16 Air Terjun Di Selangor Yang Menarik Untuk Day Trip | Seronok & Best

Selangor antara negeri yang tersibuk dengan perkembangan ekonomi serta pembangunan semasa. Dan tidak dinafikan lagi ia merupakan salah satu negeri yang banyak memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Namun, siapa sangka di sebalik kesibukan itu terdapat beberapa lokasi dan khazanah alam yang mampu memberikan ketenangan kepada warga kota yang berkampung di situ.

Cukup tenang, cukup mendamaikan serta cukup memberikan kerehatan kepada minda buat warga kota apabila sesekali dapat lari dari kesibukan urusan kerja dan dapat menghabiskan masa senggang di kawasan kampung. Lebih-lebih lagi di kawasan pergunungan yang menghijau. Tambahan pula, dapat mandi manda air terjun yang dingin.

Bagi warga kota yang dahagakan masa senggang diisi dengan aktiviti-aktiviti menarik di kawasan semula jadi ini, apa kata kali ini anda ambil peluang dengan menghabiskan masa hujung anda bersama keluarga atau rakan-rakan ke kawasan air terjun di kaki-kaki bukit sekitar Selangor. Keriangan anak kecil bermain di dalam air dan si isteri sibuk menyediakan makanan di kawasan teduh sudah cukup membuatkan anda tersenyum bahagia.

Kali ini, kami di maisinggah.com berbesar hati menyenaraikan 16 Air Terjun Di Selangor Yang Menarik untuk anda sekeluarga. Rancanglah aktiviti hujung minggu anda sebaiknya dan dapatkan kerehatan minda yang sebenar sambil menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

16. Air Terjun Chilling

Jika anda seorang yang gilakan sesuatu yang mencabar? Lasak dan mengujakan? Jika ya, Air Terjun Chilling adalah lokasi yang tepat dan sesuai dengan jiwa anda. Perlu merentasi 5 batang anak sungai, mengharungi anak sungai yang berbatu dan licin serta perlu melepasi titi gantung adalah antara cabaran yang bakal anda hadapi untuk sampai ke kawasan air terjun.

Tetapi semua cabaran ini sangat berbaloi apabila melihat air terjun yang bertingkat, panorama hutan yang masih kekal tak terusik, kejernihan air yang mengalir serta anak-anak ikan riang berlari disekeliling kaki. Penat dan lelah sebentar tadi seolah-olah hilang sebaik saja anda tiba di lokasi ini.

Baca:73 Destinasi Pelancongan Paling Popular Di Selangor

Untuk makluman anda yang belum pernah ke sini, Air Terjun Chiling hanya akan dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pada jam 8.00 pagi sehingga 6 petang. Jadi rancang aktiviti anda di sini sebaiknya. Jika ingin mencuba trek ke kawasan air terjun yang paling atas, pastikan anda mula mendaki pada sebelah pagi kerana selepas jam 3 petang sebarang aktiviti pendakian adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

Dilarang memasak, memancing, membuang sampah merata-rata dan mandi ketika hujan adalah antara peraturan yang perlu dipatuhi semasa berkunjung ke sini.

Alamat: Santuari Ikan Sg Chilling, Kuala Kubu Bharu.


15. Air Terjun Sungai Tua – Ulu Yam

Air Terjun Sungai Tua di Ulu Yam
Sumber: Jasson King Fans Official

Air Terjun Sungai Tua merupakan salah satu kawasan air terjun yang terbaik bagi aktiviti anda sekeluarga. Terdapat sungai yang cetek dan amat sesuai serta selamat bagi aktiviti mandi manda si kecil. Selain itu, terdapat juga kemudahan pondok untuk berteduh di tepi sungai serta mudah untuk diakses dengan menggunakan kereta ke kawasan ini adalah antara faktor utama tempat ini menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu.

Bukan itu saja, lokasinya bersebelahan dengan taman rekreasi juga menjadikan ia lebih istimewa berbanding kawasan air terjun yang lain. Bagi anda yang merancang untuk ke sini nanti, pastikan anda membuat persiapan yang rapi dan memastikan cuaca yang baik.

Sekiranya hujan, kami nasihatkan supaya anda membatalkan dulu aktiviti di kawasan ini bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini berlaku seperti kes kepala air pasang. Ingat keselamatan anda dan orang tersayang adalah lebih dari segala-galanya.


14. Air Terjun Kancing – Selayang

Apa yang menariknya di Air Terjun Kancing Selayang sehingga ia tersenarai dalam senarai air terjun menarik di Selangor ini? Untuk makluman anda, terdapat 7 peringkat air terjun untuk anda terokai bersama rakan-rakan serta keluarga pada hujung minggu di sini.

Tapi, pastikan stamina anda cukup ye sebelum ke sini kerana untuk sampai ke peringkat yang paling atas anda perlu meredah hutan terlebih dahulu. Namun begitu jangan risau kerana ianya amat berbaloi bagi anda si pencinta alam semula jadi.

Pemandangan yang cantik, suasana yang dihiasi dengan kicauan burung serta kerjenihan air dingin yang memikat hati bakal anda nikmati nanti.

Selain dari itu, sungai yang cetek serta kurang berbatu sangat sesuai untuk aktiviti berenang terutamanya bagi anak-anak kecil. Kemudahan seperti tandas, surau dan tempat persalinan pakaian antara keistimewaan dan kemudahan lain turut disediakan di sini.

Alamat: Hutan Lipur Kanching di antara Selayang dan Rawang


13. Air Terjun Komanwel – Selayang

Air Terjun Komonwel Selangor
Sumber: Luke Li

Jika sebelum ini Air Terjun Kanching sudah anda terokai, apa kata sekarang kita jelajahi pula Air Terjun Komanwel yang terletak di Hutan Rimba Komanwel, berhadapan dengan Hutan Lipur Kanching. Ramai yang kata destinasi ini sangat sesuai untuk aktiviti lasak secara berkumpulan mahupun persendirian.

antara aktiviti lasak yang boleh anda lakukan di sini adalah menunggang kuda, berakit, jungle trekking serta flying fox. Di samping itu, jika anda ingin mencuba sesuatu yang baru jangan lepaskan peluang untuk mencuba aktiviti abseiling dan juga mountain bike di trek yang disediakan.

Bagi anda yang sukakan aktiviti santai pula, kami syorkan anda untuk berkampung di tapak perkhemahan yang disedaikan. Pasti seronok apabila waktu pagi boleh mandi-mandi dan malam hari pula boleh berborak sambil diterangi unggun api!

Alamat: Taman Rimba Komanwel, km23, Jalan Kuala Lumpur Rawang, 48000 Rawang


12. Air Terjun Perdik – Hulu Langat

Air Terjun Perdik adalah kawasan yang sangat sesuai bagi kumpulan atau rakan sekerja yang inginkan aktiviti team building. Jungle trekking yang mencabar serta aktiviti pendakian ke Bukit Chenuang yang berketinggian 850 meter dari paras laut pasti dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli kumpulan.

Tambahan pula suasana yang mendamaikan serta berbagai kemudahan yang disediakan membuat Air Terjun Perdik di Hulu Langat lokasi ideal untuk beriadah bersama rakan sekerja.

Alamat: Hutan Lipur Perdik, Hulu Langat


11. Air Terjun Sungai Tekala – Hulu Langat

Air Terjun Sungai Tekala
Sumber: Shah Rifin

Air terjun Sungai Tekala memang terkenal dengan kecantikanya. Air yang jernih, suasa dingin serta kedalaman air yang cetek dan arus yang tidak deras menjadikanya destinasi yang sesuai untuk keluarga yang mepunyai anak kecil.

Tambahan pula, terdapat kolam tadahan buat pengunjung untuk berendam sememangnya cukup sesuai bagi anda sekeluarga untuk berehat rehat di sini.

Bagi anda yang belum pernah ke sini, bayaran sebanyak RM1 bagi orang dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak akan dicaj sebelum masuk ke kawasan ini. Antara kemudahan yang disediakan di sini adalah tandas dan surau.

Alamat: Hutan Rekreasi Sungai Tekala, berhampiran Empangan Semenyih


10. Air Terjun Sungai Congkak – Hulu Langat

Air Terjun Sungai Congkak
Sumber: Gerald Lim

Air Terjun Sungai Congkak cukup sinonim dan popular dalam kalangan orang Selangor. Lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti resort, kawasan lapang untuk beraktiviti secara berkumpulan serta kelestarian air terjun yang masih elok terjaga membuatkan kawasan ini sering menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu.

Air Terjun Sungai Congkak juga dikenali sebagai Congkak Park & Resort yang mana dikendalikan oleh Badan Pelancongan Selangor. Maka tidak hairan segala kemudahan dan kebersihan di sini dijaga dengan baik.

Bagi anda yang sukakan privasi bagi merehatkan minda, lokasi ini adalah yang paling tepat buat anda. Ambillah peluang untuk bermalam di resort bersebelah dengan sungai dan rasai nikmat tidur malam diulik dengan bunyi air sungai yang mengalir serta suasana dingin dek hembusan bayu.

Tapak perkhemahan yang luas, pondok berehat, kemudahan asas seperti tandas dan surau serta kebersihan diutamakan menjadikan Air Terjun Sungai Congkak antara kawasan air terjun yang layak diberikan 5 bintang!

Alamat: Batu 20 ½ Kampung Padang, Sg. Congkak, Hulu Langat, 43100 Kajang, Selangor


9. Air Terjun Kubang Gajah

Air Terjun Kemensah adalah lokasi yang tepat dan bijak untuk anda sekeluarga kerana ia berdekatan dengan Zoon Negara. Jadi anda boleh merancang untuk melakukan aktiviti mandi manda sambil berkelah di Air Terjun Kemensah selepas itu boleh meneruskan aktiviti lain pula di Zoo Negara.

Baca: 36 Tempat Menarik Untuk Family Day Di Malaysia

Air Terjun Kemensah sangat terkenal dengan kejernihan airnya, kawasan yang kurang berbatu dan terdapat kolam takungan air. Bukan itu saja, ia juga dilengkapi dengan kemudahan chalet yang sangat selesa menjadikan kawasan ini sering dipenuhi oleh para pengunjung.

Masa hujung minggu anda dan keluarga pasti lagi bermakna jika aktiviti mandi manda diselangi dengan aktiviti BBQ dan berteamboat di sana.

Alamat: Jalan Kampung Orang Asli. Kemensah, Hulu Kelang. 68000 Ampang, Kuala Lumpur


8. Air Terjun Sungai Gabai – Hulu Langat

Air Terjun Sungai Gabai Hulu Langat
Sumber: Bong Michael

Kejernihan air sungai di Air Terjun Sungai Gabai pasti akan memikat hati anda sekeluarga. Kelestarian yang masih terjaga, kedingin air yang terasa serta kemudahan yang disediakan adalah yang terbaik.

Air Terjun Sungai Gabai bukan hanya sesuai untuk aktiviti mandi manda sahaja tetapi di sini anda boleh berBBQ bersama keluarga.

Antara kemudahan lain yang disediakan di sini adalah pondok tempat berteduh yang memuatkan lebih dari 5 orang pengunjung, penjaga parking yang memudahkan urusan pengunjung serta tandas dan surau yang bersih untuk digunakan. Pendek kata Air Terjun Sungai Gabai ini serba lengkap dan anda pasti berpuas hati untuk ke sini lagi.

Info: Bayaran masuk sebanyak RM1 akan dicaj untuk setiap kepala


7. Air Terjun Templer

Air Terjun Templer terletak di dalam hutan simpanan Templer sememangnya menarik dan menjanjikan kelainan buat para pengunjung. Dengan panorama yang segar menghijau, air terjun yang bertingkat serta kedingin air sungai yang terasa hingga ke tulang sum-sum adalah tempat pelarian bagi warga kota yang inginkan suasana aman.

Kawasan Air Terjun Templer kebiasaannya akan menjadi tumpuan ratusan pengunjung yang ingin menghabiskan masa hujung minggu yang berkualiti. Tetapi jangan risau kerana tempat letak kereta dan kawasan rehat adalah mencukupi bagi menampung pengunjung yang datang ke sini.

Pondok berkelah, bilik salin pakaian dan surau disediakan bagi memudahkan urusan para pengunjung. Selain itu, laluan serta jambatan bagi menjamin keselamatan turut dibangunkan.

Bukan itu saja, pengunjung juga dilengkapi dengan kemudahan lain seperti kedai makan, tapak perkhemahan dan juga chalet bagi yang berminat untuk bermalam di sini.

Memang serba lengkap kemudahan yang ada di sini. Jadi, ibu bapa yang membawa anak kecil ke sini tidak perlu risau lagi .Cuma apa yang penting keselamatan anak-anak ketika bermain air perlu diberi perhatian lebih.

Alamat: Hutan Rimba Templer, di antara Kuala Lumpur dan Rawang


6. Air Terjun Serendah – Rawang

Air Terjun Serendah Rawang
Sumber: Angie Ng

Air Terjun Serendah, yang dikenali juga sebagai Templer Kai dan Rekreasi Air Terjun Serendah, merupakan destinasi sasaran pencinta alam popular di daerah Hulu Selangor.

Lokasinya tak jauh dari Kuala Lumpur dan mudah diakses antara faktor penarik ia dikunjungi ramai terutama oleh warga kota. Apa yang lebih menariknya, terdapat perkampungan masayrakat orang asli yang terletak tidak jauh dari kawasan ini yang boleh dilawati bersama anak-anak. Melihat cara hidup masyarakat orang asli, seni bina rumah dan cara pergaulan mereka sudah pasti percutian ini akan memberikan pengalaman yang baru buat anak-anak.

Air Terjun Serendah adalah lokasi yang ideal untuk anak-anak kecil bermain. Selain dari taman permainan yang lengkap berhampiran dengan kawasan pondok rehlah, tempat mandi mereka juga turut dilengkapi dengan tali penanda bagi menandakan kawasan cetek atau yang dalam. Ini sangat memudahkan para ibu bapa untuk mengawasi keselamatan anak-anak.

Untuk berkunjung ke sini anda boleh melalui beberapa jalan, antaranya menggunakan jalan ke pekan Serendah kemudian masuk ke persimpangan Dato’ Harun dan meneruskan perjalanan lebih kurang 4 km.


5. Air Terjun Sendat – Ulu Yam

Air Terjun Sendat atau Hutan Lipur Sungai Sendat terletak di Jalan Ulu Yam yang menuju ke Batang Kali.

Persekitaran air terjun yang dihiasi dengan floral dan fauna yang eksotik serta mempunya 3 tingkat air terjun sudah pasti menjadi daya penarik kepada para pengunjung. Berlainan kedalaman dan keluasan kolam di kawasan ini memberikan kelebihan kepada para pengunjung untuk merasai dan melakukan pelbagai aktiviti mandi manda.

Baca: Senarai Destinasi Menarik Di Shah Alam

Di tingkat pertama, kolam air di sini agak luas dan sesuai untuk aktiviti mandi manda anda sekeluarga. Manakal di tingkat ke kedua, sungainya agak cetek dan tidak sesuai untuk anda berenang. Pada tingkat ke tiga pula, anda boleh berenang tanpa sekatan dan boleh mencuba untuk melakukan terjunan ala-ala tarzan memandangkan kolam di tingkat ini agak dalam.

Alamat: 5 km dari Ulu Yam Bharu


4. Air Terjun Sungai Pisang – Gombak

Air Terjun Sungai Pisang Gombak
Sumber: Azihan Yusoff

Air Terjun Sungai Pisang sangat popular di daerah Gombak terutamanya dalam kalangan pelajar IPT di sekitar Gombak.

Pelajar dari UIA, UNIKL, BMI dan lain-lain institusi sangat gemar meluangkan masa hujung minggu dengan pelbagai aktiviti yang menarik di kawasan air terjun ini. Tak terkecuali juga dengan masyarakat di sekitar daerah Gombak. Memancing, mandi manda, jungle trekking dan berBBQ antara aktiviti yang sering dilakukan di sini.

Air sungainya yang dingin, trek meredah hutan yang sederhana lasak serta ruang bersantai yang cukup mendamaikan adalah daya tarikan utama mengapa pengunjung lebih memeilih untuk menghabiskan sisa-sisa hujung minggu mereka di sini.

Alamat: 53100 Batu Caves, Gombak


3. Air Terjun Lata Makau – Kuala Kubu Bharu

Air Terjun Lata Makau
Sumber: Kanny Goh

Kuala Kubu Bharu (KKB) sememangnya menjanjikan kepuasan yang maksimum buat si penggemar aktiviti lasak dan ekstrem. Jika sebelum ini anda sudah pun mengetahui sedikit sebanyak cabaran dan aktiviti lasak yang perlu diharungi untuk sampai ke kawasan Air Terjun Chilling yang juga terletak di KKB. Kali ini anda bakal berkenalan pula dengan Air Terjun Lata Makau.

Persiapkan mental dan fizikal sebaiknya sebelum ke sini. Ini antara pesanan untuk anda yang merancang ke air terjun Lata Makau. Untuk sampai ke lokasi ini, anda perlu meredah hutan terlebih dahulu dan perjalanannya mengambil masa kira-kira selama 2 hingga 3 jam. Agak mencabar bukan?

Melihat pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan serta dapat menyejukkan badan dengan dingin air sungai sudah pasti perjalanan anda meredah hutan sebentar tadi sememangnya berbaloi-baloi.


2. Air Terjun Semangkuk – Rawang

Air Terjun Semangkuk
Sumber: hazrul10

Air Terjun Semangkuk bukanlah seluas dan selapang air terjun yang lain. Namun, ia mempunyai daya tarikan dan keistimewaannya yang tersendiri. Lokasinya di antara Kuala Kubu Bharu menuju ke Bukit Fraser menjadikan lokasi ini sebagai tempat persinggahan wajib bagi pengunjung yang ingin bercuti ke Bukit Fraser.

Memang terasa lega dan segar sangat badan bila dapat berendam dalam air terjun yang dingin sambil menjamah bekalan yang dibawa dari rumah sebelum meneruskan perjalanan. Di sini terdapat dua kawasan mandi yang berbeza di amat sesuai untuk anak-anak kecil bermain dan kawasan bagi orang dewasa untuk berenang atau berendam.

Terdapat juga kemudahan asas lain yang disediakan di sini seperti tandas awam dan pondok rehat di tepian sungai. Jadi bagi anda yang merancang untuk bercuti ke Bukit Fraser, bolehlah singgah di Air Terjun Sungai Semangkuk untuk berehat dan mandi manda.

Alamat: Jalan 4, Kawasan Industri Greatyear Capital Rawang, 48000 Rawang, Selangor


1. Air Terjun Batu Asah – Hulu Langat

Air Terjun Batu Asah turut dikenali sebagai Air Terjun Kemensah kerana lokasinya terletak di kawasan Kampung Kemensah, Hulu Klang Selangor. Jadi, jangan keliru bila ada sesetengah yang meyebut Air Terjun Kemensah dan yang lain menggelarnya sebagai Air Terjun Batu Asah kerana ianya lokasi yang sama dengan dua nama yang berbeza.

Bagi anda yang inginkan pengalaman yang baru dalam menerokai keindahan semula jadi di lokasi ini, All Terrain Vehicle atau juga dikenali sebagai ATV rides adalah sesuatu yang wajib anda cuba. Bukan saja dapat merasai kelasakan ketika mengikuti geng ATV rides bahkan anda juga dapat menikmati keindahan alam semula jadi secara lebih dekat lagi.

Di samping itu, kewujudan camp site, tempat khas untuk berBBQ serta chalet Jeram Teratak Angah menjadikan ia sangat popular di kalangan keluarga untuk berlibur pada hujung minggu atau pada hari cuti am.


Secara amnya, kawasan air terjun boleh dikategorikan sebagai lokasi yang sangat menarik dan disyorkan untuk anda berlibur bersama keluarga mahupun rakan-rakan pada hujung minggu ataupun pada hari cuti am.

Percutian di kawasan yang kaya dengan keindahan alam semulajadi seperti ini dapat memberikan ketenangan serta kedamaian bagi mereka yang sudah penat bekerja dan mahu melarikan diri dari kesesakan kota untuk seketika.

Baca: 18 Tempat Glamping Menarik Di Malaysia Yang Seronok & Mesra Alam

Dapat melihat flora dan fauna yang bebas dan riang membesar di kawasan hutan, kedengaran pula deru arus sungai yang mengalir serta kejernihan air sungai yang jelas kelihatan sememangnya satu nikmat yang tak dapat digambarkan dengan kata kata.

Bagi memastikan kelestarian kawasan air terjun dan perhutanan ini terjaga, marilah sama-sama kita bergandingan dalam memelihara kebersihan serta kemudahan-kemudahan yang telah disediakan sebaiknya.

Untuk pengetahuan para pembaca, 16 lokasi air terjun yang menarik di sekitar Selangor yang telah kami kongsikan ini adalah antara yang sering menjadi pilihan para pengunjung. Namun begitu, masih terdapat banyak lagi lokasi air terjun di Selangor yang tak dapat kami kongsikan dalam entri ini.

4.4/5 - (5 votes)