11 Pulau Di Johor Yang Menarik | Mulakan Pengembaraan Pulau Anda Di Sini

Mendambakan pengalaman percutian yang tiada tara banding keindahannya? Percutian di pulau tropika adalah jawapannya. Pemandangan dan ketenangan yang dapat dinikmati di dunia yang jauh dari hiruk-pikuk kota ini sukar untuk diucapkan dengan kata-kata.

Cukup mendamaikan sehingga mampu melenyapkan segala masalah yang ada. Kejernihan air di sekitar pantai pulau-pulau ini menghidangkan anda dengan panorama hidupan marin yang tidak mungkin dapat dilihat di tempat lain.

Sediakan kamera kalis air dan skills menyelam skuba anda untuk sebuah eksplorasi alam yang bakal dinikmati di pulau-pulau indah sekitar Johor ini. Dimanakah pulau dengan keindahan melampau ini? Teruskan membaca senarai 11 Pulau di Johor yang menarik untuk percutian pulau yang luarbiasa.

11. Pulau Mensirip

Pulau Mensirip Johor - Main Image
Sumber: Postmandiver

Jika anda tercari pulau yang dapat memberikan anda ‘feeling’ seperti di dalam filem Cast Away, terdampar di pulau yang tiada sebarang struktur binaan dan sunyi dari penghuni, Pulau Mensirip adalah salah satunya.

Dalam masa yang sama, keindahan air di sekitarnya yang jernih dan kaya dengan hidupan marin menjadikan ia lokasi kegemaran kaki snorkeling dan menyelam skuba. Sepertimana Pulau Rawa, Pulau Mensirip juga dilitupi oleh hutan tebal.

Bagaimana sekalipun cuaca sewaktu anda di pulau ini, satu-satunya tempat untuk anda berlindung adalah di bawah pokok-pokok ini. Nak selamat? Lihat ramalan cuaca dulu ya? Apa-apa pun, sebelum ke sini, pastikan anda mendapatkan kebenaran terlebih dahulu kerana pulau ini adalah salah satu daripada pulau persendirian.

Alamat: Pulau Mensirip, Mersing


Baca: 24 Hotel Luarbiasa Di Johor Bahru

10. Pulau Tengah

Pulau Tengah - Main Image
Sumber: Batu Batu – Tengah Island

15 km dari Jeti Mersing terletaknya sebuah pulau iaitu Pulau Tengah yang jika boleh menulis diarinya sendiri, pasti banyak cerita menarik yang ingin disampaikan. Salah satunya adalah kerana ia pernah dijadikan tempat perlindungan pelarian Vietnam pada tahun 1970-an, dan pada tahun 1980-an pula, pulau ini ditutup. Selain itu, Pulau Tengah juga pernah dijadikan lokasi penggambaran rancangan televisyen, Expedition Robinson.

Selai itu, dek kerana keindahan terumbu karang dan kepelbagaian hidupan marin di dasar laut yang mengelilinginya, pulau ini telah digazetkan sebagai Taman Laut. Di samping itu, bentuk geografi pulau ini yang berbatuan menambahkan lagi pesona eksotiknya untuk anda bergambar dengan sepuas hati. Rancanglah aktiviti anda di pulau ini, anda pasti tidak dapat melupakan keindahannya.

Alamat: Pulau Tengah ,Mersing


9. Pulau Besar (Pulau Babi Besar)

Pulau Besar - Main Image
Sumber: Be Wilderness

Pulau Besar dahulunya digelar Pulau Babi Besar kerana dikatakan pada waktu itu terdapat banyak babi hutan yang berkeliaran, namun jangan risau, kerana sekarang babi ini telah menghilangkan diri. Kini, anda dapat menikmati keindahannya dengan penuh ketenangan.

Anda boleh berkelah dan bersantai sambil menikmati pemandangan pantai yang berpasir putih bersih ini. Setelah puas berjemur, jangan melepaskan peluang untuk menyelam skuba kerana  dasar lautnya cukup memukau dengan hidupan marin dan batu karang yang penuh warna-warni.

Segalanya dapat dilihat dengan jelas melalui air laut yang jernih. Anda juga boleh merancang untuk menerokai kawasan kampung yang terdapat di pulau ini untuk membuka mata anda tentang kehidupan masyarakat di pulau.

Alamat: Pulau Babi Besar, Mersing


8. Pulau Tinggi

Pulau Tinggi - Main Image
Sumber: Flying Duck Studio

Masa yang diambil untuk sampai ke Pulau Tinggi adalah 30 minit perjalanan bot dari Jeti Tanjung Leman. Kalau anda nak tahu, pulau ini menempatkan gunung yang tertinggi jika dibezakan dengan gunung yang terdapat di pulau-pulau di sekitarnya.

Yang menariknya, gunung ini juga kelihatan seperti topi bila dipandang sekali,  sehingga ia pernah diberi gelaran sebagai Pulau Topi Jeneral oleh pelayar China ratusan tahun yang lalu. Gunung ini adalah Gunung Semadu yang berketinggian sekitar 2000 kaki dari paras laut.

Kekayaan hidupan marin di dalam air laut biru yang mengelilingi pulau ini menjadikan Pulau Tinggi sebagai salah satu lokasi yang terkenal dalam kalangan penyelam. Anda juga tidak patut melepaskan peluang untuk berjungle trekking di pulau ini untuk menuju ke kawasan air terjun dan kolam kecil yang indah. Masa yang diambil untuk ke sana adalah dalam sekitar 35 ke 40 minit.

Alamat: Pulau Tinggi, Mersing


Baca: 13 Hotel Terapung Di Malaysia Yang Istimewa

7. Pulau Sibu

Pulau Sibu - Main Image
Sumber: Tourism Johor

Sama juga seperti Pulau Tinggi, Pulau Sibu hanya boleh diakses dari Jeti Tanjung Leman. Sampai sahaja di pulau ini, anda akan terasa seperti berada di dalam sebuah syurga indah dengan udara segar, dan pantai yang cukup mengujakan keindahannya.

Mungkin anda ingin memulakan aktiviti di pulau ini dengan hanya bersantai di pantai berpasir putih ini untuk menikmati pemandangan sepuas hati, setelah itu, anda boleh merancang untuk melakukan banyak aktiviti air lain yang boleh diatur dengan pihak resort yang terdapat di sini sama ada banana-boating, bola pantai, menaiki jet-ski, menyelam skuba dan sebagainya.

Walaupun hanyalah sebuah pulau yang kecil pulau ini memiliki 4 buah pantai di bahagian timurnya. Manakala, selatan pantai pula adalah spot yang terbaik untuk anda menyelam menikmati fauna lautan kerana terlindung dari tiupan angin.

Pulau Sibu boleh dikatakan antara pulau yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan namun masih mengekalkan ketenangan flora dan faunanya.

Alamat: Pulau Sibu, Mersing


6. Pulau Pemanggil

Pulau Pemanggil - Main Image
Sumber: Syok Pulau Mersing

Untuk menuju ke Pulau Pemanggil yang terletak 45 km dari Mersing ini, anda dapat menikmati perjalanan bot selama 4 ke 5 jam. Perjalanan panjang untuk ke pulau kecil ini terasa sungguh terbayar kerana mampu memenuhi impian percutian anda. Berpasir putih keemasan, dasar laut dengan batu karang yang memakau pandangan dan hidupan laut yang pelbagai membuatkan anda tertanya-tanya sama ada di dalam dunia sebenar atau mimpi.

Untuk pengetahuan anda, Pulau Pemanggil juga adalah salah satu hotspot yang memiliki banyak lubuk rahsia. Rahsia apa? Sebenarnya di sekitar Pulau Pemanggil ini anda boleh memancing untuk membawa hasil tangkapan yang pasti membuatkan anda tersenyum lebar.

Antara hasil tangkapan yang boleh anda dapati di sini adalah barakuda, kerisi, tongkol, tambak, kerapu, asoh, tarap, kaci dan sebagainya. Bagi anda yang teringin makan sotong pula, musim mencandat sotong adalah dari pertengahan bulan Ogos hinggalah ke akhir September. Pergh! Nikmatnya bila makan hasil laut segar di tepi pantai yang indah sambil menikmati air kelapa. Keseronokan yang sukar diungkapkan.

Alamat: Pulau Pemanggil, Mersing


5. Pulau Dayang

Pulau Dayang Johor - Main Image
Sumber: Tourism Malaysia

Bukan Pulau Dayang di Langkawi ke? Jangan tak tahu, di Johor pun ada Pulau Dayangnya. Walaupun memiliki kawasan pantai yang sungguh mengasyikkan keindahannya, Pulau Dayang ini agak tenang tanpa pelancong yang datang berbondong. Mungkin kerana kedudukannya yang agak jauh dari jeti, kerana masa yang diambil untuk sampai ke sini adalah dalam sekitar 5 jam.

Pulau yang penuh privasi ini juga cukup sesuai bagi anda yang baru ingin berjinak dalam dunia menyelam, kerana di sini anda boleh mendapatkan kursus menyelam daripada mereka yang sudah berpengalaman.

Dah pandai menyelam barulah syok nak melawat banyak lagi pulau yang lain. Pada waktu malam pula, anda boleh berbaring di pasir pantai sambil menikmati pemandangan bintang berkelipan yang cukup jelas.

Alamat: Pulau Dayang, Mersing


4. Pulau Aur

Pulau Aur Johor - Main Image
Sumber: Singaporean

Sepertimana pulau-pulau di sekitarnya, Pulau Aur juga tidak kurang hebat keindahan panorama dalam laut birunya. Kaya dengan pelbagai spesies hidupan laut dan batu karang yang berwarna-warni, Pulau Aur adalah antara lokasi terbaik bagi para penyelam dan bagi mereka yang ingin bersnorkeling.

Syurga tropika ini juga menjadi tempat persinggahan ramai nelayan oleh kerana kekayaan hasil lautnya. Mungkin anda juga boleh mencuba? Dapatlah makan hasil laut yang segar hasil tangan sendiri sambil menikmati pemandangan mengasyikkan.

Bagi anda yang berniat untuk menyelam skuba di dalam lautan indah sekitar Pulau Aur ini, dicadangkan untuk datang antara bulan April – Oktober kerana kejernihan air pada waktu itu cukup baik.

Alamat: Pulau Aur, Mersing


3. Pulau Kukup

Pulau Kukup Johor - Main Image
Sumber: Pulau Kukup

Pulau yang berkeluasan 800 ekar ini, Pulau Kukup, memiliki kawasan paya bakau yang berkeluasan 647 hektar menjadikan ia paya bakau yang terbesar di Malaysia. Pulau ini menjadi tempat pembiakan banyak hidupan seperti ketam, udang, pelbagai jenis ikan unik dan macam-macam lagi.

Diisyhtiharkan sebagai Tanah Lem­bap Berkepentingan Antarabangsa, Pulau Kukup dapat membuka mata anda mengenai ekosistem yang wujud di dalam alam semula jadi paya bakau dan hutan yang terjaga.

Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah menaiki jambatan gantung berkepanjangan 600 meter yang digelar Arboretum untuk menerokai kawasan paya bakau. Anda dapat melihat kehadiran pelbagai jenis hidupan air sambil menikmati udara yang melapangkan dada. Jangan lupa juga untuk bergambar dengan pokok bakau minyak yang terbesar di Semenanjung Malaysia yang terdapat di sini.

Aktiviti lain yang tidak patut dilepaskan di sini adalah menaiki bot untuk menyelusuri sungai-sungai sambil melihat kehadiran burung yang banyak berterbangan di awan.

Alamat: Lot 139, Mukim, Air Masin, 82300 Kukup, Pontian


2. Pulau Harimau

Pulau Harimau - Main Image
Sumber: Chin Yan

Pulau Harimau? Macam seram sahaja bunyinya. Bertenang! Pulau ini diberikan nama Pulau Harimau kerana bentuknya yang kelihatan seperti harimau jika dilihat dari sudut pandangan burung yang berterbangan di angkasa dan bukan kerana kehadiran harimaunya.

Pulau yang hanya boleh diakses dari Jeti Mersing ini adalah syurga bagi para penyelam kerana airnya yang jernih bak kristal. Betapa jernihnya air di pulau ini sehinggakan anda dapat melihat panorama dalam laut dengan hanya berdiri di tepian pantai.

Banyak sekali ikan-ikan comel dan batu karang pelbagai warna yang boleh dilihat di sekitarnya sehingga membuatkan anda terasa seperti ingin tinggal di sini lebih lama dari sepatutnya. Tapi sedihnya, tiada sebarang penginapan di pulau ini kerana ia merupakan salah satu pulau persendirian. Penginapan terdekat dengan pulau ini adalah di Pulau Rawa.

Alamat: Pulau Harimau, Mersing


1. Pulau Rawa

Pulau Rawa Johor - Main Image
Sumber: Apakes

Pulau Rawa, sebuah pulau di Johor yang sungguh indah dengan pantai berpasir putih bersih dan dasar laut yang mempesonakan. Anda dapat menikmati panorama indah hidupan marin yang terdapat di dasar laut serta batu karang dengan bersnorkeling di pantai jernih kebiruan ini. Keindahan Pulau Rawa turut ditambah dengan kehijauan kawasan daratnya yang tebal dilitupi hutan.

Oleh sebab itu, cara yang terbaik untuk anda menikmati keindahan pulau ini adalah dengan berkanu di sekitarnya pada hari laut tenang.

Cara lain untuk menikmati keindahannya adalah dengan bertrekking di timur pulau ini. Kenapa di bahagian timur? Kerana di sini disediakan 270 anak tangga untuk memudahkan anda menuju ke puncak pulau ini. Kepenatan yang dirasa sewaktu mendaki akan hilang sebaik melihat pemandangan yang terbentang terutama sekali sewaktu matahari terbenam.

Alamat: Pulau Rawa, Mersing


Baca: 12 Resort Di Melaka Untuk Percutian Keluarga Yang Istimewa

Percutian terindah tidak disangkal lagi dapat dinikmati di pulau-pulau yang penuh dengan privasi. Keindahan yang ditawarkan dapat melukis memori yang sukar dilupakan sehingga ke akhir hayat.

Pemandangan pantai berpasir putih, air laut yang kejernihannya membuka mata kepada panorama hidupan marin, ditemani bunyi burung berterbangan dan angin laut yang lembut, ini adalah sebuah pengalaman yang diimpikan ramai orang.

Namun begitu, ramai yang masih menanti waktu yang sesuai untuk memulakan eksplorasi dunia eksotik ini. Anda rasa boleh tunggu lebih lama untuk menikmati semua ini?

Jangan buang masa lagi, bawalah keluarga anda bercuti ke pulau-pulau mempesonakan yang terdapat di negeri Johor ini. Selamat menikmati percutian tropika untuk pengalaman percutian yang penuh magika!



Related Posts