Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe | Pelbagai Pilihan Nasi Khas Untuk Citarasa Semua

Kalau bercerita pasal makanan yang unik dan viral, Malaysia ni memang takkan sepi. Sentiasa ada sesuatu yang baru untuk dikongsi bersama orang ramai.

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe Penang - Gambar depan kedai
Sumber: fahrurrazi hamid

Apatah lagi bila kita dari komuniti berbilang kaum dan bangsa ni, lagi la banyak yang boleh kita kongsikan. Pernah dengar Nasi 7 Benua dari Koo Boo Cafe? Ini memang satu hidangan yang memang perlu dikongsi beramai-ramai. Jom!

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe Penang - Ikan goreng dan ayam goreng
Sumber: syaifulazrin

Lokasi

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe terletak di Bayan Lepas. Penang memang syurga makanan betul, kan? Lebih spesifik, kedai ini terletak bersebelahan dengan Stadium Sungai Ara, dan berdekatan dengan Penang International Sports Arena atau PISA.

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe Penang - Tempat diaplay makanan penuh dengan lauk
Sumber: Mateen Sukh

Memang cafe ini telah pun dikenali ramai, namun, jika anda belum pernah cuba, pastikan anda datang dan rasai sendiri apabila berkunjung ke Penang nanti.

Menu

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe Penang - Lauk lauk yang menarik
Sumber: zulfiarman ali amran

Menu utama Koo Boo Cafe ini terletak pada namanya sendiri iaitu Nasi 7 Benua. Apakah nasi 7 benua ini? Menu yang cukup unik ini merupakan hidangan di mana 7 jenis nasi yang berbeza dihidang dalam 1 pinggan yang sama. Nasi-nasi ini terdiri daripada:

  • Nasi tomato
  • Nasi hujan panas
  • Nasi Lemak
  • Nasi Minyak
  • Nasi Lemuni
  • Nasi kacang
  • Nasi putih

Nasi-nasi ini memang merupakan jenis masakan nasi tradisional Melayu. Kecuali nasi putih lah, itu memang makanan harian kita kan. Mungkin ada antara 7 jenis nasi ini yang anda belum pernah dengar atau rasa, ini lah masanya.

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe Penang - Nasi pelbagai rasa dengan lauk ikan keli
Sumber: Ahmad Syafzan

Mujur semuanya dalam 1 pinggan, kan? Nasi-nasi ini disusun dengan cantik sekali dalam pinggan. Kepelbagaian warnanya juga sangat menarik perhatian. Tetapi, nasi 7 Benua ini dimakan dengan lauk apa? Itulah antara yang istimewa, anda boleh memilih sendiri lauk untuk dimakan bersama nasi-nasi ini.

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe Penang - Nasi berlauk ayam goreng dan telur goreng
Sumber: tsy.93

Lauk-lauk ini adalah sama seperti seleksi lauk nasi campur yang biasa dihidang untuk masakan tengah hari. Contohnya ayam goreng berempah, ikan goreng sambal, kuah kari, sayur goreng dan macam-macam lagi.

Buat pengetahuan anda, anda boleh juga menikmati nasi-nasi ini secara individu atau satu antara 7 jenis nasi secara sendirian. Katakanlah terasa nak makan nasi tomato sahaja atau nasi lemak sahaja, boleh saja. Malah, Koo Boo Cafe turut menawarkan set hidangan yang berserta dengan air percuma dan anda mempunyai pilihan antara air teh o ais atau sirap ais. Jarang kan kedai nak tawar air percuma selain air skyjuice. 

Harga

Harga yang ditawarkan di Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe ini berpatutan dan mampu milik. Secara individu, setiap jenis nasi berharga dalam anggaran RM1 ke RM2. Tetapi, nasi 7 Benua ini berharga RM2.50 sepinggan.

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe Penang - Ayam bakar dan limau ais
Sumber: jowiepeace

Lauk-pauk yang anda pilih untuk dimakan bersama nasi dikira berasingan seperti nasi campur. Harga mereka yang berpatutan ini adalah antara sebab ia menjadi tempat makan yang digemari ramai, terutama sekali pada waktu makan tengahari.

Waktu Operasi

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe yang telah beroperasi sejak tahun 2015 ini beroperasi setiap hari dari jam 11am ke 4pm. Mereka tutup pada setiap Ahad sahaja. Kadang kala mereka tutup untuk sebab-sebab tertentu dan selalunya akan mengeluarkan pengumuman di laman media sosial mereka jika mereka tutup. Anda juga boleh hubungi nombor telefon mereka untuk mengesahkan waktu pembukaan mereka sebelum ke sana nanti.

Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe Penang - Suasana dalam restoran
Sumber: John Rogers

Seperti masyarakat kita yang berbilang kaum, nasi 7 benua ini cukup mencerminkan budaya dan identiti Malaysia. Hidangan yang unik ini pasti menjadi tumpuan masyarakat dan juga para pelancong dari luar negara.

Baca: Kopi Hutan Penang Hill | Nikmati Kopi Di Cafe Tertinggi Di Penang

Jangan lupa singgah dan cuba sendiri apabila anda berada di Penang nanti tau! Selamat menjamu selera!

Media Sosial: Facebook

Alamat: Jalan Tun Dr Awang, Taman Tunas Muda, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: 11am-4pm (setiap hari, tutup pada hari Ahad)

5/5 - (1 vote)