20 Januari lalu, LaLaport Mall membuka pintu menerima pengunjung buat pertama kali. Terletak di tengah-tengah Bandaraya Bukit Bintang, yang dulunya lokasi Penjara Pudu, LaLaport Mall merupakan pusat membeli-belah pertama Asia Tenggara di bawah naungan Mitsui Fudosan.
Buat masa ini, hanya 80 dari 400 kedai dan perniagaan di buka, dengan selebihnya akan dibuka secara berperingkat. Dengan keluasan lebih kurang 133,000 m², LaLaport Mall Bukit Bintang ini merupakan LaLaport Mall yang kedua dibuka di luar Jepun, selepas Mitsui Shopping Park LaLaport Shanghai Jinqia. Beruntung sungguh jadi rakyat Malaysia, kan?
LaLaport Mall ini mempunyai 11 tingkat yang termasuk 4 tingkat tempat letak kereta bawah tanah (basement), 2 tingkat lower ground dan 5 tingkat ruang beli-belah. Dan yang paling Istimewa sekali, tingkat teratas merupakan Central Rooftop Garden. Pengunjung bolehlah beristirehat dan menikmati ruang penuh alam flora
Rekaan mall ini mengetengahkan konsep yang sinonim dengan tradisi Jepun, “modern simplicity”. Rekaan yang elegan dan seimbang antara struktur dan alam semulajadi.
Bukan sahaja rekaan mall yang berkonsep Jepun, malah sebuah pusat pendidikan dan jagaan kanak-kanak bernama Star Child juga akan dibuka di sini. Warga kota Kuala Lumpur boleh dapatkan pendidikan konsep Jepun buat anak-anak tersayang.
Pelbagai jenama masyhur dari Jepun juga akan dibawa untuk anda. Seperti, Nitori, Nojima, JONETZ by Don Don Donki, dan kafe kucing ternama Jepun, Coo+Riku.
Selain dari restoran tempatan yang anda gemari, restoran-restoran makanan Jepun seperti Mathca Eight, Ippudo dan Tamaruya Honten Steakhouse menanti anda.
Buat anda yang mengidamkan daging Yakiniku, Yakiniku Sizzle by Yakiniquest juga akan dibuka di sini. Selain dari restoran-restoran tersebut, LaLaport juga menyediakan 3 foodcourt yang merumahkan pelbagai jenis makanan.
Antara tarikan lain yang akan disajikan kepada pengunjung termasuklah ROLLERWA+, sebuah gelanggang indoor untuk bermain kasut roda atau roller skate, khas dari Korea.
Dewan Konsert Zepp KL juga akan dibuka di sini, menjanjikan pementasan dan festival muzik buat warga kota Kuala Lumpur. Sekiranya anda ingin menonton wayang, Golden Screen Cinemas juga akan berada di sini.
Bagi memastikan aliran lalu lintas yang lebih lancar, LaLaport Mall menyediakan 3 terowong Utama yang akan membawa anda terus ke tempat letak kereta. Jika anda ingin mengelak kesesakan jalan raya ibu kota, anda akan teruja kerana LaLaport Mall ini mempunyai akses terus ke Stesyen LRT Hang Tuah dan Monorail KL.
LaLaport Mall juga akan menyediakan satu aplikasi yang akan memudahkan pengunjung mendapat informasi terkini. Dengan infrastruktur serba lengkap seperti surau, tempat persalinan bayi dan tandas OKU, LaLaport Mall menjanjikan kemudahan buat seisi keluarga ketika berkunjung ke sini.
Jika anda mempunyai perancangan untuk ke ibu kota nanti, pastikan anda letakkan LaLaport Mall Bukit Bintang dalam agenda percutian anda. Bolehlah berseronok bersama keluarga tersayang.