29 Tempat Menarik Di Perlis | Panduan Bercuti Ke Negeri Indera Kayangan

Suka makan buah mangga? Kalau anda nak tahu, di negeri Perlis inilah terletaknya ladang-ladang mangga Harum Manis yang merupakan mangga yang boleh dikatakan paling sedap, wangi pula tu. Mangga saja ke yang menarik di Perlis ni? Tidak sama sekali. Jangan pandang sebelah mata negeri yang terkecil di Malaysia ni, namanya, Perlis Indera Kayangan, sudah cukup mencerminkan betapa walaupun ianya kecil, patut diberikan respek sebab punyalah banyak tarikan yang ditawarkannya, unik-unik pula tu.

Tambahan lagi dengan tempat membeli-belah bebas cukai yang terdapat di kawasan sempadan, memang rugilah kalau tak datang ke sini kalau ada peluang. Nak tahu apa yang ditawarkan negeri indera kayangan ini dengan lebih spesifik lagi? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Perlis ini.

29. Taman Rekreasi Tasik Melati

Taman Tasik Melati Perlis
Sumber: Rizal Zawawi

Tasik Melati merupakan sebuah tasik kecil yag memiliki lebih daripada 150 buah pulau beting pasir. Jambatan disediakan merentasi tasik ini untuk memberi ruang kepada pelawat menikmati pemandangan indah tasik yang berlatar belakangkan kehijauan dan gunung-ganang ini.

Selain itu,Taman Rekreasi ini juga merupakan lokasi yang patut dilawati untuk anda yang sukakan aktiviti memerhari burung kerana di sini terdapat pelbagai jenis burung dalam pelbagai warna yang terbang bebas. Bagi kanak-kanak pula, terdapat taman permainan disediakan untuk mereka berseronok. Di samping itu, terdapat juga laluan refleksologi di mana anda dapat melancarkan perjalanan darah sambil menghirup udara segar sekitar kawasan tasik. Cara yang sempurna untuk menghabiskan hari minggu bersama keluarga bukan?

Alamat: Taman Rekreasi Tasik Melati, Kangar


28. Gua Kelam

Gua-Kelam-Perlis
Sumber: Hazrulnizam Rosle

Gua Kelam merupakan salah satu daripada gua yang unik di Malaysia dengan kepanjangan gua batu kapurnya 370 meter. Jambatan kayu yang berkelebaran 8 kaki adalah satu-satunya jalan yang anda boleh lalui untuk menikmati pemandangan di dalam Gua Kelam. Bunyi air yang menitis daripada stalaktit akan menemani anda sepanjang perjalanan.

Fenomena semula jadi iaitu sungai bawah tanah yang mengalir di dalam gua ini adalah air yang menuju ke Sungai Perlis. Pasti anda terpesona dengan keindahan gua ini, tapi, tunggulah sehingga anda sampai ke sebuah taman di hujung perjalanan anda dalam gua ini, sungguh indah dan sesuai untuk dijadikan tempat berehat setelah jauh berjalan.

Waktu Operasi: 9.00am – 6.00pm

Bayaran Masuk: Dewasa RM1 | Kanak-kanak RM0.50

Alamat: Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis


27. Hutan Lipur Bukit Ayer

Hutan Lipur Bukit Ayer
Sumber: Oh My Perlis

Jarak Hutan Lipur Bukit Ayer dari Kangar hanyalah 13 km sahaja, dan lokasi hutan ini adalah di dalam Hutan Simpan Bukti Bintang.  Di hutan lipur ini terdapat sungai yang sesuai untuk dijadikan lokasi berkelah dan bersantai bersama keluarga. Lagi syok kalau anda berbbq di sini, tapak perkhemahan yang disediakan di hutan lipur ini juga lengkap dengan kemudahan memasak. Apa lagi, rancang hari keluarga di sini pun best juga.

Tarikan di hutan lipur ini bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadinya, malahan anda sekeluarga dapat berseronok di gelongsor yang disediakan di kolam mandi yang diairi air sungai di sini, pergh! Ini memang betul-betul syok!

Waktu Operasi: 7.00am – 6.00pm

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Hutan Lipur Bukit Ayer, 01000 Kangar, Perlis


26. Galeri Diraja Arau Perlis

galeri diraja perlis
Sumber: agoezperdana.com

Galeri Diraja Arau Perlis bukan mudah untuk siapa-siapa masuk, anda perlu membuat permohonan dulu baru dapat melangkahkan kaki ke dalamnya. Apabila anda berjaya masuk ke galeri ini, anda akan dapat melihat pameran salasilah serta sejarah keturunan Diraja Perlis, alat kebesaran Diraja, senapang antik, pedang, duit lama, basikal antik, bunga emas dan banyak lagilah.

Tapi yang paling menarik perhatian adalah kain kiswah yang merupakan kelambu kaabah yang diberikan oleh pemerintah Arab Saudi kepada Sultan Perlis pada tahun 1965. Bawalah keluarga anda ke sini untuk satu peluang yang bukan mudah dimiliki oleh orang lain.

Alamat: Galeri Diraja Arau Perlis, 02600 Arau, Perlis


25. Bukit Keteri

Bukit Keteri
Sumber: Tourism Malaysia

Terletak 30 minit dari Kangar, Bukit Keteri merupakan destinasi rock climbing yang terkenal di Asia. Memiliki banyak laluan yang boleh dipilih untuk sampai ke puncak, tapi tidak bermakna ianya mudah didaki, Bukit Keteri ini sebenarnya salah satu daripada laluan pendakian yang paling mencabar di Asia.

Semua kesukaran yang dilalui sewaktu mendaki untuk sampai ke puncak bukit ini ternyata berbaloi-baloi, kerana sesiapa yang berjaya sampai ke puncak akan disajikan dengan panorama indah terutama sekali ketika waktu matahari terbenam.

Alamat: Bukit Keteri, 02450 Kangar, Perlis


24. Taman Herba Perlis

Rimba Herba Perlis
Sumber: Mc Zaheer

Taman Herba Perlis yang berkeluasan 12 hektar ini terletak bersebelahan dengan Hutan Lipur Bukit Ayer dan Taman Ular dan Reptilia.  Taman Herba Perlis ini berfungsi sebagai bank genetik untuk sekitar 1200 jenis tumbuhan herba. Ya, jangan tak percaya, sangat banyakkan? Anda sekeluarga bukan sahaja dapat melihat dan menyentuh tumbuhan ini tapi boleh juga mengambil peluang untuk merasa tumbuhan-tumbuhan berkhasiat ini asalkan tak merosakkan pokok.

Di sinilah anda dapat melihat di depan mata sendiri pokok-pokok yang terkenal dalam perubatan masyarakat tempatan seperti Kacip Fatimah, Tongkat Ali, Mengkudu,  Selasih dan banyak lagilah. Bermacam ilmu tentang khasiat-khasiat tumbuhan yang dapat anda sekeluarga pelajari, banyaklah petua yang anda dah tahu andai kata sesiapa dalam keluarga anda tak sihat kan?

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm) |Jumaat Tutup Sementara Dari 12.15pm – 2.45pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM1 | Kanak-kanak & Pelajar RM0.50

Alamat: Rimba Herba Perlis, Kangar, Perlis


23. Hutan Lipur Bukit Kubu

Hutan Lipur Bukit Kubu
Sumber: Jabatan Perhutanan Perlis

Berketinggian 150-200 meter dari aras laut, Bukit Kubu ini sebenarnya pada asalnya merupakan sebuah pulau yang mana pintu gua bukit ini pernah terletak di dalam lautan, sangat wow!

Fakta lain yang perlu anda tahu tentang Bukit Kubu ini adalah apabila anda ke sini, anda akan dapat melihat tiga buah lubang yang dikatakan sebagai tempat jatuhnya tahi bintang, namun, dipercayai lubang ini tiada penghujungnya, oleh itu, ia telah dipagari untuk mengelakkan sesiapa terjatuh ke dalamnya, meremang rasanya kalau berada dekat dengan lubang ni.

Lagi info menarik tentang Bukti Kubu, dikatakan nama bukit ini berasal daripada kisah di mana kawasan ini, pada zaman pemerintahan Kesultanan Kedah merupakan tempat persembunyian penduduk, ini dibuktikan melalui penemuan kawasan rata yang agak luas di atas bukit ini yang berfungsi seperti kawasan kubu.

Bagi anda yang berminat untuk mendaki sehingga ke puncak hutan lipur ini, anda boleh menggunakan trek laluan yang disediakan. Daki, jangan tak daki bukit ini, kerana di atas puncaknya nanti, dari menara tinjau yang terdapat di situ, anda akan dapat menikmati pemandangan yang menakjubkan sempadan daerah Satun, Thailand.

Waktu Operasi: 7.00am – 6.00pm

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Hutan Lipur Bukit Kubu, 02000 Kuala Perlis, Perlis


22. Tasik Timah Tasoh

Tasik Timah Tasoh
Sumber: Geosains Dan Sumber Mineral Malaysia

Tasik Timah Tasoh ini bukanlah sekadar tasik biasa, iainya sebuah tasik yang sangat indah, sehingga dijadikan lokasi pergambaran muzik video dan drama kerana keindahannya yang tidak terkata. Di sekitar tasik ini anda dapat melihat dusun buah-buahan yang subur seperti buah durian, rambutan, mangga dan durian Belanda, anda boleh petik terus sahaja dari pokok kalau anda menginap di Tasoh Lake Resort & Retreat.

Ini baru pengalaman di desa yang sebenar! Bagi anda yang kaki pancing pula, jom memancing di tasik ini yang menjadi habitat kepada pelbagai jenis ikan air tawar seperti Gelang Pam, Haruan, Ubi, Talapia dan Keli. Dah dapat ikan tu nanti, terus saja bakar tepi tasik ni, boleh dinikmati segar-segar sambil bersantai di gazebo Tasik Timah Tasoh.

Alamat: Tasik Timah Tasoh, 01000 Kangar, Perlis


21. ATV Maneq Hills Adventure

ATV Maneq Hills Adventure
Sumber: Manik Hills ATV Adventure

Anda rasa ATV ni aktiviti untuk orang lasak dan sesuai untuk orang dewasa sahaja? Kalau anda datang ke ATV Maneq Hills Adventure, di sini tiada had umur ditetapkan, beri peluang kepada anak-anak anda untuk mencuba sesuatu yang baru.

Bina keyakinan diri mereka dengan membawa mereka menempuhi lebih daripada 15 halangan dan cabaran yang dibina di trek ATV ini, takkan nak bagi anak main gajet je kan? Bukan setakat menyeronokkan, malahan anda juga dapat menikmati pemandangan yang indah kerana lokasinya yang berdekatan dengan kawasan bukit. Jom pi!

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: RM20 – RM60

Alamat: Maneq Hills ATV Adventure, Tasoh, Perlis


Baca: 50 Tempat Menarik Di Kedah

20. Taman Negeri Perlis

Taman Negeri Perlis
Sumber: Dino Alham’d

Taman Negeri Perlis merupakan sebuah bukit yang terletak berdekatan dengan Tasik Timah Tasoh yang juga terkenal dalam kalangan pencinta alam semulajadi. Taman Negeri Perlis ini berkeluasan 36 km sepanjang sempadan Thailand. Di sinilah terletaknya beberapa buah gua yang merupakan tempat pembentukan batu kapur berusia 500 tahun iaitu Gua Wang Burma dan Gua Kelam.

Selain itu, sepanjang perjalanan anda di dalam taman negeri ini anda akan dapat melihat kekayaan flora dan fauna yang dimiliki hutan ini termasuklah tumbuh-tumbuhan seperti balsam, paku-pakis, halia dan haiwan seperti monyet. Jangan lupa untuk dapatkan kebenaran dulu daripada pihak pengurusan Taman Negeri Perlis sebelum meneroka taman negeri ini.

Waktu Operasi: 7.00am – 6.00pm

Bayaran Masuk: Dewasa RM2 |Kanak-kanak RM1

Alamat: Taman Negeri Perlis, Wang Kelian, Perlis


19. Canopy Walk SPF Ayer Keroh

Canopy Walk Perlis
Sumber: Zaridah Mzaki

Canopy Walk SPF Ayer Keroh atau dalam bahasa melayunya Ttitian Silara SPF Ayer Keroh merupakan titian yang berkepanjangan 100 meter dan jaraknya dari tanah adalah 17 meter. Titian silara ini telah dibina untuk dijadikan kawasan penyelidikan flora dan fauna terutama sekali tentang pokok jati dan dalam masa yang sama turut dijadikan kawasan ekopelancongan.

Kalau anda sekeluarga datang ke sini, anda akan dapat melihat pokok jati tertua di Semenanjung Malaysia yang telah ditanam sejak tahun sebelum merdeka lagi iaitu pada tahun 1953. Pokok yang antik!

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3

Alamat: FRIM Mata Ayer, Perlis


18. Taman Rekreasi Bukit Jernih

Taman Rekreasi Bukit Jernih
Sumber: @andante_noor

Taman Rekreasi Bukit Jernih menjadi tarikan penduduk tempatan terutama pada hujung minggu untuk aktiviti perkelahan bersama keluarga sambil menikmati keindahan alam semulajadi dan bunyi air yang mengalir tenang. Lanskap indah yang ditawarkan taman rekreasi ini menjadikan ia kawasan kegemaran ramai orang yang ingin beriadah dan melakukan aktiviti perkhemahan.

Alamat: Sungai Bukit Jernih, Lorong Bukit, Taman Jernih, 02450 Kangar, Perlis


17. Wang Gunung

Pintu Wang Gunung
Sumber: Oh My Perlis

Terletak di sempadan Malaysia-Thai ialah Wang Gunung yang terkenal dalam kalangan peminat aktiviti meredah hutan dan rock climbing kerana cabaran laluan berbatuannya ini. Berketinggian 499.1 meter, sekiranya anda ingin menakluki gunung ini, anda perlu mampu mendaki dalam 2 ke 3 jam sebelum sampai ke puncaknya.

Untuk menuju ke puncak, anda bukan setakat berjalan, anda perlu memanjat trek yang teramat curam dengan kecuraman sekitar 70-80 darjah. Pastikan anda berpakaian sesuai dan lengkap dengan pelbagai peralatan penting sebelum memulakan ekspedisi mencabar anda di gunung ini.

Alamat: Wang Gunung, Sungai Batu Pahat, Perlis


16. Ladang Tebu Chuping

Ladang Tebu Chuping
Sumber: Christopher Harriot

Siapa yang suka makan manis-manis itu, patut tahu mana asalnya gula yang dihadam setiap hari. Ladang Tebu Chupinglah tempatnya, ladang tebu yang terbesar di Malaysia. Untuk menambahkan pengetahuan anda tentang pemprosesan gula daripada pokok tebu anda bolehlah singgah ke ladang di Chuping ini yang berkeluasan sekitar 8000 hektar.

Alang-alang dah sampai di sini, lawatlah juga kilang pemprosesan gula yang dimiliki individu terkaya di Malaysia, Robert Kuok yang turut terletak di Chuping ini. Tak mau, tak apa, tapi jangan lupa bergambar berlatar belakangkan ladang tebu yang luas menghijau di sini, sungguh menakjubkan pemandangannya. Di bandar mana ada macam ni kan?

Alamat: Ladang Tebu Felda Chuping, Perlis


15. Menara Pandang Wang Kelian

Wang-Kelian-Hill-Top
Sumber: Faizal Anuar

Pemandangan yang dihidangkan dari Menara Pandang Wang Kelian ni mesti menggetarkan jiwa anda sekeluarga. Indah tak terkata dengan awan putih yang tebal menyelubungi kawasan bukit-bukau seperti di dalam dunia khayalan. Realitinya, ini adalah dunia sebenar, alam semulajadi yang tak terganggu dek tangan-tangan manusia. Bukan sahaja bukit-bukau, anda juga dapat melihat sekitar negeri Perlis serta sempadan Malaysia-Thai seluas pandangan mata.

Alamat: Menara Pandang Wang Kelian, Perlis


14. Muzium Kota Kayang

Muzium Kota Kayang
Sumber: Nizal Abd Samad

Berdiri di atas tanah seluas 4.84 hektar ini adalah Muzium Kota Kayang. Kalau anda nak tahu, dahulunya tanah ini pernah menempatkan bangunan yang menjadi kediaman ketua menteri Raja pada abad ke-19, dan kemudian pada awal abad ke-20 menjadi kediaman rasmi penasihat British dan seterusnya ketika Perang Dunia Kedua, ia diambil alih oleh Tentera Jepun sehinggalah 1943, Tentera Thai pula mendudukinya.

Selepas Malaysia mendapat kemerdekaan, bangunan ini didiami oleh Ketua Menteri Perlis. Namun pada tahun 1991, bangunan antik ini dirobohkan untuk membina Muzium Kota Kayang. Sayangkan? Tapi tak apa, bangunan baru ini pun sama hebatnya, menyimpan pelbagai hasil arkeologi dan barangan antik yang ditemui di sekitar Perlis, kalau anda nak tahu apa yang ada di sini, tunggu apa lagi? Datang cepat!

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Kota Kayang Museum, 02000 Kuala Perlis, Perlis


13. Kampung Ujung Bukit

Kampung Ujung Bukit
Sumber: Abdul Aazis

Jom ber agro-tourism di Kampung Bukit Ujung. Di sini anda boleh membawa keluarga melawat ladang buah-buahan termasuklah buah mangga Harum Manis serta sawah padi yang penuh kehijauan. Jangan lepaskan peluang untuk melakukan pelbagai aktiviti untuk pengalaman tinggal di desa yang sebenar,  anda dan keluarga boleh cuba bercucuk tanam di sawah padi dan menoreh getah. Pasti seronok dapat buat sesuatu yang baru, banyak juga yang dapat dipelajari daripada aktiviti sebegini yang merupakan pengalaman berharga buat anak-anak kecil.

Alamat: Kampung Ujung Bukit, Kangar


12. Masjid Alwi

Masjid Alwi Perlis
Sumber: Jasti Syarizal

Masjid Alwi yang siap dibina pada tahun 1933 dengan kos hanya RM64,484 pada zaman itu, telah diisytiharkan sebagai Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Konsep rekaan masjid ini adalah Mughal klasik terutamanya pada kubah masjid ini. Masjid Alwi dinamakan sempena nama Raja Muda Perlis pada ketika itu, Raja Syed Alwi.

Alamat: Masjid Alwi, Kangar


Baca: 43 Tempat Percutian Menarik Di Malaysia

11. Padang Besar

Pasar Padang Besar Perlis
Sumber: cikguhailmi.com

Sekitar 35 km dari ibu negeri Perlis, Kangar, terletaknya syurga membeli-belah bagi rakyat Malaysia dan Thailand kerana harganya yang murah, mana taknya, kerana lokasinya di kawasan bebas cukai di tengah-tengah sempadan.

Padang Besar, mungkin anda pernah dengar bukan? Kalau anda belum pernah ke sini lagi, apa kata kalau simpan duit dari sekarang, lepas tu shoppinglah puas-puas di sana. Tak habis berjalan kalau nak tengok semua barangan yang diniagakan di sini, jangan terkejut, cctv pun ada dijual!

Alamat: Padang Besar, Perlis


10. Taman Ular & Reptilia Perlis

Taman Ular & Reptilia Perlis
Sumber: Hafiz Hazizi

Sudahlah tiket masuknya murah, banyak pula tu spesies ular yang dipamerkan di sini. Lebih daripada 150 ekor ular yang terdiri daripada 34 spesies yang ada di sini. Menakutkan tapi dalam masa yang sama satu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan bila dapat mendekati haiwan berbisa ini.

Tapi jangan risau, untuk ular yang boleh didekati, telah pun dijinakkan. Apa gunanya kalau datang tapi tak bergambar dengan ular mengelilingi anda bukan? Di sini anda mendapat peluang emas ini dengan bayaran hanya RM1, barulah berbaloi kedatangan anda sekeluarga ke Taman Ular & Reptilia Perlis ini.  Lepas tangkap gambar tu, jangan lupa untuk melihat persembahan ular, juga hanya RM1.

Dah puas tengok ular, anda boleh juga melihat galeri haiwan lain seperti burung, arnab, hamster, kura-kura, kala jengking, iguana dan banyak lagi yang terdapat di sini. Dahlah murah, banyak pula haiwan yang dipamerkan, tak perlu fikir dua kali lagi.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM2 | Kamera RM1 | Video Kamera RM2

Alamat: Sungai Batu Pahat, 01000 Kangar


9. Pusat Ekuin Perlis

Pusat Ekuin Perlis
Sumber: thesilencerpath

Siapa tak suka melihat kuda, haiwan yang sinonim dengan orang kaya ini boleh anda dekati dengan melawat Pusat Ekuin Perlis. Bukan setakat itu, pemandangan yang menghijau dan cukup indah di kawasan sekitar menjadikan kawasan ini terkenal untuk penggambaran perkahwinan, mesti anda ingin abadikan foto keluarga anda di sini juga kan?

Alamat: Pusat Ekuin Perlis


8. Ladang Nipah Kipli

Ladang Nipah Kipli
Sumber: Abdul Quddoos

Ladang Nipah Kipli memberikan anda pengalaman indah di desa, bukan setakat pemandangan ladangnya yang menarik untuk dilihat, malahan, anda boleh membeli makanan yang dijual di restoran yang terdapat di sini, lokasinya pun di ladang nipah kan, sah-sah lah ada air nira nipah yang dibuat segar untuk anda nikmati. Sambil-sambil minum air nipah yang penuh dengan khasiat tu, jangan lupa cuba ais kacangnya juga, memang sedap!

Dah puas menjamu selera, anda boleh bersantai di pondok-pondok ataupun buaian-buaian yang terletak di celah-celah deretan pokok nipah. Anda sekeluarga dapat menenangkan fikiran sambil menikmati pemandangan indah sekitar ladang. Kalau tak cukup sehari bersantai di sini, apa kata kalau anda berkhemah, kerana di sini juga disediakan tapak perkhemahan. Air nira, buaian, pondok, ladang, baru betul-betul kampung!

Alamat: Ladang Nipah Kipli, Kampong Tanah Timbul, Sanglang, Kuala Perlis


7. Kuala Perlis

Kuala Perlis
Sumber: Ahmad Albaba

Ingat Kuala Perlis, ingat laksanya yang bukan main sedap dan terkenal di Malaysia ni. Dah puas makan laksa, anda sekeluarga boleh terus ke jeti Pulau Langkawi yang mana anda boleh membawa kereta menaiki feri sekali untuk ke Pulau Langkawi. Balik dari Pulau Langkawi nanti singgah pula ke restoran-restoran makanan laut yang banyak terdapat Kuala Perlis ni, mana taknya, sebagai pekan nelayan, memang banyaklah hasil lautnya. Rugi tak cuba makanan lautnya yang segar-segar di sini.

Alamat: Kuala Perlis, Perlis

 

6. Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen

Taman Bunga Kertas Perlis
Sumber: Taman Bunga Kertas

Di mana lagi lokasi yang lebih menarik untuk bergambar selain daripada berlatar belakangkan bunga-bungaan mekar penuh warna-warni? Kalau anda tercari-cari di mana nak ambil gambar bersama keluarga yang boleh diframekan, apa kata kalau ke Taman Bunga Kertas Tuanku Laitlatul Shahreen. Anda sekeluarga bukan sahaja disajikan dengan pemandangan persis di taman bunga yang terdapat di luar negara, turut dapat dilihat dari kawasan taman bunga ini adalah kawasan bukit. Bayangkanlah keindahan yang sempurna ini.

Alamat: Taman Bunga Kertas, Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis


5. Taman Anggur Perlis

Taman Anggur Perlis
Sumber: Perlis Shopping Hub

Macam pelik je kan anggur boleh ditanam di Malaysia? Tapi ya memang wujud, dan ianya berada di Kangar, Perlis. Terletak berdekatan dengan Taman Herba dan Taman Ular, kalau anda sudah ke sini, jangan lupa untuk ke tempat lain yang menarik di sekitarnya.

Sekiranya anda ke Taman Anggur Perlis, anda dapat melihat sendiri rupa sebuah ladang anggur yang hanya boleh didapati di negara lain, memang susah nak memastikan tanaman anggur ini menjadi terutama di negara Malaysia. Disebabkan terdapat kesukaran dalam penyelenggaraannya, Taman Anggur ini ditutup sementara. Harap-harap dapatlah kita melihat ia dibuka kembali di masa hadapan, dapatlah makan anggur fresh-fresh!

Alamat: Taman Anggur Perlis, Pertanian Bukit Temiang, Kangar


4. Pasar Wang Kelian

Pasar Wang Kelian
Sumber: Pelik Perlis

Terletak bersempadan dengan Wang Prachan, Thailand, ialah Pasar Wang Kelian yang juga dikenali sebagai Nat Wang Kelian dalam kalangan penduduk setempat. Pasar ini walaupun dibuka setiap hari, pada hujung minggu lebih banyak gerai yang dibuka. Cuma yang paling best adalah jika anda datang pada hari Ahad, pelancong tempatan tak payah bersusah payah membawa dokumen perjalanan pada hari ini.

Antara barangan yang dijual di Pasar Wang Kelian ini adalah basikal, peralatan elektrik, beg galas, pin tudung, tudung, periuk belanga, alatan berkebun dan bermacam lagilah. Kalau anda jenis yang berminda bisnes, boleh borong barang-barang ini untuk dijual di tempat lain, kerana harga yang ditawarkan boleh terbeliak biji mata.

Waktu Operasi: Setiap Hari

Alamat: Pasar Wang Kelian, Wang Kelian, 02200 Kaki Bukit, Perlis


3. Taman Rekreasi Pengkalan Asam

Taman Rekreasi Pengkalan Asam
Sumber: JPS Perlis

Taman Rekreasi Pengkalan Asam di Kangar ini menyediakan trek jogging yang terletak di sekitar sungai, selalunya tasik kan? Kali ini di sekitar sebatang sungai yang indah,  dapatlah anda menenangkan fikiran melihat air yang tenang sambil bersenam. Selain itu, anda juga boleh menggunakan semua kemudahan outdoor gym yang disediakan untuk aktiviti senaman ang lebih menyeluruh.

Anak-anak anda boleh berseronok di taman permainan ataupun di gazebo yang disediakan. Bukan sahaja seronok untuk beriadah di sini bersama keluarga, lokasi ini juga menarik untuk anda bergambar, terutama sekali di jambatan gantung yang disediakan. Kemudahan lain yang terdapat di sini adalah tandas, wakaf dan surau.

Alamat: Taman Rekreasi Pengkalan Asam, Kangar


2. Taman Rekreasi Bukit Ayer

Taman Rekreasi Bukit Ayer
Sumber: Daniel Halim

Hanya 12 km dari Kangar, Taman Rekreasi Bukit Ayer merupakan sebuah tarikan alam semula jadi yang menyegarkan dengan rimbunan pokok yang menghijau dan air terjun yang mengalir jernih. Berkhemah dan berkelah adalah dua aktiviti yang menyeronokkan untuk dilakukan bersama keluarga di sini. Tapak perkhemahan yang boleh menampung 100 orang yang disediakan di sini lengkap dengan sumber air bersih dan tempat memasak.

Bukan itu sahaja, di hilir sungai ini terdapat kolam mandi untuk anda bermandi-manda bersama keluarga. Kemudahan lain yang disediakan di taman rekreasi ini adalah taman permainan kanak-kanak, surau, gerai makanan, pondok santai dan tandas. Semuanya ada untuk kemudahan anda sekeluarga.

Alamat: Taman Rekreasi Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat, Perlis


1. Masjid Terapung Al-Hussain

Masjid Terapung Kuala Perlis
Sumber: Hazrat Allama

Masjid Terapung Al-Hussain ini begitu indah, menyejukkan mata memandang. Dibina dengan kos RM12 juta, ia bukanlah masjid yang calang-calang, inilah masjid yang ikonik yang terletak di Perlis. Kedudukannya yang mengadap Selat Melaka menjadikan ia 100 kali lebih indah terutama sekali apabila tibanya waktu senja, matahari terbenam menaikkan lagi seri bangunan masjid yang tidak bercat ini.

Untuk pengetahuan anda, masjid ini menggunakan bahan seperti marmar, kuartz, batu granit, pebbles dan coral sahaja dalam pembinaannya. Unik dan menakjubkan, lihat di depan mata anda sendiri, sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Alamat: Masjid Terapung Al-Hussain, 1, Persiaran Putra Timur, 02000 Kuala Perlis, Perlis


Hebat juga Perlis ni kan? Kawasan desanya yang indah, ladang-ladangnya yang subur, dan alam semula jadinya menjadikan ia sebuah destinasi yang menyeronokkan untuk dilawati semasa bercuti bersama keluarga. Bagi yang sudah puas menikmati kehidupan di bandar, suasana desa dapat mengembalikan kewarasan fikiran yang telah terlalu ‘dihantui’ kesibukan di kota. Dah puas bercuti di Perlis, naik pula feri dari Kuala Perlis untuk ke Langkawi, percutian dua dalam satu gitu.

Sebelum memulakan perjalanan anda ke sana, jangan lupa lawati booking.com untuk mendapatkan tawaran penginapan yang menarik untuk memudahkan anda membuat perancangan. Jika anda mencari penginapan bajet, anda boleh merujuk artikel kami bertajuk 15 hotel murah di Perlis.

Sekian sahaja penulisan kali ini, diharapkan senarai tempat menarik di Perlis ini dapat membantu anda merancang percutian ke Perlis nanti. Semoga berseronoklah anda sekeluarga di negeri Perlis Indera Kayangan!



Related Posts