Penang 3D Trick Art Museum | Apa Yang Menarik?

Sememangnya trend sekarang ini apabila lambakan 3D Art Muzium dibuka khusus buat pengunjung yang gemarkan pengalaman muzium lain daripada yang lain.

Salah satunya yang cukup popular dan semakin hangat diperkatakan ialah di 3D Art Muzium yang terletak di Pulau Pinang. Tetapi, buat anda yang baru pertama kali mendengar istilah ini, tentu tertanya-tanya apa itu 3D Art Muzium bukan?

Penang 3D Trick Art Museum - Well IllusionPenang 3D Trick Art Museum - Well Illusion

Apa itu 3D Trick Art Museum?

Sebelum ini, kita selalu dengar 3D filem tapi muzium pun boleh diubah menjadi 3D ke? Boleh, dengan perkembangan kaedah teknologi dan teknik serta bakat yang luar biasa dimiliki mereka yang berada di dalam bidang ini, terjadilah seni kreativiti seumpama ini. Muzium merupakan tempat pengumpulan nilai sejarah manakala 3D Trik Art, sesuai dengan namanya ialah satu teknik penghasilan gambar, mural atau lukisan timbul dan jika diamati dengan lebih dekat, gambar tersebut seolah-olah nampak realistik yang mempunyai tiga dimensi.

Jadi di Penang 3D Art Muzium ini, nilai estetika sejarah dan seni halus digabungkan bagi memberi pengalaman yang berbeza kepada pengunjung sambil menimba ilmu baharu dan berseronok. Jom kita lihat apa yang menarik di sini!

Baca: Senarai Destinasi Paling Best Di Penang

Muzium interaktif ini terbahagi kepada dua tingkat dan keseluruhannya mempamerkan lebih 40 jenis mural 3D yang mempunyai dua tema yang berbeza iaitu “All about Penang” dan “Modern-Classic” yang memaparkan keunikan budaya, kehidupan seharaian dan adat resam masyarakat Pulau Pinang dari zaman dahulu hingga kini. Apa yang menarik, ianya diillustrasikan menjadi sebuah mural 3D.

Ground Floor

Di sini pengunjung disajikan dengan pelbagai jenis lukisan 3D seperti beca tradisional, pemandangan kampung tepi laut dan batang pokok kelapa menghiasi halaman rumah penduduk, pemandangan taman burung, kereta lembu tradisional, trem, bas trolley, ilusi karpet terbang, taman rama-rama dan taman botani, pemandangan indah Penang Hill, Ames Room yang cukup unik, illustrasi perangkap booby, lukisan ikan jerung gergasi dan mural unik teh Tarik yang tentunya cukup signifikan kepada masyarakat Malaysia.

Selain itu, jika anda sukakan gambaran seram atau mistik, di hujung aras ini terdapat sebuah lorong gelap yang apabila anda bergambar di situ, terdapat bayangan rangka manusia yang akan muncul di belakang anda.

Menarik bukan? Jangan lupa juga untuk bergambar di setiap lukisan atau mural di aras ini bagi menonjolkan lagi kesan realistik 3D yang ingin dipaparkan.

Aras Pertama

Sudah puas meninjau pelbagai keunikan illustrasi di tingkat bawah, kunjungilah aras pertama muzium.

Apa yang menarik, disinilah tempatnya untuk anda bergambar ala-ala di karpet merah, membayangkan diri umpama selebriti terkenal di mural replica karpet merah ala-ala Hollywood yang dibina khusus buat mereka yang sukakan konsep ala glamorious. Selain itu terdapat juga pameran lukisan lebih ekstrem dari segi paparan haiwan liar dan lukisan gergasi yang lain.

Contohnya, terdapat mural seperti Genie, Tapak Tangan Gergasi (Giant Palm) , Lost World di mana anda boleh bergambar seolah-olah anda dikejar oleh T-Rex gergasi, Journey to The West, watak popular ET, lukisan gergasi realistik haiwan liar yang menakutkan seperti Panda, Orang Utan, Anaconda, Owl, Anubis Attack, Snow Ball, Avalanche, ,lukisan lipan gergasi yang bersedia membaham anda (Centipede),  illustrasi jambatan runtuh (Wrecked Bridge), Sky Diving, Slamdunk, Pool, Sadoka, ilusi Levitation,  Human Dart, & ilusi perjalanan Zig Zag.

Aras Kedua

Terakhir sekali, sebelum pulang, rasai pengalaman yang mengujakan di aras kedua muzium ini yang mempamerkan ilustrasi watak-watak animasi dan babak popular di dalam filem yang sememangnya menjadi kegemaran bukan sahaja kanak-kanak malahan orang dewasa juga.

Bolehlah bergambar dengan watak selebriti terkenal seperti Michael Jackson, ahli magik terkenal David Copperfield dan banyak lagi. Aras ini pasti mengujakan kanak-kanak yang mengunjunginya kerana mereka dapat melihat seolah-olah paparan sebenar watak kartun kegemaran mereka, malah dapat bergambar lagi. Tentu tidak menang tangan ibu bapa yang membawa anak-anak ke sini untuk melayan keterujaan mereka.

Bukan sahaja di sini mempamerkan keseronokan bergambar semata-mata, tetapi terdapat pelbagai maklumat dan keterangan daripada aspek budaya masyarakat ataupun info menarik yang diberikan kepada setiap mural 3D yang dipaparkan. Bolehlah anda berseronok sambil menimba ilmu dan pengalaman baharu.

Penang 3D Trick Art Museum - Egyption Room

Antara tips lain untuk melawat muzium 3D ini ialah wajib membawa kamera! Tapi jika anda terlupa atau merasakan anda inginkan gambar yang lebih berdefinasi tinggi bagi memperoleh imej yang lebih cantik, anda boleh meminta staff yang cukup mesra dan sedia membantu anda pada bila-bila masa. Malah, staff juga akan turut memberi tips dan cara terbaik untuk anda bergambar supaya imej yang ditangkap lebih realistik.

Tips kedua, bawa kawan-kawan atau keluarga untuk berkunjung ke sini. Boleh berseronok, bergelak ketawa sambil mengambil gambar pada paparan lukisan yang ada kalanya lucu dan mengujakan. Tapi jika anda ber “back-packing” atau mengembara secara solo, jangan bimbang. Staff muzium di sana sangat mesra dan mungkin juga anda boleh buat teman baharu bersama pengunjung yang lain.

Jadi tunggu apa lagi? Segera ke sini untuk merasai sendiri pengalaman berharga dan lain daripada yang lain. Di sini disertakan harga tiket dan waktu operasi muzium buat rujukan semua. Selamat bergembira!

Harga Tiket

Bawa MyKad/MyKid/Kad Pelajar dan Warga emas akan mendapat potongan harga yang menarik. Bagi kanak-kanak yang berketinggian tidak lebih 100m, kemasukan adalah PERCUMA!

Dewasa (13 tahun ke atas)

  • MyKad : RM15/pax
  • Tanpa MyKad : RM25/pax

Kanak-kanak (3-12 tahun)

  • MyKid : RM10/pax
  • Tanpa MyKid : RM15/pax

Pelajar & Warga Emas (60 tahun ke atas)

  • MyKad : RM10/pax
  • Tanpa MyKad : RM15/pax

Waktu Operasi

  • Isnin- Jumaat : 9 am – 6pm
  • Sabtu dan Ahad : 9 am- 10pm

Alamat: 10, Lebuh Penang, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang

Laman Web: penangtrickart.com

Facebook: @penangtrickart

4/5 - (1 vote)