Terletak di Padang Matsirat, beberapa minit sahaja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Atma Alam Batik Art Village merupakan sebuah tarikan yang menampilkan pelbagai hasil seni batik buatan tangan yang cantik-cantik belaka.
Antara hasil seni tangan yang ditawarkan adahalah lukisan batik, batik bercorak, produk kraf tangan dan pakaian.
Seni bina bangunannya pun penuh dengan sentuhan seni yang tidak kurang hebatnya. Bangunan ini menampilkan elemen seni bina tradisional dengan sentuhan sejarah temptan di setiap sudut.
Bacaan Yang Disyorkan:
Cetusan Idea Dua Seniman Tempatan Yang Berbakat
Diasaskan oleh Aza Osman, seorang pelukis tempatan yang terkenal dengan bakatnya, bersama isterinya, Roshadah Yusof atau sada kepada yang lebih mengenalinya, merupakan seorang pereka dan seniman batik yang popular.
Pasangan ini mula menetap di Langkawi pada tahun 1987 sebelum mengasaskan kampung seni batik ikonik ini.
Dengan portfolio yang mantap, Atma Alam Batik Art Village juga mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Seni, dan Warisan Malaysia.
Aktiviti Menarik Di Alam Batik Art Village
Di bahagian kanan bangunan, terdapat Bengkel Batik yang menampilkan pelbagai karya batik dengan corak yang halus dan menawan, jelas hasil tangan karyawan yang mahir.
Di sini, seniman akan mempamerkan lukisan batik mereka kepada pengunjung sambil menjelaskan proses penciptaan batik.
Selain itu, terdapat juga bengkel batik di mana pengunjung boleh mencuba tangan melukis batik sendiri. Jangan lepaskan peluang ini untuk melepaskan artis dalaman anda.
Bagi mereka yang ingin membeli hasil karya batik asli pula boleh terus ke showroom batik dan memilih dari pelbagai produk eksklusif seperti lukisan, kraftangan, dan baju.
Terdapat bermacam-macam pilihan kain dan pakaian batik yang direka oleh seniman tempatan di bawah bimbingan Roshadah, selari dengan citarasa dan bajet anda.
Di bahagian Galeri Seni pula, anda dapat melihat hasil karya Aza Osman dan isterinya.
Lukisan minyak Aza banyak mengambil inspirasi aspek rohani kehidupan, manakala Roshadah pula tekun menyiapkan tempahan peribadi, mengubah keinginan menjadi karya seni.
Bagi mereka yang berminat untuk melukis batik, Roshadah juga menawarkan kursus peribadi berkumpulan khas bagi mereka yang ingin meningkatkan kemahiran melukis batik mereka.
Walaupun terdapat banyak kawasan menarik di kompleks ini yang amat sesuai dijadikan latarbelakang gambar, pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar. Ini adalah untuk memastikan reka bentuk seni asli mereka tidak ditiru.
Jika anda tertarik untuk melihat dengan mata sendiri hasil karya batik luarbiasa keluaran anak tempatan ini,
Atma Alam Batik Art Village adalah destinasi yang sempurna untuk menghayati keindahan warisan seni batik Malaysia. Dengan pelbagai tarikan menarik, pengalaman interaktif, dan peluang membawa pulang hasil karya seniman tempatan, menjadikanya tarikan ini wajib disertakan dalam itinerari anda semasa bercuti ke Langkawi nanti.
Alamat: Atma Alam Batik Art Village, Padang Mat Sirat, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
Waktu Operasi: Setiap Hari (10:00am-6:00pm)
Harga Tiket: Masuk Adalah Percuma
Media Sosial: Facebook | Instagram
Soalan Lazim
1. Adakah terdapat yuran masuk untuk mengunjungi Alam Batik Art Village?
Tidak, pengunjung boleh mengunjungi Alam Batik Art Village secara percuma. Anda hanya perlu membayar jika ingin mengikuti sesi batik atau membeli hasil karya batik yang dipamerkan.
2. Bolehkah saya mengambil gambar atau merakam video di dalam Alam Batik Art Village?
Pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar atau merakam video di dalam Alam Batik Art Village. Ini adalah untuk melindungi hak cipta reka bentuk seni asli yang mereka hasilkan dan memastikan karya-karya tersebut tidak ditiru.
3. Adakah sesi batik dan kursus berkumpulan di Bengkel Batik memerlukan tempahan awal?
Walaupun tempahan awal mungkin tidak diperlukan, anda disarankan untuk menghubungi pihak Atma Alam Batik Art Village terlebih dahulu sebelum mengunjung untuk mendapatkan maklumat tentang jadual dan kursus yang ditawarkan.