35 Tempat Menarik Di Kundasang & Ranau Untuk Percutian Dingin Yang Menyeronokkan

Terletak 2000 meter dari aras laut, Kundasang adalah sebuah pekan kecil yang cukup istimewa di Negeri Bawah Bayu ini. Dikelilingi dengan kehijauan alam yang menyejukkan pandangan mata, udaranya juga mendamaikan jiwa.

Tidak lengkaplah percutian anda di Sabah sekiranya tidak melawat Kundasang apatah lagi kerana inilah satu-satunya pekan yang terletak berdekatan dengan gunung tertinggi di Asia Tenggara yang terkenal di seantero dunia, Gunung Kinabalu.

Kalau anda rasa ini sahaja yang menarik di Kundasang, adakah anda pasti? Kalau anda nak tahu, ada banyak lagi destinasi yang hebat di sekitar Kundasang ini, di mana? Teruskan membaca senarai 35 tempat menarik di Kundasang yang pasti memeriahkan percutian anda.

35. Mesilau Nature Resort

Mesilou Nature Resort Kundasang
Sumber: Suara Sabah

Nikmati keindahan flora dan fauna di Mesilau Nature Resort. Seperti namanya, dari kawasan penginapan ini anda dapat menghayati keindahan alam semulajadi. Betapa indahnya kawasan penginapan ini kerana sentiasa dilitupi kabus dan berudara nyaman. Sekiranya anda menetap di sini, anda boleh merancang pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bersama keluarga termasuklah merentas hutan.

Alamat: Pekan Ranau, 89308 Ranau, Sabah


34. Sosodikon (Pyramid) Hill, Kundasang

Sosodikon Hill Kundasang
Sumber: @ahtoolhelwah

Pemuda-pemuda dan gadis-gadis yang lasak, jangan lepaskan peluang untuk mengamati keunikan yang ditawarkan Sabah di Bukit Sosodikon. Kena lasak ke baru boleh? Sebabnya untuk sampai ke puncak bukit ini anda perlu mendaki dalam sekitar 20 minit, agak mencabar juga kalau tak biasakan?

Sampai sahaja di puncak ini nanti anda dapat menikmati pemandangan yang sukar diungkapkan. Dari atas puncak ini, di sebelah utaranya terdapat pemandangan dari kawasan Kinabalu dan di bahagian Selatan pula pemandangan kawasan bukit-bukau yang berbentuk seperti piramid.

Bayaran Masuk: RM3

Alamat: Bukit Sosodikon, 89308 Kundasang, Sabah


33. Mongolian Yurt Wind Paradise Lodge

Mongolian Yurt Wind Paradise Lodge
Sumber: Honhub Travel and Tours Sdn Bhd

Tak perlu ke Mongolia kalau nak merasa pengalaman tinggal di dalam khemah mereka yang unik ini. Menginaplah di Mongolian Yurt Wind Paradise Lodge untuk pengalaman sekali dalam seumur hidup ini.

Selain menawarkan penginapan yang luas di dalam khemah Mongolia, di malam hari anda sekeluarga dapat menyaksikan keindahan langit malam yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Bintang-bintang bergemerlapan seluas pemandangan di langit gelap, tambahan lagi dengan udara yang nyaman. Bawa tikar dan selimut, nikmatilah pemandangan ini, semua masalah hilang dari ingatan.

Harga: Dari RM170 Semalaman

Alamat: Mongolian Yurt Wind Paradise Lodge, Kundasang, Sabah


32. J.S Nursery Kundasang

S Nursery Kundasang
Sumber: Pindi Lapok

Sabah dan bunga-bunga segar tidak boleh dipisahkan, mana tidaknya, udara yang segar dan sejuk sangatlah sesuai untuk penanaman pelbagai jenis tumbuhan yang indah. Tapi di mana nak cari pokok-pokok bunga yang pelbagai ini ya? Inilah tempat yang mesti anda sekeluarga lawati sekiranya ingin melihat pokok-pokok bunga dan tanaman kaktus. Ada yang anda suka? Boleh sahaja nak bawa balik tanaman idaman hati dengan sedikit pengeluaran fulus mengikut jenis pokok.

Alamat:  J.S Nursery, Kundasang


31. Sungai Moroli Ikan Tagal Kg Luanti

Sungai Moroli Ikan Tagal
Sumber: Muhamad Shafirol Shapiee

Pernah tak anda bermandi-manda di sungai dan ternampak ikan? Bila anda cuba mendekatinya, makin jauh pula larinya, tak ke kecewa? Pulihkan kekecewaan anda dengan bermandi-manda di Sungai Moroli, anda ibarat sahabat bagi ikan-ikan yang terdapat di sini.

Jangan terkejut pula, mereka akan menggigit kulit mati yang terdapat pada badan, mungkin sebab ini ramai orang Sabah berkulit halus-mulus. Walau bagaimanapun, seperti namanya Ikan Tagal, di kawasan sungai ini dilarang untuk anda menangkap ikan, walaupun seekor. Nikmati sahaja persahabatan dengan ikan-ikan ini ya.

Bayaran Masuk: Dewasa RM3 | Kanak-kanak Bawah 18 Tahun RM1

Alamat: Sungai Moroli, Kampung Luanti, Ranau, Sandakan, Sabah


30. Tandem Paragliding

Tandem Paragliding Ranau
Sumber: Kent Chen

Terletak 108 km dari Kota Kinabalu merupakan kawasan Paragliding yang agak terkenal di Ranau. Kenapa terkenal sangat ni Ranau Tandem Paragliding ini? Kerana semasa anda terbang seperti burung di angkasa di sini, anda dapat menikmati pemandangan di bawah yang sangat indah dengan kawasan pergunungan, perkampungan dan sawah padi. Terasa macam dah berjaya menjajah seluruh Sabah pula walaupun hanya beberapa minit di atas awan. Macam inilah baru lengkap percutian anda!

Bayaran: RM190

Waktu Operasi: 10.00am – 5.30pm

Alamat: Ranau, Sabah Highlands


29. Dream World Resort Kundasang

Dream World Resort Kundasang
Sumber: Nelson Michael Jr.

Terletak berhadapan dengan destinasi pelancongan terkenal, Desa Dairy Farm adalah sebuah penginapan cukup indah, Dream World Resort Kundasang. Penginapan di sini membuatkan hati anda sentiasa terbuai-buai dengan keindahan alam sekeliling, dari bilik anda dapat melihat Gunung Kinabalu sambil menghirup udara segar.

Pada waktu pagi dan petang pula anda dapat menyaksikan pemandangan indah matahari naik dan terbenam, apa lagi yang anda inginkan untuk sebuah percutian yang sempurna?

Harga: Dari RM206 Semalaman

Alamat: Jalan Mesilau Golf Club | Kundasang, Ranau 89307


28. Taman Rose Dan Strawberry Kundasang

Rose & Strawberry Garden Kundasang
Sumber: Jenny Dagohoy Lustria

Kebun bunga dan strawberi yang luas ini agak mudah untuk dicari kerana terletak di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang. Masuk sahaja ke dalam Taman Rose Dan Strawberry Kundasang ini, anda dapat melihat di depan mata bagaimana keadaannya kawasan penanaman buah comel ini. Selain itu, di taman ini terdapat juga banyak bunga-bungaan lain seperti ros yang pelbagai warna, kaktus, lily, matahari dan banyak lagi!

Bayaran Masuk: RM2

Alamat: Kundasang, Ranau


27. Kinabalu Pine Resort

Kinabalu Pine Resort
Sumber: Sabah Info

Nak rasa pengalaman penginapan di dalam rumah kabin? Mai saja ke Kinabalu Pine Resort. Kabin-kabin yang terdapat di sini dibina sepenuhnya menggunakan kayu keras Selangan Batu dan kawasan sekitarnya pula dikelilingi oleh pokok-pokok pine, seumpama nama yang diberikan.

Yang menariknya tentang penginapan ini adalah kerana ia serba lengkap dengan kemudahan moden seperti TV bersaluran satelit dan akses internet. Tapi itu tidaklah penting sangatkan? Sebab utama resort ini menjadi pilihan ramai adalah kerana dari bahagian balkoni penginapan ini anda dapat melihat dengan seluas pemandangan keindahan Gunung Kinabalu ditemani cuaca yang sejuk dan udara yang segar. Lanskap sekitar resort ini juga tak kurang menariknya.

Alamat: Kampung Kundasang, Kundasang, Ranau 88990


26. Kundasang Mount Valley Recreation

Kundasang Mount Valley Recreation Centre
Sumber: May Miszz Mey

Tidak jauh dari Taman Negara Kinabalu terletaknya sebuah destinasi menarik untuk anda sekeluarga beraktiviti iaitu di Kundasang Mount Valley Recreation. Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini adalah seperti memanah, melawat taman arnab dan yang paling best sekali adalah flying fox.

Kalau anda berniat untuk mencuba flying fox yang berkepanjangan 125 meter ini, jangan lupa untuk membawa kamera GoPro anda, pemandangan dari kawasan anda merentas ini tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, hanya dapat dijelaskan dengan video indahnya. Tak cukup sehari di sini? Anda boleh juga menginap di chalet yang terletak di kawasan atas bukit, pemandangan dari kawasan chalet itu pun cukup memukau.

Bayaran Masuk: Flying Fox RM25

Alamat: Kundasang Mount Valley Recreation And Resort, 89300 Kundasang, Sabah


25. Gerai Sayur Segar Pekan Kundasang

Gerai Sayur Segar Pekan Kundasang
Sumber: Pantaitimur Sabahan

Tak lengkap rasanya percutian ke Sabah kalau tak menikmati sayuran dan buah-buahan segar yang tak pernah habis di Negeri Bawah Bayu ini. Bagi anda yang menghabiskan hari terakhir di Sabah, pastikan anda bawa pulang kesegaran ini ke dapur rumah.

Sayur dan buah yang segar, tiada racun serangga, rugi kalau tak dibawa balik bukan? Kalau anda tinggal di homestay, terus sahaja boleh dimasak sayur-sayuran yang dibeli untuk dinikmati di tempat penginapan.

Alamat: Gerai Sayur-sayuran, Pekan Kundasang


24. Midori Homestay, Kundasang Sabah

Midori Homestay Kundasang
Sumber: Midori Homestay, Kundasang Sabah

Midori Homestay adalah sebuah penginapan yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu. Bayangkanlah keindahan kawasan homestay ini, ditambah lagi dengan lanskap sekitar yang ditumbuhi rumput segar menghijau, sangat mengasyikkan. Di halaman homestay ini juga disediakan meja dan kerusi untuk anda sekeluarga bersantai sambil menikmati pemandangan gunung.

Alamat: Kg. Masilou Kundasang, Ranau


23. Kiram’s Village, Jalan Mesilau Golf Club, Kundasang

Kiram’s Village Kundasang
Sumber: Srikandi Nurul Athiqah

Untuk penginapan yang indah dikelilingi dengan pokok-pokok bunga berwarna-warni, booking sahaja penginapan di Kiram’s Village, tak perlu pandang penginapan lain lagi kerana chalet dan bilik yang ditawarkan Kiram’s Village cukup sempurna, harganya pun sangatlah berpatutan. Lokasinya? Sangat strategik kerana terletak berdekatan dengan beberapa destinasi menarik antaranya Desa Cattle Dairy Farm.

Harga: Dari RM120 Semalaman

Alamat: Kiram’s Village, Jalan Mesilau Golf Club, Kundasang


22. Kampong Arnab Kundasang

Kampong Arnab Kundasang
Sumber: Nur Izzah Afifah

Siapa tak suka haiwan comel ini, bayangkan dikelilingi oleh arnab dimana sahaja anda berjalan, manja pula tu. Anda dapat merasai pengalaman istimewa ini di Arnab Village Kundasang. Nak peluk? Usap? Bagi arnab makan? Buatlah apa yang anda suka selagi haiwan ini terjaga dengan baik.

Dengan bayaran yang murah, anda sekeluarga dapat bermain dengan arnab-arnab yang terdapat di sini tanpa had masa. Memang best! Tak puas hanya sehari di sini? Anda boleh juga menginap di homestay yang disediakan, harga homestaynya pun cukup murah.

Bayaran Masuk: Dewasa RM3 | Kanak-kanak RM2

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Alamat: Kg Purakagis, Ranau, Sabah


21. Crystal Hill

Cystal Hills Kundasang
Sumber: Alinah Ikram

Apa yang anda bayangkan untuk dinikmati di kawasan bukit-bukau? Sudah tentu udara yang nyaman, cuaca yang sejuk dan pemandangan yang indah terutama sekali pada waktu matahari naik dan terbenam, inilah yang ditawarkan di Crystal Hill.

Penginapan atas bukit ini lengkap dengan tab mandian air panas, memang terbaiklah dalam persekitaran yang sejuk macam ni. Terletak berdekatan dengan penginapan ini juga adalah pasar malam yang dibuka setiap hari, jadi kalau lapar, tak perlulah anda risau walaupun duduk di kawasan jauh dari pekan.

Harga: Dari RM480 Semalaman

Alamat: Kundasang 212-89-308, Ranau,Sabah, 89308 Ranau, Malaysia


20. Kundasang War Memorial

Kundasang War Memorial
Sumber: Borneo Climb & Dive Sdn. Bhd.

Kundasang War Memorial adalah sebuah memorial peperangan yang mula dibuka dari tahun 1962 lagi. Memorial ini dibina untuk memperingati banduan-banduan perang Australia, British dan masyarakat tempatan yang terkorban sewaktu Perang Dunia Ke-2.

Kawasan memorial ini cukup istimewa, terbahagi kepada 4 taman berbeza, Taman Australia, Taman Inggeris, Taman Borneo dan Taman Renungan ataupun Muhasabah beserta kolam. Anda dapat menghidu bau harum bunga ros di Taman Inggeris, di Taman Borneo pula terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan dari Sabah. Sebuah memorial yang cukup indah dan menenangkan jiwa.

Bayaran Masuk: Pemegang MyKad: RM2 | Bukan Warganegara: RM10

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 5.30pm)

Alamat: 90 Km, Jalan Kundasang Kauluan, Kundasang, 89300, Ranau


19. Nulu Tinorindak Kampung Lembah Pantai Kundasang

Nulu Tinorindak
Sumber: Nulu Tinorindak Kundasang

Terletak hanya 10 minit pemanduan dari kawasan Pekan Kundasang, setibanya anda di Nulu Tinorindak, jangan buang masa lagi, mari mendaki. Pendakian ke puncak Tinorindak ini agak mencabar juga, tapi ada juga beberapa bahagian di mana tangga-tangga disediakan untuk memudahkan perjalanan anda.

Bila dah puas mengeluarkan peluh, tiba sahaja di bahagian puncak, hilang segala kepenatan melihat keindahan sekitar Kundasang dan Gunung Kinabalu. Pendakian yang sangat berbaloi!

Bayaran Masuk: RM5

Alamat: Nulu Tinorindak, Lembah Permai, Kundasang


18. Hounon Ridge Farmstay & Camping

Hounan Ridge Farmstay
Sumber: raymond.yk

Betul ke ini Malaysia? Macam susah nak percaya, lihat sahaja keindahan alam di sekitar Hounon Ridge Farmstay & Camping ini, dengan rumput yang menghijau dan pemandangan kawasan bukit dan gunung, terasa macam tak mahu ditinggalkan tempat penginapan ini di hari terakhir penginapan.

Sambil menikmati keindahan alam, jangan lupa untuk membawa bahan-bahan untuk berbbq, fasiliti bbq disediakan, tapi arang perlu dibawa sendiri.  Dah puas makan-makan, anda boleh berjalan-jalan di sekitar farmstay ini untuk melihat keindahan taman yang ditumbuhi pelbagai jenis bunga. Jangan lupa untuk membawa kamera!

Alamat: Kg Himbaan, Ranau 89308


17. Kinabalu Private Lodges

Kinabalu Private Lodges
Sumber: Kinabalu Private Lodges

Untuk penginapan yang penuh privasi dan hanya ditemani bunyi-bunyian alam yang datang dari kawasan hutan, Kinabalu Private Lodges dapat memberikan anda kedamaian yang tidak berbelah bagi. Gunung Kinabalu juga dapat dilihat dengan jelas dari sini. Sudah puas menikmati pemandangan, anda boleh berjalan-jalan di sekitar Kinabalu Private Lodges yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis bunga dan pokok hijau yang sangat menyejukkan mata.

Harga: Dari RM313 Semalaman

Alamat: AH 150, Kundasang, Bundu Tuhan, Kundasang, Kinabalu National Park


16. Timpohon Gate

Timpohon Gate
Sumber: Kundasang Trips

Sekiranya anda salah seorang manusia lasak yang ingin menakluki Gunung Kinabalu, di sinilah di mana langkah pendakian anda bermula iaitu di Timpohon Gate. Kalau masih lagi belum yakin untuk mendaki, anda boleh sahaja melawat kawasan ini untuk melihat-lihat trek yang disediakan untuk mendaki puncak gunung ini untuk mendapatkan ‘feel’ dulu, apa salahnyakan? Dapatlah juga anda beramah-mesra dengan tupai-tupai comel yang banyak terdapat di sini sambil menikati pemandangan gunung yang mengujakan.

Alamat: Timpohon Gate, Taman Negara Kinabalu


15. Mesilou Highland Strawberry Farm

Mesilou Highland Strawberry Farm
Sumber: Mesilou Highland Strawberry Farm

Bayangkanlah nikmatnya dapat memetik sendiri buah strawberi untuk terus dinikmati, cukup indah perasaannya sebab di mana lagi nak jumpa buah strawberi kalau bukan di kawasan tanah tinggi. Dengan peluang yang datang sekali-sekala ini, jadikanlah Mesilou Highland Strawberry Farm salah satu destinasi penting sewaktu bercuti ke Kundasang. Untuk pengetahuan anda, strawberi yang ditanam di Mesilou Highland Strawberry Farm merupakan strawberi yang didatangkan dari Jepun dan adalah daripada jenis yang  manis. Rugi kalau tak cuba.

Waktu Operasi: 8.00am – 5.00pm | Kadangkala ditutup untuk tujuan penanaman dan pembaikan

Alamat: Kg.Mesilou, Ranau


14. Puncak Borneo Resort

Puncak Borneo Resort
Sumber: Rizal Hakimm

Dari kawasan Puncak Borneo Resort, anda dapat menikmati keindahan pemandangan gunung dengan bayu angin yang segar dan sejuk mengusap kulit. Sekiranya anda menginap di sini, anda boleh mencuba sup tulang di restoran resort, sangat sesuai untuk dimakan dalam cuaca yang sesejuk ini.

Lokasi resort ini juga sangat sempurna, antara destinasi yang mudah untuk anda sekeluarga lawati dari resort ini adalah Kolam Air Panas Poring, Desa Dairy Farm, Arnab Village dan banyak lagi.

Alamat: KM 86.3, Jalan KK-Ranau | Simpang Kg. Bundu Tuhan, Ranau


13. Little Hut Kampung Mesilou

Little Hut Kampung Mesilou
Sumber: Little Hut

Dilengkapi dengan kelengkapan moden seperti TV dengan siaran Astro dan pemain DVD, Little Hut Kampung Mesilou adalah sebuah penginapan yang mesti menjadi salah satu pilihan utama anda sewaktu ke Kundasang. Dari ruang balkoni penginapan pondok anda yang comel dan selesa ini anda dapat menikmati pemandangan indah Gunung Kinabalu.

Bukan itu sahaja, Little Hut Kampung Mesilou turut menawarkan kemudahan yang lengkap untuk keselesaan para penginap antaranya adalah kemudahan peralatan steamboat, gula, garam, kopi, teh dan banyak lagi. Bahagian dapurnya juga lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Selain itu, lokasinya agak mantap, terletak berdekatan dengan destinasi menarik, Desa Cattle Dairy Farm.

Alamat: Kampung Mesilou, Kundasang, Ranau


12. Marakau Cabin Lodge

Marakau Cabin Lodge
Sumber: Khalifah Media Networks

Penginapan yang murah dengan pemandangan yang indah, boleh anda dapat di KL? Kalau di Sabah, anda dapat menikmatinya di Marakau Cabin Lodge. Dari harga serendah RM120 anda dapat melihat pemandangan HD puncak yang tertinggi di Asia Tenggara, tak lain tak bukan, Gunung Kinabalu yang cukup menakjubkan.

Penginapan kabin yang ditawarkan di sini mempunyai rekabentuk yang unik dan sangat menarik untuk bergambar. Sediakan kamera dan kliklah sepuas hati anda kerana di mana sahaja anda pandang, ada sahaja yang menarik hati.

Bayaran Masuk: Dari RM120 Semalaman

Alamat: Marakau Cabin Lodge, Ranau, Sabah


11. Kolam Air Panas Poring

Kolam Air Panas Poring
Sumber: Zulaikhä Ghazali

Terletak di kawasan tanah rendah, Kolam Air Panas Poring bukanlah kolam air biasa, kolam air panas ini kaya dengan kandungan sulfur yang dikatakan baik untuk kesihatan dan dapat memberikan kesegaran badan serta melegakan sendi yang lenguh. Kolam ini cukup sesuai bagi mereka yang telah penat mendaki Gunung Kinabalu, boleh hilang sengal-sengal badan. Untuk pengetahuan anda, kawasan kolam air panas ini dibina oleh penjajah Jepun, lihat sahaja kawasan di sekitarnya yang ditumbuhi pepohon buluh seperti yang banyak terdapat di Jepun.

Apa lagi yang menarik tentang kawasan kolam air panas ini? Bagi anda yang tak suka mandi air panas, anda boleh sahaja memilih untuk bermandi-manda di dalam 2 buah kolam lain yang diairi air dari gunung ataupun sekiranya anda inginkan mandian yang lebih privasi bersama keluarga, anda boleh memilih untuk bermandian di kolam tertutup yang disediakan.

Bayaran Masuk: Dewasa RM3 | Kanak-kanak RM1

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 6.00pm)

Alamat: 89300 Ranau, Sabah, Poring Hot Spring


10. Ladang Teh Sabah

Ladang Teh Sabah
Sumber: Arsad Adip

Dikelilingi hutan yang berusia 130 juta tahun, Ladang Teh Sabah menawarkan pemandangan yang tiada tolok bandingnya digabungkan pula dengan udara pergunungan yang menyegarkan, ia merupakan ladang teh organik yang seumpamanya yang terletak di Kepulauan Borneo.

Di samping keindahan panorama, banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama keluarga di sini seperti mendaki Bukit Kamunsu, berjalan di waktu malam untuk melihat haiwan unik dan banyak lagi.

Selain itu, di ladang teh yang berketinggian 2272 kaki dari aras laut ini, anda boleh merasai teh segar dan juga penkek teh yang hanya boleh didapati di sini.

Bayaran Lawatan Berpandu: RM14

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 4.30pm)

Alamat: KM17, Jalan Ranau / Sandakan, Kg. Nalapak, 89309, Ranau


9. Rumah Terbalik Tamparuli

Rumah Terbalik Tamparuli
Sumber: 1SABAH

Bagaimana rasanya kalau segala di dunia ini terbalik kecuali badan kita? Terasa seperti diawang-awangan sebaik anda melangkah masuk ke dalam Rumah Terbalik Tamparuli. Semuanya yang terdapat di dalam rumah ini terletak di dalam keadaan terbalik. Beginilah agaknya kalau berumah di angkasa lepas.

Bayaran Masuk: Dewasa RM12.70 | Kanak-kanak RM5.30

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 7.00pm)

Alamat: Kampung Telibong, Batu 21, Jalan Telibong, Tamparuli 89250


8. Taman Negara Kinabalu, Kundasang

Kinabalu National Park Kundasang
Sumber: Richard Ker

Taman tertua negeri Sabah ini, Taman Negara Kinabalu, menawarkan banyak aktiviti menarik bagi para pelawat, antaranya adalah berjalan menuju ke kawasan air terjun yang indah, memerhati burung, berbasikal, merentas hutan ataupun sekadar bersantai-santai bersama keluarga sambil menikmati kehijauan alam sekeliling di bawah pondok-pondok yang disediakan.

Sekiranya anda merentas hutan Taman Negara Kinabalu, anda dapat menyaksikan kekayaan floranya yang mencangkupi spesies tumbuhan dari Australia, Himalaya, China dan Malaysia sendiri. Dianggarkan secara keseluruhan flora dan fauna yang terdapat di taman negara ini adalah dalam sekitar 400 spesies.

Alamat: Mount Kinabalu National Park, 89300 Ranau, Sabah


7. Pekan Ranau

Pekan Ranau
Sumber: Ranau Town

Kalau sudah ke Sabah tapi tidak ke Pekan Ranau, macam tak kena pula rasanya kerana di sinilah terletaknya bermacam-macam tarikan yang bukan sahaja terkenal di Malaysia malahan di peringkat dunia. Di Pekan Ranaulah terletaknya Desa Cattle yang dikatakan New Zealand Malaysia, Gunung Kinabalu, Ladang Teh Sabah, Sungai Moroli dan banyak lagi!

Alamat: Pekan Ranau, Ranau, Sabah


6. Pasar Kraftangan Pekan Nabalu

PasaR Kraftangan Pekan Nabalu
Sumber: Kundasang Trips

Sebelum sampai ke Pekan Kundasang, anda akan menemui pasar yang meriah dengan pelbagai jenis barangan kraftangan ini yang terletak di Pekan Nabalu. Antara cenderamata yang terdapat di sini adalah fridge magnet, keychain, t-shirt dan banyak lagi yang boleh anda berikan kepada orang tersayang sebagai tanda ingatan. Bagi anda yang nak berjimat, inilah lokasi membeli-belah cenderamata khas untuk anda kerana harga-harga yang ditawarkan di sini adalah lebih murah daripada di tempat lain, jadi, rancanglah untuk ke sini ya?

Alamat: Pekan Nabalu, 89300 Ranau, Sabah


5. Tugu Replika Kobis Kundasang

Tugu Replika Kobis Kundasang
Sumber: Borneo Native Adventure & Tours Sdn Bhd

Jangan main-main, kobis pun ada tugu tau. Tugu Kobis ini dapat anda lihat setibanya anda di Kundasang. Bukan saja-saja kobis ini dijadikan tugu, tapi ia adalah sebagai lambang kedinginan udara Kundasang yang juga subur dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran yang termasuklah sayur kobis.

Alamat: Pekan Kundasang


4. Mount Kinabalu Holiday Camp

Mount Kinabalu Holiday Camp
Sumber: 沙巴人情味

Jangan tak perasan pula, Mount Kinabalu Holiday Camp adalah tapak perkhemahan bukannya rumah penginapan. Oleh itu, kalau anda ke sini, pastikan anda membawa bekalan yang cukup untuk digunakan sepanjang waktu perkhemahan anda.

Sekali-sekala mencipta memori yang berbeza bersama keluarga, satu memori yang sukar dilupakan. Pengalaman berkhemah di sini bertambah seronok dengan keindahan langit malam yang meriah dengan kerlipan bintang dan juga pemandangan cahaya matahari naik dan terbenam. Udara di tapak perkhemahan ini pula sangat melegakan badan, cukup segar.

Harga: Dari RM513 Semalaman

Alamat: Mamut, KM 8, Batu 2, Ranau


3. Mount Kinabalu Heritage & Spa

Mount Kinabalu Heritage & Spa
Sumber: Jeff Andrew

Dari Mount Kinabalu Heritage & Spa ini anda dapat menikmati pemandangan mengasyikkan tanpa batasan Gunung Kinabalu. Dari sini juga anda dapat melihat sekitar Pekan Kundasang. Cukup menarik untuk menenangkan fikiran dan hati sambil menghirup udaranya yang sungguh menyegarkan.

Alamat: W.D.T. 11 TA Kinabalu, 89309 Ranau, Sabah


2. Jambatan Gantung Tamparuli

Jambatan Gantung Tamparuli
Sumber: I’m from Tamparuli

Terletak bersebelahan dan lebih tinggi daripada jambatan untuk kenderaan adalah Jambatan Gantung Tamparuli yang dibawahnya mengalir air sungai yang jernih. Di hujung jambatan ini terdapat papan tanda yang menceritakan kisah disebalik kewujudan jambatan ini, agak menarik juga kisahnya, nak tahu? Mai datang ke sini.

Alamat: Jalan Bontoi, Tamparuli 89250


1. Desa Cattle Dairy Farm

Desa Cattle Farm Kundasang
Sumber: Safartrips

Terletak di kaki bukit Gunung Kinabalu adalah New Zealand di negara Malaysia, Desa Cattle Dairy Farm. Pemandangan sekitarnya sangat menyejukkan mata. Ladang lembu yang berkeluasan 199 hektar ini juga dipenuhi dengan baka-baka lembu yang didatangkan dari New Zealand.

Anda boleh mendekati lembu-lembu ini dengan memberikan mereka susu di dalam botol dan belajar bagaimana susu lembu diperah. Bukan sahaja lembu yang ada di sini, kambing pun ada untuk anda cuba berikan makanan. Pasti akan menjadi memori yang indah untuk anda sekeluarga.

Sudah puas melihat pemandangan dan beraktiviti, jangan lupa untuk mencuba susu segar, ais krim dan juga yogurt yang dihasilkan di ladang ini. Dapat rasa kesegarannya di lidah anda. Memang cool!

Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM4

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Alamat: Desa Dairy Farm, Mesilau


Dengan ini tamatlah sudah senarai tempat menarik di Kundasang, banyak jugakan? Apatah lagi kalau anda berpeluang untuk meneroka seluruh pelusuk Sabah. Nak tahu di mana lagi tempat menarik di serata Sabah, jom baca artikel kami, 45 Destinasi Terbaik Di Sabah. Sekiranya anda ingin menginap berdekatan dengan gunung tertinggi di Asia Tenggara dengan harga yang berpatutan, mai baca artikel berkaitan Hotel Murah di Kota Kinabalu.

Akhir kata, terima kasih kerana membaca sehingga ke penghujung artikel, tapi sebelum itu, dengarkan dulu pantun empat kerat ini:

Belayar jauh ke negeri Jawa,

bila berlabuh dilepaskan tali,

Nyamannya Sabah mendamaikan jiwa,

orangnya molek ramah sekali.

Nak tunggu apa lagi? Mari kita ke Sabah bah!



Related Posts