Negeri Perlis merupakan sebuah negeri yang underrated. Dengan kepelbagaian budaya, makanan dan tempat menarik, Perlis sebenarnya antara negeri yang perlu diberikan lebih perhatian. Antara tempat menarik yang perlu anda jelajahi di sana ialah Bukit Chabang.
Lebih dikenali di kalangan para penggemar pendaki bukit, Bukit Chabang mendapat namanya mungkin kerana ia merupakan 2 bukit yang berdekatan dan nampak seolah-olah ia terbelah dua.
Dengan ketinggian hanya 390 meter dari aras laut, Bukit Chabang mungkin tidak begitu tinggi. Namun, keadaan bukit yang 90% berbatu tetap memberi cabaran terhadap pendaki walaupun bagi yang dikira cukup berpengalaman.
Merupakan sejenis bukit batu kapur yang dikelilingi ladang getah, bukit ini sebenarnya kelihatan lebih cantik dilihat melalui menara kayangan di Wang Kelian.
Terdapat juga sedikit dataran dan kawasan padi berdekatan di mana ramai pengunjung yang tidak mendaki, bergambar di antara 2 bukit ini. Suasananya nampak lebih indah dan seolah-olah sebuah lukisan apabila waktu matahari terbenam.
Di kaki bukit ini seringkali disamakan dengan Lauterbrunnen di Switzerland. Seorang individu bernama Kassim Shahruddin telah mengambil inisiatif dengan mengubah suai kawasan ini.
Walaupun beliau mengekalkan pokok-pokok asal di sini, beliau turut menambah beberapa tanaman yang sinonim dengan orang Melayu seperti pokok serai dan buluh. Beliau juga membina sebuah kandang kambing di mana anak-anak kambing ini dibiarkan bebas meragut rumput di sini. Para pengunjung juga dapat bermain, berinteraksi dan bergambar bersama kambing-kambing ini.
Pastikan anda datang sendiri dan bergambar banyak-banyak di spot yang cukup insta-worthy ini apabila datang berkunjung ke Perlis. Bagi yang ingin mendaki Bukit Chabang pula, pastikan anda mendapatkan permit sebelum ke sana. Anda juga dinasihatkan agar mendapatkan seorang jurupandu yang terlatih demi keselamatan anda.