62 Tempat Menarik Di Langkawi (2023) | Terokai Keindahan Permata Kedah

Jika anda sedang merancang percutian ke Pulau Langkawi, Sudah pasti anda mencari tempat menarik untuk dilawati semasa anda berada di sana.

Kami telah menyediakan senarai 62 tempat menarik di Langkawi berserta dengan sedikit maklumat berkaitan tarikan, harga tiket dan waktu Operasi bagi memudahkan anda merancang percutian anda ke Pulau Langkawi.


Bacaan Yang Disyorkan:


01. Splash Out Langkawi

Splash Out Langkawi Theme Park
Sumber: Zrin Production

Dikelilingi oleh lautan membiru, Splash Out Langkawi menawarkan 12 tarikan berbeza yang dapat membawa anda ke dalam dunia air yang penuh dengan keseronokan.

Antara tarikan yang ada adalah Wild Water (kolam ombak), Sprinkle Island (percikan air gergasi), River of Life (kolam apungan untuk suasana yang lebih santai), Ragin’ Racers (gelongsor curam dengan kelajuan 50km/jam), Poseidon’s Revenge, Splash-Tacular, Perfect Storm, Shipwreck Falls dan banyak lagi.

Mengenai kemudahan yang disediakan, Splash Out Langkawi lengkap dengan restoran, café, kiosk, tandas, locker, surau dan sebagainya.

Alamat: 79, Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan Kelana Mas, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00 am – 6.00 pm) | Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Umum (10.00 am – 7.00 pm)

Harga Tiket:

  • Tiket Masuk (Online): Dewasa RM67.50 | Kanak-Kanak (90 cm – 12 cm) RM49.50 | Warga Emas RM36
  • Sewaan: Gazebo RM80 | Locker (Kecil) RM20 | Locker (Sederhana) RM30

02. Morac Adventure Park

Morac Adventure Park Langkawi
Sumber: Morac Adventure Park

Pernah cuba aktiviti go-kart? Kalau anda melihat go-kart yang terdapat di Morac Adventure Park, mesti dah hilang ‘feel’ bila bergo-kart di tempat lain. Tapi kenapa? Ini kerana di Morac Adventure Park anda dapat menikmati pengalaman go-kart yang bukan calang-calang, tapi yang bertaraf antarabangsa. Kalau anda nak tahu, Morac Adventure Park ini dimiliki dan diuruskan oleh pelumba percubaan F1, Fairuz Fauzy dan juga pelumba GT terkenal Jepun, Genji Hashimoto.

Go-kart yang digunakan bukanlah seperti biasa yang kita lihat, tapi adalah go-kart berjenama Sodikart SR4 yang merupakan buatan Perancis yang dapat memberikan keselesaan dan juga fleksibiliti yang optimum. Go-kart jenis ini dikatakan cukup ringan sehingga membuatkan pemanduan terasa lebih enjoy daripada biasa.

Di samping itu, kepanjangan litarnya juga tidak seperti litar go-kart lain yang hanyalah beratus meter kerana litar di sini cukup panjang untuk memberikan anda kepuasan pemanduan sebenar.

Berkepanjangan 1.5 km, litar ini lengkap dengan 12 selekoh untuk anda tempuhi. Tidak cukup dengan itu, pencapaian anda pada setiap lap akan dicatatkan dan dihantar secara terus ke dalam telefon pintar/emel sekaligus dapat melihat kedudukan anda berbanding dengan pelumba yang lain. Mana nak jumpa go-kart yang hi-tech macam ni di Malaysia?

Alamat: Morac Adventure Park, Jalan Pantai Cenang, Langkawi

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 12.00 am)

Harga Tiket:

  • Sesi: 1 Sesi RM75 | 3 Sesi RM215 | 5 Sesi RM355 | 10 Sesi RM690
  • Perlumbaan: Grand Prix Sprint Race (30 Minit) RM215 | Endurance Race (90 Minit) RM560 | Corporate Events (60 Minit) RM6,600|

03. Ayer Hangat Village Langkawi

Ayer Hangat Village Langkawi
Sumber: Ayer Hangat Village Langkawi

Dah lenguh kepenatan selepas berjam-jam makan angin di sekitar Langkawi yang tak terkira banyaknya tarikannya ni? Itu petandanya anda patut datang ke Ayer ataupun Air Hangat Hot Spring. Seperti nama pekannya, Ayer Hangat Village adalah sebuah tarikan telaga air panas tiga tingkat.

Kalau anda nak tahu, air panas di sini bukanlah air panas biasa, tapi air panas bergaram yang dikatakan satu fenomena alam yang jarang berlaku dan hanya boleh didapati di 3 buah negara lain di seluruh pelusuk dunia.

Lebih sebab untuk anda berendam badan di dalam air panas ini adalah kerana kandungan mineral yang dimilikinya yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti penyakit sendi, kulit dan sebagainya.

Alamat: 16 Jalan Air Hangat, Mukim Air Hangat, 07000 Langkawi

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 10.00 pm)

Harga Tiket: Dewasa RM5 | Kanak-kanak Bawah 12 Tahun (Percuma)


04. Time Travel Imaginarium

Time Travel Imaginarium Langkawi
Sumber: Panorama Langkawi

Tempat menarik di Langkawi kini bertambah lagi dengan pengalaman baharu luar dari konteks akal kita. Mana tidaknya, jika anda ingin menaiki mesin masa, bolehlah berkunjung ke Time Travel Imaginarium.

Di sini anda akan alami dunia maya berteknologi canggih untuk “mengembara masa” macam filem Back To The Future. Cuma anda tak perlu menaiki kereta The DeLorean Time Machine kerana dengan teknologi virtual reality (VR), ia akan membawa anda merentas masa.

Anda akan merentas lima zaman iaitu Jurassic Age, Year 1980, Year 2020, Year 3300 dan Year X. Di Jurassic Age, pengunjung akan berinteraksi dengan dinosaur yang dipancarkan melalui teknologi augmented reality (AR). Terdapat juga 4D selfie dan rasai debaran menaiki helikopter VR untuk terbang mengelilingi Pulau Langkawi.

Keterujaan anak-anak anda juga pasti menggamit suasana apabila hasil seni mereka terhasil dalam bentuk 3D dengan teknologi Rainbow Alive. Di Time Tunnel: Year X pula, ruang dan setiap sudut dipenuhi dengan paparan cahaya yang menunjukan imbasan dunia masa hadapan.

Lokasi Time Travel Imaginarium ini berdekatan dengan kereta kabel Langkawi. Jika anda sedang menikmati panorama di sana, jangan lupa singgah sebentar ke Time Travel Imaginarium untuk rasai imaginasi berteknologi.

Lokasi: Imaginarium Langkawi, Oriental Village, Jalan Teluk Burau, Teluk Burau C02-c03, 07000 Langkawi

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (9am – 5pm)

Harga Tiket:

  • Warganegara: Dewasa RM22, Kanak-kanak RM22
  • Bukan Warganegara: Dewasa RM27, Kanak-kanak RM27

05. Atma Alam Batik Art Village

Atma Alam Batik Art Village
Sumber: Budi Bogor, ikram.zulkaflee,

Atma Alam Batik Art Village yang terletak di Padang Matsirat ini sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Ia bukan sekadar pusat jualan batik, tetapi juga pusat pemprosesan batik dan juga tempat untuk mempelajari seni mencanting.

Diasaskan oleh Aza Osman dan Roshadah Yusof, ruang lantai kompleks ini terdiri daripada bengkel batik, bilik pameran, galeri seni, seksyen kraftangan tempatan. Batik yang dihasilkan bukan hanya tertumpu kepada kain semata-mata tetapi juga kasut, beg dan perhiasan. Terdapat banyak jenis cantingan batik yang dihasilkan dari menggunakan tangan hinggalah ke cetakan batik. Di sini juga anda akan melihat sendiri kakitangan galeri mencanting batik tanpa menggunakan sebarang mesin.

Kelas mencanting batik juga dibuka kepada pengunjung tetapi anda perlu menempah slot supaya pihak Atma Alam boleh menyediakan peralatan dan guru untuk mengajar anda. Selain dari batik, terdapat juga pameran barang kemas platinum, emas dan perak yang dihasilkan oleh Illa Aza.

Lokasi Atma Alam berdekatan dengan lapangan terbang Langkawi. Jika anda ke langkawi dengan menggunakan pengangkutan udara, jangan lupa singgah ke Atma Alam dan jadikan ia sebagai lokasi pertama anda di Langkawi.

Alamat: Padang Matsirat, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (10:00am-06:00pm)

Harga tiket: Masuk Percuma


06. Faizy Crystal

Faizy Crystal Langkawi
Sumber: Laslo j, Syafiq Rahman, Adams Darkstar Akira

Jika anda peminat produk kaca dan ingin mengetahui teknik pembuatannya, anda wajib ke Faizy Crystal yang bertempat di Kompleks Kraf Langkawi. Di sini terdapat pameran kristal dan barangan kaca yang juga menjadi salah satu tempat tarikan pelancong. Diusahakan oleh encik Kamarul Faizy Roslan, seorang graduan UiTM yang menjadikan industri pembuatan kaca sebagai salah satu daripada tarikan pelancongan Langkawi.

Kaca kristal yang diperbuat daripada silika akan dipanaskan sehingga 1400 darjah celsius, lalu penempa akan meniup untuk menghasilkan bentuk kaca yang dikehendaki. Pengunjung juga akan melihat sendiri bagaimana proses rumit ini dilakukan. Bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu arca dari kaca yang panas membara.

Pembuatan rumit ini boleh dipelajari oleh pelancong yang hadir ke sini. Kakitangan Faizy Crystal akan menunjukkan cara meniup kaca yang pasti akan memberi kepuasan ketika melihat teknik ini dilakukan. Antara produk yg dihasilkan ialah terrarium, yang kini popular di kalangan peminat aquascape, selain penghasilan produk lampu pendant, perhiasan kaca dan perkakas rumah.

Setibanya di sini, bolehlah anda membawa pulang beberapa produk keluaran Faizy Crystal sebagai cenderamata. Bertempat di belakang Kompleks Kraf Langkawi yang juga terletak di jalan menuju Tanjung Rhu dan Kilim Geoforest Park.

Alamat: Kompleks Kraf Langkawi, Jalan Teluk Yu, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (10.30am – 05:00pm) | Jumaat (Tutup)

Harga Tiket: Masuk percuma


07. Pulau Rebak Besar

Pulau Rebak Besar
Sumber: Eko Budi Raharjo

Pulau Rebak yang dinamakan sempena nama pokok Rebak ini adalah sebuah tarikan alam semula jadi yang berkeluasan 390 ekar dan dikelilingi oleh hutan rimba yang telah berusia mencecah 100 juta tahun.

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Pulau Langkawi

Pulau ini merupakan pulau persendirian yang dimiliki oleh Vivanta by Taj – Rebak Island Resort. Sekiranya anda ingin merasakan suasana tenang seolah-olah berada di atas pulau sendiri, menginaplah di hotel ini. Anda dapat menikmati akses eksklusif kawasan pantai di keseluruhan pulau ini.

Lokasinya, tidak begitu jauh dari pulau lain di sekitar Langkawi seperti Pulau Beras Basah dan Pulau Cenang.

Alamat:

  • Pulau: Pulau Rebak, Langkawi
  • Hotel: Vivanta by Taj – Rebak Island Resort, Pulau Rebak, Langkawi

Harga: Dari RM521+ Semalaman


08. Kota Mahsuri & Makam Mahsuri

Tempat Menarik Di Langkawi 1
Sumber: naturallylangkawi.my

Mengikut lagenda, dipercayai bahawa Kota Mahsuri merupakan tempat di mana Mahsuri binti Pandak Maya dikuburkan.

Siapa Mahsuri ?

Mahsuri merupakan seorang gadis kelahiran Pulau Langkawi yang telah difitnah serta dibunuh kerana dituduh berdua-duaan dengan seorang penyair yang bernama Deramang ketika suaminya Wan Derus keluar dari Pulau Langkawi Mahsuri untuk melawan tentera Siam.

Darah Mahsuri dikatakan berwarna putih sebagai bukti bahawa dia tidak bersalah dan difitnah. Mahsuri juga telah menyumpah Pulau Langkawi supaya tidak akan subur dan aman sehingga tujuh keturunan beliau.

Tempat Menarik Di Langkawi 2
Sumber: naturallylangkawi.my

Kota Mahsuri ini terletak di mukim Ulu Melaka 12km dari Pekan Kuah berhampiran dengan lapangan terbang Padang Matsirat.

Makam Mahsuri ini telah dibina semula dan dilengkapi dengan muzium, teater traditional dan rumah Kedah yang melambangkan seni bina rumah Langkawi yang popular pada ketika itu.

Tempat ini juga dikatakan dibina di bekas tapak rumah Mahsuri. Di dalam kompleks tersebut juga terdapat sebuah perigi yang digelar perigi Mahsuri .

Tempat Menarik Di Langkawi 3
Sumber: naturallylangkawi.my

Anda juga boleh membeli cenderamata yang bertemakan Langkawi untuk di bawa pulang sebagai hadiah atau kenangan kerana banyak kedai-kedai yang menjual cenderamata di sini.

Jika anda menggunakan perkhidmatan kereta sewa, jangan risau kerana tempat letak kereta percuma.

Bayaran sebanyak RM0.50 sen akan dikenakan jika anda ingin menggunakan tandas awam. Terdapat kolam ikan di pintu masuk untuk mengalu-alukan anda, air yang sangat hijau dan kawasan sekitar yang bersih juga menjadi salah satu tarikan selain daripada cerita sejarah disebaliknya.

Alamat: Kampung Mawar, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (08.00am–06.00pm) | Sabtu & Ahad (08.00am-06.30pm)

Harga Tiket: Dewasa RM12 | Kanak-Kanak RM6


09. Dataran Lang

Tempat Menarik Di Langkawi
Sumber: naturallylangkawi.my

Datang ke Langkawi tapi terlupa nak bergambar dengan arca burung helang ni? Anda wajib patah balik! Burung helang gergasi di Dataran Lang ini adalah mercu tanda terpenting di Langkawi. Mesti anda tertanya-tanyakan, apa sebenarnya kaitan burung helang dengan Langkawi?

Berdasarkan bahasa Melayu klasik, ‘kawi’ bermaksud perang yang kemerahan, manakala ‘lang’ pula adalah daripada perkataan ‘helang’, maka, Langkawi sebenarnya bermaksud burung helang yang berwarna perang kemerahan. Namun ada juga yang mengatakan bahawa Langkawi ini adalah gabungan dua perkataan Sanskrit iaitu ‘langka’ dan juga ‘wi’ yang membawa maksud ‘keindahan’ dan ‘tidak terkira’.

Walau apa pun maksud sebenarnya, anda tidak patut melepaskan peluang untuk bergambar berlatar belakangkan arca ini dan untuk singgah ke Dataran Lang ini kerana dari sini anda juga dapat menyaksikan pemandangan yang mengagumkan di sekitar Kuah Bay.

Alamat:Dataran Helang, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: 24 Jam


10. Air Terjun Temurun

Air Terjun Temurun
Sumber: Jalan-Jalan Cari Makan Di Kedah

Air Terjun Temurun yang terletak di Datai Bay adalah air terjun 3 tingkat yang tertinggi di Langkawi. Air terjun ini diairi oleh air sungai daripada utara Gunung Mat Cincang. Batuan yang terdapat di kawasan air terjun ini dikatakan telah berusia mencecah 500 juta tahun.

Dari tempat meletak kereta di laluan utama, kawasan air terjun yang terendah dapat diakses dalam hanya 5 minit berjalan kaki.

Laluan di dalam hutan rimba Gunung Mat Cincang yang disediakan sepanjang perjalanan ke kawasan air terjun juga cukup mesra pengunjung, lengkap dengan beberapa buah gazebo yang boleh anda singgahi untuk merehatkan badan dan menghirup kesegaran oksigen yang ditawarkan.

Sebagai peringatan, Air Terjun Temurun adalah sebuah tarikan yang mengikut musim yang mana anda dapat menikmati curahan air yang banyak hanya ketika musim hujan iaitu dari bulan September – Oktober.

Alamat: Temurun Waterfall, 07000 Langkawi, Kedah


11. Temonyong Night Market

Temonyong Night Market Langkawi
Sumber: cavinteo.blogspot.com

Kalau anda tercari-cari kudapan dalam harga bajet untuk dinikmati setelah puas makan angin, datanglah ke Pasar Malam Temonyong yang terletak di Kampung Lubok Buaya.

Pasar malam ini dibuka pada setiap hari Khamis dari jam 6 petang hingga 11 malam. Kalau anda merancang untuk ke sini, seeloknya, datanglah seawal yang mungkin supaya mudah untuk anda mendapat tempat parking kereta.

Dah jumpa parking, berjalan-jalan di sepanjang pasar ini anda akan menemui bermacam jenis makanan seperti sate, nugget, fishball, aneka kuih, cempedak goreng, kuew teow, nasi goreng, kebab dan lain-lain lagi. Air yang dijual juga datang dalam pelbagai jenis warna, tapi yang paling wajib anda cuba adalah jus mangga (Fresh Mango Juice) yang dijual di pasar ni, memang padu!

Alamat: Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Khamis (06.00pm-11.00pm)


12. Pantai Kok

Pantai Kok Langkawi
Sumber: Langkawi Hotspot

Pantai Kok adalah sebuah pantai pendek yang dikelilingi oleh pokok-pokok kelapa dan pokok lain yang rendang. Di sekitarnya, anda turut dapat menyaksikan pemandangan bukit-bukit batu kapur serta dua buah pulau.

Selain lokasi yang menarik untuk menikmati pemandangan, perairannya juga sesuai untuk anda bermandi-manda bersama keluarga kerana keadaan airnya yang cetek. Suasana di sekitar pantai ini secara keseluruhannya cukup mendamaikan dan tidak sesibuk pantai lain di sekitar Langkawi. Namun begitu, pada hujung minggu, ramai penduduk tempatan menjadikan kawasan pantai ini sebagai destinasi pilihan.

Alamat: Jalan Pantai Kok, 07000 Langkawi, Kedah


13. Pulau Tepor Langkawi

Pulau Tepor Langkawi
Sumber: Indah Permai Travels & Tours SDN. BHD

Pulau Tepor Langkawi adalah sebuah pulau berbentuk U yang tidak melalui sebarang pembangunan mahupun dihuni oleh sesiapa. Dari masa ke masa, bot yang membawa pelancong akan berhenti di sini untuk memberi peluang kepada sesiapa yang ingin menikmati keindahan yang ditawarkan.

Sebagai sebuah pulau yang masih terpelihara keasliannya, anda dijanjikan pemandangan yang terindah daripada kawasan pantai yang berpasir bersih. Lokasinya adalah di antara Pulau Rebak Besar dan Pulau Beras Basah.

Alamat: Pulau Tepor, Langkawi


14. Langkawi Gliders

Langkawi Gliders
Sumber: Langkawi Gliders

Pernah dengar tentang paragliding? Aktiviti glider ini lebih kurang sahaja dengan paraglide di mana anda dapat terbang di udara tapi, yang membuatkan glider ni lebih syok adalah sebab anda boleh duduk dengan relaks di atas kerusi sambil menikmati pemandangan. Kalau bertuah, dapatlah terbang sekali dengan burung-burung.

Seolah-olah menaiki helicopter, dengan mengikuti aktiviti Langkawi Gliders anda dapat menikmati pemandangan tanpa batasan sekitar Langkawi sejauh mata memandang dari awan yang tinggi.

Alamat: Langkawi Gliders, 07000 Langkawi, Kedah


15. Pulau Kentut Besar & Kecil

Pulau Kentut Besar & Kecik
Sumber: Globalia Naesa‎

Ada juga pulau dengan nama sepelik ni ya? Jangan terkejut, ini bukan gurauan, sememangnya pulau bernama Pulau Kentut Besar dan Pulau Kentut Kecil wujud, dan kedua-duanya boleh ditemui di perairan Andaman Langkawi.

Selain nama yang unik, lebih sebab untuk anda datang ke pulau ini adalah kerana ianya menawarkan antara pantai yang paling tenang di Langkawi. Di sepanjang kawasan pantai ini anda boleh berkhemah atau memancing ikan sambil menikmati pemandangan.

Tertanya-tanya macam mana pulau ini boleh dapat nama sebegini rupa? Berdasarkan sebuah kisah lagenda, pulau ini mendapat namanya daripada sebuah insiden yang terjadi sewaktu majlis perkahwinan anak perempuan kepada Gunung Mat Cincang dan anak lelaki Gunung Raya.

Keluarga pengantin perempuan dikatakan telah menyajikan nasi separuh masak kepada pengantin lelaki yang menyebabkan mereka terkentut sebanyak dua kali selepas santapan.

Alamat: Pulau Kentut Besar / Kecil, Langkawi


16. Makam Purba (Kampung Padang Gaong)

Makam Purba Langkawi
Sumber: Zaki Mohamed

Bagi para pencinta sejarah, lawatan ke sini boleh menjadi pelengkap perjalanan anda, walaupun bukanlah destinasi yang wajid disinggahi, tapi sebagai salah satu peninggalan tertua di Langkawi, apa salahnya untuk melihat sendiri di depan matakan?

Makam Purba yang terletak di Kampung Padang Gaong atau dalam sekitar 13 km dari Pekan Kuah ini adalah sebuah kubur lama yang telah ditemui pada tahun 1975 ketika proses mengorek tanah untuk pembinaan rumah.

Makam yang berkepanjangan sekitar 236 cm ini dipercayai adalah kubur seorang perempuan yang berkemungkinan memiliki kaitan dengan pendudukan Acheh di Langkawi pada suatu ketika dulu.

Alamat: Makam Purba, Kampung Padang Gaong, 07000 Langkawi, Kedah


17. Masjid Al Hana

Masjid Al Hana Kuah Langkawi
Sumber: Sage Automobile

Masjid Al Hana adalah sebuah masjid yang dikatakan terbesar dan paling terkenal di Langkawi. Masjid yang bergaya Moorish atau Andalusia ini telah didirikan pada tahun 1959 dan dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman.

Dinding ruangan solatnya diukir dengan ayat-ayat al-Quran yang terpilih. Kubah masjid ini pula dapat dilihat dengan jelas kerana pancaran warna emasnya.

Lokasinya hanyalah beberapa tapak dari kedai jualan bebas cukai Kuah. Tarikan lain yang berdekatan adalah seperti Kompleks Jeti Pelancongan dan juga Dataran Lang.

Alamat: Mukim Kuah, 07000 Pulau Langkawi, Kedah


18. Datai Bay

Datai Bay Langkawi
Sumber: The Datai Langkawi

Pernah disenaraikan sebagai antara 10 kawasan pantai terbaik di dunia oleh National Geographic, pantai yang berkepanjangan 1.5 km ini menyajikan pemandangan lautan Andaman yang berwarna biru firus yang sungguh mengujakan.

Di samping pemandangan indah, pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan di sini seperti windsurfing, snorkeling, kayak, bot layar dan banyak lagi.

Sebagai info untuk anda yang ingin ke sini, Datai Bay sebenarnya adalah sebuah kawasan pantai peribadi yang boleh diakses oleh para penginap hotel di sekitar. Namun begitu, anda boleh juga memasuki kawasan pantai ini dengan caj tambahan.

Alamat: Datai Bay, 07000, Kedah


19. Pulau Dangali

Pulau Dangli Langkawi
Sumber: Langkawi UNESCO Global Geopark

Pulau Dangali adalah sebuah destinasi yang agak jarang didengar menjadikan ianya salah satu khazanah tersembunyi di Langkawi. Untuk ke sini, anda boleh menaiki bot dari jeti Pulau Langkawi dengan masa perjalanan dalam sekitar 2 jam.

Setibanya di sini, anda dapat melihat kawasan pantai berpasir dengan air yang sungguh jernih bak kristal sehingga menampakkan hidupan marin yang berenang bebas. Sangat menarik bukan?

Apa lagi? Jangan lepaskan peluang untuk bermandi-manda sambil menikmati keindahan panorama dalam lautannya yang bakal terbawa-bawa sehingga ke mimpi.

Alamat: Pulau Dangali, Langkawi, Kedah


20. Paradise 101 Langkawi

Paradise 101 langkawi
Sumber: Paradise 101

Nikmati keterujaan dan keseronokan melampau dengan meluangkan masa di Paradise 101 Langkawi. Sesuai dengan namanya, tarikan ini sememangnya syurga bagi sesiapa yang ingin merasai kepuasan sebenar semasa bercuti di Langkawi, dari kemudahan untuk melakukan pelbagai jenis sukan air / lasak hinggalah kepada lawatan dengan menaiki bot untuk menikmati pemandangan matahari terbenam, segalanya berpusat di sini.

Nak tahu secara spesifik aktiviti yang ditawarkan? Antaranya adalah Zip Line Experience, Boat Thrill Ride, Banana Boat, Kayak Fun, Parasailing, Jet Ski dan banyak lagi!

Alamat: Paradise 101 Langkawi, 07000 Langkawi, Kedah

Bayaran:

  • Pakej: Dari RM180+
  • Aktiviti: Dari RM180+
  • Lawatan: Dari RM884+

21. Air Terjun Durian Perangin

Durian Perangin Waterfall Langkawi
Sumber: Ravi Gupta

Setelah puas beraktiviti lasak atau berjalan-jalan, destinasi terbaik yang boleh dilawati sebelum pulang ke tempat penginapan adalah ke kawasan air terjun yang dapat mengembalikan kesegaran badan. Salah satu lokasinya adalah di Air Terjun Durian Perangin.

Untuk menuju ke sini, anda perlu mendaki dalam sekitar 20 minit sahaja. Jangan risau, perjalanan ke sini cukup mudah untuk dilalui.

Setibanya di kawasan air terjun, jangan buang masa lagi,  anda boleh terus terjun ke dalam air dinginnya, lagi best kalau anda bermandi-manda betul-betul di bawah curahan air terjun, memang puas! Sambil-sambil berendam badan, anda mungkin dapat melihat beberapa ekor ikan berenang dengan bebas.

Alamat: Air Terjun Durian Perangin, 07000 Langkawi, Kedah


22. Pantai Pasir Tengkorak

Pasir Tengkorak Beach Langkawi
Sumber: Sopansantun Klasik‎

Pantai Pasir Tengkorak adalah salah satu daripada tarikan yang menawarkan segala yang diimpikan para pencinta pantai. Ini kerana di sekitarnya terdapat hutan rimba yang penuh kehijauan, pasir putih yang lembut di telapak kaki, air yang berwarna biru kristal serta paras air yang cetek menjadikan ianya sesuai untuk dijadikan lokasi bermandi-manda.

Bukan itu sahaja, pantai ini juga lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti tandas, bilik mandi, meja santai dan gazebo. Namun begitu, tiada kedai makan atau gerai yang boleh didapati di sekitar pantai ini melainkan anda datang pada hujung minggu atau cuti umum ketika mana banyak gerai akan dibuka di pagar utama.

Alamat:  Pantai Pasir Tengkorak, 07000 Langkawi, Kedah


23. Laman Padi

empat Menarik Di Langkawi 7
Sumber: naturallylangkawi.my

Laman Padi merupakan sebuah kompleks yang luas, bukan sekadar dikuasai oleh kehijauan sawah padi tapi juga taman-taman herba dan muzium. Terletak di Pantai Cenang, Laman Padi mula dirasmikan pada tahun 1999 untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi mempelajari dengan lebih mendalam tentang proses penghasilan padi dan mengetahui banyak lagi informasi menarik lain tentang makanan ruji di nusantara ini.

Anda juga boleh melibatkan diri dalam proses penanaman dan penyemaian padi dengan bantuan pemandu pelancong yang ada. Jangan lupa untuk membawa pakaian lebih sebab dalam aktiviti ni anda perlu melalui kawasan yang berlumpur dan ‘bersahabat’ dengan kerbau atau lembu yang ada.

Untuk aktiviti yang lebih santai, anda boleh sahaja melawat muziumnya yang sejuk beraircond. Muzium ini padat dengan segala fakta menarik dan penting berkaitan padi. Turut terdapat di sini adalah pameran peralatan yang digunakan dalam penghasilan padi / beras di Langkawi serta evolusinya.

Alamat : Laman Padi, Pantai Chenang, Mukim Kedawang 07000

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am–06.00pm)

Harga Tiket: Bermula Dari RM3 Seorang


24. Kereta Kabel Langkawi

Tempat Menarik Di Langkawi 9
Sumber: naturallylangkawi.my

Menggunakan teknologi yang didatangkan dari Swizerland, tak perlulah anda risau sampai menggeletar bila menjejakkan kaki ke dalam Kereta Kabel Langkawi. Semasa menaiki kereta kabel ini nanti, anda sekeluarga boleh menikmati pemandangan flora dan fauna di sekitar yang mencakupi hutan belantara, Air Terjun Telaga Tujuh, lautan yang membiru sehinggalah ke kepulauan di Thailand.

Panorama mengujakan ini bukan sahaja dapat dilihat melalui tingkap tapi juga melalui lantai kacanya. Kalau gayat, janganlah tengok bawah ya?

Laluan kereta kabel ini secara keseluruhannya berkepanjangan 2.2 km dengan aerial atau tali kabel yang bersambung dari Oriental Village di Teluk Burau hinggalah ke puncak Gunung Mat Cincang. Dengan jarak sebegini jauh, kereta kabel Langkawi merupakan yang terpanjang di dunia. Masa yang diambil untuk ke puncak adalah dalam sekitar 15 minit.

Dinasihati anda semak jadual penyelengaraan Cable Car di laman web rasmi panoramalangkawi.com sebelum datang.

Alamat: Oriental Park, Langkawi

Waktu Operasi: Setiap Hari (09.30am–07.00pm)

Harga Tiket:

  • Normal Kombo (Kereta Kabel + SkyDome + SkyRex + 3D Art Langkawi): Dewasa RM43 | Kanak-Kanak RM33
  • Express Lane: Dewasa RM93 | Kanak-Kanak RM83
  • Glass Bottom Gondola: RM105
  • Private Gondola: RM550 / 6 Pax
  • VIP Gondola: RM550 / 6 Pax

*Kesemua gondola (private, express dan lain-lain) ditawarkan dalam pakej kombo 4 tiket dalam 1 seperti Normal Kombo.


25. Langkawi Sky Bridge

Tempat Menarik Di Langkawi 10
Sumber: naturallylangkawi.my

Terletak di stesen terakhir atau teratas Kereta Kabel Langkawi adalah tarikan SkyBridge Langkawi. Siap dibina pada tahun 2004, Langkawi Sky Bridge adalah sebuah jambatan gantung berkepanjangan 125 meter yang dibina di atas Gunung Mat Cincang.

Berketinggian 100 meter dari tanah dan 2300 kaki dari paras laut, jambatan ini mampu menampung sehingga 200 orang pada satu-satu masa.

Dengan ketinggian pada paras ini, anda dapat menyaksikan keindahan sekitar Langkawi umpama seekor burung yang terbang bebas di angkasa, saujana mata memandang.

Teringin penulis kongsikan satu fakta menarik terutama sekali bagi sesiapa yang suka menonton filem Hindustan, kalau anda nak tahu, salah satu babak dalam movie ‘Don: The Chase Begins Again’ telah dirakamkan di sini. Tunggu apa lagi? Singgah jangan tak singgah!

Alamat: Jalan Telaga Tujuh Teluk Burau, Langkawi, Kedah 07000

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am–08.00pm)

Harga Tiket: Dewasa RM6 | Kanak-Kanak RM4


26. Underwater World Langkawi

Tempat Menarik Di Langkawi 14
Sumber: naturallylangkawi.my

Underwater World Langkawi adalah salah satu aquaria yang terbesar di rantau Asia. Beroperasi sejak tahun 1995, Underwater World Langkawi menempatkan banyak zon berbeza yang bersesuaian dengan habitat atau spesies hidupan marin atau air yang wujud.

Antara zon yang terdapat di sini adalah River Ecosystem, Temperate (South American Fur Seal dan African Penguin), Sub-Antarctic (Rockhopper Penguin), Hexagonal Tank (menempatkan ikan jerung), zon Venemous & Poisonous dan banyak lagi.

Alamat : Zon Pantai Cenang, Mukim Kedawang, 07000, Langkawi

Waktu Operasi: Hari Biasa & Hujung Minggu (10.00 am–06.00pm) | Cuti Umum & Cuti Sekolah (09.30 am–06.30pm)


27. Langkawi WIldlife Park

langkawi wildlife park Image
Sumber: Langkawi Wildlife Park

Bercuti ke Langkawi bersama anak-anak kecil? Langkawi Wildlife Park adalah salah satu destinasi yang perlu anda jadikan ‘top priority’! Bukan seperti zoo biasa, ramai pengunjung yang memuji dan sejuk hati melihat bagaimana keadaan haiwan-haiwan di sini terjaga dengan baik.

Di sini anda sekeluarga boleh berinteraksi dengan haiwan yang ada dengan menyentuh dan memberi mereka makan. Antara haiwan yang boleh diberikan makan adalah arnab, burung, rusa, ikan, itik dan sebagainya. Sesetengah haiwan pula hanya perlu diberi  makan pada waktu tertentu seperti  Amazon Arapaima, buaya dan Love Birds (Budgerigars).

Sambil melihat haiwan yang ada di sini, anda juga dapat mengisi minda dengan pelbagai info menarik yang dikongsikan oleh pemandu pelancong yang disediakan untuk pelawat.

Yang menariknya, tak kira hujan atau panas, anda sekeluarga dapat meneroka sekitar zoo ini tanpa perlu risau tentang cuaca kerana sepanjang perjalanan di dalam zoo ini lengkap dengan laluan berbumbung.

Tel: +604 966 5855

Email: wildlifeplanet@gmail.com

Alamat: Lot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah

Waktu Operasi: Setiap Hari (08.30am–05.30pm)

Harga Tiket (Berserta Mykad): Dewasa RM30 | Kanak-kanak & Warga Emas RM22


28. Air Terjun Telaga Tujuh

Tempat Menarik Di Langkawi 19
Sumber: naturallylangkawi.my

Air Terjun Telaga Tujuh diberikan nama berdasarkan daripada kehadiran 7 mata air yang membentuk air terjun ini. Air daripada telaga atau kolam yang pertama menjadi sebatang sungai yang kemudiannya melalui kolam-kolam air yang lain.

Pemandangan di sekitar air terjun ini mampu menggugat jiwa sesiapa sahaja dek kerana keindahannya sehingga dikatakan ia menjadi tempat pilihan pari-pari bermandi-manda, benar atau tidak cerita ni, tiada siapa yang tahu. Keistimewaan lain Air Terjun Telaga Tujuh ini adalah kerana airnya dikatakan mampu merawat penyakit.

Untuk menuju ke kawasan air terjun ini, anda perlu mendaki dalam sekitar 45 minit – sejam sebelum tiba ke puncak yang berketinggian 90+ meter melalui 600 – 900 anak tangga curam yang disediakan. Pastikan anda membawa air minuman yang cukup dan kasut yang bersesuaian untuk melalui jalan yang licin dan curam.

Alamat : Gunung Mat Cincang , 1km dari Oriental Village

Waktu Operasi : Setiap Hari

Harga : Percuma


29. Crocodile Adventureland Langkawi

Tempat Menarik Di Langkawi 21
Sumber: naturallylangkawi.my

Hanyalah dalam sekitar 30 minit dari pekan Kuah dan 10 minit pemanduan dari Cable Car (SkyCab), Crocodile Adventureland Langkawi adalah sebuah tarikan berlatar belakangkan gunung-ganang hijau yang menempatkan hampir 4000 ekor buaya daripada yang masih muda hinggalah yang telah mencapai usia ‘emas’ yang terdiri daripada spesies seperti buaya tembaga, buaya sumpit, Guinea, Siam dan sebagainya.

Semasa berada di sini, jangan lepaskan peluang untuk melihat pertunjukan dan menyertai banyak aktiviti menarik yang ditawarkan seperti memancing buaya, pertunjukan buaya melompat, memberi buaya makan, sesi bergambar dan sebagainya.

Sebagai info, waktu buaya mengawan adalah antara bulan Disember ­– Januari ketika mana buaya jantan menjadi agak agresif. Musim penetasan telur pula adalah antara bulan Februari – Ogos ketika mana buaya betina lebih agresif untuk mengawasi telur mereka.

Alamat: Tmn Buaya Langkawi Sdn Bhd, Jalan Teluk Datai, Mukim Air Hangat, 07000 Langkawi, Kedah Darul Aman

Waktu Pertunjukan: 11.00am – 2.45pm | Waktu Makan: 10.30am

Harga Tiket (Berserta MyKad):

  • Adventure Combo (Tiket Masuk + 2 Paket Juvenile Crocodile Food + Fasiliti, aktiviti, pertunjukan semasa lawatan) : Dewasa RM30 | Kanak-Kanak RM25
  • Explore Combo (Tiket Masuk + Juvenile Feeding + Lawatan dengan jurupandu + Memancing buaya + Fasiliti, aktiviti, pertunjukan semasa lawatan): Dewasa RM46 | Kanak-Kanak RM36
  • Croc. Encounter Combo (Tiket Masuk + Juvenile Feeding + Lawatan dengan jurupandu + Memancing buaya + Photo Pass + Interaksi dengan buaya + Fasiliti, aktiviti, pertunjukan semasa lawatan): Dewasa RM85 | Kanak-Kanak RM70
  • Snack Bites Combo (Tiket Masuk + Juvenile Feeding + Lawatan dengan jurupandu + Memancing buaya + Voucher Makanan + Interaksi dengan buaya + Fasiliti, aktiviti, pertunjukan semasa lawatan): Dewasa RM60 | Kanak-Kanak RM53

30. Buffalo Park

Buffalo Park Langkawi Image
Sumber: Buffalo Park Langkawi

Dibuka pada tahun 2006, Buffalo Park merupakan sebuah tarikan yang wajib dilawati sewaktu bercuti ke Langkawi bagi anda yang merindukan keindahan pemandangan penuh kehijauan sawah padi dan pergunungan.

Seperti namanya, Buffalo Park, di sini anda dapat menemui  sekitar 100 ekor badak air yang digunakan untuk menghasilkan produk tenusu dan baja organik. Suka makan keju? Inilah lokasinya untuk anda mencuba dan memborong sebanyak mana cheese mozzarella yang dibuat segar-segar dari kilang. Tak payah menempah tiket ke Itali untuk merasai keju segar!

Selain keju, susu yang didapati dari ladang ini turut digunakan untuk menghasilkan produk lain seperti ais krim, yogurt dan susu pelbagai perisa. Semua produk dihasilkan secara segar dari ladang ini sendiri!

Di samping membeli-belah hasil tenusu kerbau yang segar, anda sekeluarga juga boleh melakukan banyak aktiviti menarik yang ditawarkan di sini seperti memberi kerbau makan dan memerah susu kerbau. Anda juga boleh melihat bagaimana keju mozzarella ini dihasilkan.

Alamat: Jalan Nyior Chabang, Kampung Nyior Cabang, Langkawi 07100

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am-05.00pm)

Bayaran: Dewasa RM3 | Kanak-kanak RM1


31. Galeria Perdana

Galleria Perdana Langkawi Image
Sumber: Muhd Ramdzan Rahmat II

Galleria Perdana merupakan sebuah galeri yang telah ditubuhkan untuk mempamerkan hadiah-hadiah dan anugerah yang telah diterima oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah bt. Mohd. Ali.

Galeri yang dibuka pada tahun 1995 ini terletak di dalam kawasan perkampungan Kilim dengan keluasan 5.3 km persegi. Sebaik sampai di sini anda akan disambut dengan keindahan lanskap di luar galeri yang ditumbuhi dengan pokok-pokok menghijau termasuklah tumbuhan herba.

Untuk pengetahuan anda, muzium ini mempamerkan dalam sekitar 2000 daripada 9000 koleksi pada satu-satu masa yang ditukar dari masa ke masa. Jadi, kalau anda datang ke sini pada waktu yang berbeza, anda mungkin dapat melihat koleksi yang lain daripada sebelumnya.

Pameran di dalam galeri ini terbahagi kepada 3 bahagian. Masa yang diambil untuk habis melihat setiap koleksi di sini adalah dalam sekitar 2 jam.

Alamat: Jalan Ayer Hangat, Mukim Kilim, 07000 Langkawi

Waktu Operasi: Setiap Hari (08.30am-05.30pm) | Cuti Sekolah & Cuti Umum (08.30am-06.00pm)

Bayaran: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM2


32. Langkawi Mangrove Tour

Langkawi Mangrove Tour
Sumber: Langkawi Mangrove Tour

Langkawi Mangrove Tour dapat memberikan anda sekeluarga pengalaman menyelami alam sekitar yang cukup mengujakan. Di mana dengan menyertai lawatan ini, anda dapat menerokai kepelbagaian flora dan fauna yang ditawarkan hutan paya bakau Langkawi.

Perjalanan yang anda tempuhi akan melalui kawasan-kawasan seperti sungai yang mengalir tenang, pantai-pantai berpasir putih, pembentukan unik batu-batu kapur dan banyak lagi.

Alamat: White Sands Enterprise ( KV 0003499-M ), Jeti Perlancongan Sungai Kilim, Mukim Air Hangat, 07000 Langkawi

Bayaran: RM850 (Max 8 Orang / 9 Jam)


33. Taman Agroteknologi Mardi

Taman Agroteknologi Mardi Langkawi
Sumber: Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi

Berkeluasan 27.39 hektar, Taman Agroteknologi Mardi menawarkan anda sekeluarga pengalaman yang penuh manfaat kerana di sini anda sekeluarga dapat mempelajari banyak perkara berkaitan teknologi-teknologi yang digunakan dalam menghasilkan pelbagai jenis tumbuhan di Malaysia.

Anda dapat melihat lebih daripada 20 jenis pokok buah-buahan seperti buah nanas, buah cempedak, buah belimbing, buah mangga dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, tumbuhan herba juga boleh didapati di sini. Kesemua jenis tumbuhan yang dihasilkan di sini dapat dilihat tanpa perlu mengeluarkan peluh kerana anda akan dibawa meneroka dengan menaiki pengangkutan yang disediakan.

Yang bestnya, setelah puas melihat kesemua ladang yang terdapat di sini, anda akan dibawa untuk bersantai di sebuah perhentian untuk menikmati pelbagai jenis buah tempatan yang terhasil mengikut musimnya. Nak tahu apa lagi yang best? Anda boleh menikmati semua ini secara percuma! Sekiranya anda bercadang untuk ke sini, datanglah ketika musim buah yang tak lain tak bukan dari bulan Mei sampai Julai.

Alamat: 1, Jalan Padang Gaong, Lubuk Semilang, Ulu Melaka Kuah, 07000, Langkawi

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (08.30am–05.00pm) | Jumaat, Aidilfitri, Aidiladha (Tutup)

Bayaran: Dewasa RM10 | Kanak-kanak RM5


34. Muzium 3D Langkawi

Muzium 3D Langkawi
Sumber: Langkawi SkyCab

Muzium 3D Langkawi adalah salah sebuah tarikan yang terletak di Oriental Village. Muzium ini bertempat di dalam sebuah bangunan 3 tingkat yang mempamerkan bukan sedikit tapi 200 buah lukisan 3D! Ingin lagi sebab kenapa anda perlu melawat muzium ini? Kalau anda nak tahu, muzium ini memiliki koleksi lukisan 3D yang terbesar di negara ini dan antara yang terbesar di dunia!

Muzium ini terbahagi kepada 9 zon berbeza iaitu Zon Interaktif 1 dan 2, Zon Malaysia, Zon Akuarium, Zon Klasik, Zon Main Hall, Zon Fantasi, Zon Safari dan Zon Ilusi Optik.

Masa yang diambil untuk habis bergambar dengan sepuas hati semua karya realistik di sini adalah antara 3 ke 4 jam. Jadi, yang wanita, pastikan mekap anda tak cair walaupun dah berpeluh!

Alamat: Oriental Village Burau Bay, 07000 Langkawi

Bayaran: Dewasa RM30 | Kanak-kanak RM20


35. Pulau Payar Marine Park

Pulau Payar Marine Park Langkawi Image
Sumber: Santousi Photography

Pulau Payar Marine Park adalah sebuah pulau yang tidak dihuni oleh sesiapa namun ianya menjadi destinasi tarikan pelancong yang datang dari serata dunia untuk aktiviti jungle trekking, memerhati burung, menyelam skuba dan snorkeling.

Kalau anda ingin melihat ikan-ikan berenang dengan banyak dan bebas seperti di dalam akuarium di sekitar anda, inilah lokasinya. Nak tahu kenapa banyak sangat hidupan marin dekat sini? Sebabnya adalah kerana ia merupakan salah satu pulau yang termasuk di dalam Taman Marin yang mana aktiviti perikanan adalah dilarang sama sekali.

Selain ikan-ikan, hidupan eksotik lain juga dapat dinikmati keindahannya seperti batu-batu karang yang penuh warna-warni.

Untuk pengetahuan anda, pulau ini memiliki 4 buah kawasan pantai berbeza yang boleh anda pilih sebagai lokasi penerokaan dunia bawah air. Kesemua pantai ini cukup tenang untuk anda berseronok bersama keluarga tanpa risau.

Bagi anda yang ingin menikmati keindahan pulau ini lebih daripada sehari, anda perlu mendapatkan kebenaran untuk berkhemah di sini daripada pihak berkuasa.

Alamat: Pulau Payar Marine Park


36. Kilim Karst Geoforest Park

Kilim Karst Geoforest Park
Sumber: Kilim Karst Geoforest Park

Kilim Karst Geoforest Park merupakan sebuah kawasan taman hutan yang berkeluasan lebih daripada 100 km persegi. Penerokaan sekitar taman ini dapat membuka mata anda dengan pelbagai jenis keindahan alam yang terdiri daripada pembentukan gua-gua indah, pantai yang memukau pandangan mata, kawasan paya bakau dan banyak lagi.

Sambil melihat keindahan flora anda juga dapat menyaksikan ragam haiwan-haiwan liar yang menjadikan kawasan-kawasan ini sebagai habitat mereka.

Antara lokasi yang menjadi tarikan di sini adalah Gua Kelawar, Gua Buaya, Rumah Terapung dan kawasan Eagle Feeding.

Alamat: Sungai Kilim Tourist Jetty, Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat, 07000 Kilim, Langkawi

Waktu Operasi: Setiap hari (09.00am–05.00pm) | Waktu terbaik (Sept – Mac)

Bayaran Tour: 2 Jam RM350/Bot | 3 Jam RM450/Bot | 4 Jam RM500/Bot


37. Tanjung Rhu

Tanjung Rhu Langkawi Main Image
Sumber: Tetamoo

Tanjung Rhu adalah sebuah kawasan pantai yang sungguh mempesonakan keindahannya sehingga termasuk di dalam senarai sebagai antara 100 pantai yang terindah di dunia oleh media antarabangsa, CNN. Wow!

Namun begitu, pantai ini lebih tenang dan privasi berbanding Pantai Cenang. Sambil menikmati kedamaian pantai, anda dapat menikmati pemandangan pokok-pokok rhu yang tumbuh mekar di kiri dan kanan, dah macam di luar negara.

Bukan itu sahaja, kecantikan kawasan pantai ini turut diserlahkan lagi dengan kewujudan bot-bot nelayan dan bot pelancong yang berlabuh di tepian pantai.

Untuk aktiviti yang sering dilakukan di sini pula, aktivitinya adalah seperti parasailing, snorkeling dan banyak lagi. Namun begitu, pantai ini turut menjadi kawasan pantai persendirian yang mana hanya boleh dilawati oleh tetamu penginapan di sekitar kawasan. Oleh itu, terdapat kemungkinan yang anda tidak boleh mengakses pantai ini dari pukul 5.30 pm dan ke atas.

Alamat: Jalan Tanjung Rhu, Tanjung Rhu, 07000 Langkawi


38. Skytrex Adventure Langkawi

Skytrex Adventure Langkawi Image
Sumber: Fyza Nordin

Ingin melakukan sesuatu yang lasak? Jom ke Skytrex Langkawi. Kalau anda pernah dengar tentang Skytrex di Shah Alam, cawangan Skytrex di Langkawi ini pula agak berbeza dan lagi best daripada Shah Alam kerana kawasannya yang lebih luas dan waktu operasinya yang lebih kerap.

Memang puaslah kalau dapat beraktiviti kat sini! Sambil melakukan aktiviti lasak yang ditawarkan, anda boleh menikmati pemandangan yang mengujakan Gunung Mat Chincang.

Untuk melakukan aktiviti-aktiviti di sini, anda perlu memiliki berat tidak lebih daripada 100 kg dan ketinggian tidak kurang daripada 1.5 meter. Anda juga boleh memilih untuk melakukan aktiviti di sini mengikut tahap yang berbeza iaitu Beginner, Intermediate dan Expert. Jangan overconfident pula ya?

Alamat: Skytrex Langkawi Adventure Park Jalan Teluk Yu Kampung Kok Langkawi Kedah

Waktu Operasi: Sesi Awal (9.00am) | Sesi Akhir (3.00pm)

Bayaran:

  • Walk-In: Beginner RM79 | Intermediate RM89 | Expert RM99
  • Online: Beginner RM60 | Intermediate RM70 | Advanced RM80

39. Sandy Skull Beach

Sandy Skull Beach Image
Sumber: Langkawi Tour

Sandy Skull Beach  adalah sebuah tarikan indah yang terletak di kawasan yang agak tersorok di sebalik hutan. Pantai dengan air yang jernih dan pasir putih halus ini sangat menarik untuk dijadikan lokasi bersantai bersama keluarga dalam keadaan penuh privasi.

Anda boleh menggunakan kemudahan-kemudahan yang tersedia di sini seperti surau, pondok, meja, dan tandas. Terasa lapar? Di sini juga turut dibuka beberapa buah gerai yang menjual buah-buahan.

Banyak sebab untuk anda jadikan pantai ini sebagai destinasi lawatan sekiranya ke Langkawi kerana seperti dikatakan tadi, ianya dikelilingi oleh kehijauan pokok-pokok hutan, berpasir halus yang sedap untuk dipijak, air yang jernih bak kristal dan sesuai untuk bermandi-manda. Kalau dilihat di hujung-hujung pantai, turut terdapat pembentukan batuan yang menarik.

Alamat: Pantai Pasir Tengkorak, 07000 Langkawi


40. Air Terjun Durian Perangin

Air Terjun Durian Perangin Langkawi
Sumber: Aisyah Raudhahtul Jannah

Disempadani oleh dusun-dusun buah dan perkampungan penduduk tempatan adalah tarikan semula jadi Air Terjun Durian Perangin. Air terjun ini merupakan sebuah air terjun 14 peringkat yang sungguh mengujakan bila dilihat.

Sambil menikmati pemandangan air terjun dengan air yang jernih ini, anda boleh berkelah, berenang atau membuat bbq kerana kemudahan memanggang turut disediakan di sini.

Alamat: Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi


41. Air Terjun Temurun

Air Terjun Temurun Langkawi

Kalau tak puas lagi dengan sebuah air terjun, singgah pula ke Air Terjun Temurun yang terletak di dalam hutan simpan Mat Chincang, Langkawi.

Pemandangan menenangkan perasaan flora dan fauna di sekitar air terjun ini akan membuatkan jiwa anda terasa seperti dicaj kembali tenaganya dan minda terasa sungguh segar, ditambah lagi dengan bunyi air yang jatuh dari ketinggian 30 meter, membuatkan seluruh deria badan terasa nikmat kedamaiannya.

Sambil menyaksikan keindahan yang terhidang di depan mata, anda boleh melakukan aktiviti-aktiviti seperti berbbq, berkelah, bermandi-manda atau merentas hutan.

Alamat: Air Terjun Temurun, 07000 Langkawi


42. Pantai Pasir Hitam

Pantai Pasir Hitam Image
Sumber: Sha Ramson Abdullah

Jangan terkejut, Pantai Pasir Hitam ini bukan ‘hitam’ pada namanya sahaja, tapi memang pasirnya berwarna hitam. Apa yang membuatkan pasir di pantai ni tak macam kat tempat lain?

Mengikut kisah-kisah mitos yang disampaikan dari zaman ke zaman, pada satu masa dahulu, terdapat seekor burung Garuda yang datang dan menculik seorang puteri cina yang cantik wajahnya dengan niat yang baik, namun begitu, tunang si puteri ini yang datang dari Rome telah bertempur dengan Garuda ini demi mendapatkan kembali puteri.

Perang antara burung Garuda dengan tunang puteri ini tidak henti-henti sehinggalah sampai ke Pulau Langkawi sampai menyebabkan pasir pantai ini menjadi hitam kerana sisa peperangan.

Tapi, kalau diikutkan sebab sebenarnya, tak lah se‘epik’ yang disangka, kerana pasir ini menjadi hitam disebabkan oleh campuran kandungan mineral yang berbeza iaitu zirkon, ilmenit dan tourmaline. Dan dikatakan yang mineral-mineral yang terdapat di dalam pasir ini datang daripada Gunung Raya melalui mata air yang mengalir tidak jauh dari pantai.

Alamat: Pantai Pasir Hitam, Air Hangat, Langkawi


43. Pantai Teluk Yu

Pantai Teluk Yu Langkawi Image
Sumber: Tourism Malaysia

Pantai Teluk Yu ini mendapat namanya daripada tugu-tugu batu yang berbentuk ikan yu yang diletakkan di tepian pantai.

Tapi jangan risau, anda masih boleh bermandi-manda dengan penuh ketenangan di kawasan pantai ini sebab tak ada pun kehadiran ikan yu yang sebenar di sini, airnya juga sungguh tenang untuk anda jadikan lokasi mandi-manda bersama keluarga, tapi ambil tahulah tentang waktu pasang surutnya ya?

Bertempat di antara Pantai Pasir Tengkorak dan Pantai Pasir Hitam, Pantai Teluk Yu ini hanyalah berkepanjangan 200 meter. Sambil bersantai di tepi pantai yang tidaklah sepanjang pantai yang lain ini, anda dapat melihat pemandangan kepulauan Tarutao, Selatan Thailand yang nun jauh dari pandangan mata.

Alamat: Pantai Teluk Yu, Ayer Hangat, Langkawi


44. Pantai Tengah

Pantai Tengah Langkawi Image
Sumber: Yuruyen Hikayeler

Terletak hanyalah bersebelahan dengan pantai yang meriah dengan pelawat iaitu Pantai Cenang, Pantai Tengah adalah pilihan tarikan alam semula jadi yang lebih tenang untuk anda yang ingin menikmati rasa nyaman pantai yang sebenar tanpa gangguan ramai.

Pantai dengan pasir putih dan air yang jernih ini menawarkan pemandangan matahari terbenam atau menaik yang sungguh mempesonakan. Sambil-sambil melepak-lepak tu, lengkapkan ‘gaya santai tepi pantai’ anda dengan air kelapa yang menyegarkan tekak.

Dah puas melepak, anda boleh cuba bermacam aktiviti menarik yang ditawarkan di sini seperti banana boat, jet ski, parasailing dan bermacam lagi. Kalau nak buat sesuatu yang relaks, rawatan spa turut ditawarkan di sini.

Alamat: Jalan Pantai Tengah, 07000 Langkawi


45. Oriental Village Langkawi

Oriental Village Langkawi Main Image
Sumber: My Malaysia

Oriental Village Langkawi adalah sebuah tarikan yang super best yang terletak di Pantai Kok. ‘Kampung’ ini bukanlah kampung biasa tapi ianya padat dengan pelbagai aktiviti menarik yang bila dilakukan, pengalamannya akan sentiasa terngiang-ngiang di ingatan.

Antara tarikan yang terdapat di sini adalah kereta kabel, jambatan yang dipanggil Sky Bridge, menaiki gajah, animal feeding, galeri, tempat-tempat shopping cenderamata, kedai-kedai makan dan macam-macam lagi!

Disebabkan banyak sangat tarikan dalam satu tempat menarik, terdapat sebuah kedai yang memberikan khidmat sewa Segway untuk memudahkan anda sekeluarga melalui setiap tarikan tanpa rasa penat.

Alamat: Burau Bay Padang Matsirat, 07000 Pantai Kok


46. Telaga Harbour Marina

Telaga Harbour Marina Langkawi Main Image
Sumber: Chee Chung

Telaga Harbour Marina adalah sebuah tarikan yang terletak di bahagian barat selepas melepasi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Teluk yang berkeluasan 27 ekar ini padat dengan segala macam fasiliti yang termasuklah laluan papan kayu untuk berjalan kaki dan restoran-restoran masakan laut.

Bila dilihat keadaannya sekarang yang meriah dengan pelbagai kemudahan, tidak terbayang yang pada suatu ketika dulu, kawasan ini hanyalah sebuah perkampungan nelayan kecil yang kini telah dibangunkan.

Alamat: Telaga Harbour Marina, Pantai Kok, 07000


47. Pulau Beras Basah

Pulau Beras Basah Langkawi Main Image
Sumber: Shira Nasir

Berlatar belakangkan kehijauan hutan yang mekar, Pulau Beras Basah adalah lokasi yang patut anda lawati sekiranya mendambakan pemandangan yang menyegarkan mata.

Anda dapat menikmati pemandangan air laut yang jernih serta pasir putihnya sambil bermandi-manda atau sekadar berkelah di tepi pantai dan menikmati bayu laut yang mendamaikan. Jangan lupa untuk membawa kamera sekali, mana tahu kalau tiba-tiba muncul burung helang atau ikan lumba-lumba di pantai ni?

Alamat: Pantai Tengah, 07000 Langkawi


48. Pulau Dayang Bunting

Pulau Dayang Bunting Langkawi Image
Sumber: ASAR Travel & Tour

Pulau Dayang Bunting, dengar namanya sahaja dah rasa macam pelikkan? Di sinilah terletaknya sebuah kawasan tasik yang dikatakan menjadi tempat kegemaran puteri kayangan yang bernama Mayang Sari. Malahan kalau dilihat dari jauh, tasik yang terletak dalam jejeran bukit ini kelihatan seperti seorang wanita yang bunting dalam keadaan berbaring.

Sekiranya anda sampai ke kawasan tasik di sini, anda boleh menikmati pemandangan dari platform terapung yang disediakan sambil merendamkan kaki di dalam air tasik. Nak lagi best, terjun dalam air tasik ini untuk sebuah mandian yang sangat menyegarkan badan, tapi jangan lupa untuk mengenakan jaket keselamatan.

Untuk pengetahuan anda, ada juga yang datang semata-mata untuk minum air dari tasik ni yang dipercayai mujarab untuk mendapatkan anak.

Alamat: Pulau Dayang Bunting

Bayaran: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3


49. Island Horses

Island Horses Langkawi Image
Sumber: Island Horses Langkawi

Island Horses adalah salah satu aktiviti yang tidak patut anda lepaskan kalau berada di Langkawi sekiranya tak kisah untuk berbelanja lebih. Anda boleh melawat Langkawi Horses Equestrian Centre yang hanyalah 10 minit berjalan kaki dari Oriental Village Langkawi untuk sebuah pengalaman yang akan terukir di dalam memori.

Anda boleh merancang untuk menunggang kuda berdasarkan jadual yang disediakan. Jangan risau, walaupun tak pernah naik kuda, pihak Equestrian Centre ini akan pastikan semuanya disesuaikan dengan kemampuan anda.

Antara lokasi penerokaan menggunakan kuda yang ditawarkan adalah melalui kawasan-kawasan air terjun yang tersembunyi, hutan yang menghijau, kawasan-kawasan kampung dan pantai-pantai yang nyaman.

Info: Kebanyakan Rides Bermula Pada Pukul 9.00 am Atau 4.00 pm

Alamat:The Perdana Stables, Telaga Tujuh Waterfalls, Langkawi

Waktu Operasi:Selasa – Ahad (08.30am–12.30pm & 02.00pm–05.30pm) | Isnin (Tutup)

Harga Tiket:

  • Fun Ride: RM60
  • Beach Rides: RM60
  • Jungle Rides: RM240
  • Mountain Trail: RM440

50. Kompleks Kraf Langkawi

Kompleks Kraf Langkawi Image
Sumber: Kompleks Kraf Langkawi

Kompleks Kraf Langkawi adalah sebuah tarikan yang berkeluasan 98,000 kaki persegi yang terletak sekitar 21 km dari pekan Kuah.

Kompleks yang luas ini memiliki dua buah muzium untuk anda terokai iaitu Muzium Warisan dan Muzium Adat Istiadat Perkahwinan. Di sinilah anda dapat melihat dengan dekat bermacam barangan dan artifak peninggalan masa lampau seperti keris dan banyak lagi.

Lepas puas berjalan dalam kawasan yang seluas ini, mesti rasa laparkan? Tak perlu susah-payah cari kedai makan di tempat lain sebab di kompleks ini juga ada sebuah restoran yang menghidangkan masakan tradisional Melayu yang menarik untuk dicuba.

Alamat: Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu, Mukim Bohor

Waktu Operasi: Setiap Hari (09.00am–06.00pm)


51. Nusantara Gamat

Nusantara Gamat Langkawi Image
Sumber: Jieyune Iyune‎

Setiap kali luka je, mesti nak sapu minyak gamat, sampai dah tinggal sikit minyak tu kat rumah. Nak isi balik stok minyak gamat di rumah tu, anda boleh datang ke Nusantara Gamat.

Bukan je dapat beli minyak gamat dengan harga yang wow tapi juga dapat melihat sendiri di depan mata macam mana proses dari awal sampai akhir minyak gamat ini dihasilkan!

Hati-hati, kalau anda datang ke sini, bukan minyak gamat je yang akan dibeli, banyak lagi produk lain berasaskan gamat yang tak boleh kalau tak beli memandangkan khasiatnya tinggi bukan main seperti balm, sabun dan macam-macam lagi.

Alamat: Nusantara Gamat, Jalan Padang Mat Sirat

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (08.30am–05.00pm) | Jumaat, Sabtu (08.30 am–07.00 pm) | Ahad (09.00 am–07.00 pm)


52. Herbwalk Langkawi

Herbwalk Langkawi Image
Sumber: Herbwalk Langkawi

Ingin menimba ilmu lebih banyak tentang tumbuhan-tumbahan herba dan kepentingannya untuk kesihatan? Anda boleh menyertai sesi lawatan taman Herbwalk Langkawi. Sambil menghirup udara segar di dalam taman, anda akan diberikan penerangan yang mendalam oleh Dr. Abdul Ghani Hussain yang telah terlibat dalam dunia perubatan di Langkawi lebih daripada 30 tahun.

Dr. ini kini sedang memberikan perhatian kepada penyelidikan tentang perubatan tradisional Melayu dan perubatan Islamik, di samping aktif mengumpulkan koleksi tumbuhan dengan manfaat perubatan sejak tahun 2000. Kini koleksinya telah pun mencapai 500 jenis kesemuanya.

Anda sekeluarga boleh bertanya sebanyak mungkin soalan berkaitan kesihatan dan penyelidikan-penyelidikan yang telah dilakukan dalam suasana santai. Di akhir sesi, anda akan dibawa ke sebuah pondok tradisional untuk menikmati teh dan kudapan tempatan.

Notis: Perlu Membuat Tempahan Lawatan Sekurang-kurangnya 2 Minggu Sebelum Lawatan

Alamat: 8th Mile Jalan Ayer Hangat | Mukim Ayer Hangat, Langkawi 07000

Waktu Operasi: Isnin – Khamis & Ahad (09.00am–11.00pm) | Jumaat & Sabtu (Tutup)

Bayaran: Satu Sesi Dengan Bilangan Maksimum 25 Pax  RM750


53. Langkawi Canopy Adventure

Langkawi-Canopy-Adventure-Main-Image
Sumber: Langkawi Canopy Adventures

Langkawi Canopy Adventure adalah sebuah adventure yang tak patut anda lepaskan sekiranya berada di Langkawi. Anda dapat menikmati keindahan yang ditawarkan Gunung Raya Langkawi sambil melakukan pelbagai aktiviti yang mendebarkan jiwa seperti ziplining, merentas hutan yang tebal, abseiling dan memanjat pokok-pokok. Dengar pun dah rasa mengah kan?

Masa yang diambil pun bukannya pendek kerana di sinilah tahap stamina anda akan betul-betul teruji dalam sekitar 2 ke 3 jam. Kalau anda memang sukakan aktiviti lasak, kepuasan melakukan aktiviti ini tak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Alamat: No 1176, Jalan Batu Belah Batu Bertangkup, Kampung Bukit Lembu, 07000 Langkawi

Bayaran: Dari RM180+


54. Taman Lagenda

Taman Lagenda Langkawi Main Image
Sumber: RA TRAV Car Rental Langkawi

Dibuka pada tahun 1996, Taman Lagenda Langkawi adalah hasil cetusan idea daripada Tun Mahathir. Taman yang berkeluasan 50 ekar ini adalah sebuah lokasi yang perlu dilawati sekiranya anda ingin tenggelam dalam kisah-kisah mitos yang melibatkan Langkawi.

Segala bentuk tugu atau ukiran patung yang menggambarkan legenda atau mitos Langkawi dapat dilihat. Ia juga lengkap dengan papan yang menyampaikan kisah di sebalik arca yang dipamerkan, tak ubah seperti sebuah ‘muzium terbuka’.

Di samping semua ini, tarikan lain yang turut dapat dinikmati di sini adalah 4 buah tasik buatan yang indah, bukit tinjau yang berketinggian 20 kaki, laluan berjogging dan banyak lagi!

Alamat: Kuah, 07000 Langkawi


55. Taman CHOGM

Taman CHOGM Pulau Langkawi Image
Sumber: Amar Pared

Taman CHOGM adalah sebuah tarikan yang berkeluasan 10 ekar yang didirikan untuk memperingati Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel yang telah diadakan di Langkawi pada tahun 1989.

Di dalam taman ini, pelbagai jenis pokok telah ditanam oleh delegasi dari pelbagai negara yang telah datang ketika mesyuarat komanwel ini. Yang menariknya, setiap pokok yang ditanam turut ditandai dengan nama dan negara asal penanam benih pokok tersebut.

Bagi anda yang datang bersama anak-anak kecil, taman ini turut memiliki sebuah taman permainan kanak-kanak.

Alamat: Taman CHOGM, Persiaran Putra, Kuah


56. Langkawi Upside Down House

Langkawi Upside Down House Image
Sumber: Rumah Terbalik Langkawi

Ini adalah salah sebuah lokasi yang anda kena pastikan bateri kamera dan phone dah full sebelum sampai, kalau tak, rugi sebab ini adalah sebuah tarikan unik yang mesti diabadikan dalam foto! Langkawi Upside Down House adalah rumah terbalik yang terletak di dalam kontena.

Disebabkan ianya dipanggil ‘upside down’, semua benda yang ada dalam kontena ni adalah dalam kedudukan terbalik. Sampai anda pun boleh pening kepala tertanya-tanya sama ada anda yang terbalik atau barang dalam rumah ni yang terbalik. Jangan malu untuk posing pula! Ada lebih daripada 15 kawasan bergambar ‘lintang-pukang’ yang terdapat di sini.

Alamat: Jalan Padang Matsirat, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am-06.00pm)

Bayaran: Dewasa RM18 | Kanak-kanak RM15


57. Umgawa Legendary Adventures

UMGAWA Zipline Eco Adventure Langkawi Image
Sumber: Umgawa Legendary Adventures

Terletak tidak jauh dari Kereta Kabel Langkawi, UMGAWA Legendary Adventures adalah sebuah tarikan yang teramatlah best untuk dicuba! Walaupun bayarannya tidaklah murah, tapi pengalaman yang dapat dirasai sewaktu melakukan aktiviti yang ditawarkan tidak dapat ditukar ganti dan pasti tak akan dilupakan seumur hidup.

Kalau dah namanya pun ‘Zipline,’ inilah tarikan utamanya. Cukup panjang laluan yang akan ditempuhi, sambil bergantung pada zipline ni, anda dapat menikmati pemandangan sekitar Gunung Mat Chincang, Air Terjun Telaga Tujuh dan banyak lagi!

Alamat: Umgawa Legendary Adventures, Jalan Telaga Tujuh, 07100 Langkawi

Waktu Operasi: Setiap Hari (08.30am-04.30pm)

Bayaran:

  • New Jungle Flight: RM234+
  • Jungle Flight + Go Kart 1 Heat Combo: RM267+
  • Big Waterfall Adventure: Dari RM493+
  • Big Waterfall Adventure + Go Kart 3 Heat Combo: RM596+
  • Umgawa Big Waterfall Adventure + Jungle & Beach Horse Riding Tour: RM658+
  • Big Waterfall Adventure + Helicopter Ride: RM761+
  • Zip + Eat + Swim Super Combo Package: RM1151+
  • 1 Day Umgawa Big Waterfall Adventure + Junglewalla Mangrove River Cruise & Swimming Tour: RM1193+
  • 2 Day Umgawa Big Waterfall Adventure + Junglewalla Mangrove River Cruise & Swimming Tour: RM1193+
  • 1 Day Umgawa Big Waterfall Adventure + Mega Water Sports Jetski Tour: RM1234+
  • 2 Day Umgawa Big Waterfall Adventure + Mega Water Sports Jetski Tour: RM1234+
  • Big Waterfall Adventure + Sunset Party Yacht Cruise: RM1382+
  • Premium Private Flight – Exclusive: RM1769+
  • Big Waterfall Adventure + Skydive Combo: RM2324+

58. Kompleks HIG

Kompleks HIG Langkawi Main Image
Sumber: Haji Ismail Group

Tak sah kalau tak shopping di Langkawi ni kan? Tapi di mana lokasi shopping tu? Kompleks HIG adalah salah satu tempat yang boleh dilawati untuk sesi keringkan poket. Dekat sini ada bermacam barangan yang dijual dengan harga yang membuatkan anda rasa macam nak borong semuanya!

Dari pinggan-mangkuk, kain pelikat, minyak gamat dan macam-macam lagi, boleh dibeli tanpa rasa bersalah!

Alamat: Jalan Pandak Mayah, Pusat Bandar Kuah, 07000 Kuah

Waktu OperasiSetiap Hari Kecuali Jumaat (09.00am–09.30pm) | Jumaat (09.00am–01.00 pm, 02.30pm–09.30 pm)


59. Gunung Raya

Gunung Raya Pulau Langkawi Main Image
Sumber: Langkawi Hotspot

Nak tahu gunung apa yang tertinggi di Langkawi? Gunung Rayalah jawapannya. Gunung yang berketinggian 881 meter ini juga cukup kaya dengan flora dan fauna yang menarik untuk diteroka. Antara hidupan liar yang terdapat di sini adalah monyet, burung helang, burung enggang, kelawar dan banyak lagi.

Sebaik sampai ke kawasan puncak gunung ini, anda akan disajikan dengan pemandangan yang mengujakan sekitar Langkawi, perairan Andaman dan pulau-pulau yang terletak di atasnya.

Alamat: Jalan Air Hangat, Langkawi


60. Idaman Suri

Idaman Suri Langkawi Image
Sumber: Start Travel Tour

Idaman Suri adalah sebuah lagi lokasi membeli-belah yang menarik di Langkawi. Kalau nak tahu, inilah syurga membeli-belah bagi kaum hawa. Di Idaman Suri ini bermacam barangan kelengkapan rumah yang termasuklah pingan-mangkuk dijual dengan harga yang membuatkan wanita rambang mata. Rasanya, boleh penuh satu kereta kalau dah sekali datang ke sini!

Alamat: Bangunan Idaman Suri, No. 1, Taman Seri Berlian, Kedah, 07000 Kuah

Waktu Operasi:Isnin – Khamis (10.00am–08.00pm) | Sabtu, Ahad (09.30am–08.00pm) | Jumaat (Tutup)


61. Pekan Kuah

Pekan Kuah

Mengikut lagenda, Pekan Kuah mendapat namanya daripada peristiwa pergaduhan anatara dua gergasi, Mat Cincang dan Mat Raya yang wujud pada masa silam.

Akibat daripada pertarungan ini kuah gulai tertumpah mengenangi kawasan ini dan dari situ Pekan Kuah mendapat namanya. Di pekan ini terdapat:

  • Tempat membeli-belah bebas cukai
  • Jeti Feri
  • Dataran Helang
  • Restoran
  • Bank & Pejabat Kerajaan

Salah satu sebab orang datang bercuti ke Pulau Langkawi ini adalah kerana barang di sini bebas cukai. Disebabkan oleh ini, Pekan Kuah merupakan syurga membeli belah kepada yang mencari barang murah. Antara barang yang popular di sini adalah:

  • Coklat Impot Jenama Antarabangsa
  • Set Pinggan Mangkuk & Barang Dapur
  • Minyak Gamat

Jika anda mencari tempat makan yang best di Langkawi anda akan jumpa di pekan ini. Anda boleh pilih untuk menjamu selera dengan hidangan seperti nasi kandar hingga ke makanan laut segar.

Alamat: Kuah, 07000 Bandar Kuah, Kedah


62. Pantai Cenang

Pantai Cenang Langkawi Main Image
Sumber: Langkawi Fans

Pantai Cenang adalah antara kawasan pantai yang paling terkenal di Langkawi. Kalau dah terkenal, sudah semestinya kawasan di sekitar tidak mengecewakan, cukup meriah dengan pelbagai jualan barangan dan tempat-tempat yang menawarkan aktiviti air yang menarik seperti jet ski, parasailing, banana boat dan banyak lagi. Tempat makan? Macam-macam kedai ada di sini, pilih sahaja yang menarik selera anda.

Pantai yang juga merupakan antara yang terpanjang di Langkawi ini agak padat dari bulan Oktober hingga Mei. Kalau anda ke Langkawi sekitar bulan yang padat ni, waktu yang terbaik adalah di awal pagi untuk mendapatkan lebih privasi.

Alamat: Pantai Cenang, Langkawi 07000


Mencari Penginapan di Pulau Langkawi

Untuk mencari penginapan pula anda tidak akan kekurangan pilihan kerana terdapat banyak tempat penginapan di Pulau Langkawi, setiap satu menawarkan harga dan fasiliti yang berlainan.

malibest-resort-picture-1

Tidak kira anda bercuti bersama keluarga, rakan-rakan atau seorang diri, pasti ada penginapan yang sesuai dengan keperluan dan cita-rasa anda.

Dua lokasi yang menjadi tumpuan pelancong apabila memilih tempat penginapan di Langkawi adalah Pekan Kuah dan Pantai Cenang.

Untuk memberi anda sedikit gambaran berkenaan dengan harga dan jenis penginapan yang boleh di jumpai di Pulau Langkawi saya telah menulis 2 post untuk memudahkan pembaca membuat pilihan terbaik mengikut bajet.

Baca: 32 Hotel Bajet Di Batu Ferringhi Yang Selesa Untuk Bajet Traveller

Post pertama saya telah menyenaraikan hotel murah di Pulau Langkawi popular yang terletak di sekitar pulau tersebut.

Post yang kedua pula saya hanya menyenaraikan hotel murah di Pantai Cenang, khas untuk mereka yang lebih gemar bermalam di tepi pantai semasa bercuti nanti.

Setiap kali saya ingin menyemak harga terkini, melihat gambar dan membaca pengalaman orang lain bermalam di sebuah penginapan ataupun membuat tempahan secara online saya membuatnya melalui Booking.com.

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Pulau Langkawi


Bulan Apa Yang Paling Sesuai Untuk Ke Langkawi?

Kalau anda telah habis membaca artikel ini,sudah pasti anda berhajat untuk bercuti ke Langkawi dan kami janji keputusan anda untuk bercuti di pulau ini tidak akan dikesali.

Jika anda tertanya-tanya bulan apakah yang paling sesuai untuk merancang percutian ke Langkawi, jawapannya terpulang kepada suasana yang anda suka.

Mengikut data pelancong yang dikumpul oleh Langkawi Development Authority untuk tahun 2022:

  • bulan yang paling ramai pelancong adalah bulan Disember
  • bulan yang kurang pengunjung adalah bulan Mei, June dan Julai
jumlah ketibaan pelawat ke pulau langkawi bagi tahun 2022
Sumber: lada.gov.my

Tips jika anda ingin mendapatkan bilik hotel yang murah, anda perlu elak daripada datang bercuti pada bulan yang sibuk, kerana harga bilik hotel juga akan naik mengikut kadar permintaan. Semakin ramai yang berkunjung , semakin mahal harga hotel.

Fakta Menarik Tentang Pulau Langkawi

Terdapat pelbagai aktiviti di langkawi yang anda boleh lakukan untuk mengisi masa anda disana nanti seperti melawat tempat menarik di Langkawi dan juga shopping di Langkawi.

Jangan risau pasal bajet kerana terdapat pelbagai agensi pelancongan yang menawarkan pakej percutian ke Langkawi yang anda boleh pilih mengikut kesesuaian bajet anda.

Pelbagai initiatif daripada Kementerian Pelancongan untuk mempromosi pelbagai tempat bercuti di Malaysia melalui kerjasama dengan agensi-agensi pelancongan untuk mengadakan pelbagai festival pelancongan seperti MATTA Fair , MITA Go Domestic dan sebagainya.

Pulau Langkawi terletak di persisiran barat laut Semenanjung Malaysia. Pulau Langkawi juga merupakan salah sebuah tempat percutian menarik di Malaysia yang kaya dengan sejarahnya yang tersendiri dan juga menjadi tumpuan destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Menurut sumber yang kami perolehi dari laman Web Langkawi Development Authority, sebanyak 2.5 juta pelancong yang telah datang melancong di Pulau Langkawi pada tahun 2022.

Memang tidak dapat dinafikan, keindahan alam semulajadi dan warisan geologi seperti gunung-ganang, pulau-pulau dan pantai-pantai yang indah menjadikan Pulau Langkawi sebagai tempat pelancongan di Malaysia yang dikenali sehingga peringkat antarabangsa.

Pulau Langkawi juga telah mendapat pengitirafan “Geopark” dari UNESCO (Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan) pada 1 June 2007.

Ini kerana pembentukan struktur batuan yang menarik yang dikelilingi oleh hutan purba , gua yang luas dengan stalaktit dan stalagmit , hutan paya bakau, gua laut, terowong semulajadi , hidupan liar dan air terjun.

Terdapat lebih daripada 90 lokasi tapak Geo yang telah ditemui di rantau ini tetapi hanya tiga kawasan sahaja yang membentuk Langkawi Geopark :

  1. Kilim Geoforest Park Karst
  2. Machinchang Geoforest Park Cambrian
  3. Pulau Dayang Bunting Marble Geoforest Park

Bagaimana Untuk Ke Pulau Langkawi?

Anda boleh menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) atau Subang Airport dan anda akan tiba ke Langkawi International Airport yang terletak di Padang Matsirat.

Jika anda memilih untuk memandu atau menaiki bas, anda perlu menaiki feri dari Jeti Pulau Pinang , Kuala Kedah atau Kuala Perlis. Anda boleh mendapatkan maklumat lengkap berkaitan :

  1. Tiket Penerbangan Langkawi
  2. Tambang bas Langkawi
  3. Tambang Feri Langkawi
  4. Perkhidmatan sewa kereta Langkawi
  5. Perkhidmatan teksi Langkawi

Habis sudah senarai tempat menarik di Langkawi yang telah kami sediakan. Kalau anda ada cadangan untuk tambah Lokasi ataupun hendak berkongsi pengalaman anda bercuti di pulau langkawi sila hubungi kami dan kami akan kongsi pengalaman anda di Laman Blog kami. Selamat Bercuti!

Sumber Gambar: naturallylangkawi.my

4.6/5 - (64 votes)