Sekiranya anda masih terfikir-fikir ke mana nak pergi pada musim cuti yang akan datang, apa kata kalau ke Pulau Pinang, sebuah negeri yang terletak di utara Malaysia ini. Negeri ini bukan sahaja memiliki tarikan semulajadi yang pasti memukau jiwa, malahan, ia juga merupakan sebuah syurga makanan dengan deretan-deretan gerai yang dapat dilihat di sepanjang perjalanan.
Negeri yang terkenal dengan komuniti Jawi Peranakan dan Baba Nyonya ini juga meninggalkan banyak jejak sejarah yang masih kukuh untuk disaksikan hingga kini, hal ini kerana, wujudnya individu-individu yang menyedari kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan warisan ini dan banyak yang telah diperbaiki dan diperbaharui fungsinya.
Yang menariknya, kebanyakan bangunan ini dijadikan sebagai tempat penginapan yang menawarkan pengalaman seperti hidup di zaman klasik yang mempesonakan sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki.
Nak tahu penginapan mana yang dapat membawa anda ke masa lalu? Dibawah kami senaraikan 29 hotel menarik di Penang yang pasti buat anda teruja. Teruskan membaca.
29. Malihom Private Estate
Teringin merasa bagaimana nikmatnya memiliki kawasan tanah peribadi yang indah dikelilingi alam semulajadi? Anda boleh menikmatinya dengan menginap di Malihom Private Estate. Terletak 1500 kaki dari aras laut, anda dapat menikmati udara yang sejuk dan menyegarkan sepanjang penginapan.
Anda sekeluarga boleh meluangkan masa di ruangan santai yang lengkap dengan buaian/hammock, pemandangan paling indah adalah ketika waktu malam, di mana anda dapat melihat cahaya dari kawasan bandar yang kelihatan seperti bintang di waktu malam.
Selain pemandangan yang indah, kawasan di sekitar estate ini akan memberikan anda perasaan seperti tinggal di kawasan desa dengan tumbuh-tumbuhan dan bunga-bunga yang tumbuh mekar di mana sahaja anda lihat.
Kolam infiniti yang disediakan Malihom Private Estate pula menawarkan pemandangan gunung-ganang yang seluas pandangan mata. Rasanya sudah cukup sebab untuk anda memilih Malihom Private Estate sebagai tempat penginapan kalau anda ke sini, tapi cepat ya, sebab hanya 8 penginapan yang ditawarkan hotel ini.
Alamat: Kiri N/t 168 Bukit Penara Mukim 6, 11000 Balik Pulau
28. 23 Love Lane Hotel
Pencinta seni dan yang berjiwa retro pasti akan jatuh hati dengan 23 Love Lane Hotel yang terletak di sebuah jalan yang dihiasi dengan mural yang menarik ini.
Sebaik anda menjejakkan kaki ke ruangan dalaman hotel ini, anda dapat merasa atmosfera klasik melalui perabot yang diletakkan di sekitar lobi. Atmosfera klasik ini bukanlah dibuat-buat kerana sebenarnya, bangunan ini telah mula dibina sejak abad ke-19 lagi dan telah melalui banyak pembaharuan sejak dari itu.
Antara penginapan yang ditawarkan di sini adalah Anglo Indian Bungalow, Straits Eclectic Building, 1920′s Jack Roof Annex, Indian Shop House, Muntri Suites dan Stewart Suite.
Salah satu bilik yang ideal untuk penginapan bersama keluarga adalah Indian Shop House, penginapan 2 tingkat dan balkoni yang menyajikan pemandangan taman yang indah. Penginapan ini didekorasi dengan perabot vintaj.
Apa yang menariknya sekiranya anda memilih untuk menginap di hotel ini adalah ruang perpustakaannya yang dihias dengan tona merah dan perabot vintaj yang memberikan perasaan seperti berada di rumah sendiri. Ruangan yang tepat untuk anda bersantai sewaktu hari hujan sambil membaca buku, majalah atau bermain permainan papan bersama keluarga.
Kemudahan lain yang disediakan oleh 23 Love Lane Hotel adalah urutan untuk melegakan badan dan khidmat penjagaan kanak-kanak.
Alamat: 23 Love Lane, 10200 George Town
27. Jawi Peranakan Mansion
Jawi Peranakan Mansion atau Rumah Agam Jawi Peranakan ini memiliki gabungan seni bina British, Islam dan India. Jejak sahaja kaki anda ke lobi hotel ini, anda akan didedahkan dengan pemandangan elegan tingkap kayu dan jubin dengan kehalusan seni yang mengujakan.
Setiap bilik di sini dihias dengan penuh teliti untuk mewujudkan suasana selesa seperti di rumah sendiri. Perabot yang digunakan di tempat penginapan anda bernilai klasik dan dalam masa yang sama turut lengkap dengan kemudahan moden seperti TV, speaker dan port caj.
Tidur malam anda juga lena kerana kedudukan hotel ini yang jauh dari jalan yang sibuk di George Town. Namun begitu, lokasinya masih lagi strategik kerana anda boleh berjalan kaki sahaja untuk ke tempat-tempat makan berdekatan.
Kemudahan lain yang disediakan adalah kolam renang luaran yang lengkap dengan kerusi untuk anda bersantai sambil menghirup udara segar. Di samping itu, anda juga boleh menyewa basikal yang disediakan hotel untuk makan angin di kawasan sekitar.
Alamat: 153, Jalan Hutton, 10050 George Town
26. Tien Hotel Residence
Kelihatan seperti sebuah penginapan yang biasa, tapi nantikan saat sehingga anda menjejakkan kaki masuk ke dalam ruangan hotel Tien Hotel.Residence ini.
Pasti akan terkesima melihat keindahan dekorasi dalamannya yang sungguh unik daripada kebiasaan. Diberikan sentuhan bergaya urban dan moden, setiap sudut di dalamnya sangat menarik dipandang bersesuaian dengan harga yang ditawarkan.
Di ruang santai ataupun loungenya anda boleh berehat sambil melihat pemandangan luar melalui tingkap yang luas dari lantai ke siling. Selain itu, anda juga boleh mengambil udara segar dengan bersantai di sekeliling kolam renang yang disediakan.
Lokasinya sangat strategik kerena terletak hanyalah 80 meter dari Chinatown dan 600 meter dari Little India. Ya, destinasi menarik hanyalah beberapa tapak dari hotel.
Alamat: 348, Chulia Street, Penang, 10200 George Town
25. Areca Hotel Penang
Menampilkan seni rekaan dalaman yang unik dengan elemen natural, Areca Hotel Penang adalah antara penginapan yang sangat menarik untuk diinapi di Penang sekiranya anda inginkan ketenangan yang sebenar daripada keriuhan bandaraya Georgetown.
Suasana di sekitar hotel ini sungguh mendamaikan, dengan perabot kayu dan tumbuhan hijau di sepanjang laluan, segalanya cukup sedap dipandang.
Bagi yang membawa anak kecil, mereka boleh dibawa berseronok di kelab kanak-kanak. Sementara itu, anda pula boleh bersantai membaca di perpustakaan yang disediakan.
Bukan hanya kerana dekorasi dan fasilitinya, anda juga patut booking hotel ini kerana kedudukannya yang sangat strategik.
Dari sini anda boleh menuju ke banyak tarikan di sekitar Penang dengan hanya berjalan kaki seperti Muzium Upside Down dan Galeri Warisan Pulau Pinang yang berada hanya dalam sekitar 500 meter dari hotel.
Alamat: 5 Jalan Khoo Sian Ewe, 10050 Georgetown
24. Blue Mansion
Blue Mansion adalah sebuah hotel yang agak berusia. Dibina pada abad ke-19 oleh Cheong Fatt Tze. Beliau ingin membina sebuah rumah yang gah dan dalam masa yang sama mengikut kepercayaan kaedah Feng Shui. Rekaan dalaman dan luarannya mencerminkan rumah tradisional masyarakat Cina.
Beliau hanya memilih yang terbaik sahaja dalam pembinaan rumah ini dan kebanyakan materialnya dibawa dari selatan negara China dan Scotland. Menakjubkan sekali perhatian yang diberikan dalam pembinaan Blue Mansion ini.
Masa kian berlalu dan bangunan ini masih berdiri teguh namun banyak pembaharuan telah dilakukan untuk menyesuaikannya dengan zaman dan keselesaan penginap.
Setiap bilik dihias dengan perabot kayu klasik dan luas, sesuai untuk anda yang datang bersama keluarga. Bukan hanya menawarkan penginapan yang selesa, anda juga pasti teruja dengan sarapannya yang disajikan di kawasan terbuka dikelilingi dengan pemandangan penuh kehijauan dan suasana klasik. Siapa tak nak merasai pengalaman sebegini?
Blue Mansion ini lengkap dengan perpustakaannya sendiri, untuk anda yang kaki buku, cuti-cuti pun mana boleh tak membaca kan.
Untuk beriadah, anda boleh menggunakan kemudahan kolam renang yang dikelilingi dengan keindahan taman. Setelah puas berenang, anda boleh menyewa basikal yang disediakan hotel untuk bersiar-siar bersama keluarga. Seronok bukan?
Alamat: 14, Leith Street, 10200 George Town
23. Campbell House
Campbell House ini terletak berdekatan dengan banyak tempat menjamu selera dan pusat membeli-belah.
Bukan setakat berlokasi strategik, konsep yang diketengahkan hotel inilah yang menjadi tarikan utamanya. Setiap bilik di hotel ini dihias dengan tema yang berbeza.
Tema yang disampaikan dapat dibayangkan dengan nama-nama berbeza yang diberikan untuk setiap bilik seperti, Indochine, Sari, Malaya, Songket, Colonial dan banyak lagi. Agak-agak, yang mana yang anda ingin cuba?
Campbell House memberikan anda pengalaman penginapan yang pasti tidak dapat dilupakan dengan keindahan dekorasi dalamannya yang unik dan elegan.
Yang menariknya lagi, setiap bilik lengkap dengan mesin Nespresso, tiada apa yang lebih baik daripada memulakan hari dengan kafein, barulah segar untuk makan angin sekitar Pulau Pinang.
Kemudahan yang lain daripada yang lain yang ditawarkan hotel ini adalah peralatan mandiannya yang dibuat 100% organik. Dari sini jelas terlihat perincian yang diberikan dalam setiap aspek kan? Jangan melepaskan peluang untuk mendapatkan layanan bertaraf selebriti di hotel ini.
Alamat: 106, Lebuh Campbell, 10100 George Town
22. Seven Terraces
Konsep yang diketengahkan hotel ini adalah Baba-Nyonya, komuniti yang kaya dengan budaya mereka yang tersendiri. Seven Terraces mengabadikan keunikan Baba Nyonya dalam rekaan dalamannya dengan penuh perincian.
Antara sentuhan Peranakan atau Baba Nyonya yang dapat dilihat di hotel ini adalah dari segi perabotnya seperti katil candu atau Opium bed yang dapat dilihat di dalam setiap bilik.
Selain itu, penggunaan perabot kayu berwarna hitam di dalam bilik menambahkan lagi aura elegan hotel ini. Yang menariknya lagi, Ong, pemilik hotel ini, turut mempamerkan koleksi barangan antik peribadinya sendiri yang terdiri daripada tembikar porselin di sekitar hotel.
Bukan sahaja mempunyai rekaan dalaman yang menarik, lokasi hotel ini juga tidak kurang hebat. Dengan hanya berjalan kaki anda dapat melawat pelbagai tarikan menarik di Penang seperti Muzium Negeri Penang, monumen bersejarah Fort Cornwallis dan banyak lagi.
Setelah seharian berjalan, anda boleh menyegarkan badan dengan berenang di dalam kolam renang luaran yang disediakan hotel dan seterusnya mendapatkan khidmat urutan yang melegakan badan.
Alamat: Stewart Lane, 10200 George Town
21. Loke Thye Kee Residence
Dekorasi dalaman Loke Thye Kee Residence ini adalah hasil kombinasi sentuhan vintaj dan kontemporari.
Ini dapat dilihat apabila anda menjejakkan kaki ke bilik hotel yang berlantaikan kayu dan berdinding batu bata namun dalam masa yang sama dilegkapi dengan hiasan moden seperti lampu LED yang tersorok di sebalik siling, mewujudkan suasana elegan.
Setiap bilik di Loke Thye Kee Residence bukan setakat dilengkapi dengan kemudahan cliche, kerana anda juga akan dapat menggunakan konsol PS2 dan pemain blu-ray yang disediakan. Di dapur kecilnya pula terdapat oven untuk kemudahan anda yang ingin membawa makanan sendiri sewaktu penginapan.
Sekiranya anda ada masa lapang di hotel ini, apa kata kalau anda meluangkan masa bermain biliard yang turut disediakan hotel. Bukan senang nak jumpa hotel yang menyediakan permainan ini.
Alamat: 326 Jalan Penang, 10000 George Town
20. Eastern & Oriental Hotel
Bangunan Eastern & Oriental Hotel yang melambangkan kemegahan era kolonial British ini dibina pada tahun 1885. Hotel yang berdiri megah ini terbahagi kepada dua bahagian penginapan, Heritage Wing dan Victory Annexe.
Suite-suite penginapan yang ditawarkan di Heritage Wing dihias dengan elegan. Penginapan di Heritage Wing menjadi pilihan ramai tetamu berstatus tinggi. Layanan sempurna yang diberikan dari pintu masuk lobi, menyediakan anda untuk satu pengalaman penginapan yang ekslusif.
Penginapan di Victory Annexe juga tidak kurang hebatnya dengan rekaan dalaman bilik yang menggabungkan sentuhan moden dan klasik. Anda sekeluarga juga dapat menggunakan kemudahan wifi berkelajuan tinggi, gym yang cukup lengkap dan kolam infiniti yang menawarkan pemandangan laut Andaman yang indah.
Alamat: 10 Farquhar Street, Georgetown, 10200 George Town
19. Clove Hall
Bangunan banglo yang klasik, Clove Hall yang berwarna hitam dan putih ini pasti menarik perhatian sesiapa sahaja yang lalu di kawasan sekitarnya, satu pemandangan yang menyejukkan pandangan mata.
Pengalaman menginap di Clove Hall membuatkan anda tidak mahu pulang ke rumah sendiri, mana taknya, lengkap dengan taman yang indah di sekelilingnya. Tak cukup dengan itu, kolam renang yang tersedia membuatkan langkah kaki berat untuk meninggalkan rumah penginapan ini di akhir percutian.
Namun begitu, bilik yang ditawarkan di banglo ini agak terhad. Dengan kuantiti bilik yang tidak begitu banyak, perhatian yang diberikan dalam rekaan dalaman bilik-bilik ini membuatkan ia penginapan yang sempurna untuk para penginap.
Setiap sudut penginapan dihias dengan penuh teliti, menggabungkan sentuhan Inggeris dan Melayu. Katil di setiap bilik juga lengkap dengan kelambu, menambahkan lagi aura klasiknya. Di samping itu, pemandangan yang disajikan sebaik anda membuka tingkap bilik juga tidak mengecewakan, cukup memukau.
Kemudahan lain yang disediakan hotel adalah khidmat urutan, manicure/pedicure dan kelas memasak. Apa salahnya belajar memasak sesuatu yang baru semasa cuti ni kan?
Alamat: 11 Jalan Clove Hall, George Town, Penang Island 10050
18. Macalister Mansion
Macalister Mansion merupakan rumah agam zaman jajahan British yang dibina pada awal abad ke-20.
Dengan hanya 8 bilik ditawarkan kepada penginap, setiap bilik di hotel ini diberikan karakter yang berbeza sebagai contoh, sentuhan aura romantik untuk Bridal Suite, penggunaan fabrik hasil rekaan pereka terkenal dari Singapura, Grace Tan dalam Room 7, paparan seni hasil karya Thomas Powell dalam Room 8 dan banyak lagi yang pasti memberikan anda pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Bilik-bilik lengkap dengan kemudahan penting, dan yang bestnya, terdapat mesin Nespresso yang pasti membuat kaki kopi tersenyum dan speaker untuk anda sekeluarga menghiburkan diri sewaktu bersantai di dalam bilik. Bilik mandinya pula lengkap dengan tab mandi dan mandian hujan.
Kemudahan lain yang disediakan di hotel ini adalah kolam renang yang berkeluasan 20 meter, boleh dikatakan antara yang paling luas berbanding dengan kolam renang yang ditawarkan hotel butik lain. Selain itu, anda juga boleh menggunakan peralatan senaman yang disediakan di gym hotel ini.
Alamat: 228 Jalan Macalister, 10400 George Town
17. Yeng Keng Hotel
Yeng Keng Hotel adalah sebuah hotel bertaraf 4 bintang yang terletak di Jalan Chulia di George Town. Bangunan hotel yang telah dibina pada abad ke-19 ini menawarkan 20 buah bilik yang didekorasi dengan gabungan konsep Inggeris dan India.
Setiap bilik lengkap dengan penyejuk udara dan juga kipas siling, bukalah yang mana yang anda suka, bilik ini anda yang punya.
Lokasinya yang terletak di tengah-tengah Penang, membolehkan anda melawati beberapa tempat menarik dengan mudah seperti Muzium Kamera, Cheong Fatt Tze Mansion dan Muzium Islam Penang.
Kalau dah puas berjalan anda boleh meluangkan masa pula dengan bersantai di ruang bacaan yang disediakan hotel ini ataupun menenangkan fikiran di taman yang indah.
Alamat: 362, Chulia Street, World Heritage City Of George Town, 11600 George Town
16. Muntri Mews
Muntri Mews terletak di bahagian yang agak tenang dalam kota George Town yang terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongannya ini. Tidak jauh dari Muntri Mews, anda boleh melawati Blue Mansion Museum, sebuah muzium sejarah yang terkenal di Penang.
Muntri Mews pada asalnya merupakan kandang kuda yang telah dibaikpulih dan diubahsuai untuk dijadikan sebuah tempat penginapan yang mengekalkan ciri-ciri abad ke-20 melalui pemilihan perabot dan material binaannya.
Pada dinding-dinding di dalam hotel ini, dipamerkan gambar-gambar hitam putih yang diambil pada akhir abad ke-19 hingga ke awal abad ke-20, melihat gambar-gambar ini membawa diri anda ke dunia masa lalu ditambah lagi dengan barangan antik yang menghiasi sekitar hotel.
Setiap bilik di hotel ini memiliki aura klasik yang digabungkan dengan sentuhan kontemporari serta warna-warni yang menarik hati. Lengkap dengan kemudahan moden seperti penyejuk udara dan TV.
Gabungan suasana klasik dan kemudahan moden sebegini mewujudkan keadaan selesa seperti berada di rumah sendiri.
Seterusnya, di ruang santai hotel ini anda boleh meluangkan masa lapang dengan membaca majalah dan buku yang disediakan. Anda juga boleh bersantai di taman yang penuh kehijauan di hotel ini yang lengkap dengan pavilion untuk anda menenangkan fikiran sambil menikmati pemandangan taman.
Untuk menjamu selera, anda boleh ke kafe hotel untuk menikmati makanan sambil melihat persembahan muzik akustik, namun, persembahan ini hanyalah diadakan sekali dalam seminggu.
Alamat: 77, Lebuh Muntri, 10200 George Town
15. Royale Chulan Penang
Hotel yang menampilkan gaya sentuhan Victoria ini menggabungkan warna-warna lembut dan natural seperti putih, krim dan coklat cair, sangat menyejukkan pandangan mata. Di samping rekaan dalaman yang elegan, bilik-bilik di hotel ini turut menawarkan pemandangan kawasan bandar yang mengujakan.
Royale Chulan Penang bukan hanya sebuah hotel yang menarik dari segi konsepnya, ia juga terletak di lokasi yang begitu strategik, yang juga penting untuk anda yang datang bercuti bukan?
Dari hotel ini untuk ke Jeti Penang hanyalah 700 m, untuk ke pusat membeli-belah Prangin Mall dan Rumah Agam Pinang Peranakan pula hanyalah 800 m.
Dah puas menerokai bandaraya ini, anda boleh menggunakan pelbagai fasiliti menarik yang ditawarkan hotel ini seperti gym, kolam renang dan spa yang melegakan badan.
Untuk pengetahuan anda, pada setiap hari Jumaat, Royale Chulan Penang akan menghidangkan BBQ Buffet dengan bayaran RM88 untuk dewasa dan RM44 untuk kanak-kanak 6 ke 12 tahun. BBQ Buffet ini diadakan di tepi kolam renang hotel di mana anda boleh menjamu selera sambil menikmati angin sejuk malam.
Alamat: No. 1 & 2, Pengkalan Weld, 10300 George Town
14. Museum Hotel
Dari jauh lagi anda dapat melihat keindahan rekabentuk hotel yang unik dan begitu klasik ini, Museum Hotel.
Memasuki lobi hotel, anda dapat melihat dekorasi gaya Peranakan yang kelihatan antik. Perhatian yang diberikan di dalam dekorasi hotel ini membuatkan penginap terasa seperti tinggal di zaman dahulu, namanya pun Museum Hotel.
Nilai antik tidak berhenti pada dekorasi dalamannya sahaja, cawan teh yang digunakan juga kelihatan vintaj.
Terletak di kawasan yang jauh dari kebisingan kota, tidur malam anda pasti lena dalam hotel yang dihiasi dengan hiasan era kolonial ini. Mungkin juga akan terbawa ke mimpi yang anda hidup pada zaman kolonial.
Lengkap dengan ruang bacaan, anda boleh memilih untuk membaca buku yang banyak disediakan di sini. Cara yang sempurna untuk meluangkan masa rehat anda di hotel.
Alamat: No. 72 Jalan A.S.Mansor, 10050 George Town, Penang
13. Coffee Atelier
Coffee Atelier merupakan hotel yang diubahsuai daripada rumah-rumah kedai lama. Terletak berdekatan dengan Little India, asalnya bangunan ini dibina pada tahun 1927 di Lorong Stewart.
Pada awalnya, tingkat bawah bangunan in digunakan sebagai tempat jual beli dan bahagian atas pula tempat tinggal bersama keluarga.
Salah satu daripada bahagian rumah kedai ini dahulunya merupakan sebuah kedai kopi, mesin sangrai kopi daripada kedai ini masih terjaga dengan baik. Dari kedai inilah Coffee Atelier mendapatkan ilham untuk namanya.
Coffee Atelier bukan sahaja menawarkan penginapan klasik yang lengkap dengan kemudahan moden, malahan ia juga menempatkan sebuah restoran, galeri seni dan muzium kopi.
Bilik-bilik di Coffee Atelier pula dihias dengan kreatif menggabungkan karya seni dan barangan antik. Hotel ini memberikan anda pengalaman realistik seperti tinggal di masa lalu.
Alamat: 47-55, Lorong Stewart, 11300 George Town
12. G Hotel
Bagi anda yang lebih berjiwa moden, G Hotel adalah yang tepat untuk anda, lain orang lain citarasanya.
Hotel yang terletak berdekatan dengan pantai ini sudah pastinya menawarkan penginapan yang berpemandangan indah dari bilik. Dari ruang selesa bilik, anda dapat menyaksikan pemandangan matahari naik dan tenggelam setiap hari.
Lokasi hotel ini juga sesuai untuk anda yang kaki shopping, mana taknya, ia terletak di tengah-tengah 2 pusat membeli-belah, Gurney Plaza dan Gurney Paragon.
Di samping pusat membeli-belah, untuk menjamu selera pula, bersebelahan dengan Gurney Plaza terdapat Gurney Street Food. Menarik bukan? Semuanya boleh sampai dengan berjalan kaki sahaja dari hotel.
Hiasan dalaman hotel ini cukup elegan dengan warna-warna natural seperti putih dan coklat, mewujudkan suasana tenang. Perabot-perabot yang digunakan pula memiliki sentuhan kontemporari.
Antara kemudahan yang disediakan hotel ini adalah kolam renang yang turut menempatkan pool bar, di sini banyak pilihan makanan dan minuman yang boleh anda pilih untuk dinikmati sambil bersantai.
Di samping itu, hotel ini turut menawarkan kemudahan gym yang lengkap dengan pelbagai alatan senaman, anda boleh bersenam sambil menikmati pemandangan indah air laut yang kebiruan. Kemudahan lain yang disediakan hotel adalah salon rambut, spa, bilik sauna, dan sewaan basikal. Apa yang anda inginkan dari sebuah penginapan? Semuanya ada di sini.
Alamat: 168A Persiaran Gurney, 10250 George Town
11. Hotel Penaga
Dibina pada awal abad ke-20, bangunan ini telah dibaikpulih selepas zaman peperangan. Pada tahun 2008, bangunan ini telah diubahsuai menjadi sebuah hotel butik yang menawarkan 45 buah bilik dengan menggunakan teknik binaan tradisional dan dalam masa yang sama mengekalkan perabot-perabot asalnya.
Elegan, penuh dengan keselesaan dan unik, hotel ini memiliki daya tarikan klasik yang agak tinggi.
Bumbung hotel ini dibuat daripada ‘Indian tiles’ yang diambil daripada bangunan-bangunan lama yang terdapat di sekitar Penang, di tingkat bawah hotel pula, anda dapat melihat jubin dengan rekaan klasik 1930-an digunakan di bahagian lantai. Kesemuanya dari A-Z hotel ini diberikan sentuhan antik.
Bilik-bilik di hotel ini terbahagi kepada 4 tema yang berbeza namun yang paling terkenal adalah bilik jenis Hutton yang jauh lebih murah berbanding yang lain.
Kebanyakan bilik-bilik Hutton lengkap dengan balkoni sebagai ruang santai. Sebaik anda menjejakkan kaki ke bilik ini, anda dapat melihat perabot-perabot Cina antik yang digunakan di seluruh pelusuk bilik, lantai kayu dan karya-karya seni yang mengujakan. Tandasnya pula lengkap dengan jakuzi.
Alamat: Corner of Jalan Hutton & Lebuh Clarke, 10050 George Town
10. LE Dream Boutique Hotel
LE Dream Boutique Hotel terletak tidak jauh dari Avenue Penang, Penang Times Square, Rainbow Skywalk dan banyak lagi yang kesemuanya kurang 1 km dari hotel.
Tidak cukup dengan lokasinya yang hebat untuk menarik perhatian anda? Kalau anda nak tahu, hotel ini memiliki aura yang agak ‘artsy’, anda dapat melihat betapa kreatifnya hotel ini dari lobinya, rekaan dalaman tandas hinggalah ke cawan-cawannya.
Setiap bilik lengkap dengan mesin kopi dan peti ais yang diisi dengan makanan percuma. Hotel ini sebenarnya agak bermurah hati dalam aspek makanan.
Selain makanan sarapan pagi yang menawarkan pilihan yang menarik, pada waktu tengah hari hotel ini menyediakan teh dan banyak pilihan kudapan yang mengiurkan termasuklah kek dan ais krim semuanya secara PERCUMA untuk penginap.
Kemudahan lain yang disediakan hotel ini adalah gym dan dua buah jakuzi di bahagian bumbung hotel. Yang membuatkan hotel ini lain daripada yang lain adalah movie-screening yang diadakan pada setiap 8.30 malam di bahagian bumbung hotel, lengkap dengan popcorn, tak patut anda sekeluarga melepaskan peluang ini.
Alamat: 139, Jalan Pintal Tali, 10100 George Town
9. U Hotel Penang
Satu lagi hotel yang moden dan urban, sesuailah untuk anda yang berjiwa remaja. Hotel yang menawarkan 128 buah bilik yang versatil ini diberikan sentuhan kontemporari dengan menggabungkan tema industri dan retro.
Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan hotel ini tapi yang paling sesuai untuk anda yang datang bersama keluarga adalah Jupiter Suite yang agak luas dan menawarkan katil sofa serta katil bersaiz king.
Selain itu, untuk kemudahan anda yang datang beramai-ramai, terdapat banyak plug yang disediakan, tak perlulah anda berebut-rebut mengecaj peranti masing-masing. Anda juga dapat menikmati pemandangan luar sepuas hati dengan tingkap yang besar dari lantai ke siling, memang heaven.
Tentang lokasi hotel ini pula, ia terletak berdekatan sahaja dengan kedai-kedai makan, pasar malam Sabtu dan Tesco, hanya berjalan kaki dari hotel, pejam celik, pejam celik, dah sampai. Siapa tak suka lokasi seperti ini kan?
Alamat: 676, Jalan Sungai Dua, 11700 Bayan Lepas
8. Spices Hotel
Sebuah hotel yang beraura klasik, Spices Hotel menawarkan pengalaman penginapan yang indah kepada anda sekeluarga. Sebaik masuk ke lobi hotel ini, anda akan terhidu aroma menyegarkan pokok serai.
Selain bau yang harum, anda akan teruja dengan daya tarikan klasik hotel ini, mana taknya, bangunan hotel ini telah dibina pada 1790-an ke 1890-an, sukar untuk membuang aura klasik yang datang dengannya.
Apabila anda sampai ke bilik, anda dapat merasakan atmosfera yang begitu menenangkan dan seperti ingin terus mencampakkan diri ke atas katil kerana suhu bilik yang cukup selesa, kenapa? Kerana pihak hotel akan menyediakan bilik agar sempurna sebelum anda melangkah masuk termasuklah dengan membukakan penyejuk udara untuk anda.
Bukan sahaja memiliki khidmat pelanggan yang menakjubkan, rekaan dalaman bilik yang mengabungkan konsep desa dan kolonial, menambahkan lagi keselesaan dan keterujaan anda kepada hotel ini. Berbaloi-baloi rasanya bayaran yang anda keluarkan untuk penginapan sesempurna ini.
Selain itu, Spices Hotel terletak hanya 5 minit berjalan kaki dari Penang Heritage Centre dan 2 minit dari Masjid Lebuh Acheh. Bagi Muslim, senanglah anda nak bersolat jemaah kalau duduk di hotel ini.
Yang best lagi tentang hotel ini adalah, di bahagian bumbung hotel terdapat taman yang indah untuk anda bersantai bersama keluarga sambil menikmati pemandangan sekitar.
Alamat: No.5, Lorong Lumut, 10200 George Town
7. Hotel Neo Plus
Apa yang menarik tentang penginapan di Hotel Neo Plus adalah rekaan dalamannya yang moden dan penggunaan warna-warna natural dengan tona merah pada beberapa bahagian dekorasi untuk menghidupkan lagi suasana bilik.
Selain rekaan dalaman yang menarik, pemandangan indah sekitar bandaraya juga dapat dinikmati dari bilik.
Hotel ini lengkap dengan kolam renang atas bumbung untuk dewasa dan kanak-kanak. Selain itu, anda juga boleh menggunakan kemudahan pusat kecergasan yang lengkap dengan peralatan untuk anda melakukan senaman ringan. Badan segar, barulah seronok nak berjalan.
Alamat: 68 Jalan Gurdwara, 10300 George Town
6. Glow Penang
Hotel Glow Penang, memiliki 131 bilik yang dihias dengan penuh warna-warni, sesuai dengan nama hotel ini ‘Glow’.
Pastinya penginapan anda di sini menceriakan anda sekeluarga. Melangkah masuk ke lobi hotel, anda boleh bersantai sambil membaca majalah dan buku yang disediakan. Suasana yang agak chill di ruangan ini.
Bilik keluarga di hotel yang simple dan elegan ini dilengkapi dengan katil bersaiz queen dan katil bersaiz kembar yang boleh memuatkan ahli keluarga seramai 6 orang. Turut terdapat di bilik ini adalah sofa yang selesa sebagai ruang santai.
Setelah puas merehatkan diri di bilik hotel, anda boleh ke gym hotel yang lengkap dengan peralatan seperti treadmill, cross trainer dan lain-lain. Selepas itu, anda boleh menyegarkan badan di kolam renang yang turut lengkap dengan pool barnya ini.
Alamat: 101, Macalister Road, 10400 George Town
5. Noordin Mews Hotel
Terletak di dalam bangunan bersejarah di Noordin Street dari mana hotel ini mendapatkan namanya, Noordin Mews Hotel.
Kawasan ini pada suatu ketika dahulu, sekitar tahun 1950-an ke 1960-an merupakan lokasi dimana terletaknya Wembley Cinema yang menjadi tempat pertunjukan dan hiburan untuk para bangsawan yang terdiri daripada wayang, tari-menari, parti ronggeng dan bermacam lagi.
Elemen-elemen yang ditawarkan di Wembley inilah yang menjadi inspirasi rekaan dalaman Noordin Mews di samping sentuhan Baba Nyonya yang merupakan tunjang budaya di negeri ini.
Kemudahan-kemudahan yang disediakan hotel ini adalah beranda dan taman untuk anda bersantai bersama keluarga sambil membaca buku kegemaran anda. Kolam renang dan khidmat urutan badan dan kaki turut ditawarkan di hotel ini.
Alamat: 53, Noordin Street, 10300 George Town
4. Noordin Street House
Nordin Street House menawarkan pengalaman penginapan retro berkonsepkan Peranakan serta lengkap dengan kemudahan moden.
Hotel ini dinamakan sempena peniaga India Muslim yang terkenal, Habib Marican Noordin, yang mana namanya turut diabadikan pada nama jalan ini, Noordin Streets.
Selain konsep yang menarik dan klasik, anda boleh membebaskan fikiran anda dari sebarang masalah dengan menikmati keindahan taman di atas bumbung hotel yang pastinya lebih indah pada waktu malam di mana terdapat banyak bintang berkelipan.
Di samping taman, di sini juga terletaknya kolam renang yang berbumbung, bolehlah anda sekeluarga menikmati mandian menyegarkan di kolam ini tanpa perlu memikirkan cuaca.
Alamat: 71 & 73, Noordin Street, Georgetown World Heritage Site, 10300 George Town
3. The Edison George Town
The Edison George Town menawarkan penginapan yang mempunyai sentuhan kolonial. Bangunan yang pada asalnya merupakan tempat tinggal hartawan Hakka pada tahun 1906 ini diubah menjadi hotel pada pertengahan tahun 1940-an. Beberapa pengubahsuaian telah dilakukan pada hotel ini semenjak 1960-an.
Sebaik melangkah masuk ke bilik, anda dapat melihat yang penginapan ini memiliki siling bilik yang tinggi, menimbulkan suasana bilik yang luas. Jubin yang digunakan pada lantai bilik pula merupakan jubin klasik bahagian asal bangunan bersejarah ini.
Untuk kudapan, anda boleh menuju ke ruang santai di tingkat pertama hotel ini, di sini terdapat bermacam makanan seperti kuih, bijirin, keropok, jus, buah-buahan dan lain-lain lagi termasuklah mesin kopi yang kesemuanya dihidangkan secara percuma.
Alamat: 15 Lebuh Leith, 10200 George Town
2. East Indies Mansion
East Indies Mansion pada asalnya merupakan sebuah rumah agam yang menjadi tempat tinggal hartawan yang termahsyur pada abad ke-18 di Penang, kini telah berubah wajah menjadi sebuah hotel yang menawarkan 10 buah suite yang direka dengan unik dan berbeza antara satu sama lain namun mengekalkan atmosfera klasiknya.
Sebaik anda menjejak masuk ke lobi hotel ini, anda akan dapat melihat foto-foto lama yang menunjukkan keadaan bangunan ini sebelum diperbaharui.
Hotel ini turut memiliki ruangan taman mini dan halaman yang indah untuk anda relaks. Siapa sangka dalam hiruk-pikuk Little India yang berdekatan, terletaknya sebuah hotel yang menawarkan ketenangan.
Alamat: No. 25, China Street, 10200 George Town
1. Lone Pine Hotel
Lone Pine Hotel adalah satu-satunya hotel butik mewah yang terletak di Batu Ferringhi. Hotel ini telah banyak memenangi anugerah yang membanggakan seperti TripAdvisor’s 2014 Travellers’ Choice® Awards dalam kategori hotel terbaik di Malaysia, pemenang Top 25 Trendiest Hotels in Malaysia 2012 dan banyak lagi.
Terletak berdekatan dengan Pantai Batu Ferringhi, bermakna anda boleh merancang pelbagai aktiviti air menarik untuk dilakukan bersama keluarga sepanjang percutian. Bukan itu sahaja, dari bilik pula anda dapat mendengar bunyi ombak sebagai halwa telinga, sangat menenangkan jiwa.
Setiap bilik di hotel ini luas dan memiliki balkoni yang menawarkan pemandangan indah pantai, kolam renang ataupun taman yang menyejukkan pandangan mata.
Untuk aktiviti lain yang lebih relaks, anda boleh ke Pure Energy Spa hotel ini yang menawarkan urutan badan dan rawatan kecantikan.
Bagi anda yang ingin meningkatkan stamina, hotel ini turut menyediakan pusat kecergasan dan juga kolam renang yang turut lengkap dengan tempat duduk berbumbung untuk anda relaks dan chill sambil menikmati jus buah.
Alamat: 97, Batu Ferringhi, 11100 Batu Ferringhi
Sudah ada yang menjadi pilihan hati? Atau masih terasa berbelah bagi sebab ternyata banyak betul hotel menarik di Penang ni.
Maklumlah, majoriti penginapan ini mampu membawa anda sekeluarga merentasi waktu ke zaman silam dan masing-masing mempunyai nilai estetika tersendiri. Nak tahu lebih banyak lagi hotel menarik yang seumpamanya di Penang? Layari booking.com, pasti ada yang kena dengan citarasa anda.
Untuk anda yang hanya inginkan penginapan yang simple untuk tidur yang lena, boleh luangkan masa membaca artikel kami 19 hotel murah di Penang.
Apa lagi yang anda tunggu? Jom pakat mai ke Penang, lagi cepat anda dan keluarga datang ke negeri ini, lagi cepat dapat pekena nasi kandaq special asli dari Penang!