Siapalah yang tak kenal Mersing Johor, terutama sekali pencinta alam semula jadi kerana di sinilah 1001 tarikan pulau-pulau dan pantai-pantai yang indah tak terkata dapat dilihat dan dinikmati sehinggakan ianya menjadi tempat kunjungan pilihan bukan sahaja orang Malaysia tapi juga daripada luar negara.
Salah satu tarikan indah yang terdapat di Mersing ini adalah Pantai Air Papan yang terletak di Kampung Air Papan.
Ada yang tertanya-tanya kenapa kawasan pantai ini dinamakan Kampung Air Papan? Berdasarkan kisah yang disampaikan daripada penduduk kampung, Kampung Air Papan mendapat namanya kerana pada suatu ketika dulu ramai penduduk akan datang ke sebuah pancuran air yang terdapat di tepi bukit berdekatan dengan kilang papan.
Untuk mengambil air ini, mereka menggunakan papan untuk dijadikan alas pada pancuran tersebut, begitulah kisahnya.
Berbalik kepada tarikan yang terdapat di kampung ini iaitu Pantai Air Papan, sebaik anda sekeluarga sampai ke kawasan pantai, terus dapat dirasakan sapaan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Anda boleh menjadikan pokok-pokok redup yang tumbuh di sekitar pantai sebagai tempat untuk bersandar dan menikmati angin lalu serta pemandangan luas Laut China Selatan dengan penuh kedamaian.
Sambil mendengar irama semula jadi ombak yang tidak berhenti alunannya, anda sekeluarga boleh menghilangkan rasa lapar dengan menikmati makanan yang dihidangkan di kedai-kedai yang terletak berdekatan. Makan sambil menikmati pemandangan pantai? 2 deria dapat dipuaskan sekaligus, apa lagi yang anda inginkan daripada sebuah percutian?
Perut dah kenyang, tenaga pun dah banyak, apa kata kalau anda mencuba aktiviti ATV yang ditawarkan di kawasan pantai ni, barulah percutian terasa meriah!
Teringin nak bermandi-manda? Sebelum terjun ke dalam air pastikan anda melihat terlebih dahulu sekiranya air laut selamat untuk diterjah, caranya adalah dengan melihat sama ada terdapat bendera merah yang dipacakkan di tepi oleh anggota penyelamat (JPA).
Kalau mandi laut adalah aktiviti wajib anda bila singgah ke pantai, laut di Pantai Air Papan akan mula tenang bermula daripada awal April.
Sebelum pulang, jangan lupa singgah ke kedai cenderamata yang ada di sini untuk membeli sesuatu untuk diberikan kepada yang tersayang atau sebagai tanda anda pernah datang ke pantai indah ni walau sekali dalam seumur hidup.
Antara Aktiviti Yang Boleh Dilakukan Di Pantai Mersing
Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dilakukan sekiranya anda singgah ke Pantai Air Papan. Sepertimana kawasan pantai yang lain, Pantai Air Papan juga tidak sunyi daripada gerai-gerai jualan barangan dan makanan.
Di samping makan-makan dan bershopping, ada banyak lagi aktiviti lain yang sesuai dilakukan.
- Berbbq
- Menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam
- Bermain ATV atau sukan pantai yang lain
- Bermandi-manda sekiranya air tenang
- Menikmati makanan di kedai tepi pantai
- Membeli cenderamata
- Berkelah
- Berkhemah
Fasiliti Yang Disediakan Di Pantai Air Papan
Seperti kawasan pantai lain yang menjadi tempat kunjungan orang ramai, Pantai Air Papan turut lengkap dengan fasiliti penting dan berdekatan dengan kemudahan yang lain.
- Tandas
- Bilik mandi
- Kedai makan
- Kedai cenderamata
- Chalet
- Masjid
- Kemudahan sukan air
Antara Review Pengunjung Yang Pernah Ke Sini
“Kami telah melawat kawasan pantai ini pada hari kerja, jadi kami menguasai hampir seluruh pantai! Kami dapat menikmati tiupan angin tanpa henti semasa berjalan-jalan untuk melihat keadaan kawasan sekitar pada waktu tengahari. Di hujung pantai terdapat pembentukan batu di sebalik kehijauan.
Agak mengejutkan sebab tak ada banyak kerang yang boleh dijumpai di pantai ni. Kemudahan awam seperti tandas dan bilik mandi disediakan dengan caj yang murah.” – Andrew Ang
“Saya sangat sukakan kawasan ini, pantai yang bersih.” – Mashairani Ismail
“Tempat yang terbaik untuk bersantai di Mersing.” – Kelvin Chin
“Pantai yang luas, landai dan bersih. Terdapat kawasan berpokok yang redup dan sesuai untuk seisi keluarga beristirehat. Tandas awam tersedia di beberapa tempat. Kedai makan dan kedai cenderamata ada berdekatan dengan pantai. Jalan raya untuk menuju ke pantai dalam keadaan baik. Ramai pengunjung datang bermandi – manda. Kawasan pantai yang berpasir bersih. Orang ramai boleh menyewa ATV (kenderaan motor jenis tahan lasak beroda tiga) dan memandu di sekitar pantai. Pengalaman yamg sangat menyeronokkan.” – Fairuz Geniuz
“Lokasi yang baik untuk berkhemah.” – Tan Terrence
Panduan Untuk Ke Pantai Air Papan Mersing
Sekiranya anda datang daripada Kuala Lumpur, masa yang diambil untuk menuju ke Pantai Air Papan adalah dalam sekitar 4 ke 5 jam melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Dari sini anda terus ke Jalan Baru Pahat di Ayer Hitam. Kemudian anda perlu melalui Jalan Nitar Utama dan Jalan Felda Nitar Timur ke Jalan Air Papan.
Alamat: Pantai Air Papan, 86800, Johor
Koordinat: 2.5173° N, 103.8343° E
Tarikan Menarik Lain Yang Terletak Di Sekitar Pantai Mersing
Selain Pantai Air Papan, terdapat banyak lagi lokasi lain yang boleh dilawati untuk menjadikan perjalanan anda ke sini lebih berbaloi. Disenaraikan di bawah adalah beberapa tarikan menarik lain yang rugi kalau tak pergi alang-alang dah sampai ke Mersing.
Muzium Mersing
Terletak di dalam bangunan yang sudah mencecah sekitar 100 tahun kerana dibina dalam tahun 1920-an, Muzium Mersing bukan sekadar seperti muzium lain yang mempamerkan peninggalan antik kerana bangunan ini sendirinya memiliki nilai klasiknya yang tersendiri.
Bangunan ini telah dibina pada beberapa dekad yang lalu untuk menempatkan pejabat pentadbiran daerah Mersing yang telah dipindahkan pada ketika itu daripada Endau. Untuk pengetahuan anda, bangunan yang sama pernah dijadikan markas operasi Tentera Jepun sehingga tahun 1945.
Di dalam muzium yang kelihatan kecil ini, padat dengan koleksi menarik untuk dilihat. Antara bahan pamerannya adalah senjata tradisional, artifak bersejarah Perang Dunia Ke-2, peralatan pertanian klasik, permainan tradisional dan banyak lagi.
Alamat: 243, Jalan Ibrahim, Mersing Kechil, 86800 Mersing, Johor
Masjid Jamek Mersing
Dibuka setahun sebelum kemerdekaan, Masjid Jamek Mersing adalah sebuah masjid yang unik di Malaysia. Kenapa? Kerana ianya tidak seperti kebanyakan masjid lain yang memiliki reka bentuk dengan pengaruh Melayu dan Arab, Masjid Jamek Mersing memiliki reka bentuk yang diinspirasikan daripada seni bina di Afrika Selatan.
Reka bentuknya cukup unik dan indah dipandang. Tak cukup dengan itu, kedudukannya yang terletak di atas bukit, turut menghidangkan pemandangan laut yang terbentang luas.
Alamat: Jalan Masjid, Mersing Kechil, 86800 Mersing, Johor
Pasar Basah Mersing
Sebagai pekan di tepi laut, tak sah kiranya tak singgah ke pasarnya untuk membeli hasil laut segar yang ada. Untuk tujuan ini, anda sekeluarga patut singgah ke Pasar Basah Mersing yang terletak di Kampung Bahagia.
Di sini, anda dapat melihat pelbagai pilihan hasil laut seperti aneka ikan, udang, sotong, kerang, ketam dan sebagainya. Bukan sekadar hasil laut, sayur-sayuran segar juga boleh dibeli di sini. Dah beli bahan yang cukup, bolehlah berbbq tepi pantai!
Alamat: Kampung Bahagia, 86800 Mersing, Johor
- Dataran Mersing
- Dataran Kembara
- Pulau Hujung
- Pulau Rawa
- Pulau Sibu Besar
- Pulau Pemanggil
- Pulau Besar
- Pulau Tinggi
- Pantai Tanjung Leman
- Pantai Penyabung
Baca: 21 Destinasi Menarik Di Mersing Untuk Percutian Istimewa
Antara Tempat Makan Menarik Di Sekitar Pantai Mersing
Tidaklah lengkap percutian anda kalau tak singgah ke kedai makan menarik yang ada di kawasan sekitarnya. Tiada apa yang lebih menggembirakan daripada perut yang kenyang, apatah lagi bila makanan yang dinikmati sungguh enak secukup rasa.
Tapi di mana nak nikmati makanan sesempurna ini di Mersing? Mai Singgah dah senaraikan beberapa spot makan best di Mersing seperti di bawah.
Medan Ikan Bakar & Seafood Endau
Harga yang berpatutan, kebersihan yang tip-top dan makanan yang sedap sehingga menjilat jari, itulah Medan Ikan Bakar & Seafood Endau. Antara masakan yang boleh dicuba di sini adalah tomyam, kailan ikan masin, ketam masak pecah telur pedas dan banyak lagi! Kuantiti yang tak mengecewakan dan cukup fresh!
Suka makan pedas? Anda boleh minta mana-mana masakan untuk dimasak dengan pedas dan anda pasti tak akan kecewa!
Alamat: Jalan Perisai 3, Kuala Endau, Johor
Kedai Makan Hentian Bendang
Ingin menikmati suasana kampung yang sebenar? Singgahlah ke Kedai Makan Hentian Bendang.
Sambil menikmati masakan yang enak tak terkira, pandangan mata pula dipuaskan dengan pemandangan sawah padi yang penuh kehijauan. Sungguh mendamaikan jiwa, mana nak jumpa di KL kan?
Masakan di kedai ini bukan sahaja enak, tapi saiz hidangannya juga buat anda tertanya-tanya, betul ke harganya semurah ini? Antara makanan yang boleh dicuba di sini adalah mee bandung, pari bakar, mee lakna, asam pedas kepala ikan, nasi goreng seafood dan sebagainya! Terliur dah?
Alamat: Jalan Air Papan, Kampung Air Papan, 86800 Mersing, Johor
Satay Teluk Iskandar
Tiba-tiba mengidam sate lepas menghirup udara segar tepi Pantai Air Papan? Tak perlu susah-susah mencari kedai lain yang tak pasti sedap atau tak, sebab anda boleh terus singgah ke kedai yang terhebat hidangan satenya di Mersing ni, tak lain tak bukan adalah Satay Teluk Iskandar.
Bukan setakat sate, daripada kedai makan yang sama, anda boleh mencuba mee bantung, nasi goreng kampung, sup ayam, sup tulang dan banyak lagi yang tak kurang enaknya. Jangan tertipu dengan nama kedainya ‘Satay’ sebab masakan lain pun sebenarnya cukup mengiurkan.
Untuk menghilangkan dahaga pula, wajib untuk anda mencuba coconut shakenya yang luar biasa sedap.
Alamat: Kampung Paya Tinggal, 86800 Mersing, Johor
- Mama Bedah Seafood
- Nasi Dagang Kat Gerai Mak Yah
- Nasi Goreng Tido @ Air Papan!
- Warung Tok Nan
- Western Station
- D Semak Mersing
- Warung Nasi Dagang Warisan
Pantai yang indah dengan angin yang menyegarkan segenap tubuh badan, Pantai Air Papan adalah sebuah tarikan alam semula jadi yang boleh dijadikan destinasi pilihan untuk anda yang sudah terlalu lama tenggelam dalam beban kerjaya dan pelajaran.
Di sinilah anda dapat merasai ketenangan yang sebenar di samping berseronok melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga.
Baca: 11 Pulau menarik Di Johor Yang Sesuai Untuk Island Hopping
Anda juga boleh memilih untuk menginap di tempat-tempat penginapan berhampiran andai kata sehari tidak cukup untuk betul-betul menikmati segalanya. Jika pilihan penginapan yang diberikan masih tak cukup, anda boleh melayari booking.com untuk melihat lebih banyak lagi senarai penginapan lain dalam harga terbaru.
Jangan buang masa lagi! Rancang aktiviti, booking penginapan dan jom bergerak ke Pantai Air Papan! Selamat bercuti!