang berada di sekitar kawasan ini.

Waktu Operasi: Ahad (7.00am – 1.00pm)

Lokasi: Jalan Horley (Gerbang Memory Lane)


9. Muzium Darul Ridzuan

Muzium Darul Ridzuan
Sumber: Katja Hasselkus

Bangunan yang telah pun berusia 100 tahun lebih ini telah dibina oleh seorang pelombong bijih timah yang berjaya, Foo Choong Kit. Selepas pembinaannya pada tahun 1926, bangunan yang mempunyai pengaruh Inggeris ini digunakan sebagai rumahnya sendiri. Kemudian pada tahun 1950, ia dijual kepada Kerajaan Perak dan digunakan sebagai pejabat Jabatan Kerja Raya dan pada tahun 1992, ianya dijadikan muzium.

Di Muzium Darul Ridzuan ini anda dapat mengenali sejarah Negeri Perak dengan lebih mendalam lagi seperti siapakah dan apakah yang telah dilakukan oleh Hugh Low, Swettenham, Clarke dan ramai lagi pemerintah British yang memainkan peranan yang besar dalam pembentukan negeri ini dan Tanah Melayu.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9.30am – 5.00pm) | Jumaat (9.30am – 12.15pm & 2.45pm – 5.00pm) | Hari Raya Puasa & Hari Raya Haji (Tutup)

Telefon: +605-2531437

Lokasi: Muzium Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh


8. Bulatan Sultan Idris Shah

Bulatan Sultan Idris Shah
Sumber: Kwok-Kuan Chan

Bulatan Sultan Idris Shah ini merupakan salah satu daripada kebanggaan Ipoh. Kemegahannya yang berada benar-benar di pintu masuk Bandaraya Ipoh menjadi lambang kemajuan negeri ini. Jika anda melawat kawasan ini pada waktu malam, anda akan berasa lebih teruja kerana bulatan ini dikelilingi oleh cahaya lampu yang penuh warna-warni serta pancutan air.


7. Gua Tempurung

Gua Tempurung
Sumber: Antony Wong

Gua ini terletak di Gopeng, Perak, perjalanan ke sini daripada bandaraya Ipoh adalah dalam 24 km. Gua Tempurung ini merupakan yang terbesar di Semenanjung Malaysia dengan kepanjangan lebih daripada 3 km. Terowong gua ini terbentuk di bawah gunung batu kapur iaitu Gunung Tempurung dan Gunung Gajah. Terdapat juga sungai yang mengalir di dalam gua ini dengan kepanjangan sebanyak lebih kurang 1.6 km. Gua ini terkenal dengan kecantikan pembentukan batu-batu stalagmit dan stalaktitnya.

Waktu Operasi: 9.00am – 4.00pm

Lokasi: Pusat Pelancongan Gua Tempurung, 31600 Gopeng


6. Kinta Riverfront

Kinta Riverfront
Sumber: TG / CC BY 2.0

Kinta Riverfront ialah satu destinasi yang agak menarik untuk dilawati pada waktu malam kerana terdapat cahaya lampu LED yang dipasang pada pokok-pokok di sepanjang laluan sungai Kinta ini. Konsepnya sama seperti I-City di Shah Alam. Lampu-lampu berwarna-warni yang menerangi kawasan ini memberikan suasana yang agak romantik dan mengujakan. Ia memang lokasi yang sempurna untuk anda bergambar dengan yang tersayang.

Waktu Operasi:  Setiap hari

Lokasi: Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh


5. Muzium Geologi Ipoh

Muzium Geologi
Sumber: Hazman Hashim

Sekiranya anda suka mempelajari sesuatu yang baru, lawatilah muzium ini. Ditubuhkan pada tahun 1957, Muzium Geologi Ipoh ini merupakan tempat yang penting untuk memberi didikan kepada masyarakat tentang geologi dan geosains di Malaysia.

Penyusunan muzium ini juga adalah sangat teratur mengikut kesesuaian informasi yang disampaikan, ibarat anda membuka buku teks yang bermula dengan pengenalan dan berakhir dengan konklusi. Muzium ini terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu dari A sehingga G. Anda akan mempelajari struktur geologi dan sejarah bumi serta bagaimana perlombongan mineral dilakukan. Di sini juga anda dapat melihat pameran pelbagai koleksi yang unik melibatkan batuan, batu permata, fosil dan mineral yang turut didatangkan dari luar negara. Tidak lupa juga pameran sampel-sampel bijih timah yang boleh ditemui di Lembah Kinta. Perjalanan anda di muzium ini akan ditutup dengan penceritaan tentang sumbangan geologi kepada manusia. Satu destinasi yang perlu anda lawati untuk menjadikan percutian anda lebih terisi lebih-lebih lagi untuk anak-anak yang mempunyai perasaan ingin tahu.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.00am – 12.30pm & 2.00pm – 4.30pm) | Jumaat (9.00am – 12.00pm & 3.00pm – 4.30pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (Tutup)

Telefon: +605-540 6000

Lokasi: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jalan Sultan Azlan Shah, 31400 Ipoh


4. Dataran MBI Food Court

Dataran MBI Food
Sumber: I Love Travelling

Datanglah ke dataran ini sekiranya anda ingin berjalan-jalan cari makan di sekitar Ipoh. Terdapat banyak pilihan gerai dengan pelbagai jenis makanan yang dijual di sini, boleh kenyang juga perut melihat pilihan yang terlalu banyak. Contoh makanan yang anda boleh temui di sini adalah nasi kerabu ayam dara, pattaya banjir, sate kambing, char kuew teow, nasi itik, sup tulang, nasi goreng daging pedas, nasi ayam dan banyak lagi. Untuk pengetahuan anda, gerai-gerai yang terpilih sahaja yang boleh dibuka di sini, ini bermakna besar kemungkinan untuk anda berpuas hati dengan apa sahaja yang anda makan di sini.


3. Taman Alam Kinta (Taman Burung)

Taman Alam Kinta
Sumber: Thomas See

Taman Alam Kinta menempatkan lebih daripada 150 spesies burung air. Dengan keluasan 900 hektar, taman ini memiliki populasi burung air yang lebih daripada 1000 ekor. Antara spesies yang boleh dijumpai di sini adalah burung panglim, wak-wak, raja udang, bangau, toing air dan banyak lagi.

Anda juga boleh menaiki menara pemerhati burung yang disediakan di taman ini untuk melihat habitat-habitat pelbagai jenis burung ini seluas pemandangan anda.

Telefon: +6012-5009400

Lokasi: Taman Alam Kinta, Kampung Pisang, Batu Gajah, Ipoh, Perak


2. Dataran Jam

Dataran Jam
Sumber: Alex Ngooi

Terletak di bahagian tengah Dataran Bandaraya Ipoh adalah sebuah menara jam yang agak tinggi dan unik sekali reka bentuknya. Untuk anda yang ingin mengisi perut yang lapar, di sekitar Dataran Jam ini anda dapat melihat banyak gerai makanan yang dibuka. Dinasihatkan supaya anda datang ke kawasan gerai ini sekitar pukul 6 petang kerana agak ramai pengunjung yang datang ke sini untuk menikmati selera.


1. Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh (Masjid Negeri)

Masjid Sultan Idris Shah II
Sumber: Jelajah Masjid

Pada asalnya masjid ini dinamakan Masjid Negeri (Perak) namun pada tahun 1984, masjid ini ditukarkan namanya kepada Masjid Sultan Idris Shah II untuk memperingati Sultan Idris Iskandar Shah II yang kembali ke Rahmatullah pada tahun itu.

Terletak di Bandaraya Ipoh, masjid ini mula dibina pada tahun 1966 yang memakan belanja sebanyak RM1,840,000.00. Batu asas masjid ini telah diletakkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu pada tahun 1967.

Lokasi: Masjid Sultan Idris II, Jalan Sultan Iskandar, 30000 Ipoh

Penginapan Di Ipoh

Ipoh Bali Hotel Inside

Jika anda sedang merancang untuk bercuti ke ipoh dan berminat untuk melihat apa pilihan hotel yang menanti anda disana, kami telah menyediakan beberapa entri untuk memudahkan anda membuat pilihan. Mencari sesuatu yang istimewa? anda boleh melihat senarai 14 hotel menarik di Ipoh untuk pengalaman menginap luar biasa.

Jika anda perlukan penginapan yang memberi nilai paling baik untuk wang, anda boleh membaca senarai hotel murah di Ipoh. Amat sesuai untuk mereka yang sedang merancang percutian bajet ke Ipoh.

Bandaraya Ipoh bukan sahaja kaya dengan warisan sejarah yang dipelihara dengan baik, malahan, terdapat juga destinasi-destinasi pelancongan yang menarik yang baru dibuka dan bakal dibuka.

Untuk anda yang menjadikan fotografi sebagai hobi, jangan lupa untuk menjadikan Ipoh sebagai salah satu destinasi anda.  Pelbagai lokasi yang menarik boleh dijadikan sebagai subjek ataupun latar belakang foto anda. Bandaraya yang meriah dengan bermacam tarikan seperti gerai-gerai makan, taman rekreasi, taman hiburan, lokasi-lokasi seni, dan gua-gua yang mengagumkan ini wajib dilawati untuk anda yang mendambakan satu pengembaraan yang menyeronokkan.

Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca senarai tempat menarik di Ipoh ini. Saya berharap, pelbagai aktiviti yang menarik yang boleh anda rancang berdasarkan senarai ini. Apa yang anda tunggu lagi? Mari kita ke Ipoh!



Related Posts