17 Tempat Menarik Di Putrajaya | Percutian Berfalsafah Bersama Keluarga

Putrajaya sememangnya tidak asing lagi bagi rakyat tempatan kerana diketahui sebagai sebuah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Malaysia. Namun begitu Putrajaya juga boleh dikatakan sebagai salah satu pusat pelancongan yang menarik untuk dilawati di negara ini. Putrajaya dijadikan sebagai wilayah persekutuan pada akhir tahun 1980-an yang pada mulanya merupakan sebahagian daripada negeri Selangor.

Kemegahan Putrajaya mula dibina pada awal tahun 1995 sebagai sebuah bandar raya terancang bagi menggantikan Kuala Lumpur yang sebelum ini menjadi pusat pentadbiran. Pembinaan pusat pentadbiran ini mempunyai falsafah tersendiri yang perlu diterokai dan dijadikan sebagai tempat yang wajib dilawati oleh masyarakat. Selari dengan itu, tulisan ini akan memperkenalkan Putrajaya sebagai sebuah pusat pelancongan yang berfalsafah untuk industri pelancongan negara dengan menerokai beberapa monumen simbolik di sini.

Di bawah kami telah menyusun senarai 17 tempat menarik di Putrajaya untuk memudahkan anda merancang percutian ke sana kelak.

17. Masjid Putrajaya dan Masjid Besi

Masjid Putrajaya
Sumber: I.GunawanCC By 2.0

Masjid Putrajaya merupakan binaan keagamaan yang tersergam indah dengan seni bina unik dan pastinya dapat menarik perhatian pengunjung beragama Islam malah pengunjung yang bukan Islam juga pasti terpikat untuk mengenali dan melihat secara dekat struktur bangunan tersebut. Reka bentuk yang diilhamkan daripada pelbagai masjid dari luar negara termasuklah dari Iraq dan Morocco ini pastinya memberi kelainan berbanding masjid lain di Malaysia. Ruang solat yang selesa juga dapat menampung jemaah seramai 15000 orang pada satu-satu masa ini terbahagi kepada dua tingkat iaitu ruang bawah untuk kegunaan jemaah lelaki manakala bahagian atas untuk jemaah wanita. Di samping, kedudukan masjid ini yang strategik berdekatan dengan tasik memberikan sentuhan unsur alam yang menyamankan dan pastinya memberi ketenangan kepada pengunjung yang berhasrat untuk bercuti di Putrajaya. Masjid Putrajaya juga mempunyai laluan pejalan kaki yang direka khas bagi memudahkan pegawai kerajaan untuk ke masjid. Laluan ini juga hanya dibuka ketika solat Jumaat sahaja. Justeru, istilah “masjid” sendiri sangat berkait rapat dengan nilai keagamaan yang pastinya membawa pengunjung untuk menikmati percutian yang penuh dengan kerohanian.

Reka bentuk masjid Putrajaya mempunyai laluan pejalan kaki yang berhubungan dengan bangunan sekitarnya mempunyai falsafah tersendiri bahawa keagamaan seharusnya tidak diasingkan dengan aktiviti harian mahupun pentadbiran. Sebuah lagi Masjid yang terdapat di Putrajaya iaitu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi. Keunikan masjid ini dibina menggunakan 6000 tan keluli mampu menempatkan seramai 24000 jemaah pada satu masa dan merupakan sekali ganda keluasan berbanding Masjid Putrajaya yang berada lebih kurang 2km daripadanya. Reka bentuk yang menarik pasti memberi penghayatan berbeza berbanding masjid-masjid yang ada di seluruh Malaysia. Masjid Besi ini tidak menggunakan sistem kipas kekal namun sebaliknya menggunakan pengudaraan gas penyejuk GDC. Ukiran seni tulisan khat banyak terdapat di masjid ini menaikkan lagi seri keindahannya. Justeru, pengunjung amat dialu-alukan untuk beriadah di masjid yang menjadi kebanggaan penduduk Putrajaya ini.


16. Taman Botani Putrajaya

Taman Botani Putrajaya
Sumber: Phalinn Ooi / CC By 2.0

Taman Botani Putrajaya merupakan tempat yang perlu dikunjungi apabila melancong ke Putrajaya. Keunikan taman ini telah diakui dunia apabila diiktiraf sebagai salah satu daripada empat puluh buah taman yang tercantik di Asia. Taman ini menempatkan tiga belas taman tema dan mempunyai lebih 700 jenis tumbuhan daripada pelbagai benua di dunia. Taman Botani Putrajaya menyediakan pilihan kepada pengunjung untuk menikmati keindahan dengan menelusuri laluan pejalan kaki atau menunggang basikal sewa yang tersedia.  Kemudahan ini pastinya menjamin keselesaan pengunjung semasa menikmati keindahan tumbuhan serta memberi peluang kepada pengunjung untuk mempelajari pelbagai jenis tumbuhan yang pastinya mempunyai khasiat tersendiri.

Melalui kewujudan taman Botani Putrajaya ini pastinya akan memberi input baharu kepada pengunjung tentang kelebihan herba tempatan. Khasiat tumbuhan ini telah diguna pakai semenjak zaman dahulu lagi sebelum adanya perubatan moden untuk merawat pelbagai penyakit yang pasti juga mempamerkan tumbuhan yang belum dikenali masyarakat. Justeru, lawatan ke taman Botani Putrajaya ini pastinya menjadi lawatan yang penuh berilmu dan sepatutnya tidak dilepaskan oleh pengunjung untuk melihat sendiri taman Botani Putrajaya. Nilai ilmu yang terdapat di taman Botani Putrajaya ini sangat tinggi dan tidak sepatutnya pengunjung melepaskan peluang dalam memahami falsafah yang wujud di taman ini. Ilmu alam yang dimiliki masyarakat telah dikumpulkan untuk tatapan pengunjung dan memahami keperluannya dalam kehidupan.


15. Taman Wetland Putrajaya

Taman Wetland Putrajaya
Sumber: Firdaus / CC BY-ND 2.0

Taman Wetland Putrajaya menjanjikan keindahan alam yang sukar untuk dinikmati sekiranya berada di sesebuah kota raya kecuali di Putrajaya. Keindahan taman ini menyaksikan gabungan unsur alam semula jadi dengan struktur binaan manusia yang saling melengkapi dan memberi ketenangan serta penghayatan sebagai sebuah destinasi pelancongan. Pelbagai hidupan akuatik terdapat di taman Wetland Putrajaya menyemarakkan lagi keindahan alam dan membuktikan bahawa persekitaran taman yang terjamin kebersihannya serta ekosistem kehidupan yang sihat. Dapat dikatakan taman Wetland Putrajaya merupakan syurga pelbagai spesies burung air serta ikan yang perlu dipelajari oleh setiap pengunjung. Kehadiran burung-burung tersebut pasti akan menarik minat kanak-kanak yang pastinya belum pernah melihat kehidupan tersebut di persekitaran semula jadi. Justeru, pengunjung seharusnya tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri kehidupan semula jadi walaupun tidak berpeluang pergi taman negara di kawasan luar bandar. Lokasi pelancongan taman Wetland Putrajaya ini mempunyai ini nilai falsafah tersendiri yang menuntut supaya dihayati oleh pengunjung sebagai suatu organisasi yang saling memerlukan antara manusia dengan hidupan semula jadi.


14. Skyrides Festivals Park

Skyride Festival Park
Sumber: Skyrides Festivals Park

Satu lagi lokasi menarik di Putrajaya perlu dikunjungi iaitu Skyrides Festivals Park yang pastinya mempunyai kelebihan tersendiri jika dibandingkan dengan My Balloon Adventure Putrajaya. Pengunjung berpeluang untuk menyaksikan keindahan panorama Putrajaya daripada aras ketinggian 150 meter dengan menaiki Skyride Balloon. Pengunjung tidak perlu risau akan perasaan gayat seperti terbang menaiki belon udara panas di My Balloon Adventure kerana Skyride Balloon ini disambungkan menggunakan tali pada permukaan bumi dan terhad pada ketinggian tersebut sahaja. Di samping itu, lokasi ini juga menawarkan peluang kepada pengunjung untuk melakukan aksi seperti dalam program realiti television iaitu “America Ninja Warrior” apabila berada di Sky Warrior Putrajaya.

Pengunjung mampu menguji kekuatan diri dengan berlari di atas laluan sukar, bergayut atau melompat melepasi cabaran akan menimbulkan perasaan keterujaan dan bersemangat untuk melepasi setiap halangan. Lokasi ini menawarkan kelainan yang tidak terdapat di mana-mana lokasi pelancongan di Malaysia. Selain itu, Skyride Festivals Park juga menawarkan aktiviti Sky Kid iaitu belon air kepada pengunjung cilik. Pengalaman ini pasti akan menggembirakan mereka apabila berada di dalam belon tersebut sambil bermain air di kolam yang tersedia. Skyride Festivals Park juga telah menyediakan Sky Gallery bagi pengunjung yang berhajat untuk membeli cenderamata sebagai kenang-kenangan ataupun sebagai hadiah kepada sanak saudara yang belum lagi berpeluang untuk datang ke taman festival ini. Pengunjung juga tidak akan dikenakan apa-apa bayaran jika hanya ingin melihat taman festival ini dan pastinya merupakan peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan untuk datang ke Skyride Festivals Park Putrajaya.

Lokasi: Jalan P2m, Presint 2, 62100 Putrajaya


13. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

Putrajaya International Convention Centre
Sumber: PICC

Seterusnya, lokasi menarik yang anda dapat lawati ketika berada di Putrajaya ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya yang terletak di atas bulatan besar di Putrajaya. Bangunan ini sangat menarik dengan reka bentuk moden dan kecanggihan teknologi ini pasti menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kepada pengunjung yang belum pernah melihat sendiri bangunan ini secara dekat pastinya tidak akan melepaskan peluang jika berada di Putrajaya.

Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ini sering kali menjadi pilihan penganjuran program-program antarabangsa seperti persidangan pertubuhan persidangan Islam (OIC), Pertandingan Bunga Api Antarabangsa (MIFC), persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam dan banyak lagi. Lokasi yang strategik di atas bukit memberi sudut pemandangan indah telah menjadikan bangunan ini sebagai lokasi penggambaran filem dan juga iklan komersial. Kemudahan dewan, bilik mesyuarat, restoran, surau dan pelbagai lagi pastinya memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang ke sini.

Lokasi: Presint 5, 62000, Putrajaya


12. District 21 IOI City Mall Putrajaya

District 21 Putrajaya
Sumber: District 21

Bagi sesiapa yang gemarkan aktiviti pengembaraan mencabar, District 21 pasti tidak akan menghampakan anda, dengan 11 daya tarikan utama yang tersedia. Taman tema ini mempunyai keluasan sehingga 70,000 kaki persegi dan terletak di atrium berhawa dingin IOI City Mall Putrajaya yang sudah semestinya membuatkan anda merasa lebih selesa tanpa perlu berpanas terik matahari. Ianya merupakan satu-satunya taman tema pertama di Malaysia yang berkonsepkan pengembaraan dan sudah semestinya akan menarik hati pengunjung.

District 21 menyediakan 11 tarikan kepada pengunjung. Pertama, Power Station tersedia kepada pengunjung yang sukakan cabaran dan meminati aktiviti wall atau rock climbing pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba. Pelbagai jenis reka bentuk wall climbing disediakan kepada pengunjung pasti memberi cabaran untuk menawan tembok tersebut. Seterusnya, Roller Glider menjanjikan pengalaman berbeza. Di bahagian Roller Glider pengunjung boleh merasai perasaan seolah-olah terbang bebas di udara.

Go Pedal pula lebih sesuai bagi kanak-kanak yang ingin merasai peluang untuk memandu sendiri kereta mainan dan pasti kanak-kanak akan bergembira dengan pengalaman baharu yang dimiliki. Seterusnya, Pump Track yang ditawarkan kepada pengunjung yang meminati aktiviti berbasikal lasak. Laluan beralun direka khas dengan benggolan yang membolehkan anda menunggang berterusan tanpa perlu mengayuh. Pengunjung boleh memilih untuk menunggang basikal, skuter atau skateboard dengan peralatan keselamatan seperti topi keledar, siku dan alas lutut untuk keselamatan turut disediakan kepada pengunjung.

Low Ropes pula bagi pengunjung cilik yang ingin merasai cabaran seperti di Sky Trail tetapi dalam versi mini, Low Ropes direka khas dengan sistem keseimbangan bagi membolehkan kanak-kanak menghabiskan 7 bahagian tanpa perlu bergantung kepada sistem keselamatan yang disediakan. Trampoline/Launch Pad direka dengan keluasan yang besar seolah-olah padang amat sesuai untuk semua peringkat umur, bermain hanya untuk menambahkan keseronokan dengan anak-anak sambil berlatih fizikal untuk pengembaraan seterusnya. Satu lagi peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan iaitu The Maze. Bagi peminat filem “Maze Runner” jika ingin merasai perasaan keterujaan dan cabaran jangan lepaskan peluang untuk ke The Maze. Direka dengan ketinggian lebih daripada 10 meter, terdapat terowong, sangkar dan cabaran di setiap laluan yang sukar, amat menguji tahap kesabaran dan kecekalan pengunjung. Keseluruhan Maze ini direka secara tertutup tanpa perlu menggunakan jaring keselamatan. The Maze versi mini lengkap dengan gelongsor juga disediakan untuk anak-anak yang ingin merasai cabarannya.

Seterusnya, Free Fall, ingin merasai pengalaman gentar melakukan penerjunan payung udara dalam kapal terbang Free Fall tidak akan menghampakan anda. Perasaan cemas tanpa perlu mempertaruhkan nyawa pasti akan dirasai di sini. Sky Trail pula yang disediakan di District 21 ini merupakan cabaran tali yang terbesar di Malaysia, menawarkan 23 elemen berbeza di setiap laluan untuk pengunjung memilih tahap halangan yang disediakan. Tubby Ride pasti menimbulkan keseronokan ketika menggelongsor menggunakan pelampung. Dengan permukaan gelongsor istimewa di Tubby Ride’s ini pengunjung akan dapat merasai perasaan yang sama berada di kawasan lunjur salji seperti di luar negara. Carousel pula dibina adalah untuk pengunjung cilik, District 21 tidak menghampakan anak anda dengan menyediakan Carousel 24 kerusi dengan pelbagai jenis haiwan, bukan sahaja kuda, tetapi harimau, burung unta, badak sumbu dan banyak lagi.

Pengalaman berada di District 21 ini tidak sepatutnya dilepaskan jika berkunjung ke Putrajaya. Lokasi ini disediakan juga dengan harga yang berpatutan hanya RM 58.00 seorang pada hari Isnin hingga Jumaat, RM75.00 pada hari Sabtu dan ahad, cuti sekolah serta cuti umum bermula 12 tengah hari sehingga 8 malam dan hari Sabtu dan ahad, cuti sekolah serta cuti umum pula bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Lokasi: 6, Tingkat 1, IOI City Mall, 62502 Putrajaya


11. Jambatan Seri Wawasan

Jambatan Seri Wawasan
Sumber: Evelyn Quek / CC By 2.0

Jambatan Seri Wawasan atau dikenali juga sebagai Jambatan Putrajaya turut menjadi satu daya tarikan pelancong untuk datang ke Putrajaya. Keunikan reka bentuknya seakan membawa para pengunjung merasai suasana yang berbeza di negara ini kerana jambatan tersebut merupakan satu-satu jambatan yang di reka sebegitu di negara ini. Jambatan Seri Wawasan yang berkepanjangan 430 meter ini bertambah serinya apabila dilawati pada sebelah malam dengan terpamer pancaran cahaya berwarna yang telah menaikkan lagi keindahan binaan tersebut.

Lokasi ini tidak hanya diminati kerana keindahannya namun juga disebabkan oleh latar suasananya yang turut menghiasi babak dalam filem tempatan yang seterusnya menarik minat pengunjung untuk menyaksikan sendiri keunikan jambatan Seri Wawasan. Destinasi pelancongan ini harus ditanggapi sebagai sebuah lokasi yang berfalsafah jika dinilai secara maknawi bahawa jambatan merupakan sebuah perhubungan yang menyatukan antara dua kawasan daratan. Dan ini diterjemahkan kepada jambatan Seri Wawasan yang dibina dengan penuh kecantikan dan kesenian menunjukkan hubungan terjalin antara manusia penuh dengan keindahan.

Lokasi: Lebuh Wawasan, Presint 2, 62100 Putrajaya


10. Tasik Putrajaya

Tasik Putrajaya
Sumber: Phalinn Ooi / CC By 2.0

Pemandangan yang mengasyikkan apabila berada di tasik Putrajaya dengan keindahan alam cipta Ilahi dan pastinya akan menjemput ketenangan serta memujuk hati setiap pengunjung di tasik tersebut. Kebersihan tasik Putrajaya yang berkeluasan 650 hektar ini pastinya akan memukau pandangan pengunjung yang juga merupakan tasik buatan manusia. Tasik ini menjadi landskap bandar dalam taman dengan menjanjikan ketenangan kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti riadah bersama keluarga seperti memancing dan sukan air.

Tasik ini mula dibina pada tahun 1998 dan siap sepenuhnya pada tahun 2002 apabila dua buah sungai yang diempang iaitu Sungai Chuau dan Sungai Bisa telah membentuk sebuah tasik. Dengan kewujudan tasik ini pastinya akan memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri keseronokan beriadah di tasik Putrajaya sebagai sebuah tasik yang berada di pusat pentadbiran negara. Keindahan tasik Putrajaya ini pastinya mampu menarik minat pengunjung untuk datang bersama keluarga kerana lokasi yang menjanjikan ketenangan dengan pokok-pokok menghiasi tasik buatan manusia ini. Tasik Putrajaya atau juga dikenali sebagai “Bandar dalam Taman” perlu diterokai sendiri dan dihayati sebagai sebuah destinasi pelancongan berfalsafah dengan mengilhamkan pemandangan alam semula jadi yang perlu dijaga dan dipertanggungjawabkan.


9. Cruise Tasik Putrajaya

Cruise Tasik Putrajaya
Sumber: Cruise Tasik Putrajaya

Sebuah lagi lokasi tarikan pelancong di Putrajaya iaitu Cruise Tasik Putrajaya. Sebut sahaja perkataan “Cruise” pastinya akan terbayang sebuah kapal mewah yang sedang membelah samudera membawa penumpang bercuti dengan penuh kemewahan. Kebanggaan pasti terasa apabila turut bersama dalam pelayaran tersebut sebagai percutian idaman semua. Namun “cruise” yang terdapat di tasik Putrajaya ini pasti menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung. Cruise yang dimaksudkan di sini adalah perahu tradisional diperbuat khas dari kampung Duyung, Terengganu.

Dengan seni ukir Melayu yang terdapat pada bumbung dan bentuk perahu itu sendiri mempamerkan keunikan yang hanya dapat dirasai di Cruise Tasik Putrajaya. Pengunjung yang belum pernah menaik perahu tradisional Melayu boleh datang ke lokasi ini yang menawarkan pemandangan indah semasa menaiki perahu tersebut. Cruise Tasik Putrajaya akan membawa anda menikmati pemandangan menarik daripada sudut pandang tasik iaitu masjid Putrajaya, Istana Darul Ehsan Palace, Jambatan Wawasan, Monumen Millennium Monument, Istana Kehakiman dan Jambatan Putera. Selain dibawa bersiar-siar menaiki perahu pengunjung juga dapat menikmati keenakan makanan yang disediakan. Pakej makan di atas Cruise Tasik Putrajaya disediakan kepada pengunjung di waktu tengah hari dan malam serta amat bersesuaian kepada pengunjung yang ingin meraikan detik istimewa bersama pasangan mahupun ahli keluarga.

Lokasi: Jeti Putra, Jambatan Putra, Presint 1, 62000 Putrajaya


8. Flyboard

Flyboard Putrajaya
Sumber: Jet Star Racing

Pengalaman berharga juga ditawarkan dengan nilai yang berharga. Ungkapan ini difikirkan sesuai untuk menggambarkan dengan apa yang telah ditawarkan di Flyboard Putrajaya. Flyboard merupakan teknologi daripada Perancis yang dicipta pada tahun 2011 membolehkan pengunjung merasai terbang di permukaan udara menggunakan sejenis alat jetpack yang disambungkan kepada jet ski. Bagi memastikan pengunjung dapat merasai pengalaman yang mencabar dan menyeronokkan apabila menaiki Flyboard pengunjung perlu menempah tiket lebih awal secara dalam talian sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh slot.

Pengunjung perlu merebut peluang kerana dalam satu hari hanya 8 slot sahaja dibuka dengan maksimum 3 orang pengunjung. Bagi pengunjung yang pertama kali ingin mencuba Flyboard perlu melepasi latihan keselamatan bersama jurulatih terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kecelakaan yang tidak diingini. Had minimum umur 15 tahun ke atas dan bagi pengunjung cilik yang berumur bawah 18 tahun perlu ditemani ibu bapa atau penjaga untuk menaiki Flyboard. Pakej yang ditawarkan untuk perhidmatan ini berharga daripada RM300 sehingga RM800 mengikut tawaran pakej yang disediakan, walaupun harga yang ditawarkan agak tinggi tetapi pengalaman keseronokan yang dijanjikan tidak akan menghampakan anda.

Lokasi: Putrajaya Maritime Centre, Presint 5, 62200 Putrajaya


7. Alamanda Putrajaya

Alamanda Putrajaya
Sumber: Naim Fadil CC BY-SA 2.0

Percutian anda ke Putrajaya menjadi tidak sah jika tidak berkunjung ke Alamanda Putrajaya yang terletak di Presint 1. Alamanda Putrajaya merupakan pusat membeli-belah yang menawarkan kepada pengunjung pelbagai barangan idaman serta perkhidmatan hiburan seperti pusat bowling dan pawagam. Pengunjung yang datang bersama keluarga pasti tidak mahu terlepas peluang untuk bersuka ria dan melakar detik-detik bahagia dengan membeli sambil berhibur di Alamanda Putrajaya. Pengunjung juga tidak perlu ke lokasi lain jika mahu menikmati makanan kerana di sini juga telah disediakan medan selera yang sangat eksklusif sambil menghayati keindahan alam semula jadi. Justeru, boleh dikatakan bahawa Alamanda Putrajaya merupakan lokasi pilihan keluarga untuk bercuti kerana tawaran hebat dan kemudahan yang disediakan di sini pasti menggembirakan hati pengunjung.

Lokasi: Jalan Alamanda Precinct 1, 62000 Putrajaya


6. Taman Saujana Hijau Putrajaya

Taman Saujana Hijau Putrajaya
Sumber: Postcards From Putrajaya

Taman Saujana Hijau Putrajaya pastinya memukau para pengunjung apabila tiba di lokasi ini. Keunikan taman ini sebagai lokasi pemuliharaan flora dan fauna yang menampilkan tiga konsep yang berbeza untuk dinikmati pengunjung iaitu konsep European Garden, Oriental Garden dan English Garden. Ketiga-tiga konsep ini ditampilkan di kawasan yang berkeluasan 40 hektar. European Garden menyajikan pemandangan di kawasan tanah tinggi yang membolehkan pengunjung menikmati panoramik Putrajaya sejurus tiba di lokasi ini. Suasana direka khusus bercirikan Eropah pasti menaikkan perasaan gembira para pengunjung setibanya di taman ini yang pastinya tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Manakala pengunjung akan dinanti dengan sebuah pavilion bercirikan binaan tradisional negara China apabila tiba di Oriental Garden.

Reka bentuk pintu gerbang, dataran serta seni ukir yang terdapat di lokasi ini pastinya menjanjikan perasaan berbeza sepertinya berada di China. Kesinambungan unsur alam seperti tumbuhan berbunga dan kolam ikan yang dihiasi kerikil kecil dapat menyemarakkan lagi perasaan damai dan tenang kepada pengunjung. Keindahan yang terdapat di English Garden juga pasti akan meninggalkan memori bermakna kepada pengunjung apabila suasana seakan sudah berada Eropah. Pengunjung bertuah juga berkesempatan merakam detik-detik indah flora dan fauna apabila berada ketika di waktu pagi dan petang.

Lokasi: Jalan P11, Presint 11, 62000 Putrajaya


5. My Balloon Adventure

My Baloon Adventure
Sumber: My Balloon Adventure

Satu lagi lokasi yang tidak sepatutnya dilepaskan jika anda berkunjung ke Putrajaya iaitu My Balloon Adventure pastinya akan memberi pengalaman yang luar biasa. Melihat pemandangan Putrajaya daripada sudut pandangan atas pasti menawarkan perasaan berbeza dan akan melakar kenangan indah kepada pengunjung. Harganya yang sedikit tinggi pasti akan berbaloi kerana pengalaman yang bakal dimiliki pengunjung ini setanding dengan apa yang ditawarkan.

My Balloon Adventure Putrajaya ini menyajikan peluang kepada pengunjung yang hanya boleh dirasai di luar negara sahaja namun dengan adanya My Balloon Adventure Putrajaya ini pastinya pengunjung tidak perlu lagi ke luar negara semata-mata untuk merasai terbang menggunakan belon panas. Kepakaran juru pandu belon panas ini juga tidak perlu diragui dan pastinya memiliki kebolehan sama seperti yang terdapat di Eropah atau di Istanbul. Harga yang bermula RM850 seorang ini pastinya berbaloi dengan pengalaman yang sukar diperoleh di Malaysia selain di Putrajaya. Pengunjung diharap tidak akan melepaskan peluang jika bercuti di Putrajaya.

Lokasi: Putrajaya Precinct 2, di depan Skyride Festival Park


4. Taman Cabaran Putrajaya

Putrajaya Challange Park
Sumber: Chun Yu Chung

Taman Cabaran Putrajaya pasti menguji kekentalan stamina pengunjung. Mendengar sahaja nama lokasi ini sudah pun merasai cabaran yang ditawarkan kepada pengunjungnya. Namun kesukarannya pasti tidak akan diketahui jika tidak datang sendiri ke taman ini yang terletak di Presint 5 Putrajaya. Oleh itu, pengunjung tidak seharusnya melepaskan peluang ini untuk beraksi dan menguji kemampuan diri menggunakan kemudahan yang tersedia. Taman Cabaran Putrajaya menawarkan kepada pengunjung untuk menguji kebolehan diri dengan memanjat Wall Climb. Bayaran serendah RM6 seorang bagi dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak yang ini pasti berbaloi.

Keselamatan di Taman Cabaran Putrajaya ini juga tidak perlu diragukan kerana terdapat peralatan keselamatan yang boleh disewa dengan harga yang berpatutan seperti kasut, tali, beg dan peralatan memanjat yang lain kepada pengunjung. Bagi yang meminati sukan berbasikal pula anda pasti akan teruja dengan apabila Taman Cabaran Putrajaya turut menawarkan Mountain Bike Trail. Laluan penuh cabaran ini pasti menjelmakan keterujaan pengunjung dan mampu memupuk minat kepada yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini. Satu lagi sukan yang sangat diminati generasi muda iaitu Skate Board. Penggemar sukan ini sepatutnya tidak melepaskan peluang untuk beraksi di Taman Cabaran Putrajaya apabila lokasi ini menawarkan gelanggang Skate Board yang jarang diperoleh di tempat lain.

Lokasi: Jalan P5, Presint 5, 62200 Putrajaya


3. Muzium Alam Semula Jadi

Muzium Alam Semulajadi
Sumber: Perbadanan Putrajaya

Muzium merupakan tempat menyimpan khazanah bernilai yang boleh memberi kenangan berharga kepada pengunjung. Muzium Alam Semula Jadi Putrajaya menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung apabila kesemua artifak alam semula jadi yang berada ini sini merupakan kehidupan sebenar yang diawetkan untuk tatapan pengunjung. Haiwan liar yang hampir pupus di negara ini seperti harimau, kancil dan sebagainya terdapat di muzium ini. Pengunjung boleh membawa anak-anak mereka untuk berkenalan secara dekat hidupan liar ini yang barangkali hanya pernah dilihat melalui kaca television sahaja atau juga di zoo. Namun perasaan berbeza pasti dirasai jika melawat ke Muzium Alam Semula Jadi Putrajaya bertempat di presint 15 ini apabila dapat menatap secara dekat haiwan liar yang diawetkan. Rangka hidupan laut terbesar iaitu ikan paus juga terdapat di sini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali secara lebih dekat dengan hidupan air yang terbesar di dunia itu. Pelbagai pengetahuan baru berkaitan hidupan liar pasti akan diperoleh jika pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri keunikan Muzium Semula Jadi Putrajaya ini.

Lokasi: Jalan P5/5, Presint 1, 62000 Putrajaya


2. Dataran Putrajaya

dataran putrajaya
Sumber: PPJ.gov.my

Dataran Putrajaya, tempat yang perlu dilawati kerana pemandangan yang menarik berhampiran dengan masjid dan tasik Putrajaya. Pengunjung dapat bersantai bersama keluarga dengan menikmati suasana meriah dengan aktiviti berbasikal, skuter, kasut roda dan sebagainya. Ruangan yang luas menjanjikan keselesaan kepada pengunjung tanpa perlu bersesak-sesak untuk bersantai bersama keluarga. Persekitaran yang bersih dan terbuka pasti menjadi pilihan untuk beriadah.

Lokasi: Presint 3, 62000 Putrajaya


1. Perdana Putera dan Seri Perdana

Putra Perdana Putrajaya
Sumber: Stefan Fussan / CC BY-SA 2.0

Perdana Putera merupakan bangunan Jabatan Perdana Menteri yang bertempat di Presint 1, Putrajaya. Keunikan reka bentuk yang bercirikan seni bina Islam dengan menampilkan kubah berwarna hijau sebagai lambang kebesaran Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Bangunan ikonik ini dibina berhampiran dengan masjid Putrajaya dan Dataran Putrajaya pastinya mempunyai daya tarikan tersendiri sebagai bangunan rasmi individu nombor satu di Malaysia. Kemegahan bangunan ini dapat dilawati oleh orang awam apabila bangunan ini dibuka bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang. Sehubungan itu, Seri Perdana juga merupakan bangunan kediaman rasmi Perdana Menteri yang mempunyai reka bentuk seakan Perdana Putera. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1999 menjadi kediaman rasmi ketika ini Tun Mahathir Mohamad dan kini didiami oleh Yang Amat Berhormat Dato Sri Najib Tun Razak. Keunikan kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia ini menunjukkan kewibawaan kerajaan menjadikan kediaman tersebut sebagai salah satu daya tarikan pelancongan di Putrajaya

Lokasi: Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000 Putrajaya

Rumusan yang dapat kami katakan bahawa percutian anda yang lebih bermakna jika anda memilih untuk berada di Putrajaya. Keseronokan di samping menimba ilmu dan pengalaman baharu pastinya akan tercapai dengan melawati 17 tempat menarik di Putrajaya yang kami ilhamkan sebagai “Percutian berfalsafah bersama keluarga” di Putrajaya. Pengurusan kewangan anda juga pasti lebih terjamin dengan kadar perbelanjaan untuk menikmati keseronokan di Putrajaya adalah sangat berpatutan. Sehubungan itu, kami mengucapkan selamat menikmati pengalaman berharga di Putrajaya bersama keluarga tersayang dan terima kasih kerana melawat di laman web Maisinggah.com.



Related Posts