Pantai Kelanang | Destinasi Pencinta Pantai Popular Di Banting

Menyajikan pemandangan indah laut Selat Melaka dan dikelilingi oleh pohon-pohon yang besar kayu bakau dan pokok ru, tidak hairan kenapa Pantai Kelanang menjadi pilihan ramai orang yang mencari ketenangan minda dan tempat berekreasi bersama keluarga setiap kali tiba hujung minggu.

Pantai yang terletak tidak jauh Pantai Morib ini juga jauh lebih berangin daripada pantai lain di sekitarnya terutama sekali apabila tiba waktu petang.

Gambar Pantai Kelanang Banting

Di kawasan pantai yang terletak di Kampung Kelanang ini anda boleh menikmati pemandangan matahari terbenam yang indah dan pemandangan lautan yang mempesonakan sementara anak-anak pula berseronok menaikkan layang-layang setinggi yang mungkin.

Selain bersantai menikmati pemandangan dan merasai kelembutan pasir pantai di tapak kaki, anda boleh juga melakukan banyak lagi aktiviti lain yang sering dilihat dilakukan para pengunjung di sini seperti berbbq, berkhemah di tapak yang disediakan, menangkap ketam, mengutip siput dan macam-macam lagi! Bawa anak kecil? Biarkan mereka berseronok di taman permainan kanak-kanak yang ada di sini.

Pantai Kelanang Beach Image

Dah puas beraktiviti? Anda boleh singgah ke food court yang terletak di tepi pantai ini untuk menikmati makanan enak sambil merasai bayu laut. Paling tidak pun, beli ais krim yang turut ada dijual.

Nak lebih privasi semasa menikmati keindahan yang disajikan Pantai Kelanang? Apa kata sekiranya anda datang selain daripada musim cuti atau hujung minggu? Bolehlah berangan-angan macam Pantai Kelanang ni pantai peribadi anda. Kalau bernasib baik, anda dapat melihat nelayan menangkap ikan lagi!

Paya Bakau Di Pantai Kelanang
Sumber: Lolit Whorlow

Bawa kereta sendiri semasa ke sini? Bab tempat meletak kereta tak perlu anda risau sebab berhadapan dengan pantai ni sudah disediakan tempat meletak kereta yang cukup luas. Kalau anda datang pada waktu malam, dapat dilihat cahaya LED yang penuh warna-warni pada pokok-pokok buatan di sekitarnya kawasan parking.

Antara Aktiviti Yang Boleh Dilakukan Di Pantai Kelanang

papan tanda pantai kelanang
Sumber: Rantau Kota

Terdapat banyak aktiviti yang boleh anda rancang untuk lakukan di sekitar Pantai Kelanang. Berikut adalah antara aktiviti yang terkenal di pantai ini:

  • Berkelah
  • Berkhemah
  • Melihat pemandangan matahari terbenam
  • Bermain layang-layang
  • Bergambar
  • Bermain di taman permainan kanak-kanak
  • Menangkap ketam
  • Mengutip siput
  • Menikmati makanan di kedai makan tepi pantai
  • BerBBQ

Fasiliti Yang Disediakan Di Pantai Kelanang

Tempat Letak Kereta Parking Pantai Kelanang
Sumber: Incik Amad

Terdapat banyak kemudahan yang disediakan untuk para pengunjung memandangkan ianya merupakan destinasi pilihan ramai setiap kali tiba musim cuti atau pada hujung minggu.

Fasiliti Di Pantai Kelanang
  • Tempat meletak kereta yang luas
  • Surau
  • Tandas
  • Kedai-kedai makan
  • Taman permainan kanak-kanak
  • Gerai jualan pelbagai barangan (layang-layang, t-shirt, dan pelbagai lagi cenderamata dan barangan keperluan lain)
  • Pondok rehat

Antara Review Pengunjung Yang Pernah Ke Sini

Banting – Lawatan separuh hari: Diselenggara dengan baik, bersih dan pantai yang panjang. Udara yang bertiupan di sini agak sejuk berbanding dengan yang lain. Mungkin kerana terdapat lebih banyak pokok yang tumbuh di sepanjang pantai. Berjalan atau berjogging di sekitar pantai ini sangat merelakskan. Bersebelahan dengan pantai terdapat food court yang menawarkan bermacam jenis makanan tempatan.” – leecK9330OU, Tripadvisor

Pemandangan yang indah untuk berenang dan kawasan berkelah yang tenang: Saya lebih suka datang ke Pantai Kelanang daripada Pantai Morib sebab ianya memberikan semua yang saya perlu dan inginkan.

Berangin dan teduh dengan kehadiran pokok yang banyak. Lebih banyak tempat meletak kereta dan restoran untuk dipilih…

Terdapat taman permainan kanak-kanak, meja berkelah dan kerusi. Ada tandas dan tapak perkhemahan. Anda boleh melihat bot penyelamat berdekatan dengan menara JPAM yang mengawal perairan. Benteng laut kelihatan agak jelas daripada kawasan pantai. Anda juga dapat melihat pemandangan yang jarang-jarang dapat dilihat iaitu nelayan dengan jaring mereka.” – aNNaSKL, Tripadvisor

Panduan Untuk Ke Pantai Kelanang

Pantai Kelanang terletak berdekatan dengan Pantai Morib di dalam daerah Kuala Langat. Sekiranya anda datang dari pekan Banting, boleh melalui jalan sepanjang Banting – Morib sehingga bertemu dengan jalan bersimpang. Di sini terdapat sebuah signboard yang akan mengarahkan anda untuk meneruskan perjalanan tanpa perlu membelok ke kiri melainkan anda ingin ke Morib.

Sekiranya anda datang dari pekan Kelanang, jarak untuk ke sini hanyalah sejauh 1.3 km. Dari Jugra pula boleh melalui jalan dari Jeti Kelanang yang seterusnya melalui jalan berturap sepanjang 3 km.

Alamat: Kampung Kelanang, Banting 42700, Selangor

Koordinat: 2°47’20.4″N 101°24’41.5″E

Tarikan Menarik Lain Yang Terletak Di Sekitar Kelanang & Lain-Lain Tarikan Di Sekitar Banting

Pantai Morib

Pantai Morib Berdekatan Pantai Kelanang

Terletak tidak jauh dari Pantai Kelanang adalah sebuah lagi kawasan pantai yang jauh lebih meriah dengan orang ramai iaitu Pantai Morib.

Pantai ini lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti tandas awam, surau, medan selera dengan banyak jenis gerai berbeza yang menarik untuk dicuba, taman permainan kanak-kanak, pondok-pondok rehat dan laluan pejalan kaki.

Apa salahnya melawat kedua-dua buah pantai alang-alang dah sampai ke Banting kan? Lagipun masing-masing ada food court mereka sendiri, apa kata try juga banyak kedai makan semasa bercuti kat sini?

Alamat: Pantai Morib, Morib, 42700 Banting

Jarak Dari Pantai Kelanang: 10 Minit / 6.3 KM

Bukit Jugra

Hanyalah 14 minit perjalanan dari Pantai Kelanang, Bukit Jugra adalah sebuah puncak dengan ketinggian 400 kaki. Dari sini anda dapat menyaksikan panorama sekitar yang sungguh mengujakan dan ini termasuklah pemandangan pertemuan Sungai Langat dan Laut Selat Melaka. Jangan lupa untuk bawa kamera anda semasa ke sini!

Selain menikmati pemandangan, aktiviti lain yang terkenal di Bukit Jugra ini adalah sukan paragliding. Bukanlah aktiviti yang berani dilakukan semua orang, tapi untuk sesiapa yang berani tu, nikmatnya bila dapat terbang macam burung dengan tiupan angin yang menyegarkan, sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Lagi syok kalau anda bawa GoPro masa tengah terbang tu.

Tak cukup berani untuk berpragliding? Anda boleh juga berjungle trekking di hutan simpan Bukit Jugra untuk menikmati keindahan flora dan fauna yang ditawarkannnya.

Alamat: Bukit Jugra, 42700 Banting

Jarak Dari Pantai Kelanang: 14 Minit / 7.6 KM

Istana Bandar

Istana Bandar Pantai Kelanang
Sumber: 建龙陈

Minat dengan sesuatu yang klasik? Anda boleh melengkapkan percutian anda di Banting dengan melawati Istana Bandar yang terletak di Kampung Sungai Ingat.

Istana yang siap dibina pada tahun 1905 ini memiliki gabungan seni bina Islam dari Timur Tengah dan India. Bukan itu sahaja, ia juga memiliki elemen Cina kerana ketika pembuatannya, tukang mahir Cina turut digunakan untuk menghasilkan ragam hias dan ukiran pada istana ini.

Di sekitar kawasan istana yang berkeluasan 12.96 ekar ini turut terdapat lanskap taman hijau yang indah beserta dengan kolam-kolam di hadapan bangunan istana.

Alamat: Istana Bandar, Kampung Sungai Ingat, 42700 Banting

Jarak Dari Pantai Kelanang: 16 Minit / 10.5 KM

  • Kampung Kanchong Darat
  • Pasar Kampuchea
  • Rumah Api Bukit Jugra
  • Masjid Sultan Alaeddin
  • Dataran Banting
  • Makam Sultan Abdul Samad

Baca: 16 Destinasi Menarik Di Banting

Antara Tempat Makan Menarik Di Sekitar Banting

Setelah berjam-jam berjalan dari satu lokasi ke satu lokasi menarik di sekitar Banting ni, perut mesti akan mula menggerodak kelaparan. Untuk menghilangkan rasa lapar, anda boleh memilih mana-mana daripada kedai makan yang kami senaraikan ini kalau tak nak kecewa dengan hidangan yang disediakan.

Ini adalah antara restoran ‘legend’ yang ada di sekitar Banting dan terletak tidak jauh dari Pantai Kelanang.

Restoran Tawaqal

Restoran Tawaqal Banting
Sumber: Zul Aklaken

Tahukah anda bahawa Banting ni terkenal dengan hidangan cendol dan mee rojaknya? Tapi dalam banyak-banyak kedai, Restoran Tawaqal adalah kedai makan terbaik yang wajib anda cuba kedua-dua hidangan ni.

Bukan sahaja menghidangkan mee rojak dan cendol yang sangat kaw rasanya, roti canai bercicahkan kari dagingnya juga membuatkan ramai orang datang berulang kali.

Sambil menikmati makanan, anda juga dapat tenggelam dalam suasana penuh nostalgia kedai ini memandangkan ianya telah wujud sejak sebelum merdeka lagi iaitu pada tahun 1941. Memang rugi kalau tak datang!

Alamat: 287-315, Jalan Sultan Abdul Samad, Taman Seri, 42700 Banting

Jarak Dari Pantai Kelanang: 21 Minit / 13.5 KM

Juvita Seafood

Sempurnakan kunjungan anda ke kawasan pantai dengan menikmati masakan laut yang paling best di Banting. Lokasinya adalah di Juvita Seafood yang terletak di Kanchong Darat. Hanyalah 15 minit dari Pantai Kelanang.

Juvita Seafood Banting

Antara menu wajib cuba di sini adalah kerang bakarnya yang pergh! Sangat fresh! Hidangan lain adalah seperti sambal petai udang, ikan bakar (fresh dan lembut isinya),  sotong goreng tepung, udang butter dan banyak lagi!

Untuk pengetahuan anda, restoran ini turut lengkap dengan kemudahan surau.

Alamat: Kanchong Darat, Banting

Jarak Dari Pantai Kelanang: 15 Minit / 11 KM

Chop N Grill Kanchong

Nak rasa kekenyangan yang luar biasa? Kedai makan yang kami sarankan untuk anda lawati adalah Chop N Grill Kanchong. Berlokasi hanyalah 18 minit dari Pantai Kelanang, restoran ini menghidangkan bermacam jenis makanan western, serius! Sangat banyak hidangan yang boleh anda pilih di restoran ni.

Bukan sahaja banyak pilihan, harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan kalau nak dibezakan dengan banyak kedai makan western yang lain. Jadi, makanlah sampai tak larat nak bangun sebab dekat mana lagi nak jumpa kedai makan western semurah ni.

Chop N Grill Kanchong Banting Gambar Makanan

Antara hidangan yang mesti dicuba di sini adalah ayam grillnya, chicken chop dan lamb chop yang lengkap dengan sos blackpepper yang enak bukan main. Di samping tu ada juga hidangan nasi lemak, nasi Morocco, ais krim goreng dan banyak lagi.

Alamat:  Lot 2174, Jalan Besar Kampung Kanchong Darat, 42700 Banting, Selangor.

Jarak Dari Pantai Kelanang: 16 Minit / 11.3 KM

  • Chilli Dawg Banting
  • Nasi Lemak Warisan Pak Musa
  • Best Corner
  • Makan Dalam Café
  • MA Nasi Kukus Ayam Berempah
  • Wak Dol Soto

Bagaimana? Setuju tak Banting ni destinasi yang agak menarik untuk dilawati masa cuti nanti? Bandar yang penuh nostalgia ini tidak akan mengecewakan anda.

lihat tawaran terkini hotel terbaik di Banting

Dari tarikan peninggalan zaman berzaman hinggalah kepada kedai-kedai makan dengan keenakan yang semacam, apa lagi yang ditunggu? Perjalanan ini juga akan menjadi jauh lebih menarik apabila disempurnakan lagi dengan kunjungan ke kawasan pantai yang mengasyikkan jiwa, Pantai Kelanang.

Jangan buang masa lagi, mai ke sini cepat! Selamat bercuti ke Pantai Kelanang, pantai yang tenang.

4.1/5 - (20 votes)