Terletak di Petaling Jaya, kira-kira 15km dari Pusat Bandar Kuala Lumpur, siapa yang tidak tahu tentang kewujudan taman tema Sunway Lagoon?
Mempunyai daya tarikan yang tersendiri, bukan sahaja menawarkan kepada pengunjungnya pelbagai aktiviti taman tema air malahan anda juga boleh berseronok dengan aktiviti riadah lain yang pastinya mengujakan.
Gelongsor air berputar, aktiviti di sungai, a surfing beach, kolam berputar dan tidak lupa juga 360° kapal lanun berputar merupakan antara tarikan utama pengunjung ke sini.
Pada awal pembukaannya, Sunway Lagoon hanya terkenal dengan pelbagai jenis zon taman tema yang menyediakan pelbagai jenis permainan air.
Namun, selari dengan perkembangan sekeliling, kini pengunjung boleh menikmati kepuasan berseronok di lima zon tambahan yang dibina iaitu di Waters of Africa, Scream Park, Amusement Park, Extreme Park dan Wildlife Park.
Waters of Africa
Tempat ini menjadi tarikan utama pengunjung ke Sunway Lagoon. Surfing simulator pertama di Malaysia iaitu “Flow Rider” memaparkan aksi lasak terhebat.
Di sini, surfers boleh mempamerkan skil dan bakat terpendam dan pertandingan turut diadakan setiap hujung minggu khusus buat mereka yang sukakan cabaran.
Selain itu, aktiviti popular lain yang menjadi kegemaran pengunjung ialah seperti “The Congo Challenge”- gelongsor air yang berkelajuan 40kmph dan jika itu tidak cukup mencabar untuk anda, apa kata cuba aktiviti di The African Pythons dan The Cameroon Climb.
Masing-masing pastinya menyediakan pelbagai aktiviti ekstrem yang menguji kekuatan minda dan fizikal.
Untuk anda yang mempunyai anak-anak, jangan bimbang, “Little Zimbabwe” telah dibina dengan mengambil inspirasi keunikan perkampungan di Afrika, lengkap dengan pondok beratapkan bambu dan pahlawan Masai sebagai pelindung pastinya menyediakan pengalaman yang lain daripada yang lain buat anda sekeluarga.
Scream Park
Tarikan terbaru Sunway Lagoon khusus buat penggemar cerita-cerita seram dan mistik, bolehlah berkunjung untuk merasai sendiri pengalaman menakutkan di Lynton V.Harris’s Scream Park. Sering menjadi tempat pilihan utama kerana thrill seram yang dibangkitkan cukup nyata dan ini mengujakan pengunjung.
Terbahagi kepada beberapa zon seram, pengunjung boleh memilih sama ada ingin ke Pontianak Theatre of Fear, Rumah Hantu dalam akses 3DX atau bagi yang gemarkan cerita zombie, watak monsters dan zombi filem yang ikonik dihidupkan di Horrorwood Studios – sebuah pameran yang menyediakan platform untuk anda merasai landskap kiamat zombi terbesar di dunia dan juga bertemu Freddy, Billy, Jason dan watak-watak popular lain.
Bukan itu sahaja, anda yang sukakan aksi ala-ala “Hari Kebangkitan Manusia” bolehlah menyertai cabaran bersenjata interaktif laser tag dalam berhadapan dengan pasukan pertempuran Cyberdyne Systems Corporation dalam arena peperangan SkyNet yang terperangkap di TerminatorX. Terdapat juga tarikan ‘Night at the Museum’, pameran watak popular Larry dalam replika galeri muzium filem terkenal.
Amusement Park
Terdiri dari dua taman hiburan utama iaitu “Wild Wild West” dan zon “The World of Adventures”, disinilah bermulanya penggembaraan yang mengujakan dan penuh dengan cabaran ekstrem.
Dipolopori oleh replika watak cowboy dan red Indians, zon ini menyediakan aktiviti thrill rides dan zoo hidupan liar interaktif yang jarang sekali ditemui di mana-mana.
Di sini anda boleh memberi makan hamsters dan penyu gergasi serta haiwan lain secara lebih dekat. Kanak-kanak tentu seronok! Khusus buat ibu bapa yang sukakan cabaran ekstrem, The Grand Canyon Rapid Fall dan Niagra Fall pastinya memberikan pengalaman yang luar biasa.
Tidak juga lupa jika berkunjung ke sini untuk melawat The World of Adventure di mana anda boleh bermain permainan bersama dengan sekumpulan harimau Bengal ataupun ke The Lost City of Gold yang dibina khusus untuk mereka yang suka menguji minda mencari harta karun seolah-olah berada di dalam filem Indian Jones.
Tarikan lain termasuk Buffalo Bill Coaster, Butch Cassidy’s Trail, Colorado Splash, Tomahawk dan jambatan gantung 428m yang menyajikan pemandangan keseluruhan bandar Sunway Lagoon.
Extreme Park
Tempat terbaik bagi peminat tegar sukan ekstrem! Zon ini menyediakan arena memanah, zon permainan paintball, ATV Adventure Ride yang merupakan sejenis motor bertayar empat/enam yang digunakan untuk aktiviti lasak, zon rock-climbing, go-kart, golf dan pelbagai lagi.
Bagi yang sukakan sukan air lasak, di sinilah tempatnya untuk anda diving atau ke zon G-Force X.
Selain itu, Extreme Park di sini juga mempunyai flying fox terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 206m dan apa yang lebih menarik, pengunjung boleh mencuba lompatan bungee pertama seumpanaya di negara ini. Ada berani untuk sahut cabaran ini?
Wildlife Park
Bagi yang sukakan aktiviti yang lebih santai dan menenangkan, apatah lagi jika anda seorang peminat haiwan, kunjungilah Wildlife Park yang merupakan habibat semulajadi umpamanya kepada lebih 150 jenis spesis haiwan yang didatangkan dari seluruh dunia.
Yang seronoknya, anda boleh berinteraksi secara dekat bersama haiwan-haiwan ini; mengambil gambar atau memberi makan.
Sambil berseronok, dapat juga timba ilmu baharu tentang haiwan liar bersama anak-anak dan menonton pertunjukan haiwan yang turut diadakan oleh mereka yang profesional secara langsung.
Jadi, tunggu apa lagi? Bawa keluarga atau luangkan masa bersama kawan-kawan berkunjung ke Sunway Lagoon yang pastinya menyediakan pelbagai jenis platform buat anda untuk berseronok sambil menimba pengalaman baharu.
- Laman Web: sunwaylagoon.com
- Facebook: @SunwayLagoonMalaysia
- Instagram: @sunwaylagoonmalaysia
Alamat: Sunway Lagoon, No 3, Jalan PJS 11/11, Bandar Sunway, 47500 Subang Jaya, Selangor