50 Tempat Menarik Di Korea | Destinasi Terbaik Di Korea Selatan

Kimchi, K-Pop, K-Drama inilah tiga elemen utama Korea. Eh, betul ke?  Sebenarnya banyak lagi sudut lain Korea Selatan yang tersembunyi, dinanti untuk anda terokai. Tarikan alam semulajadi, lokasi bersejarah, street art, perkampungan dengan karektor tersendiri, gerai makanan yang enak, taman tema, muzium interaktif dan banyak lagi tarikan unik yang lain, semuanya terdapat di sini.

Di dalam artikel tempat menarik di Korea ini, MaiSinggah ingin membawa anda menerokai kota-kota terpanas di Korea Selatan yang kaya dengan destinasi hebat iaitu di Seoul, Busan, Daegu, Incheon dan Jeju Island. Teruskan membaca untuk mengetahui di mana destinasi terbaik yang mesti anda lawati untuk anda melepaskan kempunan kepada negara K-Pop ini.

Seoul

Seoul kalau disebut bunyinya juga seperti soul, sesuai sekali dengan namanya sebagai sebuah bandaraya yang begitu hidup tidak kira siang atau malam. Bukanlah sebuah bandaraya biasa, kerana bandar ini telah bernafas sebagai tempat penempatan sejak 2,000 tahun yang lalu lagi.

Kotaraya besar Seoul ini bukan sahaja manawarkan pusat-pusat membeli-belah, bangunan pencakar langit dan hiburan semata-mata, ia juga masih menyimpan khazanah alam dan budaya Korea yang masih asli. Di mana? Lihat senarai 10 destinasi wajib anda lawati di bawah.

50. Changdeokgung Palace

Changdeokgung Palace
Sumber: Seoul Korea

Changdeokgung Palace merupakan salah satu daripada tempat tinggal bagi keluarga diraja Korea. Untuk menerokai seluruh kawasan istana ini, anda memerlukan sekurang-kurangnya 2 jam. Tak cukup dengan keindahan istana ini, di luarnya pula terdapat taman yang cukup mengasyikkan keindahannya.

Terdapat beberapa buah kolam teratai dan dikelilingi dengan pokok-pokok yang penuh warna-warni terutama pada musim luruh, suasana di taman ini kelihatan sungguh magikal. Pejamkan mata dan bayangkan anda sedang berjalan-jalan dengan keluarga raja di sini.

Waktu Operasi:

Feb – Mei, Sep – Okt: 9.00am – 6.00pm

Jun – Ogos: 9.00am – 6.30pm

Nov – Jul: 9.00am – 5.30pm

Bayaran: Dewasa 19- 64 Tahun 3,000 Won | Remaja & Kanak-kanak 1,500 Won | Kanak-kanak Bawah 7 Tahun Percuma

Alamat:  99, Yulgok-ro, Jongno-gu, Seoul 03072, South Korea


49. National Museum of Korea

National Museum Of Korea
Sumber: Tour Seoul Korea

Sudah melancong ke negara orang, mesti banyak yang ingin anda pelajari pasal negara yang dijejaki itu kan? Kalau macam tu, sebelum anda melangkahkan kaki ke tarikan-tarikan yang lain di Korea ini, apa kata kalau anda melawat National Museum of Korea.

Melangkah masuk ke dalam muzium ini membuatkan anda merasa seperti merentasi zaman kerana pamerannya yang tersusun kemas bermula dari zaman pra-sejarah di Korea sehinggalah ke zaman moden, pameran ini juga lengkap dengan penerangan di dalam bahasa Inggeris (bukan senang nak jumpa muzium sebegini di Korea). Dah penat berjalan, anda boleh bersantai di banyak ruang santai yang disediakan pihak muzium.

Waktu Operasi: Isnin, Selasa, Khamis, Jumaat (10.00am – 6.00pm) | Rabu & Sabtu (10.00am – 9.00pm) | Ahad & Cuti Umum (10.00am – 7.00pm)

Bayaran: Percuma

Alamat: 137 Seobinggo-ro, Yongsan-gu, Seoul 04383, South Korea


48. N Seoul Tower

N Seoul Tower
Sumber: Honeyzlemon

Tak sah kalau tak melengkapkan penjelajahan anda di negara Korea tanpa melawat N Seoul Tower atau Namsan Seoul Tower, salah satu bangunan ikonik di Seoul. Sudahlah terletak di atas bukit, ditambah lagi dengan ketinggian menara ini yang mencapai 777 kaki, bayangkanlah pemandangan yang disajikan dari atas menara ini. Cukup mengujakan. Ramai juga yang mengatakan pemandangan dari tandas menara ini pun dah cukup hebat, tak perlu menuju ke dek pemerhatian.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat & Ahad (10.00am – 11.00pm) | Sabtu (10.00am – 12.00am)

Bayaran: Dewasa 10,000 Won | Kanak-kanak 8,000 Won

Alamat: 105, Namsangongwon-gil, Yongsan-gu, Seoul, South Korea


Baca: 45 Destinasi Menarik Di Perth

47. Hangang Park

Hangang Park
Sumber: Korea Tourism Organization

Terletak di tepian Sungai Hangang, Hangang Park merupakan sebuah taman rekreasi yang lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk anda beraktiviti bersama keluarga di waktu petang seperti tempat bermain bola keranjang, gelanggang bola tampar, gelangang tenis, skate rink, pusat kecergasan, laluan basikal dan juga sebuah kolam renang yang luas.

Walaupun taman ini agak popular sehinggakan ada yang membuka khemah, ajaibnya, kawasan sekitar kelihatan sangat bersih.  Di samping itu, dari Hangang Park juga anda dapat melihat pemandangan indah bandaraya Seoul yang terletak di seberang sungai. Teringin ke sini? Rancanglah aktiviti menarik bersama keluarga sebelum datang, kalau anda nak tahu antara aktiviti yang terkenal di sini adalah menaiki bot pedal, berkanu, bbq, berkhemah, ski air dan banyak lagi!

Alamat: Hangang Park, Seoul, South Korea


46. Insadong

Insadong
Sumber: Érzéki Korea “Young”

Sebuah kawasan yang pada asalnya adalah tempat pelukis-pelukis di Korea mempelajari seni lukisan pada zaman Dinasti Joseon (1392-1910), kini Insadong masih lagi mengekalkan semangat keseniannya dengan kewujudan pelbagai jenis galeri seni, pakaian, lukisan, kraftangan dan lain-lain lagi. Di sini jugalah anda boleh membeli barangan untuk menghasilkan kaligrafi, bermacam jenis teh, hanji (kertas tradisional Korea), hanbok (pakaian tradisional Korea) dan lain-lain lagi. Lokasi yang wajib anda lawati!

Alamat: 62, Insadong-gil, Jongno-gu, Seoul


45. Bukchon Hanok Village

Bukchon Hanok Village
Sumber: Korean Beauty

Kalau anda sudah ke muzium sewaktu di Korea untuk mempelajari sejarahnya, di Bukchon Hanok Village pula adalah sebuah lokasi terbaik untuk anda menyelami budaya tradisional masyarakat Korea.

Sebaik anda menjejakkan kaki di sini, terasa seperti anda hidup di zaman yang berbeza, mana tidaknya, tiada satu pun rumah di sini yang mengikuti perubahan zaman, beratus-ratus rumah di sekitar Bukchon Hanok Village ini adalah rumah tradisional Korea ataupun digelar hanok. Banyak rumah-rumah klasik di sini yang dijadikan rumah tumpangan, restoran, pusat kebudayaan dan rumah teh. Jangan lepaskan peluang untuk memasuki hanok-hanok ini ya!

Alamat: 37, Gyedong-gil, Jongno-gu, Seoul


44. Namsan Park

Namsan Park
Sumber: Atakorn Daengpanya

Selain memiliki lanskap yang memukau jiwa terutama sekali pada musim luruh, Namsan Park juga merupakan lokasi bersejarah kerana pada zaman dahulu ia merupakan kawasan yang dijadikan kubu daripada serangan musuh. Di Namsan Park, anda dapat menikmati keindahan bunga-bungaan yang berwarna-warni di sekitarnya, bunyi burung-burung yang berkicauan mesra, dan kemudahan lain seperti gym, tempat memanah dan banyak lagi.

Alamat: 231, Samil-daero, Jung-gu, Seoul


43. Grevin Museum

Grevin Museum Seoul
Sumber: 陳虹伶

Dibuka pada tahun 2015, muzium empat tingkat, Grevin Museum adalah sebuah muzium yang unik yang mesti anda lawati di Korea Selatan. Setiap bahagian di Grevin Museum ini direka dengan tema-tema tertentu yang dapat memberikan anda pengalaman yang cukup realisitik. Apa yang dapat anda lihat di sini? Pernah dengar tentang muzium orang lilin di Madame Tussauds? Inilah yang dapat anda rasai di Grevin Museum.

Namun yang menariknya lagi tentang muzium ini adalah kerana pameran di sini juga adalah dalam bentuk yang interaktif. Antaranya, anda dapat bermain bola keranjang dengan Michael Jordan, menghadiri kelas Albert Einstein, berjalan di red carpet yang dikelilingi oleh artis Hollywood serta Korea dan macam-macam lagilah. Pendek cerita, semua yang tak mungkin berlaku dalam hidup sebenar, dapat anda rasai di sini.

Waktu Operasi:

Jan – Jun, Sept – Dis: Ahad – Khamis (9.30am – 7.00pm) | Jumaat, Sabtu (9.30am – 9.00pm)

Julai – Ogos: Isnin – Sabtu (9.30am – 9.00pm) | Ahad (9.30am – 7.00pm)

Bayaran: Dewasa 18,000 Won | Kanak-kanak 15,000 Won | Warga Emas 65 Tahun Keatas 15,000 Won

Alamat: 23, Eulji-ro, Jung-gu, Seoul 04523, South Korea


42. Bongeunsa Temple

Bongeunsa Temple
Sumber: KTO Thailand

Sudah berada di Korea tapi tidak melawat kawasan keagamaannya, terasa tidak lengkap pula. Terletak di tengah-tengah kawasan hutan di tengah bandar Seoul adalah sebuah tokong Buddha yang sangat indah, Bongeunsa Temple.

Seperti tokong-tokong yang lain, Bongeunsa Temple turut dikelilingi oleh taman yang menyejukkan pandangan mata. Berjalan-jalan di sekitar taman ini anda dapat melihat banyak pokok bonsai dan pokok buah pir yang tumbuh mekar. Di bahagian pintu masuk tokong ini pula terdapat pokok kacang hazel. Terasa macam di taman botani pula.

Alamat:  73 Samseong-dong, Gangnam-gu, Seoul 135-090, South Korea


41. Namdaemun Market

Namdaemun Market
Sumber: Sjitour Korea

Dengan sekitar 17,000 buah gerai, Namdaemun Market adalah sebuah pasar yang perlu anda lawati untuk menghilangkan kempunan membeli-belah anda. Antara barangan yang terdapat di sini adalah pakaian, peralatan menulis, karya seni, aksesori, topi, mainan, barangan kaca dan banyak lagi, apa sahaja yang terlintas di fikiran, mungkin ada di sini.

Harga yang ditawarkan di pasar ini juga cukup murah! Di sini juga terdapat pusat jualan borong, memang lokasi yang terbaiklah kalau anda nak bawa balik cenderamata bagi orang tersayang. Bagi Muslim, jangan risau, banyak juga gerai-gerai makan di sini yang sesuai untuk anda.

Waktu Operasi: 24 Jam | Ahad (Banyak Kedai Ditutup)

Alamat: 21, Namdaemunsijang 4-gil, Jung-gu, Seoul 04529, South Korea


Busan

Mesti ramai yang baru mengetahui tentang kewujudan Busan ini daripada filem Train to Busan kan? Tidak berzombi, tapi Busan secara realitinya adalah sebuah bandar yang lebih santai daripada kotaraya Seoul yang memiliki populasi yang lebih padat.

Sebagai bandaraya kedua yang terbesar di Selatan Korea, Busan cukup kaya dengan tarikan alam semulajadinya seperti gunung-ganang, bukit-bakau dan pantai. Selain itu, ia juga merupakan lokasi yang agak popular untuk drama-drama Korea. Apa lagi? Jom kita menuju ke destinasi-destinasi ini sekarang!

40. Haedong Yonggung Temple

Haedong Yonggung Temple
Sumber: Oraphilssum Tours

Terletak di kawasan tebing bersebelahan lautan indah, di Haedong Yonggung Temple anda dapat merasakan bayu laut yang membelai jiwa dan cukup menyegarkan dada. Bagi pencinta fotografi, lokasi ini pasti membuat anda jatuh cinta berulang kali di mana sahaja anda pandang. Tokong ini bukan sahaja menawarkan nilai estetika yang tinggi kerana keindahan rekaannya dan pemandangan di sekelilingnya, malahan juga kerana usianya yang cukup antik, telah wujud sejak tahun 1376 lagi.

Alamat: 416-3, Sirang-ri, Gijangeup, Gijang-gun, Busan 619-902, South Korea


39. Dongbaekseom Island

Dongbaekseom Island
Sumber: Aprilia Nur Tasfiyati

Walaupun ia digelar sebagai pulau, Dongbaekseom Island sebenarnya bercantum dengan tanah di  kota Busan kerana proses pemendapan yang berlaku dari tahun ke tahun. Sekiranya anda ke ‘pulau’ ini, anda dapat menikmati panorama yang keindahannya sukar diungkapkan dengan kata-kata terutama sekali pada waktu matahari terbenam.

Dari sini anda dapat menyaksikan lanskap bandaraya yang begitu gah berdiri di seberang laut. Setelah puas menikmati pemandangan dari dek kayu yang disediakan, jangan lupa untuk menuju ke arah rumah api yang juga merupakan tarikan utama di Dongbaekseom Island.

Alamat: 67, Dongbaek-ro, Haeundae-gu, Busan


38. Gwangalli Beach

Gwangalli Beach
Sumber: Thomas Lau Ing Ngan

Gwangalli Beach merupakan kawasan pantai dengan air  yang cukup jernih. Dari pantai ini anda dapat melihat keindahan jambatan Gwangandaegyo terutama sekali pada waktu malam kerana pada waktu ini jambatan ini dihidupkan dengan cahaya lampu yang indah. Cukup sempurna bagi anda yang kaki fotografi!

Waktu terbaik untuk anda mendapatkan sensasi keseronokan sebenar di pantai ini adalah pada bulan Oktober ketika Busan International Firework Festival diadakan. Antara pertunjukan yang dijalankan di sini sepanjang festival ini adalah pertunjukan cahaya laser dan bunga api yang penuh warna-warni.

Alamat: 219, Gwanganhaebyeon-ro, Suyeong-gu, Busan


37. Taejongdae

Taejongdae
Sumber: Tivona Thang

Sebaik anda sampai ke Taejongdae, jangan lepaskan peluang untuk menaiki keretapi Danubi iaitu keretapi hop-on hop-off yang membawa anda ke semua destinasi menarik di sini. Destinasi pertama keretapi ini adalah kawasan pemerhatian untuk anda menikmati pemandangan yang menyegarkan.

Destinasi kedua yang akan dituju adalah rumah api, untuk menuju ke rumah api, anda perlu berjalan kaki agak jauh dari landasan Danubi, pastikan anda berpakaian sesuai sebab bayu laut di sini agak kuat juga. Antara kawasan-kawasan tarikan lain yang terdapat di Taejongdae adalah tokong, tebing dan tapak dinasour.

Waktu Operasi (Danubi Train):

Mac – Okt: 9.20am – 8.00pm

Nov – Feb: 9.20am – 7.00pm

Bayaran (Danubi Train): Dewasa 2,000 Won | Remaja 1,500 Won | Kanak-kanak 1,000 Won

Alamat: Dongsam-dong, Yeongdo-gu, Busan, South Korea


36. Masjid Al Fatah Busan

Masjid Al Fatah Busan
Sumber: Ahmad Rokib

Bagi yang beragama Islam kalau melancong di negara yang majoritinya bukan Islam mesti terasa betapa mencabarnya nak mencari lokasi bersolat yang sesuai. Andai kata anda ke Busan, singgah sahaja ke Masjid Al Fatah Busan yang terletak berdekatan dengan Stesen Dusil Exit 8. Selain daripada masjid ini, di kawasan sekitarnya juga terdapat 2 buah restoran halal. Solat sudah, perut pun dah kenyang, barulah seronok nak berjalan ke sana ke mari.

Alamat: 113-13, Geumdan-ro, Geumjeong-gu, Busan 46215, South Korea


35. BIFF Square

BIFF Square
Sumber: Cup the free world

Terletak berdekatan dengan Menara Busan, BIFF Square atau nama panjangnya Busan International Film Festival adalah lokasi terkenal dalam kalangan kaki shopping dan juga pencinta makanan. Kalau anda datang ke sini jangan lupa untuk mencuba makanan popular yang terkenal dalam kalangan pelancong iaitu Hotteok, di dalamnya terdapat kacang, serbuk cinnamon dan juga bijan. Memang sedap! Murah pula tu.

Alamat: 20, BIFF gwangjang-ro, Jung-gu, Busan


34. SEA LIFE Busan Aquarium

Sea Life Busan Aquarium
Sumber: Haneul K-Shop

Siapa yang tak terpukau dengan hidupan di dalam lautan, kalaulah menyelam itu mudah dan murah, mesti dah ramai yang menjadikan ini aktiviti kegemaran. Bagi yang lain, akuariumlah lokasinya untuk menikmati panorama dalam air yang mengujakan ini.

Oleh itu, tak ada sebab untuk anda tidak melawati SEA LIFE Busan Aquarium untuk memeriahkan percutian anda di Busan. Terdapat dalam sekitar 250 spesies haiwan marin berbeza di akuarium ini. Masa yang diambil untuk menikmati keindahan marin di sini adalah dalam sekitar 30 ke 40 minit.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00am – 8.00pm) | Jumaat – Ahad (9.00am – 10.00pm)

Bayaran: Dewasa 29,000 Won | Kanak-kanak 23,000 Won

Alamat: 266, Haeundaehaebyeon-ro, Haeundae-gu, Busan


33. Gamcheon Culture Village

Gamcheon Culture Village
Sumber: Debby Kwong

Hidup tanpa warna terasa sangat membosankan, sebab itulah Gamcheon Culture Village penuh dengan warna-warni di setiap sudutnya! Pastikan anda memakai kasut yang selesa untuk berjalan di sekitar kawasan kampung yang bertingkat-tingkat ini. Dah penat berjalan, berhenti sahaja di mana-mana kedai kopi yang banyak terdapat di sini. Barulah sempurna!

Alamat: 203, Gamnae 2-ro, Saha-gu, Busan


32. Haeundae Beach

Haeundae Beach
Sumber: Korean Beauty

Dah puas ke sana ke mari di Busan, apa kata kalau anda menenangkan fikiran di Haeundae Beach, kawasan pantai indah yang berkepanjangan 1.5 km ini menawarkan pemandangan yang cukup menawan hati. Sebelum bersantai di pantai ini, beli dulu kopi Starbucks yang terletak betul-betul berhadapan dengan pantai ini. Memang terbaiklah! Minum kopi sambil menikmati bayu laut.

Alamat: Haeundae-gu, Busan, South Korea


31. Beomeosa Temple

Beomeosa Temple
Sumber: Kevin in journey

Cantik dan klasik, inilah Beomeosa Temple yang terletak di Busan. Anda dapat menikmati keindahan tak terkira sekitar kawasan tokong ini pada musim luruh, waktu di mana daun-daun di pokok dipenuhi dengan warna-warni merah, hijau dan kuning, cukup sempurna untuk dijadikan latar belakang gambar percutian anda sekeluarga.

Alamat: 546 Cheongnyong-dong, Geumjeong-gu, Busan, South Korea


Daegu

Kota Daegu walaupun kurang terkenal berbanding dengan destinasi lain di Korea, bukanlah sebuah kota yang calang-calang, kerana di sinilah bermulanya kisah jenama-jenama terkenal di dunia seperti LG dan Samsung. Namun, yang menjadi tarikan utama pelancong untuk ke sini adalah keindahan alamnya yang cukup mempesonakan.

30. Bukbu Asia Town

Bukbu Terminal
Sumber: noksaeksari

Namanya pun sudah menjelaskan golongan mana yang tertarik dengan lokasi ini, tak lain tak bukan pelancong dari negara-negara Asia seperti Indonesia, Thailand dan Malaysia. Di sinilah anda menjumpai bermacam kedai-kedai runcit dan restoran yang menjual makanan yang halal.

Dah puas penuhkan backpack anda dengan barangan keperluan, barulah tenang rasa hati nak mengatur langkah ke destinasi menarik yang lain di Daegu. Di sini juga terdapat sebuah masjid untuk anda beribadah, barulah berkat perjalanan, tak gitu?

Alamat: Bisan-dong, Seo-gu,  Daegu


29. Apsan Observatory

Apsan Observatory
Sumber: Helenna Anggia

Untuk ke Apsan Observatory terdapat dua cara, yang pertama adalah dengan mendaki sehingga ke puncak gunung Apsan, kalau anda berstamina tinggi apa salahnya kan? Dapatlah anda menghirup udara segar sepanjang pendakian.

Cara yang kedua dan paling mudah pula adalah dengan menaiki kereta kabel yang disediakan di kaki gunung. Walau apa pun cara yang anda pilih untuk ke ruang pemerhatian ini, anda pasti tidak akan kecewa dengan pemandangan yang ditawarkan, hilang penat mendaki, duit yang dikeluarkan untuk menaiki kereta kabel juga tidak terasa ruginya.

Bayaran: Dewasa 9,500 Won | Kanak-kanak 6,500 Won

Alamat: 574-114 Apsansunhwan-ro, Daemyeong 9-dong, Nam-gu, Daegu


28. Kim Gwang Seok Street

Kim Gwang Seok Street
Sumber: Karim In Korea

Bermula dengan sebuah tugu yang dibina untuk memperingati penyanyi dan penulis lagu terkenal Korea yang meninggal di usia muda, Kim Gwang Seok, jalan di sekitarnya kini dihias dengan penuh kreatif. Setiap sudut di Kim Gwang Seok Street ini termasuklah kedai-kedai dan restoran yang terdapat di sini dicurahkan dengan karya seni kreatif.

Tempat-tempat duduk juga ada yang direka dengan bentuk seperti gitar. Pastikan kamera anda memiliki bateri yang penuh sebelum ke sini! Di samping itu, anda mungkin dapat melihat penghibur jalanan melakukan persembahan untuk menghiburkan orang yang lalu lalang. Sebuah jalan yang cukup nostalgik dan muzikal!

Alamat: 12 Gil 450 Dalgubeoldae-ro, Daebong-dong, Junggu, Daegu


27. Apsan Park

Apsan Park
Sumber: John Samon

Sekiranya anda masih lagi memiliki baki-baki stamina untuk menerokai keindahan yang ditawarkan di Daegu, jangan lepaskan peluang untuk mendaki Gunung Apsan. Masa yang diambil adalah dalam sekitar 2 jam sebelum anda sampai ke puncak bagi menikmati keindahan pemandangan sekitar Daegu.

Kalau tak larat, jangan risau, naik sahaja kereta kabel. Bagi anda yang memilih untuk mendaki, anda dapat menikmati udara yang segar dan pemandangan yang indah sepanjang perjalanan. Jadi, apa lagi? Bina stamina anda dari sekarang!

Bayaran (Kereta Kabel): Dewasa 9,500 Won | Kanak-kanak 7,500 Won

Alamat: 35, Dalseonggongwon-ro, Jung-gu, Daegu 41924, South Korea


26. Dongseongno Street

Dongseongno Street
Sumber: Noriko Yamamoto

Dongseongno Street adalah salah sebuah jalan yang terkenal di Daegu dalam kalangan anak-anak muda. Kalau terkenal dengan remaja sudah pasti tak lari dari fesyen bukan? Di sinilah anda dapat melihat bermacam jenis kedai pakaian, aksesori, barangan kemas dan lain-lain lagi, termasuklah panggung wayang. Bagi kaki shopping, anda pasti teruja melihat betapa murahnya harga barangan yang ditawarkan di sini.

Waktu Operasi: 11.00am – 11.00pm

Alamat: Samdeokdong1-ga, Jung-gu, Daegu-si


25. Hillcrest

Hillcrest Daegu
Sumber: JinWook Michael Jeon

Hillcrest merupakan sebuah taman tema eko yang sentiasa meriah dengan pelbagai jenis aktiviti bersesuaian dengan musim sama ada musim panas, sejuk, luruh ataupun bunga. Antara aktiviti yang ditawarkan di sini adalah seperti sledding (musim sejuk), aktiviti air (musim panas) dan taman herba (musim bunga).

Di samping itu, Hillcrest turut menyediakan aktiviti Eco-Adventure bagi anda yang berjiwa kental. Antara aktiviti yang ditawarkan dalam Eco-Adventure adalah flying fox, wall climbing, tightrope walking, ladder ropes dan banyak lagi. Jangan lupa untuk membawa kamera gopro anda untuk merakamkan detik-detik lasak anda di sini!

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.30am – 7.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.30am – 8.00pm)

Bayaran: Bermula Dari 8,000 Won (Dewasa) | Bermula dari 6,000 Won (Kanak-kanak)

Alamat: 1003, Gachang-ro, Gachang-myeon, Dalseong-gun, Daegu


24. Biseul Mountain

Biseul Mountain
Sumber: Patnaree Mahayothee

Gunung yang berketinggian 1084 meter ini, Biseul Mountain, merupakan destinasi indah yang mesti anda lawati tanpa mengira musim. Puncak gunung ini lengkap dengan pelbagai kemudahan yang membuatkan ia sesuai dilawati bagi anda yang datang bersama keluarga. Pemandangan dari kawasan gunung ini sangat menarik hati dengan pemandangan Angaegyegok iaitu lembah pada musim panas,  bunga-bungaan Chamkkot pada musim bunga, gunung yang diselaputi ais pada musim sejuk dan pokok mapel pada musim luruh. Sangat fotogenik!

Alamat: Gakbuk-myeon, Cheongdo-gun and Gachang-myeon, Yuga-myeon, Okpo-myeon, Dalseol-gun, Daegu Metropolitan City


23. Daegu Arboretum

Daegu Arboretum
Sumber: Daegu travel

Siapa sangka sebuah tapak buangan sampah boleh berubah menjadi sebuah destinasi alam semulajadi yang mengasyikkan jiwa. Tapak yang dahulunya dipenuhi dengan lebih daripada 4.1 juta ton sampah kini ditumbuhi dengan pelbagai jenis tumbuhan indah dengan udara yang menyegarkan selepas dibiarkan selama 10 tahun kerana pembangunan. Untuk menikmati keindahan sebenar Daegu Arboretum, lawatilah pada musim luruh, ketika mana daun-daun mula berubah warna.

Waktu Operasi:

Jan –  Apr, Sept – Dis: 9.00am – 6.00pm

Mei – Ogos: 8.00am – 7.00pm

Bayaran: Percuma

Alamat: 342, Hwaam-ro, Dalseo-gu, Daegu 42829, Korea Selatan


22. 83 Tower

83 Tower
Sumber: Korea Tourism Organization

Tak sah kalau tidak melawat bangunan ikonik di sesebuah tempat yang dilawati bukan? Kalau di Daegu, inilah dia mercu tandanya, 83 Tower, sebuah menara yang tertinggi di Daegu. Pemandangan pada waktu malam di sini sangat memukau. Nak lebih terpukau? Datanglah ke sini pada hari Festival Starlight diadakan, pada waktu ini, sekitar 8 juta lampu LED dinyalakan di sekitar menara.

Yang menariknya lagi, di sini juga terdapat ice skating rink. Dah puas menikmati pemandangan, apa salahnya kalau anda mencipta memori indah bersama keluarga dengan berseronok di sini?

Waktu Operasi: 10.00am – 10.00pm

Bayaran (Day-Pass): Dewasa 33,000 Won | Remaja 14 – 19 Tahun 29,000 Won | Kanak-kanak 3-13 Tahun 24,000 Won

Alamat: 200, Duryugongwon-ro, Dalseo-gu, Daegu


21. E-World Daegu

E-World Daegu
Sumber: visitkorea.or.kr

E-World Daegu adalah sebuah taman tema indah yang terletak di sekitar 83 Tower. Di taman tema ini terdapat pelbagai tarikan menarik untuk dicuba termasuklah roller coaster, boomerang, carousel, little car ride, magic castle dan banyak lagi.

Kawasan di sekitar taman tema ini juga cukup menarik bagi anda yang ingin bergambar terutama sekali pada waktu malam kerana taman tema ini akan ditumpahi dengan cahaya yang penuh warna-warni. Baru nampak funfairnya!

Waktu Operasi: 10.00am – 10.00pm

Bayaran: Dewasa 16,000 Won | Remaja 10,000 Won | Kanak-kanak 9,000 Won

Alamat: 200, Duryugongwon-ro, Dalseo-gu, Daegu


Incheon

Bukanlah sekadar tempat pendaratan kapal terbang bagi pelancong yang datang dari pelbagai pelusuk dunia. Incheon sebenarnya menyimpan pelbagai permata tersembunyi pelancongan yang sangat menarik dan unik. Jom kita terjah.

20. Incheon Bridge

Incheon Bridge
Sumber: Joe Yoon

Berkepanjangan 21.39 km, Incheon Bridge adalah jambatan yang ketujuh terpanjang di dunia. Dari jambatan ini anda dapat melihat keindahan air laut dan juga bandaraya Incheon terutama sekali pada waktu malam. Seni bina jambatan ini juga cukup mengagumkan, pastikan anda merakam video sewaktu berada di atas jambatan ini, barulah gempak video percutian anda!

Alamat: 3, Incheondaegyo Expressway, Jung-gu, Incheon


19. Incheon Grand Park

Incheon Grand Park
Sumber: Youngmin Ko

Seperti namanya, Incheon Grand Park, bukanlah taman yang kecil tapi sebuah taman yang sangat ‘grand’!  Dengan gunung-ganang, taman botani, tasik dan rumah-rumah hijaunya, sekali dilawati pasti nak datang lagi. Tanpa mengira musim, Incheon Grand Park sentiasa memiliki lanskap yang indah.

Bukan hanya itu, taman besar ini juga turut lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti ruang berbasikal, khemah untuk bersantai dan perpustakaan kecil di mana anda boleh mendapatkan buku untuk dibaca sambil menghirup udara segar.

Waktu Operasi: Mac – Okt (5.00am – 11.00pm) | Nov – Feb (8.00am – 8.00pm)

Alamat: Jangsu-dong, Namdong-gu, Incheon, South Korea


18. Freedom Park

Jayu Park (Freedom-Park) Incheon
Sumber: Gatsby Chee

Freedom Park ataupun Jayu Park adalah sebuah taman di atas bukit yang menawarkan pemandangan indah sekitar Incheon, lautan dan gunung-ganang. Taman yang dijaga dengan baik ini dikelilingi dengan tumbuhan-tumbuhan dan bunga-bungaan yang indah dipandang terutama sekali pada musim bunga. Kalau anda nak tahu, Freedom Park merupakan taman dengan gaya barat yang pertama di Korea.

Alamat: 25, Jayugongwonnam-ro, Jung-gu, Incheon


17. Jeondeungsa Temple

Jeondeungsa Temple
Sumber: Mirela Matesan

Tokong yang indah ini, Jeondeungsa Temple pada asalnya dinamakan Jinjongsa ketika zaman Dinasti Goryeo. Bangunan utama tokong ini, Daeungbojeon, memiliki seni bina yang begitu mengagumkan dari segi ukirannya. Di dinding bangunan ini pula tertulis nama-nama pejuang Korea yang menentang tentera Perancis pada suatu ketika dahulu untuk mendapatkan nasib yang baik sewaktu peperangan.

Waktu Operasi: 7.30am – 6.30pm

Bayaran: Dewasa 3,000 Won | Remaja 2,000 Won | Kanak-kanak 1,000 Won

Alamat: 37-41, Jeondeungsa-ro, Gilsang-myeon, Ganghwa-gun, Incheon


16. Songwol-dong Fairy Tale Village

Songwol Dong Fairy Tale Village
Sumber: Honey Jam Jam

Dari satu lokasi ke satu lokasi telah anda bawa anak-anak, tapi tak ada satu pun yang membuatkan mereka gembira sakan? Nah, ini dia lokasi pengubat jiwa anak anda, Songwol-dong Fairy Tale Village, entah-entah anda pun turut excited berada di perkampungan dunia dongeng ini.

Siapa yang tak seronok melihat karakter-karakter kartun terkenal di sekitar kampung ini. Walaupun kawasannya agak kecil, namun setiap pelusuk, tiang, dinding, bumbung, tingkap malahan tangga dihidupkan dengan warna-warni dan watak-watak kartun. Snow White, Cinderella, Jack and the Beanstalk, Peter Pan, Alice in the Wonderland dan bermacam lagi, semuanya ada di sini.

Alamat: 38, Donghwamaeul-gil, Jung-gu, Incheon


15. Songdo Central Park

Songdo Central Park
Sumber: ไพรัตน์ พินิจกุล

Seperti di Central Park New York, Songdo Central Park pun tak kurang hebatnya, walaupun dikelilingi dengan hutan konkrit, taman ini tetap mekar dengan kehijauannya.

Ia juga sangat meriah dengan pelbagai aktiviti seperti berbasikal, berkayak, menaiki bot pedal dan kapal layar. Selain dapat melihat pemandangan hijau dan bangunan-bangunan gah yang berdekatan, anda juga dapat mendekati arnab dan rusa yang terdapat di sini.

Alamat: 196, Techno park-ro, Yeonsu-gu, Incheon


14. Jjajangmyeon Museum

Jjajangmyeon Museum
Sumber: Korea M.I.C.E.

Untuk pengetahuan anda, Jjajangmyeon adalah nama sejenis mee yang dicipta oleh pendatang dari negara China pada awal 1900-an. Makanan ini terkenal dalam kalangan pekerja China pada zaman itu yang menginginkan sesuatu yang lazat dan murah. Kini, penggunaan mee Jjajangmyeon kian meluas sehingga banyak digunakan dalam masakan Korea. Apa agaknya yang dapat anda lihat di muzium ini kalau bukan berkenaan dengan mee ini dan juga tentang kedatangan rakyat China ke Korea.

Waktu Operasi: 9.00am – 6.00pm

Bayaran: Dewasa 1,000 Won | Remaja 700 Won | Kanak-kanak 500 Won

Alamat: 56-14, China town-ro, Jung-gu, Incheon


13. Ganghwa Chojijin Fortress

Ganghwa Chojijin Fortress
Sumber: Hilmi Kesenek‎

Ganghwa Chojijin Fortress merupakan sebuah kubu yang dibina pada tahun 1655 untuk mempertahankan Korea dari serangan musuh yang datang dari arah laut. Sekiranya anda ke sini, anda dapat melihat dengan dekat beberapa buah meriam yang digunakan dalam pertahanan oleh tentera pada era Dinasti Joseon.

Bayaran: Dewasa 700 Won | Remaja & Kanak-kanak 500 Won

Alamat: 58, Haeandong-ro, Ganghwa-gun, Incheon


12. Sindo Island

Sindo Island
Sumber: Wanseok Ryu

Untuk pengetahuan anda, sebenarnya Sindo merupakan salah satu daripada 3 buah pulau yang dihubungkan antara satu sama lain dengan jambatan. Sindo Island merupakan pulau yang terletak di antara dua buah pulau iaitu Sido dan Modo. Namun begitu, Sindo Island adalah yang paling membangun antara yang lain.

Di kawasan pantai pulau ini yang dipanggil Sugi Beach, merupakan destinasi yang terkenal sebagai tapak perkhemahan. Di sekitar pulau ini pula popular dengan aktiviti berbasikal. Bawalah keluarga anda ke sini untuk menikmati keindahan alam dengan berkhemah dan berbasikal. Pasti akan menjadi sebuah memori yang sukar dilupakan.

Alamat: Ongjin-gun, Incheon, South Korea


11. Incheon Children’s Museum

Incheon Children’s Museum
Sumber: Arch2O

Incheon Children’s Museum adalah sebuah muzium yang sangat interaktif atau dalam erti kata lain, tidak membosankan. Di sini anda dan anak-anak dapat melihat pelbagai pameran menarik yang dalam masa yang sama dapat mencungkil kreativiti mereka.

Antara pameran interaktif yang terdapat di sini adalah ‘Dino Exploration,’ ‘Book Study,’ ‘Teaching Tools Study,’ ‘Global Village Culture Search,’  ‘Science Exploration,’ bilik seni, dan bilik 3D. Sebuah muzium yang cukup ilmiah!

Waktu Operasi: 10.00am – 6.00pm

Bayaran: Dewasa & Remaja 13 Tahun Keatas 5,000 Won | Kanak-kanak 6,000 Won

Alamat: 618, Maesohol-ro, Nam-gu, Incheon


Jeju Island

Juga digelar sebagai “Kota Bulan Madu Korea Selatan,” Jeju Island adalah sebuah pulau indah yang  menempatkan beberapa buah destinasi yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO. Kalau anda bukanlah seorang yang berjiwa romantik, jangan risau, di sinilah tempatnya untuk anda melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti mendaki, meneroka gua lava dan banyak lagi. Di sini juga terletaknya muzium terbuka yang membawa anda ke masa lalu Korea.

10. Jeju Folk Village Museum

Jeju Folk Village Museum
Sumber: All About Korea

Nak tahu bagaimana perkampungan klasik di sekitar Jeju Island? Datanglah ke Jeju Folk Village Museum untuk melihat persekitaran masa lalu ini. Dengan keluasan 40 ekar, kawasan kampung ini direka dengan penuh teliti menggunakan barangan-barangan antik yang termasuklah 1046 barangan buluh, 1627 barangan kayu dan banyak lagi.

Muzium perkampungan yang cukup realistik! Tak cukup lagi untuk membuat anda ingin datang ke sini? Kalau anda peminat drama Korea, drama Korea yang agak terkenal bertajuk Dae Jang Geum dirakamkan di sini. Apa lagi? Datang jangan tak datang!

Waktu Operasi:

Okt – Feb: 8.30am – 5.00pm

Mac: 8.30am – 5.30pm

Apr – 15 Jul: 8.30am – 6.30pm

16 Jul – Ogos: 8.30am – 6.30pm

Sep: 8.30am – 6.00pm

Bayaran: Dewasa 10,000 Won | Remaja 7,000 Won | Kanak-kanak 6,000 Won | Warga Emas 8,000 Won

Alamat: 631-34, Minsokhaean-ro, Pyoseon-myeon, Seogwipo-si, Jeju-do


9. Manjanggul Cave

Manjanggul Cave
Sumber: Shin’ya Kawamura

Manjanggul Cave adalah antara tapak warisan UNESCO di Korea. Untuk pengetahuan anda, Manjanggul Cave adalah salah satu daripada gua atau terowong yang terpanjang di dunia. Yang menariknya tentang terowong ini adalah kerana ia sebenarnya terbentuk hasil daripada aliran lava pada suatu ketika dahulu.

Kepanjangannya adalah dalam sekitar 8 ke 9 km, namun, hanya 1 km sahaja yang dibuka kepada pelancong. Yang dibuka ini pun sudah cukup mencabar untuk dilalui kerana keadaan yang agak malap dan permukaan jalan yang licin. Suhu di dalam gua ini juga agak sejuk. Sekiranya anda ingin menerokai gua ini, pastikan anda memakai pakaian yang tebal dan kasut yang tahan licin.

Waktu Operasi: 9.00am – 6.00pm

Bayaran: Dewasa 2,000 Won | Remaja & Kanak-kanak 1,000 Won

Alamat: 182, Manjanggul-gil, Jeju-si, Jeju-do


8. Teddy Bear Museum

Teddy Bear Museum Jeju
Sumber: Ida Sim Jie Yin

Banyak juga sebenarnya lokasi menarik di Korea yang telah dijadikan lokasi filem terkenal, Teddy Bear Museum adalah salah satunya.  Drama Korea yang dirakamkan disini adalah Princess Hours.

Bagi anda yang tak minat dengan filem Korea pun, mesti anda teringin melihat bagaimana rupa teddy bear-teddy bear di sini dalam karektor yang berbeza seperti Elvis Presley, Marilyn Monroe, Madonna dan lain-lain kan? Sebuah pameran yang cukup unik! Salah satu pameran yang terdapat di sini juga adalah pameran teddy bear yang sudah berusia sekitar 100 tahun lebih, lengkap dengan gambarnya bersama dengan pemilik-pemiliknya pada ketika dahulu.

Waktu Operasi: 9.00am – 7.00pm | Musim Panas (9.00am – 10.00pm)

Bayaran: Dewasa 10,000 Won | Remaja 9,000 Won | Kanak-kanak 8,000 Won

Alamat: 31, Jungmungwangwang-ro110beon-gil, Seogwipo-si, Jeju-do


7. Jungmun Beach

Jungmun Saekdal Beach
Sumber: Marisa Aldaiz

Jungmun Beach adalah sebuah pantai yang agak unik dengan pasir yang pelbagai warna seperti merah, hitam, putih dan kelabu. Pantai yang indah ini sering dijadikan lokasi drama-drama Korea. Di sekitar kawasan pantai ini juga terdapat tebing yang kaya dengan pelbagai jenis fauna yang eksotik. Alang-alang ke pantai ini, jangan lepaskan peluang melawat kawasan tebing ini.

Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah menaiki kapal layar, menyelam skuba, ski air, parasailing dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, paras air di kawasan pantai ini agak dalam, pastikan anda memakai jaket keselamatan ataupun pelampung kalau mahu bermandi-manda di sini, lebih-lebih lagi sekiranya anda bukanlah perenang yang hebat.

Alamat: Jungmungwangwang-ro 72beon-gil, Seogwipo-si, Jeju-do


6. Jeju Waterworld

Jeju Waterworld
Sumber: Lucky Llanes

Sudah puas melawati pelbagai destinasi di sekitar Jeju, badan pun sudah penat, apa lagi cara terbaik untuk melegakan badan kalau bukan di taman tema air? Bukan itu sahaja, di Jeju Waterworld juga terdapat sauna, spa, pusat kecergasan, kampung herba dan tempat bermain golf indoor.  Lokasi yang tepat untuk anda bersantai bersama keluarga sebelum meneruskan siri penjelajahan di Pulau Jeju.

Waktu Operasi: Bukan Musim Cuti 10.00am – 7.00pm | Musim Cuti 10.00am – 9.00pm

Bayaran:

All-Day Pass: 10.00am – 8.00pm 26,000 Won

Tiket Petang: 2.00pm – 8.00pm 21,000 Won

Percuma: Bawah 3 Tahun

Alamat: 31, World cup-ro, Seogwipo-si, Jeju-do, Korea


5. Seongsan Ilchulbong

Seongsan Ilchulbong
Sumber: Travel More, Pay Less

Nama lain yang diberikan kepada Seongsan Ilchulbong adalah Seongsan Sunrise Peak. Lihat sahaja bentuknya yang unik seperti mahkota ini, sehinggakan ia diiktiraf sebagai salah satu daripada 7 keajaiban dunia dan kawasan pertama yang diiktiraf sebagai tapak warisan oleh UNESCO.

Seongsan Sunrise Peak ini terbentuk sekitar 100,000 tahun yang lalu selepas sebuah letusan gunung berapi di permukaan lautan berlaku. Satu fenomena alam yang cukup mengujakan.

Waktu Operasi: Musim Panas 7.10am – 7.00pm | Musim Sejuk 7.30am – 6.00pm

Alamat: 284-12, Ilchul-ro, Seongsan-eup, Seogwipo-si, Jeju-do


4. Jeongbang Falls

Jeongbang Falls
Sumber: Lurima Travel

Antara salah satu tempat menarik di Korea yang menjadi sasaran pelancong tempatan dan antarabangsa adalah Jeobang Falls. Jeongbang Falls adalah satu-satunya air terjun yang mengalir jatuh terus ke dalam lautan di Asia. Untuk menikmati pemandangan yang betul-betul indah Jeongbang Falls ini anda boleh menuju ke ruang pemerhatian yang terletak di tebing. Walau bagaimanapun, sekiranya anda ingin mendekati air terjun ini, anda perlu berhati-hati kerana batuan di sini agak licin.

Waktu Operasi: 8.00am – 6.00pm

Bayaran: Dewasa 2,000 Won | Kanak-kanak 1,000 Won

Alamat: Chilsimni-ro 214beon-gil, Seogwipo-si, Jeju-do


3. Cheonjeyeon Waterfall

Cheonjeyeon Waterfall
Sumber: World Landscapes

Cheonjeyeon Waterfall adalah air terjun tiga tingkat yang unik dan sangat indah. Di bahagian timur air terjun ini terdapat sebuah gua yang mengeluarkan air membentuk air terjun tingkat pertama, dari sini air terkumpul di dalam kolam yang menjadikan air terjun yang kedua, dan air terjun yang terakhir sekali mengalirkannya ke dalam laut. Untuk melihat kesemua peringkat air terjun ini, anda perlu menaiki anak tangga yang agak banyak, alang-alang dah sampai tu, gigihkanlah diri ya, barulah berbaloi.

Waktu Operasi: 8.00am – 6.00pm

Bayaran: Dewasa 2,500 Won | Remaja & Kanak-kanak 1,350 Won

Alamat: 27, Saekdal-ro 189beon-gil, Seogwipo-si, Jeju-do


2. O’Sulloc Tea Museum

O’Sulloc Museum
Sumber: Sublimeholic

Dengar nama muzium ini, O’Sulloc Tea Museum, apa yang anda bayangkan? Macam galeri seni pula kan, tapi sebenarnya ini merupakan sebuah muzium teh yang memiliki rekaan dalaman yang agak elegan dikelilingi dengan tanaman teh hijau. Di dalam muzium ini anda dapat melihat sejarah pembuatan teh, di sebelah muzium ini pula terdapat kedai yang menjual pelbagai produk yang berasaskan teh termasuklah kosmetik.

Jangan lupa untuk mencuba teh panas secara percuma di kedai ini. Di samping itu, terdapat juga bangunan yang digelar Tea Stone yang memiliki rekaan dalaman yang cukup menarik dengan tingkap yang luas menyajikan pemandangan penuh kehijauan di luar. Di Tea Stone, anda dapat menyaksikan bagaimana upacara teh diadakan dan mempelajari lebih banyak tentang budaya meminum teh di Selatan Korea.

Waktu Operasi: 9.00am – 6.00pm

Bayaran: Percuma

Alamat: 15, Sinhwayeoksa-ro, Andeok-myeon, Seogwipo, Jeju Island 63521, South Korea


1. Mount Hallasan

Mount Hallasan Jeju Island
Sumber: Jeju Tourism Organization

Percutian anda di Korea tidaklah sempurna sekiranya tidak menuju ke Mount Hallasan. Di sinilah pemandangan ibarat syurga dapat anda saksikan kerana kepelbagaian spesies tumbuhannya, bukan sedikit tapi begitu banyak sekali iaitu dalam sekitar 1,800 jenis kesemuanya.  Fauna yang terdapat di sini pula adalah dalam sekitar 4,000 spesies. Atmosfera segar dan menakjubkan yang ditawarkan di gunung ini dapat anda nikmati dengan pendakian yang agak mencabar.

Waktu diambil untuk mendaki dan turun dari gunung ini bagi yang jarang-jarang melakukan aktiviti lasak adalah dalam sekitar 10 jam. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, inilah yang boleh dikatakan tentang gunung indah Hallasan. Panorama indah yang ditawarkan membuatkan anda terlupa segala penat-lelah.

Alamat: 2070-61, 1100-ro, Jeju-si, Jeju-do

Banyak sekali tarikan yang ditawarkan Korea Selatan ini. Seminggu pun tak cukup untuk melawat kesemuanya. Kalau anda ingin memaksimakan destinasi-destinasi yang dapat anda sekeluarga lawati semasa di Korea nanti, rancanglah perjalanan anda dengan teliti sebab bukan selalu dapat terbang ke negara orang ini. Walau bagaimanapun, sebelum anda ke sana, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk membuat tempahan hotel dengan harga yang murah. Dah tempah hotel, baru senang hati.

Jangan buang masa lagi, lagi cepat anda packing, lagi cepatlah anda dapat menemui selebriti K-Pop tercinta anda! Annyeong!

Baca: 50 Destinasi Terbaik Di Jepun



Related Posts