Elakkan Diri Dari Tertipu! 8 Petanda Agensi Pelancongan Scammer

Bayangkanlah hilang beribu-ribu ringgit dalam hanya sekelip mata? Percutian yang dirancang tinggal bayangan, agensi yang menguruskan pelancongan anda lesap entah ke mana, duit hasil penat lelah kerja pun terbakar macam tu sahaja, semuanya gara-gara terlepas pandang petanda yang menunjukkan bahawa agensi pelancongan yang kononnya menguruskan hal percutian anda sebenarnya adalah sindiket penipuan.

Dengan adanya ratusan agensi pelancongan yang wujud di luar sana, bagaimana caranya untuk mengesan mana satu yang jujur dan mana yang sedang menjerat mangsa? Memandangkan kebiasaannya produk berkaitan pelancongan memerlukan pelanggan untuk membuat pembayaran awal, maka banyaklah scammer yang menggunakan peluang ini untuk melakukan penipuan.

Dalam artikel kali ini, MaiSinggah ingin kongsikan antara cara untuk mengesan agensi pelancongan yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ini. Teruskan membaca, dan jangan lupa untuk share artikel ini supaya tiada lagi mangsa sindiket penipuan.

1. Bayaran Pendahuluan Diperlukan Tanpa Sebarang Kontrak Bertulis

Pembayaran untuk pakej pelancongan selalunya dibuat sebelum perjalanan. Dalam hal ini, anda berhak untuk mendapatkan perjanjian bertulis yang menyatakan maklumat seperti jenis produk yang dibayar kepada agensi untuk bayaran penuh mahupun deposit.

Scammer selalunya menabur janji-janji manis untuk menggoda anda membuat transaksi secara terus tanpa kontrak bertulis. Sebaliknya, agensi atau vendor pelancongan yang boleh dipercayai akan menyediakan maklumat bertulis. Dokumen ini juga penting sebagai bukti yang dapat membantu anda pada masa hadapan sekiranya berlaku sebarang masalah.

2. Transaksi Hanya Melalui Panggilan Telefon

Kalau diikutkan, perniagaan selalunya memiliki website untuk memudahkan urusan booking pelanggan. Namun, sekiranya anda terserempak dengan agensi yang hanya menerima urusan booking melalui panggilan telefon, anda perlu bertanya soalan-soalan seperti berikut:

“Bolehkah saya mendapatkan kontrak bertulis sebelum saya membuat pembayaran?”

“Apa alamat pejabat syarikat?”

Sekiranya anda dapat merasa yang mereka seolah-olah mengelak daripada memberi jawapan yang tepat, hentikan urusan dengan mereka.

3. Nama Hotel, Syarikat Penerbangan, Atau Vendor-Vendor Lain Tidak Didedahkan Dalam Dokumen Bertulis

Tiada sebab untuk agensi pelancongan merahsiakan info ini daripada pengetahuan anda sebagai pembeli. Ada kemungkinan, mereka sebenarnya cuba menyembunyikan identiti sebenar entiti lain supaya pelanggan tidak boleh membuat kajian latar belakang hotel / penerbangan yang ditawarkan dalam pakej kerana rating yang rendah atau banyak lagi kemungkinan lain yang pastinya akan merosakkan percutian atau perancangan anda.

4. Kekerapan Penggunaan Perkataan “Percuma”

Tawaran yang terlalu kerap mengandungi perkataan “percuma” selalunya cuba untuk menyembunyikan realiti sebenar yang menyelubungi pakej tersebut. Tugas anda adalah untuk mengkaji apa agenda tersembunyi daripada promosi yang ditawarkan.

5. Nama Agensi Tidak Wujud Dalam Pangkalan Data Kementerian Pelancongan

Motac

Ya, anda boleh membuat semakan melalui database yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan. Nama agensi tak wujud? Batalkan niat anda untuk menggunakan perkhidmatan agensi tersebut. Selepas menaip nama agensi / syarikat pelancongan dalam pencarian database, klik pada butang ‘Cari’ dan lihat senarai yang keluar. Jangan lupa juga untuk memberi perhatian kepada bahagian ‘Bidang’ kerana ini menunjukkan jenis-jenis produk / pakej / perkhidmatan yang boleh dijual atau diuruskan oleh agensi tersebut.

Bidang dan penjelasannya:

  • I (Inbound): Agensi pelancongan boleh menawarkan pakej / perkhidmatan hanya untuk dalam negara.
  • O (Outbound): Agensi pelancongan boleh menjual pakej / perkhidmatan hanya untuk luar negara.
  • T (Ticketing): Agensi pelancongan boleh menjual ‘ticketing’ seperti tiket penerbangan, tiket masuk ke taman tema dan juga tiket bas sahaja.
  • U (Umrah): Agensi pelancongan boleh menjual pakej serta perkhidmatan yang melibatkan Haji dan juga Umrah sahaja.

Sekiranya bidang syarikat tersebut adalah “IOTU,” ini bermaksud syarikat pelacongan itu boleh menawarkan kesemua yang dinyatakan di atas.

Andai kata mereka menjual pakej luar daripada bidang yang dibenarkan, jangan teruskan urusan.

6. Tiada Interaksi / Review Yang Boleh Dipercayai

Lihat sekiranya syarikat tersebut memiliki maklum balas / review yang boleh ditemui dalam internet. Ini menunjukkan ketelusan syarikat di samping dapat menunjukkan cara mereka menguruskan sebarang isu / review yang negatif.

Pastikan juga review yang ditemui itu tidak kelihatan dibuat-buat. Antara cara untuk mengesan fake review sebegini adalah dengan cara melihat sekiranya akaun yang memberikan review itu hanya meninggalkan review untuk agensi ini sahaja atau pernah meninggalkan review untuk agensi / tempat lain.

7. Menggunakan Bank Akaun Individu

Agensi pelancongan yang sebenar menggunakan akaun syarikat / perniagaan dan bukannya akaun individu untuk sebarang urusan pembayaran. Kebiasaannya, bank memerlukan beberapa dokumen  syarikat / perniagaan yang sah untuk urusan pembukaan akaun bank syarikat.

8. Tiada Alamat Pejabat

Sukar untuk mencari maklumat tentang lokasi pejabat? Atau kedudukan pejabat di lokasi yang sukar untuk dilawati? Berjaga-jagalah ya, sebaiknya elakkan daripada menggunakan perkhidmatan mereka.

Secara Asasnya Ini Adalah Perkara Yang Patut Anda Buat Sebelum Booking Daripada Mana-Mana Agensi Pelancongan

  • Hanya membuat tempahan melalui website rasmi hotel / syarikat penerbangan / apa-apa perniagaan pelancongan, atau gunakan website pihak ketiga yang mempunyai reputasi yang baik.
  • Semak URL website agensi pelancongan yang dilawati. Scammer berkemungkinan menggunakan trick yang dipanggil “domain spoofing” seperti penambahan aksara tambahan dalam URL.
  • Lihat dasar / polisi bertulis mereka berkaitan perubahan atau pembatalan tempahan, dan dapatkan kepastian daripada pihak agensi mengenai perkara ini sebelum booking.
  • Hubungi pihak hotel / syarikat penerbangan untuk mengesahkan tempahan anda selepas membuat urusan tempahan melalui website agensi pelancongan. Sekiranya mereka tidak memiliki sebarang rekod tentang booking anda, ini boleh menjadi petanda awal masalah. Selesaikan isu ini secepatnya.

Ini Pula Perkara Yang Anda Perlu Elak Daripada Lakukan Semasa Memilih Agensi / Pakej

  • Jangan mudah percaya dengan website pelancongan hanya kerana ia memiliki logo yang kelihatan familiar atau yang berada di bahagian teratas dalam pencarian. Banyak scam yang meniru branding syarikat pelancongan terkenal.
  • Jangan book melalui website pelancongan yang jarang didengar sebelum melakukan semakan latar belakang syarikat terlebih dahulu. Buat pencarian di Google dengan perkataan seperti ‘nama syarikat’ + review / aduan / scam atau yang seangkatan dengannya untuk lihat sekiranya wujud pengalaman yang tidak menyenangkan daripada pelanggan lain.
  • Jangan terus klik pada link yang dihantar melalui emel berkaitan dengan promosi pelancongan. Sebaliknya, anda perlu meletakkan cursor pada link tu dulu (tanpa menekan) untuk melihat URL yang bakal dilawati sebaik ditekan.
  • Elakkan pembayaran guna kad debit. Gunakan kad kredit untuk perlindungan yang lebih terjamin.

Akhir kata, tak salah untuk menjadi seorang yang skeptikal dalam bab pemilihan pakej percutian yang ditawarkan agensi-agensi pelancongan, kerana kemungkinan besar inilah yang akan menyelamatkan wang anda daripada ditelan scammers yang tamak merompak duit orang ramai. Oleh itu, merancanglah dengan bijak ya?

5/5 - (1 vote)