Pulau-pulau di Malaysia bukanlah calang-calang. Malah, pulau-pulau kita memang terkenal di mata dunia sebagai antara yang tercantik dan terjaga.
Tambahan pula, terlalu banyak pilihan pulau di negara kita. Untung,kan jadi rakyat Malaysia? Mari kami kongsikan tentang salah satu pulau kegemaran ramai, Pulau Redang. Bolehlah rancang percutian anda nanti.
Lokasi
Pulau Redang terletak di perairan negeri Terengganu. Dikelilingi 9 pulau lain, Pulau Redang adalah antara pulau paling cantik di sini.
Dengan airnya yang jernih, pantainya yang bersih dan spot-spot percutiannya yang unik, tidak hairanlah ia menjadi antara destinasi popular setiap tahun. Untuk ke sini, anda boleh mengambil beberapa transport dari beberapa lokasi:
- Jeti Syahbandar – Anda boleh mengambil feri dari Jeti Syahbandar di Kuala Terengganu. Masa perjalanan dari jeti ke pulau akan mengambil masa selama 1 jam setengah.
- Jeti Merang – Jeti Merang terletak di bahagian utara Kuala Terengganu. Walaupun lebih dekat ke Pulau Redang, anda perlukan masa dalam 40 minit memandu dari Kuala Terengganu ke Jeti Merang. Tetapi perjalanan feri dari sini ke Pulau Redang hanya mengambil masa 45 minit sahaja.
- Kapal Terbang – Anda juga boleh menaiki kapal terbang dari Subang Jaya ke Pulau Redang terus. Berjaya Air boleh membawa anda dari Lapangan Terbang Subang ke Pulau Redang dalam masa 1 jam sahaja.
Penginapan
Di Pulau Redang, anda tidak perlu risau tentang penginapan. Seluruh pulau ini penuh dengan resort, chalet dan hotel yang sedia menanti kehadiran anda.
Dari hotel mewah hingga ke penginapan bajet, penginapan di sini memang cantik-cantik belaka. Ini antara penginapan yang boleh kami kongsikan:
Hotel |
Deskripsi |
The Taaras Beach & Spa Resort | Hotel 5 Bintang dengan bilik mewah, pantai persendirian dan lokasi terbaik di Pulau Redang. |
Sari Pacifica Resort & Spa | Penginapan dikelilingi air dan pemandangan yang sangat cantik. Terdapat pilihan bilik yang mempunyai akses terus ke pantai. |
Redang Paradise Resort | Bilik luas, berhadapan dengan pantai memberikan pemandangan hebat. Menawarkan berenang bersama penyu dan pakej snorkeling. |
Redang D’ Rimba Resort | Chalet yang unik dan dikelilingi alam semulajadi. Dikatakan makanan mudah didapati dan sedap-sedap belaka. Agak berjauhan dari pantai. |
Itu antara hotel-hotel yang boleh kami kongsikan. Namun, anda boleh cari dan pilih sendiri jenis penginapan yang ditawarkan, mengikut kesesuaian percutian, bajet dan saiz keluarga anda.
Aktiviti
Pulau Redang memang cukup lengkap dengan aktiviti-aktiviti menarik yang akan menambahkan lagi adventure dalam percutian anda. Berikut adalah beberapa aktiviti popular yang boleh dilakukan.
Snorkeling
Tidak lengkap percutian anda sekiranya tidak pergi snorkeling di Pulau Redang. Terdapat banyak tapak-tapak snorkeling yang boleh anda kunjungi untuk melihat keindahan hidupam laut.
Hanya naiki bot untuk ke spot-spot snorkeling ini. Malah, kebanyakan resort dan penginapan di sini menawarkan pakej snorkeling. Antara spot snorkeling yang perlu anda cuba ialah:
- Tanjung Tengah Redang – pelbagai hidupam laut yang dapat disaksikan di sini termasuk jerung blacktip, baracuda, sotong dan penyu.
- Tanjung Mak Cantik – selain dari haiwan-haiwan laut, anda boleh saksikan pelbagai jenis coral seperti Christmas tree corals yang berwarna- warni.
- Taman Laut Redang – tapak snorkeling paling popular di sini merupakan sebuah taman terumbu karang buatan manusia yang membantu mengekalkan keindahan laut serta ekosistem kehidupan laut di sini.
Scuba Diving
Sekiranya anda lebih adventurous dan sukakan cabaran, boleh cuba scuba diving. Namun, ia lebih membantu jika anda sudah dapat lesen menyelam. Antara tempat-tempat diving yang boleh anda kunjungi termasuk:
- Tunnel Point – terdapat batu-bata besar yang menyerupai terowong.
- Tanjung Tokong – tapak menyelam yang ada Sea Turtle Research Unit (SEATRU) jadi anda berpeluang untuk menyelam bersama penyu-penyu.
- Tanjung Gua Kawah – lebih sesuai untuk penyelam advance kerana ombak yang kuat.
- Che Isa – tempat menyelam yang menarik dengan hidupan laut yang unik.
- Mak Cantik – merupakan tempat yang unik kerana merupakan gunung di bawah laut.
Hiking
Jika anda terasa ingin sesuatu yang berbeza ketika bercuti di Pulau Redang, anda boleh mencuba aktiviti hiking di sini.
Pulau yang kaya dengan alam semulajadi indah ini menawarkan hutan-hutan hijau yang seronok untuk didaki. Terdapat juga 16 spesis Orkid yang boleh anda jejaki. Jangan lupa bawa air minuman.
Waktu Pulau Beroperasi
Pulau Redang dan aktiviti-aktiviti menarik di sini akan terbuka untuk pengunjung dan pelancongan dari bulan Mac hingga ke bulan Oktober. Pada musim tengkujuh, perkhidmatan bot dihentikan dan tiada pelancong yang akan diterima.
Itu dia serba sedikit tentang Pulau Redang, pulau kegemaran ramai. Pulau di pantai timur ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik, makanan yang hebat, pemandangan luarbiasa dan penginapan yang cukup selesa. Jadi pastikan anda datang bercuti di sini untuk percutian yang tidak dilupakan. Selamat bercuti!