Siapa yang tidak pernah membayangkan untuk tinggal di kawasan berhampiran laut? Bunyi desiran ombak pantai dan angin laut memberikan ketenangan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Kehidupan yang penuh keriuhan tanpa henti di kota membuatkan ramai mengidamkan suasana yang indah, tenang, bersama bayu segar yang sukar didapati di bandaraya.
Jika ini yang anda sering bayang-bayangkan, apa kata anda bersama keluarga beramai-ramai membuat perancangan untuk bercuti ke salah satu hotel terapung yang terdapat di Malaysia ini.
Di sini anda dapat melupakan segala beban kerja atau pelajaran, di sini anda hanya mendengar bunyi-bunyi daripada alam semulajadi, di sini anda dapat menghirup udara yang bersih, di sini juga anda disajikan pemandangan yang menyegarkan. Sekembalinya anda dan keluarga daripada percutian ini, badan dah relaks, minda pun tenang, produktiviti meningkat, kesihatan pun bertambah mantap! Tak perlu nak keluar negara untuk menikmati semua ini, jadi tunggu apa lagi? Mari kita lihat 16 hotel terapung di Malaysia.
16. Pangkor Laut Resort
Untuk sampai ke resort yang terletak di Selat Melaka ini, anda perlu menaiki bot laju yang disediakan daripada Marina Island Pangkor yang mengambil masa selama 15 minit.
Jauh daripada sebarang gangguan bunyi dan udara kerana lokasinya yang dikelilingi taman tropika dan laut. Di resort ini, anda sekeluarga bukan setakat boleh snorkeling dan berkanu di laut, tapi anda juga boleh bermandi-manda di 2 kolam renang yang disediakan.
Macam mana kalau musim hujan? Hotel ini juga menyediakan tempat untuk bermain skuasy, tenis dan bilik kecergasan. Bagi anda yang nak memanjakan diri anda, terdapat spa yang dapat memberikan anda layanan yang memang baik punya!
Bab makan anda tak perlu risaulah, sebab ada 8 restoran yang boleh anda pilih, yang bestnya, dapat makan makanan laut segar bertemankan pemandangan laut lagi. Perfect!
Alamat: Pangkor Laut Island, Pangkor Laut, 32200 Lumut, Perak, Malaysia
15. Avani Sepang Gold Coast
Siapa yang tak mengidamkan sebuah penginapan yang lengkap dengan pemandangan yang menyejukkan mata bukan? Di sini anda dikelilingi oleh pemandangan laut yang sangat menarik terutama sekali pada waktu matahari naik dan terbenam, sampai terlupa segala beban di kepala. Bilik juga luas, keselesaannya memang tak perlu dipersoalkan, tip-top!
Tak cukup dengan pemandangan dari balkoni vila? Pihak hotel turut menyediakan basikal, permainan meluncur angin dan banyak lagi untuk bersuka-ria bersama keluarga tersayang sambil menikmati panorama alam.
Penginapan di sini terasa cukup mewah dengan kemudahan spa, pusat kecergasan dan kolam renang infiniti yang disediakan. Anda juga boleh melawat ladang-ladang yang terdapat di sekitar hotel. Memang syok baq hang!
Alamat: Sepang Goldcoast, No. 67 Jalan Pantai Bagan Lalang, 43950 Kampong Bagan Lalang
14. Seaventure Dive Rig
Buat anda yang menyukai aktiviti menyelam, Seaventure Dive Rig ialah sebuah destinasi yang patut anda tujui. Pengalaman yang akan anda dapati apabila menginap di sini dijamin terbaik! Binaan hotel ini memang serius unik.
Dibina di atas pelantar minyak, anda diberikan dua pilihan, kalau anda berjiwa ekstrem, boleh terus terjun dari platform untuk menyelam ke dalam laut ataupun kalau jiwa anda tidaklah se’ekstrem’ yang disangka sebaik berdiri di platform, anda boleh menggunakan lif yang disediakan untuk terus sampai ke dalam laut. Pengalaman yang ditawarkan oleh destinasi ini sungguh unik dan ia terpilih untuk disertakan didalam senarai tempat percutian paling menarik di Malaysia.
Selain itu, berdasarkan testimoni pelancong yang pernah menginap di sini, makanan yang disediakan juga agak menyelerakan dan yang penting sekali, ramai yang sangat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh pekerja di hotel ini.
Alamat: (Untuk tujuan tempahan) G23B, Ground Floor, Wisma Sabah, Jalan Tun Razak, Kota Kinabalu, Sabah 88000, Malaysia
13. Avillion Port Dickson
Tak perlu lari jauh-jauh daripada kota untuk menikmati alam semulajadi bersama keluarga kalau anda tinggal di Kuala Lumpur. Hanya 1 jam perjalanan anda akan sampai di sebuah dunia yang penuh ketenangan.
Resort yang direka berdasarkan perkampungan nelayan Melayu ini bukan sahaja menawarkan kemudahan spa, sauna dan kolam renang, malahan, anda juga boleh melawat ladang rempah-ratus, ladang haiwan dan kandang burung di mana terdapat lebih daripada 30 spesies burung untuk dilihat, yang penting, dapatlah anak-anak anda belajar sesuatu yang baru semasa bercuti.
Bukan itu sahaja, anda boleh juga memancing dari balkoni bilik sambil menyegarkan mata anda ditemani bayu laut Selat Melaka.
Bagi anda yang sukakan aktiviti lasak pula pihak resort menyediakan aktivit berkayak, kapal luncur angin dan basikal hydro.
Alamat: 3rd Mile Jalan Pantai, 71000 Port Dickson, Malaysia
12. Mabul Water Bungalow
‘The best dive bases in the world,’ itulah penghormatan yang diberikan kepada tempat penginapan yang terletak di perairan Pulau Mabul, Sabah ini. Kejernihan airnya menjadikan aktiviti menyelam sangat menyeronokkan kerana anda dapat melihat dengan jelas panorama hidupan laut.
Airnya yang jernih ini juga membuatkan anda dapat menikmati pemandangan hidupan marin dengan hanya menjenguk keluar melihat air dari balkoni bilik anda.
Bilik-bilik di Mabul Water Bugalow juga agak luas dan memiliki reka bentuk tradisional, tapi tetap dilengkapi dengan kemudahan moden seperti internet, tv bersaluran satelit, tandas juga lengkap dengan mandian air panas. Selain daripada itu, anda juga boleh relaks di spa yang disediakan.
Alamat: Pulau Mabul, Sabah, Malaysia
11. Sipadan Kapalai Water Village Resort
Sipadan Kapalai Water Village ini anda dapat berasa seperti benar-benar terapung kerana terpisah jauh daripada kawasan daratan. Resort ini disambungkan dengan Pulau Mabul dengan jambatan kayu yang panjang. Reka bentuk penginapan ini adalah diinspirasikan daripada reka bentuk rumah masyarakat Bajau.
Antara aktiviti yang disediakan di resort ini adalah seperti berkayak, menyelam dan snorkeling. Bagi anda yang tak sabar untuk menikmati keindahan air laut di sini, boleh je kalau anda nak terus terjun daripada jambatan, baru adventurous kan?
Selain itu, anda boleh menikmati perkhidmatan spa yang disediakan oleh pihak hotel. Bagi anda yang membawa anak-anak yang masih kecil pula tak perlu gusar, perkhidmatan penjagaan bayi turut disediakan. Jadi, bolehlah anda chill tanpa sebarang beban dalam kepala. Semuanya tersedia untuk anda dan keluarga bercuti dengan tenang.
Alamat: Semporna, Sabah, Malaysia
10. Berjaya Langkawi Resort
Kalau anda mengidamkan sebuah penginapan dengan kesegaran bunyi hutan hujan setiap kali anda membuka mata, inilah resort yang tepat bagi anda. Berlatarbelakangkan hutan hujan yang kaya dengan hidupan liar, resort ini menyediakan perkhidmatan lawatan berpandu di mana anda akan diberikan penerangan tentang flora dan fauna di hutan hujan ini. Anda dan anak-anak dapat menikmati panorama alam semulajadi sambil mempelajari banyak perkara baru tentang hidupan di sini.
Dah puas menikmati hidupan di hutan hujan, jom pergi menyelam pula di Pulau Payar untuk melihat hidupan laut yang terdapat di sini. Selain daripada aktiviti menerokai hutan yang boleh dilakukan pada waktu siang dan malam serta scuba diving, hotel ini turut memiliki Muzium 3D dan Underwater World Langkawi untuk anda lawati. Memang sure seronoklah anak-anak anda kalau datang ke sini!
Alamat: Karung Berkunci 200, Burau Bay, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
9. Pom Pom Island Resort
Terletak lebih kurang 50 minit daripada jeti Semporna, resort yang juga merupakan tempat pemuliharaan penyu ini menawarkan pemandangan yang sangat indah kepada para penginap. Dari jeti resort anda dapat melihat penyu-penyu dan pelbagai jenis ikan yang terdapat di laut.
Hotel ini turut menyediakan perkhidmatan spa di mana terdapat khidmat urutan dan refleksologi untuk anda bersama keluarga memanjakan diri. Selepas itu bolehlah anda menaiki bot yang disediakan untuk berlayar di sekitar kawasan laut.
Kalau anda sukakan aktiviti yang mencabar, anda boleh mendaki bukit di Pulau Bohaydulong yang terletak tidak jauh dari resort. Setelah penat mendaki anda akan disajikan dengan pemandangan pulau-pulau sekeliling yang indah tak terkata.
Alamat: A-2-1 Jalan Karamunsing | Lorong Kapital, Block A, 2nd Floor, Pulau Sipadan 88000, Malaysia
8. Gayana Eco Resort
Di pinggir laut Borneo terletaknya sebuah resort yang sangat gempak. Untuk ke resort ini anda perlu menaiki feri yang disediakan secara percuma dari Terminal Feri Kota Kinabalu. Kenapa saya kata gempak tadi? Sebab anda dapat menggunakan banyak kemudahan untuk beraktiviti air di sini secara percuma seperti snorkeling dan kayak.
Air di resort ini juga sangat jernih membuatkan aktiviti snorkeling 10 kali ganda menyeronokkan kerana anda dapat melihat hidupan laut dengan jelas. Jangan lupa sediakan kamera berkalis air, baru berbaloi!
Waktu bercuti jugalah waktu yang tepat untuk membelai wajah dan badan bukan? Di Spa Suites di hotel ini anda boleh mendapatkan khidmat rawatan wajah dan urutan badan.
Alamat: Malohom Bay Pulau Gaya, 88000 Kota Kinabalu, Malaysia
7. Dragon Inn Semporna
Dragon Inn Semporna direka bentuk berdasarkan kampung air masyarakat Bajau. Terletak tidak jauh daripada kawasan bandar dan hanya selang beberapa minit perjalanan dari resort anda dapat singgah ke pasar pagi yang terdapat di sini.
Apa yang bestnya di sini, terdapat Live Fish Open Aquarium untuk anda melihat hidupan air bersama keluarga. Tidak jauh dari resort ini, anda boleh melawat pulau-pulau yang berdekatan seperti Mabul dan Sipadan untuk melengkapkan percutian anda sewaktu di Sabah.
Untuk pengetahuan anda juga, resort ini diberi gelaran sebagai Royal Resort ataupun Resort Diraja kerana kerap menerima lawatan diraja. Ia juga tersenarai sebagai salah satu hotel terapung terbaik dalam senarai ‘AskMen’s Top Ten Floating Hotels of The World’.
Alamat: Dragon Inn (Floating Hotel) Jalan Kastam, 91307 Semporna
6. ST Regis Langkawi
Sebuah hotel di Langkawi yang menawarkan pemandangan matahari terbenam yang indah. Terletak berdekatan dengan keindahan hutan hujan yang menghijau, serta dikelilingi keindahan laut Andaman yang memukau. Hotel ini menyediakan aktiviti air yang menarik seperti snorkeling dan scuba diving untuk anda mencipta memori indah bersama keluarga.
Bagi anda yang nak relaks dengan lebih privasi, anda boleh berenang dalam kolam renang infiniti peribadi yang disediakan pihak hotel.
Tempat makannya pula disediakan hammock atau buaian untuk anda menjamu selera sambil menikmati pemandangan indah dari resort. Memang cool kan?
Alamat: Jalan Pantai Beringin, Langkawi, 07000, Malaysia
5. Grand Lexis Port Dickson
Terletak hanya 1 jam lebih perjalanan dari Kuala Lumpur adalah sebuah hotel yang memecahkan rekod sebagai resort yang memiliki paling banyak kolam renang dalam The Malaysia Book of Records. Ciri-ciri reka bentuk hotel ini adalah diinspirasikan daripada reka bentuk penginapan di Bali.
Di dalam tempat penginapan anda dilengkapi dengan katil bersaiz king, tv 32-inci, dapur, ketuhar mikro, pinggan dan banyak lagi yang dapat memudahkan anda sewaktu menginap di sini. Wifi? Mantap. Setiap penginapan juga disediakan kolam renang peribadi yang selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak sekiranya anda datang bersama keluarga.
Setelah puas bermandi-manda, anda boleh menerokai alam semula jadi di sekitar dengan menaiki basikal sewa yang disediakan pihak resort. Sangat banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga sekiranya anda menginap di resort ini seperti melawat Raptor Bird Sanctuary, Hutan Simpan Tanjung Tuan dan Oceanic Mall Port Dickson.
Alamat: Batu 2, Jalan Seremban, Negeri Sembilan, 71000 Port Dickson, Malaysia
4. Lexis Hibiscus Port Dickson
Sebuah hotel yang memberikan anda privasi yang diimpikan, siapa yang tak pernah berangan untuk memiliki kolam renang sendiri kan? Di hotel ini, impian anda menjadi kenyataan. Setiap bilik disediakan kolam renang untuk anda nikmati tanpa sebarang gangguan.
Tak perlulah anda membuang masa untuk mencari pakaian yang sesuai kalau tiba-tiba terasa nak bermandi-manda, syoknya tak terkatalah kan. Bukan itu sahaja, setiap tempat penginapan juga disediakan bilik stim ataupun sauna. Ini antara hotel terbaik di Port Dickson yang pasti memberi anda pengalaman menginap yang istimewa.
Sudah puas berendam dan bersiap, keluar sahaja dari pintu bilik, anda akan disajikan dengan pemandangan yang indah pemandangan laut. Kalau anda menginginkan sebuah percutian yang mewah dan berprivasi, inilah salah satu penginapan yang boleh dijadikan pilihan.
Alamat: Jalan Pantai, Port Dickson, 71250 Pasir Panjang, Negeri Sembilan, Malaysia
3. Langkawi Lagoon Resort Water Chalet
Berkonsep arkitektur tradisional dan rumah Melayu lama, Langkawi Lagoon Water Chalet yang terletak di Pantai Chenang ini memang sangat cantik dan istimewa. Hotel terapung ini disambung dengan jambatan bercabang kayu yang menambahkan lagi look dan vibe zaman dahulu kala.
Sepanjang jambatan ini pula diletakkan lampu-lampu yang menaikkan lagi seri hotel ini di waktu senja dan malam. Hotel ini terapung di atas air, jadi dari setiap bilik penginpan pilihan anda, pemandangan laut yang indah dan tenang dapat dinikmati.
Terdapat beberapa jenis bilik penginapan di sini. Water Chelet di sini terbahagi kepada beberapa jenis. Junior Water Chalet yang dilengkapi dengan 1 katil bersaiz King, pantry kecil dan balkoni, sangat sesuai bagi pasangan atau keluarga kecil. Namun, jika anda bercadang untuk berbulan madu atau bercuti untuk menyambut hari istimewa, kami cadangkan anda mencuba Lagoon Water Chalet atau Premium Water Chalet.
Kedua-dua chalet ini lebih besar dan dilengkapi dengan katil bersaiz King, dapur kecil yang lengkap, ruang tamu dan ruang makan. Memang cukup istimewa dan selesa, apa lagi bila anda mengadakan candle light diner di balkoni yang menghadap lautan.
Alamat: Langkawi Lagoon Beach Resort, Lot 78, Jalan Kuala Muda, Kampung Padang Mat Sirat, 07000 Langkawi, Kedah
2. Lankayan Island Dive Resort, Sabah
Negeri Sabah memang sangat terkenal dengan pulau-pulau dan perairannya yang cukup menawan. Air biru jernih dan pir pantai putih menjadikan pulau-pulau di Sabah antara tempat bercuti pilihan ramai, termasuk pelancong dari luar negara.
Pulau Lankayan merupakan antara tempat di mana sebuah hotel terapung tersedia untuk kunjungan anda. Lankayan Island Dive Resort ini memang sangat digemari ramai. Walaupun kedudukannya agak jauh dan terpencil, suasana indah dan privasi yang optimum menjanjikan percutian yang cukup istimewa buat anda sekeluarga.
Jambatan panjang dan bercabang yang dihias dengan lampu-lampu membawakan anda ke bilik penginapan terapung mereka iaitu water chalet. Setiap water chalet di sini di susun secara sebelah menyebelah. Walaupun unit water chalet ini agak terhad, pemandangan yang dijanjikan memang terbaik. Takdelah menghadap chalet jiran, semuanya menghadap Laut Sulu yang menawan.
Setiap unit cukup selesa dan cantik, dengan perhiasan bertemakan pulau atau tropikal. Setiap unit juga lengkap dengan balkoni dan kerusi-kerusi malas di mana anda dan pasangan dapat berehat sambil menikmati pemandangan laut yang tidak bersempadan.
Alamat: Ground Floor, Lot 38 & 39, Block C Bandar Tyng, Mile 5, North Road, PPM 255, 90000 Sandakan, Sabah
1. Nusakuya Resort Sabah
Nusakuya Resort merupakan hotel terapung yang terletak di Semporna, Sabah. Ia juga mempunyai inisiatif pengekalan karang atau coral reef initiative. Untuk sampai ke resort ini, anda perlu menaiki bot.
Buat pengetahuan anda, Nusakuya Resort menawarkan pakej menyeluruh atau all-in yang termasuk sekali makan dan minum. Ini kerana lokasinya yang sangat terpencil. Memang sangat privasi la. Anda juga boleh mengambil lternatif lain seperti memesan BBQ atau makanan yang akan dihantar melalui bot.
Dari segi penginapan, Nusakuya Resort menawarkan chalet terapung yang memang semakin lama semakin mendapat perhatian. Anda boleh memilih antara bilik Double yang memuatkan sehingga 2 pax atau bilik Triple yang memuatkan sehingga 3 pax.
Semua bilik penginapan mempunyai balkoni di mana anda boleh berehat sambil menikmati lautan biru yang menawan. Terdapat juga tangga kayu yang akan membawa anda terus ke air. Jadi, anda boleh terus mandi laut bila bercuti ke sini. Anda juga boleh menyewa bot lutsinar yang sedang viral sekarang!
Alamat: Kg Tundun Bum-Bum Lot no 20-031204014 Peti surat 852, 91308 Semporna, Sabah
Mesti agak ramai yang tak menyangka yang Malaysia sebenarnya memiliki banyak hotel atau resort yang lain dari yang lain seperti hotel-hotel terapung ni kan? Ramai yang teringin untuk ke luar negara untuk menikmati alam semula jadi sebenar tapi tak perasan bahawa tanah air ini sendiri kaya dengan keindahan alam semulajadi.
Hotel-hotel terapung ini memberikan pengalaman yang agak unik dan istimewa kerana percutian anda memang benar-benar jauh dari hiruk-pikuk yang wujud di daratan. Dengan menginap di hotel sebegini juga anda dapat menyelami alam semula jadi dengan lebih realistik lagi. Bangun sahaja dari tidur lena anda dah disapa dengan bunyi ombak dan deru angin laut. Aktiviti-aktiviti yang dapat dibuat di penginapan-penginapan ini juga sangat menyeronokkan, diving, snorkelling, kayak, siapa yang tak suka main air bukan?
Sebenarnya banyak lagi destinasi yang menarik untuk dilawati di Malaysia ini untuk menikmati keindahan alam semulajadi dan untuk menenangkan fikiran yang bercelaru dalam dunia yang penuh cabaran ni. Wajib untuk anda mengambil sedikit masa untuk recharge tenaga anda sekeluarga dengan percutian yang menyeronokkan. Singgahlah untuk membaca artikel kami berkaitan hotel terbaik di Cameron Highland untuk memberi anda ilham untuk percutian yang akan datang bersama keluarga.
Akhir kata, terima kasih kerana telah meluangkan masa anda untuk membaca senarai 13 hotel terapung terbaik yang terdapat di Malaysia. Pihak Maisinggah berharap dengan artikel ini, anda dapat membuat pilihan yang terbaik untuk sebuah percutian yang terindah bagi anda dan keluarga. Percutian adalah waktu yang penting yang dapat merapatkan hubungan antara keluarga dan dalam mencipta memori indah bersama, jadi, buatlah pilihan yang terbaik dan rancanglah dengan awal. Semoga impian anda sekeluarga untuk memiliki percutian yang sempurna berjaya direalisasikan.
Anda rasa ramai lagi yang tak tahu tentang kewujudan hotel terapung di Malaysia? Sila share dan tag kawan-kawan anda supaya mereka juga mendapat manfaat daripada artikel ini.