Sedapnya dapat pekena makanan laut segar sambil merasa angin pantai cuti-cuti ni. Tapi di mana tempat terdekat untuk warga Kuala Lumpur singgah untuk buat semua ni? Kalau anda nak bercuti tapi nak berjimat duit minyak sebab tak perlu travel jauh, apa kata kalau makan angin di Pantai Bagan Lalang. Bermacam aktiviti yang boleh dirancang sekiranya anda ke sini bersama keluarga selain menikmati bayu pantainya yang menyegarkan jiwa.
Antaranya adalah anda boleh berkhemah di tepian pantai dan menanti saat matahari terbit dan kapal terbang-kapal terbang berlepas dari lapangan terbang KLIA dan KLIA 2 yang terletak berdekatan.
Di siang hari, jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan waktu air surut di mana anda boleh berjalan ke tengah laut sehingga 300 ke 400 meter. Kebiasaannya, air akan surut daripada waktu tengahari sehingga pukul 3 atau 4 petang, dan kadangkala sehingga pukul 5 petang. Waktu inilah anda sekeluarga boleh melihat anak-anak ketam berkeliaran dengan banyaknya di atas pasir.
Pantai ini turut meriah dengan aktiviti lain seperti permainan layang-layang, taman permainan, berbbq, bermain bola tampar dan bola sepak pantai. Kalau anda teringin untuk bermain layang-layang, di sini terdapat kedai yang menjual pelbagai jenis layang-layang yang berwarna-warni.
Selain menikmati pemandangan dan berseronok di kawasan pantai, anda boleh melawat deretan kedai yang ada di sepanjang pantai untuk melihat jualan pelbagai jenis barangan seperti kasut, pakaian, layang-layang dan bermacam lagi.
Bila dah beraktiviti mestilah laparkan? Perut lapar anda tak akan menangis kalau berada di Pantai Bagan Lalang sebab tersangatlah mudah untuk anda jumpa restoran-restoran yang menarik yang pasti dapat memuaskan deria rasa anda.
Kalau anda nak tahu, makanan-makanan laut yang dihidangkan di restoran sekitar kawasan Pantai Bagan Lalang ni bukan sahaja murah daripada makanan laut di KL, tapi jauh lebih segar daripada biasa sebab pengusaha restoran di sini mendapat bekalan daripada nelayan di pantai yang terdekat. Kesegarannya cukup terasa. Apa yang anda teringin nak makan? Ketam? Lala? Udang? Bermacam jenis ikan laut? Semuanya ada di sini.
Antara Aktiviti Yang Boleh Dilakukan
- Berkelah
- Memancing
- BBQ
- Berkhemah
- Bermain di taman permainan kanak-kanak
- Bermain layang-layang
- Menangkap ketam
- Berlayar
- Melihat pemandangan kapal terbang berlepas
- Pemandangan matahari terbit dan terbenam
- Menikmati pelbagai hidangan makanan laut di restoran sekitar
- Membeli-belah cenderamata
Fasiliti Yang Disediakan Di Pantai Bagan Lalang
- Taman permainan kanak-kanak
- Gazebo
- Surau
- Pasar
- Kedai makan
- Tandas awam
- Tapak perkhemahan
- Mesin ATM
Antara Review Pengunjung Yang Pernah Ke Sini
“Sebuah lokasi yang wajib dilawati untuk pengalaman yang mengujakan: Lokasi ini disarankan oleh mak cik saya. Saya datang ke sini tanpa sebarang jangkaan tapi rupa-rupanya memang tak rugi ke sini. Pantai ini tidak sesuai untuk semua orang tapi ada sesuatu tentangnya yang memberikan ketenangan bila anda duduk sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.
Saya tak sangka yang pantai ini terdapat banyak pondok dan kerusi untuk duduk-duduk dan berkelah. Dah 3 kali saya ke pantai ini. Ada banyak kedai makan dan minum yang beroperasi sehingga ke lewat malam. Perkara yang paling best tentang tempat ni adalah pemandangannya. Anda perlu ke sini untuk percayakannya!” – Ericnathan94
“Lubuk ketam!: Kami datang ke sini selepas menikmati makan tengah hari di Sungai Pelek. Ketika waktu air sedang surut, ada terlalu banyak ketam-ketam kecil berkeliaran. Anak-anak pula dah bersedia dengan batang kayu untuk bermain. Cuaca yang hampir hujan pada waktu itu menjadikan segalanya lebih sempurna. Kawasan pantai agak bersih. Beberapa pelawat datang untuk bermain layang-layang, sesetengah kanak-kanak pula seronok bermandi-manda di laut.” – Joonliang9
“Waktu bersama keluarga: Permainan layang-layang adalah salah satu aktiviti popular di Pantai Bagan Lalang ketika waktu air surut. Cara terbaik untuk menikmati pemandangan di sini adalah dengan berjalan-jalan di laluan yang disediakan sambil menikmati bayu laut. Anda juga boleh menyewa motorsikal daripada hotel berdekatan…” – Anon
Panduan Untuk Ke Pantai Bagan Lalang
Bagan Lalang terletak 45 minit pemanduan daripada Kuala Lumpur menggunakan Lebuhraya PLUS dengan menuju ke arah KLIA.
Alamat: Bagan Lalang, 43950 Tanjong Sepat, Selangor
Koordinat: N02° 36.386′ E101° 41.277′
Tarikan Menarik Lain Yang Terletak Berdekatan
Selain Pantai Bagan Lalang, ada beberapa lagi tempat menarik lain yang patut anda sekeluarga lawati untuk ‘menaiktarafkan’ lagi memori indah yang tercipta sewaktu melawat Bagan Lalang. Ini adalah antara lokasi yang boleh dipertimbangkan untuk dilawat ketika berada di sana.
Jeti Wak Sempuh
Sudah puas menikmati keseronokan di Pantai Bagan Lalang, tiba masanya untuk bersantai, untuk ini, apa kata kalau anda sekeluarga singgah ke Jeti Wak Sempuh untuk memancing ikan. Memang rugi kalau tak singgah memandangkan bayaran masuk dan jorannya sangat murah!
Kalau bernasib baik, sambil menikmati udara di sekitar anda boleh dapat ikan segar seperti siakap, kerapu, jenahak ataupun senangin. Bolehlah buat BBQ lepas ni! Selain itu, di Jeti Wak Sempuh ini juga terdapat sebuah kafe yang menghidangkan makanan enak dalam harga yang sangat berpatutan.
Alamat: Kampung Bagan Lalang, Tanjong Sepat
Litar Antarabangsa Sepang
Sampai bila nak lihat Litar Antarabangsa Sepang dalam tv je kan? Alang-alang dah sampai ke kawasan sekitar ni, singgah-singgahlah untuk melihat bagaimana rupanya Litar Antarabangsa Sepang di depan mata.
Litar yang siap pada tahun 1998 dengan bajet jutaan ringgit ini merupakan sebuah litar kebanggaan negara yang telah dijadikan tempat berlangsungnya bermacam perlumbaan peringkat negara dan antarabangsa seperti Grand Prix A1, Grand Prix Motorsikal dan banyak lagi perlumbaan lain. Betapa high-tech dan lengkapnya litar ini sehingga menjadi pujian ramai orang termasuklah pelancong daripada luar negara.
Alamat: 27, 64000 Sepang, Selangor
Go-Kart
Tak cukup dengan sekadar melihat sekitar Litar Antarabangsa Sepang, apa kata kalau anda menambahkan lagi memori indah sewaktu ke sini dengan mencuba aktiviti go-kart? Waktu inilah anda boleh merasa seperti membawa kereta F1 kan?
Bayaran: Bermula Dari RM30+
Alamat: 344, Sepang F1 Circuit, 43900 Sepang
Tempat Makan Menarik Di Sekitar Pantai Bagan Lalang
Jangan sesekali melepaskan peluang untuk menikmati makanan laut semasa berada di Bagan Lalang. Di sinilah bermacam jenis restoran menghidangkan masakan-masakan laut yang bukan sahaja enak, tapi juga fresh dari laut! Bonusnya? Harga yang cukup berpatutan dan jauh lebih murah daripada di KL.
Restoran Bayu Malam Wak Lan Ikan Bakar & Seafood
Terletak hanyalah dalam sekitar 5 ke 8 minit berjalan kaki dari AVANI Sepang Goldcoast Resort, Restoran Bayu Malam Wak Lan Ikan Bakar & Seafood adalah restoran yang perlu disinggahi untuk tujuan menjamu selera pelbagai juadah yang enak dan segar seperti ikan masak pedas, ikan bakar dan pelbagai lagi makanan laut yang lain.
Harganya juga sangat berpatutan. Waktu yang terbaik untuk ke sini adalah dalam sekitar pukul 6.00 ke 6.30 petang supaya anda mudah mendapatkan tempat duduk kerana restoran ini akan mula padat selepas pukul 7.00 petang.
Alamat: Wak Lan Restoran Bayu Malam, Bagan Lalang, 43950 Sepang
Restoran Senandung Malam Seafood
Apa yang anda ingin rasa? Pari bakar? Sotong masak sambal? Lala masak pedas? Ikan bakar? Inilah antara menu yang anda wajib cuba di Restoran Senandung Malam Seafood, percayalah, sekali cuba, pasti rasa macam nak datang hari-hari untuk order menu yang sama. Segalanya secukup rasa!
Alamat: Restoran Senandung Malam Seafood
Bagan Lalang Sea View Restaurant
Seperti namanya, Bagan Lalang Sea View Restaurant, anda dapat menikmati makanan yang disediakan sambil melihat pemandangan laut biru yang terbentang di depan mata. Inilah yang dinamakan kenikmatan dalam kedamaian. Rugi kalau tak singgah!
Apa-apa pun, seperti mana kebanyakan kedai seafood terkenal lain di Bagan Lalang ni, untuk memudahkan anda mendapat tempat duduk, datanglah awal terutama sekali kalau musim cuti sekolah.
Alamat: Pantai, Bagan Lalang, 43950 Tanjong Sepat, Selangor
Lokasi yang strategik, pemandangan yang indah dengan tawaran makanan laut yang segar, apa lagi yang anda dambakan untuk waktu percutian yang seronok bersama keluarga? Hampir semuanya ada di sini!
Siapa kata kena ada bajet besar untuk bercuti? Terbukti yang Pantai Bagan Lalang bukan sahaja sebuah destinasi yang murah untuk dilawati kerana anda tak perlu membazirkan duit minyak, di sekitar kawasan pantai ini juga terdapat banyak restoran yang menawarkan makanan laut segar dalam harga yang berpatutan.
Belum lagi bercakap tentang penginapan yang ditawarkannya, segalanya di Bagan Lalang tidak menipiskan poket anda. Sekiranya tempat penginapan yang admin senaraikan ini masih tidak cukup, anda boleh melayari booking.com untuk melihat lebih banyak tawaran penginapan yang ada dalam harga yang terbaru.
Tak perlu tunggu waktu yang sesuai untuk ke Pantai Bagan Lalang, lokasinya tidak begitu jauh sekiranya anda tinggal di KL, nak ke sana sekarang pun boleh! Selamat bercuti ke Pantai Bagan Lalang!