10 Pantai Di Melaka Yang Menarik Untuk Pencinta Pasir Putih & Bayu Laut

Kalau anda belum pernah menjejakkan kaki ke Melaka, apa kata kalau anda ke sini untuk percutian yang akan datang? Kedudukannya dari KL hanyalah 2 jam pemanduan. Negeri ini bukanlah sebuah negeri yang biasa-biasa, sungguh banyak tarikan yang ditawarkannya untuk memuaskan jiwa kembara anda sekeluarga dan untuk memberikan pengalaman percutian yang terhebat dalam hidup.

Bandaraya yang terkenal dengan peninggalan sejarahnya ini turut tidak ketinggalan dari segi pembangunan, pendek kata, tak kira muda atau tua, semua golongan dapat mencari tarikan yang sesuai dengan jiwa masing-masing.

Dalam masa yang sama, negeri ini turut kaya dengan tarikan yang ‘universal’ yang mampu menggoda sesiapa sahaja iaitu alam semula jadinya yang mendamaikan jiwa. Di manakah lokasi keindahan yang memukau ini? Teruskan membaca senarai 10 pantai di melaka yang menarik ini.

10. Pantai Klebang

Pantai Klebang Melaka - Main Image
Sumber: @vandyyap

Lokasi Pantai Klebang ni adalah dalam sekitar 5 ke 6 km dari Bandar Hilir Melaka, dalam beberapa minit memandu dari bandar, anda dah boleh sampai ke pantai ni.

Sebelum menjejakkan kaki di atas pasir pantai ini, anda boleh singgah untuk beli coconut shake yang banyak dijual di sepanjang pantai, tapi dalam banyak-banyak coconut shake ni yang paling ‘viral’ adalah Coconut Shake Original Klebang yang hanyalah 2 km dari kawasan pantai.

Pantai Klebang ni, untuk pengetahuan anda, pernah terkenal dengan kewujudan sebuah penginapan unik yang dipanggil ‘bustel’ yang kini telah pun ditutup dan yang tinggal hanyalah bas-bas kosong sebagai bukti ianya pernah memeriahkan kawasan ini suatu ketika dahulu. Marilah kita berharap agar penginapan menarik ini akan kembali ditawarkan di masa hadapan.

Bercerita tentang aktiviti yang boleh dibuat di sini pula, kawasan pasir pantainya agak luas untuk anda berseronok bersama keluarga sambil bermain layang-layang. Anak-anak juga boleh bermain di taman permainan yang disediakan. Tapi kalau anda nak buat lagi banyak aktiviti, anda boleh datang ke sini pada musim cuti atau hujung minggu, sebab aktiviti seperti ATV, kereta kuda, dan banyak lagi akan ditawarkan.

Alamat: Jalan Klebang Besar, Melaka 75200


Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Melaka

9. Pantai Puteri Melaka

Pantai Puteri - Melaka Image
Sumber: @fazriani

Pantai Puteri ataupun nama klasiknya Pantai Kundor adalah salah sebuah pantai terkenal yang terdapat di Melaka. Pantai yang terletak di antara Tanjung Keling dan Tangga Batu ini menawarkan pemandangan yang sungguh mendamaikan jiwa, anda dapat menikmati pemandangan matahari terbenam dan terbit dari pantai yang berkepanjangan 2.5 km ini sambil melihat pantulan cahayanya pada laut Selat Melaka.

Di samping menikmati pemandangan pantai, anda juga dapat melihat suasana harmoni para nelayan mencari rezeki. Jualan hasil lautnya pula boleh didapati di kawasan berdekatan, anda boleh membeli hasil seperti sotong, ikan dan ketam dalam harga yang sangat murah.

Selain itu, fasiliti yang disediakannya juga agak sempurna. Kemudahan yang disediakan untuk pelawat adalah seperti masjid, kedai-kedai makan, chalet, hotel dan tandas awam.

Alamat: Tanjung Kling, Central Melaka, Melaka


8. Pantai Pengkalan Balak

Pantai Pengkalan Balak - Main Image
Sumber: @geng_masjidtanah

Terletak di sebuah pekan lama di Melaka, Pantai Pengkalan Balak adalah lokasi perkelahan yang cukup terkenal di negeri ini. Kalau dah terkenal tu mestilah ada sebabnyakan? Salah satu puncanya adalah kerana kemeriahan kawasan di sekitar pantai ini dengan restoran dan juga kedai-kedai yang menjual banyak barangan lain seperti mainan dan pakaian.

Di samping itu, kawasan di sekitar pantai ini juga diperindahkan lagi dengan perkampungan nelayan yang unik pada pandangan mata warga kota. Kesemua kriteria istimewa ini menjadikan Pantai Pengkalan Balak agak penuh dengan pelancong pada musim cuti sekolah.

Mengenai tarikan yang terletak berdekatan dengan pantai ini pula, anda boleh melawat kawasan seperti  Pusat Konservasi dan Penetasan Penyu Karah di Pantai Kamunting dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

Alamat: Masjid Tanah, Melaka


7. Pantai Padang Kemunting

Pantai Padang Kemunting - Main Image
Sumber: @azulijoy

Pantai  Padang Kemunting ini juga tak kurang meriahnya dengan pantai yang lain. Kat sini anda boleh menemui banyak kedai-kedai makan yang sentiasa hidup dari pagi hinggalah waktu malam. Kalau terasa mengidam makanan laut, inilah salah satu lokasi yang boleh anda lawati untuk memuaskan keinginan tu.

Setelah puas menikmati masakan enak di mana-mana gerai yang terdapat di sini, anda boleh merehatkan badan dengan berkelah di tepi pantai, tapi, dinasihatkan untuk pergi ke kawasan yang sedikit jauh dari gerai-gerai ataupun di hujung pantai sekiranya anda ingin menikmati keindahan yang sebenar tanpa gangguan.

Alamat: Jalan Persisiran Pantai, Kampung Padang Kemunting 78300 Masjid Tanah, Masjid Tanah, Melaka 78300


6. Pulau Besar

Pulau Besar Melaka - Main Image
Sumber: nazatul-nashya.blogspot.com

Untuk menuju ke pulau ini ada dua cara, pertama, anda boleh menaiki feri dari Jeti Anjung Batu, ataupun yang kedua, anda boleh memilih untuk menaiki bot laju yang terdapat di Jeti Umbai. Sekiranya anda memilih bot laju, perjalanan anda untuk ke pulau ini adalah bergantung kepada pasang dan surut air laut.

Pulau Besar ini sebenarnya adalah sebuah pulau yang agak berbeza daripada pulau yang lain. Ia bukanlah sebuah pulau biasa yang padat dengan pelancong sepertimana yang terdapat di perairan Thailand atau Johor, sebab pulau ini menyimpan 1001 misteri yang tersendiri. Rasa excited nak tahu?

Mengikut cerita, Pulau Besar ini dahulunya merupakan tempat pendaratan sekumpulan ahli agama yang mana salah seorang daripadanya adalah Sheikh Ismail Abdul Qadir yang berketurunan Rasulullah s.a.w. daripada nasab keturunan Saidina Hassan. Dekat pulau inilah mulanya perkembangan ilmu agama Islam. Nak tahu lagi detail tentang pulau ini? Anda boleh google. Semakin banyak anda cari, makin menarik kisahnya.

Bagi anda yang ingin ke sini, antara tarikan yang boleh dilawati adalah Gua Yunus, Kubur Tok Putih & Tok Janggut, Muzium Pulau Besar dan banyak lagi. Cumanya, dinasihatkan sekiranya ingin ke sini, anda perlu menjaga tatatertib sebagai muslim dan datang dengan niat yang baik.

Alamat: Pulau Besar, Melaka


Baca: 25 Homestay Di Melaka Yang Sesuai Untuk Bajet Traveller

5. Pulau Upeh

Pulau Upeh - Main Image
Sumber: @hafiizhalias

Pulau Upeh adalah sebuah pulau yang terletak dekat dengan Pantai Klebang. Pulau yang berkeluasan 2.6 hektar ini memiliki kisah yang sangat penting berkait dengan sejarah negeri Melaka.

Mesti anda pernah dengar tentang Kota A Famosa kan? Kalau anda nak tahu, di sinilah asalnya batuan yang digunakan untuk membina Kota A Famosa diambil. Batu untuk membina A Famosa ini bukanlah batu yang biasa, tapi adalah batu jenis laterit yang dikatakan sangat kukuh, ini dibuktikan dengan kewujudan peninggalan kota ini walaupun telah berdekad-dekad berlalu. Sekiranya anda ke sini, anda dapat melihat banyak kesan-kesan batu yang telah dipahat.

Pulau Upeh atau nama yang diberikan oleh orang Portugis kepadanya Liha De Pedras ini dikatakan akan dibaik pulih oleh kerajaan dengan cadangan seperti menaiktaraf hampir 40 buah chalet yang terdapat di sini serta untuk menerapkan  pengaruh seni bina masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia seperti ukiran kayu, pagoda dan sebagainya.

Alamat: Pulau Upeh, Melaka


4. Pantai Teluk Gong

Pantai Teluk Gong - Melaka Image
Sumber: @adekyahaya

Pantai Teluk Gong ini adalah sebuah keindahan alam semula jadi yang terletak dekat dengan Pelabuhan Klang, Selangor.  Walaupun terletak tidak jauh daripada lokasi yang sibuk dengan aktiviti perdagangannya, kawasan di sekitar Pantai Teluk Gong ini tetap damai, penuh dengan perkampungan-perkampungan tradisional seperti  Teluk Gong sendiri, Kampung Baru Batu Lima, Teluk Panglima Garang dan perkampungan Sijangkang.

Seperti namanya, Pantai Teluk Gong, kawasan perkampungan yang terdekat adalah Teluk Gong yang juga merupakan sebuah perkampungan nelayan. Di sini, anda dapat merehatkan fikiran dengan memerhatikan kehidupan penuh harmoni penduduk yang sibuk dengan aktiviti menangkap ikan menggunakan jaring.

Bagi anda yang duduk tidak jauh dari Klang, jangan lupa untuk singgah ke pantai indah ini untuk melegakan fikiran.

Alamat: Pantai Teluk Gong, Melaka


3. Tanjung Kling

Pantai Tanjung Kling Melaka - Main Image
Sumber: @shun2u

Terletak hanyalah dalam 20 minit daripada pusat bandar Melaka, Tanjung Kling adalah sebuah destinasi di Melaka yang sangat terkenal dalam kalangan pelancong. Walau bagaimana pun, sekiranya anda ingin menikmati suasana sebenar keindahan di Tanjung Kling, satu-satunya penginapan yang menawarkan ‘spot’ yang terbaik untuk anda merasakan kenyamanan kawasan ini adalah di Everly Resort Hotel. Hotel ini memiliki sebahagian daripada pantai ini sebagai pantai peribadinya.

Selain pantai indah yang dapat dinikmati dengan penuh privasi daripada hotel ini, anda juga dapat merancang pelbagai aktiviti menarik seperti menaiki banana-boat, menyelam skuba, berkayak, island hopping dan sebagainya.

Alamat: Tanjung Kling, Melaka


2. Pantai Sungai Tuang

Pantai Sungai Tuang Melaka - Main Image
Sumber: @Sugunarani Mahadevan

Pantai Sungai Tuang adalah sebagaimana pantai yang lain, menawarkan keindahan pemandangan yang terbentang luas di hadapan mata. Namun yang menambahkan lagi seri pantai ini adalah kawasan pesisirnya  yang ditumbuhi dengan pokok-pokok yang berbunga.

Untuk pengetahuan anda, pihak berkuasa turut membina konkrit di sekitar pantai ini untuk mengurangkan hakisan daripada air laut.

Alamat: Pantai Sungai Tuang, Masjid Tanah, Melaka


1. Pantai Tanjung Bidara

Pantai Tanjung Bidara - Main Image
Sumber: @shud_shu07

Pantai Tanjung Bidara adalah sebuah pantai indah yang terletak hanyalah 2 km dari Kem Terendak dan 10 km dari bandar Masjid Tanah. Pantai yang landai berpasir putih ini merupakan destinasi yang sesuai untuk anda sekeluarga berseronok menikmati waktu cuti untuk berkelah sambil menikmati angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan pemandangan yang memukau jiwa.  Pantai ini juga sesuai untuk anda jadikan sebagai lokasi bermandi-manda bagi menyegarkan badan setelah puas meneroka kawasan sekitar.

Anda juga tak perlu terlalu risau untuk membawa anak berseronok dengan air pantai di sini kerana Menara Kawalan Pantai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terdapat di tepi pantai dan bersedia membantu sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Kemudahan lain yang terdapat di sini adalah padang permainan kanak-kanak, kedai makan, surau, tandas awam dan bilik mandi. Semuanya lengkap tersedia.

Alamat: Pantai Tanjung Bidara, Terendak, 78300 Masjid Tanah, Malaka


Baca: 12 Resort Di Melaka Yang Menarik Untuk Percutian Keluarga Istimewa

Inilah antaranya tarikan alam semula jadi yang ditawarkan di sekitar Melaka. Walaupun bilangannya agak kecil, keindahan destinasi-destinasi ini tidak kurang hebatnya dengan tarikan pantai dan pulau indah di negeri yang lain. Tambahan pula, sejarah penting yang menyentuh sebahagian daripada kawasan tarikan ini, membuatkan pantai dan pulau yang ada di Melaka ini memiliki daya tarikannya yang tersendiri.

Tak sabar untuk melawat Bandaraya Bersejarah ini? Sebelum itu, jangan lupa untuk survey penginapan yang terbaik terlebih dahulu supaya keseronokan anda bercuti tidak dicemari oleh masalah tempat tinggal sewaktu di Melaka. Untuk membantu anda membuat pilihan, anda boleh membaca artikel kami yang bertajuk Hotel Murah di Melaka untuk percutian yang tidak mengeringkan poket anda.

Tapi sekiranya anda inginkan percutian yang sempurna bersama keluarga dalam segala aspek, anda boleh memilih salah satu daripada penginapan yang  disenaraikan dalam artikel kami bertajuk Hotel Menarik di Melaka.

Bagi percutian yang padat dengan aktiviti menarik untuk dilakukan sewaktu di Melaka, anda boleh memilih untuk menginap di salah satu daripada resort yang ditawarkan di negeri ini. Anda dijemput untuk membaca artikel kami yang bertajuk Resort di Melaka yang Menarik untuk membantu anda membuat pilihan terbaik.

Anda juga boleh melayari booking.com untuk pilihan penginapan dalam harga berpatutan yang tiada penghujungnya.

Semoga percutian anda sekeluarga di Melaka dapat memberikan kepuasan kembara yang tak terhingga, di mana anda dapat merasakan aura era yang telah berlalu serta belaian keindahan alam semula jadinya yang cukup mendamaikan. Selamat bercuti ke negeri Hang Tuah!



Related Posts