Kopi Hutan Penang Hill | Nikmati Kopi Di Cafe Tertinggi Di Penang

Bila sebut pasal Penang, semua pasti tahu ia merupakan syurga makanan. Terkenal dengan pelbagai makanan yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negeri, baik dari makanan eksklusif, makanan jalanan mahupun fine-dining.

Penang memang selalu memberikan pengalaman makanan yang tidak dilupakan. Namun, mungkin ramai yang belum ketahui antara rahsia terbaik negeri ini.

Lokasi

Jauh di satu sudut di puncak Bukit Benders atau Penang Hill, sebuah kedai kopi menanti anda. Terletak di dalam satu pusat pelancongan Penang, Monkey Cup Garden, terdapat satu kafe yang dinamakan Kopi Hutan. Sesuai dengan namanya, kafe ini dikelilingi hutan yang memberikan suasana redup dan nyaman kepada pengunjung.

Kopi Hutan Penang Hill - Papan Tanda Depan Cafe
Sumber” @memeumaida

Tempat yang cukup sesuai buat sesiapa yang ingin mententeramkan jiwa, melegakan minda dan relaks jauh dari kebingitan kota. Lumrah manusia kan, macam mana pun, pasti akan pulang mencari alam semulajadi. Dekorasi dan hiasan dalaman kedai tampak natural dengan perabot-perabot rustic dan berbatu.

Kopi Hutan Penang Hill - Gambar Pemandangan Sekeliling Cafe
Sumber: @yinn______

Dengan ketinggian 730 meter dari aras laut, Kopi Hutan merupakan kedai kopi tertinggi di Penang. Untuk sampai ke sini, anda boleh mengambil servis buggy berharga RM30 dari Upper Station ataupun dapatkan tumpangan percuma dari pemilik kafe ini. Namun, dinasihatkan agar anda membuat tempahan sebelum datang ke sini. 

Kopi & Makanan

Tentu sekali yang utama di sini ialah Kopi Hutan mereka yang berharga RM8 seorang. Biji kopi dari 5 negara yang dibawa, dibakar dan dihidang untuk anda, memberikan aroma yang luarbiasa.

Kopi lain yang mereka tawarkan ialah kopi arabica dan kopi saudi-arabia. Untuk pengunjung yang kurang berminat dengan kopi, mereka juga menawarkan pilihan teh yang menarik.

Ikut saja mood anda untuk mencuba antara teh Earl Grey Lavender, teh Lemon Ginger Mint, English Breakfast ataupun teh Cina yang dipanggil Pu Er. Buat yang sukakan minuman manis ataupun kanak-kanak, minuman chocolate boleh dinikmati dalam bentuk panas ataupun sejuk.

Mereka turut menawarkan minuman buahan bergas ataupun fizzy seperti Peach Mango, Blueberry Strawberry, Raspberry Pink Grapefruit dan Roselle Lemon. Cukup menyegarkan.

Untuk digandingkan bersama minuman pilihan anda, mereka menawarkan makanan ringan, snek dan kek-kek yang cukup menarik. Sebagai alas perut ataupun makanan ringan, anda boleh mencuba sandwich mereka yang berinitikan ayam salami dan telur.

Bagi yang ingin mengunyah, mereka tawarkan snek termasuk kerepek ubi dan bread sticks ataupun roti keras. Namun, kek-kek di sini mencuri perhatian ramai. Basque Burnt Cheesecake mereka memang cukup diminati ramai.

Kek Tiramisu pula pasti disukai oleh penggemar kopi. Buat yang lebih sukakan teh, mereka sediakan kek Chocolate Earl Grey, gabungan coklat dan teh Earl Grey. Namun, 3 kek yang menjadi kesukaan ramai disini ialah kek Basil Lime, Chocolate Hazelnut dan kek Ondeh delights yang terinspirasi daripada kuih tradisional Malaysia, ondeh-ondeh.

Terdapat juga kek chocolate lava yang dihidang bersama buah strawberry dan krim vanilla fresh. Yang menarik tentang hidangan ini ialah hasil seni Monkey Cup di pinggan yang direka menggunakan serbuk koko. Sangat comel.

Tarikan

Sesungguhnya Bukit Bendera atau Penang Hill ini memang menjadi satu pusat pelancongan yang terkenal. Dari ketinggian 735 meter dari aras laut ini, pemandangan Penang memang tiada tandingan. Memang terlalu banyak tarikan di sini. Namun, jika sudah sampai ke Kopi Hutan, tentulah anda perlu kunjungi Monkey Cup Garden.

Kopi Hutan Penang Hill - Monkey Cup Centre

Taman ini merupakan taman biodiversiti yang mengetengahkan penanaman Periuk Kera atau Monkey Cup. Anda boleh melihat pelbagai spesis Periuk Kera, yang original ataupun spesis hybrid, yang berasal dari Malaysia, Indonesia, Fillipina, India dan lain-lain negara.

Di sini, Periuk Kera ditumbuhkan dalam sistem ekologikal bersama tumbuhan lain. Anda akan diberikan penerangan serta lawatan bersama seorang tour guide yang akan mengajar anda sedikit sebanyak tentang Periuk Kera.

Bayaran masuk untuk Monkey Cup Garden adalah RM12 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak. Memang seronok menjelajah di sini. Namun, jangan risau, kedai Kopi Hutan tidak mengenakan bayaran masuk.

Bila dah sampai ke Bukit Bendera, tentu anda mahu jelajah pusat-pusat tarikan yang lain. Antara tempat yang harus ambil peluang untuk lawati termasuk The Habitat, di mana anda boleh meniti jambatan berbentuk oval untuk menyaksikan pemandangan hutan rimba. Penang Hill juga menempatkan beberapa pusat ibadah seperti Masjid Bukit Bendera dan kuil Hindu, Sri Aruloli Thirumurgan.

Untuk yang berminat dengan sejarah, boleh lawat Bel Retiro Bungalow, yang dulunya merupakan pusat peranginan buat kakitangan tertinggi kerajaan. Little Village, sebuah taman yang menawarkan rasa madu percuma dan arch berbentuk love juga terletak di Bukit Bendera. Untuk pengalaman melancong yang luarbiasa, pastikan anda cari maklumat penuh tentang Bukit Bendera di sini.

Terbukti sudah Penang menyimpan tempat-tempat makan dan pelancongan yang cukup istimewa dan menarik. Pastikan anda tidak lepaskan peluang untuk menyelitkan Kopi Hutan ke dalam itinerary percutian anda apabila merancang untuk ke Penang nanti.

Media Social: Facebook | Instagram

Alamat: Summit road, Penang Hill, 11500 Penang, Malaysia