23 Tempat Menarik Di Sarawak | Panduan Bercuti Ke Bumi Kenyalang

Anda ingin lari dari hiruk-pikuk kehidupan di kota? Ingin mencari ketenangan dengan menyelami keindahan alam semulajadi? Anda akan dapat merasakannya apabila menjejakkan kaki ke tanah Sarawak, sebuah negeri yang terbesar di Malaysia yang bertempat di kepulauan Borneo. Untuk pengetahuan anda, Sarawak mengukir sejarah yang sangat penting tentang awal kehidupan manusia, bumi tua ini penuh dengan warna-warni yang menunggu untuk diterokai.

Keindahan flora dan fauna Sarawak tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Permukaan muka buminya dengan hutan sebagai aset yang penting bagi Sarawak menjadikan ia sebuah negeri yang menjadi habitat kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan. Kewujudan Taman Negara yang banyak membuka peluang kepada para pelancong untuk bukan sahaja menikmati habitat semulajadi malahan pelbagai aktiviti turut dapat dijalankan secara tidak langsung contohnya meredah hutan, perkhemahan, mendaki dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, anda dapat lihat bahawa di Sarawak masih banyak lagi penduduk yang mengekalkan gaya hidup tradisional, anda dapat mempelajari tentang kepelbagaian etnik yang wujud di Sarawak misalnya etnik Bidayuh, Orang Ulu, Iban, Melanau, Penan, Kelabit, dan lain-lain yang secara keseluruhannya adalah 27 etnik. Kepelbagaian etnik bermakna pelbagai hasil kraftangan yang kreatif dapat anda lihat, pelbagai jenis makanan yang boleh dicuba dan tentunya pelbagai budaya yang unik dapat anda saksikan. Ini sudah memadai untuk membuat anda mula menyimpan duit agar dapat menikmati seribu satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan di sini.

Disini kami telah menyenaraikan 23 tempat menarik di Sarawak untuk dilawati semasa berada di sana nanti.

23. Taman Negara Bako

Taman Negara Bako
Sumber: Sarawak Tourism

Taman Negara ini adalah yang terkecil di Sarawak, namun, ia menempatkan pelbagai jenis hidupan liar termasuklah monyet belanda  yang memiliki hidung yang besar ataupun dipanggil monyet proboscis yang hanyalah terdapat di Borneo. Di samping itu, terdapat juga pantai, laut, paya bukau dan kawasan air terjun untuk anda melakukan pelbagai aktiviti riadah. Trek-trek yang terdapat di Taman Negara ini agak mencabar, jadi untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun perlulah diawasi pergerakan mereka. Untuk menjalankan aktiviti di sini, anda perlulah menghubungi pihak Jabatan Perhutanan Sarawak terlebih dahulu.

Harga:  Tiket Bas Asia No  1 dari Kuching ke Terminal Bako RM3.50 sehala | Harga tiket bot dari Terminal Bako ke Taman Negara Bako RM15 sehala | Park Conservation fee RM10

Lokasi: Forest Department Sarawak, Bangunan Wisma Sumber Alam, Jalan Stadium, Petra Jaya 93660, Kuching


22. Hutan Simpan Semenggoh

Hutan-Simpan-Semenggoh
Sumber: Kamek Anak Sarawak

Anda teringin melihat orang utan? Di sinilah tempatnya. Jaraknya dari bandar Kuching hanyalah 20 km. Orang utan disini diberikan latihan oleh ranjer-ranjer untuk hidup di dalam hutan sebelum dilepaskan ke hutan yang berada di sekitar. Orang utan akan pulang ke pusat pemeliharaan pada pukul 9 – 10 pagi dan 3 – 3.30 petang untuk makan, jadi waktu-waktu ini adalah yang terbaik untuk anda melihat keletah orang utan yang amat menghiburkan hati di hutan ini.

Bayaran Masuk: RM10

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 4.45pm)

Lokasi: Jalan Puncak Borneo, 93250 Kuching


21. Masjid Jamek Kuching

Masjid-Jamek-Kuching
Sumber: Kamek Anak Sarawak

Masjid ini turut digelar Masjid Lama Negeri Sarawak dan ia berada di kawasan kota lama berdekatan dengan sungai Kuching. Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina di Sarawak pada tahun 1847. Dahulunya ia dibina menggunakan kayu, dindingnya dibuat daripada papan dan atapnya pula daripada kayu bulian. Namun, masjid ini diperbaharui semula pada tahun 1968 dengan dinding yang berwarna merah jambu dan kubah yang keemasan. Anda boleh melihat keindahan masjid ini dari Waterfront lebih-lebih lagi pada waktu senja.

Lokasi: Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya, 93050 Kuching


20. Taman Negara Gunung Gading

Taman Negara Gunung Gading
Sumber: Riduan Bujang

Taman Negara Gunung Gading ini merupakan tempat pemuliharaan Rafflesia yang pada mulanya dijalankan secara tertutup, namun Jabatan Taman Negara mula membukanya kepada orang ramai supaya dapat melihat khazanah alam ini dengan lebih dekat lagi. Rafflesia merupakan bunga yang terbesar di dunia kerana kemampuannya untuk membesar sehingga satu meter diameter. Sekiranya anda teringin melihat bunga ini ketika ia mengembang besar, waktu yang terbaik adalah semasa musim hujan.

Untuk pengetahuan anda, bunga ini akan mengeluarkan bau yang agak pelik apabila mengembang untuk menarik perhatian serangga supaya terbang ke atasnya. Selain itu, daripada  Taman Negara ini anda dapat melihat pemandangan bandar Lundu serta pantai di Siar dan Pandan yang begitu indah sekali. Perjalanan dari Kuching ke Taman Negara ini mengambil masa selama 2 jam.

Bayaran Masuk: RM20

Waktu Operasi: 8.00am – 5.00pm

Lokasi: Lundu, Kuching


19. Muzium Kucing

Muzium Kucing Sarawak
Sumber: Best Places to Travel In Kuching

Muzium ini adalah muzium  kucing yang pertama di dunia. Di sini anda dapat melihat foto-foto, seni dan cenderahati yang berkonsepkan kucing. Terlalu banyak koleksi yang berkaitan dengan kucing yang dikumpulkan di sini iaitu sekitar 4000 dan ke atas. Jadi, untuk anda yang menyayangi kucing, bolehlah meluangkan masa anda ke sini, masuk juga percuma!

Bayaran Masuk: Percuma | RM3 – RM5 untuk mengambil gambar.

Waktu Operasi:  Setiap hari kecuali cuti umum (9am – 5 pm)

Lokasi: Bangunan DBKU, Bukit Siol, Jalan Semariang, Petra Jaya, 93050 Kuching


18. Kuching Wetlands National Park

Kuching Wetlands National Park
Sumber: PKS SMK Tun Abang Haji Openg

Taman ini terdiri daripada laut, pantai, dan ekosistem air tawar. Terdapat pelbagai jenis binatang liar di kawasan yang berpaya bukau ini  seperti proboscis monkey iaitu monyet yang berhidung besar, helang laut, buaya dan lain-lain.

Kuching National Wetlands Park ini terletak lebih kurang 15 km dari Kuching dan 5 km dari Pantai Damai. Kawasan ini juga berdekatan dengan muara Sungai Salah dan Laut Sibu. Untuk menuju ke taman ini anda akan dibawa menaiki bot dan beberapa orang pemandu pelancong akan membantu anda untuk menerokai taman ini.


17. Kuching Civic Centre

Kuching Civic Centre
Sumber: Sueeva828

Dari bangunan yang futuristik ini anda dapat menikmati pemandangan 360 darjah bandar Kuching dan kawasan sekeliling sepuas-puasnya. Bangunan ini menempatkan planetarium yang pertama di Malaysia iaitu Planetarium Sultan Iskandar. Bayaran masuk ke Civic Centre ini hanyalah RM2 sahaja dan anda dapat melihat pemandangan yang menyegarkan mata seperti Gunung Serapi, Santubung dan gunung-gunung lain yang wujud di Kalimantan.

Bayaran Masuk: RM2

Telefon: +6082 415806

Lokasi: Jalan Taman Budaya, Kuching 93400


16. Taman Negara Kubah

Taman Negara Kubah
Sumber: Aiman Zhafransyah

Taman Negara Kubah memiliki banyak tarikannya yang tersendiri seperti gunung, paya bakau dan pelbagai jenis binatang. Tambahan lagi di sini juga menempatkan Pusat Hidupan Liar Matang yang mana haiwan-haiwan yang terancam dipelihara sebagai contoh orang utan, musang, beruang, dan juga beberapa spesies burung yang amat dikenali di Sarawak antaranya burung Kenyalang dan helang laut.

Untuk anda yang menyukai aktiviti lasak, anda boleh melakukan aktiviti jungle trekking dan mendaki Gunung Serapi. Untuk jungle trekking, lima laluan disediakan kepada anda untuk diredahi iaitu Palmetum Trail, Waterfall Trail, Rayu Trail, Selang Trail dan Belian Trail. Taman ini juga terdapat air terjun untuk anda bermandi-manda setelah hari anda dipenuhi dengan aktiviti yang memenatkan.

Anda masih lagi berfikir dua kali untuk pergi atau tidak ke sini? Untuk menaikkan lagi semangat anda, Taman Negara Kubah ini pernah dijadikan lokasi penggambaran bagi dua filem Hollywood iaitu Farewell to the King yang dilakonkan oleh Nick Norte dan The Sleeping Dictionary lakonan Jessica Alba. Ia juga merupakan Taman Negara yang terkenal di dunia kerana seorang ahli botani yang terkenal, Odoardo Beccari mendokumentasikan di dalam bukunya, The Great Forest of Borneo bahawa spesies tumbuhan palma yang tumbuh di sini adalah antara yang terbaik di dunia.

Anda boleh menginap di chalet yang disediakan di Taman Negara ini ataupun di homestay yang berada di sekitar Kampung Matang.

Telefon:  +6 082 248088 | +6 082 370 422 | +6 082 374869

Lokasi: Taman Negara Kubah Jalan Lundu-Sampadi, 93050 Kuching


15. Fairy Cave & Wind Cave

Fairy Cave Bau
Sumber: Kathryn Narciso

Fairy Cave atau Gua Pari-Pari ini dinamakan sempena bentuk batu stalagmite yang berada di bahagian pintu masuk gua yang strukturnya berbentuk seperti dewa bagi masyarakat Cina.  Terdapat tangga yang disediakan untuk menaiki gua tersebut. Gua ini juga memiliki kisahnya tersendiri dimana dikatakan bahawa pada dahulu kala terdapat sekumpulan manusia yang tinggal di situ, namun, mereka kerap mendera kanak-kanak yang menyebabkan mereka disumpah menjadi batu oleh dewa di situ. Kebenaran kisah ini masih tidak diketahui namun terdapat beberapa batu yang berbentuk menyerupai manusia yang boleh anda jumpa di dalamnya. Kemasukan ke dalam gua ini adalah percuma.

Wind Cave adalah sebuah gua yang diberikan nama sedemikian kerana terowong di dalam gua ini adalah tempat laluan angin yang masuk dari satu ruang dan keluar ke ruang gua yang lain. Anda akan jatuh cinta melihat pemandangan air yang mengalir serta kelibat kelawar-kelawar yang berkeliaran di dalam gua ini.

Laluan di dalam gua adalah agak gelap, dinasihatkan agar anda membawa lampu suluh sendiri. Ia juga boleh disewa dengan harga RM3.

Bayaran Masuk: Dewasa RM3 | Kanak-kanak RM1.50

Waktu Operasi: Setiap hari (8.30am – 4.30pm)

Lokasi: 94000 Bau, Sarawak


14. Borneo Highland Resort

Borneo Highland Resort
Sumber: Borneo Highlands Resort

Borneo Highland Resort ini terletak di Borneo Highland, di sini juga terdapat Hornbill Golf & Jungle Club. Sebenarnya ia agak mencabar untuk bermain golf di sini kerana cuaca yang begitu sejuk dan pandangan juga tidak begitu jelas kerana dikelilingi dengan kabus.

Resort ini terletak lebih kurang 80 km dari Kuching dan berdekatan dengan sempadan Sarawak-Kalimantan. Ketinggian Borneo Highland ini adalah dalam 600 – 1000 meter. Anda dapat menyaksikan acara tahunan seperti Perlumbaan Burung Negeri Sarawak dan Acara Memerhati Burung di kawasan tanah tinggi ini. Jika anda teringin melihat kehidupan masyarakat etnik Bidayuh, anda boleh melawat Rumah Panjang Annah Rais yang terletak di kaki bukit Borneo Highland.

Lokasi: Lorong Kota Padawan 10a, 94200 Kuching


13. Pantai Damai

Pantai Damai Sarawak
Sumber: Dayuyuna

Berdekatan dengan pantai ini anda dapat melihat hutan hujan tropika  yang paling tua di dunia dan menikmati pemandangan indah pokok-pokok hutan tropika yang mengelilingi Gunung Santubong. Anda boleh menginap di Damai Beach Resort yang menyediakan tempat tinggal yang sangat selesa.

Setelah puas melihat pemandangan pantai yang menghadap Laut China Selatan ini anda bolehlah melawat Kampung Budaya Sarawak yang berada berdekatan dengan pantai.

Lokasi: Teluk Bandung Santubong, 93756 Kuching


12. Taman Buaya Jong

Taman Buaya Jom
Sumber: Jong Crocodile Farm

Taman buaya Jong ini adalah yang terbesar di Malaysia, terdapat lebih dari seribu ekor buaya yang dijaga disini. Anda dapat melihat aksi buaya menyambar bangkai ayam yang diletakkan pada tali rentang sekiranya anda datang pada waktu buaya-buaya ini diberikan makanan iaitu pada pukul 11 pagi dan 3 petang setiap hari.

Anda boleh juga melawat mini zoo yang terdapat disini untuk melihat haiwan-haiwan seperti monyet, biawak monitor, musang, ular sawa dan banyak lagi.

Terdapat juga Muzium Buaya yang turut mempamerkan tulang buaya yang diberi nama Bujang Senang yang pernah tinggal di Sungai Batang Lupar, Sarawak sejak tahun 1941. Buaya ini amat terkenal dalam kalangan masyarakat kerana telah ramai manusia yang menjadi mangsanya.

Bayaran Masuk: Dewasa RM22 | Kanak-kanak RM11

Waktu Operasi: Setiap hari (9.00am – 5.00pm)

Lokasi: Siburan, 29Km Kuching-Serian Road, 93250 Kuching


11. Taman Orkid Kuching

Orchid Garden Sarawak
Sumber: Kinga Jurasz

Taman Orkid Kuching ini bertempat di seberang sungai dari Waterfront. Anda boleh menaiki bot kayu yang dipanggil Penambang untuk menuju ke Taman Orkid ini dengan harga hanya RM0.50 dan perjalanannya mengambil masa selama 15 minit. Jangan lupa untuk membawa kamera anda bersama dan sekiranya anda memiliki kamera yang mampu menangkap gambar mikro yang cantik adalah satu kelebihan kerana bunga-bunga orkid yang terdapat di taman ini amatlah fotogenik.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (9.30am – 6.00pm)

Telefon: +6082-446688

Lokasi: Orchid Park, Petra Jaya, 93050 Kuching


10. Tugu Kuching

Tugu Kuching
Sumber: Friends of Johor

Tugu Kuching ini mewujudkan suasana yang unik kepada negeri Sarawak, memang tak sah sekiranya anda datang ke Sarawak tanpa bergambar dengan tugu-tugu kucing yang ada di sini. Tugu ini berada di hadapan pusat membeli-belah dan hotel-hotel di Kuching. Sebenarnya, nama Kuching ini diberi berdasarkan kisah bahawa pada zaman dahulu terdapat banyak kucing hutan yang wujud di sekitar sungai di situ ketika kawasan ini masih dipenuhi hutan.

Lokasi: 93100 Kuching


9. Muzium Sarawak

Muzium Sarawak
Sumber: Joe Tam

Untuk yang berperasaan ingin tahu dan mengenali Sarawak dengan lebih mendalam lagi, lawatilah Muzium Sarawak. Di sini, anda dapat melihat koleksi barangan yang penting dalam sejarah di Asia Tenggara. Bangunan muzium ini dibina mengikut rekabentuk dewan bandaraya di Perancis. Muzium ini memiliki beberapa bahagian yang berbeza dan salah satu bahagiannya telah dibuka sejak tahun 1891. Jadi, bukan sahaja barangannya yang memiliki nilai yang antik malahan bangunannya juga begitu. Untuk bahagian muzium yang terbaru, bahagian atasnya digunakan untuk program rasmi, tingkat bawah pula terdapat akuarium, memorial pahlawan dan taman botani.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi:  Isnin – Jumaat (9.00am – 4:45pm) | Sabtu – Ahad (10.00am – 4.00pm)

Lokasi: Jalan Tun Abang Haji Openg, 93000 Kuching


8. Sarakraf Pavilion

Sarakraf Pavillion
Sumber: Sarawak Tourism

Pavilion ini merupakan bangunan rumah agam yang mempunyai rekabentuk zaman jajahan Cina (Chinese-colonial) yang mana didalamnya terdapat pelbagai kraftangan dan bengkel. Anda dapat melihat demo untuk lebih daripada 10 jenis kraftangan asli Sarawak serta melihat persembahan tarian tradisional masyarakat Sarawak. Anda juga boleh menyertai kelas-kelas membuat kraftangan dan kelas tarian tradisional yang ditawarkan disini. Seronok bukan?

Lokasi: Sarakraf Sdn Bhd (133055-W) No 78, Jalan Tabuan, 93100 Kuching


7. Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh

Rumah-Panjang-Ann-Rais
Sumber: Borneo Interland

Rumah Panjang ini dibina pada tahun 1818. Rumah ini terdapat dua bahagian yang dipisahkan oleh sungai. Rumah klasik ini turut memegang rekod sebagai rumah panjang yang paling panjang di Sarawak. Apabila anda melawat rumah panjang ini, anda akan dapat melihat kehidupan masyarakat Bidayuh. Dikatakan bahawa rumah panjang ini pada awalnya dibina untuk mengelakkan ancaman penyamun kerana memudahkan penduduk  untuk berkumpul menentang mereka.

Rumah Panjang ini terletak di kaki bukit Borneo Highland dan jaraknya dari Kuching adalah lebih kurang  90 km. Anda boleh juga melawat kawasan kolam air panas yang berada berdekatan dengan Rumah Panjang ini.

Lokasi: Padawan, Siburan, 94700 Sarawak


6. Muzium Sejarah Cina Sarawak

Chinese_History_Museum
Sumber: Yeo Jiun Tzen / CC BY-SA 4.0

Muzium ini dibina pada tahun 1912 dan pada awalnya bangunan ini digunakan sebagai mahkamah yang dikhaskan untuk kaum Cina sehingga tahun 1921. Pada tahun 1993, Muzium ini dirasmikan oleh Menteri Muda Kebudayaan, Belia dan Sukan, YB Alfred Yap Chin Loi. Anda dapat mempelajari asal-usul etnik-etnik Cina yang datang ke Sarawak serta mengetahui lebih banyak lagi perihal kemahiran dan seni budaya mereka.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am – 4.00pm) | Hari Pertama Cuti Umum, Ulang Tahun T.Y.T, Hari Pekerja & Hari Malaysia (Tutup)

Lokasi: Jalan Tunku Abdul Rahman, 93756 Kuching


5. Muzium Tekstil

Muzium Tekstil Sarawak
Sumber: Joey Tam

Muzium ini memiliki senibina yang sangat unik hasil gabungan pengaruh Renaissance Inggeris dan Penjajah British. Bangunan ini dibina pada tahun 1907 dan pada awalnya ianya digunakan sebagai Pusat Perubatan dan seterusnya sebagai Pejabat Jabatan Pendidikan. Kemudian pada Ogos 2000, muzium ini mula dibuka kepada orang ramai.

Sekiranya anda teringin mengetahui bagaimana tekstil-tekstil Sarawak dibuat, di muzium ini anda akan dapat melihat proses tekstil ini dihasilkan dari awal penyediaan sehinggalah ditenun menjadi sehelai kain. Pastinya, di muzium ini anda turut dapat melihat koleksi tekstil tradisional dan moden Sarawak. Koleksi tekstil dan pakaian disini dihasilkan oleh etnik masyarakat Sarawak sendiri contohnya daripada masyarakat Iban adalah Pua Kumbu dan daripada masyarakat Melayu pula adalah songket.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am– 4.00pm)

Lokasi: Jalan Tun Abang Haji Openg, 93000 Kuching


4. Pasar Serikin

Pasar Serikin
Sumber: Sarawak Edition

Perjalanan yang diambil dari  bandar Kuching ke Pasar Serikin adalah dalam 1 jam. Walaupun begitu, pasar ini tetap menarik ramai pelanggan kerana barangan kraftangan yang dijual di sini adalah dalam harga yang rendah sekali. Antara kraftangan yang anda boleh temui di sini adalah kain batik, tikar, bubu, makanan tradisi dan bermacam lagi. Anda dinasihatkan untuk  bertolak ke pasar ini dari Kuching pada pukul 8 pagi lagi kerana peniaga-peniaga pasar akan mula mengemaskan barang untuk pulang sebaik sahaja pukul 12 tengahari.

Waktu Operasi: Sabtu & Ahad

Lokasi: Serikin, 94000 Bau


3. Taman Negara Mulu

Taman Negara Mulu
Sumber: Norshafiza Zakaria

Taman Negara ini memiliki keadaan muka bumi yang agak luar biasa. Anda dapat melihat pelbagai jenis tarikan contohnya kejernihan lingkaran air batu dan gua batu kapur di Taman Negara ini. Terdapat dalam lingkungan 3500 spesies tumbuhan vaskular yang tumbuh disini dan ia memiliki kawasan batu kapur yang paling kerap dijadikan kajian di dunia.

Pelancong yang datang boleh  tinggal di penginapan yang disediakan di Ibu Pejabat Taman Negara Mulu (HQ Park). Dinasihatkan agar anda membuat tempahan bilik dan tour sebelum ke Taman Negara ini agar segalanya berjalan dengan lancar apabila sampai di sini. Terdapat pelbagai jenis tempat tinggal yang terdapat di sini seperti rainforest lodge, hostel, bangle dan rumah panjang.

Diingatkan juga bahawa perjalanan dari HQ ke gua yang menggunakan jambatan kayu adalah agak licin, anda juga perlu melalui anak tangga yang juga licin di dalam gua nanti, kemudian anda perlu merentasi anak sungai dan melalui kawasan berbecak dan berlintah, maka dinasihatkan agar anda menyediakan pakaian dan kasut yang sesuai untuk perjalanan ini.


2. Muzium Kebudayaan Sarawak

Muzium Kebudayaan Sarawak
Sumber: Tourism Malaysia

Muzium ini juga digelar sebagai Muzium Kehidupan. Jika anda ingin merasai sendiri pengalaman kehidupan etnik-etnik di Sarawak, di sinilah tempatnya. Berdasarkan kajian, Sarawak memiliki 27 etnik kesemuanya.  Anda dapat melihat replika rumah serta bangunan etnik-etnik utama di Sarawak sebagai contoh rumah panjang Orang Ulu, rumah tinggi Melanau, pagoda orang Cina dan lain-lain. Di dalam rumah ini anda akan dapat melihat kakitangan yang berpakaian tradisional sedang menjalankan aktiviti seharian mereka. Anda akan diberikan penerangan oleh kakitangan yang berada di muzium tentang kehidupan seharian etnik-etnik ini.

Anda juga dapat melihat persembahan kebudayaan sebanyak dua kali sehari. Sudah pastinya kraftangan tradisional masyarakat Sarawak turut dipamerkan sebagai contoh manik Sarawak dan Pua Kumbu yang merupakan tekstil tradisional kaum Iban.

Sekiranya anda ingin membeli kraftangan anda boleh melawat kedai kraftangan yang ada di muzium ini. Yang menariknya juga, di sini turut disediakan tempat untuk melangsungkan perkahwinan mengikut cara etnik seperti Melayu, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu.

Bayaran Masuk dan Makan: Dewasa RM75 | Kanak-kanak RM40

Waktu Persembahan: 11.30am & 4.00pm

Lokasi:  Kampung Budaya Sarawak, 93010 Kuching


1. Taman Negara Niah

Taman Negara Niah
Sumber: Jalan Jalan Sarawak

Taman Negara Niah memiliki sebuah gua yang termasyur di dunia kerana di sinilah wujudnya penemuan yang penting dalam sejarah dunia dimana di dalam Gua Niah ini, pakar arkeologi telah menjumpai pelbagai bukti kewujudan awal kehidupan manusia di Asia Tenggara iaitu pada 40,000 tahun yang lampau. Penemuan seperti lukisan batu, fosil manusia dan kayak kecil seperti keranda menjadi bukti bahawa gua ini pernah dijadikan sebagai kawasan perkuburan.

Selain daripada menerokai Gua Niah, terdapat banyak lagi aktiviti lain yang boleh dijalankan sebagai contoh jungle trekking melalui Madu Trail, jungle trekking melalui Bukit Kasut Trail, melawat Traders Cave, Kuala Gankira dan Rumah Chang. Anda dinasihatkan untuk membawa lampu suluh, baju hujan atau payung, kasut dan pakaian yang bersesuaian untuk pendakian, penghalau nyamuk, serta topeng muka untuk mengelakkan bau najis kelawar.

Bagi anda yang berminat untuk meneroka Taman Negara Niah, anda boleh menginap di hostel ataupun chalet dengan membuat tempahan melalui Jabatan Perhutanan Sarawak, namun, tiada peralatan memasak yang disediakan di tempat penginapan ini. Terdapat juga hotel bajet yang menyediakan kemudahan makanan di Batu Niah.

Bayaran: Park Conservation Fee RM10 | Harga bot sehala ke Taman Negara RM1

Telefon: +6085 737450, +6085 736648, +6085 737454, +6085 737918

Lokasi: Taman Negara Niah, 98200 Miri


Banyak bukan aktiviti yang anda boleh lakukan di Sarawak? Begitu banyak sekali tempat yang boleh dilawati yang bukan sahaja boleh memberikan anda ketenangan yang dicari tapi banyak perkara yang anda boleh pelajari kerana Sarawak turut kaya dengan tinggalan sejarah. Bukan itu sahaja, kehidupan alam semulajadinya juga dipelihara dengan baik sekali, ini dapat membuka mata kita bahawa ianya sangat penting untuk kita menjaga habitat-habitat flora dan fauna ini untuk sebuah kehidupan yang harmoni dalam membentuk satu ekosistem yang stabil.

Kehidupan harmoni masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik juga dapat membuka mata kita tentang kemampuan untuk kita mewujudkan perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan bertoleransi walaupun kita hidup dalam budaya yang berbeza. Ini tidak mustahil untuk dicapai melalui komunikasi untuk merapatkan jurang dan mendapatkan persefahaman.

Banyak sekali manfaat yang kita boleh dapati dengan melawat Negeri Sarawak. Oleh itu, apa lagi yang anda tunggukan? Mulakan perancangan anda untuk mendapatkan satu percutian yang penuh dengan aktiviti-aktiviti yang pasti tidak dapat dilupakan.

Untuk memudahkan anda membuat persediaan memilih penginapan yang terbaik, kami telah menyediakan senarai 23 hotel murah di Kuching untuk rujukan anda.

berharap artikel ini dapat membantu anda dalam merancang perjalanan anda di Sarawak nanti.  Terima kasih kerana telah meluangkan masa anda untuk membaca sehingga ke hujung penulisan ini. Semoga anda berseronok di bumi Kenyalang nanti!



Related Posts