30 Tempat Menarik Di Krabi | Syurga Pencinta Pulau & Pantai Pasir Putih

Teringin membawa keluarga bercuti ke luar negara tapi tak mahu mengeluarkan wang yang banyak? Sawadikap! Mari kita ke Krabi! Sama ada ini baru pertama kali anda sekeluarga ingin ke luar negara, ataupun sudah banyak ke negara lain, jangan dipejamkan sebelah mata dengan tarikan yang terdapat di negara jiran kita Thailand ini.

Memiliki lebih daripada 200 buah pulau di sekitarnya, Krabi adalah salah satu daerah di Thailand yang terkenal dalam kalangan pelancong di seluruh dunia. Kalau ingin dibezakan kawasan lain di Thailand seperti di Phuket, Krabi adalah destinasi yang sesuai untuk anda lawati bersama keluarga kerana kawasan persekitarannya yang lebih mesra pelancong yang datang dalam pelbagai peringkat umur. Nak tahu dimana destinasi-destinasi ini? Teruskan membaca senarai 30 tempat menarik di Krabi ini.

30. Railay beach

Railay Beach Krabi
Sumber: Code de Rêve

Berpasir putih, air laut yang cukup jernih kebiru-biruan, dikelilingi pula dengan bukit-bukit batu kapur, bayangkanlah keindahan Railay Beach yang terletak di Krabi Town ini. Untuk menuju ke pantai indah ini anda perlu menaiki bot kerana pantai ini dipisahkan dari kawasan lain dengan bukit batu kapur.

Di samping memiliki pemandangan yang memukau untuk anda sekeluarga bersantai menenangkan fikiran, Railey Beach turut terkenal dalam kalangan wall climber kerana tebing-tebing yang terdapat di sekitarnya.

Alamat: 194/5 Moo 5 | Tambol Saithai, Railay Beach, Krabi Town 81000


29. Thung Teao Forest Natural Park

Thung Teao Natural Park
Sumber: Pawah Travelouge

Ini adalah sebuah destinasi yang wajib anda lawati bila berkunjung ke Thailand, Thung Teao Forest Natural Park. Apa yang menarik di hutan ini adalah kekayaan flora dan faunanya yang unik, manakan tidak, Thung Teao Forest Natural Park adalah hutan dara yang tidak pernah dikacau oleh tangan manusia untuk sebarang bentuk pembangunan, pembalakan dan lain-lain.

Untuk meneroka kawasan rimba ini anda perlu menggunakan laluan semulajadi yang berkepanjangan sekitar 2.7 km. Apa yang menarik di dalam hutan ini adalah air terjunnya, namun tarikan yang paling terkenal di hutan ini adalah kolam kristalnya. Dinamakan kolam kristal kerana airnya yang begitu jernih. Yang bestnya lagi, air kolam ini agak suam, memang nikmatlah bermandi-manda di sini!

Bayaran: Dewasa 200 Baht | Kanak-kanak 100 Baht

Alamat: Thung Teao Forest Natural Park, Khao Pra-Bang Khram | Berdekatan Bang Teao Village


Baca: 50 Destinasi Terbaik Di Singapore

28. Wat Tham Sua

Wat Tham Sua
Sumber: Travelmate Tour

Untuk menuju ke tokong Wat Tham Sua, anda perlu menaiki 157 anak tangga, larat ke? Kalau tak larat anda boleh sahaja menggunakan kereta kabel yang disediakan dengan bayaran 20 Baht seorang.

Tapi apa salahnya mendaki sikitkan, dapatlah dibakar sikit kalori tu. Sampai sahaja di Wat Tham Sua, anda akan disajikan dengan pemandangan indah kawasan sekitar yang dikelilingi oleh sawah padi dan berhadapan dengan empangan Mae Klong. Rekabentuk bangunan-bangunan di kawasan tokong ini juga penuh dengan warna-warni.

Alamat: Tha Muang 71110


27. Klong Thom Hot Springs

Klong Thom Hot Springs
Sumber: Exotiq Property Krabi

Inginkan sensasi mandian air panas yang bukan sahaja menyegarkan badan tapi juga mungkin dapat membantu mengurangkan penyakit badan anda? Berendam sahaja di Klong Thom Hot Springs. Sambil berendam anda boleh memejamkan mata dan merelakskan fikiran bertemankan bunyi indah alam semulajadi.

Air kolam ini turut memiliki banyak ruang-ruang kolam lain yang terhasil secara semulajadi, kalau anda datang ke sini, pilihlah yang mana yang menarik hati anda, terasa seperti berada di tab mandi rumah sendiri pula. Namun begitu, kawasan kolam ini agak meriah dikunjungi, oleh itu, anda disarankan untuk datang ke sini sekitar pukul 7.00am ke 8.00am dan 4.00pm ke 5.00pm untuk menikmati mandian dengan lebih tenang.

Bayaran: Dewasa 160 Baht | Kanak-kanak 4-12 Tahun 100 Baht

Alamat: Ban Bang Khram, Khlong Thom


26. Khao Khanab Nam

Khao Khanab Nam
Sumber: 태사랑

Apa yang menariknya di Khao Khanab Nam ni? Khao Khanab Nam adalah bukit yang memiliki gua-gua yang mengujakan dengan batuan stalakmit dan stalaktit terbentuk di dalamnya. Untuk menuju ke kawasan bukit ini anda perlu menaiki bot yang disediakan di Chao Fa Pier di Krabi, dan masa diambil untuk sampai ke sini adalah dalam sekitar 15 minit. Setelah sampai ke kawasan bukit anda boleh menaiki tangga untuk menuju ke gua-gua yang ada di sini.

Setelah puas menikmati keindahan bukit ini, jangan lepaskan peluang untuk menerokai keindahan kawasan paya bakau di Krabi dengan menaiki bot sebelum pulang. Dari kawasan paya ini anda dapat melihat kekayaan faunanya seperti monyet, ikan dan burung-burung yang berterbangan.

Alamat: Khlong Prasong, Mueang Krabi District, Krabi 81000


25. Krabi Town

krabi town main road
Sumber: tomyamthailand.com

Kalau dah sampai ke Thailand tapi tidak singgah ke Krabi Town, macam makan nasi tak berlauk je rasanya. Inilah lokasi yang mesti anda lawati sebelum menggerakkan langkah anda ke destinasi-destinasi lain di Krabi.

Macam-macam tarikan yang terdapat di Krabi Town ini untuk memenuhkan aktiviti seharian anda seperti tokong Buddha yang indah, Wat Kaew dan Wat Tham Seua serta kawasan-kawasan membeli-belah. Makanan? Tak payah ceritalah, ada sahaja makanan menarik untuk dicuba di mana-mana di sekitar pekan ini. Pastikan halallah ya.

Alamat: Krabi Town, Thailand


24. Susan Hoi

Susan Hoi (Shell Cemetary)
Sumber: Amari Vogue Krabi

Susan Hoi merupakan tapak fosil ataupun nama seramnya di dalam bahasa Inggeris shell cemetery yang berusia dalam 40 ke 25 juta tahun. Fosil-fosil ini terhasil apabila batu kapur yang datang daripada air pantai menyelaputi kerang, siput dan banyak lagi haiwan marin lain sehinggalah terbentuknya tapak fosil ini.

Untuk pengetahuan anda, hanya 3 sahaja lokasi sebegini di peta dunia, iaitu di Jepun, Amerika Syarikat dan di Thailand iaitu Susan Hoi ini. Peluang yang sukar didapati, jadi, jangan sia-siakan masa anda di Krabi tanpa melihat di depan mata sendiri fosil-fosil purbakala ini.

Alamat: Susan Hoi, Ban Laem Pho, Krabi


23. The Four Islands – Lawatan dari pulau ke pulau

The Four Islands Krabi
Sumber: Krabi Rungtawan & Ao nang G.R Tours

Sekiranya anda suka bersnorkeling, apa kata kalau anda mengikuti lawatan snorkeling yang ditawarkan banyak agensi-agensi pelancongan di Krabi ini. Yang menariknya, pakej-pakej yang ditawarkan membawa anda ke bukan satu namun banyak pulau berdekatan seperti Ko Ngai, Ko Kradan, Ko Chueak, Ko Waen dan Ko Mook dalam masa sehari.

Salah satu agensi yang menawarkan perkhidmatan ini adalah The Four Islands. Bagi anda yang ingin meneroka Thailand sepuas hati, inilah caranya. Jangan lupa untuk membawa pakaian yang sesuai untuk aktiviti snorkeling dan sunblock!

Alamat (The Four Islands): 437/1 Moo 1, Saladan Village, Koh Lanta, Krabi, Thailand 81150


22. Koh Panyi (Kampung Terapung Muslim)

Koh Panyi
Sumber: Amazing Thailand Nederland

Koh Panyi merupakan perkampungan nelayan yang majoriti penduduknya adalah Muslim. Di sini anda dapat melihat banyak kedai-kedai yang menjual cenderamata dan juga yang paling penting sekali kedai makan.

Bagi anda yang dah seharian berjalan tu, mailah ke Koh Panyi untuk menjamu selera, sedap-sedap juga makanan di sini. Yang menariknya lagi tentang Koh Panyi ini adalah kawasan bermain bola sepaknya yang juga terapung di atas air, memang unik!

Alamat: Ko Panyi Subdistrict, Krabi Town, Thailand


21. Krabi Night Market / Krabi Town Walking Street

Krabi Town Night Market
Sumber: Geek Street

Krabi Night Market  ataupun Krabi Town Walking Street adalah pasar yang tidak begitu besar tapi cukup padat dengan bermacam jenis barang yang termasuklah cenderamata dan makanan. Melihat barangan-barangan yang dijual di sini, anda perlu menguatkan jiwa supaya tidak mengeluarkan duit tanpa keperluan, memang banyak yang menarik seperti beg kulit, barangan mutiara, lukisan pop-art dan macam-macam lagi.

Sambil berjalan-jalan di sini juga anda akan disajikan dengan persembahan muzik tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak. Di samping itu, anda dapat melihat demonstrasi pembuatan pelbagai barangan kraftangan Thailand yang cukup unik.

Waktu Operasi: Jumaat, Sabtu & Ahad (5.00pm – 10.00pm)

Alamat: Soi 10, Maharat Road | Berhadapan City Hotel, Krabi Town


20. Phra Nang Beach

Phra Nang Beach Krabi
Sumber: Thailand Travel

Pantai yang berkepanjangan 450 meter ini, Phra Nang Beach, memiliki tanah yang sangat sedap dipijak, kehalusan pasirnya terasa seperti kulit kaki dimanja-manjakan. Air lautnya juga cukup tenang untuk anda sekeluarga bermandi-manda tanpa risau. Di samping itu, di sini juga anda boleh bersnorkeling untuk melihat batu-batu karang indah yang terdapat di dalam air. Sah! Phra Nang Beach adalah sebuah pantai yang sempurna seperti di dalam mimpi.

Alamat: Phra Nang Beach, Krabi


19. Nosey Parker’s Elephant Camp

Nosey Parker's Elephant Camp
Sumber: Wittaya Mananit

Nosey Parker’s Elephant Camp adalah salah satu daripada kem trek gajah yang terkenal di Thailand. Yang menjadikan Nosey Parker’s Elephant Camp terkenal adalah kerana cara gajah-gajah di sini yang dilayan dengan penuh kasih-sayang. Tak adalah anda berasa bersalah menaiki gajahnya nanti.

Sekiranya anda mengikuti program di sini anda dapat merasa pengalaman yang agak mahal untuk ditukar ganti iaitu menaiki gajah untuk melihat keindahan alam semulajadi di sekitar seperti sungai dan hutan hijau yang menenangkan. Terasa seperti hidup di zaman dahulu waktu dimana gajah digunakan sebagai pengangkutan. Bila lagi nak merasa? Yang paling best sekali, anda akan dibawa melalui air sungai bersama gajah. Jangan lupa untuk merakam memori indah ini nanti!

Bayaran:

Program 1 (2-3 Jam): Dewasa 800 Baht | Kanak-kanak 400 Baht

Program 2 (Separuh Hari): Dewasa 1700 Baht | Kanak-kanak 900 Baht

Alamat: 19 Krabi Road, Krabi Town 81000


18. Wat Kaew Temple

Wat Phra Kaew Temple
Sumber: Laurie Meikle

Wat Kaew Temple  adalah sebuah tokong yang terletak di tengah-tengah Krabi Town. Sampai sahaja di sini anda akan melihat tangga tinggi putih yang dikelilingi oleh naga berwarna emas. Setelah penat-lelah menaiki tangga, anda dapat melihat kompleks tokong besar yang kelihatan tenang, disibukkan dengan kehadiran ayam dan burung merak.

Bila dah sampai tu, jangan lepaskan peluang untuk memasuki ruang dalam tokong, kalau di luar bangunan anda dapat menikmati keindahan pemandangan yang menyejukkan mata, di dalam tokong ini pula cukup meriah dengan warna-warni. Di tengah-tengahnya terdapat patung Buddha besar berwarna keemasan.

Alamat: Issara Road, Pak Nam, Krabi Town 81000, Thailand


17. Koh Lanta

Koh Lanta
Sumber: ThailandiaWeb

Koh Lanta terdiri daripada beberapa buah pulau namun yang paling terkenal adalah Koh Lanta Yai yang memiliki air laut yang tenang dan pemandangan yang begitu mengasyikkan. Di sini anda boleh menyelam untuk melihat panorama dalam air yang agak jelas. Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah berkayak di kawasan paya bakau yang terdapat berdekatan pulau.

Alamat: Ko Lanta District, Krabi, Thailand


16. Songprak River

Songprak River Rafting
Sumber: YourKrabi.com

Sukakan aktiviti lasak? Dah puas bersantai-santai mencuci mata di Krabi, apa lagi nak dibuat untuk mempercantikkan percutian anda kalau bukan dengan melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan adrenalin anda sekeluarga.

Jom ke Songprak River untuk mengambil bahagian dalam sukan ekstrem mengharung jeram ataupun water rafting. Ada berani? Yang bestnya lagi, dah puas melawan keganasan air sungai, anda boleh meneruskan aktiviti anda di sekitar dengan menaiki ATV, barulah sempurna!

Alamat: Krabi Noi, Thailand


15. Koh Klang

Koh Klang
Sumber: Pete Chen

Koh Klang merupakan sebuah pulau kecil yang dikelilingi oleh paya bakau, sungai dan Laut Andaman. Sekiranya anda mengidamkan suasana kampung yang sebenar, inilah lokasinya. Sebahagian besar kawasan tanah di pulau ini ditanami dengan sawah padi dan kereta pula tidak dibenarkan sama sekali digunakan di sini, mana tak klasik suasananya kan?

Di samping itu, di pulau yang majoritinya adalah masyarakat Muslim ini, mudahlah untuk anda mencari makanan-makanan enak yang halal di sini. Bukan itu sahaja sebab untuk anda melawat pulau indah ini, Koh Klang juga adalah antara destinasi terkenal untuk aktiviti memerhati burung. Pertandingan nyanyian burung sering diadakan di sini. Selain itu, anda juga boleh melihat pembuatan batik yang penuh warna-warni dihasilkan oleh masyarakat di sini.

Alamat: Ko Klang Khlong Prasong, Mueang Krabi District, Krabi 81000


14. Khao Ngon Nak Viewpoint

Khao Ngon Nak Viewpoint
Sumber: Tips Thailand

Bagi anda yang berbadan fit tu jom cuba mendaki bukit Khao Ngon Nak. Pendakian bukit ini agak mencabar, namun anda akan sentiasa ditemani dengan keindahan flora dan fauna yang indah dan agak eksotik. Perjalanan untuk menuju ke puncak bukit yang berketinggian 565 meter dari aras laut ini mengambil masa sekitar 2 jam.

Sekiranya anda merancang untuk mendaki bukit ini, pastikan anda datang di awal pagi untuk mengelakkan pancaran matahari dan sebolehnya juga jangan mula mendaki selepas pukul 2 petang, dah gelap nanti macam mana nak balik? Tapi apa salahnya, dapatlah anda menikmati pemandangan yang mengasyikkan di atas puncak lebih lama.

Panorama indah yang disajikan boleh membeliakkan mata anda, dikelilingi oleh pulau-pulau yang terkenal di seantero dunia, sudah pasti pemandangannya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Bayaran: Percuma

Alamat: Nong Thale, Krabi Town


13. Tha Lane Bay

Tha Lane Bay
Sumber: Tha Lane Bay Discovery Tour

Tha Lane Bay adalah salah sebuah kawasan paya bakau yang terindah di Thailand. Kawasan teluk yang dikelilingi oleh bukit batu kapur ini turut kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna. Tha Lane Bay juga merupakan destinasi yang terkenal untuk anda yang sukakan aktviti berkayak.

Alamat: 112 Moo 3, Khao Thong, Muang Krabi, Krabi 81000


12. Ao Thalane

Ao Thalane
Sumber: Steve Gan

Ao Thalane adalah sebuah lagi teluk yang dikatakan terindah di Thailand. Perkampungan nelayan ini juga seperti Tha Lane Bay yang dikelilingi oleh bukit batu kapur yang menjadi lokasi idaman pencinta aktiviti kayak. Sekiranya anda menginginkan suasana percutian yang tenang di Thailand, inilah salah satu destinasi yang pasti memberikan kepuasan kepada anda sekeluarga.

Dikelilingi alam semulajadi yang cukup terjaga, sangat menenangkan jiwa. Bab makanan pula, disebabkan ini adalah kawasan perkampungan nelayan, tak payahlah bersusah-payah anda mencari kedai makanan laut segar.

Alamat: Khao Thong subdistrict, Krabi Town


11. Ao Luek

Ao Luek Krabi
Sumber: Krabi Vip Tour

Ao Luek  merupakan kawasan yang terkenal dengan gua-gua lautnya yang indah. Terletak berdekatan dengan Than Bok Khorani National Park, untuk ke sini dari Krabi anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda melalui kawasan paya bakau dan beberapa buah gua seperti gua Tham Lod dan gua Tham Pee Hua To.

Apabila bot melalui kawasan gua Tham Lod, suasana sekeliling agak gelap dan anda dapat melihat silingnya dipenuhi dengan pembentukan stalaktik. Gua Tham Pee Hua To lain pula ceritanya, untuk sampai ke sini anda perlu naik ke kawasan guanya sendiri untuk melihat lukisan-lukisan pada dinding yang dihasilkan pada zaman purba. Menarik bukan? Banyak lagi gua-gua air lain di Ao Luek ini untuk anda terokai.

Alamat: Ao Luek District, Krabi


10. Hong Islands

Hong Islands
Sumber: Világutazó

Hong Islands merupakan gugusan 4 buah pulau yang dimiliki oleh National Marine Park. Hong Islands adalah antara kawasan pulau yang memiliki lanskap yang terindah di Krabi. 4 buah pulau di dalam Hong Islands adalah Koh Hong, Koh Lahding, Koh Pakbia dan Koh Rai.

Koh Hong adalah pulau yang tidak berpenghuni namun dihidupkan dengan kewujudan pelbagai jenis fauna termasuklah burung-burung dan biawak. Koh Lahding pula adalah sebuah pulau indah yang menempatkan kem sarang burung.

Alamat: Hong Islands, Krabi province, Thailand


9. Tup Island

Tup Island Krabi
Sumber: Isabella Yachts Phuket

Air yang cetek, penuh dengan ikan yang cantik, Tup Island adalah destinasi yang cukup ideal bagi anda yang datang bersama keluarga. Bersnorkeling di sini memang bestlah! Pemandangan di kawasan sekitar pantai juga tidak mengecewakan, sangat menyejukkan mata.

Namun begitu, disebabkan ramai yang memiliki fikiran yang sama bahawa Tup Island ini adalah pulau yang cukup mempesonakan, ia boleh menjadi agak sibuk dengan kedatangan pelancong terutama pada musim cuti. Jadi, rancanglah perjalanan anda sebaik mungkin untuk memaksimakan keseronokan anda sekeluarga di Krabi.

Alamat: Ao Nang, Krabi Town


8. Maya Bay

Maya Bay Krabi
Sumber: Thailand Travel

Dunia atau syurga? Anda pasti tertanya-tanya sendiri soalan ini apabila melawati Maya Bay, sebuah kawasan perairan teluk yang mampu membuat anda sekeluarga terlentang di pasir kerana begitu terpesona dengan keindahannya. Dikelilingi oleh tebing-tebing tinggi di sekitarnya, di dalam kawasan teluk ini terdapat beberapa buah pantai yang kecil dengan pasir putih dan air laut yang jernih.

Jangan lepaskan peluang untuk bersnorkeling di sini kerana anda dapat menyaksikan panorama bawah air yang sukar dilupakan, batu-batu karang yang berwarna-warni dan hidupan laut yang eksotik. Jangan lupa untuk membawa kamera kalis air ya!

Alamat:Maya Bay Sleepaboard Office, Soi Chao Koh, Phi Phi Don, Ao Nang, Krabi 81000


7. Ko Poda

Ko Poda
Sumber: @travspringer

Sebaik anda turun daripada bot apabila sampai ke pualu Ko Poda, anda perlu berjalan kaki dalam 10 ke 15 minit untuk sampai ke kawasan yang lebih tenang daripada keriuhan pelancong lain. Keindahan pulau ini juga cukup memukau dengan air yang jernih dan suhu yang selesa untuk bermandi-manda dan bersnorkeling.

Jika anda berjalan sehingga ke hujung pantai anda dapat menikmati pemandangan pulau-pulau lain yang berdekatan seperti Koh Tub dan Koh Kai, sangat mengujakan! Di sini juga terdapat gerai-gerai yang menjual makanan seperti jagung bbq dan air kelapa. Apa lagi cara terbaik untuk menikmati keindahan alam kalau bukan sambil menjamu selera.

Bayaran: 400 Baht

Alamat: Ko Poda, Krabi


6. Phang Nga Bay

Phang Nga Bay
Sumber: Our Beautiful Paradise

Phang Nga Bay adalah kawasan teluk yang menawarkan pemandangan yang agak berbeza ketika air surut dan air pasang yang mana ketika air pasang, gua-gua yang terdapat di sini akan ditenggelami air.

Oleh itu, sekiranya anda ingin menikmati pemandangan yang lebih indah, datanglah ketika air sedang surut. Yang membezakan Phang Nga Bay dengan tarikan lain di Krabi adalah tebing batu kapurnya yang kelihatan seperti timbul dari air. Cukup unik!

Alamat: Ao Phang Nga National Park, Thailand


5. Wareerak Hot Spring Spa

Wareerak Hot Spring Spa
Sumber: Vacation Village Co

Setelah puas menjelajahi sekitar Thailand, manjakanlah badan anda dengan rawatan spa yang ditawarkan di Wareerak Hot Spring Spa. Terletak di dalam ketenangan alam rimba dan jauh dari gangguan kota, rawatan spa di sini bukan sahaja dapat melegakan badan, malahan juga fikiran. Sekiranya anda mendapatkan rawatan spa penuh yang ditawarkan Wareerak, anda akan menerima urutan Thai satu badan yang cukup memuaskan.

Di samping itu, anda akan disajikan dengan makanan tengahari yang organik dan menyelerakan. Termasuk di dalam pakej ini juga adalah mandian di dalam kolam-kolam dengan suhu air yang berbeza, yoga Thai, sesi membuat kraftangan Thai dan waktu untuk bersantai di kawasan sekitar yang mendamaikan jiwa. Cukup sempurna!

Bayaran: Dari 2800 Baht

Alamat: 18 Moo 7 | Khlong Tom Nua Subdistrict, Khlong Thom 81120


4. Mu Koh Lanta Marine National Park

Mu Koh Lanta Marine National Park
Sumber: Tips Thailand

Mu Koh Lanta Marine National Park adalah taman negara yang meliputi beberapa buah pulau dengan keluasan 134 km persegi. Pulau yang terbesar di dalam taman negara ini adalah Ko Lanta Yai dan Ko Lanta Noi. Tarikan utama di taman negara ini adalah pantai-pantai yang berpasir putihnya serta gua-gua yang indah.

Pulau-pulau di sekitar Laut Andaman ini juga sangat popular bagi penyelam skuba dan juga bagi mereka yang suka bersnorkeling kerana terdapat banyak hidupan marin yang menarik. Walau bagaimanapun, beberapa pulau kecil di taman negara ini ditutup daripada sebarang aktiviti pelancongan pada musim hujan dari 16 Mei hingga 21 Oktober setiap tahun. Jangan terlepas pandang pula ya.

Waktu Operasi: 8.00am – 6.00pm

Bayaran: Dewasa 200 Baht | Kanak-kanak 100 Baht

Alamat: Moo 5, Ko Lanta


3. Wat Khlong Thom Museum

Wat Khlong Thom Museum
Sumber: traveltourxp.com

Muzium yang terletak berdekatan dengan tokong Wat Khlong Thom ini iaitu Wat Khlong Thom Museum, menempatkan artifak-artifak yang telah ditemui sewaktu aktiviti ekskavasi dilakukan di belakang kompleks tokong Wat Khlong Thom.

Antara yang dipamerkan di sini adalah manik, perhiasan batu, bermacam peralatan gangsa, duit syiling Roman, seramik dan  lain-lain lagi. Penemuan artifak-artifak ini menunjukkan bahawa  telah wujudnya penempatan awal di kawasan sekitar sejak abad ke-4 hingga ke-9. Bagi pencinta sejarah, tunggu apa lagi? Agak menarik juga pameran di sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 4.30pm)

Bayaran: Percuma

Alamat: Phetchakasem Highway, Krabi 81000


2. Ton Pariwat Wildlife Sanctuary

Ton Pariwat Wildlife Sanctuary
Sumber: Wonderful Phang-nga

Ton Pariwat Wildlife Sanctuary merupakan salah satu tempat menarik di Krabi yang terletak di Song Phraek dan meliputi kawasan rimba yang berkeluasan 100,000 hektar. Bagi pencinta alam, jangan sia-siakan kedatangan anda ke Thailand tanpa menerokai rimba ini. Hutan simpan ini menyediakan laluan berjalan kaki berkepanjangan 2 km.

Yang menariknya, sepanjang perjalanan ini anda dapat menyaksikan dengan lebih dekat bunga Rafflesia yang juga merupakan bunga eksotik yang terbesar di dunia, tapi kalau nak lagi best, datanglah pada waktu ketika bunga ini berkembang yang kebiasaannya pada akhir musim hujan dalam bulan Oktober.

Di samping bunga ini, sepanjang perjalanan ini juga anda akan dapat melihat  kawasan-kawasan memerhati burung, jadi jangan lupa untuk membawa teropong jika ke sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Alamat: Song Phraek, Muang Phangnga, Phang Nga 82000


1. Phi Phi Islands

Phi Phi Islands

Phi Phi merupakan nama yang diberikan bagi 6 buah pulau yang indah yang terletak 45 minit menaiki bot dari Krabi ini. Fakta menarik tentang pulau ini adalah berkaitan namanya, Phi Phi yang dikatakan berasal daripada perkataan bahasa melayu yang bermaksud api-api. Pulau ini dinamakan demikian kerana pokok api-api yang terdapat banyak di sekitar pulau.

Daripada 6 buah Phi Phi Islands, yang paling terkenal sekali adalah Phi Phi Leh dan Phi Phi Don. Pulau Phi Phi Don lebih sibuk berbandang dengan pulau yang lain. Kalau anda ingin menikmati pemandangan kawasan pantai indah dengan penuh privasi, bolehlah ke pantai Phi Phi Leh. Terasa seperti berada di syurga.

Alamat: Phi Phi Islands, Krabi


Banyak sekali tarikan bertaraf dunia yang terdapat di Krabi ini, sama hebatnya seperti Bali bukan? Tarikan-tarikan pulau, air laut yang jernih, kolam-kolam semulajadi dan perkampungan klasiknya boleh memukau sesiapa sahaja untuk bercuti dan berat hati untuk pulang kembali ke tanah air.

Kesimpulannya Krabi adalah destinasi yang wajib, harus dan mesti dilawati sekali dalam seumur hidup. Apa ditunggu-tunggu lagi? Sudah tahu kemana nak dituju di Krabi nanti kan? Cuma satu langkah sahaja lagi yang anda perlu lakukan sebelum mengajak keluarga anda berpacking, apa lagi kalau bukan untuk menempah hotel, nak tahu di mana anda boleh mendapatkan harga hotel yang murah? Layari booking.com untuk senarai hotel-hotel menarik di Krabi, semuanya di hujung jari sahaja.

Akhir kata, semoga anda sekeluarga mendapat sebuah percutian yang terindah di Krabi! Jangan lupa untuk makan Tom Yam di sana, memang kaw punyalah!

Baca: 48 Destinasi Terbaik Di Bali



Related Posts