Pulau bebas cukai yang terkenal di Malaysia, Pulau Langkawi, bukan sahaja menjadi tarikan pelancong tempatan, malahan pelancong yang datang dari jauh beribu batu. Ini sudah cukup membuktikan betapa istimewanya Pulau Legenda ini.
Aktiviti menarik yang boleh dibuat di sekitar pulau ini sungguh banyak tak terkira, selain membeli-belah, aktiviti yang sering dilakukan adalah seperti snorkeling, menyelam skuba, mendaki bukit, menaiki kereta kabel dan bermacam lagi yang pasti menceriakan percutian anda.
Nak tahu bagaimana cara untuk memaksimumkan lagi keseronokan percutian anda di Langkawi? Jawapannya adalah dengan menginap di hotel hebat yang ada di Langkawi ini.
Tak cukup dengan aktiviti di sekitar Pulau Langkawi, di sekitar hotel ini pun anda boleh berseronok sakan bersama keluarga! Hotel mana yang hebat tu, dan apa hebatnya di hotel-hotel ini? Teruskan membaca senarai hotel terbaik di Pulau Langkawi kalau anda nak tahu.
Kandungan
- 27. Berjaya Langkawi Resort
- 26. The Danna Langkawi
- 25. The Andaman, A Luxury Collection Resort
- 24. Arch Studio Cenang
- 23. Aloft Langkawi Pantai Tengah
- 22. Adya Hotel Langkawi
- 21. Four Seasons Resort Langkawi
- 20. Telaga Terrace Boutique Resort
- 19. Temple Tree Resort
- 18. Bon Ton Resort
- 17. The Westin Langkawi Resort & Spa
- 16. La Villa Langkawi
- 15. Villa Molek
- 14. La Pari-Pari
- 13. Vivanta by Taj
- 12. The Bayview Hotel Langkawi
- 11. Lot 33 Boutique Hotel
- 10. The St. Regis Langkawi
- 9. Meritus Pelangi Beach Resort & Spa
- 8. Casa Del Mar
- 7. Peace Haven Hibiscus Villa
- 6. The Smith House
- 5. The Frangipani Langkawi Resort & Spa
- 4. The Ritz-Carlton
- 3. Dayang Bay
- 2. Tanjung Rhu Resort
- 1. Ambong-Ambong Langkawi Rainforest Retreat
27. Berjaya Langkawi Resort
Terletak berdekatan dengan Oriental Village yang cukup indah dan Langkawi Cable Car Ride, hotel Berjaya Langkawi Resort bukan sahaja memiliki lokasi yang strategik, kemudahan-kemudahan yang disediakan hotel ini juga cukup istimewa!
Hotel ini sangat mesra keluarga, lengkap dengan bilik untuk bermain Playstation, gym, taman permainan, gelanggang tenis, Kids’ Club, dan bilik khas untuk permainan yang lain seperti ping-pong, darts dan macam-macam lagi!
Untuk aktiviti santai, anda boleh berendam badan di dalam kolam renang beratmosfera tropika yang dikelilingi dengan pokok-pokok kelapa. Yang syoknya lagi, ada air terjun sekali tu! Kalau anda terasa air terlalu sejuk, anda boleh berendam dalam tab mandian air panas yang dibahagikan dengan batuan di kolam renang ini.
Dah puas berseronok, anda boleh memanjakan diri di Taaras Spa yang juga memiliki kolam renangnya sendiri, salon kuku, bilik steam dan sauna. Tak akan ada sesaat pun bosan di resort ini.
Setiap bilik di resort ini pula dihias dengan menjadikan alam semulajadi sebagai inspirasi utama. Dari tempat penginapan, anda dapat menikmati pemandangan lautan yang membiru ataupun kehijauan pokok-pokok hutan, cukup menyejukkan pandangan mata.
Kemudahan lain yang disediakan hotel ini adalah kedai, perpustakaan mini dan klinik. Wah! Punyalah lengkap resort ni, terasa macam duduk di bandar pula!
Harga: Dari RM490+ Semalaman
Alamat: Karong Berkunci 200, Burau Bay, 07000 Pantai Kok
26. The Danna Langkawi
Siapa yang tak suka bermandi-manda, kalau anda nak tahu, di The Danna Langkawilah terletaknya kolam infiniti terbesar di Pulau Langkawi! Betapa luasnya kolam ini sehinggakan pada hari ramai orang bermandi-manda pun tak terasa padatnya, ini baru betul infiniti!
Tak cukup dengan kolam seluas pandangan, anda boleh berjalan kaki menuju ke pantai peribadi milik hotel ini, lengkap dengan kerusi santai dibawah lindungan bumbung. Kalau anda beruntung mungkin anda dapat gunakan hammock yang tergantung di antara 2 buah pokok rendang di pantai ini.
Kemudahan lain yang disediakan hotel ini adalah spa dengan mandian urutan badan, mandian air panas dan sauna. Selain itu, bagi anda yang datang bersama anak kecil, anda boleh mendaftarkan anak-anak anda dengan Kids’ Club hotel ini yang menyediakan banyak aktiviti menarik untuk mereka dan kemudahan bilik yang dipenuhi dengan permainan.
Anda rasa itu sahaja yang ada di sini? Hotel ini cukup lengkap, andai kata cuaca tak mengizinkan untuk anda menerokai pulau, anda boleh meluangkan masa di Game Room, perpustakaan ataupun gym hotel ini.
Memang syok bersenam di gymnya sebab anda juga dapat menikmati pemandangan indah kawasan bandar sambil mengeluarkan peluh.
Harga: Dari RM1,222+ Semalaman
Alamat: Telaga Harbour Park, 07000 Pantai Kok
25. The Andaman, A Luxury Collection Resort
The Andaman adalah sebuah hotel tepi pantai yang memiliki reka bentuk rumah tradisional Melayu. Suasana hotel ini cukup tenang dikelilingi oleh hutan hujan yang terletak di sepanjang Datai Bay.
Suasana natural ini bukan sahaja dapat dilihat dari luar hotel, apabila anda memasuki ruang lobi hotel ini, keluasan lobi dan hiasan dalaman yang dipenuhi perabot-perabot kayu mewah ini cukup mempesonakan, terasa seperti duduk di dalam rumah kampung lebih-lebih lagi dengan konsep terbuka ruang lobi ini yang mana anda dapat menikmati pemandangan di sekeliling yang penuh kehijauan.
Di bahagian taman hotel ini pula terdapat tumbuhan-tumbuhan yang cukup mekar termasuklah tanaman herba untuk anda lihat dengan lebih dekat.
Dah puas berjalan-jalan menikmati kehijauan, anda boleh bersantai di kerusi-kerusi yang disediakan sambil membaca buku kegemaran anda atau sekadar menghirup udara segar sambil memejamkan mata.
Bercakap tentang bilik-bilik di hotel ini pula, setiap penginapan dilengkapi dengan balkoni atau patio yang menawarkan pemandangan lautan ataupun rimba. Yang bestnya, di bilik tertentu hotel ini memiliki tamannya sendiri, ada yang menawarkan dua buah kolam renang peribadi, ada juga yang memiliki ruang sauna dan kemudahan bersenamnya sendiri dan macam-macam lagilah. Sebuah penginapan yang memang wow!
Harga: Dari RM809+ Semalaman
Alamat: Jalan Teluk Datai, 07000 Teluk Datai
24. Arch Studio Cenang
Selesa, kemas, tenang dan indah, Arch Studio Cenang adalah penginapan sempurna yang sebenar. Jangan tertipu dengan struktur luarannya yang kelihatan tidak begitu gah atau menarik, kerana keindahan sebenarnya tersimpan di ruangan dalamannya.
Jelas terpancar bahawa pemilik penginapan ini sangat berpengetahuan tinggi tentang seni dan dekorasi dalaman, sungguh kreatif!
Menampilkan konsep industrial, memasuki ruang penginapan keluarga yang ditawarkan, dinding merah batu-bata dan tona kayu menjadikan setiap ruang di dalam hotel ini kelihatan sejuk dan sungguh cozy, ditambah lagi dengan pencahayaan lembut yang digunakan, suasana hotel terasa begitu santai.
Terletak hanyalah 200 meter dari Underwater World Langkawi dan kawasan pantai, hotel ini juga terletak tidak lebih 2 km dari Muzium Laman Padi. Arch Studio Cenang adalah penginapan yang strategik sekiranya anda ingin meneroka antara tarikan menarik yang terdapat di Langkawi.
Harga: Dari RM200+ Semalaman
Alamat: Arch Studio Cenang Jalan Pantai Cenang, 07000 Pantai Cenang
23. Aloft Langkawi Pantai Tengah
Aloft Langkawi Pantai Tengah tidak akan memberikan anda walau satu sebab untuk tidak booking.
Menyajikan pemandangan lautan Andaman, taman dan juga hutan rimba dari ruang balkoni, sukar untuk mencari hotel lain yang dapat menandingi panorama mempesonakan yang disajikan dari hotel ini.
Tidak cukup dengan itu, anda tidak akan sesaat pun dihurung kebosanan kerana kepadatannya dengan fasiliti menyeronokkan yang boleh digunakan sepuas hati bersama keluarga.
Antaranya adalah kolam renang infinitinya yang dibuka dari awal pagi sehingga lewat malam, gimnasium dan juga bilik permainan kanak-kanak.
Kelaparan selepas puas beraktiviti? Ada banyak kedai makan menarik yang boleh ditemui di sekitar hotel ini.
Harga: Dari RM513+ Semalaman
Alamat: Lot PT 701, Jalan Pantai Tengah, 07000 Pantai Cenang
22. Adya Hotel Langkawi
Hotel indah yang terletak di tengah-tengah kota Kuah Langkawi ini adalah satu-satunya hotel yang Islamik kalau nak dibandingkan dengan hotel yang lain. Hotel ini lengkap dengan ruang solatnya sendiri.
Kolam mandinya pula ada 3 jenis, ada yang boleh digunakan semua penginap, ada kolam renang untuk kanak-kanak dan yang paling special sekali adalah kolam renang khas untuk wanita sahaja! Macam ni baru syokkan para wanita? Barulah ada privasi!
Di samping itu, kemudahan lain yang disediakan hotel ini adalah spa untuk mendapatkan urutan badan yang menyegarkan, pusat kecergasan yang agak luas dan restoran yang dibuka 24 jam!
Dah puas makan angin sekitar pulau sampai lewat malam tu, tak payah susah-susah cari kedai makan lain. Tapi, kalau anda nak makan di luar juga, keluar je dari hotel, anda boleh terus nampak KFC.
Harga: Dari RM260+ Semalaman
Alamat: No 1 PT Persiaran Mutiara 2, Mukim, Kuah, Kedah 07000
21. Four Seasons Resort Langkawi
Hotel yang memiliki pantai peribadi khas untuk penginapnya ini, Four Seasons Resort Langkawi, adalah sebuah hotel yang cukup stylish! Memiliki reka bentuk tradisional Melayu, dalam atmosfera desanya ini tetap lengkap dengan bermacam kemudahan moden yang bukan biasa-biasa, semuanya cukup mewah!
Antara kemudahan yang dapat anda nikmati di resort ini adalah kolam renang untuk keluarga, kolam renang dewasa dan kolam renang kanak-kanak.
Fasiliti lain yang ada di sini adalah spa dengan pemandangan indah, pusat kecergasan, gelanggang tenis dan studio yoga. Hotel yang juga mesra keluarga ini turut memiliki kelab khas untuk kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti menarik diatur untuk mereka.
Lokasi hotel ini pula terletak berdekatan dengan Kilim Karst Geoforest Park yang boleh diakses dengan menaiki bot yang disediakan. Di hutan ini, anda sekeluarga dapat melihat pembentukan batu yang telah pun berusia berjuta tahun.
Menunjukkan betapa tuanya hutan ini, membuatkan ia turut kaya dengan pelbagai flora dan fauna yang lain. Banyak aktiviti boleh dibuat di resort ini kan?
Bercakap tentang penginapan di resort ini pula, ia memiliki rekaan dalaman yang cukup natural berasaskan kayu. Lengkap dengan cermin yang besar dan ruang beranda untuk anda menikmati pemandangan memukau air laut atau taman hijau di resort ini. Percutian yang cukup heaven!
Harga: Dari RM3,698+ Semalaman
Alamat: Jalan Tanjung Rhu, Langkawi, 07000 Tanjung Rhu
20. Telaga Terrace Boutique Resort
Hotel yang menggabungkan seni bina tradisional Melayu dan moden ini menawarkan penginapan yang sangat memukau jiwa.
Apabila anda sampai ke bilik, anda akan disambut dengan bau yang sungguh harum kerana sebelum anda check-in, pihak hotel akan membakar essential oil untuk mewangikan bilik, memang tip-top lah layanan hotel ini!
Penginapan anda juga terasa sangat tropikal dengan gabungan warna-warna natural dan sedikit sentuhan warna cerah untuk menghidupkan suasana bilik.
Sekiranya anda menginap di Mahsuri Suite hotel ini, anda dapat menikmati mandian menyegarkan di dalam jakuzi anda sendiri, biliknya juga cukup luas untuk anda yang datang bersama keluarga.
Untuk aktiviti semasa di sini, anda boleh mendapatkan bantuan hotel untuk mengatur aktiviti outdoor seperti island hopping. Lokasi hotel ini juga cukup hebat, kawasan pantai yang terdekat boleh diakses dengan hanya berjalan kaki dalam masa 6 minit. Untuk mengisi perut pula, dalam 100 meter dari hotel terdapat banyak gerai-gerai makanan.
Harga: Dari RM348+ Semalaman
Alamat: Jalan Pantai Cenang, 07000 Pantai Cenang
19. Temple Tree Resort
Rindukan suasana kampung? Jom kita ke Temple Tree Resort. Tak banyak villa yang ditawarkan resort ini, hanya 8 sahaja. Bangunan-bangunan yang dijadikan tempat penginapan di resort ini adalah bangunan antik berusia sekitar 70 ke 110 tahun yang telah dibaikpulih.
Kalau anda amati reka bentuk rumah-rumah kampung ataupun villa di sini, anda dapat lihat sentuhan tradisional Melayu, Eurasia, Cina dan juga India. Pemandangan dari kawasan penginapan pula cukup mempesonakan walau dimana pun anda pandang.
Berkaitan kemudahan-kemudahan yang ada di Temple Tree Resort pula, adalah sebuah kolam renang dengan pemandangan indah, perpustakaan dan bilik permainan yang lengkap dengan billiards.
Harga: Dari RM345+ Semalaman
Alamat: Pantai Cenang, 07000 Pantai Cenang
18. Bon Ton Resort
Untuk pengetahuan anda, Temple Tree Resort adalah sebuah resort bawah kelolaan Bon Ton Resort dan kedudukannya saling sebelah-menyebelahi.
Apa sahaja kemudahan yang ada di kedua-dua resort ini boleh digunakan oleh para penginap. Bon Ton Resort ini pun memiliki kolam renangnya sendiri yang menyajikan pemandangan matahari terbenam yang cukup memukau.
Villa-villa di Bon Ton Resort yang juga merupakan rumah kampung lama sepertimana konsep bagi Temple Tree Resort, adalah rumah kampung tradisional berusia 60 ke 120 tahun yang telah dinaiktarafkan hiasan dalamannya dan kebanyakannya lengkap dengan tab mandian kayu.
Rekaan dalaman yang cukup klasik! Apa lagi? Kalau anda inginkan pengalaman percutian yang unik, bookinglah penginapan di Bon Ton Resort.
Harga: Dari RM573+ Semalaman
Alamat: Jalan Pantai Cenang, Pantai Cenang, Kedah 07000
17. The Westin Langkawi Resort & Spa
Sekiranya anda menaiki feri menuju ke Kuah, anda akan terlihat sebuah resort yang cukup indah dan nampak mewah walau dari jauh, The Westin Langkawi Resort & Spa.
Resort ini memiliki ruang pantai peribadi istimewa hanya untuk para penginap resort. Kemudahan menarik yang disediakan resort ini adalah empat buah kolam termasuklah kolam infiniti dan kesemuanya menghidangkan pemandangan Laut Andaman.
Kemudahan lain adalah spa, pusat kecergasan, sauna, gelanggang skuasy dan kelab khas kanak-kanak berusia 4-12 tahun yang padat dengan aktiviti outdoor menarik seperti nature walks, memerhati burung dan menerokai kawasan pantai. Aktiviti indoor juga turut disediakan seperti kelas memasak dan mencanting batik.
Untuk pengalaman penginapan di sini, sekiranya anda menginap di Premium Ocean View Room, anda dapat menikmati pengalaman indah tinggal di dalam sebuah villa yang luas lengkap dengan pondok cabana peribadi, dan kolam renang infiniti!
Seperti nama bilik ini juga, anda akan disajikan dengan pemandangan menyejukkan mata laut biru. Bilik-bilik lain di hotel ini juga tak kurang hebatnya dan kesemuanya dilengkapi dengan katil Westin Heavenly Bed® yang membuatkan tidur malam anda lena seperti baring di atas awan.
Harga: Dari RM775+ Semalaman
Alamat: Jalan Pantai Dato Syed Omar, 07000 Kuah
16. La Villa Langkawi
Anda inginkan privasi yang tiada tolok bandingnya? Bookinglah penginapan di La Villa Langkawi, anda sekeluarga pasti tersenyum lebar apabila sampai ke kawasan villa ini. Lihat gambar sahaja tak cukup untuk menggambarkan kesempurnaannya.
Penginapan anda di sini lengkap dengan kolam renang peribadi dan ruangan balkoni dengan pemandangan hijau yang sangat menyejukkan mata dan melegakan fikiran.
Bukan itu sahaja, penginapan anda juga lengkap dengan ruang dapur yang disertai dengan kemudahan seperti peti ais dan lain-lain, terasa seperti di rumah sendiri!
Tapi, kebenarannya, penginapan di sini jauh lebih indah daripada rumah sendiri. Kenapa? Kerana snek-snek dan air di dalam peti ais diisi secara percuma sepanjang penginapan anda di sini.
Bukan itu sahaja yang anda dapat dengan hanya membayar untuk penginapan, anda juga diberikan pihak hotel kemudahan handphone secara percuma untuk komunikasi, shuttle percuma untuk ke kawasan bandar pada bila-bila masa dan juga untuk ke airport. Pengalaman yang cukup istimewa!
Harga: Dari RM1350+ Semalaman
Alamat: Lot-5, Kg. Padang Putih, Jalan Pantai Tengah, 07000 Pantai Cenang
15. Villa Molek
Apa yang anda inginkan untuk sebuah penginapan yang sempurna? Kolam renang dengan pemandangan indah bukit yang menghijau? Checked! Taman tropika yang menyegarkan fikiran? Checked! Pemandangan indah dari bilik? Checked!
Rekaan dalaman bilik yang sangat teliti dan dilengkapi perabot mewah? Checked! Ruang balkoni untuk anda bersantai sambil menghirup udara segar? Checked! Spa pun ada, ada lagi yang tak cukup?
Lokasi hotel ini juga tak kurang hebatnya, hanyalah 300 meter dari pantai yang terdekat di mana anda boleh menikmati pemandangan indah matahari naik dan terbenam. Penginapan yang cukup sempurna.
Harga: Dari RM750+ Semalaman
Alamat: Pantai Tengah, 07000 Pantai Cenang
14. La Pari-Pari
La Pari-Pari seperti namanya adalah sebuah penginapan yang agak magikal. Penginapan ini magikal kerana sebaik anda menjejakkan kaki ke hotel ini, ia seperti membawa anda ke dunia lain yang sangat menenangkan jiwa walaupun terletak berdekatan dengan pelbagai tarikan di Langkawi.
Lengkap dengan tamannya sendiri yang ditanami pelbagai tumbuh-tumbuhan herba, dan sayur-sayuran yang digunakan dalam masakan di restoran hotel.
Dah puas berjalan sekitar taman, anda boleh bersantai di bawah pohon-pohon rendang untuk anda menenangkan fikiran. Nak lagi best? Panjatlah pokok yang ada rumah pokok di atasnya, siapa tak seronok dapat lepak di sini? Bukan senang nak jumpa rumah pokok.
Selain memiliki tarikan yang menarik untuk para penginap tanpa perlu keluar dari kawasan penginapan, lokasi hotel ini juga cukup menarik, hanya dalam 10 minit berjalan kaki anda akan sampai ke Pantai Cenang yang meriah dengan jualan makanan di tepi pantai untuk anda makan sambil menikmati pemandangan.
Harga: Dari RM293+ Semalaman
Alamat: 2273 Jalan Pantai Tengah | Kampung Tasek Anak, Pantai Tengah, Pantai Tengah, Langkawi 07000
Laman Web: La Pari-Pari
13. Vivanta by Taj
Terletak di Pulau Rebak, kalau anda ingin ke kawasan bandar di Langkawi ‘terpaksalah’ anda naik bot untuk pergi dan balik.
Itulah yang menjadi salah satu keistimewaan tinggal di Vivanta by Taj, sangat privasi dengan lanskap yang sangat mempesonakan dikelilingi oleh pohon-pohon hutan hujan tropika.
Kedudukannya di pulau yang jauh dari hiruk-pikuk kawasan tarikan lain menjadikan pantainya sangat bersih dan indah.
Sekiranya anda menginap di hotel mewah ini, anda dapat menikmati fasiliti menarik yang disediakan seperti kolam renang, spa, gym, gelanggang tenis, skuasy, ping-pong, basikal, kayak dan banyak lagi!
Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengikuti kelas yoga yang diadakan setiap hari, kelas memasak yang diadakan setiap hari Selasa, Khamis dan Ahad serta kelas memanah setiap hari Isnin dan Jumaat. Tak ke best semua aktiviti ni?
Harga: Dari RM763+ Semalaman
Alamat: 07000 Pantai Cenang
12. The Bayview Hotel Langkawi
The Bayview Hotel Langkawi adalah hotel yang agak simple berbanding yang lain. Lokasinya pula memang best! Dekat dengan kedai-kedai bebas cukai di Langkawi, itu tujuan utama anda datang ke Langkawi kan?
Selain itu, kemudahan lain yang disediakan hotel ini adalah spa dengan urutan yang menyegarkan, gymnasium dan kemudahan kolam renang beserta jakuzi untuk anda merehatkan badan setelah seharian berjalan sekitar pulau yang indah ini.
Untuk penginapan pula, anda dapat menikmati pemandangan indah sekitar Langkawi iaitu kawasan bukit-bukau ataupun lautan. Bilik-bilik di sini dilengkapi dengan katil yang cukup besar dan selesa untuk anda sekeluarga mendapatkan tidur malam yang lena.
Harga: Dari RM209+ Semalaman
Alamat: Jalan Pandak Mayah 1, Pusat Bandar Kuah 07000 Pulau Langkawi, Kedah
11. Lot 33 Boutique Hotel
Lot 33 Boutique Hotel menawarkan penginapan yang sangat selesa walaupun tidaklah selengkap hotel lain yang menawarkan banyak kemudahan yang gah-gah. Yang penting, bilik-bilik di sini boleh dikatakan memiliki aura first-class.
Masuk sahaja ke ruang penginapan, mesti sejuk punyalah mata anda melihat dekorasi dalaman yang tampak minimal menggunakan tona coklat dan warna putih pada sebahagian besar bilik.
Gabungan warna ini menjadikan bilik kelihatan lebih luas. Selain itu, bilik ini lengkap dengan kemudahan moden Samsung Smart TV, bukan main lagi kan? Kalau anda sekeluarga nak menonton Netflix atau Iflix, senanglah. Kemudahan lain yang boleh didapati di sini adalah kolam renang dan kedai cenderahati.
Harga: Dari RM413 Semalaman
Alamat: Kampung Tasik Anak, Pantai Tengah, 07000 Pantai Cenang
10. The St. Regis Langkawi
Hotel The St. Regis Langkawi merupakan salah satu hotel yang terbaru di Pulau Langkawi. Sudahlah baru, hotel 5 bintang lagi tu, bayangkanlah betapa segarnya atmosfera hotel ini. Dari jauh lagi dah terasa aura mewah dan menyegarkan hotel ini yang terletak di tepi Laut Andaman.
Masuk sahaja ke ruang lobi hotel ini, anda akan diperlihatkan dengan dekorasi dalaman yang elegan dan menyejukkan mata dengan warna putih mendominasi sebahagian besar lobi. Ketenangan dari ruang lobi ini sudah cukup menggambarkan keseluruhan pengalaman indah yang dapat anda nikmati sepanjang penginapan di sini.
Bagi anda yang menginap, banyak sekali kemudahan bertaraf antarabangsa yang dapat anda nikmati seperti spa yang serba lengkap dengan pelbagai jenis rawatan yang boleh anda bayangkan.
Kolam renang yang dikelilingi lanskap yang cukup mempesonakan. Anda juga boleh menikmati buah-buahan segar dan minuman sejuk yang disediakan pihak hotel sambil bersantai di sekitar kolam.
Kemudahan lain adalah pusat kecergasan dengan kelengkapan bersenam yang didatangkan dengan skrin yang boleh ditukar sama ada untuk menonton tv ataupun melihat prestasi senaman anda. Kemudahan seterusnya yang disediakan hotel adalah studio yoga.
Hotel mewah ini turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk anda dan keluarga sertai seperti mencanting batik di tepi pantai, lawatan ke taman hidupan liar dan banyak lagi. Meriah betul rasanya percutian anda kalau menginap di sini!
Harga: Dari RM1916+ Semalaman
Alamat: The St Regis Langkawi, Jalan Beringin, 07000 Kuah
9. Meritus Pelangi Beach Resort & Spa
Meritus Pelangi Beach Resort & Spa menawarkan 355 buah bilik yang ditempatkan di dalam chalet tradisional Melayu.
Walaupun reka bentuknya tradisional, penginapan-penginapan ini tetap lengkap dengan kemudahan moden dan memiliki ruang santai yang menyajikan pemandangan menyegarkan taman, kolam ataupun lautan.
Sebagai penginap hotel ini, anda dapat menikmati fasiliti best yang disediakan seperti kolam renang yang termasuklah kolam renang istimewa untuk kanak-kanak yang dimeriahkan dengan gelongsor-gelongsor air.
Menginap di sini, bukan anda sahaja yang seronok, anak-anak pun pasti tak sabar untuk bergembira dengan kemudahan yang disediakan untuk mereka seperti taman permainan dan bilik permainan di Kiki Club.
Kemudahan lain yang disediakan di sini adalah bilik steam, sauna, padang golf mini, gelanggang tenis dan banyak lagi. Untuk memanjakan diri pula, anda boleh ke kawasan taman hotel ini yang menawarkan rawatan spa.
Harga: Dari RM699+ Semalaman
Alamat: Pantai Cenang, 07000 Pantai Cenang
8. Casa Del Mar
Casa Del Mar menawarkan anda sekeluarga pengalaman penginapan yang indah dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Terletak di tepi pantai, cukup banyak aktiviti menarik yang boleh anda rancang bersama keluarga di sini.
Pihak hotel boleh membantu anda dalam mengatur aktiviti-aktiviti yang anda ingin lakukan seperti island hopping, snorkeling, kayak, menyelam skuba dan banyak lagi!
Selepas puas beraktiviti, anda boleh merehatkan badan yang penat dengan mendapatkan rawatan spa di Satkara Spa hotel ini yang menawarkan rawatan yang cukup komprehensif dari urutan badan, rawatan wajah hinggalah ke manicure. Bermacam pakej yang ditawarkan untuk setiap rawatan spa ini.
Harga: Dari RM918+ Semalaman
Alamat: Jalan Pantai Cenang, Mukim Kedawang, Pantai Cenang, Langkawi 07000
Laman Web: Casa Del Mar Langkawi
7. Peace Haven Hibiscus Villa
Namanya, Peace Haven Hibiscus Villa betul-betul menggambarkan keindahan penginapan ini. Lokasi villa ini yang terletak di atas bukit di Kuala Teriang memberikan anda perspektif yang menarik kawasan sawah padi, gunung dan pantai dari kolam renang dan balkoni villa.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan sekiranya anda menginap di sini adalah mendaki, melawat Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan banyak lagi.
Untuk pengetahun anda, terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan di sini tapi yang paling menarik sekali adalah Jasmine Holiday Villa yang memiliki 2 tingkat dan dilengkapi dengan 3 buah bilik tidur.
Di tingkat bawah villa ini dan melalui bilik tidur utama anda boleh terus ke kolam renang. Di bahagian balkoni villa ini pula anda dapat menikmati panorama indah 270 darjah sekitar Pulau Langkawi.
Harga: Dari RM392+ Semalaman
Alamat: Lot 1423, Kampong Batu Ara, Kuala Teriang, 07100 Kampung Padang Masirat
6. The Smith House
The Smith Hotel menawarkan penginapan yang elegan lengkap dengan hiburan TV yang menawarkan movie-movie terbaru on-demand, pergh!
Jangan tak keluar bilik sudahlah. Kalau dah puas berseronok menonton movie tu, untuk menyegarkan badan, jangan lepaskan peluang untuk bermandi-manda di kolam renang atas bumbung hotel ini yang menawarkan pemandangan sekitar Pulau Langkawi yang sukar dilupakan keindahannya.
Dah puas bermandi-manda, untuk bersantai, anda boleh ke The Smith House Library yang menempatkan banyak koleksi buku untuk dibaca bagi mengisi masa lapang anda sewaktu di hotel.
Movie? Buku? Kolam renang? Macam ini barulah sempurna!
Harga: Dari RM290+ Semalaman
Alamat: Lot. 297, (HSM. 772), Bandar Padang Matsirat, Bandar Padang Matsirat, 07100 Kampung Padang Masirat
5. The Frangipani Langkawi Resort & Spa
The Frangipani Langkawi Resort & Spa ini menawarkan 115 buah bilik, suite dan villa. Penginapan di resort ini menawarkan pemandangan taman tropika ataupun Laut Andaman yang membawa bayu laut yang sangat menyegarkankan.
Salah satu penginapan yang ditawarkan di sini, Garden Villa, terletak di dalam kawasan taman yang ditumbuhi pokok buah-buahan eksotik dan tropika.
Bukan hanya penginapan sahaja yang hebat di sini, kemudahan atau perkhidmatan lain yang ditawarkan pun memang mantap. Antaranya adalah kemudahan gym, 3 buah kolam renang yang termasuklah kolam renang air masin, kolam renang dewasa dan kolam kanak-kanak serta 2 buah jakuzi.
Untuk aktiviti yang menghidupkan percutian anda sekeluarga pula, jangan lupa untuk turut serta dalam Frangipani Eco-Walk dan juga bergembira dengan aktiviti air yang banyak ditawarkan di kawasan Laut Andaman. Kalau dah puas berseronok, sempurnakan aktiviti seharian anda sekeluarga dengan mendapatkan rawatan di spa hotel ini.
Harga: Dari RM685+ Semalaman
Alamat: Jalan Pantai Tengah, 07100 Langkawi Kedah
4. The Ritz-Carlton
Sekali pandang hotel The Ritz-Carlton ini dari luar, mesti anda teringin nak tahu bagaimana pula keadaan dalamannya. Mana taknya, reka bentuk hotel ini cukup unik, kombinasi konsep moden kontemporari dan tradisional menjadikan ia kelihatan lain dari yang lain.
Setiap bilik di hotel ini dilengkapi dengan ruang balkoni untuk anda bersantai bersama keluarga sambil menghirup udara segar dan menikmati pemandangan mengasyikkan hutan hujan ataupun Laut Andaman.
Setelah puas berehat di bilik, tak perlu keluar dari kawasan hotel untuk beraktiviti, anda boleh menggunakan kemudahan gym yang lengkap dengan jurulatih peribadi lagi tu! Kalau dah puas mengeluarkan peluh, apa lagi?
Inilah masanya anda nak bermandi-manda di kolam renang infiniti hotel ini yang berlatar belakangkan alam semulajadi.
Bagi anda yang datang bersama kanak-kanak, jangan biarkan mereka bosan di dalam bilik. Hotel ini turut menyediakan banyak kemudahan khas untuk kanak-kanak seperti taman permainan indoor dan outdoor, kolam renang serta program-program khas lain yang diatur untuk kanak-kanak.
Harga: Dari RM2420+ Semalaman
Alamat: Jalan Pantai Kok, 07000 Pantai Kok
3. Dayang Bay
Terletak hanya sekitar 8 minit pemanduan dari Jeti Langkawi, Dayang Bay bukan sahaja memiliki lokasi yang cukup best untuk anda yang nak menjelajah seluruh pelusuk Pulau Langkawi, malahan, hotel ini juga menawarkan banyak fasiliti yang menarik.
Antara yang dapat anda enjoy sewaktu menginap di sini adalah kolam renang yang sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Dari kolam ini anda dapat menikmati pemandangan air laut yang memukau hati.
Yang bestnya lagi, kolam ini juga lengkap dengan gelongsor, lagilah seronok! Selain kolam renang, hotel ini turut menawarkan khidmat rawatan spa, gym dan taman yang indah untuk anda bersantai
Harga: Dari RM244+ Semalaman
Alamat: Persiaran Pelangi, 07000 Kuah
2. Tanjung Rhu Resort
Bangunan Tanjung Rhu Resort ini cukup menarik walaupun dilihat dari jauh, terutama sekali dengan kedudukannya di tepi Laut Andaman, menaikkan lagi aura hotel ini.
Resort ini menawarkan 136 buah bilik yang memiliki dekorasi dalaman dengan konsep semulajadi.
Perabot-perabot yang digunakan di dalam bilik ini juga kebanyakannya berasaskan kayu, ditambah lagi dengan lantai kayu, wujud persekitaran yang agak sejuk dan selesa.
Berkaitan kemudahan yang disediakan Tanjung Rhu Resort, antaranya adalah 3 buah kolam renang yang kesemuanya lengkap dengan bahagian yang kurang dalam untuk kanak-kanak, sebuah spa yang lengkap dengan sauna, kolam pusaran dan pelbagai pakej rawatan kecantikan dan urutan.
Harga: Dari RM763+ Semalaman
Alamat: Mukim Ayer Hangat, Kedah 07000
1. Ambong-Ambong Langkawi Rainforest Retreat
Lagi satu penginapan yang bukan main hebat lagi, Ambong-Ambong Langkawi Rainforest Retreat, memang susah nak lupakan pengalaman menginap di sini.
Terletak di kawasan atas bukit yang dikelilingi hutan dan hidupan liar, penginapan ini memang sesuai untuk anda yang inginkan udara yang menyegarkan, jauh dari sebarang pencemaran serta ditemani bunyi alam semulajadi yang sangat merdu.
Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti spa yang menawarkan khidmat urutan, rawatan badan dan wajah. Selain itu, terdapat juga bilik permainan, taman herba dan kolam renang
Oleh kerana kedudukannya yang agak jauh dari kawasan tarikan yang lain, jangan lupa untuk menyewa kereta, barulah senang anda nak bersiar-siar di sekitar pulau ini.
Harga: Dari RM663+ Semalaman
Alamat: Jalan Pantai Tengah, 07000 Langkawi, Kedah, 07000 Pantai Cenang
Inilah dia senarai hotel terbaik di Langkawi. Mesti ada yang berjaya menggoda anda untuk booking cepat-cepat kan? Apa lagi, jangan buang masa, Pulau Langkawi ini bukan main terkenal lagi dalam kalangan pelancong. Jangan biarkan hotel idaman hati anda terlepas pergi.
Bagi anda yang ingin bercuti secara bajet, mai singgah sat baca artikel kami 25 Hotel Murah di Langkawi. Hampir semua info untuk percutian yang sempurna anda boleh jumpa dalam laman web kami. Apa-apa pun, jangan lupa untuk share artikel ini kepada kawan-kawan anda!
Selamat bercuti dan semoga kenangan yang terindah bersama keluarga dapat dicipta di pulau legenda Mahsuri!