50 Tempat Menarik Di Kedah Untuk Percutian Yang Sempurna

Tak terfikir lagi nak ke mana musim cuti sekolah hujung tahun ni? Apa kata kalau anda sekeluarga beramai-ramai bercuti ke negeri Kedah, negeri Jelapang Padi, negeri yang aktif dengan aktiviti pertaniannya ini. Bagi anda yang dah masak dengan kehidupan di kota, datanglah ke negeri di utara semenanjung Malaysia ini untuk melegakan minda dan badan.

Suasana desa yang indah, sawah padi yang terbentang luas dan alam semulajadi yang tidak terganggu oleh sebarang pencemaran ini dapat memberikan anda sekeluarga pengalaman percutian yang mendamaikan jiwa. Tapi tunggu dulu! Sebelum ke sini, MaiSinggah nak habaq awai-awai mana hangpa patut pi dah sampai Kedah nanti. Baca senarai 50 tempat menarik di Kedah sampai habis na, baru tahu mana yang sesuai dengan jiwa, atau lawat saja semuanya!

50. Menara Alor Setar

Menara Alor Setar
Sumber: Sham Hardy

Tiada lagi idea yang lebih baik daripada memulakan perjalanan anda di negeri Jelapang Padi ini selain daripada menyinggahi ibu negeri Kedah sendiri, Alor Setar atau kata orang Kedah sendiri, ‘Aloq Staq’. Dah sampai di sini, tempat pertama yang mesti anda lawati adalah Menara Alor Setar.

Bukan di KL sahaja yang ada menara tertinggi ya kerana sebenarnya Menara Alor Setar ini adalah menara telekomunikasi yang ke-2 tertinggi di Malaysia. Menara yang berketinggian 165.5 meter ini menempatkan Restoran Berputar Seri Angkasa di aras yang berketinggian 94 meter, dan dek pemerhatian pada ketinggian 88 meter ataupun 289 kaki.  Kalau anda nak tahu, di sinilah salah satu lokasi yang digunakan untuk melihat anak bulan Islam. Tarikan lain yang terdapat di menara ini adalah panggung yang menjadi tempat pementasan pelbagai jenis pertunjukan kesenian, forum dan lain-lain.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 10.30pm)

Bayaran Tiket: Dewasa MyKad: RM9, Biasa: RM16 | Kanak-kanak MyKad: RM5, Biasa: RM9 | Warga Emas & OKU MyKad: RM5, Biasa: RM16

Alamat: Menara Alor Setar. Lot 99, Lebuhraya Darul Aman, 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman


49. Muzium Padi

Muzium Padi
Sumber: @shukrixm

Terletak di Gunung Keriang, Muzium Padi Kedah ini hanyalah 8.84 km sahaja daripada Menara Alor Setar dan dekat sekali dengan Masjid Zahir, antara masjid tertua di Malaysia, nanti kita cerita tentang masjid ini. Muzium Padi ini merupakan muzium padi yang ke-4 yang dibuka di dunia selepas Jepun, Jerman dan Filipina. Sebagai makanan ruji masyarakat Malaysia, penting untuk kita tahu apa sebenarnya kisah di sebalik padi ini dari segi sejarahnya dan prosesnya sebelum menjadi nasi di pinggan.

Agak menarik untuk diketahui, balik sahaja dari Muzium Padi ini, mesti anda takkan membazir walau sebiji pun kerana dari sinilah anda terutamanya anak-anak anda akan menyedari bahawa “sebiji nasi ibarat setitik peluh petani,” (macam pernah dengar je kan). Kalau anda menuju ke tingkat paling atas muzium ini anda dapat melihat galeri lukisan yang mana anda boleh duduk di kerusi yang terletak di tengah, kerusi ini akan membuat putaran 360 darjah secara perlahan untuk anda menikmati lukisan pemandangan sawah padi dan kawasan perkampungan yang terdapat di sekeliling sawah ini yang kelihatan agak realistik.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (Tutup Sebentar Pada Pukul 12.30pm – 2.30pm)

Bayaran Tiket: Dewasa RM3 | Kanak-kanak (7 – 12 Tahun) RM1 | Kamera RM2

Alamat: Muzium Padi, Lot 798 Jalan Gunung Keriang, 06570 Alor Setar, Kedah Darul Aman


Baca: 10 Tempat Menarik Di Langkawi

48. Pulau Songsong

Pulau Song Song
Sumber: Mohd Fuad Helmi

Pulau Songsong juga merupakan satu lagi pulau yang tidak berpenghuni dan tiada sebarang penginapan atau kemudahan yang disediakan di sini. Tapi sekiranya anda ingin berkhemah di sini, perlulah pastikan semua bekalan anda lengkap dan cukup.

Agak seronok untuk meluangkan masa di sini kerana alam sekitarnya terpelihara dengan baik sekali. Kawasan pantai yang luas di pulau ini turut ditumbuhi dengan pokok-pokok kelapa, belukar kecil dan bunga. Latar belakang pulau ini pula adalah kawasan hutan yang mekar dengan pokok-pokok yang menghijau.

Untuk ke Pulau Songsong terdapat beberapa buah jeti yang menyediakan bot, iaitu dari Jeti Sungai Udang, Jeti Kuala Dulang dan Jeti Tanjung Dawai. Perjalanan ke pulau ini hanyalah dalam 15 minit sahaja, sempatlah anda sekeluarga menikmati deru angin laut yang segar sepanjang perjalanan ke pulau.

Alamat: Pulau Song Song, Yan, Kedah


47. Pekan Rabu

Sumber: Pekan Rabu

Pekan Rabu yang terletak di Ukir Mall ini hanyalah 100 m sahaja dari Menara Alor Setar. Apa lagi, alang-alang singgah saja pekan ni, apa gunanya bercuti tanpa merasa makanan tempatannya. Di Pekan Rabu inilah anda dapat melihat pelbagai makanan tradisional Melayu dijual seperti kuah rojak, ikan pekasam, dodol durian, garam belacan, malahan, kuih bahulu yang panas-panas pun ada dijual di sini. Di samping makanan, barangan lain yang turut dijual di sini adalah seperti pakaian, dan ubat-ubatan tradisional. Yang penting, gerai-gerai di sini kebanyakannya mudah untuk anda tawar-menawar.

Alamat: Ukir Mall (Pekan Rabu), Jalan Sultan Badlishah, Alor Malai, 05000 Alor Setar, Kedah


46. Rumah Kelahiran Mahathir Mohammad

Rumah Kelahiran Mahathir Mohammad
Sumber: Siva Darshan

Siapa tak kenal Bapa Pemodenan Malaysia, Tun Mahathir Mohammad yang terkenal dan dihormati di seantero dunia. Beliau telah dilahirkan di sebuah rumah kayu yang terletak bersebelahan dengan kilang ais di Seberang Perak. Sekiranya anda sekeluarga berkesempatan singgah ke rumah ini, anda dapat meihat gambar-gambar semasa remaja dan album ahli keluarga beliau.

Bukan itu sahaja, perabot-perabot asal rumah ini seperti almari, meja, katil, kerusi, meja solek dan perkakas dapur juga masih terjaga dengan baik. Lawatan ke rumah bekas Perdana Menteri yang telah memberi sumbangan yang besar kepada negara ini dapat memberi motivasi kepada anak-anak untuk melakukan yang terbaik dalam menuntut ilmu dan mengikuti jejak langkah beliau.

Waktu Operasi: Isnin Kecuali Semasa Cuti Umum dan Cuti Sekolah (Tutup) | Selasa – Khamis (10.00am – 5.30pm) | Jumaat (10.00am – 12.00pm, 3.00pm – 5.30pm)

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: 18 Lorong Kilang Ais | Tepi Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar 05050


45. Pusat Sains Negara Wilayah Utara

Pusat Sains Negara Wilayah Utara
Sumber: Laguna Merbok

Kalau anda nak tahu, sebenarnya Pusat Sains Negara Wilayah Utara ini merupakan cawangan pertama Pusat Sains Negara.  Di sini anak-anak anda dapat mempelajari pelbagai info saintifik dengan penuh keseronokan kerana bahan-bahan pameran yang terdapat di pusat sains ini agak interaktif.

Kalau anda membawa anak-anak yang kecil ke sini, anda boleh bacakan informasi yang jelas diletakkan di setiap bahagian pameran. Mesti anak-anak seronok punyalah! Kan bagus percutian yang penuh dengan pengisian bermanfaat sebegini.

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.00am – 5.00pm)

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara, Gunung Keriang, 06500 Alor Setar, Kedah


44. Rumah Merdeka

Rumah-Merdeka-Kedah
Sumber: Jr Hunch

Rumah Merdeka ini merupakan rumah yang dimiliki oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, YAB Tunku Abdul Rahman. Rumah ini terletak betul-betul di belakang Hotel Royale, Jalan Putera.  Perabot-perabot rumah ini masih dijaga dengan baik dan diletakkan di tempat yang sama sepertimana kedudukannya pada zaman kehidupan Tunku.

Seperti namanya, Rumah Merdeka, di sinilah terukirnya pelbagai peristiwa bersejarah negara Malaysia. Antaranya adalah kerana di sini Tunku banyak melakukan perbincangan bersama rakan-rakannya dalam usaha untuk mendapatkan kemerdekaan negara tercinta dan di sini jugalah Tunku menerima lawatan Misi Muhibah dari Jakarta untuk menamatkan Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Di belakang rumah ini terdapat Sungai Anak Bukit. Di sungai inilah Tunku sering menaiki motor botnya untuk menenangkan fikiran. Kalau anda melawat Rumah Merdeka, anda dapat melihat bot ini dipamerkan di halaman rumah.

Waktu Operasi: Isnin Kecuali Semasa Cuti Umum dan Cuti Sekolah (Tutup) | Selasa – Khamis (10.00am – 5.30pm) | Jumaat (10.00am – 12.00pm, 3.00pm – 5.30pm) | Sabtu & Ahad (10.00am – 5.30pm)

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: Jalan Putra, 05100, Alor Setar, Kedah, Alor Setar 05100


43. Balai Besar

Balai Besar
Sumber: Alor Setar Homestay

Balai Besar yang memiliki reka bentuk rumah tradisional Melayu yang berbumbung panjang ini telah dibina pada tahun 1896 oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah selepas bangunan asalnya dimusnahkan dalam peperangan dengan angkatan Bugis pada tahun 1770 dan seterusnya Thai pada tahun 1821.

Agak banyak dugaan yang dilalui bangunan ini, namun ia tetap kukuh mengekalkan fungsi utamanya sejak dari awal ia dibina iaitu sebagai tempat untuk menjalankan majlis rasmi Sultan Kedah. Jangan lepaskan peluang untuk melawati Balai Besar kerana anda dapat melihat sendiri kehalusan seni pertukangan kayu masyarakat Melayu yang terukir indah pada bangunan yang dibina menggunakan kayu cengal emas ini.

Alamat: Balai Besar, Bandar Alor Setar, 05000


42. Air Terjun Batu Hampar

Air Terjun Batu Hampar
Sumber: Mohd Shubi Omar

Air Terjun Batu Hampar ini agak kurang dikunjungi berbanding dengan Air Terjun Titi Hayun, bukan kerana ia kurang menarik, tetapi sebab ia terletak lebih jauh di dalam hutan di bahagian kaki gunung. Tapi, kalau anda dapat sampai ke kawasan air terjun ini, ibarat tinggal di pulau peribadilah gayanya, suasana sunyi dan tenang tanpa gangguan. Untunglah kalau anda memiliki stamina yang tinggi, dapatlah merasa pengalaman yang istimewa yang ditawarkan alam penuh kehijauan ini.

Alamat: Taman Rekreasi Batu Hampar, Air Puteh, Serdang, Kedah


41. Balai Nobat

Balai Nobat
Sumber: Kedah Darul Aman

Pada tahun 1735, tahun pembukaannya Bandar Alor Setar, antara bangunan pertama yang siap dibina adalah Masjid Negeri, Balai Besar, Istana Kota Setar dan Balai Nobat ini. Namun, bangunan ini telah diperbaharui semula pada tahun 1906 oleh  Sultan Kedah yang ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah dengan rekabentuk yang sama dengan bangunan asal namun menggunakan batu dan logam.

Fungsi Balai Nobat ini adalah sebagai tempat penyimpanan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang terdiri daripada tiga rebana besar, dua rebana yang bersaiz kecil, satu serunai dan satu gong.

Muzik Nobat ini hanyalah dimainkan pada majlis-majlis tertentu sahaja iaitu pada hari perkahwinan, pertabalan dan persemadian DiRaja. Sekiranya anda melawat Balai Nobat anda dapat melihat dengan lebih dekat lagi Nobat Kedah yang dikatakan yang tertua di negara ini.

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: Balai Nobat, Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar, Kedah


40. Galeri Sultan Abdul Halim

Galeri Sultan Abdul Halim
Sumber: Kedah Darul Aman

Pada asalnya bangunan Galeri Sultan Abdul Halim ini digunakan sebagai Mahkamah Tinggi Alor Setar, namun pada tahun 2007 ia diubah sebagai galeri yang mempamerkan hampir 2000 koleksi peribadi Sultan Kedah termasuklah pakaian istana, hiasan istana, dokumen rasmi, dan carta keturunan keluarga DiRaja Kedah dari tahun 1136 hingga sekarang. Bangunan yang memiliki seni bina kolonial ini terletak hanya bersebelahan dengan Balai Nobat.

Waktu Operasi:  Sabtu – Khamis (10.00am – 5.00pm)

Bayaran Tiket: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM2

Alamat: Galeri Sultan Abdul Halim, Jln Sultan Muhammad Jiwa, Alor Setar


39. Balai Seni Negeri

Balai Seni Negeri Kedah
Sumber: Kedah Darul Aman

Balai Seni Negeri ini mula dibina pada tahun 1893 dan telah digunakan sebagai Mahkamah Besar pada tahun 1912. Balai Seni Negeri ini dikatakan sebagai bangunan kerajaan moden yang paling awal yang telah dibina di bandar Alor Setar. Bangunan ini mula dirasmikan sebagai Balai Seni Negeri pada tahun 1983 sempena sambutan Perayaan Jubli Perak semasa di bawah pemerintahan KDYMM Tunku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (1985-1983).

Dihimpunkan di Balai Seni ini adalah koleksi karya seni lukis, ukiran kayu dan khat oleh anak tempatan Kedah sendiri yang dihasilkan oleh golongan muda sehinggalah pengkarya veteran.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (Tutup Sebentar Pada Pukul 12.30pm -2.30pm)

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: Balai Seni Negeri Kedah, Medan Bandar, Jalan Raja, 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman.


38. Muzium Negeri Kedah

Muzium Kedah
Sumber: Ranthing Travel

Pada asalnya Muzium Negeri Kedah ini dikenali sebagai Muzium Sejarah Kedah pada tahun 1957 dan terletak di tingkat bawah Balai Besar, namun, setelah banyak pertambahan koleksi berlaku pada tahun 1961, muzium ini telah dipindahkan ke bangunannya sendiri yang terletak di Lebuhraya Darul Aman dan pada tahun 1964 ditukarkan nama kepada Muzium Negeri Kedah.

Pada tahun 1997, bangunan baru telah dibina lagi untuk menempatkan muzium ini yang memiliki 10 bahagian pameran berbeza seperti Dewan Sejarah, Dewan Kebudayaan, Dewan Manuskrip, Dewan Seni Kraf, Dewan Tekstil serta Sudut Bahasa dan Sastera.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (Tutup Sebentar Pada Pukul 12.30pm -2.30pm)

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: Lembaga Muzium Negeri Kedah Darul Aman, Lebuhraya Darul Aman, Bakar Bata 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman.


37. Kota Kuala Kedah

Kota Lama Kuala Kedah
Sumber: Panoramio

Sebuah kota yang menyimpan sejarah yang penting di negeri Kedah, Kota Kuala Kedah ini dibina pada tahun 1771 dan selesai dibina pada tahun 1780. Binaan kota ini adalah untuk dijadikan benteng pertahanan Kedah daripada ancaman pihak musuh terutamanya Siam yang datang dari arah laut. Kota yang dibina menggunakan kayu bakau, buluh dan tanah liat ini telah direkabentuk oleh Hafiz Sab yang merupakan Datuk Maharaja Kadi pada ketika itu.

Di sini juga terletaknya Muzium Kota Kuala Kedah yang memiliki ruang pameran yang terbahagi kepada enam bahagian iaitu bahagian Pengenalan, Sejarah, Fungsi Kota Kuala Kedah, Zaman British, Zaman Jepun dan Zaman Selepas Merdeka. Kalau anda singgah ke muzium ini anda dapat melihat 60 koleksi artifak arkeologi yang termasuk batu bata asal kota ini, seramik, 13 buah peluru meriam dan 6 buah meriam yang dihasilkan pihak Inggeris yang sudah berusia lebih daripada 100 tahun.

Sangat banyak yang dapat dilihat di pameran ini, bagi anda yang mencintai sejarah dan ingin memupuk semangat kecintaan kepada sejarah dalam diri anak-anak, datanglah ke sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: Muzium Kota Kuala Kedah, Kampung Seberang Kota 06600 Kuala Kedah, Kedah Darul Aman


36. Tree Top Walk Sungai Sedim

Tree Top Walk Sungai Sedim
Sumber: Gunung Bintang

Terletak di Taman Rekreasi Sungai Sedim adalah Tree Top Walk Sungai Sedim yang merupakan laluan titian gantung yang terpanjang di dunia. Titian gantung yang berkepanjangan 1.5 km ini memang tak sesuai bagi sesiapa yang gayat. Tapi bagi yang berani, dapatlah anda menikmati pemanadangan flora dan fauna yang indah dari sudut yang tinggi. Dari titian ini anda dapat melihat burung yang berterbangan di sekitar hutan dengan lebih dekat lagi. Pegang betul-betul kamera anda di atas titian ni, menangis tak berlagu kalau gajet kesayangan anda terjatuh dari titian yang tinggi ni.

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (9.00am – 5.30pm) | Jumaat & Sabtu (Tutup)

Bayaran Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-kanak (7 -17 Tahun) RM6

Alamat: The Tree Top Walk Sungai Sedim, Kampung Sedim Karangan, Kedah, 09000, Kulim, Kedah


35. Taman Rekreasi Sungai Sedim

Taman Rekreasi Sungai Sedim
Sumber: Pusat Internet 1 Malaysia

Taman Rekreasi Sungai Sedim ini terletak di Kampung Sedim. Untuk pengetahuan anda, di sinilah terdapatnya beberapa tarikan menarik seperti Sungai Sedim sendiri yang seronok untuk dijadikan tempat bermandi-manda dan banyak aktiviti air yang lain serta Sedim Rainforest Resort yang merupakan penginapan yang tidak sepi dari bunyi air sungai dan unggas yang berterbangan.

Sekiranya anda ke sini, banyak aktiviti menarik yang boleh dirancang untuk dilakukan bersama keluarga seperti peerkhemahan, meredah hutan, flying fox, berkelah,  rock climbing, abseiling, water rafting, treasure hunt dan banyak lagi.

Alamat: Sungai Sedim Recreational Forest, Kulim


34. Hutan Lipur Ulu Paip

Hutan Lipur Ulu Paip
Sumber: Harn Sheng Khor

Hutan Lipur Ulu Paip ini terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Bungsu. Di hutan lipur ini anda dapat melihat air sungai dan beberapa buah kolam yang terbentuk secara semulajadi yang seronok untuk anda bermandi-manda bersama keluarga.

Aktiviti lain yang boleh dibuat di sini adalah berkelah dan berkhemah sambil ditemani bunyi alam semulajadi yang menenangkan jiwa. Salah satu cara yang terbaik untuk menghabiskan hari cuti bukan?

Waktu Operasi: 7.00am – 6.00pm

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: Hutan Lipur Ulu Paip, Jl. Kulim-Mahang, 09700 Karangan, Kedah


33. Gunung Bintang

Gunung Bintang
Sumber: Fisol Khalib

Gunung Bintang merupakan titik sempadan antara negeri Kedah dan Perak. Gunung ini juga merupakan sebahagian daripada Banjaran Bintang yang menganjur dari Selatan Thailand serta gunung yang tertinggi yang terletak di banjaran ini.

Sekiranya anda berjiwa lasak, anda boleh menerokai gunung ini untuk menghayati kecantikan flora yang terdapat di sini yang turut kaya dengan khasiat perubatan. Bukan itu sahaja, anda juga akan disajikan dengan pemandangan dan bunyi air terjun dan jeram-jeram yang terdapat sepanjang perjalanan.

Satu pendakian yang memenatkan tapi sangat berbaloi setelah anda melihat pemandangan yang menanti setibanya di puncak gunung. Tak sabar nak mendaki? Tapi tunggu dulu, sebelum anda memulakan pendakian anda, anda perlu mendapatkan permit dan bantuan penunjuk arah terlebih dahulu, jangan ambil risiko mendaki sendiri pula.

Alamat: Gunung Bintang, Perak


32. Taman Tasik Putra Kulim

Taman Tasik Putra Kulim
Sumber: Ahmad Zainuddin

Lokasi Taman Tasik Putra Kulim ini adalah di tengah-tengah Pusat Bandar Kulim. Taman yang berkeluasan 50 ekar ini juga menempatkan tasik yang berkeluasan 14 ekar. Antara aktiviti yang menyeronokkan yang boleh dilakukan di sini adalah memancing ikan, berkayak, berjogging, bersenam dan banyak lagi.

Kalau anda hanya ingin bersantai, di sini juga terdapat medan selera, bolehlah anda mengisi perut kosong sambil menikmati pemandangan menyegarkan mata di taman tasik ini. Anak-anak kecil pula boleh bermain di taman permainan yang turut disediakan.

Antara kemudahan lain yang disediakan di Taman Tasik Putra Kulim ini adalah dataran aerobik, peralatan senaman outdoor, padang dan tandas awam. Lokasi yang tepat untuk mengadakan hari keluarga!

Alamat: Taman Tasik Putra Kulim, Kampung Chabang Tiga, 09000 Kulim, Kedah


31. Air Terjun Junjong

Air Terjun Junjong
Sumber: Mierazie Taskforce

Air Terjun Junjong ini terletak 15 km dari Kulim. Terkenal dalam kalangan penduduk tempatan terutamanya pada hujung minggu. Kalau anda inginkan privasi, elakkan datang pada waktu-waktu ini.

Di Air Terjun Junjong terdapat kawasan kolam air terjun yang sesuai untuk  kanak-kanak tapi bagi anda yang tidak kisah untuk berjalan jauh sedikit dan inginkan cabaran, anda akan menemui air terjun yang lebih besar, di sini anda pasti puas punyalah bermandi-manda.

Waktu Operasi: Setiap Hari

Bayaran Tiket: Kemasukan Kenderaan RM2

Alamat: Air Terjun Junjong, Kulim, Kedah


30. Taman Kulim Hi-Tech

Taman Kulim Hi Tech
Sumber: Geoview.info

Hanyalah 8 km sahaja dari Bandar Kulim, Taman Kulim Hi-Tech ini merupakan satu-satunya di Malaysia. Ia didirikan sebagai salah satu strategi kebangsaan untuk mencapai Visi 2020 iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju. Di sinilah terkumpulnya banyak syarikat-syarikat berteknologi tinggi seperti Intel, First Solar, Fuji Electronics dan Infineon.

Walaupun menjadikan teknologi sebagai faktor utama penubuhan taman berkeluasan 4510 ekar ini, kehijauan flora turut diberikan perhatian di sekitar taman ini. Antara kemudahan yang tersedia adalah ruang pejalan kaki, bangku, taman permainan kanak-kanak dan pondok rehat.

Alamat: Taman Kulim Hi-tech, Kulim, Kedah


29. Langkawi

Langkawi
Sumber: EIS DRONE

Pernah dengar tentang Lagenda Mahsuri? Di Langkawilah asalnya kisah tragis ini. Kisah dimana seorang wanita dibunuh kerana difitnah oleh kakak iparnya sendiri, namun setelah dibunuh, darah yang keluar adalah berwarna putih yang menandakan bahawa Mahsuri tidak bersalah. Benar atau tidak, tidaklah dapat dipastikan. Mari kita bercerita pula tentang Pulau Langkawi ini yang juga merupakan pulau bebas cukai, bagi yang kaki shopping, tunggu apa lagi?

Bukan itu sahaja yang menarik tentang pulau ini kerana anda juga dapat melihat burung helang yang terbang bebas di pulau ini. Bukan senang nak jumpa kan? Selain itu, anda sekeluarga pasti teruja melihat ketenangan kawasan perkampungan dan sawah padi yang terdapat di sekitar pulau ini. Apa lagi yang menarik untuk dibuat di sini? Anda boleh menaiki kabel ke puncak Gunung Mat Cincang, dan menaiki bot melalui kawasan paya bakau. Pasti menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Alamat: Langkawi, 07000 Langkawi, Kedah


28. Taman Kekal Pengeluaran Makanan – Gajah Mati

TKPM Pokok Sena
Sumber: Zahari Ismail

Taman Kekal Pengeluaran Makanan Gajah Mati ini merupakan kawasan yang dikhaskan untuk menghasilkan tanaman-tanaman seperti jagung, nenas, cili, petola, mas melon, tebu dan mangga.

Kalau anda datang ke sini anda boleh membeli hasil-hasil tanaman yang segar secara runcit mahupun borong dari Gerai Jualan Terus dan Pusat Pengumpulan TKPM Gajah Mati. Dah puas membeli-belah, bolehlah meneruskan aktiviti percutian anda sekeluarga dengan berkelah pula.

Alamat: Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Jalan Naka-Pokok Sena, 06400 Pokok Sena, Kedah


27. Tasik Pendang

Tasik Pendang
Sumber: Aziah Azhahar

Sekiranya anda ke Pendang, jangan lepaskan peluang untuk meluangkan beberapa hari menginap di Pendang Lake Resort yang menawarkan pemandangan yang indah dan persekitaran yang menyegarkan minda. Rasai pengalaman tinggal di kawasan desa dengan cara berbual bersama masyarakat setempat dan melibatkan diri dalam aktiviti menyeronokkan yang boleh dilakukan di sini.

Antaranya adalah seperti bersenam di trek senaman, flying fox, memancing di Tasik Pendang yang terletak bersebelahan resort, menaiki motosikal dan berpusing di sekeliling kawasan sawah padi, membeli-belah di pasar hujung minggu yang menjual pelbagai makanan tempatan dan banyak lagi yang seronok untuk dilakukan di kawasan kampung.

Alamat: Pendang Lake, Pendang


26. Pasar Kemboja

Pasar Kemboja
Sumber: WF

Sebelah sahaja dari Pendang Lake Resort ini pada setiap hari Sabtu terdapat pasar yang meriah dengan jualan pelbagai jenis pakaian dengan harga yang murah sampaikan ramai orang datang untuk membeli-belah pakaian di sini. Antara pakaian yang dijual adalah kain pasang, skirt, jubah, blaus, kain pelekat, shawl dan bermacam lagilah.

Bayangkanlah kemeriahan pasar ini setiap kali dibuka kerana sudah terdapat lebih daripada 250 gerai jualan yang terdapat di sini. Boleh dikatakan lokasi ini persis Jalan TAR kalau di Kuala Lumpur. Makanan dan minuman juga ada dijual di sini, yelah kan, kalau dah membeli-belah di kawasan sebegini, mesti terasa lapar punya.

Waktu Operasi: Sabtu (6.00am – 1.00pm)

Alamat: Pasar Kemboja Pendang, Kedah


25. Rimba Rekreasi Bukit Perak

Hutan Rekreasi Bukit Perak
Sumber: Jalan-Jalan Cari Makan Di Kedah

Rimba Rekreasi Bukit Perak ini lengkap dengan kemudahan untuk anda yang datang seperti tempat meletak kereta, jalan bertar, tempat isterehat keluarga dan tandas, sesuai sekali untuk anda yang datang beramai-ramai, tak perlu melalui sebarang kesukaran untuk ke hutan rimba ini.

Apa yang menjadikan rimba rekreasi ini terkenal adalah kerana alam semulajadinya yang sangat indah dan terjaga dengan baik, termasuklah air terjun 3 peringkatnya. Anda boleh merancang aktiviti yang menyeronokkan bersama keluarga di hutan rimba ini seperti berkelah, merentas hutan, berbasikal, berkhemah dan bermacam lagi.  Suasana hutan yang mendamaikan dan kaya dengan flora dan fauna ini pasti memberikan keluarga anda pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan.

Alamat: Gunung Perak, 06700 Pendang, Kedah


24. Telaga Gajah

Telaga Gajah
Sumber: Kedah My Hometown

Telaga Gajah yang terletak di Laman Warisan Majlis Daerah Pendang ini adalah sebuah telaga yang penuh dengan sejarah. Di telaga inilah gajah-gajah yang menghantar ufti (bunga emas) ke negeri Siam dimandikan pada waktu di mana gajah digunakan sebagai pengangkutan utama.

Masyarakat setempat pada zaman dahulu kala juga menjadikan telaga ini sebagai punca air utama terutama sekali ketika musim kemarau. Yang menariknya lagi tentang Telaga Gajah ini adalah kerana airnya yang tidak pernah kering, difahamkan bahawa air telaga ini sebenarnya bersambung dengan air sungai.

Alamat: Laman Warisan Majlis Daerah Pendang


23. Pendang Waterfront

Pendang Water Front
Sumber: Pendang Water Front

Bagi anda yang bercuti bersama anak kecil, apa kata kalau bawa mereka ke sini. Kolam renang yang terdapat di Pendang Waterfront ini adalah khas untuk kanak-kanak sahaja. Aktiviti menarik yang lain yang turut disediakan di sini adalah bot kayuh, basikal dan motosikal elektronik serta permainan buih.

Sementara menunggu anak-anak bermandi-manda, anda boleh membeli makanan daripada 15 buah kiosk yang terdapat di ruang menunggu. Ruang menunggu ini juga lengkap dengan tandas dan surau. Bolehlah anda bersosial dengan ibu bapa lain yang menunggu anak masing-masing, kata orang berkawan biar seribu.

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (3.00pm – 10.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum & Cuti Sekolah (10.00am – 10.00pm) | Isnin (Tutup)

Bayaran Tiket: RM3 (Hanya Untuk Kanak-kanak)

Alamat: Pendang Waterfront, Pekan Pendang.


22. Rimba Rekreasi Batu Hampar

Rimba Rekreasi Batu Hampar
Sumber: Mohd Shubi Omar

Rimba Rekreasi Batu Hampar ini tidak begitu besar namun terkenal dalam kalangan penduduk  yang tinggal tidak jauh dari sini. Ianya lengkap dengan kemudahan seperti ruang istirehat dan tempat berteduh. Sesuai untuk anda yang ingin berkelah bersama keluarga. Tandas juga ada disediakan untuk para pelawat rimba rekreasi ini.

Sambil menikmati pemandangan air terjun yang terdapat di sini, anda pasti teruja melihat pokok-pokok tualang yang agak besar yang terdapat di dalam hutan rimba ini. Jangan lupa bergambar!

Alamat: Taman Rekreasi Batu Hampar, Air Puteh, Serdang, Kedah


21. Air Terjun Puncak Janing

Air Terjun Puncak Janing
Sumber: Kedah Darul Aman

Air Terjun Puncak Janing merupakan air terjun 4 peringkat yang terletak di Hutan Simpan Gunung Jerai. Sungai yang membentuk air terjun di sini adalah Sungai Janing yang berkepanjangan 1.5 km. Di sekitar kawasan sungai dan air terjun ini anda dapat melihat tumbuhan seperti kasai, tulang daing, palma dan meranti tembaga yang tumbuh mekar dan penuh kehijauan, menyejukkan mata yang memandang. Selain menikmati pemandangan yang indah untuk menenangkan fikiran, anda boleh melakukan aktiviti lain seperti mendaki gunung, berkhemah dan meredah hutan.

Alamat: Air Terjun Puncak Janing, 06300 Kuala Nerang, Kedah


20. Tasik Pedu

Tasik Pedu
Sumber: LocaLokal

Apa yang menariknya tentang Tasik Pedu ini? Banyak untuk diceritakan, tapi antaranya adalah di sinilah terletaknya lebah madu tualang yang merupakan antara yang terbaik. Di samping itu,  anda juga dapat melihat lebih daripada 300 jenis bunga yang tumbuh di sekitarnya. Kawasan ekopelancongan ini akan mengujakan sesiapa sahaja yang bercuti di sini terutama sekali bagi anda yang mencintai alam semulajadi dan ingin lari dari pencemaran dan kesibukan kota.

Kebiasaannya itulah tujuan utama anda pergi bercuti kan? Tasik Pedu ini terletak di tengah-tengah hutan hujan Gunung Fakir Terbang yang menawarkan pemandangan indah yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Untuk anda yang ingin melakukan aktiviti yang menyeronokkan, anda boleh meredah hutan, memancing, berkhemah, memerhati burung mahupun beraktiviti air yang lain seperti ski air dan berkayak.

Alamat: Tasik Pedu, Padang Terap


19. Air Terjun Titi Hayun

Air Terjun Titi Hyun
Sumber: Christanty Boham

Air Terjun Titi Hayun yang terletak di daerah Yan ini merupakan salah satu daripada 3 buah air terjun yang mengalir dari Gunung Jerai. Titi Hayun atau nama lainnya Jambatan Gantung ini adalah yang paling terkenal di daerah ini. Di sekitarnya terdapat tempat penginapan dan tapak perkhemahan untuk anda yang ingin bersatu dengan alam semulajadi dan melegakan badan dalam udara segar hutan rimba dengan sepuasnya.

Tarikan lain yang terkenal berdekatan dengan Air Terjun Titi Hayun adalah Tangga Kenari yang merupakan laluan yang disediakan untuk anda yang ingin mendaki sehingga ke puncak Gunung Jerai yang menawarkan pemandangan yang sukar dilupakan.

Alamat: Air Terjun Titi Hayun, Kampung Perigi, 06900 Yan, Kedah


18. Pantai Murni

Pantai Murni Yan Kedah
Sumber: Sky Dominator

Tidak jauh dari Pekan Yan terletaknya sebuah pantai yang indah dan cukup lengkap dengan pelbagai kemudahan, Pantai Murni. Di sini anda dapat melihat barisan gerai-gerai makanan  yang menjual pelbagai jenis kudapan untuk dimakan sambil bersantai di pesisir pantai yang indah ini. Selain gerai, anda juga boleh memilih untuk menjamu selera di medan selera, jangan lepaskan peluang mencuba mee udangnya.

Kemudahan lain yang disediakan di Pantai Murni adalah taman permainan, tandas, surau dan kerusi untuk anda bersantai menenangkan fikiran. Dari pantai ini anda dapat melihat keindahan pulau-pulau yang terdapat berdekatan pantai ini seperti Pulau Bunting, Bidan, Telor dan Songsong. Di samping itu, pada setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad akan terdapat pasar yang menjual bermacam-macam barangan yang menarik untuk dilihat seperi pakaian bundle, seluar, dan lain-lain lagi.

Alamat: Pantai Murni, Yan, Kedah


17. Pantai Tanjung Jaga

Pantai Tanjung Jaga
Sumber: Panorama Indah

Terletak hanya 3 km dari Pekan Yan, Pantai Tanjung Jaga yang juga dikenali sebagai Teluk Air adalah sebuah pantai yang sesuai untuk dijadikan tempat berkelah dan memancing. Untuk ke pantai ini anda perlu menuruni tebing yang agak tinggi terlebih dahulu, orang kata bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, bolehlah diaplikasikan di sini, kerana selepas berusaha turun dari tebing ini dan menghabiskan masa memancing di pantai ini, hasil tangkapan yang didapati pasti akan mengenyangkan perut anda sekeluarga.

Alamat: Pantai Tanjung Jaga, Kedah


16. Pulau Bunting

Pulau Bunting Kedah
Sumber: Mazlan Mat Zain

Bagi anda yang ingin meluangkan masa bersama keluarga di alam semulajadi sambil menghirup udara segar, apa kata kalau membawa keluarga memancing di Pulau Bunting, sebuah pulau yang tidak berpenghuni namun terkenal dalam kalangan kaki pancing. Sambil-sambil menikmati pemandangan bolehlah anda sekeluarga mencuba nasib untuk mendapatkan hasil tangkapan segar seperti ikan pari, ikan senangin, ikan tenggiri ataupun ikan marlin yang mudah didapati di sini. Dapat tangkap beberapa ekor, bolehlah dibakar dan dimakan di tepi pantai, rancangan yang menarik bukan?

Alamat: Pulau Bunting, Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah


15. Air Terjun Lata Mengkuang

Air Terjun Lata Mengkuang
Sumber: Mohd Haffizan Hashim

Untuk mengunjungi Air Terjun Lata Mengkuang yang terletak di Hutan Lipur Rimba Teloi ini anda boleh memilih sama ada untuk trekking berjalan kaki ataupun membawa kenderaan dalam lebih kurang 1 km. Namun, jalan yang disediakan untuk kenderaan kurang elok dan tempat meletak kereta pula sempit jadi lebih baik berjalan kaki sebenarnya, dapatlah anda meningkatkan stamina dan menyegarkan badan dengan udara segar dari hutan indah ini yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis pokok.

Setibanya di air terjun ini, anda dapat melihat sebuah keindahan air terjun semulajadi yang sangat mengujakan, bebas daripada sebarang pencemaran, suasana yang begitu menenangkan.

Alamat: Lata Mengkuang, 09100 Sik, Kedah


14. Ulu Muda Eco Park

Ulu Muda Eco Park
Sumber: @idayunusz

Ulu Muda Eco Park yang terletak di sempadan Kedah-Thailand ini merupakan sebuah lokasi yang popular untuk aktiviti perkhemahan. Antara aktiviti lain yang menarik untuk dibuat di sini adalah memerhati burung, kalau anda bertuah mungkin anda dapat melihat burung kenyalang berterbangan di hutan ini. Anda dan keluarga juga boleh merasai pengalaman memungut madu lebah di sini.

Jangan lepaskan peluang menjelajahi hutan hujan yang telah berusia sekitar 150-170 juta tahun ini, banyak flora dan fauna menarik yang menunggu untuk anda terokai bersama keluarga.

Alamat: Ulu Muda Eco Park, Sik, Kedah


13. Muzium DiRaja Kedah

Muzium Diraja Kedah Image
Sumber: Wan Jakie Chong

Muzium DiRaja Kedah yang terletak di bangunan klasik yang siap dibina pada tahun 1735 ini pada asalnya merupakan sebuah istana yang pernah didiami oleh beberapa Sultan Kedah pada zaman dahulu.

Bangunan ini diberi nama sebagai Istana Pelamin setelah istiadat perkahwinan DiRaja yang cukup meriah diadakan di sini pada tahun 1904. Pada tahun 1983, KDYMM Tunku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah mengarahkan istana ini dibaikpulih dan dijadikan sebagai Muzium DiRaja sempena sambutan Jubli Perak.

Kalau anda datang ke muzium ini, anda dapat melihat pameran pelbagai koleksi oleh KDYMM Tunku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan  kerabat Diraja Negeri Kedah yang lain.

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (Tutup Sebentar Pada Pukul 12.30pm – 2.30pm)

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: Muzium Diraja, Medan Bandar, Jalan Raja, 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman.


12. Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Muzium Arkeologi Lembah Bujang
Sumber: kpskkd

Muzium Arkeologi Lembah Bujang ini terletak di atas Bukit Batu Pahat, Merbok dan sekitar 23 km dari Bandar Sungai Petani. Muzium yang berlatar belakangkan hutan hujan tropika ini mempamerkan ribuan koleksi artifak yang membuktikan wujudnya perdagangan dan peradaban masyarakat Melayu lama di Asia Tenggara pada zaman pra-Islam. Artifak-artifak yang dipamerkan di sini adalah hasil penyelidikan yang dijalankan di tapak arkeologi yang berkeluasan 400 km persegi di Lembah Bujang.

Penemuan bahan-bahan arkeologi di Lembah Bujang menandakan bahawa Kedah merupakan salah satu negeri yang paling lama di Asia Tenggara yang mana menunjukkan bahawa wujudnya perdagangan antarabangsa dan penyebaran agama Hindu Buddha sekitar kurun ke-3 masihi hingga ke-12 masihi. Sungguh menakjubkan untuk mengetahui tentang zaman yang telah lama berlalu dan aktiviti mereka pada ketika itu.

Bayaran Tiket: Percuma

Alamat: Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Pekan Merbok, 08400 Merbok, Kedah


11. Air Terjun Seri Perigi

Air Terjun Seri Perigi
Sumber: Kedah Darul Aman

Air terjun yang berketinggian 100 meter, Air Terjun Seri Perigi ini adalah juga air terjun indah yang terletak di Hutan Simpan Gunung Jerai. Faktor utama keindahan air yang turun dari air terjun ini adalah kerana batunya yang tinggi dan rata, sangat menarik untuk dijadikan lokasi bergambar bagi anda yang sukakan fotografi. Walau bagaimanapun, lokasi ini tidaklah sesunyi Air Terjun Batu Hampar kerana ia merupakan kawasan perkhemahan yang terkenal terutamanya pada musim cuti, tambahan pula, air terjun ini agak jelas kelihatan walaupun dari Pekan Yan, ibarat memanggil orang untuk melawatnya.

Selain keindahan air terjun, anda juga akan disajikan dengan pemandangan menarik kawasan sawah padi dan perkampungan Melayu. Sungguh menakjubkan apa yang ditawarkan oleh alam ciptaan tuhan ini.

Alamat: Air Terjun Seri Perigi, Hutan Simpan Gunung Jerai


10. Gunung Jerai

Gunung Jerai
Sumber: Eco Coach

Gunung Jerai, gunung yang cukup indah ini merupakan satu lagi destinasi yang tidak patut kalau tak singgah semasa di Kedah. Tapi hati-hati semasa memandu mendaki gunung ini kerana jalannya agak sempit.

Setibanya anda di Taman Rimba yang terletak di atas Gunung Jerai ini, anda akan dapat melihat  banyak orkid yang tumbuh di sekitar yang dikumpulkan dari kawasan hutan lain di gunung ini.

Dari sini juga anda dapat menikmati pemandangan yang mengasyikkan kawasan yang lebih rendah seperti perkampungan, sawah padi dan laut biru seluas pemandangan. Jangan lepaskan peluang melihat keindahan matahari terbenam dari gunung ini yang pasti akan membuatkan anda terpesona. Rugi tak datang!

Alamat: Gunung Jerai, 08300 Yan, Kedah


9. Pantai Merdeka

Pantai Merdeka
Sumber: Yas

Pantai Merdeka ini terletak bertentangan dengan Pekan Tanjung Dawai dan pemandangan indah Gunung Jerai. Selain menyajikan pemandangan yang indah, di sini juga terdapat banyak kedai-kedai makan yang boleh anda pilih untuk menjamu selera sambil merasai bayu laut, makanan-makanan yang dijual di sini banyak yang menyelerakan dan rugi kalau tak dicuba seperti mee udang, char kuew teow, laksa, cendol dan banyak lagi. Memang syok baq hang makan tepi pantai ni, pekena pula dengan air kelapa.

Dari Pantai Merdeka juga anda boleh menaiki bot pelancong untuk ke Tanjung Dawai, dekat sini pun anda sekeluarga akan jumpa restoran yang menjual makanan laut yang segar lagi menyelerakan. Sangat banyak yang ditawarkan di Pantai Merdeka ini, terutamanya dari aspek makanan, tidak hairanlah ramai orang memilih untuk berkelah dan bersantai di sini setiap kali musim cuti. Jadi, anda tunggu apa lagi?

Alamat:  Pantai Merdeka, Jalan Merbok, Sungai Petani 08000


8. Taman Rekreasi Sungai Merbok

Taman Rekreasi Sungai Merbok
Sumber: David Lee

Terletak di bahagian utara bandar Sungai Petani adalah Sungai Merbok yang pernah menjadi laluan kapal-kapal layar pada zaman dahulu kala untuk bermudik ke hulu. Di bahagian kuala Sungai Merbok inilah terletaknya Pantai Merdeka di bahagian selatannya dan Tanjung Dawai di bahagian utaranya. Jangan lepaskan peluang melawati kawasan sungai ini yang kaya dengan pelbagai spesies bukau, burung dan ikan.

Aktiviti yang menarik untuk dilakukan di sini adalah menyusuri Sungai Merbok dengan menaiki bot pelancong sambil menjamu selera di atas bot dengan makanan laut yang segar-segar. Untuk pengalaman percutian yang unik dan menyeronokkan anda sekeluarga, anda boleh menginap di rumah bot yang disediakan.

Banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini seperti memancing dan menyegarkan mata melihat pemandangan sekeliling. Bagi yang bukan kaki memancing, boleh juga memilih untuk membuat aktiviti lain yang ditawarkan rumah bot seperti berbbq, karaoke, ataupun bermandi manda di sangkar yang disediakan. Pasti menyeronokkan!

Alamat: Sungai Merbok, Kedah


7. Air Terjun Tupah

Air Terjun Tupah
Sumber: Namaku Nizar

Air Terjun Tupah yang bersumberkan daripada Gunung Jerai ini amat popular dalam kalangan penduduk tempatan. Kalau anda ingin berkelah atau beriadah bersama keluarga, inilah salah satu kawasan untuk dikunjungi di Kedah.

Air jernih air terjun ini dapat menyegarkan badan yang penat setelah makan angin di tarikan-tarikan lain di sekitar Kedah, udaranya juga segar, maklumlah, di kawasan hutan kan. Air terjun ini turut menjadi pilihan ramai pencinta fotografi kerana keindahannya yang memukau.

Alamat: Air Terjun Tupah, Hutan Lipur Tupah, Kedah


6. Taman Tema Air The Carnival

The Carnival Kedah
Sumber: Azlina Wan Azhar

Kalau di Selangor dan KL, yang terkenal adalah Sunway Lagoon, tapi bagi orang-orang utara, Taman Tema Air The Carnivall adalah pilihan utama kalau nak bermandi-manda sambil berseronok dengan pelbagai aktiviti menarik. Lokasinya berdekatan dengan Cinta Sayang Resort dan pusat bandar Sungai Petani.

Antara aktiviti air yang ditawarkan di Taman Tema Air The Carnivall adalah kolam berombak, menaiki pelampung sepanjang Lazy River, gelongsor di dalam tiub yang curam dan bengkang-bengkok, serta gelongsor berkelajuan tinggi atau high speed slides yang merupakan yang paling mencabar di sini. Kedengaran menyeronokkan bukan? Apa kata anda cuba sendiri, jauh lebih seronok daripada apa yang dibayangkan.

The Carnivall bukan sekadar menawarkan aktiviti air, malahan ia juga menyediakan kemudahan untuk anda melakukan aktiviti lasak yang lain seperti menunggang kuda, bermain golf mini, climbing dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Isnin, Selasa & Khamis (11.00am – 6.00pm) | Jumaat – Ahad (10.00am – 7.00pm) | Rabu Kecuali Cuti Umum & Cuti Sekolah (Tutup)

Bayaran Tiket: Dewasa RM28| Kanak-kanak RM26| Khas RM26 (Harga Tiket Lebih Murah Pada Hari Bekerja)

Alamat: The Carnivall Waterpark, Persiaran Cinta Sayang, 08000 Sungai Petani, Kedah


5. Tanjung Dawai

Tanjung Dawai Kedah
Sumber: Tanjung Dawai Kedah

Tanjung Dawai yang terletak di muara sungai ini merupakan kawasan yang penduduknya terdiri daripada golongan petani dan nelayan. Di sini anda dapat melihat banyak bot-bot nelayan yang akan mula tiba pada penghujung hari setelah mereka mendapat hasil tangkapan.

Satu pemandangan yang tidak patut dilepaskan anda sekeluarga. Di samping menikmati pemandangan kawasan desa, anda juga boleh menikmati makanan yang dijual di gerai-gerai yang terdapat di sini. Ia juga lokasi yang menarik untuk anda bergambar kerana terdapat beberapa pondok kayu yang dibina selain sampan dan bot yang tersadai di pesisiran.

Dari Tanjung Dawai, anda turut dapat melihat pemandangan jelas pulau-pulau yang terdapat di sekitar seperti Pulau Telor, Pulau Bidan, Pulau Bunting dan Pulau Songsong. Cukup mengasyikkan mata yang memandang.

Alamat: Tanjung Dawai, 08400 Merbok, Kedah


4. Tasik Darul Aman

Tasik Darul Aman Kedah
Sumber: Amirul Faiz

Tasik Darul Aman merupakan taman rekreasi yang mana anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama ahli keluarga selain berjogging, iaitu menaiki buggy ride mengelilingi tasik, menaiki bot kayuh, bermain paintball, memberi ikan makan, bermain giant bubble dan banyak lagi yang pasti menceriakan hari anda sekeluarga. Pemandangan taman tasik ini cukup indah dengan banyak pokok-pokok getah yang menghiasi kawasan sekitar.

Alamat: Tasik Darul Aman, Bandar Darulaman, 06000 Jitra, Kedah


3. Pusat Membeli Belah Bukit Kayu Hitam

The Zon Duty Free
Sumber: Tatsaneeya Kurukarnkovit

Pusat membeli-belah Bukit Kayu Hitam ini terletak di sempadan Thailand. Ia terkenal bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, rakyat Thailand juga suka membeli-belah di sini.

Apa yang anda inginkan?  Besar kemungkinan ada di sini. Antara barangan yang dijual di sini adalah pakaian, kasut, permainan, aksesori, jam tangan, makanan dan bermacam lagi yang tak mampu untuk disenaraikan kesemuanya. Seperti biasa, jangan lupa tawar-menawar, siapa tak suka dapat beli dengan harga murah kan.

Waktu Operasi: 10.00am – 9.00pm

Alamat: Bukit Kayu Hitam, 06050 Bukit Kayu Hitam, Kedah


2. Ulu Legong Hot Spring

Ulu Lenggong Hot Springs
Sumber: Muafakat Baling

Ulu Legong Hot Spring yang terletak kira-kira 1 jam perjalanan dari Butterworth ini merupakan satu lagi destinasi pelancongan yang terkenal di utara Malaysia. Kolam mandian air panas ini terbahagi kepada 9 buah kolam yang berbeza dari segi kepanasan dan kesesuaian usia pelawat.

Sambil berendam badan di dalam kolam ini anda dapat menghirup udara segar Ulu Legong yang jauh dari sebarang pencemaran kawasan kota. Sebenarnya semakin malam, semakin meriah kawasan kolam air panas ini, lagi sedap mandi air panas ditemani sejuk udara malam kan?

Tidak cukup dengan berendam di kolam air panas yang menyegarkan badan, anda boleh juga melakukan pelbagai lagi aktiviti lain seperti berbbq, beriadah di gym outdoor yang disediakan ataupun menjamu selera di kedai-kedai makan yang terdapat di sini. Turut lengkap dengan tempat penginapan, kalau anda ingin berkelah ataupun berkhemah juga tidak menjadi masalah kerana di sini juga terdapat anak sungai yang mengalir.

Waktu Operasi: 24 Jam

Bayaran Tiket: Dewasa MyKad: RM6, Biasa: RM10| Kanak-kanak MyKad: RM3, Biasa: RM6 | Pesara Kerajaan, OKU & Warga Emas RM4

Alamat: Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, 09100 Baling, Kedah


1. Masjid Zahir

Masjid Zahir
Sumber: Phalinn Ooi

Lokasi Masjid Zahir yang merupakan salah satu daripada 10 masjid yang tercantik di dunia ini adalah ditengah-tengah kota Alor Setar. Masjid ini merupakan antara yang tertua di Malaysia.

Ia dibina pada tahun 1912 hasil inspirasi Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin II yang tertarik dengan rekabentuk Masjid Azizi yang terletak di Utara Sumatera. Masjid yang indah ini memiliki 5 kubah utama yang melambangkan 5 Rukun Islam.

Tapak di mana masjid ini dibina adalah tempat pusara pahlawan-pahlawan yang mempertahankan Kedah daripada serangan Siam pada tahun 1821. Datanglah ke Masjid Zahir untuk menyaksikan sendiri sebuah masjid yang begitu klasik dan indah ini.

Alamat: Jalan Kampung Perak, Bandar Alor Setar, 05150 Alor Setar, Kedah

Cuti sakan la no! Banyak betul tempat menarik di Kedah ni baq hang! Tak cukup sehari nak menapakkan kaki di semua destinasi ini nampaknya. Apa lagi yang ditunggu-tunggu? Kekayaan alam semulajadi yang ditawarkan di salah satu negeri tertua di Malaysia ini patut dinikmati oleh semua orang, muda atau tua. Tapi sebelum itu, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk membantu anda dalam memilih tempat penginapan yang menarik dengan harga yang bertepatan di Kedah.

Baca: 33 Tempat Menarik Di Penang

Dengan ini, Mai Singgah akhiri penulisan dengan cebisan daripada Seloka Orang Kedah nyanyian Zainal Hitam, “Mai chek oi mai chek mai! Kita ke negeri Kedah!” Jangan lupa dengar seloka ni bila dah dekat dengan Kedah nanti na!



Related Posts