10 Tempat Menarik Di Pulau Pangkor Untuk Percutian Pantai Terbaik

Pulau Pangkor memiliki bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, dan masih segar ditumbuhi pokok-pokok yang hijau. Pulau ini terkenal sebagai destinasi pelancongan yang sangat menarik untuk dilawati bersama keluarga kerana banyak aktiviti yang menyeronokkan boleh dilakukan di sini. Bentuk muka buminya dan alam semulajadinya yang terpelihara dengan baik menjadikan ia lokasi yang tepat untuk anda yang ingin menghirup udara segar sambil melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti jungle trekking, bird-watching, snorkeling, berkhemah, dan macam-macam lagi.

Kalau anda sukakan aktiviti-aktiviti outdoor dan ingin mendekati flora dan fauna yang tak dapat dinikmati di kawasan bandar, jomlah ke Pulau Pangkor. Kalau anda datang dari kawasan bandar seperti KL atau Selangor, ini adalah salah satu pulau terdekat yang boleh dilawati.

Asal-usul nama Pulau Pangkor adalah daripada bahasa Thai ‘Pang Ko’ yang bermaksud pulau yang cantik. Namanya pun sudah menggambarkan keindahan pulau ni, jadi tak perlulah anda berfikir dua kali, rancanglah untuk ke sini pada musim percutian akan datang. Tak cukup dengan bukti itu sebagai pembakar semangat anda sekeluarga untuk ke sini? Teruskan membaca senarai 10 tempat menarik di Pulau Pangkor yang pasti membuat anda rasa teruja.

10. Kota Belanda

Kota Belanda Pulau Pangkor
Sumber: Nur Syafieza Mdnoor

Sama seperti banyak destinasi terbaik di Melaka di Pulau Pangkor juga terdapat sebuah lokasi bersejarah peninggalan Belanda. Pihak Belanda yang datang ke sini telah membina gedung atau kubu yang bertujuan untuk menyimpan bijih timah pada tahun 1670. Orang Belanda pada masa itu menamakan kubu ini sebagai Kubu Dinding (Dingdingh) sempena nama Sungai Dinding yang terletak di hadapan Pulau Pangkor.

Tujuan lain pembinaan kubu ini adalah untuk menghalang pihak Inggeris daripada merampas pulau ini dan dalam masa yang sama pihak Belanda sedang berperang dengan Acheh yang juga menjadikan Pulau Pangkor sebagai negeri di bawah naungan mereka. Kiranya, Kota Belanda ini memegang nilai yang penting dalam sejarah negeri Perak. Memang patut anda datang ke sini bersama keluarga untuk melihat sendiri peninggalan penuh sejarah ini dengan lebih dekat.

Alamat: Kota Belanda, 32300 Pulau Pangkor, Perak


9. Batu Bersurat

Batu Bersurat Pulau Pangkor

Batu bersurat ini terletak hanya dalam 100 meter sahaja daripada Kota Belanda. Apa yang ditunjukkan pada batu bersurat ini adalah gambar seorang kanak-kanak dibaham oleh seekor harimau, agak menyeramkan juga satu lukisan sebegini diabadikan pada sekeping batu kan? Mengikut kepercayaan orang ramai, batu ini digunakan untuk mengingati peristiwa di mana seorang kanak-kanak telah dimakan seekor binatang buas. Sebenarnya banyak versi lain lagi tentang kisah di sebalik gambar ini.

Lagi satu yang pelik pasal batu ini adalah penduduk tempatan mengatakan yang batu ini pada asalnya memiliki saiz yang kecil tapi semakin lama ia kelihatan seperti semakin besar, seolah-olah hidup. Datanglah ke sini kalau nak lihat dengan lebih dekat lagi baru bersurat yang terkenal ini, mana tahu, kalau-kalau anda dapat merungkai misteri di sebalik batu ni.

Alamat: Batu Bersurat, Kampung Teluk Gadong, 32300 Pulau Pangkor, Perak


8. Tortoise Hill

Tortoise Hill Pulau Pangkor
Sumber: Pangkor Island

Untuk anda yang sukakan sedikit cabaran, apa kata kalau berjungle trekking di bukit ini? Memang cool juga kalau berkelah atau bersantai di bawah pokok-pokok yang rendang di puncak bukit ni sambil mengimbau kenangan lama. Sambil-sambil bersantai itu anda dapat menikmati pemandangan indah sekeliling Pulau Pangkor yang dikelilingi pokok-pokok menghijau dan Selat Melaka sebab puncak bukit ini adalah puncak yang tertinggi di pulau ini.  Dekat sini juga anda boleh melihat bermacam jenis flora dan fauna yang menarik seperti orkid-orkid yang jarang dijumpai di tempat lain dan burung-burung yang berwarna-warni seperti burung enggang. Tapi hati-hati juga ya sebab kera pun ada

Alamat: Tortoise Hill, 32300 Pulau Pangkor, Perak


7. Pantai Teluk Nipah

Pantai Teluk Nipah
Sumber: Khalilah Ahmad

Banyak aktiviti air yang ditawarkan di pantai ini, baru seronok anak-anak anda bila bercuti dapat buat aktiviti yang melibatkan main air ni, siapa tak suka.  Tapi anda kena pandai juga mencari pakej aktiviti air yang murah, tak adalah terasa berat nak keluarkan duit poket untuk beramai-beramai bermain air. Ada yang murah, ada yang mahal, survey dulu baru puas hati.

Kawasan ni agak padat pada musim cuti sekolah. Tapi tak apalah kan, ramai tak ramai, yang penting anda sekeluarga dapat berseronok. Sekitar pantai ini agak meriah juga dengan gerai-gerai untuk anda membeli kudapan dan makan sambil menikmati pemandangan.

Alamat: Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, Perak

Baca: 13 Hotel Terapung Di Malaysia


6. Pantai Pasir Bogak

Pantai Pasir Bogak
Sumber: Taufik

Di sepanjang pantai ini sudah tersedia meja-meja untuk anda hidangkan makanan dan dimakan bersama keluarga sambil melihat panorama indah Pantai Pasir Bogak ini. Kalau anda terlupa nak bawa makanan jangan risaulah, banyak juga gerai-gerai makanan di sekeliling, air kelapa pun ada dijual, kombinasi yang sempurna sambil melepak tepi pantai.

Sambil-sambil anda menikmati air kelapa itu, anda dapat melihat ramai nelayan yang sibuk dengan jaring masing-masing untuk menangkap hasil laut.

Aktiviti lain yang anda boleh buat di pantai ini adalah seperti menaiki bot untuk merasa pengalaman makan angin atas laut ataupun untuk mencuba sendiri aktiviti menjala, dapat ikan atau tak, sekurang-kurangnya dapatlah keluarga anda merasa pengalaman yang rare ni. Selain itu, anda juga boleh bermandi-manda di pantai ni, tapi hati-hati ya, sebab dasarnya agak berbatu.

Alamat: Pasir Bogak, 32300 Pulau Pangkor, Perak


5. Lumut Waterfront

Lumut Water Front
Sumber: Zaharibb

Lumut Waterfront ini merupakan tempat yang pertama sekali anda perlu pergi untuk menaiki feri ke Pulau Pangkor. Pemandangan dekat sini boleh tahan juga menariknya. Kalau anda datang awal pagi ke sini, dapatlah anda sekeluarga menikmati pemandangan matahari naik yang sangat indah. Bukan setakat ada pemandangan yang cantik, tapi gerai-gerai dan restoran yang menjual hasil laut pun banyak. Nak lepak makan ABC, seafood, KFC, semua ada.

Jadi, datang je ke sini dengan perut kosong, cari gerai yang anda suka di sini untuk menjamu selera, kemudian bolehlah mulakan penjelajahan anda ke Pulau Pangkor dengan feri dari jeti di waterfront ini. Dalam perjalanan ke Pulau Pangkor yang mengambil masa lebih kurang 20 minit ini anda bolehlah bergambar sepuas-puasnya di feri tu nanti, bukan senang nak dapat pengalaman naik feri kan.

Waktu Operasi: Setiap Hari (6.30am – 8.30pm)

Harga Tambang Feri: Dewasa RM10 | Kanak-kanak RM5

Alamat: Lumut Waterfront, 32200 Lumut, Perak


4. Pulau Giam

Pulau Giam
Sumber: Tourism Malaysia

Pulau ini terletak bersebelahan degan Pulau Mentagor, dan berhadapan dengan Teluk Nipah. Ya memang banyak tempat nak dilawati di Pulau Pangkor ni, semuanya indah-indah belaka. Untuk ke Pulau Giam ini, daripada Teluk Nipah anda boleh berkayak ataupun menaiki bot, bergantung kepada anda, kalau anda nakkan aktiviti yang ekstrem sedikit dan memiliki stamina yang tinggi, boleh datang secara berkayak, kalau tak, naik je bot, mana-mana pun syok. Yang bestnya di pulau ini, airnya agak jernih jadi bolehlah bersnorkeling di sini.

Alamat: Pulau Giam, 32300, Perak


3. Pangkor Fish Satay Factory – Hai Seng Hin

Kilang Satay Ikan Pulau Pangkor
Sumber: Inmagine Photos

Teringin nak shopping makanan hasil laut yang fresh-fresh? Mari ke Kilang Hai Seng Hin ataupun nama terkenalnya Kilang Sate ini. Dekat sini anda boleh melihat bermacam hasil laut seperti ikan, sotong dan lain-lain dijual di sini. Yang paling meletup di Pulau Pangkor ni sebenarnya ikan bilis mata biru, sebab tak ada di tempat lain ikan bilis jenis ni. Sedap juga dibuat sambal petai ikan bilis. Rugi kalau tak datang ke sini alang-alang dah sampai ke Pangkor, banyak sangat pilihan makanan laut di sini, bolehlah anda berkelah dengan keluarga selepas shopping di sini. Kedai-kedai cenderamata pun ada.

Alamat: Hai Seng Hin Satay Fish Factory, Sungai Pinang Kecil, 32300 Pulau Pangkor, Perak


2. Teluk Segadas

Teluk Segadas Pangkor
Sumber: Hor Shu Horng

Teluk Segadas ini terletak di selatan Pulau Pangkor. Agak kurang dilawati pelancong sebab kawasannya agak tersorok. Kalau anda sukakan privasi, apa kata kalau ke sini. Untuk ke teluk ini, dari jeti Pulau Pangkor anda boleh menaiki teksi sehingga sampai ke Kampung Gedung, lepas tu, anda kena berjungle trekking dalam 15 ke 20 minit untuk sampai ke teluk ini.

Kalau anda datang bersama anak kecil sekurang-kurangnya 6 tahun dan ke atas, boleh sahaja, sebab trekkingnya tak begitu mencabar. Cuma diingatkan, Teluk Segadas ni kawasannya tak begitu lengkap dengan kemudahan.

Alamat: Pantai Teluk Segadas, 32300, Perak


1. Masjid Terapung Pulau Pangkor

Masjid Terapung Pulau Pangkor
Sumber: Dukun Petai

Bukan di Terengganu je yang ada masjid terapung, di Pulau Pangkor pun ada! Sebenarnya, masjid ini agak baru di Pulau Pangkor. Dibina pada 7 Mac 2014, Masjid Terapung Pulau Pangkor atau nama lainnya Masjid Al-Badr 1000 Selawat ini adalah hasil inspirasi daripada Menteri Besar Perak.

Dalaman masjid ini sangat indah dengan pelbagai jenis dekorasi unik dan menarik. Diberi nama 1000 selawat kerana terdapat kaligrafi 1000 selawat di dinding masjid. Kos pembinaan masjid ini adalah RM11.6 juta dan siap pada tahun 2016. Datanglah ke sini untuk menghayati hasil seni islamik yang masih segar lagi di masjid ini.

Alamat: Masjid Al-Badr 1000 Selawat, Pulau Pangkor, Perak


Baca: 33 Tempat Menarik Di Penang

Menarikkan semua yang ada di Pulau Pangkor ni? Tempat bersejarah, pulau-pulau di sekitarnya, pantai, bukit, gerai-gerai makan, semuanya ada. Sekarang anda percaya yang Pulau Pangkor ni destinasi yang best untuk dijadikan tempat percutian yang akan datang? Terbukti yang daripada senarai ini juga, sangat banyak aktiviti yang sure best yang boleh dibuat di sini, jadi tak perlulah anda pening kepala nak merancang apa yang nak dilakukan apabila sampai ke sini nanti.

Tak kisahlah siapa pun yang anda bawa, apa yang ditawarkan pulau kecil ini akan memberikan pengalaman yang indah. Kalau anda datang ke sini, buatlah semua aktiviti outdoor seperti jungle trekking dan water sports yang ada di sini, ciptalah memori indah sepanjang musim cuti sambil merapatkan hubungan keluarga. Harapnya lepas ni kalau dengar sahaja Pulau Pangkor, bukan sekadar diingati sebagai pulau yang cantik tapi juga kerana nostalgia indah yang tercipta bersama keluarga tercinta sewaktu di sini.

Kalau anda dah excited nak bercuti ke sana, nanti dulu, jangan rushing-rushing terus tempah hotel sebelum membuat pilihan terbaik dulu. Nak tahu dekat mana anda boleh pilih hotel terbaik dengan harga terbaik? Anda boleh lawati booking.com sebab di sini anda dapat melihat testimoni-testimoni penginap terdahulu, dari situ, barulah anda boleh buat pilihan yang terbaik mengikut bajet anda. Lebih-lebih lagi kalau anda datang bersama ahli keluarga, penting untuk anda tahu kelebihan dan kekurangan serta fasiliti-fasiliti yang ada pada sesebuah tempat penginapan. Jangan buang masa lagi, rancang mulai sekarang, lagi awal lagi bagus, lagi banyak masa untuk simpan bajet kan?

Sebagai penutup artikel, diharapkan senarai tempat menarik di Pulau Pangkor ini dapat membantu anda dalam membuat rancangan percutian yang terbaik untuk keluarga. Semoga anda mendapat percutian yang indah apabila ke Pulau Pangkor nanti. Jangan lupa untuk bawa pakaian sesuai bila ke sana ya, banyak aktiviti outdoor untuk dibuat nanti.



Related Posts