35 Tempat Menarik Di Kuala Terengganu | Bandaraya Warisan Pesisir Air

Negeri cantik, budaya menarik, itulah kata-kata yang digunakan untuk menggambarkan sebuah negeri yang terletak di pantai timur, Terengganu Darul Iman. Negeri ini bukan sahaja kaya dengan hasil laut, malahan ianya sebuah destinasi pelancongan yang cukup lengkap sekali pakejnya, berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Pulau-pulaunya, pantai-pantainya yang indah-indah belaka, memang tak akan habis berjalan kalau datang beberapa hari sahaja. Mungkin anda perlukan lebih daripada sebulan untuk merasai kesemua nikmat keindahan alam yang ditawarkan di negeri yang terkenal dengan keropok lekornya ini.

Bukan setakat itu, negeri ini turut kaya dengan warisan tradisional yang dijaga dengan baik sekali. Memang rugi kalau anda dan keluarga tidak datang untuk melihat dengan mata sendiri peninggalan bersejarah yang terdapat di sini. Yang syoknya lagi, di sini anda dapat melihat bermacam gaya hasil-hasil seni fabrik warisan kebangsaan, mana taknya, di negeri inilah batik dan sutera banyak dihasilkan.

Sungguh menarik sekali tarikan-tarikan yang ditawarkan oleh negeri Terengganu, keunikan alam semula jadinya, budayanya, sejarahnya, malahan makanan tradisionalnya pun menjadi daya tarikan. Nak memudahkan anda merancang perjalanan apabila ke Terengganu nanti, di sini saya senaraikan 35 tempat menarik di Kuala Terengganu beserta lokasi-lokasi yang perlu anda lawati di negeri ini, kalau tak singgah, teringat-ringat, kalau singgah, terkenang-kenang.

35. Pantai Batu Buruk

Pantai Batu Buruk
Sumber: Pantai Batu Buruk

Terletak di Bandar Kuala Terengganu. Pantai ini sangat terkenal dengan kemeriahannya. Di sekitar pantai ini juga terdapat banyak tempat makan bukan sahaja restoran-restoran makanan segera, malahan masakan enak hasil laut Terengganu juga banyak. Kalau anda teringin nak makan ikan celup tepung, keropok, sate ikan dan bermacam lagi, datanglah ke Pantai Batu Buruk. Yang syoknya lagi, anda boleh menaiki kereta kuda yang dihias cantik mengalahkan kereta kuda cerita Cinderella. Tak percaya? Pergi dulu, baru tahu.

Alamat: Pantai Batu Buruk, 20400, Terengganu


34. Taman Awam Lagun Kuala Ibai

Taman-Awam-Lagun-Kuala-Ibai
Sumber: Siti Hajar Othman

Pernah dengar tentang Masjid Terapung? Di sinilah terletaknya masjid itu. Taman ini terletak di teluk Sungai Ibai yang memiliki banyak aliran sungai yang menjadi tarikan bagi kaki pancing. Untuk bermandi-manda juga ini merupakan lokasi yang agak selamat, apa lagi yang difikirkan, bawalah anak-anak anda ke sini. Yang bestnya lagi, ada gerai-gerai yang menjual sate ikan, keropok dan lain-lain yang boleh anda nikmati sambil berseronok bersama keluarga di taman ini.

Alamat:  Taman Awam Lagun Kuala Ibai, 21100 Kuala Terengganu


33. Pasar Besar Kedai Payang

Pasar-Besar-Kedai-Payang
Sumber: Beautiful Terengganu Aps

Sebuah pasar yang setaraf pasar seni kalau di Kuala Lumpur ini amat terkenal dalam kalangan pelancong. Kalau anda nak membawa pulang buah tangan hasil Terengganu datanglah ke Pasar Besar Kedai Payang. Terdapat bermacam produk yang dijual di sini seperti sutera, songket, batik, periuk belanga, makanan  hasil laut Terengganu seperti keropok, rempah nasi dagang ikan masin dan banyak lagi.

Alamat: 20000, Kuala Terengganu, Malaysia


32. Kompleks Kraf Noor Arfa

Kompleks Kraf Noor Arfa
Sumber: Teratai Homestay

Kompleks Kraf Noor Arfa ini memiliki reka bentuk tradisional Terengganu. Sebuah lokasi yang perlu dilawati untuk mengenali dan melihat dengan lebih dekat lagi keindahan dan keunikan seni batik di Malaysia.  Yang menariknya lagi, anda boleh membeli secara borong batik-batik di sini. Terdapat juga kraftangan lain yang dipamerkan di sini seperti anyaman, ukiran kaca dan wau.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (8.30am – 6.00pm)| Jumaat (8.30am – 5.30pm) | Sabtu – Ahad (8.30am – 6.30pm)

Alamat: Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) Lot 4153, Kawasan Perindustrian Cendering, 21080 Kuala Terengganu.


31. Desa Murni

Desa Murni Batik
Sumber: Desa Murni

Sekiranya anda ingin membeli-belah pakaian dengan sakan inilah destinasi yang tepat kalau berada di Terengganu. Di sini terdapat bermacam-macam jenis rekaan kain batik, kain pasang, baju melayu, telekung dan kain pelikat. Ia juga boleh dikatakan sebagai syurga membeli-belah bagi wanita kerana di sini juga menempatkan beribu-ribu pilihan tudung muslimah kerana Desa Murni juga turut dikenali sebagai pusat tudung muslimah terbesar di pantai timur. Tunggu apa lagi?

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00am – 7.00pm) | Jumaat (2.30pm – 7.00pm) | Sabtu – Ahad (10.00am – 7.00pm)

Alamat: 17888, Jalan Baru Pak Sabah, Kuala Dungun, Terengganu


30. Pusat Budaya Kraf Terengganu

Pusat Budaya Kraf Terengganu
Sumber: PKKM Terengganu

Berada di tempat Perindustrian Chendering, di sini anda bersama keluarga dapat mengenali dengan lebih dekat hasil kraftangan Terengganu seperti ukiran kayu, produk tembaga, pembuatan songket, sarong, sutera dan banyak lagi. Anda boleh juga membuat tempahan khas produk kraftangan mengikut citarasa anda sendiri. Apa salahnyakan untuk membawa pulang sesuatu yang istimewa sekali-sekala datang ke Terengganu.

Alamat: Lot 2195, Kawasan Perindustrian Chendering, 20700 Kuala Terengganu


29. Bazar Warisan

Bazar Warisan
Sumber: Noor Asmah Mohamad

Berdekatan dengan Pasar Payang di Jalan Sultan Zainal Abidin ini adalah sebuah bangunan yang memiliki reka bentuk tradisional Terengganu. Bazar Warisan mengumpulkan banyak kraftangan dan seni tradisional Terengganu seperti tembaga, songket, batik dan sutera. Anda juga dapat menikmati pemandangan indah muara Sungai Terengganu dari tingkat 3 bangunan ini.

Alamat: Bazar Warisan, Jalan Sultan Zainal Abidin


28. Kampung Losong

Kampong Losong
Sumber: Rafi Aakr Umbi

Terletak hanya 10 minit perjalanan dari Bandar Kuala Terengganu adalah Kampung Losong. Kampung Losong ini terkenal sebagai lokasi pilihan ramai untuk membeli makanan tradisional Terengganu yang tak lain tak bukan keropok lekor. Di sini memang banyak sekali pilihan gerai keropok lekor yang semuanya memang sedap-sedap belaka.  Kawasan ini turut diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor di Terengganu. Begitu ramai orang yang membeli keropok lekor di sini sehingga dianggarkan sekitar 500 kg keropok lekor yang berjaya dijual dalam sehari apabila tiba musim cuti sekolah. Kawasan jualan keropok lekor ini juga terletak tidak jauh dari Muzium Negeri Terengganu dan Taman Tamadun Islam.

Alamat: Kg. Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu


27. Kampung Bukit Tok Beng

Kampung Bukit Tok Beng
Sumber: Terengganu Times

Terletak di Kuala Nerus, ini merupakan satu lagi destinasi di mana anda dapat membeli keropok lekor. Keropok lekor di sini juga digelar Keropok Lekor Nombor atau Beratur, kenapa? Ini adalah kerana terlalu ramai orang yang datang untuk membeli keropok lekor semasa musim cuti sehinggakan untuk membeli keropok lekor di sini anda perlu mendapatkan angka giliran terlebih dahulu. Wah… dahsyat! Ramai yang sanggup beratur kerana keropok lekor di sini sedap dengan isi ikannya yang banyak berbeza dengan tempat lain.

Alamat: Kampung Bukit Tok Beng, 21300 Kuala Terengganu


26. Pusat Sains Kreativiti Terengganu

Pusat Sains Kreativiti Terengganu
Sumber: Pusat Sains Kreativiti Terengganu

Nak makan angin sambil mengisi minda? Bawalah anak-anak anda ke Pusat Sains Kreativiti Terengganu. Berdekatan dengan Kampung Laut, Chendering, di sini anak-anak dapat mempelajari pelbagai informasi saintifik yang disampaikan secara kreatif dan menarik sekali. Terdapat info tentang dinasour, permainan kanak-kanak dan bermacam lagi. Anda juga dapat bergambar di Green Screen dan gambar ini akan disunting untuk memberikan latarbelakang yang anda inginkan seperti Eiffel Tower, di dalam kapal angkasa dan lain-lain. Menarik bukan?

Bayaran Masuk: Pakej Keluarga 2 Dewasa, 3 Kanak-kanak RM40.00

Waktu Operasi: Isnin – Rabu (9.00am – 5.00pm) | Khamis (9.00am – 4.00pm) | Jumaat (Tutup) | Sabtu – Ahad (9.00am – 5.00pm)

Alamat: Jalan Kampung Laut, Taman Chendering Utama, 21080 Kuala Terengganu


25. Taman Tamadun Islam

Taman Tamandun Islam
Sumber: Taman Tamadun Islam

Destinasi yang wajib dilawati di mana anda dapat melihat rekaan bangunan yang terkenal dalam dunia Islam. Taman Tamadun Islam menampilkan 21 replika bangunan yang dibina disini seperti Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Kubah As Sakhrah, Kota Lama Islam Aleppo, Istana Alhambra dan banyak lagi. Sebuah lokasi yang menarik untuk menambahkan ilmu pengetahuan anak-anak tentang Islam yang bukan sahaja membawa kesejahteraan malahan kemajuan dalam pelbagai aspek.

Waktu Operasi Taman: Isnin, Rabu, Khamis (10.00am – 7.00pm) | Jumaat – Ahad (9.00am – 7.00pm) | Selasa (Tutup)

Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu


24. River Cruise TTI

River Cruise Taman Tamadun Islam
Sumber: Taman Tamadun Islam

Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di Taman Tamadun Islam adalah menyusuri sungai di Pulau Wan Man. Dengan menaiki bot, anda dapat menikmati pemandangan indah termasuk Masjid Kristal dan Taj Mahal dari sudut yang indah sekali. Masa yang diambil dalam perjalanan menaiki bot cruising ini adalah sekitar 45 minit. Antara destinasi yang dilalui oleh bot dari TTI ini adalah Muzium Negeri, Pulau Sekati, Pulau Haji Siah, Pulau Api, Seberang Takir, Pulau Duyung, Pulau Warisan dan banyak lagi.

Bayaran: Dewasa RM20 | Kanak-kanak 7-12 Tahun RM15 | Kanak-kanak Bawah 7 Tahun Percuma

Waktu Operasi: Isnin, Rabu, Khamis (10.00am – 7.00pm) | Jumaat – Ahad (9.00am – 7.00pm kecual Jumaat tutup sementara pada 12.45pm – 2.30pm) | Selasa (Tutup)

Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu


23. Masjid Kristal

Masjid Kristal Terengganu
Sumber: Pesan Bonda

Masjid yang terletak di Pulau Wan Man ini memakan bajet sekitar RM23 juta untuk dibina menggunakan hanya besi, kristal dan kaca. Sesuai dengan bajet yang dikeluarkan, masjid ini memiliki reka bentuk yang unik yang terkenal di seluruh dunia. Waktu terbaik untuk menangkap gambar masjid ini adalah pada waktu matahari terbenam kerana cahaya matahari yang cantik pada waktu itu akan terpancar pada sekeliling masjid ini yang dibuat daripada material yang memantulkan cahaya.

Alamat: Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu


22. Bukit Besar

Bukit Besar Terengganu
Sumber: Skyscraper City

Di sinilah terletaknya tulisan ikonik di Terengganu iaitu ‘Allah Peliharakanlah Terengganu.’ Ramai yang menjadikan Bukit Besar sebagai destinasi untuk berekreasi dengan cara berjalan mendaki ke atas bukit ini untuk menikmati keindahan Terengganu dari puncaknya. Anda dapat melihat Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam dan kecantikan Sungai Terengganu dari sini.


21. Istana Maziah

Istana Maziah
Sumber: Wan Ashraf

Istana Maziah merupakan tempat rasmi bagi Sultan Terengganu, lokasinya adalah di kaki Bukit Puteri. Batu asas istana ini diletakkan pada tahun 1895. Di hadapan istana ini terdapat Dataran Maziah yang merupakan taman mini yang dihias dengan indah. Bawalah keluarga anda ke sini untuk melihat keindahan istana ini dengan lebih dekat lagi.

Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20000 Kuala Terengganu


20. Pantai Pandak

Pantai Pandak
Sumber: Azmizi Omar

Pantai ini terletak dalam kawasan perkampungan di jalan utama Marang-Terengganu. Nama lain bagi pantai ini adalah Pantai Chendering. Kalau anda suka bergambar juga ini merupakan lokasi yang tepat sebab permukaannya yang berbatu membuatkan gambar kelihatan menarik. Cuma anda perlu berhati-hati kerana pantai ini memiliki pusaran air yang agak kuat, oleh itu, agak tidak sesuai untuk anda bermandi-manda. Kalau dah puas bergambar di sini, singgahlah pula ke warung celup tepung yang terdapat di pantai ini.

Alamat: Pantai Pandak, 21080 Kuala Terengganu


19. Masjid Abidin (Masjid Putih)

Masjid Putih Kuala Terengganu
Sumber: Pantai Timur Sabahan

Masjid Abidin yang juga digelar sebagai Masjid Besar atau Masjid Putih ini merupakan masjid yang tertua di Terengganu yang mula dibina pada tahun 1793 oleh Sultan Zainal Abidin II. Bangunan yang asalnya daripada kayu ini telah diubah kepada bangunan batu pada tahun 1852 dan banyak lagi penambahbaikan yang telah dilaksanakan sehingga ia menjadi sebuah masjid yang besar. Berhampiran masjid ini terdapat Makam DiRaja yang lama.

Alamat: Jalan Masjid Abidin, 20000 Kuala Terengganu


18. Bot Penambang di Dataran Shahbandar

Bot Penambang Dataran Shah Bandar

Apa lagi cara terbaik nak merasa tiupan angin sepoi-sepoi di Terengganu kalau bukan dengan menaiki bot? Anda boleh menaiki bot ini untuk ke Seberang Takir dan melihat perkampungan nelayan ini dengan lebih dekat lagi dan kalau dah puas berjalan, boleh pekena kopi di kedai kopi yang terdapat di sini.

Alamat: Jeti Bot Penambang Shahbandar, Jalan Sultan Zainal Abidin, 20200 Kuala Terengganu


17. Beca di Pasar Payang

Beca Di Pasar Payang
Sumber: Eddy Alias

Beca pun ada ya di Terengganu, bukan di Melaka sahaja. Sekiranya anda berjalan di sekitar Pasar Besar Payang anda dapat melihat pak cik-pak cik beca mengayuh basikal beroda tiga ini. Untuk sempurnakan pengalaman anda sewaktu berada di Terengganu, carilah mana-mana pak cik beca untuk membawa anda berpusing-pusing sekitar Terengganu. Janganlah paksa pak cik tu mengayuh jauh sangat, kesian pula dia.

Alamat: Pasar Payang, 20000, Kuala Terengganu


16. Pusat Akuatik MBKT

Pusat Akuatik Kuala Terengganu
Sumber: SOM Terengganu

Terletak di Pantai Batu Buruk adalah kolam renang yang sesuai untuk anda datang bersama keluarga untuk bermandi-manda, kolam ini juga lengkap dengan bumbung. Bolehlah anda berenang sepuas hati tanpa perlu risau memikirkan cuaca.

Alamat: Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Batu Buruk,20400 Kuala Terengganu


15. Bukit Panorama

Bukit Panorama Kuala Terengganu
Sumber: Yusran Hashim

Seperti namanya, dari puncak bukit ini anda dapat menikmati keindahan panorama sekitar Terengganu sambil menikmati masakan enak di kafe yang terkenal dengan masakan panas dan baratnya. Nak bergambar gempak bersama orang tersayang?  Ajaklah mereka ke sini. Pasti anda puas hati punyalah dengan pemandangan dari bukit ni.

Alamat: Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu


14. Water Front Kuala Terengganu

Water Front Kuala Terengganu
Sumber: Rahim Rahmad

Terletak berdekatan Hotel Felda Residence ini adalah tempat bersantai, Waterfront Kuala Terengganu. Terdapat pelbagai pilihan kafe dan restoran untuk anda menjamu selera bersama keluarga sambil mencuci mata menikmati pemandangan sungai Terengganu. Kalau anda nak tahu, Waterfront ni juga terletak berdekatan dengan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di mana nelayan memasarkan hasil-hasil tangkapan laut mereka.  Bolehlah singgah kalau anda teringin nak makan ikan-ikan yang segar.

Alamat: Jalan Balik Bukit, 20300 Kuala Terengganu


13. Medan Selera Pantai Batu Buruk

Medan Selera Pantai Batu Buruk
Sumber: Pantai Batu Buruk

Memang best untuk meluangkan masa di sini, sebab apa? Sudahlah pilihannya banyak, makan pula ditemani tiupan angin yang tenang di tepi pantai. Antara makanan yang terdapat di sini adalah seperti sup daging, nasi ayam, nasi minyak dan banyak lagi. Terdapat lebih daripada 20 gerai di sini. Dah kenyang nanti boleh melawat tempat lain lagi, banyak lagi nak dibuat di Terengganu ni.

Alamat: Jalan Pantai Batu Burok; Kuala Terengganu


12. Dataran Shahbandar

Dataran Shahbandar
Sumber: Dataran Shah Bandar

Di tepian sungai Terengganu ini memang banyak tempat-tempat yang menjadi tarikan, salah satunya ialah dataran ini. Daripada Dataran Shahbandar ini anda dapat melihat panorama yang menarik sekali. Boleh juga sekiranya anda ingin berkelah di dataran ini bersama keluarga.

Alamat: Dataran Shahbandar Jalan Sultan Zainal Abidin 20000 Kuala Terengganu


11. Kontena Uptown

Kontena Uptown Kuala Terengganu
Sumber: Adam Naufal

Nak makan di tempat yang lain daripada yang lain? Datanglah ke Kontena Uptown ataupun digelar Dapo Pata Uptown. Di sini, terdapat banyak kafe yang dibuat daripada kontena, rekaan dalamannya juga agak kreatif dan berkonsepkan hipster. Rekaan gerai-gerai di sini memang up-to-date sebab kewujudan Kontena Uptown ini agak baru sebenarnya. Memang syoklah kan dapat makan sambil merasakan tiupan angin Laut China Selatan di tepi pantai.

Waktu Operasi: Setiap hari (5.00pm – 2.00am)

Alamat: Uptown Kontena, Tok Jembal 21000 Kuala Terengganu


10. Pulau Warisan

Pulau Warisan Kuala Terengganu
Sumber: OurJourney06

Pulau Warisan ini kelihatan seperti I-City di Shah Alam dengan lampu-lampu pokoknya yang berwarna-warni, begitu hidup sekali suasana malam di tempat ini. Tak sah kiranya kawasan yang menjadi perhatian ramai tidak ada kedai makan bukan? Di sini terdapat banyak kafe untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga sambil menikmati pemandangan Sungai Terengganu. Jika anda datang pada waktu yang tepat, dapatlah anda menyaksikan pertandingan lumba perahu layar yang sering diadakan di sini.

Alamat: I-City Kuala Terengganu, Pulau Warisan, Kuala Terengganu


9. Muzium Negeri Terengganu

Muzium Negeri Terengganu
Sumber: Fit Factor

Reka bentuk muzium ini adalah berdasarkan senibina rumah tradisional Terengganu atau lebih tepat lagi Rumah Tele atau Rumah Tiang.  Muzium Negeri Terengganu ini juga merupakan yang terbesar di Asia Tenggara. Muzium ini memiliki 5 bahagian berbeza iaitu, Muzium Utama, Muzium Perikanan, Muzium Maritim, taman botani serta herba dan akhir sekali adalah 4 buah rumah rekaan tradisional.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (9.00am – 12.00pm, 3.00pm – 5.00pm)

Alamat: Bukit 20566 Darul Iman, Terengganu


8. Bukit Puteri

Bukit Puteri
Sumber: WeMalaysia

Suatu ketika dahulu, bukit ini dijadikan kubu pertahanan kerana dari sini, pejuang dapat melihat pihak lawan yang datang dari arah bertentangan dengan jelas. Sebagai lokasi bersejarah, anda dapat melihat beberapa peninggalan zaman dahulu seperti meriam, rumah genta dan loceng antik di sini. Lagi satu, anda tidak perlu risau sekiranya perlu mendaki bukit ini kerana terdapat eskalator yang disediakan untuk kemudahan anda.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Khamis (9.00am – 8.00pm)

Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20200 Kuala Terengganu


7. Kota Duyong Lama

Kota Duyong Lama
Sumber: Amazing Terengganu

Terletak di perkampungan nelayan di Pulau Duyong yang hanya 7 km dari bandar Terengganu, binaan rumah warisan Terengganu ini sangat istimewa, manakan tidak, ianya dibina menggunakan campuran putih telur, pasir, madu, tanah liat dan batu kelikir sahaja, tanpa sebarang simen! Reka bentuk rumah ini memiliki ciri-ciri Istana Kecil Raja Melayu serta pengaruh Mesir.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (8.00am – 6.00pm)

Alamat: Pulau Duyung Kecil, Kuala Terengganu 20100


6. Bukit Keledang

Bukit Keledang
Sumber: Citra Persuratan Darul Aman

Bukit ini menempatkan makam-makam pembesar negeri zaman dahulu kala.  Dulunya juga, bukit ini dijadikan sebagai pusat pemerintahan awal Terengganu.  Pada kurun ke-18, kawasan ini menjadi pengkalan pedagang-pedagang yang datang dari Hulu Sungai Terengganu.


5. China Town

China Town Kuala Terengganu
Sumber: Vivianne Ky

Persis Art of Old Town di Ipoh, di sini kalau anda nak berfotografi memang syok habis. Kedai-kedai di China Town ini memiliki aura klasik yang tersendiri.  Ada sahaja hasil seni yang menarik perhatian dengan warna-warninya di setiap lorong di celah deretan kedai. Seni lukisan yang dihasilkan di China Town ini juga terbahagi kepada beberapa bahagian berbeza seperti Lorong Warisan Dunia, Lorong Kenangan, Lorong Penyu dan lain-lain. Jangan lupa untuk caj bateri kamera anda sebelum ke sini!

Alamat: Jalan Bandar, Kuala Terengganu 20100


4. Pantai Tok Jembal

Pantai Tok Jembal
Sumber: Nik Ramzi

Nak bermandi sakan? Apa kata anda datang ke sini bersama keluarga. Di sekitarnya terdapat banyak gerai-gerai yang menjual bermacam jenis makanan, nak apa? Ais krim? Sate ikan? Keropok? Macam-macam ada. Nak naik kuda pun boleh. Mesti seronok punyalah kalau datang ke sini.

Alamat: Pantai Tok Jembal, Gong Badak, Kuala Terengganu


3. Gunung Tebu, Jerteh

Gunung Tebu Jerteh
Sumber: Jerteh

Kalau anda dan ahli keluarga sukakan aktiviti lasak, apa kata sama-sama mendaki Gunung Tebu? Tapi kena pastikan semua berstamina tinggilah ya, sebab gunung ini agak tinggi, dah nama pun gunung kan, gunung ini merupakan puncak yang tertinggi di Terengganu, nak mendaki nanti pun agak mencabar bentuk muka buminya.

Kata orang, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.  Memang mengah mendaki gunung ni, tapi, sampai sahaja ke puncak, anda dapat menikmati pemandangan bukan satu tapi dua pulau terkenal di Malaysia, siapa tak kenal Pulau Perhentian dan Pulau Redang? Memang puas hati selepas berjam mendaki gunung ini. Alang-alang dah sampai, tak salah untuk memasang khemah dan bermalam di sini.


2. Masjid Tengku Tengah Zahara (Masjid Terapung)

Masjid Terapung Kuala Terengganu
Sumber: Alyph Nur

Terengganu memang banyak binaan masjid yang cantik, masjid ini adalah salah satu darinya. Masjid Terapung ini diberikan nama sedemikian kerana dari jauh masjid ini seolah-olah terapung di atas air. Masjid ini memiliki ciri-ciri reka bentuk islam dan tempatan. Datanglah ke sini untuk menikmati kecantikan masjid ini ditemani dengan angin laut yang tenang.

Alamat: Kuala Ibai, 20400, Kuala Terengganu


1. Pantai Teluk Ketapang

Pantai Teluk Ketapang
Sumber: Mine Yasmine Yauzi

Pantai yang agak luas ini terletak di utara Sungai Terengganu. Pantai ini digelar Teluk Ketapang kerana ianya dikelilingi oleh bukan sahaja pokok kelapa malahan pokok ketapang.  Di sekitar pantai ini terdapat banyak gerai-gerai kecil untuk anda membeli makanan untuk dimakan sambil menikmati pemandangan. Di pantai ini juga terdapat gerai yang dilawati ramai orang untuk menikmati Ikan Celup Tepung (ICT). Terdapat juga gerai-gerai yang best yang boleh anda singgah semasa perjalanan dari Kuala Terengganu ke sini seperti kedai Keropok Lekor Bukit Tok Beng dan Warung Air Buah Gelas Besar Pior.

Alamat: Pantai Teluk Ketapang, 21300, Terengganu

Best bukan Terengganu?  Sebenarnya banyak lagi tempat menarik di sini, tapi apa kata kalau anda terokai sendiri negeri ini. Pemandangan indah, makanan sedap, tempat shopping pun best, banyak pula tu peninggalan yang bersejarah, memang seronok kalau dapat datang ke sini bersama keluarga tersayang, bak kata orang putih, the more the merrier. Ciptalah memori indah bersama keluarga anda dengan melawati negeri di pantai timur ini.

Saya rasa tiada alasan untuk tidak memilih negeri ini sebagai tempat pelancongan anda yang seterusnyakan? Penginapan? Jangan risau, banyak penginapan yang murah dan berkualiti yang boleh anda dapati dengan melayari laman web ini iaitu Booking.com. Bila anda dapat berjimat dari segi penginapan, bolehlah anda gunakan bajet selebihnya untuk berseronok sepuas hati di Terengganu.

Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca artikel ini. Saya berharap dengan senarai 35 tempat menarik di Kuala Terengganu ini, dapat sedikit sebanyak membantu anda dalam membuat perancangan. Semoga anda mendapat sebuah percutian yang penuh makna di Terengganu nanti. Tunggu apa lagi, moh kita ke Terengganu!



Related Posts