Pantai Cahaya Bulan | Jom Terokai Keindahan Pantai Popular Di Kelantan

Pantai Cahaya Bulan ataupun nama asalnya Pantai Cinta Berahi yang mana kedua-duanya memiliki nama panggilan yang sama iaitu ‘PCB’, adalah salah sebuah pantai yang terkenal di negeri Kelantan.

Pasti ada yang tertanya-tanya, apa yang membuatkan nama asal pantai ini Pantai Cinta Berahi kan? Kalau anda nak tahu, kawasan pantai ini dijadikan tempat pendaratan orang Jepun yang datang menyerang tentera British pada 8 Disember 1941.

Ketika zaman Perang Dunia Ke-2 ini, seorang askar British telah menamakannya sebagai Pantai Cinta Berahi setelah menderita kerana cintanya tak terbalas. Begitulah kisah bagaimana pantai indah ini mendapat nama asalnya.

Bersambung balik tentang Pantai Cahaya Bulan, dalam perjalanan ke sini dari Kota Bharu anda akan melalui banyak kawasan perkampungan seperti Kampung Banggo, Kampung Kijang dan Pengkalan Chepa.

Baca: 51 Tempat Menarik Di Kelantan

Anda juga dapat melihat kedai-kedai yang menjual batik, songket dan banyak lagi yang sinonim dengan negeri ini. Pendek kata, perjalanan yang ditempuhi untuk ke Pantai Cahaya Bulan pun agak menarik.

Bercuti Di Pantai Cahaya Bulan

Setibanya di kawasan pantai ini, anda dapat merasai bayu laut yang tidak henti bertiupan. Pada musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober – Disember, ombak dan angin pantai akan menjadi berkali ganda lebih kencang.

Selain dapat merasai tiupan angin, anda juga dapat menikmati pemandangan Laut China Selatan yang terbentang luas sambil dikelilingi oleh pokok kelapa dan pokok ru yang menambahkan lagi keserian pantai.

Sekiranya anda datang musim cuti sekolah atau hujung minggu,  kawasan pantai ini cukup meriah dengan orang ramai yang bercuti bersama keluarga sama ada sekadar untuk mengambil angin di tepian atau bermain layang-layang yang dijual di sini.

Setelah puas menikmati pemandangan yang disajikan pantai yang berkepanjangan 1.5 km ini, anda boleh singgah ke mana-mana kedai untuk mengisi perut yang sedang berbunyi kelaparan. Antara makanan yang ada adalah colek, bebola ikan, keropok, aneka makanan laut celup tepung dan banyak lagi!

Masih lagi tak kenyang? Anda boleh meneruskan eksplorasi sekitar Kota Bharu dengan menyinggahi mana-mana kedai viral yang tak kurang banyaknya.

Antara Aktiviti Yang Boleh Dilakukan

Terdapat beberapa aktiviti yang popular di sekitar Pantai Cahaya Bulan. Anda boleh merancang untuk melakukan aktiviti seperti yang disenaraikan di bawah untuk menjadikan lawatan bersama keluarga ke pantai indah ini sebuah pengalaman yang lebih bermakna.

  • Berkelah
  • Bermain layang-layang
  • Menikmati pemandangan matahari terbenam dan terbit
  • Menikmati aneka makanan di gerai-gerai tepi pantai

Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Kota Bharu

Fasiliti Yang Disediakan Di Pantai Cahaya Bulan

Fasiliti di Pantai Cahaya Bulan

Para pelawat dapat menggunakan beberapa kemudahan yang disediakan di sekitar Pantai Cahaya Bulan. Fasiliti yang ditawarkan agak asas jika dibandingkan dengan kawasan pantai yang lain, namun kehadiran gerai-gerai makan di sekitarnya sangat memuaskan hati.

  • Restoran & gerai makanan
  • Tandas Awam
  • Surau

Antara Review Pengunjung Yang Pernah Ke Sini

“Sebuah kawasan yang mendamaikan, sesuai untuk sesi terapi minda.” – Naruto Minato, Google Review

“Banyak pilihan makanan, tekstil dan kraf seperti wau dijual di sini. Kadang-kadang anda dapat melihat pertunjukan ular berdekatan dengan pantai.” – Anon, Google Review

“Kawasan yang menarik untuk melihat pemandangan matahari terbenam. Banyak restoran di sepanjang pantai yang menjual makanan laut dan menu tempatan yang lain. Lokasi yang menarik untuk fotografi, lautnya juga sungguh cantik…” – Mndyky, Trip Advisor

“Menarik untuk mengambil udara laut segar dengan pemandangan Laut China Selatan. Pantai ini terletak dalam sekitar 8 km untuk ke bandar Kota Bharu.” – Wan Hamidi, Trip Advisor

“Perkara menarik tentang pantai ini adalah gerai-gerai yang dibuka di sepanjangnya yang menyediakan banyak makanan dalam harga berpatutan seperti mee ketam, mee udang, udang goreng.” – Mojamoja12, Trip Advisor

“…tempat santai bersama keluarga dengan pelbagai tawaran makanan.” – WaiMun L, Trip Advisor

“Berjalan-jalan di tepi pantai pada waktu pagi atau lewat petang, nikmati tiupan angin yang sejuk sambil mendengar bunyi pukulan ombak, rasa tenang dan damai di samping pohon-pohon kasuarina, menjadikannya aktiviti yang menyegarkan.” – GenL, Trip Advisor

Panduan Untuk Ke Pantai Cahaya Bulan

Dari Kota Bharu, anda boleh melalui Route 223 / Jalan Pantai Cahaya Bulan dan menuju ke Jalan Kuala Besar / D101. Masa yang diambil dari Kota Bharu ke Pantai Cahaya Bulan hanyalah sekitar 23 minit.

Alamat: Jalan Pantai Cahaya Bulan, 15350 Kota Bharu, Kelanta

Koordinat: 6.2000° N, 102.2672° E

Tarikan Menarik Lain Yang Terletak Di Sekitar Kota Bharu

Untuk menyempurnakan percutian anda semasa berada di sini, selain Pantai Cahaya Bulan, terdapat banyak lagi lokasi tarikan lain yang boleh dirancang untuk dilawati. Antara lokasi yang boleh dilawati adalah seperti berikut

1. Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah Berdekatan Pantai Cahaya Bulan
Sumber: Zie Liana

Tak perlu mencari pasaraya kalau dah berada di Kota Bharu ni, terjah sahaja pasar yang cukup ‘legend’ di Kelantan ni iaitu Pasar Siti Khadijah untuk membeli bermacam-macam barangan. Dari bahan basah, makanan tradisional hinggalah kepada barangan bukan makanan yang lain, macam-macam yang boleh anda temui di pasar 4 tingkat ni.

Di tingkat 1 anda boleh menemui banyak makanan yang terkenal di negeri Kelantan seperti nasi kerabu, nasi dagang, laksam, ayam percik, ikan percik, somtam  dan banyak lagi! Teringin mencuba kuih tradisional negeri ini? Anda pasti tak akan kecewa kerana segalanya ada di sini.

Manakala tingkat 2 dan 3 pula menawarkan banyak barangan bukan makanan seperti pakaian, tudung, kain batik dan sebagainya.

Alamat: Jalan Buluh Kubu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Jarak Dari Pantai Cahaya Bulan: 11.1 KM / 24 Min

2. Kampung Kraftangan & Muzium Kraf

Kampung Kraftangan & Muzium Kraf ataupun Balai Getam Guri terletak dalam jarak beberapa kaki sahaja daripada banyak lagi tarikan lain di Kota Bharu seperti Istana Balai Besar dan Bazar Buluh Kubu.

Seperti namanya, di sinilah anda dapat melihat pelbagai hasil kraftangan masyarakat setempat yang dihasilkan dengan penuh dengan kehalusan dan ketelitian. Di samping dapat melihat pameran barangan ini dengan dekat, anda juga boleh melihat demonstrasi pembuatan sulaman tradisional, bagaimana cantingan batik dilakukan, tenunan songket dan banyak lagi.

Alamat: Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Kota, 15300, Kota Bharu, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu

Jarak Dari Pantai Cahaya Bulan: 10.5 KM / 20 Min

3. Istana Jahar

Istana Jahar Kelantan Pantai Cahaya Bulan
Sumber: Kamarul Anuar

Istana klasik ini telah dibina ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1837 – 1886) selepas pembukaan bandar Kota Bharu tanpa menggunakan walau sebatang paku.

Istana Jahar kini telah dijadikan sebagai Muzium Diraja Negeri Kelantan yang mempamerkan sejarah kesultanan negeri ini daripada awal kesultanan Kelantan sehingga sekarang.

Antara koleksi yang dapat dilihat adalah pakaian tradisional, senjata, foto-foto dan banyak lagi. Masa yang diambil untuk selesai melihat kesemua pamerannya adalah dalam sekitar 2 jam. Ingin tenggelam dalam dunia klasik? Jadikanlah Istana Jahar sebagai salah satu destinasi persinggahan.

Alamat: Istana Jahar, Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan

Jarak Dari Pantai Cahaya Bulan: 10.6 KM / 20 Min

  • Menara Rehal
  • Pantai Geting
  • Bank Kerapu
  • Taman Negeri Gunung Stong
  • Wakaf Che Yeh
  • Pasar Terapung Pulau Suri
  • Air Terjun Jelawang

Antara Tempat Makan Menarik Di Sekitar Kota Bharu

Sebagai syurga makanan, tak akan sesaat pun perut anda sempat menggerodak semasa bercuti di Kelantan ni. Sangatlah mudah untuk anda terjumpa dengan kedai makan yang enaknya bukan kepalang.

Kalau dah sedap, biasanya cepatlah penuh dengan pelanggankan? Nak jadi orang terawal sampai di kedai? Kenalah tahu kedai apa yang best awal-awal sebelum memulakan perjalanan supaya mudah untuk anda rancang.

1. Warung Pak Mat Pulau Pisang

Kedai makan terdekat dengan pantai yang pernah viral selepas menjadi pilihan rancangan Jalan-Jalan Cari Makan TV3 adalah Warung Pak Mat Pulau Pisang yang terletak hanyalah 9 minit sahaja dari Pantai Cahaya Bulan. Antara menu terkenal di kedai ini adalah sup kepala ikannya yang dihasilkan berdasarkan resepi turun-temurun Pok Mat. Kalau anda datang beramai-ramai ke sini, bolehlah nak cuba banyak lagi menu lain yang tak kurang sedapnya seperti gulai ayam, kari ikan dan gulai ikan.

Minuman yang enak untuk dicuba pula adalah Teh Madu Tualang yang dihidangkan dengan buih yang banyak, cukup menaikkan selera, lebih-lebih lagi selepas menghabiskan masa di kawasan pantai.

Alamat: Warung Pak Mat, Medan Ikan Bakar, Jalan Kuala Besar, Kedai Buloh, Kota Bharu, Kelantan

Jarak Dari Pantai Cahaya Bulan: 3.6 KM / 9 Min

2. Restoran Nasi Ulam Cikgu Kg. Kraftangan

Restoran Nasi Ulam Cikgu Pantai Cahaya Bulan

Restoran Nasi Ulam Cikgu Kg. Kraftangan menghidangkan pelbagai masakan kampung yang mengiurkan! Kalau tak kenyang juga, tak tahulah.

Bermacam masakan dihidangkan di sini, antaranya adalah ikan singgang, aneka ulam-ulaman (seperti nama kedainya), budu, hidangan ikan keli yang besar, ayam goreng yang rangup dan banyak lagi! Terliur? Cepat-cepatlah ke Kota Bharu cuti ni!

Alamat: Restoran Nasi Ulam Cikgu Kg. Kraftangan, Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Kota, Bandar Kota Bharu, Kota Bharu

Jarak Dari Pantai Cahaya Bulan: 10.7 KM / 21 Min

3. Kopitiam Kita

Kopitiam Kita Pantai Cahaya Bulan
Sumber: Kopitiam Kita

Apa masakan Kelantan yang anda teringin nak cuba? Hampir segalanya ada di sini. Kedai ini juga merupakan tempat sarapan pagi yang terkenal di Kelantan disebabkan kepelbagaian pilihan menu yang ada dan salah satunya adalah Roti Titab (menu yang paling top di sini).

Makanan lain yang boleh dicuba di Kopitiam Kita adalah nasi ayam goreng berempah, nasi dagang, nasi gulai ayam dan banyak lagi.

Alamat: Jalan Sri Cemerlang, Taman Desa Jasa, 15400 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

Jarak Dari Pantai Cahaya Bulan: 11.9 KM / 23 Min

  • Laksam Special By-T
  • Kedai Kopi Din Tokyo KB
  • Malis Cafe & Restaurant
  • Restoran Nasi Kerabu 2mis JB
  • Nasi Kak Wok (Original)
  • Restoran Wajinah Roti Tempayan

Kota Bharu padat dengan pelbagai tarikan yang mampu memuaskan jiwa eksplorasi anda, dari istana-istana lama hinggalah kepada kedai-kedai makan yang viral.

Setelah puas meneroka segala ceruk kota ini, cukuplah sempurna sekiranya dilanjutkan dengan persinggahan ke Pantai Cahaya Bulan untuk menenangkan fikiran dan mengambil udara segar setelah kepenatan.

Baca: 25 Hotel Murah Di Kota Bharu Khas Buat Bajet Traveller

Bukan itu sahaja, anda juga boleh merancang untuk melakukan pelbagai lagi aktiviti lain di sini seperti menikmati makanan laut segar sambil merasai bayu yang sentiasa bertiupan atau bermain layang-layang.

Apa lagi yang ditunggu-tunggu? Tapi sebelum tu, jangan lupa untuk menempah penginapan terlebih dahulu dengan melayari booking.com.

Selamat bercuti ke Pantai Cahaya Bulan!

4.3/5 - (17 votes)