Kadang kala, mencari masa untuk bersama keluarga mungkin bukan sesuatu yang mudah. Kehidupan seharian kita semakin lama semakin sibuk, termasuk di hujung minggu.
Jika anda ingin mencari tempat paling sesuai untuk mencuri sedikit masa bersama keluarga, datanglah ke Bukit Jelutong Eco Community Park! Sebuah taman riadah dan rekreasi di Shah Alam.
Lokasi
Bukit Jelutong terletak di antara Shah Alam dengan Subang Jaya. Bukit Jelutong Eco Community Park Pula terletak di Jalan Lelangit.
Dikira dalam kawasan Shah Alam, taman riadah dan rekreasi ini menawarkan suasana yang cukup istimewa. Gabungan suasana kampung dengan alam semulajadi, taman ini memang cukup menenangkan.
Baca: Taman Persahabatan Selangor-Jepun | Destinasi Indah & Simbolik
Waktu Operasi & Kemasukan
Buat pengetahuan anda, kemasukan taman ini adalah percuma. Taman ini juga beroperasi bermula seawal 7am pagi hingga ke 7pm petang. Taman ini dibuka sepanjang tahun.
Kami syorkan anda untuk datang awal pagi, lebih banyak tarikan yang boleh dinikmati, cuaca juga tidak terlalu terik dan yang penting sekali, ia tidak terlalu ramai orang. Mudah sedikit untuk anda menjaga penjarakkan.
Tarikan dan Aktiviti
Taman ini menyediakan pelbagai tarikan dan aktiviti untuk anda beriadah bersama keluarga atau teman-teman. Mari kami kongsikan apa yang ada di sana dan mengapa ramai yang sangat menggemari taman ini.
Trail hiking
Di sini ada trail untuk aktiviti hiking. Dikira sebagai trail yang mudah, ia lebih sesuai buat yang baru nak berjinak-jinak dalam dunia hiking atau yang ingin lakukan aktiviti ini bersama anak-anak kecil.
Bukit di sini tidaklah tinggi dan bagi mereka yang sudah biasa mendaki bukit tinggi, trail ini mungkin agak mudah dan lebih kepada bersiar-siar sahaja.
Namun, apabila sampai ke puncak bukit ini, anda pasti seronok. Pemandangan cukup indah dan menenangkan. Bolehlah anda nikmati pemandangan sekitar taman dan kawasan Bukit Jelutong ini.
Berkelah
Di taman ini, mereka memastikan untuk menyediakan banyak port lepak dan tempat rehat. Di sini, kawasan lapang tersedia untuk anda hamparkan tikar untuk duduk dan makan bersama keluarga.
Pilih saja lokasi paling ideal untuk anda. Tepi tasik, atas bukit, mana-mana pon boleh. Ada juga beberapa anjung yang disediakan di tepi tasik.
Ada juga sinki yang disediakan untuk kemudahan anda mengemas. Dah makan, pastikan kemas dan tidak membuang sampah merata-rata ye. Sama-samalah menjaga kebersihan supaya taman ini dapat dinikmati dengan lebih selesa.
Taman Haiwan
Walaupun bukan sebuah mini zoo yang besar atau terkenal, Bukit Jelutong Eco Community Park ini juga ada menyediakan sebuah taman haiwan yang menjaga dan mempamerkan haiwan ternakan.
Bolehlah anda dan keluarga bergaul mesra dan berinteraksi bersama haiwan-haiwan seperti ayam, itik, angsa dan kambing.
Terbaru, burung merak pon ada. Namun, taman haiwan ini terutama sekali bagi kambing, tutup dari pukul 8.30am hingga ke 3pm.
Waktu ini mereka sedang diberi makan oleh penjaga. Jadi, datang awal pagi atau sebelah petang sedikit. Ada juga rumah lebah dimana mereka menternak lebah. Bolehlah anda dan keluarga melihat secara lebih dekat.
Memancing
Kalau gemar memancing, jangan lupa untuk membawa umpan dan alatan memancing anda apabila berkunjung ke sini.
Memancing dalam keadaan yang tenang dan suasana yang aman serta pemandangan yang luas, pasti akan membuatkan anda sangat relaks.
Bersenam
Anda juga boleh melakukan beberapa senaman yang simple di sini seperti berbasikal, jogging dan yoga.
Walaupun trail di sini tidak seluas atau sepanjang yang selalu anda biasa seperti Taman Botani Shah Alam, ia sudah mencukupi untuk anda mengeluarkan peluh dan menyihatkan badan. Bagi yang mempraktikkan senaman yoga, jangan lupa membawa mat anda dan pilih spot paling sesuai dan tenang untuk anda.
Bergambar
Buat anda, si instafamous dan influencer media sosial, di sini adalah antara tempat yang best untuk anda bergaya dan ber-ootd.
Bolehlah anda menyediakan kontent untuk platform anda. Pilih saja latar belakang yang anda suka, ada kehijauan, taman bunga yang dipenuhi bunga-bunga, bersama haiwan, atas bukit dan banyak lagi.
Pemandangan indah dan keharmonian di Bukit Jelutong Eco Community Park ini tentunya antara yang menjadi faktor ramai menggemarinya. Bukan sahaja cantik, ia juga lengkap dari segi convenience.
Baca: Taman Botani Perdana | Pusat Rekreasi Berkonsep Alam Semulajadi
Tambahan pula dengan tarikan-tarikan lain seperti taman haiwan dan taman bunga. Jangan lupa untuk bawa keluarga anda ke sini. Bolehlah bersenam, berekreasi dan berkelah bersama. Pasti menjadi antara hujung minggu kegemaran seisi keluarga.
Media Sosial: Facebook | Instagram
Alamat: Jalan Lelangit U8/45, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor
Waktu Operasi: Setiap Hari (7am-7pm)