12 Pulau Di Terengganu Untuk Percutian Pulau Yang Luarbiasa

Bilakah kali terakhir anda melihat sebuah pemandangan terindah yang membuatkan nafas anda terhenti seketika? Ingin merasainya sekali lagi? Rancanglah untuk ke pulau yang terdapat di perairan Terengganu untuk percutian yang akan datang.

Terengganu bukan hanya terkenal dengan keropok lekor dan industri batiknya, tetapi juga pulau-pulau di sekitarnya yang memiliki keindahan yang mampu mempesonakan jiwa  sehingga terbawa-bawa ke mimpi. Pantai yang berpasir putih dan laut yang jernih, pulau-pulau ini menjadi destinasi impian ramai bukan sahaja rakyat Malaysia, malahan juga pelancong dari luar negara.

Bagi penduduk di Semenanjung, tidak perlu terbang jauh ke Sabah untuk menikmati ketenangan pulau kerana pulau tropika yang terletak di perairan Terengganu juga sebenarnya adalah antara yang terbaik di Malaysia. Tak percaya? Teruskan membaca artikel 12 pulau di Terengganu ini untuk membantu anda membayangkannya.

12. Pulau Redang

Pulau Redang Terengganu Image
Sumber: The Taaras Beach & Spa Resort

Trademark pelancongan di Terengganu, Pulau Redang adalah antara pulau yang paling banyak dilawati di negeri ini. Pantai yang berpasir putih dengan pemandangan air laut yang membiru, Pulau Redang sememangnya destinasi percutian yang sempurna untuk anda yang mengidamkan ketenangan dari keriuhan kota.

Terletak 45 km dari daratan Kuala Terengganu, Pulau Redang adalah pulau yang terbesar daripada 9 buah pulau yang dilindungi di dalam perairan Terengganu. Masa yang diambil untuk sampai ke Redang adalah dalam sekitar 1 jam sekiranya bertolak dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang.

Untuk pengetahuan anda, Redang memiliki dua lokasi kapal karam iaitu kapal H.M.S Prince of Wales dan kapal H.M. Repulse yang tenggelam sewaktu Perang Dunia Ke-2. Lokasi-lokasi ini boleh menjadi tempat menyelam yang menarik untuk diterokai.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah snorkeling, merentas hutan dan lain-lain lagi. Bagi anda yang ingin melakukan sesuatu yang lebih santai, menikmati pemandangan matahari terbit adalah salah satu pengalaman yang tidak patut dilepaskan. Bangunlah seawal 4 ke 5 pagi untuk menyaksikannya.

Lokasi: Pulau Redang, 21090 Kuala Terengganu

Lihat Tawaran Hotel Terbaik Di Pulau Redang


11. Pulau Kapas

Pulau Kapas Terengganu Image
Sumber: Lokman Hamid

Teringin untuk menikmati sotong yang segar? Apa kata kalau pergi mencandat sotong di Pulau Kapas? Inilah salah satu aktiviti yang terkenal di pulau kecil ini. Lokasinya pun tidak begitu jauh dari jeti Marang, dengan jarak yang hanyalah 6 km. Selalunya, ramai yang turun ke pulau ini untuk mencandat sotong pada sekitar bulan Jun dan Julai.

Pulau Kapas juga tidak sesibuk pulau lain walaupun pada musim cuti sekolah. Kalau anda inginkan ketenangan sebenar, inilah satu destinasi yang boleh dipertimbangkan.

Kurang dilawati tidak bermakna ianya kurang menarik berbanding yang lain, Pulau Kapas adalah sebuah pulau kecil yang mempunyai keindahan yang cukup terjaga. Air yang jernih kebiruan menyimpan kepelbagaian hidupan marin yang menanti untuk diteroka. Kalau anda nak tahu, lokasi yang terbaik  untuk menyelam adalah di antara Pulau Kapas dan Pulau Gemia yang terletak di kawasan sebelah barat pulau.

Setelah puas menikmati pemandangan di dalam lautan, anda boleh berehat-rehat di sekitar pantai yang dikelilingi oleh pokok-pokok kelapa sambil tenggelam dalam dunia angan-angan.

Lokasi: Pulau Kapas, Terengganu


10. Pulau Gemia

Pulau Gemia Terengganu Image
Sumber: Amazing Terengganu

Terletak tidak jauh dari Pulau Kapas dengan jarak hanya 800 meter adalah Pulau Gemia. Lokasinya dari tanah Semenanjung pula hanyalah 5 km. Sekiranya anda bertolak ke sini dari jeti Marang menggunakan bot laju, masa yang diambil hanyalah 15 minit.

Setibanya anda ke pulau yang turut dinamakan Coral Island ini, anda akan terpana melihat keindahan pantainya yang dikelilingi oleh terumbu batu karang. Bukan itu sahaja, kalau anda bernasib baik, mungkin anda dapat melihat ketibaan sang penyu daripada spesies Agar yang datang untuk bertelur di kawasan pantai.

Selain melihat penyu bertelur, aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah merentas hutan, berkayak dan sudah semestinya bersnorkeling di kawasan perairannya yang kaya dengan batu karang yang terbentuk dengan indah.

Lokasi: Pulau Gemia, Marang


Baca: 11 Pulau Menarik Di Johor

9. Pulau Rhu Hentian

Pulau Rhu Hentian Terengganu Image
Sumber: Malaysia Tourism

Pulau yang terletak dalam sekitar 15 batu nautika dari Kuala Besut di bahagian utara Terengganu ini tidaklah tertulis di dalam peta pelancongan sebagai destinasi yang terkenal untuk dilawati. Tapi, tak kenal maka tak cinta, Pulau Rhu Hentian sebenarnya setanding keindahannya dengan pulau lain yang terdapat di sekitar perairan Terengganu.

Pulau yang berkeluasan 1.4 hektar ini cukup mudah untuk diterokai, sedar tak sedar, dalam masa kurang 2 jam sahaja anda telah dapat melihat keindahan di setiap pelusuk pulau ini.

Memiliki air laut yang jernih di sekitarnya, setelah puas meneroka sekitar daratan, anda boleh meneruskan aktiviti dengan menyelami lautannya yang penuh dengan keindahan marin, dari batu-batu karang, siput, rumpai air hinggalah kepada pelbagai spesies ikan.

Untuk menuju ke sini, anda boleh menaiki bot laju dari terminal pelancongan Kuala Besut yang hanyalah mengambil masa 20 minit. Dengan bot biasa pula, hanyalah memakan masa 30 minit.

Lokasi: Pulau Rhu Hentian


8. Pulau Perhentian Kecil

Pulau Perhentian Kecil Terengganu Image
Sumber: Muzammil Baharun

Untuk pengetahuan anda, Pulau Perhentian sebenarnya terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar.

Berkenaan Pulau Perhentian Kecil, ia merupakan sebuah pulau indah yang menawarkan dua kawasan pantai dengan atmosfera yang berbeza iaitu Long Beach  (Pantai Panjang) dan Coral Bay di bahagian yang lain.

Pantai Panjang merupakan lokasi yang paling meriah tanpa mengira siang atau malam. Memiliki kawasan pantai yang berpasir putih halus dan air yang jernih, pantai yang berbentuk bulan sabit ini menjadi pilihan ramai untuk berenang, berkelah dan bersnorkeling.

Manakala, di sudut Coral Bay pula, anda dapat menikmati pemandangan matahari terbenam yang sungguh mengujakan pandangan mata. Kawasan sekitar Coral Bay ini juga lebih privasi berbanding Pantai Panjang sekiranya anda ingin bersendiri mencari ketenangan jiwa.

Kedua-dua kawasan pantai ini dihubungkan dengan denai hutan yang kecil yang hanyalah memakan masa 15 minit untuk dilalui.

Lokasi: Pulau Perhentian Kecil, Besut


7. Pulau Lang Tengah

Pulau Lang Tengah Terengganu
Sumber: Tourism Malaysia

Namanya, Pulau Lang Tengah, cukup sesuai dengan lokasinya yang terletak di tengah-tengah iaitu antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Perkataan ‘Lang’ pula adalah kerana kehadiran burung-burung helang di pulau ini.

Walaupun nama pulau ini tidaklah segah pulau Redang dan Perhentian, namun keindahan hidupan marin di dasar laut di sekitarnya sungguh indah untuk dinikmati melalui aktiviti snorkeling dan menyelam skuba. Panorama dalam air yang ditawarkannya boleh dikatakan bertaraf dunia.

Selain itu, sekiranya anda datang ke sini dari bulan Mei ke September, anda mungkin dapat melihat di depan mata kedatangan penyu-penyu yang mendarat untuk bertelur di kawasan pantai pulau.

Untuk menuju ke pulau ini, anda perlu menaiki bot laju dari jeti bot di Merang, Setiu yang hanyalah mengambil masa sekitar 30 ke 40 minit.

Lokasi: Pulau Lang Tengah, Kuala Terengganu


6. Pulau Rawa

pulau rawa terengganu image
Sumber: Mohd Muazim Azim

Pulau Rawa bukan sahaja ada di Johor, kerana Terengganu juga memiliki pulau dengan nama yang sama. Pulau yang terletak di Besut, Terengganu ini setanding keindahannya dengan Pulau Rawa yang terletak di Mersing, Johor.

Air lautnya yang biru jernih bak kristal menampakkan keindahan terumbu-terumbu karang yang terbentuk indah di dasar laut berdekatan dengan daratan pantai. Pemandangan di sekitar Pulau Rawa ini cukup mengasyikkan tanpa perlu bersnorkeling untuk melihat keindahan panorama dalam airnya.

Namun begitu, pulau ini agak kurang dilawati kerana tidak menawarkan sebarang penginapan. Ini menjadikan Pulau Rawa terpelihara daripada sebarang pencemaran, bagus jugakan? Lawatilah Pulau Rawa untuk menikmati keindahan pulau yang persis di syurga.

Sekiranya anda ingin ke sini, anda boleh menaiki bot yang disediakan dari Pulau Perhentian. Sebelum ke sini, anda boleh mengatur untuk melakukan aktiviti snorkeling dengan pihak penginapan.

Lokasi: Pulau Rawa, Besut


5. Pulau Serenggeh

Pulau Serenggeh Terengganu Image
Sumber: Ash Raja

Nama lain bagi Pulau Serenggeh adalah Serengeti atau Serengeh. Pulau ini memiliki kawasan pantai yang indah berpasir putih untuk anda bersantai sambil menikmati pemandangan tenang yang terbentang luas di depan mata.

Setelah puas menenangkan minda, jangan melepaskan peluang untuk menyaksikan keindahan dasar kawasan perairan di sekitar pulau ini yang sungguh mempesonakan. Anda dapat melihat batu karang jenis table coral yang banyak terdapat di sini.

Yang menambahkan lagi keindahan table coral ini adalah kerana pantulan cahaya mentari yang menembusi lautan yang dapat dilihat pada permukaan karang. Kilauannya sungguh memukau jiwa.

Lokasi: Pulau Serenggeh


4. Pulau Tenggol

Tenggol Island Terengganu Image
Sumber: Tenggol Island Beach Resort Malaysia

Jarang didengari namun pulau ini sebenarnya pernah dikatakan sebagai destinasi menyelam yang terbaik di Semenanjung Malaysia di dalam Asian Diver Magazine Annual Edition.

Pulau dengan reputasi hebat ini menawarkan 20 tempat menyelam yang patut anda terokai walau sekali dalam seumur hidup. Antara lokasinya adalah di Batu Tokong Laut yang kaya dengan ikan selar dan batu karang, manakala Teluk Air Tawar pula menjadi tempat penyu berkeliaran.

Destinasi menyelam terkenal yang lain adalah Batu Chanang, Tokong Burung dan Coral Garden. Sesetengah kawasan menyelam di sini menawarkan pemandangan kapal karam.

Untuk pengetahuan anda yang bercadang ke sini, Pulau Tenggol terletak hanya 50 minit perjalanan bot dari jeti Kuala Dungun.

Lokasi: Pulau Tenggol


3. Pulau Bidong

Pulau Bidong Terengganu Image
Sumber: Mohamad Solihin Bin Ismail

Untuk pengetahuan anda, Pulau Bidong tidak menawarkan sebarang tempat penginapan. Kebiasaannya, sesiapa yang ingin meneroka pulau ini akan menginap di Kuala Terengganu sebelum mengambil bot dari jeti Marang.

Jangan terkejut, sebaik sahaja sampai di pulau ini dan meneroka kawasan sekitarnya, pulau ini sebenarnya adalah sebuah pulau yang ditinggalkan. Untuk pengetahuan anda, Pulau Bidong pernah dijadikan sebagai tempat penempatan pelarian Vietnam sewaktu berlakunya peperangan antara Vietnam dan Amerika pada tahun 1975.

Berjalan-jalan di sekitar pulau ini anda akan terlihat banyak bangunan-bangunan terbiar seperti sekolah, rumah panjang, gereja, tokong, kedai roti, pasar, kedai jahit, pejabat pos, bar, bengkel dan banyak lagi. Bagi anda yang suka dengan aktiviti penerokaan kawasan terbiar, inilah salah satu syurganya.

Tak berani untuk mendekati tapak-tapak yang terbiar? Anda boleh sahaja datang untuk menikmati keindahan panorama dalam laut yang ditawarkan kawasan perairan pulau ini. Antara lokasi menyelam yang terdapat di sini adalah Batu Takorak, Pulau Yu Besar & Kechil, serta Blue Garden yang kaya dengan kehadiran hidupan laut Blue Anemone yang mengeluarkan cahaya biru dari badannya.

Lokasi: Pulau Bidung Laut, Kuala Terengganu


2. Pulau Duyong

Pulau Duyong Terengganu Image
Sumber: Ridzuan Zainuddin

Terletak di muara Sungai Terengganu, Pulau Duyong pada suatu ketika dahulu pernah terbahagi kepada Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil, namun pemendapan telah menyatukan kedua-duanya.

Pulau ini tidak seperti pulau lain yang rancak dengan aktiviti menyelam dan keindahan laut dalamnya. Tarikan yang ditawarkan Pulau Duyong pula adalah kerana kewujudan kawasan perkampungan dengan penduduk yang hidup dalam penuh keharmonian.

Di sini, anda dapat menyaksikan pertandingan bermain layang-layang yang sering diadakan pada waktu petang di mana perlawanan antara kampung akan diadakan untuk mencari jaguh layang-layang. Banyak strategi yang digunakan untuk memenangi permainan ini. Percayalah, pertandingan ini cukup menghiburkan untuk dilihat.

Selain itu, anda juga boleh melawat bengkel pembuatan kapal kayu, Kota Lama Duyong, kedai-kedai makan dan banyak lagi untuk menyelami kehidupan masyarakat kampung di sini. Untuk pengetahuan anda yang merancang ke Pulau Duyong, pulau ini boleh diakses dengan merentasi sungai menggunakan bot ataupun melalui jalan raya.

Lokasi: Pulau Duyong, Kuala Terengganu 21300


1. Pulau Perhentian Besar

Pulau Perhentian Besar Terengganu Image
Sumber: Mohd Fazlin Mohd Effendy Ooi / CC By 2.0

Kalau Perhentian Kecil agak meriah di kawasan pantai panjangnya, Pulau Perhentian Besar pula secara keseluruhannya menawarkan ketenangan yang diimpikan.

Di sini anda boleh berbaring di atas hammock sambil melihat pemandangan air laut yang tenang ataupun membaca buku kegemaran. Anda boleh bersantai di tepi pantai ini sehinggalah waktu matahari terbenam untuk sebuah pemandangan yang pasti tidak dapat dilupakan.

Setelah seharian bersantai, esoknya, anda boleh merancang untuk bersnorkeling ataupun menyelam skuba untuk menyaksikan keindahan karang dan ikan yang penuh warna-warni.

Untuk aktiviti menyelam skuba, kebanyakan resort-resort di pulau ini menawarkan kursus menyelam di pusat-pusat menyelam yang lengkap dengan segala peralatan.

Selain menyelam skuba, anda juga boleh merentas hutan untuk melihat fauna yang terdapat di pulau ini, berkayak untuk meneroka sekitar perairannya, ataupun melibatkan diri dalam projek pemeliharaan penyu yang ditawarkan oleh banyak resort di sini.

Lokasi: Pulau Perhentian Besar, Besut

Lihat Tawaran Terkini Hotel Di Pulau Perhentian


Rasa tak sabar untuk menikmati percutian di pulau-pulau ini? Sebelum memulakan rancangan percutian anda, penting untuk anda tahu bahawa pulau di Terengganu ini hanyalah boleh dilawati dari bulan Mac sehinggalah akhir bulan Oktober. Manakala, dari bulan November hingga akhir Februari pula, pulau-pulau ini akan ditutup sementara disebabkan oleh musim tengkujuh.

Sudah tahu tarikan pulau yang ditawarkan Terengganu, anda mungkin ingin  melengkapkan percutian anda di negeri ini dengan melawat tarikan lain yang ditawarkannya bukan? Oleh itu, anda dijemput untuk membaca artikel kami tentang Tempat Menarik Di Kuala Terengganu.

Sekiranya anda mendambakan percutian di tepi pantai pula, anda boleh singgah untuk membaca artikel kami bertajuk Tempat Menarik Di Cherating.

Akhir kata, berdasarkan artikel ini, jelas sekali negeri Terengganu cukup kaya dengan pulau-pulau yang bukan sahaja indah tetapi ada juga yang menawarkan pengalaman yang unik bagi yang tidak gentar untuk mencuba sesuatu yang baru.

Dari pulau yang menawarkan keindahan lautan jernih hinggalah kepada pulau bermisteri, dari manakah anda ingin memulakan langkah eksplorasi anda? Semoga anda mendapat percutian yang penuh keseronokan walau dimana sahaja pulau yang dipilih untuk dijejaki. Selamat bercuti ke pulau indah di Terengganu!



Related Posts