19 Tempat Menarik Di Kelantan | Bercuti Ke Negeri Cik Siti Wan Kembang

Negeri Cik Siti Wan Kembang ini agak seronok untuk dilawati, lebih-lebih lagi kalau anda sudah sebati dengan suasana kota, mana nak cari keindahan panorama alam semulajadi kalau bukan di kawasan kampung? Sekiranya anda sekeluarga ke negeri ini, dapatlah merasa suasana kehidupan masyarakat kampung yang agak simple dan agak rapat antara satu sama lain, satu suasana yang menyenangkan.

Kalau anda datang ke Kelantan mesti anda akan tertarik dengan keramahan rakyat negerinya, dialek Kelantan itu sendiri agak sedap didengar di telinga. Nak kenal dengan lebih ramai ‘oghe Kelate’? Apa kata kalau anda menghabiskan masa percutian anda dengan melawat negeri ini? Boleh tahan banyak juga tempat yang menarik di Kelantan ni. Di sini kami senaraikan 19 tempat menarik di Kelantan yang pasti rugi sekiranya anda tak lawati semasa berada di sini.

19. Pantai Irama

Pantai Irama
Sumber: Syafa Zalani

Pantai ini dianggap sebagai pantai yang tercantik di Kelantan kerana keindahan air lautnya yang jernih kebiruan. Diberikan nama Pantai Irama kerana bunyi tiupan angin yang menenangkan jiwa yang dihasilkan pantai ini. Untuk pengetahuan anda, pantai ini selalu dijadikan tempat keramaian untuk penduduk tempatan. Anda boleh bermain sukan air atau mengajak keluarga anda beramai-ramai untuk membuat bbq di sini.

Anda juga boleh singgah ke KFC yang terletak betul-betul di tepi Pantai Irama ini. Setiap malam Jumaat pula terdapat pasar malam yang terletak di depan masjid berdekatan pantai untuk membeli makanan masyarakat tempatan ataupun kudapan untuk dimakan sambil menikmati pemandangan pantai.

Alamat: Bachok, 16300, Kelantan


18. Wakaf Che Yeh

Wakaf Che Yeh
Sumber: JeTunnel

Ada dua konsep perniagaan di Wakaf Che Yah ni, pada waktu siang Wakaf Che Yah adalah pasar borong yang menawarkan pelbagai barangan asas dan basah, bila menjelang malam pula, ia menjadi pasar malam yang penuh dengan pelbagai jenis barangan terutama sekali pakaian seperti kain pasang dan tudung. Barangan-barangan lain yang dijual di sini adalah seperti jersi bola sepak, jam tangan replika, tuala, kasut bundle, toto dan banyak lagi. Hati-hati kalau datang ke sini, sedar tak sedar, boleh licin duit poket.

Alamat: Wakaf Che Yeh, 15150 Kota Bharu, Kelantan

Baca: 35 Tempat Menarik Di Kuala Terengganu


17. Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan
Sumber: Made By Azri

Sebuah lokasi pelancongan yang perlu dilawati sekiranya ke Kelantan. Sangat seronok untuk bersiar-siar bersama keluaga di waktu petang sambil menikmati pemandangan matahari terbenam. Lagi syok kalau anda melepak di pantai sambil menikmati jagung rebus yang banyak dijual sepanjang perjalanan dari Kota Bharu ke pantai ini. Dah puas makan jagung, boleh rasa ‘colek’ atau air kelapa yang dijual di tepi pantai pula, baru terasa nikmat bersantai di tepi pantai yang indah ni. Anak-anak juga boleh bermain layang-layang yang turut dijual di sini. Kemudahan seperti surau dan tandas awam tersedia untuk orang kegunaan orang ramai.

Alamat: Banggol, 15350 Kota Bharu, Kelantan


16. Muzium Adat Istiadat

Muzium Adat Istiadat Kelantan
Sumber: Shutdown

Kalau teringin nak berkahwin dengan orang Kelantan, apa kata anda singgah ke sini dulu, sekurang-kurangnya dapatlah anda tahu sedikit sebanyak tentang adat dan sejarah masyarakat Kelantan, baru sejuk hati ibu dan ayah mertua, tak gitu?
Muzium Adat Istiadat ini terletak di  Istana Jahar yang siap dibina pada tahun 1887, ia juga merupakan tempat bersemayamnya Al-Marhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad ke IV (1920 – 1944). Di sini anda dapat melihat pameran adat DiRaja seperti adat pijak tanah, pertunangan, perkahwinan dan lain-lain. Kalau anda berjalan sehingga ke bahagian belakang istana pula terdapat Balai Senjata yang mana anda dapat melihat senjata-senjata lama yang digunakan di Negeri Kelantan macam kelewang, badik, keris dan lembing.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Khamis (9.00am – 4.30pm) | Khamis (9.00am – 3.30pm)

Bayaran Masuk: RM2.00

Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan


15. Pantai Bisikan Bayu

Pantai Bisikan Bayu
Sumber: Ahmad Zainuddin

Nama lain bagi pantai ini ialah Pantai Dalam Rhu, jarak antara pantai ini dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu adalah dalam 50 km. Di sepanjang pantai ini terdapat pohon cemara yang apabila ditiup bayu pantai menghasilkan bunyi yang menenangkan perasaan. Memang syok untuk anda menikmatinya sendiri sambil minum air kelapa, nak berkelah atau berkhemah, buatlah yang mana anda suka, yang penting anda dan keluarga dapat berseronok.

Untuk beraktiviti pula, kalau anda sukakan aktiviti ekstrem, pada musim-musim tertentu seperti musim Monsun Utara-Timur pada bulan November-April, anda boleh mengambil bahagian dalam aktiviti meluncur angin.

Alamat: Pasir Putih, Kelantan, 16800, Pasir Puteh, Kelantan


14. Muzium Negeri Kelantan

Muzium Negeri Kelantan
Sumber: Muzium Negeri Kelantan

Bangunan muzium ini pada asalnya adalah pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu, namun pada 6 Ogos 1990, bangunan ini telah dirasmikan sebagai Muzium Negeri Kelantan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan. Bahagian dalam muzium ini telah disusun atur yang mana bahagian pertama menunjukkan sejarah negeri Kelantan dari zaman dahulu sehingga ke zaman moden. Di bahagian yang seterusnya pula yang terletak di tingkat atas terdapat pameran seni budaya Kelantan seperti makyong, wayang kulit, rebana ubi dan lain-lain.

Bayaran Masuk: Dewasa RM5.00 | Kanak-kanak RM3.00

Alamat: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Jalan Hospital, 15000, Kota Bharu, Kelantan


13. Pantai Sri Tujuh

Pantai Sri Tujuh
Sumber: Kayrol Ridhwan

Dinamakan Sri Tujuh kerana pantai ini memiliki 7 buah teluk. Terletak berdekatan dengan Stesen Keretapi Tumpat, sekiranya anda datang dari Kuala Lumpur, anda boleh menaiki kereta api dengan bayaran sebanyak RM32. Setibanya di sini nanti anda boleh menginap di resort terapung, Resort Sri Tujuh yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti tempat bermain futsal, golf dan kolam mandi. Sebenarnya lebih baik mandi di kolam yang disediakan resort kerana ombak pantai ini agak kuat.

Antara aktiviti lain yang anda boleh lakukan sewaktu di pantai ini adalah seperti memancing ikan dan berkhemah.Kalau anda nak bersantai di gerai-gerai makanan di tepi pantai ini pun seronok juga sambil bertemankan bayu laut dan pemandangan indah.

Alamat: Pantai Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan


12. Muzium Diraja Istana Batu

Muzium Diraja Istana Batu
Sumber: Kecek Kelate Boh

Dibina pada tahun 1939 oleh Sultan Ismail I untuk dihadiahkan kepada anak saudaranya Yahya Petra sempena perkahwinannya dengan Raja Perempuan Zainab II. Digunakan sebagai tempat bersemayan Sultan Yahya Petra sehingga tahun 1960. Muzium Diraja Istana Batu ini merupakan destinasi yang perlu dilawati untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang keluarga DiRaja negeri Kelantan dan bagaimana suasana di dalam istana yang pernah menjadi tempat kediaman kerabat DiRaja pada zaman dahulu.

Terletak tidak jauh dari muzium ini adalah Masjid Muhammadi Masjid Negeri dan Istana Balai Besar Kampung Kraftangan.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat 8.30am – 4.45pm

Bayaran Masuk: Kanak-kanak RM0.50 | Dewasa RM1.00 | Pelancong Asing RM2.00

Alamat: Jalan Tengku Puteri, 15300, Kota Bharu, Kelantan


11. Pantai Tok Bali

Pantai Tok Bali
Sumber: Safuan

Asal-usul nama Tok Bali ini memiliki kisah di sebaliknya, sahih atau tidak, tak dapat dipastikan, tapi mengikut kepercayaan ramai masyarakat setempat, nama Tok Bali ini berasal daripada nama seorang nelayan dari Bali yang terdampar di pesisiran pantai ini pada suatu ketika dahulu kerana perahunya karam. Nelayan itu tinggal di sini buat beberapa tahun sebelum pulang ke negeri asalnya.

Sekiranya anda datang ke destinasi menarik ini dari Kota Bharu, masa yang diambil adalah sekitar 45 minit. Pantai ini merupakan tempat di mana para nelayan menurunkan ikan, sotong dan udang yang segar hasil tangkapan mereka. Untuk anda yang suka memancing, apa kata kalau anda menyewa bot persendirian sekiranya datang ke sini, dapatlah anda rasa pengalaman memancing di tengah laut. Kalau tak berani nak ke tengah laut, berkelah di tepi pantai pun sudah memadai untuk menikmati keindahan pantai ini.

Alamat: Tok Bali, 16700, Pasir Puteh, Kelantan


10. Muzium Perang Bank Kerapu

Muzium Perang
Sumber: Kelantan Online

Dibina pada tahun 1912 dan menjadi bangunan memorial mulai tahun 1992. Bangunan memorial ini dipenuhi dengan artifak dan gambar-gambar untuk memperingati Peperangan Dunia Kedua yang mana peperangan ini telah memberi kesan yang besar kepada negeri Kelantan kerana di sinilah bermulanya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu iaitu pada 8 Disember 1941 di Kuala Pak Amat Kota Bharu.

Pada asalnya, bangunan ini digunakan sebagai bank perdagangan dan digelar Kerapu disebabkan keadaan dindingnya yang menggerutu. Namun, semasa kedatangan Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945 bangunan ini menjadi ibu pejabat kempetai Jepun dan selepas peperangan bangunan ini diubah menjadi bank semula.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (8.30am – 4.45pm)

Bayaran Masuk: Warganegara RM1.00 | Bukan Warganegara RM2.00

Alamat: Jalan Pejabat Pos Lama, 15300, Kota Bharu, Kelantan


9. Gelanggang Seni

Gelanggang Seni
Sumber: Kota Bharu Bandar Raya Islam

Terdapat pelbagai aktiviti budaya yangdipamerkan di Gelanggang ini seperti wayang kulit, pembuatan wau, silat, permainan gasing, Rebana dan lain-lain lagi. Apalah gunanya kalau datang bercuti ke Kelantan tanpa melihat sendiri kekayaan  budaya tradisional Kelantan ni. Kalau anda nak tahu lebih lanjut lagi tentang butir-butir aktiviti yang dijalankan di Gelanggang Seni, anda boleh mendapatkan maklumat dari pusat pelancongan.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu (8.00am – 5.00pm)

Alamat: Jalan Mahmood, 15200, Kota Bharu, Kelantan


8. Muzium Islam

Muzium Islam
Sumber: My Sutra

Muzium yang berbentuk seperti masjid ini terletak di ibu negeri Kelantan, Kota Bharu, muzium ini juga berdekatan dengan lokasi bersejarah iaitu Bank Kerapu. Anda boleh membawa anak-anak ke sini untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang asal-usul agama Islam di tanah Kelantan. Terdapat banyak dokumen-dokumen dan artifak-artifak  yang bersejarah yang menjadi bukti pengaruh agama Islam sehinggakan  Kelantan mendapat gelaran sebagai Serambi Mekah. Di muzium ini anda dapat melihat pameran tentang tokoh-tokoh agama Islam, mufti-mufti negeri ini, seni-seni Islam dan lain-lain lagi.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (8.30am – 4.45pm)

Alamat: Jalan Masjid, Kota Bharu, Kelantan


7. Masjid Jubli Perak Sultan Ismail

Masjid Jubli Sultan Ismail Kelantan
Sumber: Islamic Art & Images

Nama lain bagi masjid ini adalah Masjid Beijing kerana senibinanya yang menyerupai masjid bersejarah, Masjid Niujie yang terletak di Beijing, China yang berusia lebih daripada 1000 tahun. Bumbung masjid ini berbentuk melengkung dan menaranya pula seperti memiliki serban yang dililit dengan unik.

Dibina pada tahun 2005 dan dirasmikan pada tahun 2009. Mempunyai dua tingkat dengan tingkat yang pertama untuk kegunaan awam seperti dewan makan, klinik, dewan serbaguna dan perpustakaan masjid. Tingkat yang kedua pula adalah ruangan sembahyang.

Alamat: Jalan Kampung Rantau Panjang, 17200 Rantau Panjang, Kelantan


6. Masjid Muhammadi

Masjid Muhammadi Kelantan
Sumber: Gukito

Masjid yang begitu penting di Kelantan ini telah dibina pada tahun 1867 dengan hanya menggunakan kayu-kayu yang terbaik namun diubah kepada konkrit pada tahun 1922. Masjid Muhammadi ini dapat menampung 2400 orang jemaah pada satu-satu masa. Dianggap sebagai masjid yang memainkan peranan yang sangat penting kerana di sinilah tempat di mana ramai ulama-ulama besar Kelantan pernah mengajar seperti Haji Wan Ali Kutan, Tuan Taba dan Tok Kenali.

Kerana kemahsyuran masjid ini sebagai tempat penyebaran ilmu agama di Nusantara, Kelantan mula terkenal sebagai Serambi Mekah.

Alamat: Jalan Sultanah Zainab, 15000, Kota Bharu, Kelantan


5. Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Sumber: Makkos Adventures

Kota ini adalah tempat tarikan pelancongan yang terkenal di negeri Kelantan. Kalau tak ke sini, tak lengkaplah perjalanan anda di Kelantan, sebabnya, di sinilah terletaknya banyak sekali monumen-monumen yang bersejarah seperti Istana Jahar, Bank Kerapu, Bank Pitis dan Istana Balai Besar. Anda boleh berjalan kaki di sekitar kota ini untuk melawat kesemua lokasi-lokasi bersejarah di sini.

Sebaik anda masuk ke Kota Sultan Ismail Petra, anda akan disambut oleh Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau Menara Rehal yang menjadi lambang kemegahan ibu negeri Kelantan, Kota Bharu. Terdapat banyak lokasi menarik untuk dilawati di sekitar Menara ini antaranya Padang Merdeka, Istana Balai Besar dan Bank Pitis.

Lokasi lain yang patut anda sekeluarga lawati juga kalau ke kota ini adalah seperti Muzium DiRaja, Masjid Muhammadi dan Kampung Kraftangan.

Alamat: D1, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan


4. Muzium Kraftangan

Muzium-Seni-Kelantan
Sumber: Muhammad Anuarul Amin Hasan

Terletak di pusat bandar Kota Bharu, kalau anda datang melancong ke negeri ini, memang wajib untuk anda singgah ke muzium ini kerana di sini anda dapat melihat pelbagai jenis hasil tangan kreatif dan barangan tradisional Kelantan. Barangan-barangan ini boleh dijadikan hiasan di rumah anda kalau anda ingin mewujudkan suasana klasik di mana-mana sudut rumah dengan barangan seperti songket, ukiran kayu, buluh, raga, anyaman rotan dan bermacam lagi jenis cenderamata.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (8.30am –  4.45pm)

Bayaran Masuk: RM1.00

Alamat: Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Kota, Off Jalan Belakang Istana, Kelantan, 15000 Kota Bharu


3. Lata Beringin

Lata Beringin
Sumber: Weeling Photography

Sebuah air terjun yang sangat indah di Kelantan dengan ketinggian sebanyak 120 meter, ia merupakan salah satu daripada air terjun yang tertinggi di Kelantan.

Antara aktiviti yang boleh anda sekeluarga lakukan sekiranya datang ke sini adalah seperti jungle trekking, berkhemah, memancing dan berkelah. Kalau anda yang sukakan fotografi juga, disyorkan untuk anda melawat air terjun ini kerana pemandangannya yang sangat menyejukkan mata.

Alamat: Sungai Pas, Kuala Krai


2. Taman Negara Kuala Koh

Taman Negara Kuala Koh
Sumber: B.P Kash

Taman Negara Kuala Koh ini adalah yang terbesar di Malaysia dan meliputi 3 negeri, Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan keluasan sebanyak 4343 kaki persegi. Hutan hujan tropika yang berusia lebih kurang 130 juta tahun ini dapat memberikan pengalaman penerokaan yang sebenar. Di sini anda mungkin dapat menemui haiwan-haiwan liar dan sekiranya anda bernasib baik, mungkin anda dapat melihat gajah yang berada di dalam hutan ini.

Antara aktiviti lain selain jungle trekking, anda boleh berakit ataupun memancing ikan di sungai yang tenang di hutan ini. Waktu yang terbaik untuk melawat Taman Negara ini adalah pada bulan April sehingga Oktober.


1. Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah
Sumber: Naim Fadil / CC BY-SA 2.0

Siapa tak kenal pasar yang mahsyur di Kelantan ni, di sinilah syurga membeli-belah untuk wanita. Bermacam-macam benda yang dijual di Pasar Siti Khadijah ini, dari barangan kraftangan, pakaian, barang kemas, alat solek, barang sulaman, permainan dan macam-macam lagi, bukan setakat barangan, malahan makanan pun pelbagai jenis seperti kuih-muih Kelantan, keropok, dodol, serunding, rempah ratus dan lain-lain.

Kalau nak membeli-belah di sini, anda akan mendapat harga yang special kalau membeli secara borong, bolehlah beli untuk saudara-mara atau geng-geng pejabat, kalau nak murah lagi, anda boleh cuba untuk bertawar-menawar dengan peniaga.

Kalau dah penat mencuci mata melihat barang-barang di pasar ni, anda boleh menjamu selera di medan selera  yang terdapat di tingkat satu bangunan ini. Boleh rambang mata anda melihat kepelbagaian jenis makanan yang terdapat di sini seperti laksam Kelantan, mee celup, nasi atau mee sup perut, pergh semua sedap-sedap, mesti puas punyalah!

Waktu Operasi: Setiap hari (7.00am – 6.00pm)

Alamat: Jalan Buluh Kubu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Kalau anda masih terfikir-fikir ke mana nak pergi pada musim cuti sekolah nanti, apa kata kalau ke Kelantan? Negeri yang terletak di pantai timur ini ternyata banyak tarikannya seperti tempat untuk bershopping dengan pasar-pasarnya yang terkenal dan meriah, tempat menenangkan fikiran di pantai dan hutan yang terjaga dengan baik, pusat-pusat kesenian yang mana anda sekeluarga dapat mempelajari dan melihat sendiri budaya tradisional masyarakat Kelantan dan tempat-tempat bersejarah. Mesti anak-anak anda seronok dengan bermacam tarikan yang ditawarkan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Apa-apa pun jangan lupa untuk melawat booking.com kalau anda nak bercuti ke Kelantan, sebab di laman web ini anda akan mendapat tawaran harga tempat penginapan dengan harga yang terbaik! Bajet yang selebihnya boleh digunakan untuk menikmati percutian anda sekeluarga di sini nanti.

Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca artikel ini, diharapkan senarai tempat-tempat menarik di Kelantan ini dapat membantu anda merancang perjalanan anda di sana nanti. Semoga percutian anda di Kelantan nanti menjadi memori yang terindah untuk anda sekeluarga.



Related Posts