Sukan atau aktiviti hiking dan jungle trekking adalah antara aktiviti kegemaran ramai. Walaupun ia boleh menjadi sesuatu yang mencabar, kebanyakan orang gemar dengan aktiviti ini kerana ia lebih santai.
Malah, selalunya ia dijadikan sebagai aktiviti beriadah secara berkumpulan. Antara tempat yang mesti anda lawati untuk aktiviti ini ialah Hutan Simpan Ayer Hitam.
Terletak di Puchong, Selangor, Hutan Simpan Ayer Hitam ini cukup terkenal dan istimewa. Bermula dari kawasan Persiaran Bukit di Bandar Puchong, ianya merupakan laluan hiking yang cukup terkenal pada hujung minggu.
Pada 10 minit awal, laluan ini lebih curam dan pemandangannya lebih lapang dan tidak berteduh. Anda boleh melihat kawasan perumahan berdekatan. Walaupun begitu, berada di sini cukup menenangkan.
Kemudian anda akan jumpa persimpangan di mana anda boleh untuk ke kiri atau kanan. Dari sini, pemandangan luas tadi sudah pun tertutup dan hutan semakin menebal. Sepanjang perjalanan hiking ini anda akan jumpa sungai, air terjun dan juga sebuah lagoon yang agak tertutup yang dinamakan sebagai Blue Lagoon.
Blue Lagoon ini mendapat namanya dari airnya yang sangat biru. Malah air sungai di sini memang terkenal sebagai antara perairan yang paling jernih.
Anda akan berjumpa dengan banyak spot untuk berehat dan berkelah. Selepas perjalanan, mandi di air terjun sambil makan bersama teman-teman atau keluarga di kawasan perhutanan ini memang sangat nyaman dan relaxing.
Terdapat juga penjual air kelapa di hujung trail ini untuk memberikan para pendaki pilihan minuman yang menyegarkan. Mesti lega apabila sampai ke puncak dan dapat minum air kelapa.
Diingatkan bahawa hutan di sini merupakan hutan simpan, maka sama-sama lah kita menjaga kebersihan dan alam semulajadi. Sekiranya anda membawa makanan atau minuman dan sebagainya, pastikan setiap sampah sarap di bawa pulang bersama. Happy trails, semua!
Alamat: Taman Wawasan, 47100 Puchong, Selangor