Pantai Batu Buruk | Jom Santai Di Pantai Popular Kuala Terengganu

Pantai Batu Buruk  atau ejaan klasiknya “Batu Burok” adalah salah satu daripada kawasan pantai yang terkenal di negeri keropok lekor ni.

Tiba sahaja hujung minggu atau waktu petang, sekitar pantai ini akan dipenuhi oleh bukan sahaja penduduk setempat tapi juga pengunjung yang sanggup datang dari jauh disebabkan godaan keindahan pemandangannya dan suasananya yang sentiasa berangin kuat dari Laut China Selatan, cukup untuk memberikan ketenangan jiwa.

Lokasinya yang juga tidak jauh dari Kuala Terengganu ini juga menyebabkan ianya menjadi tarikan pantai pilihan ramai.

Kawasan pantai berpasir putih ini turut dihiasi indah oleh kehadiran pokok-pokok rhu yang tumbuh tinggi di sekitar.

Sekiranya bernasib baik, dari kawasan pantai ini, anda juga boleh menikmati pemandangan yang menjangkau sehingga ke Pulau Kapas dan Pulau Redang. Selain itu, turut dapat disaksikan adalah pemandangan perahu-perahu nelayan yang penuh warna-warni di kawasan sekitar pantai.

Pantai Batu Buruk Gambar Pantai

Selain bersantai menikmati pemandangan, untuk memeriahkan lagi lawatan anda sekeluarga ke Pantai Batu Buruk anda boleh bermain layang-layang yang dijual di gerai yang terdapat di sini.

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Kuala Terengganu

Aktiviti lain yang sering dilihat dilakukan adalah bermain bola pantai, menaiki kereta kuda atau menaiki ATV dengan caj yang sangat berpatutan. Untuk anda yang membawa anak kecil, di sini turut terdapat taman permainan kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, kawasan Pantai Batu Buruk ini tidak begitu sesuai untuk dijadikan lokasi bermandi-manda kerana ombaknya yang agak kuat.

Tapi ombak yang besar inilah menjadikan Pantai Batu Buruk sebuah destinasi yang mengasyikkan untuk dilawati kerana bunyi pukulan ombaknya yang cukup menyegarkan halwa telinga.

Main Layang-Layang Di Pantai Batu Buruk

Kelaparan lepas puas berseronok atau nak makan sambil-sambil menikmati panorama memukau ni? Jangan risau! Sebab tersangatlah banyak gerai makan dan minuman yang ada di sepanjang pantai ni.

Antara makanan atau minuman yang boleh dilihat di sini adalah seperti ais krim goreng, goreng pisang, keropok lekor, ikan celup tepung, sate ikan, coconut shake dan macam-macam lagilah. Anda juga boleh singgah ke restoran A&W yang turut ada di kawasan pantai.

Sekiranya anda datang pada hari Jumaat, terdapat pasar malam yang dibuka dari pukul 3 petang hingga 7 petang.

Macam-macam ada dekat Pantai Baru Buruk ni kan?

Antara Aktiviti Yang Boleh Dilakukan Di Pantai Batu Buruk

Akiviti di pantai batu buruk

Banyak aktiviti yang boleh anda rancang untuk lakukan di sekitar Pantai Batu Buruk. Berikut adalah antara aktiviti yang terkenal di pantai ini:

  • Bermain layang-layang
  • Menaiki ATV
  • Menunggang kuda & menaiki kereta kuda
  • Menikmati aneka makanan dan minuman yang dijual di gerai tepi pantai
  • Berkelah
  • Berfotografi

Fasiliti Yang Disediakan Di Pantai Batu Buruk

Sebagai kawasan pantai yang terkenal di Kuala Terengganu, fasiliti yang ditawarkan di sekitar Pantai Batu Buruk agak sempurna untuk memudahkan dan menjadi daya penarik ramai pengunjung yang datang pada setiap minggu.

  • Taman permainan kanak-kanak
  • Gerai makanan
  • Tandas awam
  • Tapak pameran
  • Tempat meletak kereta
  • Tawaran aktiviti ATV, kereta kuda & menunggang kuda
  • Trek jogging

Antara Review Pengunjung Yang Pernah Ke Sini

Pantai yang cantik: Pantai yang terdekat dengan bandar Kuala Terengganu. Anda boleh menikmati pemandangan pantai yang indah bersama keluarga. Berkelah bersama yang tersayang. Banyak gerai yang menjual pelbagai jenis makanan di kawasan sekitar. – Fathiah Ramli, TripAdvisor

Lokasi yang menarik dilawati bersama anak-anak: Bawa anak-anak kecil anda untuk menunggang kuda, bermain buih sabun atau berlari-larian di sekitar pantai. Atau cuba makanan daripada gerai bersebelahan dengan pantai. Pantai ini juga lengkap dengan tandas awam yang sangat bersih. Bayaran masuk tandas adalah 40 sen.” – Luthfimy, TripAdvisor

Angin yang menyegarkan dan pemandangan indah: Lokasi yang menarik untuk berjalan-jalan pada waktu petang di sepanjang pantai. Lihat penduduk setempat menghiburkan diri mereka dengan aktiviti seperti menaiki kuda, bermain layang-layang…” – Diederik B, TripAdvisor

“…pemandangan indah, pantai yang bersih, laut berwarna biru kehijauan. Banyak gerai makanan dan tawaran aktiviti…” – Mshahom, TripAdvisor

“Anak-anak saya suka pantai ini. Layang-layang, naik kuda, gerai makanan, pantai dan sebagainya. Surau turut disediakan. Tandas dan bilik persalinan dalam keadaan yang baik…” – Zakia370

Panduan Untuk Ke Pantai Batu Buruk

Panduan Ke Pantai Batu Buruk

Pantai Batu Buruk terletak hanyalah dalam sekitar 2.5 km atau kurang 10 minit pemanduan sahaja dari bandar Kuala Terengganu melalui Jalan Sultan Mahmud. Dari Kuala Lumpur pula, masa yang diambil untuk sampai ke sini adalah dalam sekitar 5 jam.

Alamat: Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu

Koordinat: 5.324337,103.154122

Tarikan Menarik Lain Yang Terletak Di Sekitar Pantai Batu Buruk & Lain-Lain Tarikan Di Sekitar Kuala Terengganu

Untuk ‘memperkayakan’ lagi pengalaman percutian anda di Terengganu, ini adalah antara destinasi yang wajib anda singgah!

1. Masjid Tengku Tengah Zaharah

Tak sah kalau tidak singgah ke Masjid Terapung ataupun Masjid Tengku Tengah Zaharah kalau sudah sampai ke Terengganu. Masjid yang terbina dengan penuh keindahan tersendiri ini terletak di dalam kawasan Taman Awam Lagun Kuala Ibai di atas pelantar yang terapung.

Masjid unik dengan gaya seni bina moden dan Moorish ini merupakan hasil cetusan idea mantan Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan diberikan nama sempena bondanya Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja.

Keindahan masjid ini yang berlatar belakangkan langit biru dan tasik yang tenang adalah sebuah  pemandangan yang tidak patut dilepaskan.

Alamat: Masjid Tengku Tengah Zaharah, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu

Jarak Dari Pantai Batu Buruk: 8 Minit / 4.7 KM

2. Pusat Budaya Kraf Terengganu

Pusat Budaya Kraf Terengganu

Terletak hanyalah dalam sekitar 10 minit pemanduan dari Pantai Batu Buruk, Pusat Budaya Kraf Terengganu adalah sebuah lokasi yang menarik untuk dilawati bersama keluarga untuk mendalami keindahan budaya Terengganu dari segi pembuatan kraftangan mereka yang penuh dengan kehalusan. Antara yang dapat dilihat dipamerkan di sini adalah ukiran kayu, sarong, songket, hasil tembaga, sutera dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, di muzium ini turut terdapat ruang demonstrasi yang akan mendedahkan anda dengan proses pembuatan kraftangan secara langsung. Nak buat kraftangan yang ekslusif untuk seseorang atau diri sendiri? Boleh  ditempah di sini.

Alamat: Terengganu Craft Cultural Centre, Kawasan Perindustrian Chendering, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu

Jarak Dari Pantai Batu Buruk: 10 Minit / 6.7 KM

3. Kompleks Kraf Noor Arfa

Terengganu cukup terkenal dengan penghasilan batiknya. Alang-alang dah berada di Terengganu ni, apa kata kalau anda singgah ke Kompleks Kraf Noor Arfa. Di sinilah di mana anda dapat melihat bagaimana rupanya batik yang berkualiti tinggi serta proses penghasilannya dari awal hingga akhir.

Sebagai seni warisan bangsa kebanggaan negara, cukup penting untuk anda membawa anak-anak ke sini supaya mereka lebih menghargai dan mengenali keindahan sebenar seni batik.

Di sini anda sekeluarga dapat mencuba sendiri aktiviti mencanting batik untuk dibawa pulang dan dijadikan hiasan. Nak tempah batik? Pun boleh!

Alamat: Lot 4153, Kawasan Perindustrian Chendering, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu.

Jarak Dari Pantai Batu Buruk: 9 Minit / 6 KM

  • Bukit Panorama
  • Pusat Sains Kreativiti Terengganu
  • Taman Tamadun Islam / River Cruise
  • Pantai Pandak Chendering
  • Masjid Abidin
  • Muzium Negeri Terengganu

Antara Tempat Makan Menarik Di Sekitar Pantai Batu Buruk

Negeri-negeri di pantai timur bukan sahaja kaya dengan seni budaya, tapi juga dengan aneka makanan yang kesedapannya tidak cukup sepinggan. Nak tahu di mana patut anda pergi untuk cuba makanan dengan rasa yang paling kaw terletak tidak jauh dari Pantai Batu Buruk? Ini adalah antaranya:

1. Nasi dagang Kak Pah Batu Burok

Datang Terengganu tapi tak makan nasi dagang? Anda patut patah balik! Sebab inilah hidangan paling legend di negeri pantai timur ini selain keropok lekornya. Tapi dekat mana kedai yang hidangkan nasi dagang paling kaw dekat Terengganu pada abad ni? Salah satu restoran nasi dagang yang terkenal adalah Nasi dagang Kak Pah Batu Burok.

Nasi dagang yang dihidangkan bukan sahaja kaya dengan rasa, lauknya juga diberikan agak banyak dan sangat fresh. Besar kemungkinan, satu pinggan masih tak cukup.

Nasi dagang Kak Pah Batu Burok Gambar Makanan

Betapa viralnya restoran ni sampaikan kalau anda terbangun lewat sikit je dalam sekitar 10 pagi, nasi dagangnya dah licin. Oleh itu, set alarm seawal yang mungkin supaya tak terlepas. Ingat, kedai ini dibuka seawal jam 8.30 pagi.

Alamat: Kak Pah Nasi Dagang, Gerai 30, Pantai Batu Burok, Terengganu

Jarak Dari Pantai Batu Buruk: 6 Minit Berjalan Kaki / 450 Meter

2. The Mayang Place

Apa yang anda nak? Macam-macam jenis makanan boleh anda jumpa di The Mayang Place. Secara umumnya, kedai-kedai makan yang dibuka di The Mayang Place ini menawarkan banyak makanan western dan ada juga sesetengah tempat dengan makanan lokal.

Antara yang boleh anda temui di sini adalah kambing bakar yang cukup juicy rasanya, char kuey teow, dim sum, sate, nasi lemak, nasi dagang, burger, smoothie, coconut shake dan banyak lagi.

Nak lagi happening? Datanglah ke sini pada waktu malam sebab pada waktu ini anda dapat menikmati makanan sambil dihiburkan dengan persembahan live band.

The Mayang Place Kuala Terengganu Gambar Dalam

Selain ini semua, The Mayang Place turut menempatkan kedai 7E, surau, butik batik dan dewan untuk disewa.

Alamat: The Mayang Place, Food & Beverage Complex, Lot 1544, 20040, Jalan Pantai, Kampung Pantai Batu Burok, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu

Jarak Dari Pantai Batu Buruk: 5 Minit Berjalan Kaki / 400 Meter

3. Fauzi Nasi Kerabu

Harga yang berpatutan untuk nasi kerabu yang keenakannya sukar ditemui di tempat lain serta lengkap dengan bermacam pilihan lauk, inilah yang ditawarkan Fauzi Nasi Kerabu.

Apa yang anda ingin nikmati dengan nasi kerabu? Daging salai? Ayam grill? Ayam goreng? Solok? Daging panggang? Dan macam-macam lagilah! Semuanya cukup mengiurkan. Apatah lagi bila dilengkapkan dengan teh tarik madunya. Memang ummph!

Fauzi Nasi Kerabu Kuala Terengganu Berdekatan Pantai Batu Buruk Gambar Makanan

Tak yakin lagi nak singgah ke sini atau tak? Kalau anda nak tahu, kedai makan ni pernah mendapat anugerah sebagai Top 50 Best Street Food pada tahun 2017.

Alamat: Fauzi Nasi Kerabu, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Ladang Padang Cicar, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu

Jarak Dari Pantai Batu Buruk: 6 Minit Pemanduan / 2.6 KM

  • Nasi Dagang Tepi Kubur Kg Atas Tol
  • Restaurant Singgang Budu
  • Air Buah Gelas Besar Terengganu
  • Restoran Lempeng Terengganu
  • Nasi Dagang Kak Jah
  • Nasi Kukus Sempoi Alias 2
  • Restoran Mat Binjai

Cukup menarik tarikan yang terdapat di negeri yang terletak di persisiran Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini.

Bukan sahaja menawarkan keindahan alam semula jadi yang mempesonakan jiwa sesiapa yang memandang, tapi juga kerana kekayaan seni budayanya yang mustahil ditemui di tempat lain.

Baca: Senarai Tempat Menarik Di Kuala Terengganu

Tak cukup dengan itu, negeri ini turut kaya dengan makanan tradisi yang sekali dicuba, terus jatuh ke hati! Tunggu apa lagi? Selamat bercuti ke Kuala Terengganu!

3.7/5 - (4 votes)