15 Tempat Menarik Di Kuala Kangsar | Destinasi Terbaik Bandar Di Raja

Ingin menenangkan fikiran anda daripada stress pekerjaan? Ingin bercuti tanpa merisaukan perbelanjaan yang banyak? Jika itu, anda boleh melawati Kuala Kangsar yang mempunyai pelbagai pusat pelancongan dan pemandangan yang menakjubkan.

Terletak di negeri Perak, ia merupakan suatu peluang yang baik untuk road trip dengan keluarga dan kawan-kawan anda kerana Kuala Kangsar tidak sejauh mana pun daripada pusat bandar. Oleh itu, Kuala Kangsar sesuai untuk menjadi destinasi pilihan percutian anda menjelang cuti sekolah yang akan datang.

Di sini, kami senaraikan 15 tempat menarik di Kuala Kangsar yang anda perlu melawat semasa disana nanti.

15. Istana Kenangan Bukit Chandan

Istana Kenangan Kuala Kangsar
Sumber: Perak World

Istana Kenangan merupakan kediaman sementara oleh Sultan Iskandar Shah. Mengikut sejarah, istana ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku tetapi menggunakan kayu dan pisang sesikat. Istana Kenangan juga dikenali sebagai Istana Kuning kerana warna cat pada dinding-dinding istana tersebut.

Selain itu, istana ini juga dicat dengan warna hitam dan putih untuk melambangkan negeri Perak. Kini, Istana Kenangan lebih dikenali sebagai Muzium Diraja Kuala Kangsar. Istana ini telah dijadikan sebagai Tapak Warisan Sejarah.

Lokasi:  Taman Lerista, 33000 Kuala Kangsar


14. Masjid Ubudiah Bukit Chandan

Masjid Ubudiah Kuala Kangsar
Sumber: Nicolas LannuzelCC BY-SA 2.0

Jika anda seorang yang suka kepada arkitekture yang unik, anda boleh melawat Masjid Ubudiah.  Terletak di Bukit Chandan, masjid ini merupakan di antara masjid yang paling cantik di Malaysia. Masjid ini mempunyai seni bina yang berpengaruh dari ‘Saracenic’ iaitu Islam-India.

Masjid ini juga mempunyai sejarah yang menarik kerana ia dibina oleh arkitek Inggeris pada tahun 1910 semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I. Masjid ini berbentuk segi lapan dan mempunyai 4 buah menara yang tinggi. Jika anda masuk ke dalam masjid itu, anda boleh melihat bahawa masjid ini menggunakan batu marmar yang berwarna merah dan putih untuk lantai dan dinding masjid tersebut. Selain itu, makam diraja ditempatkan bersebelahan dengan masjid ini.

Lokasi: Jalan Istana, 33000 Kuala Kangsar


13. Sungai Perak

Sungai Perak
Sumber: Maru FishCC BY-SA 2.0

Di negeri Perak terletaknya sungai yang kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia. Sungai ini mengalir sepanjang 400km dari Hulur Perak hingga ke Bagan Datoh, Selat Melaka. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sungai ini ialah memancing, menyelam dan berenang di Sungai Perak. Terdapat perlbagai jenis ikan yang terdapat dalam sungai seperti lampam, sebarau, tilan, tongsan dan lain-lain. Selain itu, terdapat perkhidmatan bot supaya anda dapat menyusuri Sungai Perak untuk melihat pemandangan indah yang terdapat di sekeliling sungai ini seperti kampung-kampung kecil dan pulau.


12. Pekan Kuala Kangsar

Pekan Kuala Kangsar
Sumber: Homestayqasehummi

Kalau anda ialah seorang kaki membeli-belah, tentu anda akan suka kepada tempat ini. Pekan Kuala Kangsar mempunyai pelbagai jenis barangan hasil tangan orang-orang kampung seperti labu sayong, tilam, songkok, barangan tembaga. Selain daripada itu, anda juga boleh membeli cenderemata dari pekan ini untuk disimpan sebagai kenangan atau untuk kawan-kawan anda. Jika anda juga suka membeli barangan secara borong, anda boleh membeli tudung, pakaian dan lain-lain dengan harga yang borong.


11. Malay College Kuala Kangsar

Malay College Kuala Kangsar
Sumber: Leerang Bato

Juga dikenali sebagai Kolej Melayu Kuala Kangsar, sekolah ini mempunyai ramai alumni yang mempunyai status yang elit seperti Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dato’ Onn Jaafar dan Tun Abdul Razak Dato’ Hussein. Sekolah merupakan asrama penuh lelaki dan hanya dihadiri oleh pelajar lelaki Melayu yang mempunyai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sekolah rendah. Sekolah ini juga mempunyai reputasi yang tinggi dalam bidang sukan, terutamanya ragbi dan bola keranjang dan sering memenangi anugerah kerana itu. Sekolah ini juga sering mempunyai kejohanan sukan tahunan dengan Maktab Tentera Diraja dimana kedua-dua sekolah bergilir untuk menjadi johan.

Lokasi: Jalan Tun Razak, 33000 Kuala Kangsar


10. Pavilion Tower Kuala Kangsar

Pavilion Tower Kuala Kangsar
Sumber: Lam Ching Fu

Pavilion Tower Kuala Kangsar merupakan Anglung tiga tingkat ini dibina pada tahun 1930 dan terletak di hadapan Malay College Kuala Kangsar. Anglung ini digunakan oleh keluarga Sultan untuk menonton permainan polo. Sekarang, ia dijadikan sebagai tempat bersejarah dan tarikan pelancongan di Kuala Kangsar.

Lokasi: Pavilion Square, 33000 Kuala Kangsar


9. Pusat Pembangunan Kraftangan Perak

Pusat Pembangunan Kraftangan Perak
Sumber: Dkosonglapan

Pusat kraftangan ini pula terletak di tebing Sungai Kuala Kangsar. Pusat kraftangan ini mempunyai banyak barangan terutamanya labu sayong, barangan yang terkenal di Kuala Kangsar. Selain daripada labu sayong, anda juga boleh membeli cenderehati dan kraftangan lain yang dibuat daripada mengkuang, rotan, seramik dan lain-lain.

Lokasi: Km 40, Jalan Ipoh, 33600 Enggor


8. Masjid Ihsaniah Iskandariah

Masjid Ihsaniah Iskandariah
Sumber: Malik Zainal

Terletak di Kuala Dal, Masjid Ihsaniah Iskandariah merupakan masjid yang penuh keunikan. Dinding pada seni bina ini berasaskan anyaman buluh minyak dan masjid ini juga tidak menggunakan sebarang paku besi semasa pembinaannya.

Pembinaan masjid dua tingkat dibiayai oleh Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan yang ke-30. Di tingkat bawah, aktiviti-aktiviti seperti kelas mengaji al-Quran dijalankan manakala di tingkat atas merupakan ruang mihrab dan ruang solat. Tambahan pula, masjid ini mempunyai seni ukiran cantik seperti ukiran sekumtum bunga tikam seladang sebagai hiasan dinding masjid ini.

Lokasi: Kampung Kuala Dal, 33700 Padang Rengas


7. Tasik Raban

Tasik Raban Kuala Kangsar
Sumber: Tasik Raban

Untuk menikmati alam semulajadi, anda boleh pergi ke Tasik Raban. Salah satu destinasi pelancongan yang terkenal, Tasik Raban juga mempunyai resort sendirian untuk anda bermalam di sana. Resort tersebut juga sedia untuk menerima tempahan jika anda ingin mengadakan persidangan kerja di sana. Tempat tinggal mereka tidak mahal dan memudahkan anda untuk ke tasik ini. Tempat inilah sesuai untuk anda melepaskan stress dan menikmati pemandangan tasik dan flora fauna yang terdapat di situ.


6. Galeri Arkeologi Lembah Lenggong

Galeri Arkeologi Lembah Lenglong
Sumber: Dickson Chow

Selain daripada tempat bersejarah dan alam semulajadi, terdapat galeri arkeologi yang terletak di Lenggong. Galeri arkeologi ini ditubuhkan pada 1999 dan memaparkan pelbagai artifak-artifak yang dijumpai di sekitar Lembah Lenggong. Pembukaan galeri ini bertujuan menjadi medium yang informatif kepada orang awam tentang seni arkeologi dan penemuan yang didapati sebagai contohnya alat-alat batu, rangka ‘Perak Man’ dan lukisan yang dilihat di dalam gua. Anda boleh membawa anak-anak anda untuk mempelajari dan memahami dengan lebuuh mendalam tentang sejarah zaman Paleolitik dan lain-lain.

Lokasi: Galeri Arkeologi Lenggong, Jabatan Warisan Negara, 33400 Lenggong


5. Kolam Air Panas Ara Panjang

Kolam Air Panas Ara Panjang
Sumber: Mysaraabrahman

Tidak ramai pelancong mengetahui tentang kewujudan kolam air ini. Kolam air panas ini mempunyai potensi untuk menjadi tempat pelancongan yang menarik kerana kolam air panas ini ada banyak manfaat seperti dapat memulihkan penyakit kulit gatal ataupun merebus telur dengan cepat. Oleh itu, anda jangan melepaskan peluang ini untuk mandi di kolam air hangat ini dan anda tidak perlu menjenguk ke sauna.

Lokasi: Kolam air Panas Ara Panjang, Lempor, Manong, 33800 Kuala Kangsar


4. Galeri Sultan Azlan Shah

Galeri Sultan Azlan Shah Bukit Chandan
Sumber: Resepi Bonda

Galeri ini tidak jauh daripada Masjid Ubudiah kerana ia hanya seberang jalan daripada masjid tersebut. Galeri ini dibina dengan tujuan untuk memberikan orang awam pengetahuan yang lebih mendalam tentang kehidupan seorang Sultan. Sebelum dijadikan sebagai galeri, ia merupakan tempat kediaman Sultan Idrus Murshidul Adzam Shah I yang memerintah sekitar tahun 1887-1916.

Galeri Sultan Azlan Shah ini menyimpan barang-barang yang pernah dimiliki Sultan Azlan Shah. Seni reka galeri ini juga menarik kerana mempunyai pengaruh Acheh dengan penggunaan bumbung-bumbung yang berbentuk piramid manakala pengaruh India boleh dilihat dengan pembinaan dome di kedua-dua menara bangunan itu.  Oleh itu, galeri ini sesuai untuk dijadikan inspirasi kepada bakal arkitek-arkitek untuk menghasilkan bangunan-bangunan yang cantik seperti ini.

Galeri Sultan Azlan Shah, Bukit Chandan ,33000 Kuala Kangsar


3. Pusat Kraftangan Mariwasa

Pusat Kraftangan Mariwasa
Sumber: MalaysiaAktif.my

Diasaskan pada tahun 1975, pusat kraftangan ini bukan semata-mata mengeluar dan pamerkan produk, anda juga dapat melihat proses pembuatan barangan tersebut. Barangan yang terdapat di pusat ini ialah barangan hiasan rumah, barangan perak dan pingat yang berkualiti tinggi. Anda juga boleh menyaksikan pembuatan pingat secara terperinci. Selain itu, anda boleh melihat mesin-mesin yang digunakan untuk megnhasilkan medalion dan silver. Sambil menjenguk, anda boleh menambahkan ilmu pengetahuan anda tentang seluruh proses membuat medalion hingga ke proses terakhir iaitu pembungkusan.


2. Kilang Kicap Tamin

Kilang Kicap Tamin
Sumber: Rahim Md Din

Kilang Kicap Tamin ini diasaskan oleh seorang penduduk yang bermodalkan RM10 sahaja, semangatnya untuk meneruskan perniagaannya sehingga berjaya amat menakjubkan. Sekarang, ramai orang mengenali jenama Tamin ini, terutamanya golongan suri rumah yang kuat memasak. Oleh itu, duit hasilnya digunakan untuk mendirikan sebuah kilang untuk menjana lebih banyak botol kicap kerana mendapatkan sambutan hangat daripada orang tempatan.

Jika anda melawat kilang ini, anda akan mempelajari bagaimana proses penghasilan kicap dijalankan seperti pemerapan kacang soya yang merupakan cara yang paling tradisional sekali. Di situ juga terdapat bilik pameran yang mempamerkan produk-produk lain yang dihasilkan selain dari kicap iaitu sirap, sos dan lain-lain.


1. Istana Iskandariah, Bukit Chandan

Istana Iskandariah Kuala Kangsar
Sumber: Perak World

Istana Iskandariah merupakan tempat bersemayam Sultan Perak yang rasmi. Istana ini terletak di tebing Sungai Perak dan dikelilingi oleh bangunan yang indah. Istana ini juga mempunyai corak seni bina yang istimewa kerana mempunyai adunan daripada Islam-India ‘Saracenic’ dan Asia Barat. Selain itu, istana ini dibina menghadap arah matahari menaik dan pemandangannya menjangkaui Sungai Perak yang jernih.

Betapa seronoknya kalau kita juga dapat menikmati pemandangan seperti itu. Diketahui bahawa Istana Iskandariah mempunyai beberapa bilik khas yang mempunyai fungsi yang berlainan seperti Bilik Jamuan Negeri, Bilik Makan dan Bilik Mengadap. Istana Iskandariah juga mempunyai Dewan Muzik dan Dewan Negara.

Di tingkat pertama dalam istana ini, terletaknya bilik-bilik seperti ruang rehat dan bilik permainan. Di tingkat kedua, terletaknya tempat-tempat istimewa istana seperti Balai Nobat, Balairung dan Singgahsana yang memainkan peranannya pada hari yang penting seperti hari pertabalan dan lain-lain. Tingkat ini juga terletaknya bilik persalinan dan bilik istirehat Sultan. Memang patutlah Istana Iskandariah menjadi tempat bersemayam Sultan sejak 1933 hingga sekarang kerana istana ini mempunyai keindahan yang sesuai untuk seorang Sultan untuk menikmati.

Lokasi: Taman Lerista, 33000 Kuala Kangsar

Berakhir sudah senarai 15 tempat menarik di Kuala Kangsar. Dari segi pelancongan, alam semulajadi dan sejarah, Kuala Kangsar merupakan tempat yang paling sesuai untuk anda meluangkan masa dengan keluarga anda tanpa perlu mengeluarkan budget yang besar. Anda tidak perlu memikir panjang kerana dengan senarai ini, anda hanya perlu mengikuti dan menikmati masa percutian anda di destinasi-destinasi yang tersenarai ini.



Related Posts