Bandar yang terbesar di Selangor, Petaling Jaya ataupun PJ adalah salah satu bandar yang terkaya di Malaysia yang padat dengan pelbagai destinasi menarik untuk dilawati, sama ada untuk bershopping, beraktiviti, berfotografi, ataupun untuk memeriahkan deria rasa anda, segalanya ada di sini.
Bandar yang terbahagi kepada beberapa seksyen yang berbeza dari bandar yang tua seperti PJ Old Town hinggalah ke bandar yang baru dibangunkan seperti Damansara, memiliki banyak sekali pilihan hotel yang menarik. Namun, dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil ini, pasti ramai yang ingin menyimpan bajet bukan?
Berjimat tidak bermakna anda perlu mengabaikan kegembiraan. Untuk mengekalkan tahap hormon endorfin di dalam badan anda, kami menggalakkan anda untuk meneruskan rancangan percutian dengan melihat senarai 35 hotel murah di Petaling Jaya yang kami sediakan. Hotel-hotel ini telah disusun mengikut kawasan masing-masing. Teruskan membaca untuk mencari yang berkenan di hati.
Bandar Sunway
35. New Town Hotel Sunway Mentari
Hotel yang terletak sederet dengan kedai-kedai ini, New Town Hotel Sunway Mentari, adalah sebuah penginapan yang mampu menenggelamkan anda di dalam keselesaan yang abadi. Kebersihan yang mantap, katil yang empuk dan penyaman udara yang menyegarkan, anda tidak perlu mencari penginapan yang mahal untuk keselesaan yang sesempurna ini.
Selain itu, hotel ini turut menyediakan kemudahan wifi dengan kelajuan pantas sekiranya anda ingin mengisi waktu lapang atau mungkin juga untuk update status percutian terbaru. Berkenaan dengan lokasinya, tidak jauh dari hotel ini terdapat McD, Sunway Pyramid dan lain-lain lagi.
Harga: Dari RM70+ Semalaman
Alamat: No. 2 Jalan PJS 8/2, Sunway Mentari, Bandar Sunway, 46050 Petaling Jaya
34. Sun Inns Hotel Sunway Mentari
Sun Inns Hotel Sunway Mentari adalah sebuah penginapan yang tepat bagi anda yang ingin berseronok bersama keluarga di Sunway Lagoon kerana lokasinya yang hanyalah 500 meter dari hotel. Selain itu, untuk makan-makan pula, akses kedai makanan cukup mudah dijumpai di sekitar hotel.
Jika tiada yang menarik hati, apa kata kalau anda berjalan ke Sunway Pyramid, dalam masa 10 minit sahaja anda boleh sampai ke pusat membeli-belah yang tak habis dengan pilihannya ini.
Harga: Dari RM68+ Semalaman
Alamat: No.7, Jalan Pjs 8/5, Dataran Mentari, Bandar Sunway, 46150 Petaling Jaya
33. Time Hotel Sunway
Time Hotel Sunway adalah sebuah penginapan yang dihias dengan moden dan elegen bersesuaian dengan lokasinya yang terletak di tengah bandar Sunway.
Bilik-bilik di hotel ini kelihatan cukup stylish dengan cermin yang besar dari lantai ke siling, menambahkan lagi ilusi keluasan biliknya. Selain itu, setiap bilik di hotel ini turut lengkap dengan pemain dvd. Jangan lupa untuk membawa movie kegemaran anda di sini ya?
Harga: Dari RM66+ Semalaman
Alamat: No.7 Jalan PJS 8/17, Dataran Mentari, Bandar Sunway, 46150 Petaling Jaya
32. GM Hotel
GM Hotel yang terletak di Bandar Sunway Metro ini adalah sebuah penginapan yang dihias dengan ringkas menggunakan perabot kayu berwarna gelap.
Walaupun memiliki rekaan dalaman yang simple, keselesaan yang ditawarkan hotel ini sama seperti di hotel mahal, dengan katil yang begitu empuk membuatkan tidur malam anda seperti di awang-awangan.
Bagi anda yang remaja, jangan tak tidur pula akibat kepantasan wifi yang ditawarkan hotel ini.
Jangan terkejut, lokasinya yang hanyalah sekitar 50 tapak ke Sunway Pyramid tidak bermakna ia terletak dalam lokasi yang riuh-rendah, kerana suasana hotel ini cukup tenang untuk anda menikmati mimpi yang indah.
Harga: Dari RM108+ Semalaman
Alamat: 23, Jalan PJS 11/28, Bandar Sunway Metro, 46150 Petaling Jaya
31. GM Grand Moments
GM Grand Moments adalah sebuah hotel berlokasi hebat berhadapan dengan pusat membeli-belah Sunway Pyramid, di samping memiliki banyak kedai makan 24 jam dan 7-E di tingkat bawah hotel. Lokasi yang hebat, bagaimana pula dengan penginapannya?
Sebaik anda melangkah masuk ke ruang lobi hotel ini, anda akan disambut dengan hiasan dalaman yang kelihatan cukup mewah, ditemani dengan aroma yang menyegarkan. Bilik-bilik di GM Grand Moments ini pula cukup luas dengan cahaya lampu yang selesa dan lengkap dengan katil yang empuk, tidur malam yang lena sedang menanti anda.
Harga: Dari RM118+ Semalaman
Alamat: No 1 & 3 Jalan PJS 11 Bandar Sunway Metro, 46150 Petaling Jaya
30. Mixx Hotel
Hanyalah 1 minit berjalan kaki ke pusat membeli-belah berkepala singa, Sunway Pyramid, dan 5 minit untuk ke Sunway Lagoon, rasanya sukar untuk hotel murah lain mengatasi betapa strategiknya lokasi hotel ini.
Walaupun ini bukanlah destinasi anda sekiranya di Petaling Jaya, memilih Mixx Hotel sebagai tempat penginapan adalah satu pilihan yang tepat kerana bukan sahaja murah, katilnya juga super empuk. Bukan itu sahaja, tekanan air dari bilik mandi juga sungguh memuaskan untuk mandian yang menyegarkan. Hotel murah yang strategik dan sempurna kualitinya dari RM120, cool bukan?
Harga: Dari RM120+ Semalaman
Alamat: No 5-1 Jalan PJS 11/28B, 47500 Petaling Jaya
29. Artisan Eco Hotel
Siapa sangka sebuah hotel bajet yang berkongsi bangunan dengan banyak kedai lain ini, Artisan Eco Hotel sebenarnya menawarkan penginapan bilik yang agak luas? Bukan sahaja luas, kebersihannya juga cukup tip-top, terasa seperti menginap di sebuah hotel yang baru sahaja dibuka.
Dekorasi dalamannya moden dan minimal dengan sedikit elemen tradisional berdasarkan pada corak batik yang digunakan pada katil. Menggunakan identiti unik Malaysia dalam sentuhan dekorasi? Bagus juga kalau lebih banyak hotel menggunakan konsep yang sama.
Lokasi hotel ini yang terletak di atas kedai makan mesti membuatkan anda ragu-ragu tentang keselesaannya bukan? Kalau anda nak tahu, atmosfera di dalam hotel ini cukup berbezaa daripada kawasan sekitarnya, sunyi dan tenang. Tidur malam? Cukup lena ditambah lagi dengan katil yang begitu empuk.
Harga: Dari RM94+ Semalaman
Alamat: No. 37-1, 37-2 & 37-3 Jalan PJS 11/28B, Sunway Metro, Bandar Sunway, 46150 Petaling Jaya
28. 33 Boutique Hotel
Terletak hanyalah 6 minit perjalanan kaki dari pusat membeli-belah yang terkemuka di PJ, Sunway Pyramid, 33 Boutique Hotel adalah hotel yang mesti menjadi salah satu pilihan utama anda sekiranya ke sini.
Walaupun berada di lokasi yang hebat, tidur malam anda di 33 Boutique Hotel tetap lena kerana secara magikalnya suasana di dalam hotel ini cukup menenangkan.
Selain itu, kebersihan hotel dengan harga yang bermula dari bawah RM100 ini juga memang terbaik berdasarkan daripada review penginap-penginap sebelum ini.
Di samping itu, jika anda kelaparan, restoran terhidang banyak di depan mata sebaik anda melangkah keluar dari pintu hotel. Bagi anda yang menginap dengan lama di hotel ini pula, jangan risau, lobi juga mudah ditemui di sekitarnya.
Harga: Dari RM95+ Semalaman
Alamat: 33, Jalan PJS11/28B, Sunway Metro, Bandar Sunway, Subang jaya, Selangor, 46150 Petaling Jaya
Damansara
27. Qliq Damansara
Bukan hotel bajet biasa, lihat sahaja dari reka bentuk luaran bangunan hotel Qliq Damansara ini, pasti anda terpegun. Cukup menyerlah bangunan hotel ini jika dibezakan dengan bangunan-bangunan lain yang terletak berdekatan.
Memasuki ruang lobinya pula, anda akan dikejutkan dengan dekorasi dalaman yang begitu sempurna sentuhan modennnya, sehingga tertanya sendiri di dalam hati, “Biar betul ini hotel bajet?”.
Pasti tidak sabar melihat biliknya kan? Qliq Damansara bukanlah seperti sesetengah hotel yang hanya cantik di luar dari segi reka bentuk dan di ruang lobinya sahaja, kerana bilik-bilik yang ditawarkannya juga sama hebatnya, menginap di bilik hotel yang luas dan dihias moden ini membuatkan anda terasa seperti berada di sebuah lokasi urban yang mempunyai kelasnya yang tersendiri. Pemandangan yang disajikan dari bilik juga cukup wow!
Inginkan lebih sebab untuk booking penginapan ini? Hotel ini turut menyediakan fasiliti yang menarik seperti kolam renang dan pusat kecergasan yang dibuka 24 jam. Wifi? Kepantasannya membuatkan anda tak tidur malam.
Harga: Dari RM233+ Semalaman
Alamat: Empire Damansara, No 2 Jalan PJU 8/8A, Damansara Perdana, Damansara Perdana, 47820
Petaling Jaya
26. Ibis Styles Kuala Lumpur Sri Damansara
Bangunan berwarna putih dengan logo hijaunya ini ibis Styles Kuala Lumpur Sri Damansara, adalah sebuah penginapan moden yang menggabungkan warna-warna natural dengan sedikit elemen warna-warni lain untuk menceriakan suasana.
Konsep rekaan dalamannya agak menarik jika dibezakan dengan banyak hotel murah yang lain. Bukan itu sahaja, bilik-bilik di hotel ini juga lengkap dengan katil yang sungguh empuk, membuatkan anda terasa seperti menginap di sebuah hotel mahal.
Usia hotel ini yang masih baru, menambahkan lagi keselesaan anda yang menginap kerana ‘kesegaran’perabot-perabot yang diletakkan di dalam hotel ini. Kebersihannya memang terbaik! Macam di IKEA pula.
Harga: Dari RM160+ Semalaman
Alamat: No 5 Jalan Cempaka SD 12 5 Bandar Sri Damansara PJU 9 Malaysia, 52200 Petaling Jaya
25. Manhattan Business Hotel TTDI
Wow! Mungkin inilah kata-kata pertama yang keluar dari mulut majoriti penginap Manhattan Business Hotel TTDI. Sentuhan rekaan dalaman hotel ini cukup mengujakan, membuatkan anda terasa seperti masih bebas di luar walaupun sekadar meluangkan masa di dalam bilik.
Melihatkan gambar realistik kota besar New York yang menghiasi dinding bilik hotel, terasa seperti berada di One World Observatory Manhattan. Pengalaman penginapan yang cukup memuaskan ditambah pula dengan layanan sempurna yang diberikan oleh pihak hotel yang menyambut kedatangan anda dengan aromaterapi yang menyamankan, penginapan ini memang lain dari yang lain.
Harga: Dari RM116+ Semalaman
Alamat: Lot A-12-G, Block A, Glomac Damansara No. 699, Jalan Damansara, 60000 Petaling Jaya
Damansara Uptown
24. Sovotel Boutique Hotel @ Damansara Uptown 36
Menggunakan warna yang cerah di dalam bilik yang ditawarkan, Sovotel Boutique Hotel @ Damansara Uptown 36 adalah sebuah penginapan yang pasti memikat hati bajet traveller yang mengutamakan keselesaan.
Hotel ini sesuai untuk anda yang menginginkan sebuah penginapan yang bukan sahaja menyejukkan pandangan mata, namun juga untuk memanjakan badan yang telah seharian bekerja keras kerana setiap bilik di hotel ini lengkap dengan mesin urut kaki ataupun badan. Hotel bajet dengan kemudahan mesin urut? Terbaiklah!
Harga: Dari RM88+ Semalaman
Alamat: 36, Jalan SS 21/35, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya
23. LightHouse Hotel & ShortStay @ Damansara Uptown
LightHouse Hotel & ShortStay @ Damansara Uptown adalah sebuah penginapan yang dihias dengan minimal menggunakan warna natural yang cerah iaitu putih dan coklat cair secara keseluruhannya.
Warna-warna yang digunakan ini cukup sejuk dipandang mata dan melegakan fikiran setelah seharian menempuh hiruk-pikuk kota.
Harga: Dari RM93+ Semalaman
Alamat: Jalan SS 21/58 Damansara Utama, Uptown, Petaling Jaya, 47400 Petaling Jaya
22. Sovotel Boutique Hotel @ Damansara Uptown 101
Alangkah leganya badan bila diurut selepas puas berjalan ke sana-sini di Petaling Jaya. Inilah yang dapat anda nikmati sepanjang penginapan anda di Sovotel Boutique Hotel @ Damansara Uptown 101 yang mana setiap bilik di hotel ini dilengkapi dengan mesin urut badan atau kaki atau lain-lain lagi.
Sambil diurut, anda boleh menghiburkan diri dengan melayari internet menggunakan akses wifi yang pantas. Inginkan relaks yang sebenar sewaktu percutian? Jom booking Sovotel Boutique Hotel!
Harga: Dari RM88+ Semalaman
Alamat: No. 101, Jalan SS21/1A, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, 47400 Petaling Jaya
21. Ryokan Chic Hotel
Berlokasi strategik, berdekatan dengan 1 Utama Mall dan Tropicana Mall yang hanya 5 minit pemanduan dari hotel, Ryokan Chic Hotel adalah pilihan penginapan yang tepat bagi anda yang tidak sabar untuk bershopping.
Seperti namanya yang agak ‘kejepunan’ Ryokan Chic Hotel adalah sebuah penginapan yang memberikan sentuhan gaya Jepun dalam rekaan dalamannya dengan gabungan konsep minimal dan moden. Selain menyediakan bilik yang selesa, hotel ini turut menawarkan khidmat urutan Thai bagi melegakan kesengalan badan yang dirasakan setelah puas makan angin.
Harga: Dari RM90+ Semalaman
Alamat: 97-M, Jalan SS21/37, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya
20. PJ Park Hotel
PJ Park Hotel adalah sebuah penginapan moden yang dihias ringkas dan lengkap dengan pelbagai kemudahan asas. Walaupun hanyalah sebuah hotel bajet, PJ Park Hotel turut menyediakan khidmat shuttle dan sewaan basikal untuk memudahkan pergerakan anda di sekitar bandar ini.
Untuk pengetahuan anda, lokasi hotel ini cukup sesuai bagi anda yang tidak dapat berhenti makan walaupun sudah kenyang, cukup banyak restoran dan gerai makan dapat diakses dengan hanya berjalan kaki dari hotel.
Harga: Dari RM99+ Semalaman
Alamat: No. 128M, 128A, 128B, Jalan SS21/35, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya
Bandar Utama
19. One Avenue Hotel
One Avenue Hotel adalah sebuah hotel yang dihias dengan ringkas namun padat dengan kemudahan yang penting. Bagi anda yang tidak mahu mengeluarkan belanja membeli air mineral di luar, di setiap tingkat hotel ini telah disediakan water dispenser.
Untuk makanan pula, anda boleh sahaja ke pusat membeli-belah yang terletak berdekatan seperti The Curve dan 1 Utama.
Namun jika malas, makan sahaja di kedai mamak yang ada di sekitar hotel, atau jika anda sekadar inginkan kudapan, mungkin anda boleh mendapatkan sesuatu dari 7-E yang hanya beberapa tapak dari pintu depan hotel.
Selain itu, untuk anda yang ingin meneroka lebih jauh sekitar PJ ini, anda boleh menaiki MRT yang terletak hanyalah 10 minit berjalan kaki dari hotel.
Setelah puas makan angin, apa kata sekiranya anda menikmati mandian menyegarkan dari kolam infiniti yang disediakan hotel bajet ini dan kemudian, dapatkan pula rawatan spa di kedai yang terletak berdekatan.
Harga: Dari RM120+ Semalaman
Alamat: 1-13, One Avenue, Dataran Pelangi Utama, Bandar Utama, PJU6A, Jalan Masjid, 47400 Petaling Jaya
18. O’ Boutique Suites
O’ Boutique Suites menawarkan penginapan penuh gaya dan moden. Dekorasi dalaman hotel ini sungguh menarik di pandangan, membuatkan waktu-waktu yang diluangkan bersantai di dalam bilik terasa cukup nyaman ditambah lagi dengan cahaya lampu malap yang melenakan.
O’ Boutique Suites sesuai bagi anda yang mendambakan sebuah penginapan yang penuh keselesaan. Sekiranya anda menginginkan kudapan, anda boleh mendapatkan pelbagai pilihan snek dari mesin vending milik hotel.
Dah ada sesuatu untuk dikunyah, barulah syok nak online dengan wifi pantas yang disediakan hotel bukan?
Untuk pengetahuan anda, hotel ini juga terletak dalam lokasi hebat. Tidak jauh dari hotel ini dengan hanya dalam 15 minit pemanduan adalah Paradigm Mall, Ikea, 1 Utama Shopping Centre dan Ikano Power Centre.
Harga: Dari RM82+ Semalaman
Alamat: B2-01, Casa Utama, Lorong Lebuh Bandar Utama, 47400 Petaling Jaya
Kelana Jaya
17. Good Hope Hotel Kelana Jaya
Menawarkan 73 buah bilik yang dihias moden bagi para penginap. Kebersihan dan keselesaan hotel murah ini cukup memuaskan.
Good Hope Hotel Kelana Jaya terletak di lokasi yang strategik sekali di Petaling Jaya kerana stesen LRT Kelana Jaya terletak hanyalah 5 minit pemanduan dari hotel, Sunway Pyramid dan Sunway Lagoon pula hanyalah 10 minit pemanduan. Makanan? Jangan risau sebab banyak sekali kedai makan yang boleh anda pilih di sekitar hotel.
Harga: Dari RM88+ Semalaman
Alamat: No. 4A, Jalan SS 6/6, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya
16. SOVOTEL@Kelana Jaya
Seperti hotel SOVOTEL yang lain, setiap bilik di SOVOTEL@Kelana Jaya lengkap dengan kemudahan mesin urut yang berkualiti. Bagi anda yang bercadang untuk memenuhi hari dengan pelbagai aktiviti memenatkan, SOVOTEL@Kelana Jaya adalah pilihan penginapan yang tepat untuk mendapatkan rehat yang sebenar sebaik pulang ke hotel. Cool juga kalau setiap hotel menggunakan idea yang sama kan?
Berkenaan dengan lokasinya pula, bersebelahan dengan hotel ini adalah stesen LRT untuk memudahkan anda ke banyak lokasi lain di Petaling Jaya. Untuk makanan pula, di sekitar hotel ini terdapat banyak kedai runcit dan kedai makan untuk dicuba.
Harga: Dari RM98+ Semalaman
Alamat: No. 79 Jalan SS 25/2, Taman Bukit Emas, 47301 Petaling Jaya
15. OYO 156 YP Boutique Hotel
Hotel 3 bintang, OYO 156 YP Boutique Hotel adalah sebuah penginapan yang terletak berhadapan dengan Paradigm Mall.
Tidak jauh dari hotel ini juga iaitu dalam sekitar 10 minit pemanduan, anda boleh sampai ke Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen Taman Bahagia.
Untuk mengisi kelaparan anda pula, hotel ini dikelilingi oleh banyak restoran dan gerai makanan tempatan yang menarik untuk dinikmati.
Lokasi yang menarik, biliknya pula bagaimana? Bilik-bilik yang ditawarkan hotel ini agak luas. Kebersihannya juga cukup memuaskan. Di samping itu, biliknya juga lengkap dengan pelbagai kemudahan. Dari RM50 untuk semua ini? Pilihan penginapan yang terbaik untuk poket anda.
Harga: Dari RM50+ Semalaman
Alamat: YP Boutique Hotel 6A2, Jalan SS6-6, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya
14. Hotel 99 (Kelana Jaya)
Hotel 99 (Kelana Jaya) yang terletak di dalam bangunan bercat hitam ini adalah sebuah hotel moden yang menggunakan warna-warna natural dalam dekorasi dalamannya. Suasana di dalam hotel ini tidak terasa seperti hotel bajet kerana gabungan warnanya yang kelihatan begitu ekslusif.
Bukan itu sahaja, biliknya juga bersih, lengkap dengan katil yang empuk dan banyak lagi kemudahan asas yang lain. Lokasinya pula, terletak berdekatan dengan Maybank dan 7-E. Tidak jauh dari hotel ini juga terdapat sebuah stesen LRT.
Harga: Dari RM79+ Semalaman
Alamat: No 107 Jalan SS 25/7 Taman Mayang, 47301 Petaling Jaya
13. Sun Inns Hotel KopKastam Kelana Jaya
Terletak berhadapan dengan salah satu pusat membeli-belah ikonik di Petaling Jaya, Paradigm Mall, lokasi Sun Inns Hotel KopKastam Kelana Jaya tidak perlu dipersoalkan lagi, memang terbaik terutamanya bagi anda yang tidak sabar ingin bershopping sakan. Dalam sekitar 20 ke 50 meter dari hotel ini juga terdapat pasaraya Giant. Lokasi yang hebat bukan?
Berkenaan hotel ini pula, walaupun memiliki luaran seperti kebanyakan hotel bajet yang lain, jangan tertipu, kerana keadaan dalam hotel murah ini terjaga dengan baik sekali, kebersihannya sangat memuaskan hati.
Bilik hotel juga terasa sungguh nyaman dan selesa. Anda boleh bersantai di dalam bilik sambil menghiburkan diri dengan menonton pelbagai pilihan siaran yang terdapat di TV ataupun menonton YouTube dengan wifi pantas yang disediakan hotel semuanya dengan harga yang bermula dari RM68 semalaman.
Harga: Dari RM68+ Semalaman
Alamat: No. B-07 & B-08, Plaza Taragon Kelana, Jalan SS 6/6 Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya
12. Eiffel Hotel Kelana Jaya
Terletak betul-betul bersebelahan dengan Paradigm Mall, Eiffel Hotel Kelana Jaya bukanlah sebuah hotel di Paris ya. Hotel yang berlokasi di Kelana Jaya ini adalah sebuah hotel yang sungguh ceria kawasan lobinya, penuh dengan warna-warni yang menggegarkan deria penglihatan anda.
Eiffel Hotel Kelana Jaya menyediakan 11 buah bilik berbeza yang dapat memenuhi keperluan penginapan anda dari bilik yang memuatkan solo traveller hinggalah ke bilik keluarga.
Dihias dengan elegan, keselesaan yang dapat anda rasakan di bilik hotel ini juga cukup memuaskan. Yang penting, kedai makan hanyalah di sekitar hotel, nak makan apa? Nasi berlauk? Mee goreng? Bawa kaki anda ke kedai mamak yang dibuka 24 jam di sini.
Harga: Dari RM73+ Semalaman
Alamat: F-G-5, Pusat Komersial Parklane, Petaling Jaya, 47301 Petaling Jaya
11. TH Hotel Kelana Jaya
Inginkan penginapan di lokasi yang tidak disangkal lagi keselamatannya, mai booking TH Hotel Kelana Jaya.
Hotel ini sangat sesuai bagi anda yang bercuti ke Petaling Jaya bersama keluarga kerana keluasan bilik dan katil besar yang disediakannya untuk bilik keluarga. Suasana hotel ini yang tenang memastikan anda sekeluarga dapat menikmati tidur penuh nyenyak.
Lokasinya pula, dalam 20 minit pemanduan, anda boleh sampai ke Sunway Lagoon dan bandar Shah Alam. Hotel ini juga terletak berdekatan dengan stesen LRT Kelana Jaya.
Harga: Dari RM149+ Semalaman
Alamat: Jalan SS6/1, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya
Seksyen 8
10. Sunrise Hotel
Inginkan penginapan yang dekat dengan bermacam restoran yang masuk dengan jiwa urban anda? Maklumlah, alang-alang menginap di kawasan bandarlah katakan.
Jika anda menginap di hotel moden Sunrise Hotel ini, anda akan terlihat banyak sekali kedai makan yang terkenal di sekitarnya seperti Subway, KFC yang dibuka 24 jam, Secret Recipe dan Starbucks.
Macam di pusat membeli-belah pula kan? Bagaimana pula dengan hotelnya? Bilik-bilik di hotel ini walaupun tidak begitu luas, rekaan dalamannya yang menggunakan pencahayaan yang malap dan perabot yang minimal membuatkan bilik terasa agak besar selain menambahkan keselesaan.
Harga: Dari RM110+ Semalaman
Alamat: No. 15, Jalan Barat, 46050 Petaling Jaya
9. PJ-Luxe Boutique Hotel
Hotel dari bawah RM200 yang lengkap dengan sauna? Bukan senang nak jumpa. Namun jika ini yang anda cari-cari, PJ-Luxe Boutique Hotel adalah salah satu hotel yang lengkap dengan kemudahan ini di PJ.
Tak rasa nak mengeluarkan peluh dalam bilik sauna? Menghabiskan masa dalam bilik hotel ini pun best sebenarnya, siapa tak suka melepak di dalam bilik yang berdekorasi moden, bersih, lengkap dengan wifi laju lagi.
Bilik-bilik yang dihias dengan moden menggunakan warna hitam dan putih secara keseluruhannya ini cukup sedap dipandang mata. Perut berbunyi? Kedai mamak, Subway, 7-E dan banyak lagi, hanyalah beberapa tapak dari hotel ini.
Harga: Dari RM150+ Semalaman
Alamat: No. 11, Jalan 8/1D, Off Jalan Sultan, Seksyen 8, 46050 Petaling Jaya
Desa Mentari
8. Hotel Desaria
Berlokasi strategik, dalam 15 ke 20 km untuk ke Kuala Lumpur dan 8 minit pemanduan ke Sunway Pyramid, Hotel Desaria adalah pilihan penginapan yang cukup murah dalam lokasi yang hebat.
Bukan itu sahaja, di sekitar hotel ini juga terdapat restoran mamak yang masih dibuka walaupun lewat malam. Mana tahu, mungkin anda lapar pada pukul 3 pagi? Tak perlu bersusah-payah mencari tempat makan yang jauh.
Selain lokasi hebat, Hotel Desaria ini sendiri adalah sebuah penginapan yang sempurna sekiranya anda menginginkan tempat tidur yang selesa dan bersih. Jika anda mengharapkan pemandangan yang menarik sewaktu menginap, anda boleh mendapatkan bilik di tingkat 6 atau 7 hotel ini.
Harga: Dari RM60+ Semalaman
Alamat: 19, Jalan PJS 5/28, Pusat Dagangan Petaling Jaya Selatan, 46150 Petaling Jaya
Seksyen 13
7. Best Western Petaling Jaya
Seperti namanya, Best Western Petaling Jaya, hotel ini memberikan anda sebuah penginapan yang persis di negara barat. Pemandangan yang sempurna sekitar bandaraya, kolam renang di atas bumbung yang cukup elegan, pusat kecergasan, sarapan yang enak, kebersihan yang tip-top dan suasana yang menenangkan, semuanya dapat anda nikmati di hotel bajet ini.
Selain ini semua, dekorasi dalaman hotel ini turut mampu memukau jiwa anda, sungguh indah dipandangan mata kerana gabungan warna yang menarik yang dilengkapkan dengan pencahayaan yang sesuai untuk menaikkan aura mewah setiap ruang hotel ini.
Lokasinya juga cukup menarik kerana di sekitarnya terdapat banyak restoran makanan barat untuk mengenyangkan perut anda yang sudah berbunyi setelah seharian beraktiviti.
Harga: Dari RM201+ Semalaman
Alamat: No 1 Jalan 13/1, Section 13, 46100 Petaling Jaya
SS2
6. Calla Hotel
Begitu banyak sekali hotel dengan konsep moden bukan? Jika anda inginkan ‘angin’ yang berbeza, apa kata kalau anda menginap di Calla Hotel. Atmosfera di dalam hotel bajet ini cukup mendamaikan dengan tanaman pokok hijau hampir di mana sahaja anda berada terutama sekali di ruang lobi hotel ini.
Bilik-biliknya pula dihias dengan minimal menggunakan warna putih yang menyerlahkan lagi kebersihan hotel ini.
Lokasinya? Dikelilingi oleh banyak kedai makan untuk mengenyangkan perut yang lapar. Hotel ini sendiri turut menyediakan ruang pantri yang lengkap dengan water dispenser.
Harga: Dari RM38+ Semalaman
Alamat: 31, Jalan SS2/75, SS2, 47300 Petaling Jaya
5. De UPTOWN Hotel SS2
Ramai orang datang ke Petaling Jaya untuk membeli-belah, oleh sebab itu, ramai orang perlu memilih De UPTOWN Hotel SS2. Ini kerana lokasi hotel ini membuatkan banyak pusat membeli-belah terasa begitu dekat.
Pusat membeli-belah seperti 1 Utama Shopping Centre, Mid Valley Megamall dan Tropicana City Mall hanyalah 10 minit pemanduan dari hotel.
Sunway Pyramid pula hanyalah 20 minit pemanduan dari hotel. Pastikan wang ringgit anda mencukupi ya? Banyak tempat nak bershopping!
Berkaitan penginapan ini, rekaan dalamannya agak ringkas, namun lengkap dengan segala kemudahan untuk keselesaan penginapan anda dan ini termasuklah mesin water dispenser bagi anda yang kehausan setelah penat berjalan.
Jika tekak dan perut anda inginkan layanan yang lebih, di sekitar hotel ini terdapat banyak kedai makan untuk dicuba.
Harga: Dari RM98+ Semalaman
Alamat: 16, Jalan SS2/63, 47300 Petaling Jaya
4. Moment Hotel
Moment Hotel adalah sebuah penginapan 3 bintang yang menggunakan warna cerah dalam rekaan dalaman bilik-biliknya yang dihias dengan minimal. Walaupun kelihatan begitu ringkas, ia tetap lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti bar mini.
Lokasinya pula, dikelilingi oleh kedai makan dan kedai runcit. Bagi anda yang ingin bershopping pula, 1 Utama hanyalah 1.5 km dari hotel.
Harga: Dari RM79+ Semalaman
Alamat: 29 Jalan SS 21/56b, 47400 Petaling Jaya
3. Hotel 99 SS2 Petaling Jaya
Hotel 99 SS2 Petaling Jaya adalah sebuah penginapan bajet yang mengutamakan keselesaan anda. Rekaan dalaman hotel ini diberikan perhatian yang cukup teliti untuk mewujudkan atmosfera yang mendamaikan.
Selain memberikan anda waktu rehat yang sempurna sepanjang penginapan, Hotel 99 SS2 Petaling Jaya turut menyediakan kemudahan moden yang lain seperti wifi percuma dan siaran televisyen sebagai hiburan sewaktu bersantai.
Harga: Dari RM89+ Semalaman
Alamat: No. 13, Jalan SS 2/64, 47300 Petaling Jaya
PJ New Town
2. Hotel Armada Petaling Jaya
Siapa tak kenal hotel 4 bintang, Hotel Armada Petaling Jaya. Walaupun memiliki aura hotel mewah, banyak sekali bilik-bilik yang ditawarkan di hotel ini berharga bawah dari RM250. Apa yang anda harapkan dari sebuah hotel yang gah? Pusat kecergasan? Restoran yang menghidangkan pelbagai jenis makanan enak?
Bilik yang luas dan bersih? Deko yang hebat? Pemandangan yang mengasyikkan? Katil yang empuk? Wifi yang power? Strategik? Hotel Armada Petaling Jaya adalah semua yang anda inginkan untuk sebuah penginapan sempurna.
Harga: Dari RM181+ Semalaman
Alamat: Lorong Utara C, Section 52, 46200 Petaling Jaya
1. Hotel Strawberry Fields
Dengar nama Hotel Strawberry Fields teringat pula lagu daripada kumpulan The Beatles, “Let me take you down, cause I’m going to Strawberry Fields…” Mungkin juga pemilik hotel ini mendapat inspirasi namanya daripada lagu ini?
Jika tidak pun nama hotel ini mungkin menggambarkan keindahan yang dapat anda rasai apabila bermalam di sini. Sebuah hotel bajet yang dilengkapi dengan segala kemudahan mewah seperti penyejuk udara, katil yang empuk, mandian air panas, water dispenser dan lain-lain lagi. Bukan itu sahaja, pihak hotel turut menyediakan surau untuk pelanggan yang beragama Islam.
Lokasi hotel ini juga tidak mengecewakan, di sekitarnya terdapat banyak kedai makan dan bank sekiranya anda ingin mengeluarkan wang sebelum bershopping di sekitar bandaraya yang meriah ini.
Harga: Dari RM113+ Semalaman
Alamat: 7, Jalan 52/16, 46200 Petaling Jaya
Banyak sekali pilihan hotel bajet di Petaling Jayakan? Siapa kata susah untuk mencari hotel murah di tengah-tengah kota?
Kami harap senarai 35 hotel murah di Petaling Jaya ini memberi sedikit gambaran tentang pilihan penginapan bajet yang terdapat di sana.
Jika anda nak lihat lebih banyak lagi pilihan hotel yang ada di PJ anda boleh Layari laman web booking.com untuk mendapatkan senarai yang lebih panjang, dari hotel yang unik hinggalah hotel yang berkonsep minimal, pilihlah yang sesuai dengan jiwa anda.
Tak cukup lagi? Anda juga boleh mencari banyak lagi hotel bajet di Shah Alam yang terletak hanyalah 25 minit pemanduan dari PJ.
Walau apa pun pilihan penginapan anda, diharapkan percutian anda sekeluarga ke Petaling Jaya padu dengan aktiviti yang gempak! Selamat bercuti ke Petaling Jaya!