21 Pulau Di Sabah Yang Menarik | Jom Island Hopping Di Sabah

Pernah terasa seperti ingin melarikan diri dari dunia sebenar? Sering memejamkan mata dan membayangkan destinasi indah yang dapat memberikan ketenangan dari kesibukan kerja?

Tidak perlu berfantasi terlalu jauh, ketenangan penuh privasi dengan keindahan yang memukau terdapat di negara ini, di mana lagi kalau bukan di negeri Sabah. Tarikan kepulauan tropikanya yang kaya dengan pantai-pantai berpasir putih bersih, air laut yang jernih kebiruan, kekayaan spesies flora dan fauna yang tiada penghujungnya, aset yang dimiliki Sabah sungguh tidak ternilai.

Keindahan ini bukan sahaja dinikmati rakyat Malaysia, tapi juga penduduk seluruh dunia sehingga mendapat liputan antarabangsa sebagai antara kawasan menyelam skuba terbaik di dunia dan banyak lagi anugerah pelancongan berprestij yang lain. Disebabkan ini, Sabah turut digelar sebagai Maldives Asia Tenggara.

Tidak perlu untuk berfikir lama-lama ke mana ingin pergi untuk percutian akan datang, pilih sahaja mana-mana pulau di Sabah seperti yang disenaraikan ini untuk menikmati percutian yang diselaputi dengan keindahan penuh keaslian.

21. Pulau Mantanani

Pulau Mantanani Sabah
Sumber: Ooliday

Terdiri daripada 3 buah pulau iaitu Mantanani Kecil, Linggisan dan Mantanani Besar, gugusan kepulauan Mantanani adalah destinasi menyelam skuba yang cukup terkenal kerana terletak berdekatan dengan 3 kawasan kapal karam yang dapat menggetarkan jiwa sesiapa sahaja yang berjiwa ekstrem untuk meneroka dasar lautnya.

Baca: 46 Destinasi Menarik Di Kundasang & Ranau

Kapal-kapal yang karam di dasar lautan sekitar kepulauan Mantanani ini adalah kapal-kapal kargo Jepun yang tenggelam pada tahun 1944 ketika waktu Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, disebabkan kedalaman kawasan karam ini yang agak mencabar untuk diakses, hanya mereka yang memiliki lesen menyelam dibenarkan untuk meneruskan hasrat ini.

Jangan bersedih, kerana di kawasan yang lebih cetek pula, anda boleh melihat kekayaan hidupan marinnya dengan spesies-spesies fauna laut seperti sotong kurita gelang biru, ikan gobi mata merah jambu, kuda-kuda laut dan bermacam lagi yang mampu membuat mata anda terbuka luas.

Alamat: Pulau Mantanani, Sabah


20. Dinawan Island

Bayangkan, bangun tidur dengan pemandangan Gunung Kinabalu yang terindah? Di Pulau Dinawan, inilah pemandangan yang disajikan untuk disaksikan sehingga puas. Anda ada skill melukis seperti Bob Ross? Pemandangan dari pulau ini adalah subjek lukisan yang cukup menakjubkan untuk diabadikan di atas kanvas.

Walau bagaimanapun, bukan semua orang ada bakat melukis, tak mengapa, kerana shortcutnya adalah berfotografi sepuas hati, jangan lupa untuk upgrade lens dslr anda sebelum ke sini ya?

Cara lain untuk anda menyelami keindahan alam di Pulau Dinawan yang menawan ini adalah dengan menikmati pemandangan matahari terbenam, berkayak, memancing dan bersnorkeling.

Alamat: Dinawan Island (Pulau Dinawan), Penampang, Kota Kinabalu, Sabah


19. Kapalai Island

Kapalai Island Sabah
Sumber: Red Merch

Mengambil masa 30 minit perjalanan bot dari Semporna, Pulau Kapalai adalah sebuah destinasi yang cukup fotogenik dan unik. Sebaik mendekati kawasan pulau ini, anda akan terlihat kehadiran chalet-chalet terapungnya yang berdiri di atas air laut sejernih Kristal.

Menghubungkan penginapan-penginapan ini adalah jambatan papan yang boleh dilalui untuk menikmati panorama air di sekitar yang jelas memaparkan hidupan marin yang penuh dengan warna-warni.

Sedihnya, hakisan pantai di pulau ini telah meningkatkan aras laut yang memberi kesan kepada ketinggian pulau ini yang kian berkurangan. Jadi, janganlah tangguh rancangan percutian anda ya?

Alamat: Kapalai Island, Sabah


18. Pantai Kelambu

Ingin lari dari pelancong yang lain? Pantai Kelambu adalah jawapannya. Bukanlah destinasi yang komersial, di sinilah anda dapat menikmati ketenangan bersantai di tepi pantai dalam erti kata yang sebenar.

Kurang dilawati bukan bermakna ianya kurang menarik, kerana sebenarnya ia boleh dikatakan antara kawasan pantai yang terindah di Sabah.  Cuma ianya agak kekurangan dari segi fasiliti jika dibezakan dengan pulau yang lain. Namun begitu, ia menyediakan pit bbq sekiranya anda tetap ingin menjejakkan kaki ke sini dan melihat keindahannya sambil menikmati makanan segar.

Macam hilang pula mood untuk datang sebab kekurangan fasilitinya bukan? Percayalah, cukup rugi sekiranya anda melepaskan peluang untuk ke pantai ini kerana ia sebenarnya bukanlah pantai yang biasa.

Baca: 25 Pulau Di Malaysia Yang Luarbiasa

Untuk pengetahuan anda, pada waktu malam anda berkemungkinan dapat melihat fenomena lautan bercahaya yang juga digelar sebagai bioluminescence. Pengalaman yang unik dan sungguh mempesonakan.

Alamat: Pantai Kelambu, Sabah


17. Pulau Lankayan

Lankayan Island Sabah
Sumber: Naturalis

Pulau yang kaya dengan hidupan fauna di dalam lautannya, Pulau Lankayan, merupakan destinasi menyelam skuba yang sangat menarik. Hidupan marin makro yang pelbagai dan terumbu karang hidup adalah panorama yang dapat anda lihat di sini.

Kawasan perairan ini juga kaya dengan hidupan marin yang lain seperti ketam labah-labah, udang terumbu karang, ikan paip hantu, ikan gitar, kerang gergasi, barakuda ekor kuning dan banyak lagi. Anda juga mungkin akan dikejutkan dengan kehadiran ikan paus yang bersiar-siar di sekitar pulau.

Bukan itu sahaja, kalau anda nak tahu, Pulau Lankayan juga merupakan tempat pendaratan penyu untuk bertelur. Satu peristiwa yang cukup menarik untuk disaksikan bersama keluarga.

Alamat: Pulau Lankayan, Sandakan, Sabah


16. Pulau Layang-Layang

Terletak nun jauh di sana 300 km dari Kota Kinabalu, dari jaraknya sahaja sudah dapat dijangkakan hanya satu sahaja cara terbaik untuk ke pulau ini iaitu dengan menaiki kapal terbang.

Jika dibezakan dengan pulau-pulau yang lain, kos untuk ke Pulau Layang-Layang ini agak tinggi, namun percayalah pengorbanan anda untuk ke sini sangatlah berbaloi.

Jika pelancong dari negara Korea, Jepun, Perancis dan banyak lagi negara lain memilih Pulau Layang-Layang sebagai destinasi percutian pilihan mereka, kenapa tidak anda? Pulau yang berkepanjangan 1.2 km ini memiliki panorama dasar laut yang menakjubkan. Kedudukannya yang jauh dari sebarang ancaman pencemaran menjadikan keindahannya seribu kali lebih memukau.

Namun begitu, terdapat hanya satu pusat penginapan di sini iaitu Layang Layang Island Resort yang ditutup setiap dari bulan September hingga Februari ketika kehadiran monsun.

Alamat: Pulau Layang-Layang, Sabah


15. Pulau Mabul

Pulau Mabul ini boleh dikatakan antara pulau yang terkenal di Sabah kerana kedudukannya yang terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan yang merupakan salah satu kawasan menyelam yang terbaik di dunia.

Tarikan lain di pulau ini adalah pilihan penginapannya yang cukup banyak mengikut kesesuaian bajet anda, dari penginapan dengan kemudahan asas hinggalah kepada penginapan mewah.

Namun begitu, magnet tarikan utama di Pulau Mabul ini sebenarnya adalah kerana ia merupakan salah satu destinasi yang sangat kaya dengan hidupan marin yang penuh dengan warna-warni. Pelbagai jenis ikan dan sotong yang eksotik dapat dilihat melintas di depan mata jika anda  menyelam skuba di sekitar lautan pulau ini.

Apa lagi yang boleh dibuat di sini? Anda boleh memenuhkan aktiviti di sini dengan melawat perkampungan masyarakat Bajau Laut, menikmati pemandangan matahari menaik dan terbenam yang sungguh mengujakan, dan apabila malam menjelma, anda boleh bersantai di tepi pantai sambil menikmati pemandangan cahaya bintang galaksi dari langit sekitar pulau ini. Cukup mengagumkan.

Alamat: Pulau Mabul, Sabah


14. Pulau Pom-Pom

Comel pula nama pulau ini, Pulau Pom-Pom ini sebenarnya terbahagi kepada Pom Pom Besar dan Pom Pom Kecil. Namun secara totalnya pulau ini tidaklah sebesar mana untuk dijejaki kawasan sekitarnya. Masa diambil untuk menghabiskan pusingan perjalanan hanyalah dalam 30 minit.

Untuk pengetahuan anda yang ingin ke sini untuk menyelam skuba, lautannya cukup kaya dengan hidupan marin makro ataupun fauna bersaiz kecil yang sangat seronok untuk dilihat. Pulau ini menawarkan kepelbagaian hidupan laut yang rare atau sukar ditemui. Apa lagi? Sediakan kamera kalis air anda sebelum ke sini!

Di samping itu, pulau ini turut menjadi tempat penetasan telur pilihan penyu sisik dan penyu hijau. Dikatakan, penyu hijau akan datang menetaskan telur di sini sepanjang tahun namun musim kemuncaknya adalah dari bulan Mei hingga September.  Manakala, kehadiran penyu sisik pula agak kurang jika dibezakan dengan penyu hijau.

Alamat: Pom-Pom Island, Sabah


13. Pulau Sipadan

Jika terfikir-fikir mana satukah pulau untuk dilawat di Sabah dalam kekangan masa, Pulau Sipadan patut menjadi pilihan utama. Ianya mesti dilawat walau sekali dalam seumur hidup.

Jangan tak tahu, pulau ini dikatakan sebagai salah satu destinasi menyelam skuba yang terbaik di dunia sehingga pernah mendapat liputan di dalam media antarabangsa seperti Discovery Channel dan National Geographic.

Selain itu, kalau anda nak tahu, ekosistem lautan sekitar Pulau Sipadan ini sangat kaya dengan pelbagai spesies batu karang dan ikan yang dianggarkan lebih daripada 3000 jenis. Jika anda menyelam ke dasar laut Pulau Sipadan juga, mata anda akan didedahkan kepada kawasan ‘perkuburan’ penyu iaitu dasar laut yang dipenuhi dengan cengkerang penyu yang telah mati.

Alamat: Pulau Sipadan, Sabah


12. Pulau Tiga

Dari namanya sahaja dapat diteka bahawa Pulau Tiga ini sebenarnya terdiri daripada 3 buah pulau yang keseluruhannya membentuk Taman Negara Pulau Tiga. Terletak 48 km dari selatan Kota Kinabalu, Pulau Tiga mula dikenali selepas dijadikan sebagai lokasi penggambaran rancangan realiti berbentuk gameshow, Survivor: Borneo musim pertama pada tahun 2000.

Apa yang menariknya di Pulau Tiga adalah kolam lumpur gunung berapinya yang dikatakan memiliki kesan terapi yang baik untuk kesihatan. Disebabkan kebaikannyalah ramai yang sanggup terjun ke dalam kolam lumpur ini. Oleh itu, janganlah terkejut sekiranya terlihat lembaga-lembaga manusia yang diselaputi lumpur berjalan di sekitar pulau ya?

Sebelum anda merancang untuk ke sini, anda perlu tahu bahawa salah satu haiwan yang mendiami pulau ini adalah ular yang dikatakan antara yang paling beracun di dunia, namun begitu, spesies ular di pulau ini tidak agresif.

Alamat: Pulau Tiga, Sabah


Baca: 20 Tempat Menarik Di Sandakan Untuk Percutian Keluarga Istimewa

11. Taman Marin Tunku Abdul Rahman

Tunku Abdul Rahman Park Sabah
Sumber: Go Aquatic

Taman Marin Tunku Abdul Rahman adalah kawasan taman yang meliputi 5 buah pulau, iaitu Pulau Mamutik, Pulau Sulug, Pulau Sapi, Pulau Manukan dan Pulau Gaya yang mana kesemuanya merupakan destinasi pelancongan yang terkenal dek kerana lokasinya yang terletak tidak terlalu jauh dari Kota Kinabalu.

Pada asalnya, iaitu ketika Zaman Ais sekitar satu juta tahun yang lalu, Taman Marin yang berkeluasan 4,929 hektar ini telah terpecah kepada beberapa bahagian daripada sebuah tanah besar sehingga terbentuknya pulau-pulau ini.

Cukup menarik bagaimana keadaan bentuk muka bumi boleh berubah dengan begitu drastik namun dalam masa yang sama menyimpan keindahan alam yang wujud dengan penuh harmoni.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sekitar Taman Marin ini adalah parasailing, sea-walking, menyelam skuba dan snorkeling. Untuk pengetahuan anda, dikatakan terdapat lebih daripada 25 lokasi menyelam untuk diterokai di sekitar taman ini.

Alamat: Taman Marin Tunku Abdul Rahman, Sabah


10. Taman Pulau Penyu

Terletak 40 km dari bahagian utara Sandakan, Taman Pulau Penyu adalah gugusan kepulauan yang menjadi pilihan pelbagai jenis penyu untuk menunjukkan kelibat mereka bagi menetaskan telur.

Jika pengalaman melihat penyu bertelur adalah di dalam bucket list anda, pastikan anda melawat mana-mana daripada 3 buah pulau yang membentuk Taman Pulau Penyu ini iaitu Pulau Gulisan, Pulau Selingan dan Pulau Bakungan Kechil.

Sebagai info sebelum anda meneruskan misi ini bersama keluarga, anda perlu tahu bahawa penyu-penyu ini akan bertelur pada waktu malam, tapi bulan yang paling meriah dengan penetasan telur adalah pada bulan Oktober setiap tahun. Rancang waktu perjalanan anda betul-betul sebelum ke sini ya?

Namun begitu, anda hanya dibenarkan melihat penyu ini dari jauh supaya tidak mengganggu proses penetasan. Selepas selesai, anda boleh mengutip telur ini (di bawah pengawasan) untuk dibawa ke lokasi yang selamat daripada pemangsa.

Selain melihat penyu bertelur, anda juga berpeluang untuk melepaskan anak-anak penyu yang telah menetas ke dalam laut. Satu pengalaman yang pasti akan sentiasa tersemat di dalam ingatan.

Alamat: Taman Pulau Penyu, Sandakan, Sabah


9. Pulau Manukan

Pulau Manukan Sabah
Sumber: Pinterest

Salah satu daripada 5 buah pulau di dalam Taman Marin Tunku Abdul Rahman, Pulau Manukan adalah pulau yang kedua terbesar daripada yang lain.

Bukan sahaja mempunyai kawasan yang luas untuk diterokai, tapi juga memiliki fasiliti yang paling sempurna dengan kemudahan seperti padang bola sepak, kolam renang, bekalan elektrik, sistem pembetungan, telefon awam dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja sebab untuk anda melawat pulau ini, kerana kehebatannya sebagai sebuah tarikan alam semula jadi juga tidak kurang hebatnya.

Memiliki pantai yang luas berkepanjangan 1500 meter, airnya juga yang tenang dan cetek dapat dinikmati dengan sepuas hati oleh seisi keluarga tanpa rasa risau.

Di samping itu, pulau ini juga merupakan salah satu lokasi snorkeling yang pasti best dimana anda dapat melihat lintasan ikan Nemo di depan mata pada bila-bila masa.

Aktiviti lain yang ditawarkan di Pulau Manukan adalah banana boat ride, flying fish, jet ski dan sea-walking. Anda juga boleh merancang untuk mendaki bukit menuju ke Sunset Point yang mana anda akan dihidangkan dengan pemandangan memukau Laut China Selatan dan pokok-pokok bakau yang eksotik.

Alamat: Pulau Manukan, Sabah


8. Pulau Sapi

Pulau Sapi Image
Sumber: Sharif Putra

Nak buat sesuatu yang ekstrem? Anda dapat melakukan aktiviti menggugurkan jantung dengan menaiki flying fox yang merentas lautan dari Pulau Gaya ke Pulau Sapi. Jangan lupa untuk memakai kamera GoPro sebelum buat aktiviti yang ‘out of this world’ kepuasannya ini.

Walaupun merupakan pulau yang terkecil daripada 5 buah pulau di dalam Taman Marin Tunku Abdul Rahman, aktiviti seronok yang ditawarkan pulau ini mengalahkan pulau-pulau yang lain.

Padu dengan aktiviti menarik untuk dicuba seperti mendaki bukit untuk menikmati pemandangan Borneo Reef World, menyelam skuba di dalam air yang jernih seperti menonton TV Ultra HD, berkelah dan macam-macam lagi.

Alamat: Pulau Sapi, Sabah


7. Pulau Bohey Dulang

Di dalam bahasa Bajau, Bohey bermaksud ‘air’ dan Dulang pula bermaksud ‘kolam’. Pulau ini mungkin diberi nama berdasarkan kewujudan beberapa buah kolam berbentuk bujur di sepanjang laluan air sungai di pulau ini.

Terletak hanya dalam sekitar 35 minit perjalanan bot dari Semporna, Pulau Bohey Dulang dikatakan menyimpan legenda tersendiri.

Al-kisahnya pada suatu ketika dahulu, pulau ini pernah dijadikan tempat seorang puteri cantik bernama Salamia daripada Pulau Bum-Bum disorokkan oleh keluarganya daripada dikahwinkan secara paksa oleh seorang raja dari selatan Filipina. Malangnya, puteri ini hilang beberapa hari kemudian tanpa dapat dikesan.

Ramai yang mengatakan air dari kolam-kolam kecil di Pulau Bohey Dulang ini menjadi tempat minuman Puteri Salamia. Apa yang lebih menarik daripada melawat lokasi yang mempunyai kisah tersendiri?

Bukan sahaja menyimpan kisah yang menarik, Pulau Bohey Dulang turut menjadi tarikan ramai kerana kewujudan kawasan puncak bukitnya yang menyajikan pemandangan yang sungguh menakjubkan keseluruhan pulau.

Alamat: Pulau Bohey Dulang, Sabah


6. Pulau Banggi

Pulau Banggi Sabah Image
Sumber: Prides Tour

Berkeluasan 440.7 km persegi, Pulau Banggi adalah pulau yang terbesar di Malaysia yang diikuti oleh Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.  Siapa sangka pulau yang jarang didengar ini memegang rekod sebegini rupa bukan?

Terletak di bahagian utara Sabah, Pulau Banggi menempatkan 15 kawasan perkampungan yang menjadi tempat penempatan pelbagai suku kaum seperti suku Dusun Bonggi, suku Bajau Ubian, suku Suluk, suku Kagayan dan lain-lain lagi.

Kalau sudah namanya pulau, hasil utamanya sudah semestinya melibatkan hidupan laut. Bagi para peminat ketam dan udang, datanglah ke pulau ini untuk menikmati hidangan segarnya  dalam harga yang murahnya bukan kepalang. Tak percaya? Mai singgah cuti nanti.

Alamat: Pulau Banggi, Sabah


5. Pulau Bum Bum

Terletak berdekatan dengan Pekan Semporna, Pulau Bum Bum hanyalah 1 km dari daratan Sabah. Pulau yang dikatakan memiliki saiz yang tidak jauh bezanya daripada negara Singapura ini merupakan destinasi percutian pulau yang cukup murah jika dibezakan dengan pulau-pulau Sabah yang lain. Namun keindahannya tetap menjadi pujaan hati dunia.

Baca: Senarai Destinasi Paling Popular Di Kota Kinabalu

Air yang jernih menjadikan ia lokasi hebat untuk bersnorkeling dan menyelam skuba untuk menikmati aneka hidupan marin yang bergerak bebas di dalam air. Keindahan pemandangan sekitarnya juga membuatkan ia destinasi yang menarik untuk menajamkan bakat fotografi anda.

Alamat: Pulau Bum Bum, Sabah


4. Pulau Mataking

Mataking Island Sabah
Sumber: Sabah Tourism

Jika daya tarikan utama di pulau lain adalah kekayaan alam semula jadinya, Pulau Mataking pula ada nilai bonus yang tersendiri. Kalau anda nak tahu, di Pulau Mataking ini terdapat Pejabat Pos Dalam Air yang pertama dan satu-satunya di negara ini.

Ianya wujud bukanlah kerana motorsikal ‘mat despatch’ yang tenggelam di dasar lautan, tapi adalah disebabkan kapal kargo kayu lama yang sengaja ditenggelamkan pihak resort untuk mewujudkan kawasan terumbu buatan yang dalam masa yang sama menjadi peti pos bawah air.

Mesti anda tertanya-tanya bagaimana pula surat diposkan di dalam air? Anda boleh meletakkan surat ke dalamnya dengan melindungi surat anda menggunakan beg kalis air. Unik bukan?

Selain itu, pulau ini turut kaya dengan kawasan-kawasan menyelamnya yang dikatakan terdapat lebih daripada 30 buah. Kesemua lokasi menyelam ini kaya dengan hidupan laut  yang dapat dilihat jelas melalui air yang jernih. Sekiranya anda merancang untuk menyelam skuba, waktu yang terbaik adalah dari bulan April hingga Jun.

Alamat: Pulau Mataking, Semporna, Sabah


3. Pulau Sibuan

Pulau Sibuan Sabah
Sumber: Friends of BN

Sebahagian daripada Taman Marin Tun Sakaran, Pulau Sibuan adalah sebuah pulau di Sabah yang terindah di permukaan Laut Sulawesi. Untuk menuju ke arah permata indah ini dari Semporna hanyalah mengambil masa 40 minit perjalanan bot.

Tiba sahaja di pulau ini, jangan buang masa lagi! Terus sahaja menyelam skuba untuk mendekati hidupan marin makro yang dikatakan antara yang terbaik di Malaysia. Anda dapat melihat kehadiran pelbagai spesies fauna seperti kuda laut, ikan singa, ikan kala jengking dan banyak lagi.

Namun begitu, tiada sebarang penginapan ditawarkan di pulau ini. Kawasan penginapan terdekat boleh ditemui di Pulau Pom Pom dan Pulau Mataking.

Alamat: Pulau Sibuan, Sabah


2. Pulau Timba Timba

Pulau Timba-Timba Sabah
Sumber: Sabah Info

Keindahan perairan di sekitar pulau yang diberikan nama Pulau Timba Timba ini cukup mengujakan. Nilai estetika yang dihasilkan daripada air dengan 3 lapisan warnanya ini cukup luar biasa.

Pulau yang terletak berhampiran dengan Pulau Mataking Kecil dan Pulau Mataking ini juga menjadi tempat persinggahan penyu. Lautannya pula, kaya dengan hidupan laut seperti moray eels, barakuda, udang kara, sotong besar dan banyak lagi.

Alamat: Pulau Timba Timba, Sabah


1. Taman Marin Tun Sakaran

Juga dikenali sebagai Taman Kepulauan Semporna, Taman Marin Tun Sakaran terdiri daripada pulau-pulau Bohey Dulang, Bodgaya, Sabangkat, Salakan, Mantabuan, Maiga, Sibuan, Tatagan dan kawasan terumbu Kapikan serta Church yang secara keseluruhannya berkeluasan 35,000 hektar.

Di dalam lingkungan taman marin ini, anda dapat menikmati tarikan alam semula jadi panorama indah hidupan marin, menyaksikan keindahan pulau yang jauh dari sebarang nodaan pembangunan, mendekati kehidupan masyarakat Bajau Laut, melihat pesona cahaya bintang berkelipan dan banyak lagi yang selama ini hadir di dalam mimpi indah anda.

Alamat: Taman Marin Tun Sakaran, Semporna, Sabah


Ternyata anda tidak perlu menempah tiket ke Maldives untuk merasai percutian di kepulauan tropika yang menjanjikan dunia penuh ketenangan dan kesegaran. Segalanya ada di dalam negara sendiri yang terletak di bahagian utara kepulauan Borneo, Sabah.

Baca: 17 Destinasi Terbaik Di Labuan

Sabah bukan sahaja dianugerahkan dengan tarikan pulau-pulau indah, kerana ia juga menawarkan pelbagai tarikan hebat yang lain yang padat dengan keseronokan seperti yang disenaraikan di dalam artikel kami bertajuk 45 Tempat Menarik Di Sabah.

Sudah tahu dimana nak dijejakkan kaki di Sabah, jangan lupa untuk menempah tempat penginapan dengan tawaran harga yang terbaik di booking.com. Perjalanan sudah dirancang, hotel pun dah dibooking, tunggu apa lagi?  Semoga berseronok merealisasikan impian percutian anda di Sabah!

4.4/5 - (48 votes)