Merupakan taman tema Legoland pertama seumpamanya dia Asia, LEGOLAND Malaysia telah dibuka secara rasmi pada tahun 2012 dan sejak itu, taman teman ini tidak putus-putus menerima kunjungan pelancong tempatan malahan menjadi antara destinasi wajib bagi pelancong dari negara luar juga.
Konsepnya mudah saja, tetapi cukup unik dan kreatif iaitu menggabungkan taman tema, taman tema air (Water Park), Sea Life dan pusat penginapan seperti Hotel di dalam satu lokasi berlatar belakangkan pemandangan LEGO® yang jumlah legonya adalah lebih 15,000 model yang dibina daripada 60 juta bata Lego. Tak perlu bayangkan, terus terjah lokasi ini!
Tidak usah pening kepala lagi memikirkan destinasi pelancongan untuk keluarga dan anak-anak bila tiba musim cuti persekolahan, Legoland menyediakan platform hiburan terbaik dan lain daripada yang lain.
Bukan sahaja anak-anak anda akan teruja bermain pelbagai jenis permainan yang disediakan, malahan aktiviti untuk orang dewasa juga tidak kurang hebatnya. Mari kita lihat antara aktiviti menarik yang wajib dilakukan sekiranya berkunjung ke sini.
Taman Tema Legoland
Segala kreativiti dan impian anda boleh menjadi kenyataan! Anda ingin menjadi ksatria yang menewaskan naga yang terbang di langit atau seorang lanun yang berani meredahi lautan demi menemukan harta karun yang hilang? Atau, bagi mereka yang lebih realistik, mempunyai angan-angan untuk menjadi anggota bomba, polis atau menjadi seorang pelumba kereta F1 yang popular dan disegani, disinilah lokasi pilihan anda! Kedengaran seperti kebudak-budakan, tetapi kesemua aktiviti yang dirangka sememangnya sesuai untuk semua peringkat umur.
The Beginning
Segalanya bermula di sini, di mana anda akan mendapatkan tiket masuk dan pas tahunan. Sebarang pertanyaan atau keraguan juga boleh anda kemukakan kepada staff Legoland yang mesra dan sedia membantu di kaunter tiket di sini. Kemudian, tidak perlu tunggu lama, terus mulakan pengembaraan anda!
Lego Ninjago World
Berita baik untuk kesemua pahlawan Ninja di luar sana, terokai dunia baharu yang benar-benar menguji skil dan kehebatan ninja anda di LEGO NINJAGO WORLD.
Anda akan dibawa ke alam galaksi NINJAGO™ dalam perjalanan 4D terbaik di Asia dan menjadi Master of Spinjitzu yang bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mengalahkan Great Devourer.
Anda berkebolehan mengawal sendiri unsur-unsur api, tanah, kilat, dan ais dengan hanya menggunakan tangan sendiri. Sudah tiba masanya untuk anak-anak anda berfikir dan bertindak seperti seorang Ninja terhebat! Tentu satu pengalaman yang menarik bukan?
Selepas puas bermain, boleh singgah di kedai cenderamata Sensei’s Shop yang terletak di dalam lokasi ini untuk mendapatkan pelbagai jenis pilihan gear Lego kegemaran anda dan anak-anak. Pasti rambang mata dibuatnya.
Miniland
Di sini anda bakal menyaksikan keunikan miniatur yang mempamerkan mercu tanda dan ikon terbaik di Asia. Anda pasti terpesona dengan kreativiti dan karya yang dihasilkan mereka yang profesional.
Terdapat 17 mercu tanda signifikan dunia antaranya seperti Menara Berkembar Petronas yang menjadi kebanggaan kita, Singapore’s Merlion, Taj Mahal di India dan pelbagai lagi ikon tarikan yang terdapat di sekitar Asia. Menariknya, kesemua ikon telah dianimasikan supaya pengalaman pengunjung lebih interaktif dan realistik dengan pemandangan, pergerakan dan bunyi suara setiap karya.
Imagination
Filem, animasi, muzik dan segala keajaiban boleh dirasai di zon permainan yang dikenali sebagai Imagination ini yang diinspirasikan daripada karya popular DUPLO®.
Antara tarikan zon permainan disini ialah seperti di DUPLO Playtown dan LEGO Kids Power Tour yang merupakan syurga permainan buat kanak-kanak, LEGO Studios 4D, untuk anda menyaksikan filem LEGO yang popular versi 4D, dan Observation Tower, yang menyajikan pemandangan menarik 360 degree dari atas ke seluruh kawasan LEGOLAND.
Jika dah puas berjalan dan terasa lapar, boleh singgah di restoran Pizza Mania yang menghidangkan pelbagai jenis menu pizza yang tentunya sedap dan berbaloi. Tentu satu pengalaman yang memuaskan!
Land Of Adventure
Mengembara ke alam purba bersama Firaun atau terokai dunia dinasour yang tentunya buat anda suspens dan teruja! Antara tarikan zon permainan utama di sini ialah Dino Land, Lost Kingdom Adventure, Beetle Bounce dan Pharaoh’s Revenge.
LEGOLAND Water Park
Mencari kepuasan bermain aktiviti air? Rasai pengalaman mengemudi papan luncur di water surf wave pool, terapung di sepanjang sungai Build-A-Raft dan meluncur di gelongsor dan tube terpanjang di Water Park ini selain bergembira berjemur di bawah sinar matahari ala-ala di luar negara dengan struktur permainan interaktif di Joker Soaker dan DUPLO® Safari yang sememangnya dibina sesuai untuk semua peringkat usia; kanak-kanak dan dewasa.
Di sini juga disenaraikan antara zon permainan yang terdapat di sini yang tentunya akan menjadikan percutian anda lebih “splash-tacular”!
- Beach Grill
- Brick Blaster
- Brick Cafe
- Built-A-Boat
- Imagination Station
- LEGO Slide Racer
- LEGO Wave Pool
- Red Rush
- Splash & Swirl
- Surf Shop
- Tidal Tube
- Twin Chasers
- Wave Rider
Legoland Sea Life Malaysia
Beri inspirasi dan pupuk kesedaran terutama kepada anak-anak anda untuk menghargai dan menjaga hidupan laut dengan berkunjung di sini yang menyajikan aktiviti penceritaan menarik Sea Life Malaysia sambil berinteraksi secara lebih dekat dengan pameran lebih daripada 25 tangki hidupan laut yang terdiri daripada 11 zon habibat menampilkan 13,000 hidupan lain dari 120 spesies.
Menarik bukan? Bukan itu sahaja, anda juga boleh menerokai Underwater World di Aquarium Zone yang menempatkan aktiviti unik berlainan tema seperti:
- Shoaling Ring
- Rockpool
- Malaysian Rainforest
- Seahorse Nursery
- Stingray Bay
- Coral Reef
- Amazing Creation
- Jellies
- Sunken Shipwreck
- Ocean Tunnel
- Ocean Cave
Buat mereka yang ingin berkahwin dan ingin menjadi lebih romantis, Sea Life Malaysia buat pertama kalinya memberi peluang kepada anda untuk melamar pasangan di dalam air sambil ber’scuba-diving’ dengan menempah pakej “Marriage Proposal Experience Package” yang digubah khusus buat anda pasangan pencinta laut!
Pendek kata, segala keseronokan, penggembaraan dan kegembiraan semuanya bermula di Legoland Malaysia. Jadi jangan lepaskan peluang untuk menerokai pengalaman luar biasa bersama dengan keluarga dan yang tersayang di sini.
Segala maklumat tentang harga tiket dan waktu operasi boleh didapati dengan lebih lanjut di laman web : https://www.legoland.com.my. Semoga segala yang info yang dikongsikan bermanfaat. Selamat bercuti!
Harga Ticket
- 1-Day Double-Park | Dewasa RM279, Kanak-Kanak RM219
- 1-Day Triple-Park | Dewasa RM339, Kanak-Kanak RM279
Info
- Laman Web: legoland.com.my
- Facebook: LEGOLAND Facebook
- Instagram: @legolandmalaysia
Alamat: No 7, Jalan Legoland, Bandar, 79250 Johor Bahru, Johor
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (10am – 5pm)