Bandaraya Putrajaya lebih dikenali sebagai pusat pemerintahan dan pengurusan negara. Ia juga sering disebut-sebut apabila kita bercerita tentang arkitektur dan seni bina yang impresif dan unik di negara kita. Namun, Putrajaya juga menempatkan pelbagai tarikan lain seperti tasik, taman dan macam-macam lagi untuk anda luangkan masa bersama orang tersayang dan keluarga.
Terkini, Putrajaya membuka sebuah lagi taman yang bakal meraih perhatian antarabangsa. Taman apa? Putrajaya Secret Garden! Taman rahsia magis ini merupakan lokasi terbaru untuk anda dan keluarga berhujung minggu. Mari kami bongkar rahsia taman ini.
Lokasi
Selari dengan pembukaan tempat-tempat baru di Putrajaya seperti Pantai Floria dan Putrajaya Steps, Putrajaya Secret Garden ini dibuka di Taman Putra Perdana Presint 1. Ia terletak berhadapan dengan Hotel Pulse Grande. Malah, jika anda bercadang untuk meluangkan masa beriadah di Putrajaya Steps, perjalanan anda pasti berakhir di Taman Rahsia ini.
Walaupun tarikan utama Putrajaya Secret Garden ini bermula pada sebelah malam, apa salahnya anda nantikan sahaja dari aktiviti petang anda itu.
Bolehlah rehat-rehat lepas dah jogging dan mendaki tangga Putrajaya Steps itu. Atau jika anda memang sedang bersiar-siar bersama keluarga tersayang di sekitar kawasan ini, jangan lepaskan peluang ya.
Tarikan
Kalau anda peminat filem avatar, pasti anda kagum dengan tarikan taman rahsia ini. Putrajaya Secret Garden ini merupakan sebuah taman yang telah direka dan dihias khas menggunakan pelbagai lampu-lampu LED. Lampu-lampu ini melingkari setiap ceruk taman ini menerusi pokok-pokok, laluan atau pathway, gerbang-gerbang khas dan juga infrastruktur yang dibina di sini.
Lampu-lampu LED yang kelihatan seolah-olah helaian yang digantung di pokok-pokok memang menambah lagi suasana magis di sini. Malah terdapat juga bush-bush yang dihias dengan lampu-lampu LED yang kelihatan seperti bunga-bunga bercahaya.
Berjalan melalui laluan-laluan di sini akan membawa anda dan keluarga ke sebuah dunia fantasi. Memang bakal menjadi spot bergambar pilihan ramai, terutama sekali bagi pasangan pengantin.
Tentu unik sangat gambar-gambar kahwin di sini. Walaupun baru sahaja dibuka, gambar-gambar taman ini yang telah berkeliaran di media sosial memang cukup menarik perhatian ramai. Malah, ada pengguna media sosial yang mengatakan taman ini bak taman di luar negara.
Bangga kan orang kita dapat menghasilkan taman seindah ini? Tentunya, ia juga bakal menarik perhatian ramai lagi termasuk pelancong asing. Jadi, pastikan anda kunjungi sebelum ia penuh dan sesak.
Bagi kami, jika anda ingin mengakhiri sebuah hari yang penuh bermakna atau date night atau sekadar meluangkan masa bersama keluarga, Taman Rahsia Putrajaya ini tempat yang tepat sekali.
Bayangkan selepas janji temu bersama isteri atau suami tersayang yang cukup perfect, anda dibawa ke sini untuk berjalan-jalan. Tentu rasa seperti dalam filem, kan? Sesuatu tempat seperti Putrajaya Secret Garden ini dibina untuk menjadi sebahagian dari memori sang pengunjung. Tidak kira pasangan romantis, rakan-rakan baik ataupun keluarga yang kian berkembang, taman ini ingin anda ciptakan memori yang indah.
Kemudahan
Walaupun tidak banyak yang disediakan lagi, taman yang baru dibuka ini terletak di suatu kawasan yang strategik. Tempat letak kereta awam di sini mempunyai tandas awam. Setakat ini tiada bayaran khas yang dikenakan untuk ke taman ini. Malah, tempat letak kereta juga gratis. Kedudukannya berhadapan dengan Hotel Pulse Grande juga akan menambahkan lagi pemandangan cantik dari hotel ini.
Tips
Mari kami kongsikan sedikit tips buat yang akan berkunjung ke sini.
- Tiada tempat makan atau minum yang disediakan di sini. Jadi, jika anda ingin ke sini, bawalah minuman dan snek sendiri atau datang selepas makan di kawasan-kawasan berhampiran.
- Makan malam di sekitar Putrajaya atau di Hotel Pulse Grande sendiri.
- Ioi City Mall Putrajaya hanya 10 minit dari sini, jadi luangkan masa di sini sementara menanti malam
- Lampu-lampu LED dibuka pada jam 7pm ke atas. Buat masa sekarang belum ada waktu operasi dan pembukaan rasmi.
- Pastikan telefon bimbit anda dicas sehingga penuh untuk bergambar dan membuat kontent nanti.
Itu dia serba sedikit tentang Putrajaya Secret Garden yang bakal mewarnai dunia anda. Kebelakangan ini, macam-macam tarikan yang ada di Putrajaya kan? Jadi, jangan lupa untuk kunjungi kesemuanya terutama sekali jika anda tinggal di ibu kota.
Bagi yang tinggal di luar, ambil masa untuk datang ke Putrajaya apabila bercuti ke Kuala Lumpur nanti. Banyak yang menanti anda di sini!
Alamat: Taman Putra Perdana, Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000, Wilayah Persekutuan Putrajaya