Entopia Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun 1986 dan ia merupakan idea asal David Goh seorang entomologist yang mempunyai minat yang mendalam terhadap hidupan Rama-Rama dan serangga seumpamanya serta alam semulajadi.
Pusat perlindungan haiwan seperti ini merupakan yang pertama di negara tropika. Malaysia bertuah kerana dengan wujudnya destinasi pelancongan seperti ini ia dapat menarik minat lebih ramai lagi pelancong dari dalam dan luar negara yang datang untuk melihat keindahan spesies rama-rama tempatan.
Pada asalnya, Entopia dikenali dengan nama Taman Rama-rama Pulau Pinang tetapi ditukar kepada Entopia, inspirasi daripada gabungan perkataan Entomologi iaitu bidang ilmu kajian tentang serangga dan Utopia iaitu gambaran dunia fantasi yang indah dan mendamaikan.
Selain bertujuan sebagai pusat perlindungan serangga dan alam semulajadi, Entopia menyediakan peluang kepada pengunjung untuk bersatu semula dengan alam sambil menimba ilmu dan pengalaman baharu.
Jadi, jika anda seorang pencinta alam semula yang gemarkan destinasi pelancongan yang esotik, Entopia wajib menjadi lokasi pilihan anda sekeluarga. Dibahagikan kepada dua bahagian utama, pengunjung berpeluang untuk melawat Natureland (outdoor gardens) atau Cocoon (indoor discovery centre).
Natureland
Di vivarium taman hidupan luar ini, merupakan penempatan lebih daripada 150 spesis fauna seperti rama-rama, kelip-kelip, mentadak, kumbang, pepatung, haiwan reptilia, amfibia yang ditemukan dari pelbagai jenis, haiwan invertebrata seperti labah-labah, kala jengking dan ulat gonggok yang dilindungi di habitat asal mereka.
Menariknya, lebih 15 000 ekor rama-rama yang terdiri daripada 50 spesies rama-rama tropika, dibiarkan berterbangan bebas di ruang ekologi ini, selain daripada pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat 200 spesies flora atau tumbuhan unik yang jarang sekali dapat ditemui di mana-mana. Pasti anda akan terpesona dengan keindahan semulajadi yang dipamerkan!
Cocoon
Sudah puas menikmati udara segar di luar, beralih pula ke kawasan penemuan tertutup dikenali sebagai Cocoon, yang bertindak sebagai pusat kajian atau penemuan flora dan fauna unik.
Pengunjung disajikan kepada pelbagai stesen ilmu yang berbeza seperti Metamophosis iaitu melihat dengan lebih dekat transformasi rama-rama, Lumino City, Pandora Forest yang menyajikan pengalaman pameran “Glow in the Dark”, Downtown Entopia dan Breeding Ground yang merupakan pusat pembiakan rama-rama.
Kalau anda gemarkan keindahan hutan dan ingin meneroka lebih mendalam tentang misteri dan keunikannya, anda boleh ke stesen Underground Mystery.
Jika mahu lebih ilmu tentang fauna dan serangga, boleh ke bahagian Understory Tales yang merupakan habitat semulajadi pelbagai jenis spesies serangga dan invertebrata seperti kumbang Man-Faced atau lipas Madagascar yang lain daripada yang lain.
Mungkin 1 jam pun tidak mencukupi untuk melawat keseluruhan bahagian ini kerana bukan sahaja pamerannya yang pelbagai dan menarik tetapi anda pasti leka dengan segala bentuk kemudahan interaktif yang disediakan, membolehkan anda mendengar bunyi haiwan atau bermain permainan.
Entopia Fun Hour
Ini berita baik untuk yang sukakan cabaran! Jangan lepaskan peluang keemasan untuk anda mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti “Fun Hour” yang disediakan oleh Entopia.
Anda boleh mencabar skil memasak anda di Bug’s Kitchen, kali ini temui mengapa dan bagaimana sesetengah budaya menjadikan serangga sebagai menu hidangan mereka. Menarik bukan? Selain itu, terdapat juga aktiviti “Bugs Breeder: Backstage!” buat peminat tegar rama-rama atau kumbang. Pelajari apa yang diperlukan untuk menjadi penternak kupu-kupu dan kumbang yang sebenar.
Di bahagian “My Butterfly Garden”, anda boleh mendapatkan tips dan trik menarik tentang bagaimana untuk mewujudkan taman rama-rama seumpama itu di rumah sendiri. Bukan itu sahaja, anda boleh mengambil gambar sambil berinteraksi dengan 4 jenis serangga atau yang lebih mengujakan, anda boleh membawa pulang insects eggs untuk dipelihara di zon “Crawlies, alive!”
Selain daripada yang telah disenaraikan di atas, terdapat pelbagai lagi fasiliti yang disediakan di Entopia ini. Antaranya seperti kemudahan awam yang sememangnya memudahkan aktiviti lawatan pengunjung seperti surau dan tandas yang sentiasa terjaga, bilik penyusuan bayi, The Sphere iaitu Dewan Serbaguna bagi urusan mesyuarat. Bakal pengantin juga boleh memilih lokasi cantik ini untuk mengadakan wedding photoshoot.
Jika anda lapar setelah penat meneroka pemandangan sekeliling, singgahlah menjamu selera di Kafe Tapestree yang dijamin Halal. Selain menyediakan pelbagai menu yang menarik, suasana sekitarnya juga nyaman dan mendamaikan. Pasti membangkitkan lagi selera anda.
Tidak perlu tunggu lama-lama untuk memilih lokasi terbaik bagi meluangkan masa bersama yang tersayang sambil menimba ilmu dan pengalaman yang baharu. Jadikan Entopia destinasi pelancongan wajib anda sekeluarga! Selamat bercuti.
Harga Tiket Entopia Pulau Pinang
Kategori Pelawat | Harga Tiket Biasa | Harga Tiket MyKad |
---|---|---|
Dewasa (Umur 13 ke atas) | RM69 | RM49 |
Kanak-kanak (umur 4-12) | RM49 | RM29 |
Warga Emas (Umur 60 ke atas) | RM49 | RM29 |
Pakej Keluarga (hanya di kaunter tiket Entopia): 2 Dewasa + 2 Kanak-kanak | RM216 | RM144 |
Pakej Keluarga (hanya di kaunter tiket Entopia): 2 Dewasa + 3 Kanak-kanak | RM255 | RM167 |
Pakej Keluarga (hanya di kaunter tiket Entopia): 2 Dewasa + 4 Kanak-kanak | RM294 | RM190 |
Pakej Keluarga (hanya di kaunter tiket Entopia): 2 Dewasa + 5 Kanak-kanak | RM333 | RM213 |
Pakej Keluarga (hanya di kaunter tiket Entopia): 2 Dewasa + 6 Kanak-kanak | RM372 | RM236 |
Alamat: No.830, Jalan Teluk Bahang, Teluk Bahang, 11050 Tanjung Bungah, Pulau Pinang
Waktu Operasi:
- Khamis hingga Ahad (termasuk cuti awam): 9am – 6pm
- Tutup : Isnin, Selasa dan Rabu