Cameron Highlands bukan sesuatu lokasi pelancongan yang memerlukan pengenalan. Rata-rata sudah tahu ia merupakan antara pusat peranginan yang digemari ramai, bukan sahaja kerana menawarkan cuaca yang sejuk, juga kerana pusat-pusat tarikan yang banyak.
Antara yang mesti anda lawati ketika berada di sini nanti ialah Pasar Malam Cameron Highlands yang merupakan tarikan di waktu malam buat anda dan seisi keluarga.
Lokasi & Waktu Operasi
Juga dikenali sebagai Pasar Malam Brinchang atau Pasar Malam Golden Hills, ia terletak betul-betul berhadapan Golden Hills Apartment.
Pasar Malam ini beroperasi pada setiap Jumaat dan Sabtu malam, bermula dari jam 5pm hingga ke 11pm. Tetapi jangan lupa, mereka tidak beroperasi dari Ahad hingga ke Khamis ya.
Makanan
Buat anda yang kebuntuan tentang mencari makanan di Cameron Highlands, bolehlah datang ke sini.
Mereka menawarkan banyak vendor yang menyediakan pelbagai jenis makanan. Namun, kami sangat mengesyorkan anda supaya datang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan kerana makin ramai pengunjung akan tiba sepanjang malam. Lagipun, selepas makan, bolehlah shopping.
Antara sebab pasar malam ini menjadi kegemaran ramai ialah kerana kebanyakan vendor di sini adalah Muslim, jadi Makan-Makan di sini adalah halal.
Antara yang boleh anda dapatkan di sini ialah satay, nasi ayam, meatballs dan macam-macam lagi. Antara yang kami rasa agak istimewa di pasar malam ini ialah makanan laut. Makanan laut di sini dimasak dalam bentuk goreng crispy dan celup tepung. Besar-besar pula makanan-makanan laut di sini.
Pasti anda dan keluarga puas menikmati. Kalau dah sampai ke Cameron Highlands, jangan lupa untuk menjamu selera dengan memakan strawberry yang segar dari ladang.
Makan pula dengan sos coklat yang boleh dicelup, sangat mengasyikkan. Kerana cuacanya yang sejuk, anda akan lebih menikmati makanan seperti jagung dan ubi stim, panas-panas. Barulah rasa ala-ala Korea.
Pakaian & Cenderahati
Walaupun tidak terlalu banyak gerai yang dibuka menjual pakaian dan cenderahati, namun tetap ada. Anda boleh dapatkan pakaian-pakaian yang bertema Cameron Highlands atau pakaian-pakaian yang trendy dari beberapa vendor yang dibuka di sini.
Anda juga boleh mengambil peluang untuk mendapatkan cenderahati buat teman-teman atau ahli keluarga.
Cenderahati seperti key-chain, magnet peti sejuk dan banyak lagi tentu boleh menjadi antara cenderahati yang bukan sahaja praktikal tetapi menjadi memori dan kenangan anda bercuti ke sini.
Tips
Untuk memudahkan anda, kami akan memberikan beberapa tips apabila ke sini.
- Anda boleh dapatkan penginapan di Golden Hills Apartment untuk memudahkan anda ketika bercuti ke Cameron Highlands. Bukan sahaja selesa, apartment ini amat convenient kerana terletak berhadapan dengan pasar Malam Golden Hills ini.
- Datang awal, sekitar 6 petang kiranya sangat tepat untuk mengelakkan kesesakan. Jika anda menginap di tempat lain, anda perlu memandu ke sini dan kawasan ini seringkali akan sesak ketika ada pasar malam.
- Berpakaian kasual. Pakailah kasut atau selipar yang rendah kerana berjalan di sini pasti akan membuatkan anda agak keletihan. Apa lagi bila ramai orang.
Kini, anda tidak lagi perlu bersusah-susah untuk fikirkan tentang makan atau shopping apabila bercuti di Cameron Highlands.
Sememangnya Pasar Malam Cameron Highlands ini bukan sahaja memudahkan percutian anda, ia juga akan menjadi sebahagian dari kenangan buat anda dan keluarga. Jangan lupa untuk beri cadangan kepada rakan-rakan pelancong dari luar negara juga, tentu mereka teruja untuk ke sini.
Alamat: 12, Jalan Golden Hills 1, Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang
Waktu Operasi: 5pm-11pm (Jumaat & Sabtu)