Gabungan kafe dan perpustakaan adalah umpama syurga bagi seorang pencinta buku. Bukan setakat dapat memuaskan selera tapi juga dapat mengisi minda dengan info baru atau tenggelam dalam dunia fantasi dengan kisah-kisah dari serata dunia.
Persoalannya di manakah syurga ulat buku ni? Ini dia satu-satunya senarai paling lengkap untuk book cafe di sekitar Selangor. Teruskan membaca.
Kandungan
- 12. Ink Library Cafe
- 11. Bukku Cafe
- 10. MeTime Book Cafe
- 9. Book Barter Cafe
- 8. Pages Book Cafe
- 7. BookXcess @ Starling Mall
- 6. Departure Lounge @ Damansara Uptown
- 5. Kamilah’s Lifestyle & Book Cafe @ Subang Jaya
- 4. Kafe Buku Oakheart @ Bandar Baru Bangi
- 3. The Library Coffee Bar
- 2. Lit Books, Petaling Jaya, Selangor
- 1. BookXcess Tamarind Square
12. Ink Library Cafe

Daripada namanya, Ink Library Cafe sudah dapat dibayangkan bagaimana suasana kafe ini. Kafe yang selesa ini menyajikan pemandangan yang indah bagi pencinta buku di mana buku-buku tersusun kemas di dinding kafe.
Suasana kafe juga selesa untuk anda membaca kerana cahaya daripada luar yang menyelinap masuk melalui tingkap luas dari lantai ke siling. Di samping itu mereka turut menyediakan ruang bacaan yang siap dengan kerusi cozy berserta lampu lantai.

Sambil membaca anda boleh menikmati pelbagai jenis hidangan yang secara umumnya terdiri daripada masakan barat seperti Chicken Pepperoni Pizzza, Burger Patty, New York Cheese Cake dan banyak lagi, terdapat juga menu tempatan yang menarik untuk dicuba seperti Nasi Goreng Kampung. Minuman yang ada pula adalah seperti Matcha Latte, Hot Chocolate, Mocha dan sebagainya.
Instagram: @inklibrarycafe
Facebook: inklibrarycafe
11. Bukku Cafe

Dari luar, Bukku Cafe tidak ubah gayanya seperti kedai di negara Jepun lebih-lebih lagi dengan penggunaan tulisan Jepun pada sebahagian nama kedai yang terpapar di dinding depan. Vibe unik cafe ini terserlah dari ruangan luarnya lagi.
Suasana di dalamnya juga tidak kurang menariknya, dikelilingi oleh warna coklat daripada tona kayu perabot yang digunakan dan juga putih pada bahagian dinding, perkakasan dan sebahagian perabot yang ada, atmosfera kafe ini cukup selesa untuk anda bersantai menikmati hidangan dalam ketenangan sambil membaca buku. Bukan itu sahaja, anda juga boleh memilih untuk duduk di ruang outdoor di bawah dedaun hijau dan langit biru.

Antara makanan signature yang ada di kafe dua tingkat ini adalah seperti Salted Egg Yolk Croissant dan Lemongrass Chicken Rice.
Terjumpa buku yang mustahil untuk anda berhenti membaca? Boleh dibawa pulang, namun dengan satu syarat! Anda juga perlu meninggalkan atau mendermakan buku anda sendiri supaya proses pertukaran buku sentiasa berlaku sesama pengunjung kedai.
Facebook: ブック Bukku Cafe
10. MeTime Book Cafe

MeTime Book Cafe cukup sesuai dengan namanya, cafe ini jauh sekali daripada apa yang kita bayangkan. Ia bukan sahaja menyediakan meja dan kerusi untuk dijadikan sudut bacaan, tapi juga ruangan peribadi dengan pembahagi kayu yang dapat mengurangkan gangguan pandangan anda daripada dunia luar.
Pernah dengar tentang hotel berkonsep pod? Gaya pod inilah yang diketengahkan MeTime Book Cafe. Memang betul-betul boleh enjoy ‘Me Time’ dengan penuh konsentrasi. Buku-buku di sini terdiri daripada pelbagai jenis buku bahasa Inggeris, Cina dan juga komik manga. Nak study atau siapkan assignment pun best.

Selain pod peribadi, anda juga boleh bersantai pada beanbag untuk membaca di bawah kerdipan cahaya bintang (gantungan lampu). Sambil tenggelam dalam dunia buku yang dibaca, anda boleh menghirup air kopi atau air teh panas yang disediakan secara percuma. Pihak kafe turut menyediakan kemudahan bilik mandi dengan air panas untuk sesiapa yang ingin menyegarkan badan.
Instagram: metime_bookcafe
Facebook: MeTimeBookCafe
Website: greenpointbookcafe.com
9. Book Barter Cafe

Book Barter Cafe adalah sebuah kafe dengan konsep yang sangat mendamaikan jiwa, ia dikelilingi oleh kehijauan tumbuhan yang mekar yang dapat dilihat melalui dinding kaca yang luas.
Untuk memasuki kafe, anda boleh memilih sama ada ingin menggunakan laluan biasa atau melalui jambatan mini yang melintasi air yang tenang.

Sebaik memasuki kafe ini anda boleh terus menuju ke rak-rak buku untuk memilih buku yang ingin dibaca. Selepas itu, boleh duduk sambil menikmati kopi kaw dan kek atau pastry yang menyelerakan.
Jatuh cinta dengan buku yang ditemui? Boleh dibawa pulang asalkan anda tukarkan dengan buku lain yang sudah sedia dibawa dari rumah.
Instagram: bookbartercafe
8. Pages Book Cafe

Kafe tenang di Taipan Damansara, Pages Book Cafe adalah gabungan kedai buku, perpustakaan dan juga kafe yang menghidangkan pelbagai jenis kek dan kopi. Ruang bacaannya terletak di sebelah rak-rak buku dan juga di satu bahagian yang selesa di sudut belakang.
Selain kopi dan kek, anda juga boleh menikmati pelbagai jenis hidangan lain yang ditawarkan seperti Smoked Duck Olio dan Chicken Bolognaise. Untuk minumannya pula selain kopi, terdapat juga Hot Chocolate, teh dan jus buah-buahan yang segar.

Tertarik dengan buku yang dibaca? Anda boleh beli buku di kafe ini dalam harga diskaun yang sangat murah. Buku yang ditawarkan di sini adalah terdiri daripada buku-buku keluaran Singapura, UK dan juga US dengan jenis-jenis buku yang terdiri daripada fiksyen, novel grafik dan juga biografi.
Instagram: pagesbookcafe
Facebook: pagesbookcafe
Website: pagescheapbooks.com
7. BookXcess @ Starling Mall

Peminat buku mana yang tak pernah dengar lagi tentang BookXcess? Kalau selama ni anda selalu singgah BookXcess di Amcorp Mall, Fahrenheit atau SS15 Courtyard, kali ni, jom terjah cawangan BookXcess yang terletak di Starling Mall pula.
Cawangan ini bukan sekadar kedai buku tapi juga dilengkapi dengan in-store cafe yang menawarkan pelbagai jenis minuman berasaskan kopi, herba, teh dan juga beberapa pilihan menu makanan.

Berkeluasan mencecah 10,500 kaki persegi, ini adalah antara cawangan BookXcess yang terbesar di Malaysia. Bila dah kehausan dan kelaparan mencari buku tu, bolehlah terus singgah ke kafe untuk chill sambil ditemani buku baru ya.
Instagram: bookxcess
Facebook: BookXcess
Website: bookxcessonline.com
6. Departure Lounge @ Damansara Uptown

Departure Lounge adalah sebuah kafe buku yang menawarkan pelbagai pilihan buku berkaitan pelancongan.
Nak berangan melancong sambil menghirup kopi dan menikmati hidangan menyelerakan? Inilah spot yang sempurna untuk anda singgah. Nak berangan makan angin di New York? Anda boleh mencari buku berkaitan destinasi ini, duduk dan baca dengan tenang.

Kafe santai ini menawarkan platter sarapan pagi berkonsep Amerika Do-It-My-Way, yang mana pelanggan boleh memilih pelbagai gabungan hidangan yang terdiri daripada 3, 5, atau 7 menu seperti Sosej, Fried Eggs, Toast dan sebagainya. Hidangan ini boleh dinikmati bersama kopi. Sedap ke tak sedap kopi di kedai ni? Kalau anda nak tahu, barista Departure Lounge ni telah pernah memenangi 9 buah pertandingan barista!
Instagram: cafedeparturelounge
Facebook: cafedeparturelounge
5. Kamilah’s Lifestyle & Book Cafe @ Subang Jaya

Atmosferea Kamilah’s Lifestyle & Book Cafe ini sememangnya sangat menarik kerana keselesaannya umpama berada di rumah sendiri. Lengkap dengan sudut perpustakaan mini dan juga sofa untuk bersantai.

Menu yang ditawarkan kafe ini juga agak pelbagai, siap dengan kuih-muih, kek, ais krim kelapa, burger yang padat dengan inti, spaghetti dan macam-macam lagi hidangan tempatan dan barat lain yang pasti dapat membangkitkan selera. Jangan lepaskan peluang untuk mencuba Coconut Shake kafe ni. Harganya juga sangat berpatutan!
Bercakap tentang jenis buku yang ada, anda akan terjumpa pelbagai jenis buku fiksyen bahasa Inggeris bergenre misteri, romantik hinggalah thriller.
Facebook: kamilahcafe
4. Kafe Buku Oakheart @ Bandar Baru Bangi

Kafe Buku Oakheart adalah sebuah kafe berkonsep santai yang menempatkan banyak pilihan buku dan komik yang dihasilkan oleh penulis atau karyawan tempatan.

Kalau bernasib baik, anda mungkin boleh terserempak dengan mana-mana penulis semasa melawat kafe ni! Oleh itu, datanglah selalu ya?
Instagram: kabobangi
3. The Library Coffee Bar

Terletak di 1 Utama, The Library Coffee Bar adalah gabungan kedua-dua kafe dan juga perpustakaan mini yang dihias moden sesuai bagi yang berjiwa muda ingin meluangkan hujung minggu atau masa lapang menikmati kopi yang enak di samping buku. Rancang untuk settlekan kerja? Plug point pun tersedia di setiap meja.

Perut menggerodak lapar? Macam-macam hidangan untuk dicuba seperti Carrot Walnut Cake, Pumpkin Pasta, Smoky Buttermilk Pasta dan sebagainya.
Instagram: thelibrarycoffeebar
Facebook: thelibrarycoffeebarMY
2. Lit Books, Petaling Jaya, Selangor

Lit Books yang terletak di Tropicana Avenue ini adalah sebuah kedai buku dan kafe yang sejuk dipandang mata, diuruskan dan ditubuhkan oleh pasangan suami isteri yang berkongsi minat suka membaca buku, dan pada suatu ketika dahulu pernah bekerja sebagai wartawan.

Pelbagai jenis buku kesusasteraan Inggeris boleh ditemui, daripada buku klasik hinggalah moden atau kontemporari, anda tak akan kecewa dengan pilihan yang ada. Di satu sudut kedai ini terdapat Lit Bar di mana anda boleh mendapatkan kopi untuk dinikmati sambil membaca.
Website: litbooks.com.my
1. BookXcess Tamarind Square

Bila bercakap tentang kedai buku berkonsep menarik, antara yang paling epik sekali ialah BookXcess yang terletak di Tamarind Square.
Untuk pengetahuan anda, cawangan BookXcess ini adalah antara yang menawarkan pilihan buku terbanyak berbanding yang lain dengan lebih daripada setengah juta pilihan buku untuk diteroka!

Buku-buku di sini juga selalu diperbaharui pada setiap bulan. Bukan setakat ada pilihan buku yang banyak, cawangan ini turut menyediakan ruang bacaan atau ruang kerja yang selesa. Anda juga boleh singgah ke kafenya yang diberi nama Cafe Wolf untuk menikmati kopi yang dihasilkan barista profesional.
Untuk pengetahuan anda, inilah satu-satunya syurga buku yang dibuka 24 jam sehari yang wujud di Malaysia ni, namun dalam waktu pandemik Covid-19 ni, waktu operasi mereka terpaksa dikurangkan. Boleh hubungi mereka untuk maklumat lebih lanjut.
Banyak juga kafe buku menarik yang wujud dekat sekitar Selangor ni rupanyakan? Share artikel ni dengan keluarga atau rakan-rakan anda untuk sama-sama rancang kafe mana nak cuba dulu. Selamat membaca dan menjamu selera!