
Ada lauk yang sekali makan, terus teringat kampung.
Lebih-lebih lagi bila rasanya datang daripada gulai lemak yang dimakan dengan nasi panas, ikan pekasam yang digoreng garing, sambal tempoyak, ulam-ulaman dan sambal belacan yang begitu sebati dengan selera orang kita.
Bukan makanan yang asing pun, tapi rasa macam inilah yang kadang-kadang buat kita teringat masakan mak atau hidangan yang dulu selalu ada atas meja rumah nenek.

Dan pengalaman menjamu selera yang penuh nostalgia inilah yang cuba dihidupkan semula di Restoran Dulang Tokwan Puncak Alam.
Di Dulang Tokwan, masakan tradisional bukan sekadar pada nama, tetapi pada cara ia dimasak, bahan yang digunakan dan resipi lama yang membawa pengaruh selera Perak.
Terletak di Pusat Perdagangan Hillpark, suasana Dulang Tokwan terasa cukup kena dengan identiti makanannya. Meja kayu, kerusi bercorak rotan dan tona coklat memberi ruang makan ini rasa klasik, manakala susun aturnya pula cukup selesa untuk keluarga yang datang menjamu selera bersama.

Bila lauk mula sampai ke meja, pinggan bercorak bunga klasik yang digunakan nampak cukup serasi dengan luak yang dihidangkan. Namun sebaik sahaja suapan pertama mencecah lidah, barulah jelas bahawa tarikan sebenar ada pada rasanya.
Selera Perak Sebenar
Resipi keluarga yang diwarisi sejak dulu inilah yang menjadi asas kepada hidangan di Dulang Tokwan hari ini.
Walaupun restoran ini baru mula beroperasi pada tahun 2023, masakannya masih berpaksikan resipi orang lama, khususnya lauk kampung dengan pengaruh selera Perak.

Sebab itu ayat “Mengimbau Nostalgia, Resepi Orang Lama” yang terpampang pada papan tanda restoran bukan sekadar sedap dibaca, tapi memang terasa dalam setiap hidangan.
Pengaruh Perak di Dulang Tokwan turut muncul dalam lauk yang disajikan, daripada Ikan Pekasam Hulu Perak dan gulai lemak hinggalah sambal tempoyak, ulam serta kerabu.

Menu Yang Menggoda Selera
Antara menu yang sering jadi tumpuan ialah Gulai Lemak Tokwan, Asam Pedas Tokwan, Kari Kampung Tokwan, Sambal Tumis Tokwan dan Ikan Pekasam Hulu Perak.
Apa yang menarik adalah setiap jenis kuah boleh digandingkan dengan beberapa pilihan lauk, jadi anda boleh pilih sama ada ikan, siput sedut, udang atau ketam mengikut selera.

Gulai Lemak Siput Sedut datang dengan kuah kuning berlemak penuh rasa, siput yang banyak dan keledek yang lembut menyerap kuah. Siput sedut bukan susah nak cari, tapi nak jumpa yang sedap lain cerita.
Kalau anda lebih suka rasa masam pedas yang menyengat, Asam Pedas Tokwan memang kena cuba. Masamnya membuka selera, pedasnya pula mencuit tekak.

Kalau nak rasa satu lauk yang betul-betul membawa jiwa Perak, Ikan Pekasam Hulu Perak patut jadi pilihan pertama. Bila digoreng garing, rasa masin masam hasil peramannya terus menyerlah, memang ngam digandingkan dengan nasi berkuah.
Tambahan pula ada Daging Rendang Hitam, Kerabu Utara, Ayam Goreng Rempah, Telur Dadar, Sambal Belacan dan Sambal Tempoyak untuk melengkapkan hidangan.

Bila pilihan lauk dah macam ni, akhirnya bukan soal mana satu yang sedap. Soalnya, berapa kali nak tambah nasi.
Sarapan Kampung Yang Lengkap
Pagi-pagi lagi dah mengidam makanan Melayu? Bagus. Sebab Dulang Tokwan Puncak Alam memang dah sedia melayan selera anda.
Pilihan sarapannya memang kena dengan tekak orang kita seperti Nasi Ulam, Nasi Lemak Special, Lontong, Maggi Bandung dan Lempeng Kelapa. Ada juga pilihan roti seperti Roti Telur, Roti Sardin, Roti Bom, Roti Planta dan Murtabak.

Antara menu sarapan yang paling mencuri perhatian ialah Lontong. Malah, ada pelanggan yang sudah beberapa kali berkunjung kembali kerana cukup puas hati dengan rasanya.
Untuk yang memburu sarapan tradisional pula, boleh terus order Nasi Ulam, nasi berherba yang penuh dengan hirisan ulam. Segar di lidah, sedap dikunyah memang cara yang terbaik untuk memulakan hari anda.
Datang seorang boleh, ramai-ramai lagi seronok
Kalau makan lauk hidang, memang paling berbaloi bila dinikmati beramai-ramai. Lagi ramai, lagi banyak sajian yang boleh dicuba.
Untuk yang datang berkumpulan, Tokwan Signature Dulang Set memang cara paling mudah untuk mencuba lebih banyak lauk dalam satu pesanan.

Antara pilihannya termasuk Gulai Lemak, Kari Kampung dan Asam Pedas, bersama nasi serta beberapa lauk sampingan yang sesuai untuk dikongsi. Ini yang membuat set dulang mereka sangat berbaloi.
Kalau nak datang seorang pun takpe. Dulang Tokwan turut menyediakan set dulang untuk 1 pax, dan pilihan à la carte pula sesuai kalau anda mahu pesan ikut selera sendiri.

Jadi tak kira datang seorang, berdua atau bersama keluarga, apa yang pasti, Dulang Tokwan mampu memberi pengalaman menjamu selera yang tidak mudah dilupakan.
Apa pelanggan kata?
Pelanggan sendiri nampaknya sudah ada favourite masing-masing. Asam Pedas dan Lontong antara yang mendapat pesanan berulang, sementara masak lemak serta kari kepala ikan turut disebut dengan baik.
Dengan rating sekitar 4.6 daripada 5 daripada lebih 1,300 ulasan Google, satu perkara memang jelas, Dulang Tokwan mesti sedang buat sesuatu dengan betul. Nak kekalkan rating macam ni selepas lebih seribu ulasan bukan satu pencapaian yang mudah.
Mai singgah Puncak Alam
Kekuatan Dulang Tokwan sebenarnya bukan terletak pada satu hidangan tertentu. Ia pada bagaimana semuanya datang bersama, daripada resipi lama dan pilihan menu yang luas hinggalah suasana yang membuat sesi makan terasa begitu mudah dinikmati.
Mungkin itu yang membuat Dulang Tokwan menjadi pilihan hati pencinta lauk tradisional. Datang pagi untuk sarapan, singgah kemudian untuk makan berat, datang seorang atau bawa satu keluarga, semuanya terasa ada tempatnya di sini.
Restoran ini juga milik 100% Melayu Muslim, jadi bolehlah datang makan dengan lebih yakin tanpa perlu rasa was-was.
Kalau anda berada di Puncak Alam, datanglah dengan perut kosong. Selebihnya, biar selera yang menentukan.
Media Sosial: Facebook | Instagram | TikTok
Waktu Operasi: 07.00 pagi hingga 06.00 petang
Alamat: 17, Jalan Hillpark 11/10, Pusat Perdagangan Hillpark, 42300 Puncak Alam, Selangor
No. Telefon: 013 465 5884