Stress di tempat kerja? Dah terlampau penat buat assignment? Tak perlu cari tempat jauh-jauh untuk menenangkan jiwa yang gelora, kerana sebenarnya berdekatan dengan kawasan bandar juga ada kawasan pantai untuk anda mendapatkan ketenangan yang dibayang-bayangkan.
Pantai Morib, pantai yang meriah ini terletak tidak lebih daripada 1 jam pemanduan dari Klang dan sekitar 1 setengah jam dari Kuala Lumpur. Siapa kata kena ke pantai timur untuk menikmati semua ini?
Bukan sahaja dapat menikmati pemandangan laut yang seluas pandangan mata, anda juga boleh menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan di sekitar pantai yang telah dijadikan taman rekreasi seperti gazebo untuk anda berteduh ketika matahari terik, taman permainan kanak-kanak, tempat bermain gasing, pentas serbaguna, padang bola sepak pantai dan kedai-kedai makan yang pelbagai pilihan.
Selain dapat menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan, Pantai Morib juga terkenal dengan aktiviti bermain bola sepak pantai, layang-layang, bola tampar dan mengutip cengkerang.
Untuk mengutip cengkerang atau ketam kecil yang ada di Pantai Morib, anda boleh menunggu waktu untuk air di pantai ini surut ketika mana anda boleh berjalan sehingga 400 ke 500 meter ke tengah pantai. Siapa tak seronok dapat buat aktiviti sebegini kan? Apatah lagi kanak-kanak.
Setelah puas beraktiviti, anda boleh melegakan tekak dan mengisi perut yang kosong dengan menikmati air kelapa, kopi, nasi lemak, laksa, ikan bakar, sotong dan bermacam lagi makanan yang dihidangkan di kedai-kedai yang terdapat di tepi pantai.
Di samping itu, kalau anda nak tahu, tepian pantai yang berkepanjangan 3 km ini juga sebenarnya merupakan sebuah tapak yang menyimpan sejarah penting Malaysia.
Sekiranya anda ke sini, dapat dilihat sebuah tugu kecil yang terletak di tengah sebuah bulatan kecil, tugu ini menjadi simbol kedatangan tentera Inggeris ketika perang dunia ke-2 pada tahun 1945 untuk mengambil kembali Tanah Melayu daripada orang Jepun.
Ya, bukan sekadar pantai, tapi juga tempat bersejarah yang menarik untuk diteroka. Apa yang tak ada di Pantai Morib ni? Meriah betul kan? Bermacam aktiviti boleh dirancang sekiranya ke sini, nak mengeluarkan peluh? Menikmati pemandangan? Makan-makan? Atau ingin melawat tapak bersejarah, segalanya ada di sini.
Antara Aktiviti Yang Boleh Dilakukan
- Bermain layang-layang
- Bermain bola sepak pantai
- Bermain bola tampar
- Berjoging
- Berkelah
- Berehat di gazebo
- Mandi laut
- Menikmati pelbagai hidangan enak
- Memancing
- BBQ
- Beli-belah kerepek dan sebagainya
Fasiliti Yang Disediakan Di Pantai Morib
- Food court
- Tandas dan bilik mandi
- Taman permainan kanak-kanak
- Padang bola sepak pantai
- Padang tempat bermain layang-layang
- Surau
- Pusat informasi
- Pentas serbaguna
- Tempat bermain gasing
- Gazebo
Antara Review Pengunjung Yang Pernah Ke Sini
“Tempat untuk bersantai: Destinasi yang sesuai untuk anda relaks, tak begitu banyak aktiviti awam. Hotel bajet mudah untuk ditemui. Cukup bersih sesuai untuk dijadikan lokasi aktiviti pantai seperti BBQ dan telematch. Udara segar yang membisik telinga dapat melahirkan rasa tenang dan relaks. Restoran tempatan menawarkan makanan tradisional Melayu dalam harga yang berpatutan. Sambal belacan dan nasi goreng kampung dengan sotong goreng memang sedap.” – Joe B
“Pantai yang indah dan bersih: Saya sangat terkejut bila terjumpa banyak ikan, ketam dan motorsikal melalui kawasan pantai semasa berada di sini ketika air surut. Pantai ini juga lengkap dengan banyak fasiliti termasuklah tanda awam yang bersih menjadikan ianya sesuai untuk dilawati bersama keluarga. Saya tak kisah walau dikenakan bayaran selagi ianya dalam keadaan yang bersih dan dijaga dengan baik. – Charlie T
“Dapat menikmati rehat yang sebenar daripada kehidupan sibuk di kota: Kawasan pantai dengan kemudahan rekreasi yang menarik untuk dilawati bersama keluarga. Pada hujung minggu, agak ramai pengunjung yang datang untuk berkelah di kawasan berumput di tepi pantai. Ada juga buskers datang untuk membuat persembahan nyanyian dan bermain gitar. Kalau anda lapar, terdapat food court yang dipenuhi dengan banyak gerai makan. Tandas awam juga tersedia dengan bayaran sebanyak RM0.30 sekali masuk. Pemanduan singkat atau beberapa tapak daripada sini dapat membawa anda ke kawasan pantai berpasir putih. Ramai kanak-kanak bermanda-manda di sini. Pemandangan matahari terbenam juga sungguh mengasyikkan.” – KT_Boy
“Pantai tempatan yang menarik: Banyak pembaharuan telah berlaku di mana banyak kedai, tandas dan surau tersedia. Yang paling menarik sekali adalah taman permainannya di mana kanak-kanak boleh bermain.” – Azmiroadhouse
Panduan Untuk Ke Pantai Morib
Untuk ke Pantai Morib, masa yang diambil adalah dalam sekitar 20 minit pemanduan sekiranya anda bertolak dari Banting. Dari Shah Alam atau Klang pula adalah dalam sekitar 1 jam pemanduan. Anda boleh menggunakan Federal Highway atau North Klang Valley Expressway untuk menuju ke Klang. Dari Klang, anda boleh meneruskan perjalanan ke Banting sebelum sampai ke Morib.
Alamat: Pantai Morib, Banting, Kuala Langat, Selangor
Koordinat: 2.7495° N, 101.4426° E
Tarikan Menarik Lain Yang Terletak Berdekatan
Selain Pantai Morib, terdapat banyak lagi tarikan lain yang terletak tidak jauh dari sini. Banyak tarikan yang ada bukan sahaja menawarkan keindahan panorama tapi juga menyimpan sejarah tersendiri.
Sudah puas menikmati pesona alam di sekitar Morib, anda boleh juga melakukan pelbagai aktiviti menarik lain seperti paragliding dan berseronok di taman tema air. Nak tahu di manakah tarikan-tarikan ini? Berikut adalah senarainya.
Bukit Jugra
Berketinggian 400 kaki, pemandangan yang dapat disaksikan daripada puncak Bukit Jugra adalah sesuatu yang tidak patut dilepaskan. Dari sini, anda dapat melihat pemandangan Sungai Langat dan Laut Selat Melaka bertembung.
Selain menikmati pemandangan indah yang seluas pandangan mata, anda juga boleh melakukan aktiviti lasak yang terkenal di bukit ini iaitu paragliding. Gerun untuk berparagliding? Aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah meredah hutan simpan Bukit Jugra.
Alamat: Bukit Jugra, Jugra Lama, 42700 Banting
Rumah Api
Kalau anda nak tahu, di atas Bukit Jugra ini sebenarnya terdapat 2 buah rumah api. Kalau puncak Bukit Jugra masih tak cukup tinggi untuk memuaskan pandangan mata anda, anda boleh naik ke atas rumah api ini untuk melihat pemandangan dari kedudukan yang lebih tinggi.
Alamat: Bukit Jugra, Jugra Lama, 42700 Banting
Gold Coast Morib Water Theme Park
Tak ada tempat yang lebih meriah daripada Gold Coast Morib Water Theme Park kalau di Morib ni. Suasana riuh di taman tema air ini adalah disebabkan oleh betapa banyaknya tarikan yang ditawarkan, gelongsornya yang bukan main banyak menjadikan taman tema ini 100 kali ganda menyeronokkan.
Tarikan lain yang ditawarkan di sini adalah menaiki perahu kayuh, flying fox dan high rope. Apa yang anda nak cuba dulu?
Alamat: PT. 294, Kawasan Kanchong Laut, Mukim Morib, 42700 Banting
- Istana Bandar
- Kampung Budaya Mah Meri
- Pulau Carey
- Pantai Kelanang
Antara Tempat Makan Menarik Di Sekitar Banting & Pantai Morib
Jangan lepaskan peluang untuk mencuba banyak kedai-kedai makan menarik yang terdapat di sekitar Banting dan Pantai Morib ini, rugi kalau tak cuba alang-alang dah sampai di kawasan berdekatan!
Restoran Tawaqal
Jangan tak tahu, Banting sebenarnya terkenal dengan cendol dan mee rojaknya. Tapi kedai apa yang terbaik untuk anda cuba menu ni? Jawapannya adalah Restoran Tawaqal yang terletak di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting.
Selain cendol dan mee rojak, anda patut mencuba roti canai dan kari dagingnya yang kesedapannya pasti akan membuat anda menjilat jari!
Alamat: 287-315, Jalan Sultan Abdul Samad, Taman Seri, 42700 Banting
Char Kuey Teow Dol
Teringin nak makan char kuey teow? Tempat paling hebat untuk menikmatinya adalah di Char Kuey Teow Dol. Char kuey teownya memang kaw! Selain char kuey teow, hidangan lain yang boleh dicuba adalah menu shell outnya dan tom yam.
Alamat:
Cawangan 1: Lot 521, Batu 22 ½, Jalan Durian Kanchong Darat, Banting
Cawangan 2: 5, Morib, 42700 Banting
Nasi Lemak Warisan Pak Musa
Apa yang istimewanya dengan kedai Nasi Lemak Warisan Pak Musa adalah nasi lemak sotongnya. Bukan setakat sedap semacam, harganya juga sangat murah! Kedai makan yang tepat untuk dicuba bersama keluarga.
Tapi satu je masalahnya, kalau anda nak makan di kedai ni, kenalah datang secepat yang mungkin sebab kedainya cepat penuh!
Alamat: Nasi Lemak Sotong Warisan Pak Musa, Jalan Suasa 1, 42700 Banting
- Wak Dol Soto
- Yaniez Steamboat & Grill
- Pak Me Corner Nasi Lemak Kepak
Siapa sangka tidak jauh dari Kuala Lumpur ada kawasan pantai yang bukan sahaja indah tapi juga lengkap dengan pelbagai kemudahan dan tempat makan yang menarik untuk dicuba.
Bukan itu sahaja, bermacam aktiviti menarik lain boleh dirancang sekiranya anda berpeluang untuk ke sini bila bercuti nanti. Sudahlah dekat dengan kota, lengkap dengan pelbagai tarikan lagi tu, apa lagi sebab untuk anda tidak ke sini?
Tempat penginapan yang ditawarkan di kawasan sekitar juga di dalam harga yang cukup berpatutan. Inginkan percutian dalam harga bajet? Pantai Morib adalah salah satu destinasi tepat untuk anda.
Sekiranya senarai penginapan yang diberikan dalam artikel ni tidak cukup untuk membantu anda membuat pilihan, anda boleh layari booking.com untuk melihat lebih banyak pilihan penginapan dalam tawaran harga terbaru.
Jangan buang masa lagi! Datanglah ke Pantai Morib untuk mengembalikan keceriaan anda sekeluarga setelah kepenatan bekerja dan belajar! Jangan lupa untuk rancang aktiviti apa yang ingin dibuat di pantai nanti! Selamat bercuti ke Pantai Morib!