72 Tempat Menarik Di Perak | Panduan Lengkap Destinasi Terbaik

Negeri Perak Darul Ridzuan antara salah sebuah daripada 13 buah negeri yang membentuk Malaysia. Negeri Perak menawarkan pelbagai keistimewaan sama ada daripada segi ekonomi, pelancongan dan infrastruktur kepada rakyatnya. Dengan keluasan 21,000 kilometer persegi, 12 daerah dengan Ipoh sebagai ibu negeri, Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja menjadikan Perak sebagai negeri nombor dua terbesar di semenanjung.

Negeri Perak sudah pastinya menjanjikan kelainan kepada pengunjung kerana sangat terkenal dengan pelancongan alam semula jadi, pulau dan pantai, tempat bersejarah, taman tema dan sebagainya. Negeri Perak juga merupakan sebuah negeri di Malaysia yang masih lagi mengekalkan seni bina bangunan yang bercirikan warisan pengaruh Barat yang sangat mempesonakan pelancong. Jika anda inginkan percutian yang bercirikan “Ketamadunan” dan “Semula Jadi”, jangan lepaskan peluang untuk melawati negeri Perak. Di sini kami senaraikan 72 tempat menarik di Perak yang boleh anda lawati bersama keluarga ketika bercuti di negeri ini.

Kandungan

Muzium & Tempat Bersejarah

1. Muzium Perak

Muzium Perak
Sumber: JMM.gov.my

Muzium Perak merupakan muzium  pertama dan tertua yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1883 oleh Sir Hugh Low seorang Residen British ketiga di Perak ketika itu.  Terletak di bandar Taiping, kira-kira 85 kilometer dari bandar Ipoh. Muzium Perak kaya dengan koleksi etnologi, sejarah, alam semula jadi, arkeologi dan etamobologi yang sebahagiannya diklasifikasikan sebagai koleksi nadir atau rare yang berusia lebih seratus tahun seperti spesimen binatang seperti binturong dan pulasan, tengkorak dan rangka binatang serta tembikar tanah yang kini sukar ditemui atau pupus. Selain daripada pelbagai jenis koleksi yang dipamerkan, bangunan Muzium Perak ini juga mempunyai keunikan dan kelainan seni binaannya yang tersendiri pengaruh daripada bangunan masyarakat “moor” di India, dan ‘neo-classical” serta “Victorian” masyarakat di Eropah. Bagi anda yang meminati sejarah dan sebagainya jangan lepaskan peluang anda untuk berkunjung ke Muzium Perak ini.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.00am– 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa (RM 2.00) | Kanak-Kanak (Percuma)

2. Galeri Sultan Azlan Shah

Galeri Sultan Azlan Shah
Sumber: Skyscrapercity.com

Sebuah galeri yang indah dan menarik seni binaannya dibangunkan semula daripada istana lama iaitu Istana Ulu. Istana Ulu atau dikenali juga dengan nama Istana Kota ini terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tidak jauh dari Masjid Ubudiah. Dibina setaraf galeri yang terdapat di luar negara bertujuan untuk merakam tentang sejarah hidup Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah daripada awal usia sehingga zaman pentadbiran baginda. Di sini juga menempatkan informasi berkenaan sejarah negeri Perak dan keluarga Diraja Perak. Kemegahan dan keagungan Galeri Sultan Azlan Shah ini diterjemahkan melalui seni binaannya yang halus dan indah, terus kekal berdiri teguh walaupun telah seabad dibina. Selain daripada pengunjung dapat mengetahui sejarah, susur galur dan kehidupan sultan tetapi juga dapat melihat kehalusan ukiran-ukiran kayu dan kerawang besi berukiran bunga kemboja serta keseluruhan galeri ini sudah semestinya menawan hati pengunjung yang gemar akan seni sebegini.

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (10.00am – 5.00pm) | Jumaat: 10.00 pagi – 12.15 tengah hari (Dibuka semula:  2.45 petang – 5.00 petang)

3. Kellie’s Castle

Kellie’s Castle merupakan antara salah satu tempat menarik yang harus anda lawati jika berkunjung ke negeri Perak. Bangunan 3 tingkat umpama istana ini mempunyai kelainan, keunikan dan sejarahnya yang tersendiri kerana dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul, di Bandar Agra, India. Walaupun bangunan ini sudah berusia 107 tahun dan tidak sempat disiapkan tetapi tetap terus kukuh hasil daripada pembaikan yang dijalankan. Untuk ke Kellie’s Castle pengunjung perlu menyeberangi jambatan yang telah dibina melintasi sungai Kinta. Terdapat kemudahan seperti kafe, surau, tandas, kedai cenderamata dan tapak meletak kereta telah disediakan oleh Majlis Daerah Kinta Barat. Kellie’s Castle juga sering menjadi lokasi pengembaraan drama dan filem dalam dan luar negara kerana keunikan binaannya. Kellie’s Castle menjadi kebanggaan penduduk Batu Gajah, Perak ini kerana keunikan seni binaan dan sejarahnya.

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa (RM 5.00) | Kanak-kanak (RM 3.00) | Warga Emas (RM 4.00)

4. Muzium Arkeologi Lenggong

Muzium Arkeologi Kota Tampan ini terletak di sebuah kawasan bekas ladang Kelapa Sawit di Kampung Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong dan berada dalam Daerah Hulu Perak iaitu 8 kilometer ke selatan dari Pekan Lenggong. Keluasan keseluruhan kawasan Galeri ini dianggarkan seluas 8.16 ekar dengan 2 blok bangunan yang mempunyai 2 Galeri Pameran, Pejabat, Bilik Audio Visual, Bilik Mesyuarat dan Bilik Penyelidikan. Galeri ini menempatkan pelbagai artifak dan bahan prasejarah dipamerkan dalam bentuk medium yang menarik dan berinformatif. Di sini juga terdapat rangka “Perak Man” yang ditemui di Gua Gunung Runtuh, dan beberapa artifak lain yang membuktikan kewujudan penempatan awal manusia prasejarah di negara ini, menjadikan ianya tersenarai antara 953 tapak warisan dunia oleh UNESCO. Selain itu, bukti penemuan batu serpihan hentaman meteorit juga menjadi penyumbang kepada pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (9.00am – 12.00pm) (3.00am – 5.00pm)

5. Kota Belanda

Jika anda ke Pulau Pangkor, Perak jangan terlepas peluang untuk singgah sebentar di Kota Belanda ini. Terletak di Teluk Gadang, kira-kira 100 meter dari pantai. Kota Belanda ini merupakan sebuah kubu lama kolonial Belanda telah berusia lebih 300 tahun yang dijadikan sebagai gudang penyimpanan bijih timah dari negeri Perak. Pengunjung boleh melawati Kota ini secara percuma sahaja sambil melihat secara dekat peninggalan-peninggalan penjajahan, sejarah pengaruh Barat di Tanah Melayu, dan terdapat juga beberapa rumah limas tradisional negeri Perak yang telah dibina oleh kerajaan negeri Perak bagi menambahkan lagi nilai serta tarikan pelancongan di sini. Pengunjung tidak perlu risau jika datang ke sini kerana terdapat pelbagai kemudahan telah disediakan seperti gerai makanan, pakaian dan juga cenderamata untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

6. Kompleks Sejarah Pasir Salak

Kompleks ini dibina pada tahun 1990 atas inisiatif Tan Seri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak ketika itu dan dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990. Di sini terdapat banyak kesan sejarah terutamanya tentang perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu, terbahagi kepada galeri Sejarah, dan balai pameran mempamerkan sejarah peristiwa Pasir Salak, senjata, alat-alat pengangkutan, tembaga, pakaian dan banyak lagi. Terdapat juga bangunan yang sedia ada berhampirannya ialah Masjid Pasir Salak, kubu pertahanan dan tiga buah rumah kutai.

7. Muzium Beruas

Salah satu tempat bersejarah boleh anda lawati di Perak ialah Muzium Beruas. Pada awalnya, bangunan ini merupakan Mahkamah Beruas yang telah diubahsuai untuk dijadikan muzium yang mengambil masa lebih kurang 50 minit dari Sitiawan. Muzium ini mempamerkan lebih daripada 300 artifak pada zaman kerajaan Beruas dan Gangga Negara. Penubuhan Muzium Beruas ini bertujuan untuk mengumpul dan mengungkapkan semula tentang sejarah keagungan kerajaan Melayu tertua di pesisir pantai negeri Perak yang telah wujud seawal abad kedua hingga kelima belas. Di muzium ini memaparkan segala maklumat dan bahan kajian dalam bentuk sebenar seperti peta-peta, ilustrasi dan nota mengenai kegemilangan kerajaan Gangga Negara dan Beruas. Masuk ke muzium ini adalah percuma.

Waktu Operasi: Isnin-Khamis (9.30am – 5.00pm) | Jumaat (9.30am – 12.15pm) (2.45pm – 5.00pm) | Sabtu, Ahad dan Kelepasan Am (9.30am – 5.00pm)

8. Batu Bersurat Pulau Pangkor

Jika anda ke Kota Belanda jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri Batu Bersurat berhampiran dengan kota tersebut, terletak kira-kira 100 meter dari pantai. Pengunjung dapat melihat dengan lebih jelas batu besar terpahat dengan lukisan seolah-olah harimau sedang mencederakan seorang budak, dua bulatan berbentuk daun serta perkataan-perkataan Belanda dan Inggeris yang berbunyi “If Carlo 1743. Di mana tahun yang tercatat merupakan tahun pendudukan semula Belanda di Pulau Pangkor. Jika dari Kota Belanda anda boleh berjalan kaki sahaja kerana jaraknya yang dekat. Selain daripada faktor sejarah, suatu yang unik tentang batu ini juga dikatakan oleh penduduk tempatan bahawa batu ini hidup kerana mampu membesar dari saiz asalnya yang agak kecil dengan panjang 10.7 meter, lebarnya 4.6 meter dan berketinggian 4.3 meter.

9. Port Weld

Port Weld atau lebih dikenali kini sebagai Kuala Sepetang, Perak. Dikatakan semasa terdapatnya bijih timah di Larut dan Taiping lokasi ini menjadi pelabuhan yang sangat penting. Hulu Sungai Larut mengalir dari Bukit Larut atau Bukit Maxwel terus ke muara Sungai Larut berhampiran dengan Port Weld atau Kuala Sepetang. Hanya mengambil masa 60 minit atau 72 kilometer untuk ke bandar Ipoh. Kawasan yang dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan Matang ini merupakan hutan paya bakau yang diiktiraf oleh dunia sebagai ekosistem terbaik. Selain itu, di sini juga terdapat kepelbagaian hidupan liar bagi pengunjung yang cinta akan alam semula jadi untuk melihat dan terokai. Di kawasan tengah bandar ini juga terdapat stesen keretapi pertama di Malaysia yang berhubung dengan Taiping yang kini sudah ditutup, yang tinggal hanyalah pondok menjual tiket dan papan tanda sebagai simbolik kepada Port Weld.

10. Muzium Darul Ridzuan

Muzium Darul Ridzuan merupakan salah satu tumpuan para pelancong di Perak. Menariknya bangunan ini mempunyai ciri-ciri reka bentuk Inggeris dan masih mengekalkan reka bentuk seni bina asalnya sehingga sekarang. Dibina di kawasan seluas kira-kira empat ekar. Selain itu, terdapat dua buah kubu perlindungan serangan udara atau airaid shelter dibina pada tahun 1940. Bangunan ini telah mula diubahsuai reka bentuk dalamannya pada tahun 1991 dan diberi nama Muzium Darul Ridzuan dan telah dirasmikan pembukaannya pada 18 Ogos 1992 oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Jika ingin melihat dan mengetahui lebih lanjut latar belakang serta sejarah mengenai muzium ini pengunjung jangan lepaskan peluang anda untuk ke sini, masuk adalah percuma.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.30am – 5.00pm) | Jumaat (9.30am – 12.15pm) (2.45am – 5.00pm) | Sabtu, Ahad dan Kelepasan Am (9.30am – 5.00pm)

11. Muzium Geologi

Tertubuhnya pada tahun 1957 Muzium Geologi adalah untuk menyimpan contoh rujukan daripada kajian geologi. Menempatkan hampir 700 koleksi unik dan menarik pelbagai jenis fosil, mineral, batu permata berharga dan separa-berharga dari dalam dan luar negara. Terdapat beberapa sampel bijih timah menarik yang ditemui dalam lombong timah di Lembah Kinta, Perak turut dipamerkan. Di samping, turut memaparkan sumbangan geologi terhadap pembangunan sumber air bawah tanah, pembinaan infrastruktur dan promosi warisan geologi Malaysia menggunakan ilustrasi grafik. Masuk ke muzium ini adalah percuma.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.00am – 12.30pm) | Jumaat (9.00am – 12.00pm) (3.00pm – 4.30pm) | Sabtu, Ahad dan Kelepasan Am (Tutup)

12. Muzium Diraja Kuala Kangsar

Muzium Diraja Kuala Kangsar sangat melambangkan seni bina Melayu Tradisional yang mengagumkan. Pengunjung boleh melihat dengan lebih jelas kehalusan seni bina Melayu Tradisional ini dengan lebih teliti. Muzium yang didirikan pada tahun 1926 ini dahulunya dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Istana Lembah, Istana Kenangan, atau Istana Tepas. Muzium ini dibina atas perintah D.Y.M.M. Almarhum Sultan Iskandar Shah sebagai tempat bersemayam sementara. Yang menariknya mengenai muzium ini tidak digunakan paku besi dalam pembinaannya. Dengan warna dinding yang melambangkan warna negeri perak iaitu kuning, hitam, dan putih. Reka bentuk bangunan ini menggunakan enam puluh batang tiang yang lebih kurang 41 meter dan selebar 11 meter. Dikatakan bentuk bangunan ini terbina seperti sebilah padang yang berada di dalam sarungnya. Struktur bangunan ini terbahagi kepada dua iaitu di bahagian  atas ditempatkan singgahsana manakala di bahagian bawah menempatkan sebuah pejabat rasmi Baginda. Masuk juga adalah percuma.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.30am – 5.00pm) | Jumaat (9.30am – 12.15pm) (2.45pm – 5.00am) | Sabtu, Ahad dan Kelepasan Am (9.30am – 5.00pm)


Syurga Pencinta Haiwan

13. Zoo Taiping

Zoo Taiping
Sumber: Zoo Taiping

Zoo Taiping ini merupakan sebuah zoo yang terbesar dan satu-satunya di utara semenanjung Malaysia iaitu di negeri Perak. Dengan kawasan zoo seluas 36 ekar ini, Zoo Taiping membawa pembaharuan dengan menggunakan konsep terbuka, dengan mengambil kira habitat asal haiwan tersebut. Zoo ini menempatkan lebih 1200 ekor haiwan yang terdiri daripada 140 spesies terdiri daripada Harimau, Singa, Gajah, Badak Air, Zirafah, Enggang, Orang Utan dan banyak lagi. Pengunjung boleh datang ke sini untuk beriadah bersama anak-anak dan mempelajari tentang hidupan liar.

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (8.30am-6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa: RM17.00 | Kanak-kanak: RM8.50

14. Night Safari Zoo Taiping

Night Safari
Sumber: Taiping Night Safari

Aktiviti Night Safari yang terdapat di Zoo Taiping ini merupakan yang pertama di Malaysia. Night Safari membolehkan pengunjung melihat hidupan-hidupan liar yang aktif pada waktu malam dalam suasana semula jadi. Pengunjung dikehendaki meminimumkan bunyi-bunyi atau suara dan dilarang membawa lampu suluh dan kamera berflash supaya dapat mendengar bunyi-bunyi haiwan serta tidak mengganggu ketenteraman di sini. Suatu pengalaman yang menarik untuk melihat hidupan liar dalam suasana malam yang tenang bagi pengunjung yang ingin lari dari kesibukan hari siang di bandar yang dapat dikongsi bersama ahli keluarga.

Waktu Operasi: Ahad – Jumaat dan Cuti Umum (8.00pm – 11.00pm) | Sabtu dan malam sebelum Cuti Am (8.00pm – 12.00am)

15. Eco Park

Eco Park di Bukit Merah Laketown Resort merupakan sebuah taman tema berasaskan alam semula jadi pasti menjadi tarikan pengunjung. Merupakan sebuah tempat perlindungan mesra alam semula jadi seluas 3 ekar dengan 3 bahagian iaitu Nature Trail, Reptile Park dan Tropical Trek pasti mengujakan para pengunjung. Terdapat pelbagai spesies hidupan liar seperti reptilia, primat, mamalia, burung dan ikan dalam persekitaran alam semula jadi berhampiran dengan habitat mereka. Selain itu, di sini juga terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan seperti Skycycle, taman haiwan peliharaan untuk pengunjung melihat secara lebih dekat dan banyak lagi. Pengunjung yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai hidupan liar ini dan merasai pengalaman menyeronokkan juga digalakkan untuk berinteraksi dengan beberapa haiwan yang terdapat Eco Park ini.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (11.00am– 6.00pm) | Jumaat – Ahad (10.00am – 7.00pm) | Cuti Sekolah dan Cuti Umum: Tutup kecuali hari Selasa

Bayaran Masuk: Dewasa (RM18) | Kanak-kanak (RM14) | Warga Emas dan OKU (RM10)

16. Kelip-Kelip Kampung Dew

Jika anda ke Taiping jangan lepaskan peluang untuk ke Kampung Dew yang terletak di kawasan Simpang Ampat, Semanggol. Pengunjung dapat melihat kelip-kelip yang menjadi tarikan eko-pelancongan dan pastinya sangat menyeronokkan. Lokasi pelancongan sebegini amat jarang terdapat di dunia terutamanya di Malaysia, pengunjung dapat melihat dan mempelajari mengenai spesies kumbang ini secara dekat. Pengunjung tidak perlu risau kerana anda akan dibawa menaiki feri melawat kawasan habitat ini, mengambil masa selama 30 minit untuk pergi dan balik, setiap bot atau feri ini juga boleh memuatkan 5 sehingga 7 orang penumpang, bergantung kepada saiznya. Kelip-kelip dengan jumlah yang banyak berterbangan mengeluarkan cahaya pada waktu malam di sini sangat mempesonakan anda seolah-olah melihat bintang di langit.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.00am – 10.00pm)

17. Pulau Orang Utan

Pulau Orang Utan merupakan sebahagian daripada pusat peranginan Bukit Merah Laketown Resort, uniknya pusat penjagaan Orang Utan ini kerana terletak di tengah tasik kira – kira 10 minit dari Bukit Merah. Pengunjung perlu menaiki bot untuk melawat pusat perlindungan Orang Utan ini. Pulau seluas 35 ekar ini menempatkan lebih 20 ekor orang utan dari peringkat umur bayi sehingga dewasa. Di pulau ini pengunjung dapat melihat secara jelas orang utan melakukan aktiviti harian mereka melalui terowong sangkar besi sepanjang 100 meter. Pusat perlindungan ini juga memberi suatu kelainan yang tersendiri berbeza dengan mana-mana perlindungan Orang Utan yang lain kerana berada di habitat semula jadinya sendiri.

18. Burung Enggang di Pasir Bogak

Pengunjung dapat melihat secara dekat burung Enggang di Pasir Bogak yang merupakan salah satu kawasan di Pulau Pangkor. Merupakan tarikan utama pelancong untuk menyaksikan sendiri spesies burung unik ini selain daripada pantainya yang unik berbanding pusat peranginan lain di negara ini. Pengunjung berpeluang untuk melihat spesies burung ini yang semakin mesra dengan lebih dekat setiap petang, jika bernasib baik pengunjung berpeluang memberi makan secara terus dari tapak tangan.

19. Lost World Petting Zoo

Lost World Petting Zoo merupakan salah satu tarikan utama di Lost World of Tambun, tarikan baharu ini meliputi kawasan seluas 80,000 kaki persegi. Dibina di dalam hutan semula jadi dengan berlatar belakangkan bukit batu kapur menjadikan ianya tumpuan pelancong dari serata negara. Terdapat lebih 4,000 haiwan seperti burung, rakun, ular sawa, kura-kura gergasi, monyet, rusa, rubah dan sebagainya. Merupakan tempat rekreasi yang menyeronokkan dan pembelajaran untuk pengunjung dari semua peringkat umur meluangkan masa bersama keluarga berinteraksi lebih dekat, sambil menghargai haiwan-haiwan yang terdapat di sini.

20. Tiger Valley

Di lokasi ini pengunjung dapat melihat harimau Siberian secara dekat. Pengunjung berpeluang untuk berkunjung ke Tiger Valley di Lost World of Tambun yang menjadi tarikan utama pelancong bagi melihat kelincahan dan kekuatan haiwan liar yang tergolong daripada keluarga kucing liar yang terbesar ini. Di samping, berpeluang untuk melihat haiwan tersebut diberi makan oleh pelatih.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (3.00am – 4.00pm)

21. Pusat Konservasi Hidupan Liar

Pusat Konservasi Hidupan Liar, Sungkai diuruskan oleh Jabatan Perhilitan Perak, dengan keluasan melebihi dari 50 hektar, telah mula beroperasi pada tahun 1971.  Penubuhan pusat ini adalah bertujuan untuk menjadi pusat pembiakan, mengawal dan mengelak kepupusan haiwan yang terancam. Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar ini terletak 15 kilometer dari Pekan Sungkai, kira-kira 40 kilometer dari Teluk Intan. Pengunjung dapat melihat lebih daripada 100 ekor rusa berkeliaran bebas di tapak pembiakan dan pemuliharaan. Pusat ini juga menempatkan haiwan seperti seladang dan pelbagai spesies burung, rusa serta harimau.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

22. Ladang Ternakan Rusa

Jika pengunjung ingin melihat pelbagai jenis spesies rusa secara lebih dekat terdapat sebuah ladang ternakan Rusa di Kampung Manderang, Sungkai, Perak. Ladang ini berkeluasan 100 hektar telah ditubuhkan dan diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar. Di sini, anda dapat melihat pelbagai spesies rusa yang berlari dan hidup dengan bebas, sama seperti apa habitat semula jadi rusa. Dibuka kepada orang awam pada tahun 1978 dengan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhilitan, ladang ini juga menyediakan tempat perlindungan bagi spesies burung tertentu dan pelbagai hidupan liar yang lain.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.00am – 4.15pm)

Bayaran Masuk: Percuma

23. Taiping Equine Park

Jika anda ingin merasai pengalaman menunggang kuda, jangan lupa untuk singgah ke Taiping Equine Park. Merupakan taman yang sangat inovatif yang boleh dinikmati oleh anda sekeluarga. Di sini terdapat banyak kuda-kuda yang sangat mesra dan boleh juga ditunggang oleh kanak-kanak. Pengalaman menunggang kuda di sini akan menjadi pengalaman yang terbaik untuk anda rasai jika melancong ke negeri Perak ini.

24. Pusat Pengurusan Penyu Segari

Pusat Pengurusan Penyu Segari merupakan salah satu tumpuan para pelancong di Perak yang terletak di Pantai Pasir Panjang, Segari, Perak. Merupakan pusat pemuliharaan haiwan terancam ini sebelum dilepaskan ke dalam laut. Dua jenis penyu yang mendarat di Pusat ini adalah Penyu Lipas dan juga Penyu Agar. Jika pengunjung ingin melihat aksi penyu mendarat boleh berkunjung ke sini sekitar bulan Mac hingga Julai. Di sini pengunjung dapat melihat pameran mengenai penyu dan kitaran hayat mereka, melawat tapak penetasan penyu, kolam penyu dan melihat perlepasan anak-anak penyu ke dalam laut.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (10.00am – 5.00pm) (12.30am – 2.00pm)

25. Santuari Burung Kuala Gula

Kuala Gula dikenali sebagai perkampungan nelayan di garis pantai negeri Perak. Kedudukan lokasi ini juga terdiri daripada bahagian Hutan Simpan Paya Laut Matang. Kuala Gula juga terkenal di kalangan pemerhati burung tempatan mahupun dari antarabangsa kerana terdapat burung migrasi. Di samping itu, pelbagai kemudahan yang disediakan seperti chalet untuk pelancong yang ingin menginap dan merasai keindahan alam semula jadi paya bakau yang didiami oleh beribu-ribu burung yang singgah dari seluruh pelosok dunia.

26. Taman Alam Kinta

Taman Alam Kinta atau juga dikenali sebagai Taman Burung di Kampung Pisang, Batu Gajah, sering menjadi tumpuan para pelancong yang datang dari dalam dan luar negara kerana menjadi habitat lebih dari 150 jenis burung air antaranya burung kuang, raja udang, belatuk, wak-wak, tiong air, penyelam, bangau dan banyak lagi. Bekas lombong bijih timah yang berkeluasan seluas 900 hektar ini menjadi habitat burung-burung residen dan migrasi. Terdapat sebuah menara pemerhati burung juga dibina khas untuk pelancong memerhati habitat burung-burung air di Taman Alam Kinta ini dengan lebih mudah.


Pulau & Pantai

27. Pulau Pangkor

Pulau Pangkor
Sumber: Malaysia Travel

Pulau Pangkor merupakan pulau ketiga terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Perak, pulau yang cantik dengan pemandangan yang menawan ini menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia. Di Pulau Pangkor terdapat beberapa pantai yang bersih dan indah serta air lautnya yang biru kehijauan seperti Pantai Pasir Bogak, Teluk Nipah, Coral Beach dan juga Teluk Belanga. Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti sukan air yang anda boleh cuba seperti snorkelling, scuba driving, berkayak, memancing, menaiki banana boat, jet ski dan banyak lagi. Bagi pengunjung yang ingin menjelajah keseluruhan pulau tidak perlu risau kerana terdapat perkhidmatan sewa kereta, teksi, motosikal dan juga basikal.

28. Pulau Giam

Pulau Giam
Sumber: Tourism Malaysia Perak

Pulau Giam merupakan salah satu daripada pulau-pulau kecil di Pangkor, sering menjadi tumpuan pelancong yang gemarkan aktiviti seperti snorkelling dan berkayak. Pengunjung boleh menyewa kayak dengan harga RM10.00 per sejam untuk berkayak dari Teluk Nipah ke Pulau Giam. Aktiviti ini pasti mengujakan para pengunjung kerana dapat melihat air laut yang jernih seakan kristal, dengan pelbagai jenis hidupan laut serta terumbu karang yang banyak terdapat di sini. Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti riadah bersama keluarga seperti berkelah dan bersantai sepanjang pantai. Selain itu, tarikan utama di sini ialah terdapat batu besar di tepi pantai yang menyerupai penyu dan kepala buaya.

29. Pulau Mentagor

Bagi anda yang meminati aktiviti sukan air yang lasak jangan terlepas peluang untuk mencuba menaiki matrix boat, hanya terdapat di Pulau Mentagor, sewa bot cuma berharga RM25.00  untuk satu sesi seorang menjanjikan keseronokan yang mengasyikkan. Selain itu, di Pulau Mentagor juga terdapat tarikan yang unik iaitu batu besar di tepi pantai yang menyerupai ikan paus dan landak laut.

30. Pantai Ban Pecah

Pantai Ban Pecah yang terletak di kawasan Parit Buntar, merupakan sebuah pantai rekreasi yang terkenal di kalangan penduduk setempat untuk beristeri rehat. Kawasan pantai yang landai dan disulami dengan bongkah-bongkah batu di sepanjang pesisir pantainya begitu menarik perhatian. Bongkah batu ini disusun bagi mengekang hakisan ombak. Jika anda seorang kaki pancing, di sini juga terdapat sebuah pelantar memancing yang telah dibina khas untuk pengunjung berteduh dari terik matahari. Di sini juga terkenal dengan sajian mi udang Tanjung Piandang dan kari ikan sembilang yang tidak asing lagi oleh penduduk setempat untuk menjamu selera.

31. Pulau Sembilan

Pulau Sembilan merupakan antara 9 buah pulau kecil yang terletak di daerah Manjung, Perak. Pulau ini menjadi tumpuan dan tarikan kepada pelancong untuk mencuba aktiviti memancing, snorkelling atau scuba driving. Di Pulau ini juga pengunjung dapat melihat terumbu karang dan pelbagai jenis hidupan marin yang eksotik. Bagi anda yang ingin bermalam di sini jangan risau kerana terdapat kemudahan perkhidmatan sewa khemah dan juga pondok kecil untuk berehat dan melihat keindahan persekitaran pantai ini. Pulau Sembilan juga terkenal dengan ‘blue tears’ yang dapat dilihat pada malam hari hasil daripada bioluminescent phytoplankton.

32. Pantai Pasir Panjang

Salah sebuah pantai di Segari yang merupakan pantai paling panjang di Daerah Manjung. Pantai sepanjang 6 kilometer ini menjadi tempat untuk penyu bertelur disebabkan permukaan  pasir pantainya yang halus, pohon yang merimbun dan bebas daripada gangguan. Lokasi ini juga dikawal selia oleh sebuah pusat pemuliharaan iaitu Pusat Pengurusan Penyu Segari bagi menjaga kesinambungan kehidupan penyu. Selain itu, Pantai Pasir Panjang juga merupakan tempat yang strategik untuk melihat anak bulan bagi menentukan permulaan bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

33. Teluk Senangin

Teluk Senangin merupakan sebuah kawasan peranginan yang popular di kalangan penduduk setempat untuk beriadah, beristirahat dan berkelah bersama keluarga. Terkenal dengan tarikan pasir pantainya yang halus, bersih dan laut yang berombak kecil sesuai untuk melakukan aktiviti air. Terdapat pelbagai kemudahan telah disediakan di sini seperti tempat penginapan yang banyak, restoran dan kedai cenderamata. Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti air seperti memancing, banana boat, sukan pantai dan banyak lagi. Bagi pengunjung yang ingin lari dari kesibukan kota untuk mencari ketenangan, suasana pantai di Teluk Senangin yang damai dan indah ini pasti tidak akan menghampakan anda.

34. Teluk Batik

Teluk Batik terletak 7 kilometer dari pelabuhan atau jeti Lumut, Perak. Merupakan sebuah pantai yang cukup menarik dengan pasir pantainya yang halus, cantik, landai dan luas sangat sesuai untuk aktiviti sukan pantai seperti bola tampar, perkhemahan dan juga hari keluarga. Beberapa chalet dan resort juga terdapat di sini seperti Marina Cove Resort dan Teluk Batik Resort untuk penginapan anda. Teluk Batik cukup menarik kerana air lautnya yang jernih dan ombak yang tenang sesuai untuk aktiviti mandi laut. Tidak hairanlah bila tiba musim cuti sekolah Teluk Batik menjadi sasaran ramai pengunjung untuk bercuti.


Mercu Tanda

35. Lost World Tambun

Lost World Of Tambun
Sumber: Lost World Of Tambun

Lost World of Tambun adalah salah satu daripada tempat menarik yang harus anda kunjungi di Perak, tidak kiralah sama ada bercuti bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Sebuah taman tema yang lengkap dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh anda lakukan seperti Water Park, Amusement Park, Lost World Petting Zoo, Tiger Valley, Tin Valley, Hot Spring dan Spa serta Adventure Park. Di sini juga terdapat resort sekiranya pengunjung ingin menginap. Lost World of Tambun menjanjikan keseronokan yang terbaik untuk pengunjung yang ingin bersuka-ria dan melepaskan tekanan bebanan kerja dan sebagainya.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (11.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah dan Cuti Umum (10.00am – 6.00pm) | Tutup setiap hari Selasa kecuali Cuti Sekolah dan Umum

36. Masjid Ubudiah

Masjid Ubudiah
Sumber: Ahmad Sanusi

Masjid Ubudiah merupakan salah satu bangunan keagamaan yang menjadi mercu tanda di negeri Perak. Lokasi masjid ini terletak di Kuala Kangsar, Perak lebih dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah yang mula dibina pada tahun 1913 dan telah siap sekitar pada tahun 1917. Masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah dengan bercirikan seni bina Islam dan terdapat empat buah menara dengan ketinggian 126 kaki serta dikelilingi kubah dan lantai menggunakan marmar merah yang ditempah khas dari Itali dan London. Seni reka bentuk masjid ini pastinya memukau pandangan pengunjung dan memikat hati untuk merasai sendiri berada di dalam masjid ini.

37. Bukit Merah Laketown Resort

Bukit Merah Laketown Resort terletak di Semanggol, Perak berhampiran dengan Taiping. Merupakan sebuah taman tema air dan resort yang terawal di Malaysia dan sangat terkenal di negeri Perak, sentiasa menerima kunjungan daripada pelancong dalam dan juga luar negara. Bukit Merah menawarkan pelbagai keseronokan taman tema air, keindahan alam semula jadi dan penginapan yang selesa. Anak-anda sudah pastinya teruja sekiranya bercuti di sini kerana menawarkan pelbagai tarikan termasuklah Water Park, Eco Park dan di tengah tasik terdapat santuri Orang Utan di Pulau Orang Utan. Pelbagai kemudahan telah disediakan di sini, restoran-restoran juga banyak terdapat untuk anda menjamu selera.

38. Sungai Klah Hot Spring

Sungai Klah Hot Spring Sungkai, Perak menjanjikan pengalaman bercuti yang berharga bersama keluarga dengan pelbagai kemudahan pelancongan tersedia. Pengunjung berpeluang untuk mandi di sungai yang mempunyai air yang jernih dan bersih. Keindahan kawasan ini juga disediakan dengan taman tema air yang memiliki landskap binaan manusia telah menaikkan lagi seri pusat tarikan pelancong ini. Di samping itu, pengunjung juga dapat merasai pengalaman berada di kolam air panas dengan merebus telur yang pastinya akan menarik minat anak-anak untuk mencuba. Pengunjung juga boleh merehatkan diri di Taman Terapi air panas setelah kepenatan dengan suhu air yang sederhana panas membolehkan anda memasukkan kaki di dalam kolam tersebut.

39. Menara Condong Teluk Intan

Keunikan seni bina Menara Condong yang terdapat di Teluk Intan, Perak ini pastinya akan menarik perhatian pengunjung. Menara Jam Condong yang menjadi mercu tanda di Teluk Intan telah dibina pada sekitar tahun 1885, yang pada awal sebagai menara tangki air oleh pihak British namun fungsinya bertukar apabila terbinanya tangki air Changkat Jong. Menara berusia lebih 100 tahun ini memiliki ketinggian 85 kaki dengan 110 anak tangga dengan rekaan seperti Menara Pisa di Itali pasti menjadi destinasi tarikan ketika anda berkunjung di Teluk Intan. Keunikan ini pasti menjadikan Menara Condong sebagai lokasi penggambaran bersama keluarga dengan pemandangan yang cantik dan tersedianya kemudahan untuk bersantai tidak akan membuatkan anda berfikir lebih untuk merasai sendiri pengalaman ini.

40. Batu Bertenggek

Sebuah lagi monumen bersejarah yang boleh dilawati jika anda berada di Teluk Intan, Perak iaitu Batu Bertenggek. Batu Bertenggek di Teluk Intan ini sudah wujud semenjak zaman penjajahan British lagi di Tanah Melayu apabila pihak British telah meletakkan batu tersebut sebagai memorial peringatan ketika Perang Dunia Pertama. Terdapat nukilan yang tertera pada batu tersebut “At The Going Down Of The Sun And In The Morning Well Will Remember Then 1914 – 1918” supaya mengajak pengunjung untuk tidak melupakan keberadaan mereka di sini. Batu Bertenggek ini terletak berhadapan bangunan SKOMK di persimpangan Jalan Changkat Jong, Teluk Intan ini memudahkan pengunjung untuk mencari lokasi monumen. Justeru, lokasi ini juga perlu dilawati sebagai tanda peringatan keberadaan anda di Teluk Intan, Perak.

41. Stesen Kereta Api Ipoh

Seterusnya, Stesen Kereta Api Ipoh, Perak merupakan satu lagi mercu tanda yang perlu anda kunjungi. Dengan keindahan reka bentuk seakan-akan Taj Mahal pastinya membezakan Stesen Kereta Api Ipoh dengan stesen yang lain terdapat di negara ini. Pembinaan stesen ini bermula pada tahun 1917 oleh Syarikat Hindia Timur British bercirikan Islam dikenali juga sebagai Taj Mahal Ipoh telah menjadi kebanggaan penduduk sebagai sebuah lokasi pelancongan negara yang menawarkan panorama menarik kepada pengunjung. Keunikan bangunan bersejarah ini perlu dilawati dan pengunjung juga berpeluang merakam detik-dekit indah bersama keluarga sambil menghayati sejarah yang terdapat di Stesen Kereta Api Ipoh.

42. Menara Peringatan Birch

Menara Peringatan Birch Ipoh, Perak ini telah dibina oleh pihak British pada tahun 1909 sebagai tanda untuk mengingati Residen pertama di negeri Perak iaitu J.W.W Birch. Residen pertama British James Wheeler Woodford Birch ini telah dibunuh oleh Dato’ Maharajalela dan pengikutnya di Pasir Salak sebagai tanda tentangan rakyat terhadap sistem pemerintahan British pada ketika itu. Justeru, menara ini dibina penuh dengan ciri-ciri ketamadunan manusia bagi melambangkan kemodenan sistem pemerintahan British dan berilustrasi masyarakat British di tengah reka bentuk menara tersebut. Oleh itu, pengunjung perlu datang dan melihat sendiri monumen yang bernilai sejarah terdapat di Ipoh, Perak.

43. Kilang Pembuatan Kayu Arang

Lokasi menarik yang perlu lagi dilawati iaitu Kilang Pembuatan Kayu Arang yang terletak di Taiping, Perak. Lokasi yang lebih tepat lagi ialah Kuala Sepetang terletak dalam daerah Taiping ini merupakan perkampungan nelayan meliputi kawasan hutan paya bakau yang luas telah membolehkan industri kayu arang beroperasi. Keunikan dan keindahan daerah ini pasti menarik pelancong untuk mengenali dan melihat sendiri cara pemprosesan kayu bakau kepada kayu arang. Bermula proses pemilihan kayu bakau sehinggalah kepada proses memasak kayu dalam dapur khas yang dibina daripada batu-bata dapat dilihat sendiri oleh pengunjung yang datang ke kilang ini.

44. Tanjung Bidara, Kampung Gajah

Peminat seni kraf tangan pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung sendiri di kampung Tanjung Bidara, Kg Gajah, Perak yang terkenal dengan pembuatan labu sayong dan pasu daripada tanah liat. Pengunjung yang berhasrat untuk membeli cenderamata kepada sanak saudara boleh berkunjung ke Tanjung Bidara, Kg Gajah ini kerana penghasilan produk berasaskan tanah liat. Pengunjung juga berpeluang untuk mencuba sendiri cara pembuatan labu sayung ini apabila melawat sendiri ke bengkel penghasilannya. Hal ini pasti memberi nilai berharga dalam percutian anda bersama keluarga lebih-lebih lagi apabila anak-anak berpeluang mencuba dan pengalaman untuk menghasilkan pasu atau labu sayong mereka sendiri. Kenangan ini pasti membuatkan anda untuk  kembali bercuti di destinasi ini.

45. Pasar Kemboja

Pasar Kemboja terletak di Parit Buntar, Perak ini pasti memberi kelainan kepada pengunjung untuk membeli belah pelbagai jenis kain secara borong atau runcit. Perbezaan harga antara 40-50 peratus berbanding harga pasaran di sekitar negara pasti membuatkan anda memilih destinasi ini sebagai lokasi untuk menyediakan persediaan bagi menghadapi musim perayaan. Pelbagai tawaran seperti tudung, telekung, kain pasang, langsir, baju kurung dan banyak lagi pasti membuatkan pengunjung tidak sabar untuk datang ke Pasar Kemboja. Kemudahan seperti parkir, medan selara dan masjid untuk pengunjung telah tersedia akan memberi keselesaan semasa percutian anda ke Pasar Kemboja.

46. Pusat Pembangunan Kraf Tangan Perak

Pusat Pembangunan Kraf Tangan Perak merupakan satu lagi destinasi pelancongan yang perlu anda kunjungi ketika bercuti di negeri Perak. Pusat ini terletak di Kuala Kangsar yang lebih dikenali sebagai bandar Diraja menawarkan pelbagai jenis kraf tangan yang boleh anda miliki Produk utama yang dikeluarkan ialah labu air atau lebih dikenali sebagai labu sayong namun perkataan “sayong” merupakan nama sebuah tempat di Kuala Kangsar dan Sayong merupakan tempat pembuatan labu air yang terbesar sehingga dipanggil “labu sayong”. Selain Sayong, terdapat lagi tempat yang mengeluarkan labu air ini iaitu di Kg Kepala Bendang, Pasir Salak, Pulau Tiga yang boleh anda berkunjung untuk mendapatkan hasil kraf tangan ketika berada di Perak.

47. Perkampungan Orang Asli

Perkampungan orang asli juga merupakan salah satu lokasi pelancongan yang perlu dilawati apabila bercuti di negeri Perak. Antara kawasan di negeri Perak yang diduduki oleh masyarakat orang asli ialah di Kampung Orang Asli Sungai Chenein, Behrang,  Kampung Kuala Senta , Bidor, Kampung Orang Asli Sungai Bilek, Chenderiang, Kampung Orang Asli Sungai Raba, Gerik, Kampung Orang Asli Sungai Raya, Keramat Pulai dan banyak lagi boleh dilawati. Pengunjung yang berasal daripada kawasan bandar raya yang ingin menikmati suasana semula jadi dan menikmati ketenangan alam, di samping ingin mempelajari kebudayaan masyarakat orang asli ketika bercuti di Perak boleh melawat di lokasi tersebut.


Air Terjun

48. Air Terjun Ulu Kenas

air terjun ulu kenas
Sumber: Alin Rusli

Air Terjun Ulu Kenas merupakan lokasi yang menarik untuk dilawati. Keindahan alam semula jadi yang terdapat di lokasi ini boleh dinikmati pelancong yang ingin bercuti dengan menikmati kedinginan air terjun. Air Terjun Ulu Kenas mempunyai lokasi yang amat sesuai untuk percutian bersama keluarga. Keadaan air yang tidak terlalu deras dan landai bersesuaian untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Lokasi ini dikhabarkan belum pernah mengalami kemalangan yang meragut nyawa pengunjung amat sesuai untuk golongan beriadah dengan keselamatan yang terjamin. Lokasi air terjun ini terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Kuala Kangsar memudahkan pengunjung untuk datang ke lokasi ini. Oleh itu, peluang ini tidak harus dilepaskan sebagai destinasi percutian bersama keluarga.

49. Air Terjun Sungai Bil

Air Terjun Sungai Bil
Sumber: Air Terjun Sungai Bil

Negeri Perak juga dikenali dengan banyak lokasi air terjun yang menarik. Antaranya ialah Air Terjun Sungai Bil yang terletak di Tanjung Malim, Perak. Terletak lebih kurang 24 kilometer ke arah utara Tanjung Malim pasti tidak menyukarkan pengunjung untuk datang ke lokasi ini. Lokasi ini disediakan dengan kemudahan kepada pengunjung seperti tempat berehat, kedai makan, tandas, surau, kawasan perkhemahan, parkir kenderaan yang akan memberi keselesaan. Kawasan ini juga merupakan tempat yang digunakan sebagai lokasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan beberapa program lain membuatkan kawasan ini terjamin kebersihannya.

50. Air Terjun Lata Kijang

Lokasi air terjun seterusnya ialah Air Terjun Lata Kijang yang merupakan air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 850 meter. Lokasinya terletak di daerah Chenderiang kira-kira 18 kilometer daripada pekan Tapah pasti memudahkan pengunjung untuk mencari lokasi ini. Air Terjun Lata Kijang ini dapat dilihat oleh pengunjung daripada lebuh raya Utara-Selatan kerana ketinggiannya ini seakan melambai untuk datang menikmati kedinginan air terjun tersebut. Di samping, aroma hutan yang menghijau pasti memikat hati pengunjung untuk mengeksplorasi keindahan flora dan fauna yang terdapat di lokasi ini. Kemudahan seperti parkir kenderaan, surau, gerai jualan dan tempat istirahat pastinya memberi keselesaan. Oleh itu, pengunjung perlu memilih lokasi ini sebagai destinasi idaman ketika bercuti di Perak.

51. Air Terjun Lata Iskandar

Air Terjun Lata Iskandar merupakan destinasi seterusnya yang perlu anda terokai apabila bercuti ke Perak. Keindahan air terjun ini dihiasi dengan kesuburan flora dan fauna pasti memberi ketenangan kepada pengunjung apabila mendengar deruan bunyi air terjun yang turun. Air terjun ini terletak di Cameron Highland iaitu 15 kilometer dari pekan Tapah pasti memudahkan pengunjung untuk mencari lokasi ini. Lokasi ini juga turut disediakan dengan kemudahan asas seperti parkir, surau dan sebagainya akan memberi keselesaan kepada pengunjung di samping itu pengunjung boleh melihat atau membeli hasil kraf tangan penduduk tempatan yang terdapat di gerai  jualan. Seni pembuatan kraf tangan ini sesuai dijadikan cenderamata kepada sanak saudara apabila pulang dari bercuti di Perak.

52. Air Terjun Lata Kekabu

Lokasi air terjun seterusnya ialah Air Terjun Lata Kekabu yang terletak di Hutan Simpan Bintang Hijau yang tidak jauh daripada Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. Jarak antara pekan Lenggong dengan Air Terjun Lata Kekabu adalah lebih kurang 9 kilometer sahaja dan kemudahan tanda arah ke lokasi ini pasti memudahkan pengunjung untuk mencari lokasi ini. Air terjun yang berketinggian 50 meter ini dijaga kebersihannya di samping, kemudahan asas seperti tapak perkhemahan, dewan serba guna, surau, tandas turut tersedia dan dibuka kepada pengunjung bermula jam 7 pagi sehingga 6 petang. Namun kepada pengunjung yang berhasrat untuk berkhemah di sini perlulah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Pejabat Hutan Daerah. Air terjun ini berada dalam kawal selia pihak Jabatan Perhutanan Perak bagi memastikan keselamatan para pengunjung yang ingin melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, lokasi ini amat bersesuaian untuk pengunjung yang ingin merancang percutian bersama keluarga.

53. Air Terjun Ulu Cepor

Air Terjun Ulu Cepor yang terletak di Chemor, Perak. Air Terjun Ulu Cepor ini terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Ipoh. Walaupun air terjun di lokasi ini tidak terlalu tinggi yang dikatakan hanya separas pinggang lelaki dewasa namun panorama dan suasana yang tenang di sini amat bersesuaian untuk aktiviti riadah bersama keluarga. Aliran air yang tidak terlalu deras sesuai untuk kanak-kanak dan ini boleh memastikan keselamatan semasa bercuti. Di samping itu, air terjun ini kurang diketahui orang pasti memberi keselesaan untuk mencari lokasi yang sesuai untuk mandi-manda bersama keluarga.


Tarikan Alam Semulajadi

54. Tasik Temenggor

Tasik Temenggor Perak
Sumber: Tasik Temenggor Discovery Island

Keunikan Tasik Temenggor ini hanya diketahui apabila anda sudah mengunjungi destinasi ini. Tasik Temeggor terletak di Gerik, Perak ini pasti akan memukau pandangan anda dengan berkeluasan 152 kilometer persegi yang meliputi Hutan Simpan Belum. Jarak ke lokasi lebih kurang 200 kilometer dari Ipoh ini akan menjadi lokasi percutian yang berbaloi untuk anda bersama keluarga. Dengan kemudahan chalet kepada pengunjung dan kemudahan untuk menyewa bot pastinya menjadikan lokasi kegilaan para pemancing. Pelbagai spesies ikan air tawar yang mendiami tasik Temenggor seperti Sebarau, Toman, Kelah, Temoleh, Baung dan banyak lagi menjadikan tasik ini tarikan pelancong luar dan dalam negeri. Di samping itu, kemudahan rumah bot atau “houseboat” sangat menarik untuk keluarga yang ingin bercuti sambil menikmati keindahan alam daripada atas air. Pakej percutian menggunakan rumah bot ini pasti berbaloi jika anda merancang untuk bercuti di negeri Perak.

55. Lata Ulu Lawin

Lata Ulu Lawin yang turut menjadi daya tarikan pelancong dengan keindahan alam semula jadi. Lata Ulu Lawin ini terletak kira-kira 27 kilometer dari pekan Gerik yang amat sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi perkhemahan ketika berkunjung ke negeri Perak. Pengunjung boleh menyewa chalet yang berada di sekitar Lata Ulu Lawin ini jika hanya berhasrat untuk mandi-manda di lata ini. Kemudahan asas yang tersedia di sini akan menjadikan lokasi ini sebagai tempat percutian pilihan bersama keluarga.

56. Lata Tanjung Kala

Lokasi ini yang perlu dikunjungi jika anda yang ingin melakukan aktiviti meredah hutan sebelum tiba di kawasan air terjun. Lata Tanjung Kala merupakan destinasi kepada pengunjung yang gemarkan cabaran berada di hutan. Pengunjung akan menikmati suasana hutan terlebih dahulu sebelum sampai ke lokasi ini. Percutian seperti ini tidaklah sesuai jika datang bersama keluarga, lebih-lebih lagi kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak kerana pasti sukar untuk memastikan keselamatan anak-anak. Oleh itu, pengunjung dinasihatkan untuk datang bersama kumpulan ketika melawat ke kawasan ini

57. Hutan Rekreasi Kuala Who

Hutan Rekreasi Kuala Who merupakan satu lokasi yang perlu ada dalam senarai tempat yang anda ingin lawati ketika bercuti di negeri Perak. Hutan Lipur Kuala Who ini terletak di daerah Tapah, Perak dan jarak antara pekan Tapah dengan lokasi ini kira-kira 13 kilometer.. Hutan Lipur Kuala Who ini mempunyai banyak daya tarikan antaranya ialah kolam air panas yang bersuhu sederhana. Pengunjung dapat menikmati kolam ini dengan berendam yang pasti dapat menghilangkan rasa letih memandu di samping terdapat juga kolam mempunyai suhu yang lebih panas untuk aktiviti merebus telur. Selain itu, kemudahan asas yang terdapat di lokasi ini seperti surau, parkir, tapak perkhemahan, chalet namun bagi yang berhasrat untuk melakukan aktiviti berkhemah perlulah mendapat kebenaran daripada Pejabat Hutan Daerah terlebih dahulu.

58. Taman Tasik Taiping

Taman Tasik Taiping juga merupakan salah satu destinasi menarik untuk dilawati di negeri Perak. Tasik ini pada awalnya merupakan sebuah lombong bijih timah terbiar namun telah di baik pulih sebagai taman rekreasi yang dapat menarik ramai pelancong. Keindahan lokasi yang berkeluasan 64 hektar ini memiliki sepuluh buah tasik, kolam teratai, jambatan, laluan untuk pengunjung berjoging dan ditambah seri dengan tumbuhan berbunga dan hidupan liar. Kepada yang bercuti bersama keluarga lokasi ini amat sesuai untuk aktiviti riadah seperti berbasikal, berkasut roda dan juga terdapat taman permainan kanak-kanak. Selain itu, pemandangan yang cantik di lokasi ini sungguh sesuai untuk melakukan penggambaran untuk perkahwinan dan juga penggambaran keluarga.

59. Hutan Paya Laut Matang

Hutan Paya Laut Matang yang terletak di Taiping, Perak berkeluasan 101,877 hektar ini menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna. Keluasan Hutan Paya Laut Matang merangkumi 198 hutan simpan kekal yang mempunyai banyak keistimewaan seperti keindahan paya bakau, Hutan Simpan Dara, Kawasan Proto Sejarah di Pulai Kelumpang, Hutan Pelajaran dan Penyelidikan. Di samping itu, pengunjung juga dapat melakukan aktiviti seperti menangkap kerang, melawat perkampungan nelayan dan penternakan ikan dalam sangkar, memancing dan berkhemah. Kemudahan asas yang terdapat di lokasi ini akan memberi kemudahan kepada pengunjung. Justeru, pengunjung boleh menghubungi Pejabat Hutan Daerah Taiping untuk mendapatkan keterangan sebelum datang bercuti ke lokasi yang amat menarik ini.

60. Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang ini terletak lebih kurang 5 kilometer dari pekan Ipoh pasti memudahkan pengunjung untuk mencari lokasi ini. Berlatar belakang gunung batu kapur menjadikan kawasan ini sebagai pusat pelancongan eko yang meminimumkan struktur bangunan manusia bagi mengekalkan keaslian alam semula jadi. Destinasi ini sangat sesuai jika anda bercuti bersama keluarga dengan daya tarikan seperti air terjun buatan manusia yang tertinggi di Malaysia ini dikenakan bayaran masuk sebanyak RM3.00 untuk dewasa dan RM1.50 untuk kanak-kanak dan warga emas. Di samping itu, lokasi ini juga mempunyai mini zoo yang menempatkan burung unta dan rusa pasti menyeronokkan kanak-kanak apabila datang ke sini. Keindahan landskap di Taman Rekreasi Gunung Lang yang dihiasi menara peninjau akan memberi pandangan yang menarik untuk pengunjung. Oleh itu, taman rekreasi ini perlu ada dalam senarai anda apabila berada di Ipoh, Perak.

61. Hutan Simpan Belum

Hutan Simpan Belum terletak di Gerik, Perak atau lebih dikenali sebagai Royal Belum pada tahun 2003. Hutan Simpan Belum ini mendapat namanya melalui bunyi belalang besar yang tinggal di hutan ini iaitu “beluum” sehingga nama tersebut kekal sehingga kini. Hutan yang berkeluasan 290,000 hektar ini mempunyai pelbagai khazanah bernilai seperti tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar yang hampir. Oleh itu, pengunjung yang ingin datang ke Hutan Simpan Belum ini berpeluang untuk melihat sendiri bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia, air terjun di sungai Ruoh, perkampungan orang asli dan memancing di Tasik Banding yang mempunyai pelbagai spesies ikan air tawar. Keunikan Hutan Simpan Belum ini perlu diterokai oleh pengunjung yang berhajat untuk bercuti di negeri Perak.

62. Taman Herba Perak

Taman Herba Perak ini pastinya memberikan anda pengalaman berbeza ketika bercuti di negeri Perak. Taman yang terletak di Gopeng ini berkeluasan 22 hektar menawarkan pelbagai spesies tumbuhan herba untuk perubatan, aromaterapi, kosmetik dan juga sebagai makanan. Di samping itu, pelbagai kemudahan yang disediakan kepada pelancong yang ingin melawat ke lokasi ini seperti trem, surau, dewan, tandas memudahkan proses lawatan untuk anda mendekati dan mengenali pelbagai herba yang terdapat di Malaysia khususnya. Pengunjung juga dapat melakukan aktiviti memancing ketika berada di sini. Taman ini juga mengenakan sedikit bayaran iaitu RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak pasti akan berbaloi dengan input yang bakal anda peroleh ketika lawatan. Oleh itu, pengunjung tidak sepatutnya melepaskan peluang datang melawat ke lokasi yang penuh dengan ilmu perubatan tradisional.

63. Bukit Larut

Bukit Larut merupakan bukit peranginan yang pertama di Malaysia. Terletak lebih kurang 10 kilometer dari bandar Taiping pasti memudahkan pengunjung untuk sampai ke lokasi ini. Kepada pengunjung yang mengidamkan percutian di kawasan tanah tinggi yang sejuk lokasi ini merupakan lokasi yang tepat untuk dikunjungi. Dengan kemudahan chalet yang terdapat di sini pengunjung boleh bermalam di lokasi ini namun terpaksa untuk menaiki pacuan 4 roda yang disediakan untuk sampai ke puncak kerana kenderaan awam tidak dibenarkan. Tambang sebanyak RM6 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak pasti akan berbaloi apabila anda disambut dengan suhu yang sejuk sehingga 15 darjah Celsius dan kicauan unggas dan burung.

64. Gua Gendang

Gua Gendang yang terletak di Pengkalan Hulu dan jarak antara pekan Pengkalan Hulu ke lokasi ini kira-kira 6 kilometer. Gua Gendang mula dibuka pada tahun 1994 yang pada awalnya merupakan lokasi bersejarah iaitu tempat persembunyian anggota komunis namun kini dibina sebagai taman rekreasi kepada masyarakat umum. Keunikan gua ini dikelilingi alam semula jadi dan memiliki aliran sungai di dalam gua yang dapat diterokai oleh pengunjung. Pengunjung boleh menelusuri sungai ini sambil melihat ukiran semula jadi yang terdapat di dalam gua. Oleh itu, lokasi ini seharusnya menjadi lokasi pilihan kepada pengunjung yang berminat untuk menerokai keindahan gua seperti yang terdapat di Gua Gendang.

65. Kolam Air Panas Ulu Slim

Kolam Air Panas Ulu Slim yang terletak di Tanjong Malim, Perak mempunyai keunikan tersendiri yang anda perlu ketahui. Kolam ini merupakan kolam yang terpanas di Malaysia iaitu dengan suhu yang mencecah 104 darjah Celsius. Kolam ini juga mempunyai hidupan tersendiri yang boleh dilihat oleh pengunjung seperti tumbuhan lumut yang bertahan dengan kepanasan dan turut mempunyai  mikroorganisma yang hidup namun tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Lokasi ini juga menyediakan kemudahan seperti laluan pejalan kaki, tempat rehat dan tempat merebut telur. Oleh itu, pengunjung yang berkesempatan untuk merasai pengalaman berada di kolam air panas boleh datang berkunjung ke Kolam Air Panas Ulu Slim.

 66. Taman Raffiesia

Taman Raffiesia merupakan tarikan baru kepada pelancong yang ingin melihat sendiri bunga terbesar di dunia. Terletak di kampung Bongor Gerik, Perak ini memakan masa sekitar 30 minit melalui jalan tidak berturap dan 1 jam berjalan kaki untuk sampai ke kawasan ini. Lokasi yang berkeluasan 5 hektar ini merupakan kawasan penyelidikan yang boleh dilawati. Oleh itu, lokasi ini sesuai untuk pengunjung yang ingin menikmati keindahan hutan sambil mengenali bunga terbesar di dunia yang jarang ditemui di semenanjung Malaysia

67. Gunung Kenderong

Satu lagi lokasi yang harus anda kunjungi jika meminati aktiviti mendaki gunung iaitu Gunung Kenderong. Gunung Kenderong ini terletak 10 kilometer dari pekan Gerik ini berketinggian 1,223 meter pasti menjadi lokasi menarik untuk anda berkunjung ke negeri Perak. Pengunjung yang berminat untuk melakukan aktiviti mendaki gunung boleh menjadikan Gunung Kenderong sebagai satu destinasi pendakian. Laluan ke puncak yang ekstrem akan memberi pengunjung cabaran dengan melalui denai dan aliran anak sungai pasti mencipta pengalaman yang sukar dilupakan. Pengunjung akan disambut dengan pemandangan indah setibanya di puncak menjadikan lokasi ini perlu dilawati oleh pencinta alam

68. Bukit Engku Busu

Bukit yang setinggi 331.4 meter terletak di daerah Lumut, Perak ini mendapat nama sempena raja dari Selangor iaitu Raja Engku Busu yang menjadi pahlawan untuk menghapuskan lanun-lanun yang terdapat di negeri Perak. Keindahan bukit yang dikenali sebagai Bukit Engku Busu ini sesuai untuk aktiviti mendaki. Pengunjung akan dihidangkan dengan panorama menarik setibanya di puncak apabila dapat menyaksikan pemandangan seluruh daerah Lumut. Oleh itu, lokasi ini sesuai untuk para pendaki dan juru gambar yang berhasrat untuk menikmati keindahan daerah Lumut, Perak.

69. Lost World Hot Springs

Destinasi ini terletak di No 1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh 31150 Ipoh Perak sangat menarik untuk dilawati bagi yang ingin berseronok di Lost World Hot Springs. Di lokasi ini pengunjung dapat menikmati malam bersama keluarga di kolam air panas. Di samping itu, Lost World Hot Springs ini menyediakan penginapan hotel yang boleh ditempah melalui laman wed Lost World of Tambun. Lost World Hot Springs ini beroperasi bermula jam 6.00 petang sehingga jam 11 malam pada setiap hari. Pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM24 untuk dewasa

70. Kolam Air Panas Trong

Kolam Air Panas Trong yang terletak di kampung Batu 9, 34850 Jalan Trong, Changkat Jering Taiping, Perak ini mula beroperasi pada tahun 2002 merupakan kolam air panas yang digunakan untuk tujuan perubatan. Lokasi ini menawarkan khidmat mandian herba dan merendam kaki kepada pengunjung yang ingin mengubati penyakit kulit. Kolam air panas semula jadi ini mula beroperasi seawal jam 8 pagi sehingga jam 12 malam dengan pelbagai kemudahan asas yang disediakan kepada pengunjung. Pengunjung juga akan dikenakan bayaran sebanyak RM3 sejam untuk bilik mandi, RM2 sejam untuk kolam biasa, RM10 sejam untuk bilik mandi VIP dan RM30 sejam untuk kolam khas. Pengunjung juga boleh menghubungi di talian 012-5040196/05-8553990 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

71. Gua Tempurung

Gua Tempurung sebuah gua batu kapur yang terletak di Gopeng, Perak. Gua ini terletak kira-kira 24 kilometer dari bandar Ipoh. Keunikan gua ini mempunyai pelbagai ukiran semula jadi yang terbentuk seperti tempurung kelapa, ukiran seperti gergasi dipercayai telah wujud sejak 8000 sebelum Masihi. Gua ini dilengkapi kemudahan asas seperti titi, lampu, dan kemudahan awam yang boleh memberi keselesaan kepada pengunjung. Pengunjung yang berhasrat datang ke gua ini boleh melalui lebuh raya Utara-Selatan dan melalui susur keluar plaza tol Gopeng kemudian melalui perjalanan sejauh 2 kilometer untuk sampai ke Gua Tempurung.

72. Gua Tambun

Gua Tambun terletak di Ipoh, Perak ini merupakan gua yang pernah didiami oleh manusia pada zaman Neolitik. Dengan lukisan purba yang berusia lebih 3000 tahun terdapat dalam gua ini menjadikan gua ini sangat bernilai. Lakaran motif seperti orang asli purba, rusa, pelanduk, kura-kura dan dugong yang berwarna merah ini menjadikan Gua Tambun berbeza berbanding dengan gua lain yang terdapat di Malaysia. Oleh itu, lokasi ini perlu di terokai sendiri bagi melihat lukisan bersejarah yang sukar untuk dijumpai.

Akhir kata, percutian anda akan lebih bermakna jika anda memilih untuk pergi ke negeri Perak. Kepelbagaian sektor pelancongan negeri Perak pastinya dapat anda teliti melalui 72 tempat menarik di Perak yang kami cadangkan. Justeru, kami sarankan anda bercuti negeri Perak sebagai “Percutian Mencintai Ketamadunan dan Alam” bersama keluarga. Sehubungan itu, kami mengucapkan selamat menikmati pengalaman berharga di Perak bersama keluarga tersayang dan terima kasih kerana melawat di laman web Maisinggah.com.



Related Posts